NAVIGATION
63. Page
HUSREV EFENDI MENURUT KACAMATA BADIUZZAMAN
Semasa memperkenalkan Husrev Efendi yang terkenal dengan khidmatnya kepada kita, Badiuzzaman meletakkan beliau sebagai ukuran bagi para pelajarnya di madrasah Nur di seluruh negara dan beliau memanggil mereka dengan nama dan piawai yang berdasarkan peribadinya .
Contohnya, Almarhum Hasan Feyzi, bagi Badiuzzaman, beliau ialah Husrau Denizli. Manakala Husrau bagi Aydin dan sekitarnya ialah Ahmad Feyzi Efendi. Muhammad Feyzi yang menyenangkan hati Badiuzzaman dengan khidmat-khidmatnya di Kastamonu turut dinamakan Husrau Kecil. Beliau membawa gelaran tersebut dengan penuh bangga. Surat-surat yang ditulisnya ditandatangani dengan nama Husrau Kecil Muhammad Feyzi.
Gelaran bagi Nazif Celebi yang berasal dari Inebolu dinamakan Husrau Inebolu. Gelaran Inebolu juga ialah Isparta kedua. Begitu juga Katib Usman di Isparta ialah Husrau kedua. Manakala Ceylan Agabey yang membantu Badiuzzaman dan menjadi pemandu beliau semasa Badiuzzaman di Emirdag juga pada pandangan beliau ialah Husrau yang lebih kecil. Manakala Tahir Pertama pula bagi beliau ialah seorang Husrau yang sempurna.
Supaya para pelajarnya tidak terjebak dalam rencana dan permainan penuh muslihat oleh musuh yang mendapati kedudukan dan Maqam Husrau yang istimewa berbanding dengan para pelajar lain dalam Khidmat Risalah an-Nur, Badiuzzaman memberi peringatan berikut kepada mereka:
“Musuh-musuh kita yang tersembunyi menjalankan dua perancangan. Pertama: Melumpuhkan saya dengan pengkhianatan mereka. Kedua: Memasukkan kedinginan (permusuhan) antara kita. Mula-mula ialah memisahkan kita daripada satu sama lain dengan mengkritik, membantah dan menimbulkan rasa iri hati ke atas Husrau. Saya mengisytiharkan kepada kalian bahawa: Sekiranya ada seribu kesalahan pada Husrau, saya tidak berani untuk membantahnya kerana sekarang jika membantah beliau, ia tidak lain dan tidak bukan ialah bantahan ke atas Risalah an-Nur dan membantah diriku juga merupakan satu pengkhianatan besar kepada mereka yang menyokong kita.”
64. Page
Memang perlu untuk kita menerima bahawa kata-kata Badiuzzaman ini bukanlah ayat-ayat biasa yang dituturkan untuk memuji seseorang. Ini kerana semasa beliau bertepuk tangan menghargai khidmat kebanyakan saudara besar yang mendahului kita dengan memerhatikan mereka secara mesra, tiada satu pun ungkapan sebegini dikatakan kepada sesiapa pun.
Badiuzzaman tidak pernah pun berkata kepada kita tentang mana-mana abang seperti: “oleh kerana Husrau berada pada kedudukan saya dan kerana beliau melambangkan peribadi maknawi Nur yang sangat penting, adalah sangat perlu bagi kita untuk tidak berasa hati dari mana-mana sudut dengan seorang pahlawan cahaya seperti beliau” dan Badiuzzaman tidak pernah menyatakan bahawa “membantah Husrau adalah sama seperti membantah dirinya hatta Risalah An-Nur” melainkan pada Husrau.
Penerangan-penerangan Badiuzzaman sendiri adalah jelas sehingga tidak meninggalkan sebarang hajat kepada dalil dan kajian lain. Risalah-risalah cahaya ini ialah hak semua orang. Ia di tengah-tengah dan bukannya milik persendirian sesiapa pun. Dalam bentuk wasiat, Badiuzzaman memperkenalkan Husrau Efendi kepada kita seperti berikut:
“Saya berani mendakwa dan membuktikan bahawa dalam kedinginan ini, Husrau (Sallamahu Allahu Taala – semoga Allah memberinya keselamatan) yang menghadapi perlakuan dingin, disangka berbahaya kepada bangsa dan negara serta sakit dari segi fizikal ini sebenarnya ialah pahlawan maknawi bangsa Turki dan pembebas tanahair ini. Beliau juga ialah seorang yang ikhlas berkorban dan bangsa Turki akan berbangga dengannya. Disebabkan beliau merupakan lambang kepada rahsia keihlasan yang sempurna dari segi tiadanya sikap mementingkan diri, sifat riya’ dan tidak sukakan kemasyhuran, sampailah sudah masa untuk menerangkan satu dua perkara daripada banyaknya khidmat tanah air dan bangsa yang telah dilakukan beliau.
65. Page
Insan ini telah menulis hampir enam ratus risalah daripada cahaya dengan penanya yang ajaib dan mengagumkan. Dengan menyebarkannya ke seluruh negara beliau telah meruntuhkan anarkisme yang berusaha ke arah pemusnahan dahsyat di bawah tabir komunisme dan telah menghentikan kemaraannya. Untuk menyelamatkan tanah air yang mulia dan bangsa pahlawan ini daripada racun itu, beliau telah menyampaikan penawar-penawar yang berkesan ke setiap tempat. Beliau telah menjadi wasilah yang menyelamatkan pemuda Turki dan generasi masa hadapan daripada bahaya yang besar.”
