NAVIGATION
22. Page
KALIMAH KETIGA
بسم الله الرحمن الرحيم
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا
Wahai manusia! Beribadahlah!
(Al-Baqarah, 21)
Jika engkau ingin memahami betapa ibadah itu suatu perniagaan dan kebahagiaan yang sangat besar, manakala kefasiqan dan kemaksiatan itu suatu kerugian dan kebinasaan yang amat besar, maka renung dan dengarlah hikayat perumpamaan yang pendek ini:
Pada suatu masa, dua orang askar menerima arahan untuk pergi ke sebuah bandar yang jauh. Mereka pergi bersama sehinggalah jalan terbahagi kepada dua. Di situ terdapat seorang. Dia berkata kepada mereka:
"Jalan yang di sebelah kanan ini, di samping tidak berbahaya, pengembara yang lalu di situ, sembilan persepuluhnya menikmati keuntungan dan kerehatan yang besar. Manakala jalan di sebelah kiri pula, di samping tiada manfaatnya, dalam sepuluh pengembara yang berjalan di sini, sembilan daripadanya mendapat kemudaratan. Di samping itu, ukuran pendek dan panjang kedua-duanya adalah sama. Namun, hanya terdapat satu perbezaan iaitu, pengembara jalan sebelah kiri yang tiada peraturan dan penguatkuasaan itu pergi tanpa beg dan senjata. Dia merasai suatu keringanan lahiriah dan kerehatan yang menipu.
23. Page
Manakala pengembara jalan sebelah kanan yang berada di bawah peraturan ketenteraan, terpaksa membawa beg seberat empat kati yang dipenuhi makanan asasi dan senjata canggih milik kerajaan seberat dua kali yang mampu mengalahkan dan menewaskan semua musuh."
Selepas kedua-dua askar itu mendengar kata-kata si petunjuk jalan itu, si askar yang bertuah pergi ke sebelah kanan. Dia memikul beban seberat satu pikul di bahu dan belakangnya. Biarpun begitu, hati dan rohnya terselamat daripada ribuan pikul bebanan rasa terhutang budi dan ketakutan.
Manakala si askar yang malang yang seorang lagi meninggalkan tugas ketenteraan. Dia tidak mahu mengikut peraturan. Dia pergi ke sebelah kiri. Tubuhnya terselamat daripada satu pikul beban tetapi hatinya dihenyak-henyak di bawah ribuan pikul bebanan rasa terhutang budi dan rohnya dihenyak-henyak di bawah rasa ketakutan yang tidak berkesudahan. Di samping berjalan dalam keadaan mengemis daripada semua orang, dia turut menggigil ketakutan daripada setiap benda dan semua peristiwa. Akhirnya dia sampai ke tempat yang dimaksudkan. Di sana dia dihukum sebagai penderhaka dan perlarian.
Manakala si askar yang menyukai peraturan ketenteraan, menjaga beg dan senjatanya yang pergi ke sebelah kanan itu berjalan dengan hati dan sanubari yang tenang tanpa rasa takut dan terhutang budi kepada sesiapa. Akhirnya dia sampai ke bandar yang dimaksudkan itu. Di sana, dia mendengar ganjaran yang setimpal dengan sikapnya sebagai seorang askar bermaruah yang melaksanakan tugasnya dengan baik.
Justeru wahai nafsu yang derhaka! Ketahuilah bahawa dua orang pengembara itu ialah insan-insan yang seorangnya mentaati undang-undang Ilahi dan seorangnya lagi menderhaka dan mengikut hawa nafsunya.
24. Page
Jalan tersebut ialah jalan kehidupan yang datang dari alam roh lalu melintasi kubur menuju ke Akhirat.
Beg dan senjata itu pula ialah ibadat dan ketaqwaan. Sebenarnya ibadat mempunyai suatu kebenaran yang bersifat luaran. Tetapi pada maknanya terdapat kerehatan dan keringanan yang tidak dapat ditakrifkan.
