Kalimah kelima

31. Page

KALIMAH KELIMA

بِسمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الَّرَحِيمِ

إِنَّ اللهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ

"Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (An-Nahl, 128)


Jika engkau ingin melihat betapa mendirikan solat dan tidak melakukan dosa-dosa besar merupakan satu tugas keinsanan yang sangat hakiki dan satu natijah penciptaan manusia yang sangat fitri dan munasabah, maka renung dan dengarlah hikayat perumpamaan yang pendek ini:


Dalam satu kempen peperangan, terdapat dua orang askar bersama-sama dalam satu pasukan tentera; salah seorangnya terlatih dan tekun dalam tugas manakala yang seorang lagi tidak berpengalaman dan mengikut nafsu. Si askar yang tekun memberikan perhatian kepada latihan dan perjuangan. Dia langsung tidak memikirkan tentang rezeki dan makanan yang telah ditentukan. Ini kerana, dia memahami bahawa tugas menyaranya, memberi peralatannya, merawatnya jika sakit hatta menyuapkan makanan sekiranya perlu adalah tanggungjawab kerajaan. Tugas utamanya ialah berlatih dan berjuang. Namun, dia turut melakukan sesetengah kerja penyediaan makanan dan peralatan. Dia memasak, serta mencuci dan mengangkut pinggan mang


32. Page

kuk. Jika ditanya: “Apa yang kamu lakukan?” Dia menjawab: “Aku menjalankan tugas kerahan kerajaan” dan tidak berkata: “Aku bekerja untuk menyara hidup sendiri.”


Manakala si askar seorang lagi yang hanya memikirkan perut dan tidak berpengalaman, langsung tidak memberikan perhatian kepada latihan dan peperangan. Dia menyatakan: “Itu tugas kerajaan. Apa aku peduli?” Dia sentiasa memikirkan nafkahnya lalu mengejarnya, meninggalkan pasukan, pergi ke pasar dan membeli-belah.


Pada suatu hari, rakannya yang terlatih itu berkata kepadanya:

“Saudara, tugas utamamu ialah berlatih dan berperang. Kerana itulah kamu telah dibawa ke sini. Yakinlah kepada Sultan kerana dia tidak akan membiarkan kamu kelaparan. Itu merupakan tanggungjawabnya. Tambahan pula, kamu lemah dan fakir. Kamu tidak boleh mengarahkan orang lain menyaramu di setiap tempat. Lebih-lebih lagi sekarang ini adalah waktu mujahadah dan kempen peperangan. Malah mereka akan menganggapmu sebagai penderhaka lalu memberi hukuman.


Ya, dua tugas kelihatan di hadapan kita. Satunya ialah tugas raja iaitu menyara kita. Justeru kadang-kadang kita melakukan tugas kerahannya. Satu lagi ialah tanggung jawab kita iaitu berlatih dan berperang. Raja membantu dengan pelbagai kemudahan.”


Agaknya, sekiranya dia tidak mendengar nasihat pejuang yang terlatih tersebut engkau juga memahami betapa bahayanya keadaan si askar yang dungu itu.


Justeru wahai nafsuku yang malas! Medan perang yang bergelombang itu ialah kehidupan dunia yang tidak menentu ini.


Tentera yang dibahagikan kepada batalion-batalion itu pula ialah masyarakat manusia.

33. Page

Batalion itu ialah jemaah Islam di kurun ini.


Dua orang askar itu pula, seorangnya ialah si Muslim bertaqwa yang mengetahui dan mengamalkan fardhu-fardhu agamanya, bermujahadah melawan nafsu dan syaitan demi meninggalkan dosa-dosa besar dan tidak melakukan dosa-dosa kecil. Seorang lagi ialah si fasiq rugi yang hanyut dalam urusan sara hidup sehingga tergamak menyalahkan ar-Razzaq al-Haqiqi (Pemberi Rezeki Sebenar) lantas meninggalkan fardhu-fardhu dan melakukan dosa-dosa yang ditempuhinya di jalan pencarian rezeki.


Latihan-latihan dan taklimat arahan itu pula ialah ibadat yang pada permulaannya ialah solat.


Peperangan itu ialah mujahadah melawan hawa nafsu dan syaitan jin dan manusia lalu menyelamatkan hati dan roh daripada dosa-dosa, akhlak yang hina dan kebinasaan abadi.


Dua tugas itu pula: Yang pertama, memberi kehidupan lalu menyara hidup. Yang satu lagi, menyembah dan merayu kepada yang telah memberi kehidupan dan menyara hidup iaitu bertawakkal lalu meyakini-Nya.


Ya, sesiapa sahaja yang telah memberi dan mencipta kehidupan yang merupakan mukjizat kesenian as-Samad dan keluarbiasaan hikmah Rabbaniyah yang paling terang, sudah tentu Dia jugalah yang akan menyara dan meneruskan usia kehidupan itu dengan rezeki. Tidak mungkin selain-Nya.


Adakah kamu inginkan bukti? Binatang yang paling lemah dan bodoh seperti ulat-ulat buah dan ikan-ikan diberi makan dalam keadaan yang paling baik. Makhluk yang paling lemah dan rapuh seperti bayi dan anak-anak haiwan memakan rezeki yang paling baik. Ya, untuk memahami bahawa wasilah mendapat rezeki yang halal itu bukanlah dengan kekuasaan dan pilihan bahkan dengan kelemahan dan kedaifan, 

34. Page

maka membandingkan antara ikan dan musang, antara anak-anak kecil dan binatang buas dan antara pokok dan haiwan adalah mencukupi.


Maknanya, sesiapa yang meninggalkan solat demi masalah sara hidup menyerupai askar yang meninggalkan latihan dan bentengnya lalu mengemis di pasar, tetapi pergi sendiri mencari rezeki yang telah ditentukan untuknya daripada dapur rahmat ar-Razzaq al-Karim supaya tidak menyusahkan orang lain selepas menunaikan solat adalah usaha yang baik, kewibawaan dan juga merupakan suatu ibadah. Malah, fitrah manusia dan peralatan maknawinya juga menunjukkan bahawa dia dicipta untuk beribadah.


Ini kerana dari segi amalan dan keupayaan manusia yang diperlukan untuk kehidupan duniawinya tidak akan mencapai tahap burung pipit yang paling lemah. Sebaliknya manusia dengan ilmu dan iftiqar (menyatakan kefakiran) yang diperlukan oleh kehidupan maknawi dan ukhrawinya dari segi ibadah dan tadharru’ (ketundukan) adalah ibarat Sultan dan panglima tertinggi segala haiwan.


Maknanya, wahai nafsuku! Jika engkau menjadikan kehidupan duniawi sebagai matlamat hidup dan sentiasa berusaha untuknya, seolah-olah engkau dikira sebagai seorang askar kepada burung pipit yang paling rendah. Sebaliknya, jika engkau menjadikan kehidupan ukhrawi sebagai matlamat dan menjadikan kehidupan ini juga sebagai wasilah dan kebun untuknya dan jika engkau berusaha berdasarkannya, ketika itu di dunia ini engkau ibarat panglima kepada segala haiwan, hamba Allah yang manja dan banyak merayu serta tetamu-Nya yang dimuliakan dan dihormati.


Maka inilah dua jalan untukmu. Engkau boleh memilih mana satu yang engkau mahu. Pohonlah hidayah dan taufiq daripada Arham ar-Rahimin.