NAVIGATION
7. Page
Penjelasan Objektif
Apabila Al-Quran itu merupakan kitab yang menghimpunkan pelbagai jenis ilmu serta titahnya ditujukan kepada semua peringkat manusia di setiap zaman, maka sukar untuk menghasilkan tafsiran yang bersifat mencakup dan seimbang. Kefahaman seseorang individu selalunya tidak terlepas dari kecenderungan dan kefahaman yang bersifat memihak. Ini kerana kefahamannya adalah terbit dari dirinya sendiri. Ia tidak boleh memaksa orang lain menerimanya melainkan jika ia diterima oleh majoriti. Kesimpulan dan huraiannya adalah hasil usahanya sendiri, dan ia tidak menjadi hujah ke atas mana-mana pihak kecuali jika ia didokong oleh ijmak (kesepakatan ramai).
Sebagai langkah memperkemaskan proses membuat kesimpulan dan mengelak kecelaruan yang terbit dari trend kebebasan berfikir yang cenderung mengetepikan ijmak, sebuah kelompok ilmuan yang disegani dan dihormati oleh ramai pihak perlu ditubuhkan. Mereka perlu menggalas tugas memberi jaminan kepada umat dengan memberikan nilai kepada sesuatu ketetapan, agar natijah dari sesuatu ijtihad itu diiktiraf dengan perakuan rasmi dari kelompok ilmuan tersebut. Hal yang sama boleh dilakukan oleh kelompok ilmuan tersebut dalam proses menyingkap makna-makna Al-Quran, menyepadukan huraian-huraian Al-Quran yang wujud secara rawak dari pelbagai sumber rujukan serta melakukan pengukuhan terhadap realiti sesebuah tafsiran yang muncul dari proses penyelidikan semasa. Mereka yang terdiri dari ilmuan pelbagai kepakaran mampu melakukan kajian dengan mendalam dan memiliki ufuk pandangan yang luas.