TAHUN-TAHUN PEPERANGAN (1914-1918)

17. Page

TAHUN-TAHUN PEPERANGAN (1914-1918)


Dalam keributan yang tercetus di penghujung kurun, Badiuzzaman sebagai komander pasukan sukarelawan yang terdiri daripada para pelajarnya telah melibatkan diri dalam perang dunia pertama. Beliau telah bertempur dengan Rusia dan Armenia di bahagian Timur.


Semasa berperang dengan musuh di gunung Pasinler dan lembahnya, di terusan Avci, di bawah hujan peluru, di tengah-tengah para syuhada’ dan di bawah keadaan yang amat dekat dengan kesyahidan; dalam keadaan yang secara zahirnya kelihatan mustahil, dalam bentuk ilham dan lintasan hati, dengan ‘inayah Ilahi semata-mata, beliau telah mengarang sebuah tafsir berjudul Isyaratul I’jaz yang disifatkan sebagai mahakarya beliau dalam bidang ilmu tafsir.


Semasa Bitlis dikuasai tentera Russia, beliau tercedera lalu ditangkap dan dihantar ke bahagian Timur Laut Russia pada tahun 1916. Beliau menjadi tawanan selama dua tahun setengah di Kosturma yang terletak di tebing sungai Volga. Semasa dalam tahanan, beliau memberi nasihat keagamaan kepada para tawanan yang berada di sekitarnya dan memberi dorongan untuk menyedarkan mereka. Akhirnya setelah berjaya melepaskan diri daripada tawanan dengan melarikan diri melalui jalan Pittrsburg, Warsaw dan Vienna beliau sampai ke Istanbul pada 26 Jun 1918. Sebilangan besar daripada masyarakat, tentera dan para pembesar negara telah melawat beliau dan mereka berasa senang hati dan gembira.


Dengan kehendak Syeikhul Islam Mustafa Sabri, selepas kepulangan itu beliau telah dipilih sebagai anggota Darul Hikmah al-Islamiah iaitu sebuah jawatankuasa tertinggi yang berperanan memberi Fatwa dan khidmat rundingan yang menghimpunkan para ulama’ seperti Muhammad Akif, Izmirli Ismail Haqqi dan Elmalili Hamdi tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.


18. Page

Pada penghujung Perang Dunia Pertama, negara-negara yang bersekutu dengan Uthmaniyyah dalam peperangan telah kalah. Tidak lama selepas itu, apabila Inggeris, Peranchis, Itali dan Greece mula menguasai negeri-negeri Uthmaniyyah, di Anatolia, persiapan perang pembebasan telah menjadi semakin rancak. Pada tahun-tahun tersebut ketika Istanbul dijajah oleh Inggeris, Badiuzzaman telah menjalankan kegiatan-kegiatan yang menyusahkan Inggeris dan beliau telah memberi sokongan kepada gerakan kekuatan rakyat di Anatolia. Kerajaan di Ankara yang menghargai usaha yang dilakukan beliau di Istanbul telah menjemputnya ke sana. Oleh itu beliau telah pergi ke Ankara. Beliau mendapat perhatian dan sambutan yang besar. Satu upacara khusus telah diaturkan untuk beliau dalam persidangan Parlimen pada tahun 1922.


Walaupun begitu Badiuzzaman tidak dapat menemui apa yang dicita-citakannya. Ini kerana beliau melihat sebilangan besar perwakilan tidak mempedulikan agama dan tidak mendirikan solat. Beliau menerangkan kepada mereka tentang kepentingan solat melalui kenyataan bertulisnya yang mengandungi sepuluh perkara. Selepas kenyataan ini, bilangan mereka yang menunaikan solat telah bertambah. Para pembesar negara merasa tidak senang dengan usaha beliau yang amat berkesan itu maka beliau tidak dapat bermuafakat dengan pemimpin atasan.


Perang pembebasan telah dimenangi. Tetapi Badiuzzaman dengan yakin mendapati bahawa walaupun penjajah telah dihalau tetapi pemikiran dan cara hidup Eropah semakin tersebar di Anatolia manakala ikatan-ikatan kepada Islam dan aqidah semakin hari semakin longgar dan lemah lalu beliau berasa sangat sedih.


Oleh sebab beliau tidak senang dengan keadaan di Ankara, beliau telah mengambil keputusan untuk pulang ke Van. Beliau turut menolak jawatan dan tugasan bergaji tinggi dan menawan yang ditawarkan kepadanya seperti wakil rakyat, ahli penasihat di jabatan agama dan tauliah ceramah umum di wilayah timur kerana jawatan-jawatan tersebut bertujuan supaya beliau berada di bawah kawalan mereka. Maka beliau bertegas dengan keputusannya. 


19. Page

Di Van, beliau memulakan hidup dengan meminggirkan diri daripada masyarakat di gunung Erek. Pada masa tersebut beliau melakukan muhasabah diri yang mendalam. Dari satu sudut, terdapat kesan daripada usia tua yang hampir tiada dalam sikapnya kepada rohnya dan dari satu sudut lain terdapat ketidakmampuan untuk memperoleh natijah yang memuaskan hati daripada usaha-usaha yang dilakukan sebagai ahli politik. Ini menyebabkah beliau makin cenderung untuk meneruskan niat mengasingkan diri daripada masyarakat yang telah diniatkannnya sejak ditawan Rusia lagi. Pada masa itu beliau merasai secara rohani bahawa akan berlaku perubahan yang besar. Seolah-olah beliau menunggu tugas yang akan diberikan takdir kepada dirinya.

 

Tidak lama kemudian, tercetuslah peristiwa Syeikh Said. Peristiwa itu telah ditamatkan melalui pertumpahan darah yang banyak. Beliau tidak menyetujui tindakan mereka dan tidak melibatkan diri dengan peristiwa itu melalui kata-katanya: “Pedang tidak boleh diangkat ke atas anak-anak bangsa yang telah menjulang Panji al-Quran selama bertahun-tahun”. Namun, pada tahun 1925 beliau dibawa ke Istanbul dan dari sana beliau telah dibuang daerah ke Burdur dan Isparta. Seterusnya akibat syak wasangka ahli politik, beliau ditangkap dan dipaksa tinggal bersendirian di sebuah pekan kecil bernama Barla di Isparta dengan tujuan untuk menghalang beliau daripada berjumpa dengan orang ramai.