Semasa berulang kali memperkenalkan Husrau kepada kita dengan berkata: “Sekarang seorang pahlawan cahaya seperti Husrau telah dianugerahkan kepada kalian. Sampai sekarang saya belum pernah memperkenalkan Husrau kepada penduduk dunia. Saya menyembunyikannya. Sekarang saya dan dia tidak berselindung lagi...” Beliau menyamakan nilai antara perbuatan membantah Husrau, Risalah An-Nur dan dirinya. Beliau sering memperingatkan sesetengah pelajarnya tentang kemungkinan jatuh ke dalam perangkap pengkhianatan akibat terpedaya dengan perancangan-perancangan musuh yang terselindung.
Sejak hari-hari pertama khidmat cahayanya sehingga perpindahan Badiuzzaman ke alam baqa’ dan sehingga akhir nafasnya selepas itu, Husrau Efendi sentiasa berada di setiap lembaran khidmat dan setiap mahkamahnya dan namanya ialah nama yang mula-mula datang dalam nama-nama istimewa yang mengalami penderitaan Said Nursi.
Disebabkan inilah dalam koleksi Risalah an-Nur, di kalangan murid-murid nur, namanyalah yang paling banyak disebut.
66. Page
Kedudukan Husrau Efendi dalam khidmat Risalah an-Nur ini disokong oleh sumber-sumber syafahi (lisan) dan rasmi. Contohnya, kenyataan 954/311 yang bernombor 956/8 bagi Pendakwa Umum Isparta dan lagi ketika Badiuzzaman masih hidup pada tahun 1956, ayat yang memperkenalkan Ahmad Husrau yang terdapat dalam laporan pendakwaan yang ada dalam senarai tertuduh, dengan nama Said Okur adalah menarik perhatian:
“Terdapat bukti-bukti seperti pengakuan para tertuduh, penyaksian para saksi dan dokumen yang diperoleh dalam siasatan khusus yang menunjukkan bahawa tertuduh Husrau Altunbasak mengenali Said Okur sejak 22 tahun; perbuatan membaca kitab-kitabnya, memperbanyak kitab tersebut dan mengagih-agihkannya, memperbanyak surat yang ditulis Said Nursi dan menghantarnya kepada yang meminta, menamakan ‘Murid Nur’ kepada mereka yang membaca karya dan surat-surat tersebut, mengetahui bahawa murid-murid Nur mengenali Said Nursi sebagai guru, menamakan kelompok maknawi mereka Madrasah az-Zahra’. Ini beberapa kali dibawa ke mahkamah bersama dengan Said Okur sehingga beliau ditahan. Menurut siasatan yang dibuat, karya-karya yang berada ditangannya ditulis bagi pihak Said Okur. Beliau menghantar karya-karya ini dengan cara ditulis atas kertas lilin untuk diperbanyak kepada salah seorang tertuduh iaitu Tahiri Mutlu. Padanya surat-surat milik Said Nursi ditemui. Surat-surat dan kiriman tersebut dialamatkan kepada Rustu Cakin yang merupakan orang dari kalangan ahli Nur yang paling lama dan paling aktif dan dikenali sebagai guru kedua kerana menjadi orang yang paling dipercayai Said Nursi”.
Sifat Husrau Efendi yang hormat dan ikhlas kepada guru dan teman-teman dakwahnya sama ada terhadap tumpuan Badiuzzaman atau murid-murid Nur tidak pernah berubah. Surat-surat yang ditulis kepada Badiuzzaman adalah ibarat surat galakan ringkas yang menceritakan nilai Risalah an-Nur; ibarat surat adab dan akhlak yang menunjukkan bagaimanakah sifat hormat yang perlu ada terhadap para guru mereka dan Risalah an-Nur; dan juga ibarat surat keikhlasan yang menjadi saksi kepada keberkesanan Risalah an-Nur yang mengalir dengan limpahan al-Quran yang tidak berpantai dalam roh manusia.
67. Page
Surat berikut yang ditulis kepada ustaznya merupakan salah satu contoh yang baik:
“Pelajar tuan yang keadaannya penuh dengan kecacatan dan keaiban dari semua sudut, telah mengorbankan semua miliknya ke bawah kaki gurunya yang dikasihi. Bahkan sekiranya setiap hari dia dilayan dengan kekerasan yang lebih teruk daripada kesusahan ini, hatta sekiranya dia memiliki seratus ribu nyawa, demi ustaznya dia bersedia untuk menyerahkan kesemuanya tanpa ragu-ragu; ini bukanlah kepura-puraan tetapi adalah pengakuan dari hati.
Pelajar tuan yang bersalah memohon seorang pembela daripada al-Khaliqnya sejak bertahun-tahun. Sekiranya buku catatan amalanku yang penuh dengan kehitaman diperincikan dari atas ke bawah, berapa banyakkah tadharru’ dan rayuanku ada serta berapa banyakkah air mataku akan ditemui demi perkara ini. Alangkah besarnya kebahagiaan dan kemuliaan yang saya terima sekiranya saya memiliki nyawa sebanyak penghuni dunia, mengorbankan setiap satu demi khidmat kepada al-Quran!
Wahai ustazku yang dikasihi! Wahai guruku yang mulia! Wahai Mursyid yang ku cari selama bertahun-tahun! Wahai juruhebah al-Quran yang mulia! Aku merasakan bahawa keluh-kesahku sedang berubah kepada kegembiraan.”