Kalimah Kelapan

50. Page

KALIMAH KELAPAN


بِسْمِ اللِّٰه الرَّحْٰنِ الرَّحٖيمِ

اللُّٰه لاَ إِلٰهَ إِلاَّ هُوَ الحَيُّ الْقَيُّومُ

Allah itu tiada tuhan selain-Nya. Dialah al-Hayy al-Qayyum

(Ali Imran, 2)


إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللِّٰه الِإسْلٰمُ

Sesungguhnya ad-Din di sisi Allah ialah Islam

(Ali Imran, 19)


Jika engkau ingin memahami hakikat dunia ini dan roh insani yang ada di dalamnya serta perihal agama dan nilainya di sisi manusia, jika tiada agama yang benar bagaimana dunia akan menjadi penjara, bagaimana insan yang tidak beragama menjadi makhluk yang paling malang dan bagaimana يَا الْلَّهُ dan لَا إلِٰهَ إلِّا اللّٰه menjadi sesuatu yang membongkar misteri alam ini dan menyelamatkan roh manusia daripada kegelapan; maka renung dan dengarilah hikayat perumpamaan yang pendek ini:


Pada zaman dahulu, dua orang bersaudara bersama-sama menuju suatu pengembaraan yang panjang. Mereka berjalan sehinggalah jalan bersimpang dua. Di pangkal persimpangan itu mereka ternampak seorang lelaki yang jujur.


Mereka bertanya kepadanya: “Jalan manakah yang baik?”

51. Page

Dia pun menjawab kepada mereka: “Di jalan kanan, terdapat kewajipan mengikuti undang-undang dan peraturan. Namun, dalam kesusahan tersebut terdapat keamanan dan kebahagiaan. Di jalan kiri pula terdapat kebebasan dan kemerdekaan. Namun, dalam kebebasan itu terdapat bahaya dan penderitaan. Sekarang, terpulang kepada kalian

untuk membuat pilihan.


Selepas mendengarnya, saudara yang berakhlak mulia melafazkan: تَوَكَّلْتُ عَلَى اللِّٰه lalu pergi ke jalan kanan dan bersetuju untuk menuruti undang-undang dan peraturan. Seorang lagi saudara yang tidak berakhlak dan dungu, telah memilih jalan kiri semata-mata demi mengecap kebebasan.


Sekarang, secara khayalan, kita mengekori orang yang pergi dalam keadaan yang ringan pada zahir namun berat secara maknawi ini.


Maka orang ini merentasi lurah dan bukit lalu lama-kelamaan dia memasuki padang pasir yang tandus. Tiba-tiba dia terdengar suara yang amat menakutkan. Dia nampak bahawa seekor singa yang sangat garang keluar dari dalam belukar menerkam ke arahnya. Dia pun melarikan diri sehingga dia terjumpa sebuah perigi kering sedalam enam puluh hasta. Kerana ketakutan, dia terjun ke dalamnya. Setelah jatuh sampai ke pertengahan perigi, tangannya tercapai sebatang pokok lalu dia memautnya. Pokok yang tumbuh subur di dinding perigi itu memiliki dua batang akar. Dua ekor tikus, seekor putih seekor hitam menggerogot untuk memotong dua akar itu. Dia mendongak ke atas dan nampak bahawa singa itu menunggu di bibir perigi bagaikan seorang pengawal. Dia memandang ke bawah dan nampak bahawa seekor naga yang amat menakutkan berada di dalamnya. Naga itu telah mengangkat kepalanya menghampiri kakinya yang berada tiga puluh hasta di atas. Mulutnya seluas mulut perigi. Dia melihat ke dinding perigi.

52. Page

Dia nampak bahawa serangga-serangga bersengat dan memudaratkan mengerumuni sekitarnya. Dia memandang ke bahagian atas pokok dan melihat bahawa ia adalah sebatang pohon tin. Tetapi apa yang menakjubkan, pada tangkainya terdapat buah-buahan daripada bermacam-macam jenis pokok daripada kacang walnut sehinggalah delima.


Demikianlah, akibat tanggapannya yang lemah dan ketidakwarasannya, orang itu tidak memahami bahawa hal itu bukanlah suatu perkara biasa. Tidak mungkin perkara-perkara itu adalah kebetulan. Dalam perkara-perkara yang ajaib ini terdapat rahsia-rahsia yang aneh dan dia tidak mengerti akan kewujudan pelaku yang sangat besar.


