Kalimah Keenam

35. Page

KALIMAH KEENAM

بِسمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

إِنَّ اللهَ اشْتَرَى مِنَ المُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ


Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka ( At-Taubah, 111)


Jika engkau ingin memahami betapa menjual jiwa dan hartamu kepada Allah, dan menjadi hamba serta askar kepada-Nya merupakan perniagaan yang menguntungkan dan pangkat yang tinggi, sila dengari hikayat perumpamaan yang pendek ini:


Pada suatu ketika, seorang Raja telah memberi seorang sebuah ladang yang di dalamnya terdapat semua benda seperti kilang, mesin, kuda dan senjata kepada dua orang rakyatnya sebagai amanah. Namun, disebabkan ketika itu peperangan yang sengit sedang melanda, maka tiada sesuatu pun yang kekal pada tempatnya. Sama ada akan menghilang kerana binasa ataupun ia akan berubah.


Kerana kasih sayang baginda yang sempurna, Raja tersebut telah menghantar utusan baginda yang paling mulia kepada dua askar itu. Dengan satu titah yang penuh kasih sayang, baginda berkata kepada mereka berdua: “Jualkanlah amanah beta yang berada di tangan kalian itu kepada beta. Biarlah beta yang menjaganya bagi pihak kalian

36. Page

supaya ia tidak hilang secara sia-sia. Tambahan pula, sebaik sahaja peperangan tamat beta akan menyerahkannya semula kepada kalian dalam keadaan yang lebih baik.

Malah seolah-olah amanah itu adalah harta kalian, beta akan membayar kalian harga yang sangat tinggi. Di samping itu, mesin dan alat-alat yang terdapat di kilang itu juga akan digunakan di tempat kerja beta atas nama beta. Malah harga serta upahnya juga akan meningkat daripada satu kepada seribu. Beta akan menyerahkan semua keuntungan itu kepada kalian. Lagipun kalian lemah dan fakir. Kalian tidak akan dapat membiayai kerja-kerja besar itu. Beta akan menanggung semua perbelanjaan dan keperluannya. Beta akan memberikan semua hasil dan keuntungan kepada kalian. Tambahan pula, beta akan membiarkannya pada kalian sehingga waktu tugas ketenteraan berakhir. Inilah lima peringkat keuntungan dalam keuntungan.


Sekiranya kalian tidak menjualkannya kepada beta, sememangnya kalian nampak bahawa tiada seorang pun mampu menjaga apa yang ada di tangannya. Seperti semua orang, ia akan terlepas daripada genggaman kalian. Malah ia akan pergi secara sia-sia serta kalian juga akan terhalang daripada harga yang tinggi itu. Di samping itu, alat-alat dan neraca-neraca yang sensitif dan berharga itu akan hilang nilainya secara keseluruhan kerana tidak memperoleh bahan-bahan mentah dan kerja-kerja yang bermutu untuk diguna pakai.


Malah kesusahan dan tanggung jawab pengurusan dan pengawasan akan ditanggung oleh kalian. Tambahan pula, kalian akan menerima hukuman kerana mengkhianati amanah. Inilah lima peringkat kerugian dalam kerugian.

Seterusnya, menjual kepada beta bermakna kalian menjadi askar beta lalu menguruskannya atas nama beta. Berbanding menjadi tawa

37. Page

nan yang hina dan tidak berdisiplin, kalian menjadi askar yang istimewa dan bebas kepada seorang Raja yang agung.”


Selepas mereka mendengar keprihatinan dan titah itu, salah seorang yang bijak daripada mereka berdua berkata: “Menjunjung perintah, saya akan menjualnya dengan penuh bangga Malah saya mengucapkan ribuan terima kasih .”


Manakala bagaikan dia akan terus kekal di ladang itu, seorang lagi yang sombong, bernafsu kefiraunan, mementingkan diri, mabuk dan tidak tahu tentang gempa dan huru-hara dunia berkata: “Tidak! Sultan itu siapa? Aku tidak akan menjualkan apa yang menjadi milikku, aku tidak akan menjejaskan keselesaanku.”


Tidak lama kemudian, orang yang pertama itu naik ke satu martabat yang sangat tinggi sehingga orang lain mencemburui keadaannya. Dia telah menerima anugerah daripada Raja dan hidup dengan bahagia dalam istana baginda yang istimewa. Manakala yang seorang lagi telah terjerumus ke dalam keadaan di mana setiap orang bukan sahaja bersimpati kepadanya malah mengatakan bahawa dia memang patut menerimanya. Ini kerana kebahagiaan dan harta miliknya telah hilang disebabkan oleh kesalahannya. Malah, dia menerima hukuman dan menanggung penderitaan.


Justeru, wahai nafsu yang sangat banyak kemahuan! Lihatlah wajah hakikat melalui teropong perumpamaan ini. Sesungguhnya Raja itu ialah Rabb dan al-Khaliq-mu yang merupakan Sultan keazalian dan keabadian.


