PERBICARAAN DI MAHKAMAH JENAYAH PERANG (1909)

15. Page

PERBICARAAN DI MAHKAMAH JENAYAH PERANG (1909)


Pada masa itu, peristiwa 31 Mac yang masyhur telah berlaku. Walaupun beliau telah memainkan peranan penting untuk mententeramkan keadaan selepas peristiwa tersebut, beliau tetap ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan kejadian tersebut lalu dibicarakan di Mahkamah Jenayah Perang. Dalam perbicaraan yang akhirnya beliau dibebaskan ini, dengan tegas dan berani beliau membela diri dengan berkata seperti berikut: 


“Dalam Mahkamah tentera mereka bertanya kepada saya: Kamu juga mahukan syariat?


Saya menjawab: Andaikata saya memiliki seribu nyawa, saya bersedia mengorbankan kesemuanya demi satu hakikat syariat! Ini kerana syariat ialah punca kebahagiaan, keadilan sebenar dan kelebihan. Tetapi bukanlah seperti kehendak para pemberontak.


Mereka juga telah bertanya: Adakah kamu menyertai Ittihad Muhammadi?


Jawab saya: Dengan bangganya saya mengaku. Saya dari kalangan ahlinya yang paling kecil, tetapi menurut maksud yang saya takrifkan. Manakala orang yang tidak menjadi ahli kesatuan itu, siapakah mereka kalau bukan golongan yang tidak beragama? Tunjukkanlah kepada saya!”


Selepas itu beliau meninggalkan Istanbul melalui jalan Batum ke Tiflis. Dari sana beliau bertolak ke Van. Sambil menziarahi puak-puak dan suku kaum di sana, beliau berusaha membimbing mereka dengan mengajar tentang bidang kemasyarakatan, ketamadunan dan keilmuan. Selepas itu pengajian-pengajian yang luar biasa ini telah disebarkan dengan nama ‘Munazarat’.



16. Page

Selepas beberapa ketika di Van, beliau pun pergi ke Syam. Atas desakan para ulama’ Syam, beliau menyampaikan sebuah khutbah yang hebat di hadapan jemaah yang sesak sekitar sepuluh ribu orang. Di kalangan mereka terdapat lebih daripada seratus orang ulama’ di Masjid Umawi. Khutbah ini telah menerima pujian dan penghargaan yang luar biasa dan teksnya kemudian dicetak dengan nama ‘Khutbah Syamiyyah’. Seterusnya dari Syam beliau ke Beirut dan dari sana beliau kembali semula ke Istanbul. 


Semasa Sultan Rasyad dalam perjalanan ke Rumeli, Badiuzzaman turut serta sebagai wakil daripada negeri-negeri timur. Melalui wasilah ini beliau telah membentangkan cadangan penubuhan Madrah Az-Zahra’ kepada Sultan Rasyad dan cadangan itu diterima. Maka beliau telah meletakkan batu asas universiti yang menjadi hasratnya sejak bertahun-tahun di Edremid yang terletak persisir tasik Van.


Malangnya ketika itu Perang Dunia Pertama telah meletus dan amat rugi sekali apabila proses pembinaan terpaksa ditinggalkan separuh jalan. 


Walau bagaimanapun, beberapa lama selepas itu Badiuzzaman akan bersyukur kepada Allah kerana doanya yang tulus dan bersungguh-sungguh mengenai Madrasah Az-Zahra’ itu dikabulkan dalam bentuk ratusan madrasah Nur yang bercambah di seluruh Turki.