MAHKAMAH DENIZLI (1943-1944), AFYON (1947-1949) DAN BUANG DAERAH KE EMIRDAG (1944-1950)

24. Page

MAHKAMAH DENIZLI (1943-1944), AFYON (1947-1949) DAN BUANG DAERAH KE EMIRDAG (1944-1950)


Pada musim luruh tahun 1943, beliau bersama seratus dua puluh enam orang muridnya telah dibawa ke mahkamah tinggi Denizli. Koleksi Risalah an-Nur telah diteliti dan dikaji oleh satu jawatankuasa pakar yang terdiri daripada para profesor dan ilmuwan yang hebat. Berdasarkan laporan positif yang menyatakan bahawa “Badiuzzaman tidak mempunyai tujuan politik dan Risalah an-Nur merupakan tafsir al-Quran yang memberi tumpuan pada ilmu dan keimanan dan berdasarkan hujah-hujah pembelaan yang dilakukan di mahkamah pada tahun 1944, keputusan untuk membebaskan mereka telah dikeluarkan dengan hujah bahawa tuduhan tersebut tidak berasas. 


Sepanjang sembilan bulan di penjara, Badiuzzaman tidak pernah dipertemukan dengan para pelajarnya. Beliau dibiarkan terdedah kepada tekanan yang banyak dan telah diracun. Walaupun begitu beliau bersabar dan dengan pertolongan Allah beliau telah terselamat daripada kesan racun tersebut. Selepas dibebaskan, beliau menetap di Denizli selama dua bulan sebelum dibawa ke penempatan paksa yang lain iaitu di Emirdag pada 20 Julai 1944. 


Walaupun menempuh berbagai-bagai tekanan, perkembangan dakwah Risalah an-Nur terus berlanjutan di sini. Seperti di setiap tempat buang daerah yang lain, Emirdag juga gempar dengan kehadiran Badiuzzaman. Walaupun ada bermacam-macam halangan, mereka yang datang menziarahi beliau tidak pernah putus. Para pelajarnya membawa risalah yang ditulis mereka dan beliau menyemaknya. Ada masanya beliau pergi berjalan ke luar bandar. Pada masa itu juga beliau masih diekori dan diawasi. Seolah-oleh beliau sentiasa dihukum dengan penjara pengawasan. Di pintu rumahnya sentiasa ada polis yang berkawal.


25. Page

Pada permulaan tahun 1948, bersama-sama dengan para pelajarnya dari bandar-bandar yang berlainan sekali lagi beliau ditangkap dan di bawa ke Afyon. Tuduhannya masih sama iaitu “menentang kerajaan dan menubuhkan perkumpulan politik secara rahsia”. Perbicaraan ini berlanjutan selama dua puluh bulan dan hukuman yang diberi dan permohonan rayuan yang diputuskan ialah tidak bersalah. Memang amat pelik kerana walaupun wujud keputusan rayuan, kononnya untuk membaiki kekurangan-kekurangan jawatankuasa mahkamah telah bertangguh-tangguh hari demi hari dan telah menunda perbicaraan beberapa kali. Begitulah sehingga tempoh hukuman tamat. Hanya pada masa itulah beliau dan murid-murid Nur dapat dilepaskan.


Pada tahun 1950, Turki telah memasuki era percambahan parti politik. Dengan memenangi pilihanraya yang diadakan, Parti Demokrat telah menjadi pemerintah. Perubahan yang berlaku dalam dunia politik ini telah memberikan sedikit kebebasan dan kelegaan kepada Badiuzzaman dan murid-murid Nur. Namun begitu, perbicaraan dan tekanan-tekanan masih berterusan.


Selepas dibebaskan dari penjara Afyon, beliau telah dipaksa tinggal di Emirdag. Apabila Parti Demokrat menjadi pemerintah beliau telah pergi ke Eskisehir. Selepas beberapa ketika akhirnya Said Nursi berpindah ke Isparta dan di sana beliau menjadi sibuk dengan para pelajarnya.


26. Page

Pada tahun 1952 bersempena dakwaan yang dibuka ke atas ‘Mursyidus Syabab’ (Pedoman Pemuda), selepas 27 tahun, beliau kembali semula ke Istanbul. Hotel penginapannya telah menerima arus kunjungan para pelajar dan sahabat-sahabatnya yang tidak putus. Tanpa penahanan, beliau dibicarakan atas dakwaan tersebut selama tiga bulan dan sekali lagi beliau disabitkan tidak bersalah.


Selepas perbicaraan, beliau pulang ke Emirdag. Semasa bersiar-siar seorang diri di luar bandar dengan tidak memakai topi, pihak polis tentera telah mengheret beliau ke balai polis. (1953) Disebabkan peristiwa ini, beliau telah menghantar surat permohonan kepada wakil-wakil Kementerian Keadilan dan Hal Ehwal Dalaman Negara. 


Apabila surat tersebut disiarkan di akhbar tempatan Bandaraya Samsun oleh para pelajarnya di sana, satu dakwaan telah dibuka ke atasnya dan beliau pun dipanggil ke bandar tersebut. Walaupun laporan bahawa beliau tidak dapat menghadirkan diri ke Samsun kerana masalah kesihatan dan usia tuanya telah dihantar, namun mahkamah tetap bertegas mahukan beliau datang. Semasa beliau pergi ke Istanbul untuk pergi ke Samsun, keadaan kesihatan beliau bertambah buruk.


Satu laporan lain daripada jabatan kesihatan menerangkan bahawa “keadaan beliau tidak membenarkan perjalanan beliau sama ada melalui darat, laut atau udara” telah dihantar ke Samsun. Hasilnya, di mahkamah itu beliau disabitkan tidak bersalah. 


Pada musim bunga tahun 1953, beliau telah menetap di Istanbul selama tiga bulan. Beliau telah menyertai sambutan yang diadakan sempena ulang tahun pembukaan Istanbul yang ke-500. Selepas itu mengikut urutan; beliau pergi ke Emirdag, Eskisehir, Isparta dan dari sana beliau bersama para pelajarnya pergi ke Barla yang merupakan tempat buang daerahnya yang pertama dan tempat risalah-risalah ditulis.