Semua ladang, jentera, peralatan dan neraca itu pula ialah apa yang engkau miliki dalam lingkungan kehidupanmu dan tubuh badan, roh dan hatimu yang di dalam apa yang engkau miliki itu serta deria-deria 

38. Page

zahir dan batinmu seperti mata dan lidah , akal dan khayalan di dalam itu semua.


Utusan termulia itu ialah Rasul mulia Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam. Titah yang paling mantap itu pula ialah al-Quran al-Hakim yang telah mengumumkan perniagaan besar dalam perbincangan kita tadi menerusi ayat berikut:

إِنَّ اللهَ اشْتَرَى مِنَ المُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ

Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.

Medan perang yang bergelombang itu pula ialah wajah dunia beribut ini yang tidak pernah berhenti, terus berputar dan menjadi rosak dan ia memberikan fikiran berikut kepada akal setiap manusia: “Memandangkan semua benda akan terlepas dari tangan kita, akan menjadi fana lalu menghilang, agaknya tiadakah cara untuk mengubahnya kepada kebaqaan dan mengekalkannya?”


Ketika ia berkata dan berfikir begitu, tiba-tiba kedengaran suara samawi al-Quran. Ia berkata: “Ya, ada. Malah ada satu cara yang bagus dan senang dalam satu bentuk yang mempunyai lima peringkat keuntungan.”


Soalan: Apakah cara itu?


Jawapan: Menjualkan amanah itu kepada Pemilik asalnya. Sesungguhnya pada penjualan itu terdapat lima peringkat keuntungan dalam keuntungan.


Keuntungan Pertama: Harta yang fana mencapai kebaqaan. Ini kerana umur sementara yang diberikan kepada Dzat Dzul Jalal yang merupakan al-Qayyum al-Baqi dan dibelanjakan di jalan-Nya itu berubah menjadi kekal dan akan memberikan buah-buahan abadi. 

39. Page

Ketika itu minit-minit umur, kebiasaannya umpama benih dan bijian fana dan reput secara zahir, tetapi mengembangkan bunga-bunga kebahagiaan dan bertunas di Alam Baqa’. Masing-masing akan menjadi pemandangan yang bercahaya dan mendamaikan di Alam Barzakh.


Keuntungan Kedua: Diberikan harga seperti syurga.


Keuntungan Ketiga: Nilai setiap anggota dan indera akan meningkat dari satu kepada seribu.

Contoh: Akal merupakan sejenis alat. Jika engkau tidak menjualkannya kepada Allah Subhanahu wa Taala, bahkan menggunakannya untuk nafsu, ketika itu ia menjadi sejenis alat yang tercela, mengganggu dan merimaskan sehingga turun ke tahap suatu alat yang tidak bertuah dan memudaratkan yang akan membebankan kepalamu yang buntu itu dengan kesakitan masa lampau yang menyedihkan dan ketakutan masa hadapan yang menggerunkan.


Justeru, kerana inilah, untuk menyelamatkan diri daripada gangguan dan kerimasan akal, ramai orang fasiq akan melarikan diri sama ada kepada kemabukan ataupun hiburan. Sekiranya akal itu dijual kepada Pemilik Sebenar dan engkau gunakan atas nama-Nya, maka ia akan menjadi anak kunci yang begitu sakti sehingga boleh membuka segala khazanah rahmat dan perbendaharaan hikmah tidak berpenghujung yang ada di alam semesta ini. Dengannya, ia akan meningkat ke martabat pembimbing bersifat Rabbani yang mempersiapkan pemiliknya ke arah kebahagiaan abadi.


Contoh: Mata merupakan deria yang membolehkan roh menyaksikan alam ini melalui jendela tersebut. Sekiranya engkau tidak menjualkannya kepada al-Haq Subhanahu wa Taala, bahkan menggunakannya menurut kehendak nafsu dengan cara menyaksikan sesetengah

40. Page

keindahan dan pemandangan yang sementara dan tidak berterusan, ia akan menjadi khadam yang setahap bapa ayam kepada syahwat dan hawa nafsu.

Jika engkau menjualkan mata kepada as-Sani’ al-Basir (Pencipta yang Maha Melihat) dan menggunakan ia kerana-Nya dan dalam daerah keizinan-Nya, maka pada masa itu mata ini akan meningkat ke martabat peneliti kitab besar alam semesta ini, penonton mukjizat ciptaan Rabbani di alam ini dan lebah yang diberkati untuk bebunga rahmat dalam taman bebola dunia ini.


Sekiranya engkau tidak menjualkan deria rasa pada lidah kepada al-Fatir al-Hakimnya, bahkan menggunakannya demi nafsu dan atas nama perut, waktu itu ia akan turun dan jatuh ke tahap penjaga pintu untuk kandang dan kilang perut. Jika engkau menjualnya kepada ar-Razzaq al-Karim, maka kala itu deria rasa pada lidah akan naik ke darjat pemantau yang mahir bagi khazanah rahmat Ilahi dan penyelidik yang bersyukur bagi dapur-dapur qudrat Samadaniyyah.


