NAVIGATION
10. Page
Seputar Tentang Definisi Al-Quran
Jika anda bertanya apakah Al-Quran itu?
Maka jawapan yang boleh diberikan ialah ianya sebuah huraian azali terhadap segala kewujudan serta penterjemah yang abadi melalui lisan-lisan yang membacakan ayat-ayat penciptaan makhluk. Ia (Al-Quran) adalah penafsir kitab alam semesta, penyingkap segala rahsia nama-nama yang tersembunyi di dalam lipatan-lipatan langit dan bumi, kunci segala hakikat di sebalik segala yang tersirat dalam baris-baris peristiwa, lidah ghaib di alam nyata, gudang bagi segala titah-titah azali yang suci dan peringatan Tuhan yang abadi. Ia (Al-Quran) juga merupakan asas, perancangan agung dan penyuluh Islami untuk kehidupan dunia serta ‘planner’ agung bagi kehidupan akhirat. Ia juga penghurai dan penafsir yang jelas dan tuntas terhadap zat Allah, sifat-sifat dan nama-namaNya, pendidik jiwa manusia, serta diumpamakan bak air dan cahaya yang membekalkan nilai-nilai keinsanan yang agung kepada manusia. Ia juga adalah hikmah kebaikan kepada insan dan petunjuk kepada ciri-ciri yang diwujudkan untuk mereka.
Al-Quran adalah untuk manusia. Ia merupakan kitab syariah dan kitab hikmah. Ia menyarankan manusia berdoa dan mengabdikan diri kepada Allah. Selain itu, Al-Quran juga adalah kitab yang mengandungi suruhan dan saranan dakwah, berzikir dan berfikir. Ia merupakan sebuah buku yang mengandungi pelbagai topik penulisan yang memenuhi keperluan dalaman insan yang rencam. Ia adalah sebuah buku yang sarat dengan pelbagai kitab dan surat hingga ia dapat menzahirkan semua aliran akademik yang dipegang oleh kelompok tertentu. Malah setiap kerencaman aliran ilmu yang dipegang oleh kelompok ilmuan dari golongan wali dan siddiqin mempunyai asas dan paksi dari sumber Al-Quran. Justeru di sudut ini, Al-Quran diumpamakan sebagai himpunan segara surat dan tulisan.