PERJALANAN TERAKHIR

28. Page

PERJALANAN TERAKHIR


Pada bulan-bulan pertama tahun 1960, kehidupan politik Turki berada dalam keadaan yang kacau-bilau. Dengan tujuan untuk memberi peringatan dan teguran kepada kerajaan ketika itu serta untuk memberi amaran tentang bencana yang datang, beliau telah pergi ke Ankara sebanyak tiga kali. Walaupun begitu, usaha tersebut tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.


Pada 11 Januari 1960, Menteri Hal Ehwal Dalaman telah menghalang kemasukan Badiuzzaman ke Ankara buat kali terakhir dan telah mengarahkan beliau berpatah balik dari bandar Golbasi. Dia meminta Said Nursi menetap di Emirdag atas desakan Parti Rakyat (Parti Ataturk). 


Disebabkan perkara tersebut beliau kembali semula ke Emirdag buat beberapa ketika. Kemudian beliau pergi ke Isparta. Selepas tarikh tersebut Said Nursi sedikit demi sedikit mula mengucapkan selamat tinggal kepada orang-orang di sekitarnya. Dalam tazkirah-tazkirah, beliau sering membicarakan tentang kematian, wasiat-wasiatnya dan kubur.


Beliau sering menyatakan bahawa beliau telah sedia untuk menuju Akhirat dengan hati yang tenang kerana tangan-tangan yang akan meneruskan dakwah keimanan dan al-Quran bagi Risalah an-Nur yang ditulis telah dihulurkan. Keadaan kesihatan beliau semakin teruk.



29. Page

Akhirnya dengan keputusan secara tiba-tiba, dari Isparta beliau telah keluar untuk menuju Urfa. Disebabkan kesakitan beliau makin bertambah dan kerana polis terus mengekori beliau, selepas dua puluh lima jam perjalanan yang memenatkan, beliau pun sampai ke Urfa. Walaupun keadaan kesihatan sangat buruk, beliau yang menetap di Hotel Ipek Palas tetap berjumpa dengan tetamu yang menzirahinya dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Pada masa yang sama, pihak berkuasa berusaha mengerahkan beliau keluar dari Urfa dengan mengarahkan polis dan polis tentera (Jandarma).


Badiuzzaman Said Nursi telah kembali ke Rahmatullah pada Subuh hari ke-25 Ramadhan 1379 bersamaan 23 Mac 1960. Rahmatullahi ‘Alaihi. 


Pada hari Khamis 24 Mac 1960, selapas disolatkan oleh jemaah yang sangat sesak di Masjid Besar Urfa, beliau yang dianggap sebagai Imam Kurun ini dibawa ke ‘Khalilur Rahman’ dan telah disemadikan jenazahnya di tempat yang telah disediakan. Dua bulan selepas kewafatan beliau, pada 27 Mei 1960 telah berlaku rampasan kuasa tentera maka bermulalah satu lagi era gelap baru di Turki. Keadaan pada ketika itu adalah amat dahsyat sehingga pada 12 Julai 1960 kubur beliau telah dibongkar. 


Mereka yang menggeruni dan tidak pernah memberi kerehatan kepada beliau sepanjang masa hidupnya, tetap takut padanya walaupun beliau telah meninggal dunia. Lalu mereka pun menculik jasad beliau yang mulia dari sana dan telah membawanya ke suatu tempat yang tidak diketahui di Isparta.