NAVIGATION
41. Page
RISALAH AN-NUR SEBAGAI TAFSIR MAKNAWI AL-QURAN
Secara ringkas, Ilmu Tafsir ditakrifkan sebagai usaha membongkar, menghuraikan dan menzahirkan isi kandungan dan makna-makna al-Quran yang terselindung dan tersembunyi.
Imam Ghazali menyamakan al-Quran dengan lautan yang tiada pantainya. Di dasarnya pula terdapat mutiara, yakut dan permata yang tidak terhitung. Ilmu tafsir pula ialah ilmu yang mengeluarkan mutiara dan hakikat yang tersembunyi itu. Dari sudut ini setiap kitab yang membahaskan perincian dan hakikat-hakikat al-Quran adalah sejenis tafsir. Sehingga kini dalam dunia Islam banyak karya yang bertujuan sebegini telah ditulis. Badiuzzaman Said Nursi menerangkan bahawa Risalah an-Nur merupakan sebuah tafsir dalam bentuk seperti berikut:
“Oleh sebab kami berulang kali telah mengatakan bahawa Risalah an-Nur ialah tafsir al-Quran yang kuat dan benar dan oleh sebab sebahagian orang yang cuai tidak memahami makna keseluruhannya, maka saya telah memutuskan untuk menghuraikan satu hakikat. Hakikat itu ialah: Tafsir ada dua bahagian.
Bahagian Pertama: Tafsir-tafsir yang dimaklumi. Tafsir-tafsir tersebut menjelaskan, menerangkan dan membuktikan ungkapan al-Quran, makna kalimah dan ayat-ayatnya.
Bahagian Kedua: Menerangkan, membuktikan dan menjelaskan hakikat-hakikat keimanan dalam al-Quran dengan hujah-hujah yang kukuh. Bahagian ini mengandungi kepentingan yang sangat banyak. Sesetengah tafsir maklum yang masyhur memasukkan bahagian ini secara ringkas. Tetapi Risalah an-Nur menjadikan bahagian kedua ini sebagai asas secara berterusan. Risalah an-Nur ialah tafsir maknawi yang mendiamkan ahli falsafah dalam bentuk yang tiada bandingannya.
42. Page
Juga melalui takrifan penulis, “Risalah an-Nur yang kebanyakannya lintasan dan hasil galian al-Quran yang datang kepada hati dengan limpahan dan bantuan al-Quran, secara jelas adalah satu burhan (bukti) yang terang bagi al-Quran; satu tafsiran yang kuat, satu kilauan mukjizat maknawinya yang terang, satu titisan bagi lautan itu, satu sinaran bagi matahari itu dan satu terjemahan maknawinya yang diilhamkan daripada sumber ilmu hakikat dan datang daripada limpahannya.”
Badiuzzaman yang beristifadah daripada al-Quran semata-mata ketika beliau menulis Risalah an-Nur menerangkan bagaimana beliau mula menulis karya-karyanya seperti berikut:
“Walau bagaimanapun, seperti Imam Rabbani tidak henti-henti berpesan dalam risalah-risalahnya itu, beliau turut menyatakan perkara berikut dalam banyak suratnya: ‘Laksanakanlah pentauhidan kiblat, iaitu berpandulah kepada seorang guru dan berjalanlah di belakangnya! Janganlah menyibukkan dirimu dengan yang lain!’ Pesanannya yang paling penting ini menjadi tidak munasabah dengan persediaan dan keadaan roh saya. Saya telah berfikir beberapa kali: agaknya saya pergi dari belakang yang inikah atau yang lain atau yang lain lagi? Saya kehairanan. Pada setiap satu terdapat sifat-sifat yang menarik. Saya merasa tidak boleh berpada dengan salah satu sahaja. Ketika saya dalam kehairanan itu tiba-tiba dengan rahmat Allah telah datang ke hati saya bahawa permulaan bagi semua tariqat yang berbeza ini, sumber bagi semua aliran air dan matahari bagi planet-planet ini ialah al-Quran al-Hakim. Pentauhidan kiblat yang sebenar hanya ada padanya. Jika begitu, al-Quranlah pembimbing teragung dan guru paling suci. Saya telah berpegang dengannya. Sudah tentu dengan kelayakannya, persediaan saya yang kurang dan tidak terurus tidak boleh menyedut dan mengambil limpahan pembimbing sebenar yang ibarat air kehidupan itu. Tetapi kami masih boleh menunjukkan limpahan dan air kehidupan itu dengan limpahannya menurut darjat ahli tasawuf dan tariqat.
Bermakna, kata-kata dan nur-nur yang datang daripada al-Quran itu bukan hanya masalah-masalah ilmiah yang akli, bahkan merupakan masalah-masalah keimanan yang berbentuk ilmu, roh, dan keadaan. Itu semua ibarat pentakrif Allah yang amat tinggi dan bernilai.”
“Yang bercakap dalam semua kalimah bukanlah saya, bahkan hakikat kebenaran atas nama isyarat-isyarat al-Quran. Hakikat kebenaran pula berkata benar. Bercakap betul. Jika kalian melihat sesuatu yang salah, ketahuilah dengan yakin bahawa pemikiran saya telah masuk campur, mengecamukkannya lalu menjadikannya salah tanpa sengaja.”