Sekarang, walaupun hati, roh dan akalnya merintih dan menjerit secara diam-diam daripada keadaan yang menyakitkan itu, namun - bagaikan tiada apa yang berlaku - nafsu amarahnya berpura-pura tidak sedar lalu menutup telinganya daripada tangisan roh dan hatinya lantas sambil menipu diri sendiri, dia mula memakan buah-buahan pohon tersebut seolah-olah dia sedang berada di sebuah taman. Sedangkan buah-buah itu sebahagiannya adalah beracun dan memudaratkan.


Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah Taala telah berfirman: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِي . Maksudnya: “Aku memperlakukan hamba-Ku sebagaimana dia mengenali-Ku.


Demikianlah orang yang malang ini. Akibat prasangka dan ketidakwarasannya, dia mengira bahawa apa yang dilihatnya adalah perkara biasa dan hakikat itu sendiri. Begitu jugalah perlakuan yang telah, sedang dan akan dialaminya. Dia tidak mati untuk terselamat dan tidak

juga hidup (untuk mengecap nikmat) maka dengan hal yang demikian dia merasai azab.


Maka kita pun meninggalkan si malang ini dalam azab tersebut dan akan kembali semula. Ini supaya kita dapat memahami keadaan seorang lagi saudaranya.

53. Page

Maka orang yang diberkati dan bijak itu pun berjalan. Tetapi dia tidak mengalami kesusahan seperti saudaranya. Kerana dia berakhlak mulia maka dia memikirkan perkara-perkara yang baik dan menmbayangkan perkara-perkara indah. Dia menghiburkan dirinya sendiri. Malahan, dia tidak merasai kepayahan dan kesukaran seperti saudaranya. Ini kerana dia mengetahui peraturan dan mengikutinya maka dia mendapat kesenangan. Dia begerak bebas dalam keselamatan dan keamanan.


Justeru, dia terjumpa sebuah taman. Di dalamnya terdapat bunga-bunga yang cantik dan buah-buahan. Malah, kerana tidak terjaga, benda-benda yang jijik turut ditemui. Saudaranya juga telah memasuki sebuah taman yang sebegini. Tetapi, kerana sibuk memerhatikan perkara-perkara yang jijik, perutnya berasa mual. Dia terus keluar dan pergi tanpa berehat walaupun sedikit.


Orang ini pula beramal dengan kaedah ‘lihatlah kepada kebaikan semua benda’, maka dia langsung tidak melihat benda-benda yang jijik. Dia beristifadah (mengambil manfaat) dengan baik daripada perkara-perkara yang baik. Dia keluar dan pergi setelah berehat dengan baik.


Kemudian, lama-kelamaan, seperti saudaranya yang terdahulu dia juga memasuki padang pasir yang amat luas. Tiba-tiba, dia terdengar ngauman seekor singa yang menerkamnya. Dia ketakutan, tetapi tidak setakut saudaranya. Ini kerana dengan sangkaannya yang baik dan fikirannya yang elok, dia berfikir bahawa: “Padang pasir ini ada pemerintahnya dan ada kemungkinan bahawa singa itu merupakan pembantu di bawah perintahnya” lalu, dia mendapat ketenangan.


Namun begitu, dia tetap melarikan diri sehinggalah dia tersua dengan perigi tidak berair sedalam enam puluh hasta, dan terjun ke dalamnya. Seperti saudaranya, dia juga berpaut kepada pokok di ten

54. Page

gah perigi dan dia tergantung di udara. Dia melihat dua ekor binatang sedang memotong dua akar pokok itu. Apabila mendongak ke atas dia nampak singa dan apabila memandang ke bawah dia nampak seekor naga. Seperti saudaranya dia nampak suatu keadaan yang pelik. Dia juga merasa sangat takut. Tetapi seribu kali ganda lebih ringan berbanding dengan ketakutan saudaranya. Ini kerana akhlak mulianya memberinya fikiran yang elok dan fikiran yang elok menunjukkan kepadanya sudut yang baik bagi setiap sesuatu.


Justeru itu dia telah berfikir seperti berikut:


Perkara-perkara yang ajaib ini berkait antara satu sama lain. Malahan, mereka kelihatan seperti bergerak di bawah satu perintah. Jadi, terdapat satu misteri dalam semua perkara ini. Ya, semua ini berlaku di bawah arahan seorang pemerintah yang tidak kelihatan. Jadi, aku tidak keseorangan. Pemerintah yang tidak kelihatan itu sedang memandangku. Dia sedang mengujiku, dia memandu dan menjemputku ke suatu tempat untuk satu tujuan.


