NAVIGATION
58. Page
PERKEMBANGAN PERKHIDMATAN NUR DAN AHMAD HUSREV ALTIN BASAK
Tahun-tahun awal selepas kejatuhan daulah Uthmaniyyah yang besar ialah hari-hari yang menyeksakan. Kebanyakan orang masih belum berani untuk bermujahadah secara terbuka dan sekecil-kecil tindak-tanduk atas nama Islam akan dihukum dengan balasan yang amat berat. Maka, pada masa ketandusan tenaga pendakwah, Badiuzzaman dan para pelajar Nur yang berada di sekelilingnya telah menentang dan menghadapi semua aliran yang batil melalui perkhidmatan-perkhidmatan mereka yang meliputi seluruh dunia Islam. Pada waktu kebanyakan orang terjerumus dalam putus asa, mereka memandang kepada masa depan dengan harapan dan keyakinan. Mereka telah bermujahadah sepenuh tenaga untuk menyelamatkan ahli iman terutamanya generasi akan datang daripada fitnah-fitnah akhir zaman yang menanti mereka. Sehingga, demi menjaga dan menyebarkan hakikat-hakikat keimanan dan syiar-syiar Islam, dalam jalan ini mereka dituduh menubuhkan perkumpulan haram dan terlibat dalam kegiatan untuk menukar dasar-dasar kerajaan dengan matlamat untuk mengasaskan syariat Islam dan khilafah Islamiyyah. Mereka selalu dibawa dari satu mahkamah ke mahkamah lain. Mereka seringkali dihukum dan dipenjara bertahun-tahun dengan keputusan-keputusan yang di luar batasan undang-undang. Kerana khidmat keimanan, para pelajar Nur membayarnya dengan harga yang amat tinggi iaitu dengan menjalani hukuman penjara atau buang daerah dan dengan tercampaknya kehidupan sosial dan ekonomi mereka kepada kelumpuhan. Walaupun begitu, dengan kekuatan yang diperolehi daripada Risalah an-Nur, mereka tetap tabah dalam khidmat mereka.
Dalam biografi kehidupannya Said Nursi yang merupakan wira penderitaan, menggambarkan ringkasan kehidupannya seperti berikut:
“Lebih lapan puluh tahun dalam kehidupan, saya tidak pernah tahu tentang sebarang kelazatan dunia. Seluruh kehidupan saya berlalu sama ada di medan perang, dalam sel tawanan atau penjara dan mahkamah negara. Tiada apa-apa penderitaan dan seksaan yang belum saya alami. Dalam mahkamah-mahkamah tentera, saya diperlakukan seperti penjenayah. Seperti seorang samseng, saya dibuang daerah dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Dalam penjara-penjara negara, saya dihalang daripada berhubung dengan manusia selama berbulan-bulan.
59. Page
Saya telah diracun berkali-kali. Saya juga telah terdedah kepada bermacam-macam penghinaan.”
Pelajar pertama yang sentiasa berada di samping beliau dan kehidupannya yang penuh kesusahan tersebut, dari kalangan pelajarnya yang berkongsi tujuan dan penderitaan yang sama ialah Ahmad Husrau Altun Basak. Dalam semua perbicaraan seperti di Eskisehir, Denizli, Afyon dengan niat untuk dihukum gantung beliau bersama-sama gurunya dan pelajar-pelajar Risalah an-Nur yang setia telah dibicarakan. Selepas kewafatan Badiuzzaman, kebanyakan penjara dan perbicaraan yang mewajarkan hukuman berat telah menjadi tempat-tempat penderitaan beliau yang baru. Semasa dalam penjara Denizli, dengan pemeliharaan Allah, beliau bersama Badiussaman terselamat daripada percubaan meracun. Dalam peristiwa yang sama, Saudara Hafiz Ali telah gugur syahid di jalan Allah. Rahmatullahi Alaihim.
Badiuzzaman menghantar risalah-risalah Nur dalam bentuk surat kepada Husrau Afendi yang berada di Isparta yang merupakan pusat perkhidmatan nur. Risalah-risalah Nur itu telah ditulisnya di tempat-tempat beliau dibuang daerah dan ditahan di bawah keadaan yang amat getir dan mencabar kesabaran. Di bawah pengawasan Ahmad Husrau, karya-karya Badiuzzaman ditulis dengan tangan oleh para pelajar Nur dan di satu sudut lagi ia diperbanyak dengan mesin pendua lalu dihantar ke seluruh pelosok Anatolia.
Melalui beliau, surat-surat yang ditulis oleh para pelajar Nur yang berada di kebanyakan pelosok negara disampaikan kepada Said Nursi. Biasanya beliau sendiri yang menulis jawapannya berdasarkan kehendak Badiuzzaman. Dengan perantaraan ini, Badiuzzaman menggelar Ahmad Husrau Affendi sebagai “Kilang Bunga Mawar.” Dari sudut penghantaran dan pengurusan khidmat Nurnya Badiuzzaman menerangkan tugasnya itu seperti berikut:
60. Page
“Kami mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaan Husrau dalam tugas-tugas menyemak, mengedar, mengurus, menghubung, menyebar dan menyampaikan Risalah an-Nur. Bersama dengan tugas-tugas yang penting ini, kita masih boleh melihat tulisan pena Husrau yang indah dan bercahaya dalam banyak risalah.
“Fikiran Husrau yang sentiasa mengagumkan, tepat, berfaedah dan amat tinggi adalah sentiasa bernilai dalam perkhidmatan al-Quran”.
Dengan berkata bahawa: “Husrau boleh membaiki, menukar dan membetulkan bahagian yang dilihatnya tidak sesuai.”, Said Nursi memperlihatkan kepada kita tentang kedudukan Husrau yang penting dalam khidmat Risalah an-Nur dengan memberi keizinan yang belum pernah diberikan kepada pelajar-pelajar lain iaitu keizinan memasukkan buah fikirannya ke dalam karya-karyanya. Dengan jawapan seperti berikut terhadap surat Ahmad Husrau tentang permintaan beliau untuk mati bagi menggantikan Badiuzzaman Said Nursi ketika beliau diracuni di Emirdag, sekali lagi Badiuzzaman membenarkan perkara ini:
“Wira Risalah an-Nur iaitu Husrau, secara serius dan bersungguh-sungguh mahu mati untuk menggantikan saya. Saya pula berkata: Sekarang bukan waktu ta’lif (mengarang) bahkan waktu penyebaran. Seperti tulisan kamu yang lebih berfaedah daripada tulisan saya dan lebih berfaedah untuk penyebaran, kehidupan kamu dalam perkhidmatan Nur ini juga berfaedah sebegitu berbanding kehidupan saya yang dalam kesengsaraan ini. Jika saya mampu, secara senang hati saya akan memberikan kamu kehidupan dan kesihatan saya.