Ini kerana, dalam solatnya, orang yang beribadat melafazkan أشهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ, iaitu tidak ada Al-Khaliq (Maha Pencipta) dan Ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki) selain-Nya. Manfaatan dan mudaratnya itu adalah di tangan-Nya. Dia bukan sahaja Al-Hakim (Maha Bijaksana), tidak pernah membuat perkara yang sia-sia malah Dia juga Ar-Rahim (Maha Penyayang) yang ihsan dan rahmat-Nya adalah melimpah ruah. Oleh sebab dia beriktikad begitu, maka dia menjumpai pintu khazanah rahmat pada setiap sesuatu lalu mengetuknya dengan doa.
Malah orang yang beribadat melihat semua benda patuh kepada perintah Rabbnya dan bernaung kepada Rabbnya. Dia bersandar dengan tawakkal lalu berlindung kepada-Nya menghadapi setiap musibah. Keimanannya menganugerahinya suatu keamanan yang sempurna.
Ya, sebagaimana sumber keberanian ialah keimanan dan pengabdian, itulah juga sumber setiap kebaikan yang hakiki. Sebagaimana sumber ketakutan ialah kesesatan, itulah juga sumber setiap keburukan.
Ya, bagi 'abid yang hatinya benar-benar bercahaya, seandainya dunia ini menjadi bom lalu meletup, maka berkemungkinan ia tidak akan menakutkannya. Bahkan, dia akan menonton suatu qudrat Samadaniyyah (dinisbahkan kepada Nama Allah as-Samad) yang luar biasa dengan suatu ketakjuban yang lazat.
25. Page
Manakala, ahli falsafah fasiq yang masyhur yang buta hati namun dikatakan akalnya bercahaya pula, jika dia nampak bintang berekor di langit, dia menggigil di bumi. Dia berkata: "Entah-entah si bintang dungu itu akan menghentam bumi," lantas terjerumus ke dalam prasangka. (Pernah pada suatu masa, disebabkan bintang yang sebegini, penduduk Amerika menggigil (ketakutan). Kebanyakan mereka tidak bermalam dalam rumah).
Ya, walaupun insan berhajat kepada bermacam-macam perkara yang tiada batasan, namun modalnya bagaikan tiada. Malah, walaupun dia terdedah kepada musibah yang tidak berkesudahan, namun keupayaannya bagaikan tiada. Seolah-olah, daerah modal dan keupayaannya hanyalah sekadar apa yang mampu dicapai oleh tangannya.
Namun daerah segala cita-cita, kehendak, kesakitan dan balanya pula seluas dan sejauh apa yang mampu dijangkau oleh mata dan khayalannya. Semua orang yang tidak buta secara keseluruhan mampu melihat dan memahami betapa ibadat, tawakkal, tauhid dan penyerahan, merupakan suatu keuntungan, kebahagiaan dan nikmat yang amat besar kepada roh manusia yang lemah, daif, fakir dan berhajat setahap ini.
Sudah dimaklumi bahawa jalan yang tiada kemudaratan akan diutamakan ke atas jalan yang berbahaya walaupun terdapat satu daripada sepuluh kemungkinan. Walhal, jalan ibadat yang menjadi pokok perbincangan kita berserta sifatnya yang tidak bermudarat ini, (pada nisbah sembilan daripada sepuluh kemungkinannya), mempunyai suatu khazanah kebahagiaan yang abadi.
Manakala jalan kefasiqan dan kemaksiatan, - sehingga telah diakui oleh seorang fasiq - walaupun tidak bermanfaat, sememangnya telah
26. Page
sabit dengan penyaksian ahli ikhtisas dan musyahadah (golongan yang pakar) yang sangat ramai pada tahap ijma' dan tawatur bahawa pada nisbah sembilan daripada sepuluh kemungkinannya mengandungi kebinasaan melalui penderitaan yang abadi serta adalah pasti dengan perkhabaran daripada ahli dzauq dan kasyaf.
Kesimpulan: Seperti akhirat, kebahagiaan dunia juga adalah pada ibadat dan menjadi tentera kepada Allah. Maka, kita hendaklah sentiasa mengucapkan الحَمْدُ لِلَهِ عَلَى الطَاعَةِ والتَوفِيقِ dan mensyukuri keislaman kita.