RISALAH AN-NUR SEBAGAI PENGAJIAN ILMU KALAM YANG MANTAP

43. Page

RISALAH AN-NUR SEBAGAI PENGAJIAN ILMU KALAM YANG MANTAP


Berdasarkan tajuk dan tujuannya, Ilmu Kalam telah ditakrifkan dengan dua jenis. 


Pertama: Berdasarkan tajuknya ilmu kalam ialah ilmu yang membahaskan Zat dan Sifat-sifat Allah, masalah-masalah yang berkait dengan nubuwwah (kenabian) dan risalah (kerasulan), persoalan permulaan dan penamat, tabiat-tabiat penciptaan dari sudut dunia dan akhirat menurut asas-asas Islam.


Kedua: Berdasarkan tujuannya, Ilmu Kalam ialah ilmu yang membuktikan aqidah dan kepercayaan agama melalui penggunaan dalil-dalil yang putus dan muktamad serta menghapuskan segala syak dan keraguan yang mungkin berlaku dan mengukuhkannya.


Para ulama meringkaskan bahawa tujuan Ilmu Kalam dan semua ilmu Islam ialah “memastikan kebahagiaan dunia dan akhirat”. Pada masa yang sama para ulama Islam juga telah membahaskan sebahagian tujuan dan faedah Ilmu Kalam pada tahap yang seterusnya dan boleh disusun seperti berikut: 


Ilmu Kalam menyelamatkan keimanan manusia daripada darjat taklid atau ikut-ikutan lalu meningkatkan keimanan ke tahap yang benar, teguh dan kukuh; membimbing manusia yang mencari jalan lurus, mendiamkan golongan kufur dan ahli bidaah, menyelamatkan asas-asas aqidah daripada kegoyahan akibat keraguan yang dibawa oleh golongan sesat; menyucikan niat manusia dalam sudut amalan dan memantapkan aqidah manusia.


Berdasarkan tujuan-tujuan tersebut, Risalah an-Nur turut mengandungi Ilmu Kalam. Tetapi dari sudut usul, ia berbeza dengan Ilmu Kalam yang klasik. Contohnya, ketika Ilmu Kalam yang klasik menggunakan lebih banyak dalil atau hujah ‘hudus’ (baharu dan dicipta) dan ‘imkan’ (kemungkinan), Risalah an-Nur kebanyakannya telah menggunakana dalil nizam (peraturan) dan tujuan yang merupakan uslub al-Quran. Risalah an-Nur menemui ‘jalan menuju Allah pada semua benda’. 


Dalam satu jawapan yang diberi beliau kepada seorang pelajarnya Badiuzzaman menerangkan keistimewaan khidmat Nur dari sudut Ilmu Kalam ini seperti berikut:


“Dalam surat kamu, kamu ingin mempelajari Ilmu Kalam daripada saya. Semua kalimah-kalimah yang kamu tulis ialah pengajaran-pengajaran Ilmu Kalam yang bercahaya dan benar. Sebahagian ulama muhaqqiq seperti Imam Rabbani telah berkata bahawa: Pada akhir zaman, seseorang akan menerangkan Ilmu Kalam iaitu masalah-masalah keimanan menurut Ilmu Kalam yang merupakan mazhab ahli al-Hak dalam bentuk yang hebat sehingga dia akan menjadi sebab kepada tersebarnya cahaya-cahaya itu melebihi semua ahli kasyaf dan tariqat”. Tidak syak lagi bahawa Risalah an-Nur membenarkan isyarat ghaibiah tersebut.