NAVIGATION
21. Page
ERA SAID BARU DAN PENULISAN RISALAH AN-NUR (1920-1960)
Said Badiuzzaman membahagikan kehidupannya kepada ‘Said Baru’ dan ‘Said Lama’. Bahagian kehidupannya yang berkait dengan dunia politik dinamakan ‘Said Lama’ manakala ‘Said Baru’ ialah tempoh bermulanya penulisan risalah-risalah dan kehidupan dari masa beliau menzahirkan tugas tajdid (pembaharuan) sebagai rencana utama.
Badiuzzaman berkata: “Mereka yang menyeksa kita, sebenarnya tanpa mereka ketahui dan sedari, dengan takdir Ilahi mereka telah membantu kita untuk menyebarkan hakikat-hakikat keimanan.” Selama lapan tahun tempoh hukuman buang daerah ke Barla, beliau telah menulis tiga perempat koleksi Risalah an-Nur yang kebanyakannya membicarakan tajuk-tajuk keimanan dan telah menulis sebahagian besar himpunan ‘Kalimat’ (Kalimah-kalimah), ‘Maktubat’ (Surat-surat) dan ‘Lama’at’ (Kilauan).
Dalam khidmat pembaharuan yang dimulakannya, Badiuzzaman telah menetapkan syarat kepada mereka yang mahu menjadi muridnya, agar menulis atau menjadikan Risalah an-Nur ditulis dengan huruf-huruf al-Quran. Di samping menulis dan memperbanyak Risalah, murid-murid Risalah an-Nur yang berada di sekitar Barla dan Isparta juga turut menyebarkan dan menghantar naskhah-naskhah yang ditulis kepada insan-insan yang merinduinya di seluruh pelosok Anatolia. Seolah-olah Anatolia telah menjadi sebuah madrasah.