Daripada ketakutan yang enak dan fikiran yang elok itu terbitlah satu rasa ingin tahu: “Agaknya, siapakah yang mengujiku dan ingin memperkenalkan dirinya kepadaku lalu memanduku ke suatu tujuan melalui cara yang menakjubkan ini?


Kemudian, daripada rasa ingin mengenali ini lahirlah rasa cinta kepada pemilik misteri tersebut. Daripada cinta itu, lahirlah keinginan untuk menyingkap misteri itu. Daripada keinginan itu, lahirlah kemahuan untuk mencapai kedudukan yang baik yang dapat membuatkan pemilik misteri tersebut meredhai dan senang hati dengannya.


Kemudian dia telah memandang ke bahagian atas pokok itu dan nampak bahawa ia adalah pokok tin. Tetapi di tangkainya terdapat

55. Page

buah-buahan bagi ribuan pokok. Waktu itu, ketakutannya telah hilang sama-sekali. Ini kerana dia telah memahami dengan yakin bahawa pokok tin ini adalah satu senarai, satu intisari dan satu pameran. Barangkali pemerintah ghaib itu telah menggantungkan contoh bagi buah-buahan yang terdapat di kebun dan tamannya kepada pokok itu dengan satu misteri dan satu mukjizat dan menghias pokok itu, masing-masing sebagai isyarat kepada makanan-makanan yang telah disediakan kepada para tetamunya. Jika tidak, sebatang pokok tidak boleh mengeluarkan buah-buahan bagi ribuan pokok (yang berlainan).


Kemudian dia mula merayu sehingga anak kunci misteri itu diilhamkan kepadanya. Maka dia telah melaungkan: “Wahai Pemerintah tempat-tempat ini! Aku telah jatuh ke dalam taqdir-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dan aku khadam kepada-Mu. Aku inginkan keredhaan-Mu dan aku mencari-Mu.


Selepas rayuan itu, tiba-tiba dinding perigi terbelah lalu terbukalah pintu ke sebuah taman yang luar biasa, bersih dan indah. Bahkan, mulut naga itu berubah menjadi pintu tersebut. Singa dan naga itu berubah menjadi dua khadam dan mempersilakannya masuk ke dalam. Hatta singa itu berubah menjadi seekor kuda yang taat kepadanya.


Justeru, wahai nafsuku yang malas! Wahai sahabat khayalanku! Marilah kita bandingkan keadaan dua saudara ini. Ini supaya kita dapat melihat dan mengetahui bagaimana kebaikan membawa kebaikan dan bagaimana keburukan membawa keburukan.


Lihatlah! Pengembara jalan kiri yang malang itu menunggu bila-bila masa sahaja untuk masuk ke dalam mulut naga sambil menggigil, manakala si bertuah ini, dijemput ke satu taman yang subur berbuah dan indah berseri-seri.

56. Page

Ketika si malang itu, hatinya hancur dalam suatu kedahsyatan yang menyakitkan dan suatu ketakutan yang besar manakala si bertuah itu pula, menonton dan memerhatikan perkara-perkara yang aneh dalam iktibar yang lazat, ketakutan yang manis dan makrifat yang dicintai.


Ketika si malang itu menanggung azab dalam kesunyian, putus asa dan keseorangan; si bertuah itu pula sedang enak dalam ketenangan, harapan dan kerinduan.


Ketika si malang melihat dirinya seperti tahanan yang terdedah kepada serangan binatang-binatang ganas, si bertuah itu pula adalah tetamu yang mulia maka dia bertenang dan berseronok dengan khadam-khadam ajaib kepada Tuan Rumah Mulia di mana dia merupakan tetamunya.


Malah ketika si malang itu menyegerakan azabnya dengan memakan buah-buahan yang zahirnya lazat namun secara maknawinya beracun. Ini kerana buah-buah itu hanyalah contoh. Ada keizinan untuk merasa supaya dia meminta lalu menjadi pembeli buah-buah yang sebenar bagi contoh itu. Jika tidak, tiadalah keizinan untuk menelan seperti haiwan. Manakala si bertuah itu merasai (buah-buah tersebut) lantas memahami perkara itu. Dia menangguhkan untuk memakannya dan dengan penantian tersebut dia berasa nikmat.


Si malang itu telah menzalimi dirinya sendiri. Dengan ketiadaan basirahnya (mata hati), dia telah mengubah hakikat yang indah dan keadaan yang terang-benderang seperti siang kepada sangkaan dan neraka yang gelap dan gelita untuk dirinya sendiri. Dia tidak layak kepada simpati dan juga tidak berhak untuk mengadu tentang sesiapa pun.


