NAVIGATION
18. Page
KALIMAH KEDUA
بسم الله الرحمن الرحيم
الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالغَيبِ
Mereka yang beriman dengan perkara ghaib
(Al-Baqarah, 3)
Jika engkau ingin memahami betapa besarnya kebahagiaan dan kenikmatan serta betapa besarnya kelazatan dan kerehatan yang terdapat dalam keimanan, maka renung dan dengarlah hikayat perumpamaan yang pendek ini:
Pada suatu waktu, dua orang telah pergi mengembara untuk berseronok dan berniaga. Salah seorangnya yang mementingkan diri sendiri dan malang pergi ke suatu arah, manakala seorang lagi yang mengenali Allah dan beruntung menuju ke suatu arah yang lain.
Orang yang mementingkan diri itu, oleh sebab dia bersifat sombong, hanya risau pada diri sendiri serta bersangka buruk, maka sebagai balasan sifat bersangka buruk, menurut pandangannya, dia telah sampai ke sebuah negara yang amat teruk. Dia mendapati bahawa di setiap tempat, insan-insan lemah yang tidak berdaya meratap akibat tangan orang-orang yang zalim, ganas dan akibat pemusnahan yang dilakukan oleh mereka. Dia melihat keadaan yang sedih dan menyakit-
19. Page
kan seperti ini di semua tempat yang telah dilaluinya. Seluruh negara bagaikan tempat ratapan umum.
Maka, untuk menghindarkan diri daripada keadaan yang menyakitkan dan suram itu dia tidak mampu menemui jalan keluar selain memabukkan diri sendiri. Ini kerana, baginya semua orang kelihatan seperti musuh dan orang asing. Di mana-mana jua, dia melihat jenazah yang mengerikan dan anak-anak yatim yang menangis dalam keadaan putus harapan. Maka, sanubarinya berada dalam penderitaan.
Manakala seorang lagi, kerana dia mengenali Allah, taat beribadah kepada-Nya, mencari kebenaran dan berakhlak mulia, pada pandangannya dia telah sampai ke sebuah negara yang amat indah.
Maka, orang yang baik ini melihat kemeriahan yang menyeluruh di negara yang telah dimasukinya itu. Kegembiraan, perayaan, majlis zikir di dalam juzbah (keghairahan berzikir) dan keseronokan kelihatan di setiap penjuru dan semua orang kelihatan seperti sahabat dan keluarga. Dia nampak akan kemeriahan sambutan tamat latihan ketenteraan bersama laungan "Tahniah! Semoga panjang umur!" dan kesyukuran di seluruh negara. Dia mendengar bunyi paluan gendang dan muzik bagi merayakan permulaan tugas ketenteraan dalam keseronokan yang diiringi takbir dan tahlil.
Sedang orang pertama yang malang itu menderita dengan kesakitan diri sendiri dan kesakitan orang ramai, orang yang bertuah itu pula berasa seronok dan gembira dengan kebahagiaan dirinya dan kebahagiaan orang ramai. Malah dia memperoleh satu perniagaan dengan cara yang baik lalu dia bersyukur kepada Allah.
Kemudian dia pulang dan bersua dengan yang seorang lagi. Dia memahami keadaan sahabatnya itu lantas berkata kepadanya:
20. Page
"Aduhai! Nampaknya kamu sudah tidak waras. Barangkali keburukan-keburukan yang terdapat di dalam batinmu telah mengaburi pandangan zahirmu kerana itulah kamu menyangka bahawa ketawa itu tangisan, pelepasan itu rompakan dan rampasan.
Sedarlah! Sucikanlah hatimu supaya tirai bermusibah itu hilang daripada pandanganmu dan kamu boleh melihat kebenaran. Ini kerana, adalah tidak mungkin bagi negara yang dimiliki raja yang terlalu adil, penyayang, mengutamakan rakyat, berkuasa, mementingkan peraturan dan pengasih ini dan negara yang begitu jelas memperlihatkan kesan-kesan kemajuan dan kesempurnaan sebegini menjadi seperti apa yang telah diperlihatkan oleh sangkaanmu."
Kemudian, si malang itu kembali tersedar. Dia menyesal lalu berkata:
"Ya, aku menjadi tidak waras kerana selalu mabuk. Semoga Allah meredhaimu kerana telah menyelamatkanmu daripada keadaan umpama neraka itu."
Wahai nafsuku, ketahuilah! Orang yang pertama itu ialah orang kafir atau orang fasiq yang ghafil (lalai). Pada pandangannya, dunia ini merupakan sebuah dewan ratapan umum. Semua makhluk bernyawa merupakan anak-anak yatim yang menangis dek tamparan kehilangan dan perpisahan. Haiwan dan manusia pula merupakan mereka yang tiada hala tuju yang tidak bertuan yang dibinasakan oleh cakaran ajal. Makhluk-makhluk besar seperti gunung-ganang dan lautan pula ibarat jenazah-jenazah tidak bernyawa yang mengerikan. Banyak lagi waham-waham yang amat menyakitkan, menyeksa dan dahsyat seperti ini lahir daripada kekufuran dan kesesatan, lantas menyeksanya secara maknawi.
Manakala yang seorang lagi ialah orang mukmin. Dia mengenali Allah yang Maha Pencipta dan mentasdikkan-Nya (mengakui kebe-
21. Page
naran-Nya). Pada pandangannya, dunia ini merupakan sebuah dewan zikir ar-Rahman, tempat latihan bagi manusia dan haiwan dan medan ujian bagi manusia dan jin.
Semua kematian manusia dan binatang pula merupakan suatu pelepasan. Mereka yang menamatkan tugas kehidupannya, berpindah dari alam fana ini ke alam yang secara maknawinya penuh dengan kegembiraan dan tiada huru-hara. Ini supaya, ruang dibuka kepada para petugas baru untuk datang dan bekerja.
Semua kelahiran haiwan dan manusia ialah kedatangan mereka untuk menjadi tentera, menerima senjata dan memulakan tugas. Seluruh makhluk bernyawa, masing-masing ialah tentera yang bertugas dan bergembira dan masing-masing ialah pegawai yang istiqamah dan redha.
Semua suara pula merupakan sama ada zikir dan tasbih pada permulaan tugas, atau kesyukuran dan kegembiraan kerana selesainya tugas, ataupun alunan-alunan yang kedengaran kerana kegembiraan melaksanakan tugas tersebut.
Pada pandangan mukmin itu tiap-tiap maujudat merupakan pelayanan yang mesra, petugas yang rapat dan kitab yang menawan bagi Tuannya yang Karim dan Pemiliknya yang Rahim. Banyak lagi hakikat yang latif (halus), agung, lazat dan manis seperti ini menjelma dan muncul daripada keimanannya.
Ini bermakna, keimanan membawa sebiji benih maknawi bagi pohon Tuba syurgawi. Kekufuran pula menyembunyikan sebiji benih maknawi bagi pohon Zaqqum neraka.
Ini bermakna, keselamatan dan keamanan hanya terdapat dalam Islam dan keimanan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengucapkan: الحمد لله على دين الإسلام وكمال الإيمان.