Maka, berhati-hatilah wahai akal! Di manakah alat yang tercela dan di manakah pula anak kunci alam semesta?


Wahai mata, lihat baik-baik! Di manakah alku (bapa ayam) yang hina dan di manakah pula pengkaji perpustakaan Ilahi yang pakar?


Wahai lidah rasalah baik-baik! Di manakah penjaga pintu kandang dan pengawal kilang dan di manakah pula pemantau khazanah rahmat yang istimewa?


Jika engkau membandingkan banyak lagi alat dan anggota lain seperti semua ini, maka engkau akan memahami bahawa sesungguhnya orang mukmin sentiasa mendapat keperibadian yang layak dengan syurga dan orang kafir pula mendapat keperibadian yang sesuai dengan neraka. Adapun sebab mereka mendapat nilai yang sebegitu ialah: 

41. Page

Dengan keimanannya, orang mukmin menggunakan amanah al-Khaliq-nya atas nama dan dalam daerah keizinan-Nya, manakala orang kafir mengkhianati lalu menggunakannya atas nama nafsu amarah.


Keuntungan Keempat: Sesungguhnya insan itu lemah (sedangkan) musibahnya banyak. Dia fakir (sedangkan) keperluannya amat banyak. Dia lemah (sedangkan) bebanan hidup amat berat. Jika dia tidak bersandar kepada al-Qadir Dzul Jalal lalu tidak bertawakal kepada-Nya, tidak percaya lalu tidak menyerah kepada-Nya, nescaya sanubarinya akan kekal dalam kesengsaraan yang berterusan. Semua kesusahan, kesakitan, dan penyesalan yang tiada faedah akan melemaskannya sehingga sama ada menjadikannya mabuk ataupun binatang yang ganas.

Keuntungan Kelima: Para ahli dzauq dan kasyaf serta ahli ikhtisas dan ahli musyahadah telah bersepakat bahawa semua ibadah dan zikir anggota dan alat-alat itu dan ganjaran-ganjaran mereka yang tinggi itu akan diberikan kepadamu dalam bentuk buah-buahan syurga semasa kamu amat memerlukannya. Justeru, sekiranya kamu tidak menjalankan perniagaan yang mempunyai keuntungan dalam lima peringkat ini, selain terhalang daripada keuntungan-keuntungan tersebut kamu juga akan jatuh ke dalam lima peringkat kerugian dalam kerugian.


Kerugian Pertama: Harta dan anak-pinak yang sangat engkau kasihi, nafsu dan kehendaknya yang engkau puja, usia muda dan kehidupan yang engkau gilakan itu akan hilang, ghaib dan akan terlepas dari genggamanmu. Namun mereka akan meninggalkan dosa-dosa dan kesakitannya kepadamu lalu memikulkannya ke atas pundakmu.


Kerugian Kedua: Engkau akan menerima hukuman mengkhianati amanah. Ini kerana engkau telah menggunakan alat-alat yang paling bernilai itu pada perkara-perkara yang langsung tidak berharga lalu menzalimi dirimu.

42. Page

Kerugian Ketiga: Engkau menjatuhkan martabat semua anggota manusia yang berharga itu ke tahap yang jauh lebih rendah daripada binatang, lalu engkau memfitnah dan menzalimi hikmah Ilahi.

Kerugian Keempat: Bersama dengan kelemahan dan kefakiranmu, engkau akan memikul bebanan kehidupan yang amat berat itu ke pinggangmu yang lemah lalu engkau akan selalu meratap di bawah tamparan kehilangan dan perpisahan.


Kerugian Kelima: Engkau mengubah hadiah indah ar-Rahman seperti akal, hati, mata dan lidah yang diberikan untuk mendapat asas-asas kehidupan abadi dan keperluan-keperluan kebahagiaan ukhrawi menjadi satu bentuk yang buruk yang akan membuka pintu-pintu neraka kepadamu.

Sekarang kita akan melihat kepada penjualan. Agaknya adakah ia sesuatu yang begitu berat sehingga kebanyakan mereka melarikan diri daripada menjualnya? Tidak, sama sekali tidak! Ia langsung tidak berat!

Ini kerana, daerah halal itu adalah luas dan cukup untuk kenikmatan. Langsung tiada keperluan untuk memasuki daerah haram. Fardhu-fardhu Ilahi pula adalah ringan dan sedikit. Menjadi hamba dan tentera kepada Allah adalah satu kemuliaan yang begitu lazat sehingga amat sukar untuk ditakrifkan. Tugas pula ialah perlu berusaha dan bermula semata-mata kerana Allah seperti seorang tentera; memberi dan mengambil atas nama Allah; serta perlu bergerak dan mendapat ketenangan dalam daerah keizinan dan undang-undang Allah.


Jika bersalah perlulah beristighfar. Dan perlulah mengucap dan merayu kepada-Nya: “Ya Rabb! Ampunilah kekurangan kami, terimalah kami sebagai hamba-Mu, jadikanlah kami insan-insan yang amanah dengan amanah-Mu sehingga saat ia diambil."