Contoh: Jika seseorang memabukkan dirinya dengan arak-arak yang jijik dan mengkhayalkan dirinya berada dalam musim sejuk

57. Page

bersama binatang-binatang buas dalam keadaan lapar dan tidak berpakaian mula menjerit dan menangis kerana tidak berpuas hati dengan keseronokan dalam majlis jamuan yang enak di sebuah taman yang indah bersama teman-temannya dalam musim panas (bahkan)

melihat sahabat-sahabatnya sebagai binatang buas lantas menghina mereka itu tidak layak kepada belas kasihan dan menzalimi diri sendiri, maka begitulah juga orang yang malang tadi.


Si bertuah pula nampak hakikat. Hakikat pula adalah indah. Dengan memahami keindahan hakikat, dia menghormati kesempurnaan Pemilik Hakikat. Maka, dia layak kepada rahmat-Nya. Justeru nyatalah rahsia hukum al-Quran iaitu: “Ketahuilah bahawa keburukan itu daripada dirimu sendiri dan kebaikan itu daripada Allah.”


Jika engkau membandingkan banyak lagi perbezaan sebegini, engkau akan memahami bahawa nafsu amarah orang yang pertama tadi menyediakan untuknya sebuah neraka maknawi. Manakala niat baik, sangkaan baik, sikap baik dan fikiran baik pada yang seorang lagi menjadikannya layak mendapat ihsan dan kebahagiaan yang besar, serta kelebihan dan limpahan yang terang.


Wahai nafsuku dan wahai orang yang mendengar hikayat ini bersama nafsuku! Jika engkau tidak mahu menjadi saudara yang malang itu dan mahu menjadi saudara yang bertuah itu, dengarlah al-Quran dan patuhlah kepada hukumnya. Berpautlah kepadanya dan beramallah dengan hukum-hukumnya.


Sekiranya engkau telah memahami hakikat-hakikat dalam hikayat perumpamaan ini, maka engkau boleh melaksanakan hakikat agama, dunia, insan dan iman berpandukan kepadanya. Aku akan memberitahu yang hakikat-hakikat yang utama. Engkau keluarkanlah sendiri perinciannya.

58. Page

Maka lihatlah! Sesungguhnya dua saudara itu, satunya ialah roh orang mukmin dan hati orang yang soleh. Satu lagi ialah roh orang kafir dan hati orang yang fasiq.


Jalan kanan daripada dua jalan itu ialah jalan al-Quran dan iman. Yang kiri pula ialah jalan kederhakaan dan kekufuran.


Taman di jalan itu ialah kehidupan bermasyarakat yang sementara dalam masyarakat manusia dan ketamadunan insan yang mana perkara-perkara yang baik dan buruk, yang elok dan teruk, yang bersih dan kotor ditemui bersama-sama. Orang yang bijak ialah yang sentiasa beramal dengan kaedah: خُذْ مَا صَفَا دَعْ مَا كَدَرْ (Buang yang keruh, ambil yang jernih) lalu pergi dengan hati yang sejahtera.


Padang pasir itu ialah bumi dan dunia ini.


Singa itu ialah kematian dan ajal.


Perigi itu ialah tubuh manusia dan tempoh kehidupan.

Kedalaman enam puluh hasta itu merupakan isyarat kepada enam puluh tahun yang merupakan umur pertengahan dan umur ghalib manusia.


Pokok itu ialah tempoh umur dan bahan untuk kehidupan.


Dua ekor haiwan hitam dan putih itu ialah siang dan malam.


Naga itu ialah jalan barzakh dan bilik menunggu akhirat yang mana mulutnya ialah kubur. Tetapi bagi orang mukmin, mulut itu ialah pintu yang dibuka daripada penjara ke sebuah taman.


Serangga-serangga yang memudaratkan itu ialah musibah-musibah duniawi. Tetapi, bagi orang mukmin ia merupakan amaran Ilahi yang manis dan keprihatinan ar-Rahman agar tidak tenggelam dalam lena kelalaian.

59. Page

Buah-buahan yang terdapat pada pokok itu ialah nikmat-nikmat duniawi yang mana Dzat al-Karim al-Mutlaq telah menjadikan buah-buah itu sebagai senarai, pengingat, penyerupa serta contoh-contoh bagi nikmat Akhirat yang mempelawa para pembeli kepada buah-buahan syurga.


