MAHKAMAH ESKISEHIR (1935-1936) DAN BUANG DAERAH KE KASTAMONU (1936-1943)

22. Page

MAHKAMAH ESKISEHIR (1935-1936) DAN BUANG DAERAH KE KASTAMONU (1936-1943)


Risalah an-Nur yang semakin dikenali telah menyebabkan sesetengah golongan merasa tidak tenteram. Pada tahun 1934, Badiuzzaman telah dibawa dari Barla ke Isparta. Setahun selepas itu pula dengan tuduhan: “menubuhkan perkumpulan rahsia yang menentang kerajaan dan berusaha menggulingkannnya”, beliau bersama 120 orang muridnya telah ditangkap dan dibawa ke penjara Eskisehir pada tahun 1935. 


Mereka telah dibicarakan bersama-sama di mahkamah jenayah berat Eskisehir. Walaupun tidak terdapat bukti yang kukuh untuk mengaitkan mereka dengan semua tuduhan dan kesalahan yang dibuat, mahkamah menjadikan ‘Risalah Tasattur’ (tentang penutupan aurat) sebagai alasan untuk menjatuhkan hukuman penjara selama sebelas bulan. Lima belas orang daripada seratus dua puluh muridnya dihukum penjara selama enam bulan manakala yang lain-lain telah dibebaskan.


Setelah keluar dari penjara Eskisehir, Badiuzzaman telah dibuang daerah ke wilayah Kastamonu pada tahun 1936. Setelah dipaksa tinggal di balai polis dalam tempoh yang panjang, beliau ditempatkan di sebuah rumah yang betul-betul berhadapan dengan balai polis. Di Kastamonu beliau menjalani hidup dalam buangan selama lapan tahun. Di situ juga, para pelajar telah berhimpun di sekelilingnya.



23. Page

Ketika Risalah an-Nur berpindah dari tangan ke tangan, risalah-risalah baru juga sedang ditulis. Risalah dan maktub yang baru ditulis mula-mula dihantar ke Isparta. Murid-murid di Isparta pula menghantar semua itu ke kampung-kampung Anatolia sehingga sampai ke setiap tempat hatta pelosok yang paling dalam. Halaqah para murid pun makin lama makin meluas.


Ketika itu orang-orang yang disebut oleh Badiuzzaman sebagai ‘musuh-musuh agama yang terselindung’ juga tidak dapat berdiam diri. Beberapa kali serbuan telah dilakukan ke atas rumah yang diduduki beliau. Beliau dibawa dari satu mahkamah ke mahkamah lain, di buang dari satu daerah ke daerah yang lain. Beliau telah diracun sebanyak dua puluh tiga kali. Hanya dengan bantuan Allah sahajalah beliau terselamat daripada kesan racun pada setiap percubaan. Walaupun banyak tekanan seperti itu, usaha-usaha dakwah Nur tidak dapat dipintas dan disekat.