Kalimah keempat

27. Page

KALIMAH KEEMPAT

بسم الله الرحمن الرحيم

اَلصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّينِ


Solat itu tiang agama. (Al-Hadith)


Jika engkau ingin memahami dengan yakin sebagaimana dua darab dua ialah empat tentang betapa bernilai dan pentingnya solat dan betapa murah dan sedikitnya perbelanjaan untuk memperolehnya, serta betapa tidak waras dan ruginya orang yang tidak mendirikan solat, maka renung dan lihatlah kepada hikayat perumpamaan yang pendek ini:


Pada suatu masa, seorang penguasa yang agung, mengurniakan dua puluh empat keping emas setiap seorang kepada dua orang khadamnya lalu menghantar mereka untuk tinggal di sebuah ladang yang istimewa dan indah miliknya yang terletak sejauh dua bulan perjalanan. Beliau memberi arahan kepada mereka berdua:


"Gunakanlah wang itu untuk biaya perjalanan dan tiket. Belilah juga sebahagian barang yang diperlukan untuk kediaman kalian di sana. Dalam jarak sejauh satu hari, ada sebuah stesen. (Di situ) terdapat kereta, kapal, keretapi dan kapal terbang. Ia dinaiki mengikut kemampuan kewangan,"






28. Page

Selepas mendengar taklimat itu, dua orang khadam tersebut pun pergi. Salah seorang daripada mereka beruntung kerana dia hanya membelanjakan sedikit wang sehingga sampai ke stesen. Walaupun begitu, dalam perbelanjaan itu dia memperoleh suatu perniagaan yang amat baik yang akan menyenangkan hati tuannya sehingga modalnya meningkat daripada satu kepada seribu.


Manakala khadam yang seorang lagi bernasib malang. Angkara kedunguannya, sehingga sampai ke stesen (sahaja), dia telah membelanjakan dua puluh tiga keping emasnya. Dengan membelanjakannya untuk berjudi dan sebagainya, dia kehilangan emas-emas itu sehingga akhrinya hanya tinggal sekeping. Sahabatnya berkata kepadanya:


"Aduhai! Belanjakanlah wang kamu itu untuk sekeping tiket. Ini supaya kamu tidak berjalan kaki dan kelaparan dalam perjalanan yang panjang ini. Tambahan pula tuan kita adalah seorang yang pemurah. Mudah-mudahan dia akan mengasihani dan memaafkan kesilapan yang telah kamu lakukan serta memberikan kamu juga tempat dalam kapal terbang. (Mudah-mudahan) kita sampai ke tempat kediaman kita dalam masa sehari. Jika tidak, kamu terpaksa pergi dalam keadaan berlapar, berjalan kaki dan bersendirian di padang pasir yang jaraknya sejauh dua bulan."


Agaknya, jika orang itu berdegil dan tidak membelanjakan wang emasnya yang satu itu untuk sekeping tiket yang ibarat sebatang kunci khazanah, (tetapi) membelanjakannya kepada kemaksiatan demi kelazatan yang sementara, maka tidakkah orang yang paling bodoh juga mengerti betapa bodoh, rugi dan malangnya orang itu?

Justeru, wahai orang yang tidak menunaikan solat dan wahai nafsuku yang tidak menyukainya (solat)! Sesungguhnya Penguasa itu ialah Rabb dan Pencipta kita.

29. Page

Manakala dua khadam yang mengembara itu, salah seorangnya ialah orang yang beragama dan menunaikan solatnya dengan bersungguh-sungguh.


Yang seorang lagi ialah orang-orang yang lalai dan tidak bersolat.


Dua puluh empat keping emas itu ialah dua puluh empat jam usia pada setiap hari.


Ladang yang istimewa itu ialah syurga.


Stesen itu pula ialah kubur.


Perjalanan itu ialah perjalanan manusia menuju ke kubur, hari kebangkitan dan keabadian. Mereka akan menamatkan perjalanan yang panjang itu berdasarkan amalan dan kekuatan taqwa masing-masing pada tahap yang berbeza. Sebahagian ahli taqwa menamatkan satu perjalanan yang memakan masa seribu tahun dalam masa sehari seperti kilat. Sebahagiannya pula, mampu menamatkan jarak perjalanan yang memakan masa lima puluh ribu tahun dalam masa sehari seperti khayalan. Al-Quran yang Mulia mengisyaratkan hakikat ini dengan dua ayatnya.


Tiket itu pula ialah solat.Tempoh hanya satu jam adalah cukup untuk menunaikan solat lima waktu berserta wudhuk. Agaknya, setahap manakah orang yang membelanjakan dua puluh tiga jam masanya untuk kehidupan duniawi yang amat singkat ini tetapi tidak membelanjakan walaupun satu jam daripada masanya untuk kehidupan abadi yang panjang itu merugikan dan menzalimi dirinya sendiri dan melakukan amalan bertentangan dengan akal? Ini kerana jika mempertaruhkan separuh harta dalam satu perjudian nombor bertuah yang disertai seribu orang boleh diterima akal walaupun kemungkinan kemenangan hanyalah satu dalam seribu, maka tidakkah orang yang menyangka di

30. Page

rinya berakal memahami bahawa tindakannya untuk tidak membelanjakannya satu daripada dua puluh empat hartanya kepada khazanah abadi yang sembilan puluh sembilan peratus kemungkinan keuntungannya telah disahkan adalah sangat bertentangan dengan akal dan hikmah serta amat tidak masuk akal?


Walhal dalam solat terdapat kerehatan yang besar bagi roh, hati dan akal. Malah ia juga bukanlah satu perbuatan yang begitu berat untuk tubuh. Tambahan pula, dengan niat yang baik, amalan-amalan duniawi lain yang mubah bagi orang yang bersolat itu akan dikira sebagai ibadah. Dengan demikian, dia boleh menjadikan seluruh modal usianya sebagai harta di akhirat. Dia boleh mengekalkan usianya yang fana itu dari satu sudut.