Berbuahnya pokok itu dengan buah yang bermacam-macam walaupun hanya sebatang merupakan isyarat kepada mohor qudrat Samadaniyyah, cop Rububiyyah Ilahiyyah dan jata kesultanan Uluhiyyah. Ini kerana ‘menjadikan semua benda daripada hanya satu benda’ iaitu,

menumbuhkan semua tumbuhan dan buah-buahan daripada tanah, malah mencipta semua haiwan hanya daripada air, serta mencipta semua anggota makhluk bernyawa daripada satu makanan yang ringkas, serta ‘menjadikan semua benda sebagai benda yang satu’ iaitu menghasilkan ciptaan-ciptaan seperti membuat seketul daging yang khusus dan menjalin secebis kulit yang ringkas untuk makhluk-makhluk bernyawa itu daripada jenis-jenis makanan yang sangat berlainan yang dimakan oleh mereka ialah satu mohor khusus, cop istimewa dan jata yang tidak boleh ditiru bagi Dzat al-Ahad as-Samad yang merupakan Sultan keazalian dan keabadian. Ya, menjadikan satu benda semua benda dan semua benda satu benda merupakan lambang dan tanda yang khusus kepada al-Khaliq setiap benda dan khas bagi al-Qadiru Kulli Syai’.


Misteri itu ialah rahsia hikmah penciptaan yang dibuka dengan rahsia iman.


Kunci itu ialah: لَٓا إِلٰهَ اِلَّا اللُّٰه ,يَا اللهُ dan اللَّهُ لَا إِلٰهَ اِلَّا هُوَ الحَيُّ الْقَيُّومُ. Perubahan mulut naga itu kepada pintu sebuah taman ialah isyarat bahawa walaupun bagi orang yang sesat dan melampaui batas - dalam

60. Page

kesunyian dan kelupaan - kubur menjadi pintu yang dibuka ke satu kubur yang susah seperti penjara dan sempit seperti perut seekor naga Namun, bagi ahli al-Quran dan iman ia merupakan pintu yang dibuka dari penjara dunia menuju ke bustan (taman) abadi, dari medan ujian ke Raudhah Jannah dan daripada kepayahan hidup kepada rahmat ar-Rahman.


Perubahan singa ganas itu kepada khadam yang jinak dan kuda yang berkhidmat untuknya juga adalah isyarat bahawa bagi orang-orang yang sesat, maut adalah perpisahan abadi yang menyakitkan daripada semua kekasih dan pengusiran dari syurga duniawi mereka yang menipu, serta penghumbanan dan pengurungan ke dalam penjara kubur dalam kesunyian dan keseorangan. Namun bagi ahli hidayah dan ahli al-Quran, maut merupakan wasilah untuk berjumpa semula dengan sahabat-sahabat lama dan insan-insan tersayang yang telah pergi ke alam lain dan wasitah untuk masuk ke tanah air sebenar dan ke maqam kebahagiaan abadi. Ia juga merupakan jemputan dari penjara dunia ke taman syurga; penantian giliran untuk mendapatkan ganjaran sebagai balasan perkhidmatan mereka sendiri daripada kurniaan ar-Rahmanur Rahim; pelepasan daripada kesusahan tugas kehidupan serta penamat daripada latihan dan taklimat untuk ubudiyyah dan ujian.


Kesimpulan: Barang siapa menjadikan kehidupan yang fana sebagai matlamat utama, walaupun secara zahir dia berada di dalam syurga, namun secara maknawinya dia di dalam neraka.


Barang siapa benar-benar menuju ke arah kehidupan yang baqa’, dia akan mendapat ‘Sa‘adah ad-Darain’ (kebahagiaan dunia dan akhirat).


Seteruk dan sesusah manapun dunianya, namun oleh sebab dia me

61. Page

lihat dunianya sebagai dewan menunggu syurga, dia akan tetap melihatnya indah, akan terus tabah dan akan sentiasa bersyukur dalam kesabaran.


اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ وَالسَّلاَمَةِ وَالقُرْآنِ وَالِإيمَنِ آمين


اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ بِعَدَدِ جَمِيعِ

الحُرُوفِ المُتَشَكَّلِةِ فِي جَمِيعِ الكَلِمَاتِ المُتَمَثِّلَةِ بِإِذْنِ الرَّحَْمَنِ فِي

مَرَايَا تَمَوُّجَاتِ الهَوَاءِ عِنْدَ قِرَاءَةِ كُلِّ كَلِمَةٍ مِنْ القُرْآنِ مِنْ كُلِّ

قَارِئٍ مِنْ أَوَّلِ النُّزُولِ إِلَى آخِرِ الزَّمَانِ، وَارْحَمْنَا وَوَالِدَينَا وَارْحَمِ

المُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِعَدَدِهَا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ آمِين

وَالحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