Kalimah Ketujuh

43. Page

KALIMAH KETUJUH


Jika engkau ingin memahami betapa kalimah أَمَنْتُ بِاللَهِ dan وَبِاليَوْمِ الأَخِرِ merupakan dua mantera perungkai kesulitan yang amat berharga yang membuka misteri terkunci alam ini dan membuka pintu kebahagiaan untuk roh manusia, betapa tawakkal dan berlindung kepada al-Khaliq-nya dengan kesabaran dan permintaan serta doa daripada ar-Razzaq-nya dengan kesyukuran merupakan dua ubat mujarab seperti penawar yang amat bermanfaat, serta betapa mendengar al-Quran, mengikuti hukumnya, mendirikan solat dan meninggalkan dosa-dosa besar merupakan sekeping tiket, satu bekalan akhirat dan satu cahaya kubur yang amat penting, bernilai dan terang dalam perjalanan abadi ini, maka renungi dan dengarlah hikayat perumpamaan yang pendek ini:


Pada suatu masa, di medan peperangan dan ujian, ketika untung dan rugi bergantian, seorang tentera telah terjerumus ke dalam satu keadaan yang amat dahsyat. Ia seperti berikut:


Dia terluka dengan dua luka parah yang dalam di sebelah kanan dan kirinya. Di belakangnya, seekor singa yang besar berdiri bagaikan menunggu untuk menerkamnya. Di hadapan matanya, terpacak tiang tali gantung yang menggantung dan menghapuskan semua insan kesayangannya dan (tali gantung itu) turut menantinya. Malah, dalam keadaannya yang sebegini, dia turut mempunyai suatu perjalanan yang panjang dan dia dikerah pergi.

44. Page

Dalam kedahsyatan sebegitu, sedang si buntu itu berfikir dalam keadaan berputus asa, muncul seseorang yang nurani dan suka berbuat baik seperti Nabi Khidhir di sebelah kanannya. Beliau berkata kepadanya:


Jangan berputus asa, aku akan memberi dan mengajarkanmu dua mantera. Kalau kamu menggunakannya dengan baik, singa itu akan menjadi seekor kuda yang berkhidmat kepadamu. Malah tali gantung itu akan bertukar menjadi buaian yang baik untuk kamu berseronok dan bersenang-senang. Aku juga akan memberikanmu dua ubat. Kalau kamu menggunakannya dengan baik, dua lukamu yang busuk itu akan berubah menjadi dua kuntum bunga indah dan harum yang dinamakan Mawar Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam. Malah aku juga akan memberimu satu tiket. Dengannya, bagaikan terbang, kamu dapat menghabiskan jarak setahun perjalanan dalam masa satu hari. Justeru, jika kamu tidak percaya, lakukanlah sedikit percubaan supaya kamu mengetahui bahawa aku adalah benar.


(Kemudian) dia benar-benar telah membuat sedikit percubaan. Dia mengakui kebenarannya.”


Ya, aku iaitu Said yang buntu ini juga membenarkan perkara ini. Ini kerana aku telah melakukan sedikit percubaan dan mendapatinya amat benar.


Selepas itu, tiba-tiba dia nampak bahawa seseorang yang penuh muslihat, mabuk dan penipu seperti syaitan datang dari sebelah kirinya bersama perhiasan yang banyak, gambar-gambar yang cantik, fantasi-fantasi dan minuman yang memabukkan. Dia berdiri di hadapannya.


Dia telah berkata kepadanya: “Wahai sahabat! Mari, mari sama-sama kita mabuk dan berseronok. Mari kita tengok gambar-gambar gadis

45. Page

yang cantik ini. Mari kita dengar lagu-lagu yang merdu ini. Mari kita makan makanan-makanan yang enak ini.”


Soalan: Hah, hah! Apakah yang kamu baca secara diam-diam di mulutmu itu?


Jawapan: Satu mantera.

Tinggalkanlah kerja yang tidak mungkin difahami itu. Jangan kita rosakkan keseronokan kita sekarang ini.”


Soalan: Hah! Apakah yang berada di tanganmu itu?


Jawapan: Satu ubat.

Buanglah ubat itu! Engkau sihat. Apa masalahmu? (Sekarang) waktu bertepuk tangan.


Soalan: Hah! Apakah kertas yang ada lima tanda itu?


Jawapan: Sekeping tiket dan surat catuan makanan.

Koyakkan itu semua! Di musim bunga yang indah ini, mengapa pula kita perlu bermusafir?” ujarnya lagi. Dia berusaha untuk meyakinkannya dengan setiap muslihat. Hinggalah si buntu itu sedikit cenderung kepadanya.


Ya, insan sering terperdaya. (Aku juga telah terperdaya dengan seorang yang banyak tipu helah sebegitu.) Tiba-tiba satu suara seperti guruh bergema dari sebelah kanan dan berkata:


Jangan terperdaya! Katakanlah kepada penipu itu, sekiranya engkau mempunyai dan menemukan suatu cara untuk membunuh singa yang ada di belakangku, mengangkat tiang tali gantung yang berada di hadapanku, merawat dua luka yang ada di kanan dan kiriku dan menghalang perjalanan yang terbentang di hadapanku, ayuh lakukan dan tunjukkan supaya kita dapat lihat. Kemudian katakanlah, mari kita berseronok.

46. Page

Jika tidak, diamlah wahai si bingung supaya dzat samawi seperti Nabi Khidhir ini dapat mengatakan apa yang telah dikatakannya.


Justeru, wahai nafsuku yang pernah tertawa ketika muda dan kini menangisi tawanya itu. Ketahuilah! Askar yang kebuntuan itu ialah engkau dan manusia. Singa itu pula ialah ajal. Tali gantung itu pula ialah kehilangan dan perpisahan di mana setiap sahabat mengucapkan selamat tinggal lalu ghaib dalam kitaran siang dan malam.


Dua luka itu pula, satunya ialah ‘kelemahan insan’ yang mengganggu dan tidak berbatas, manakala yang satu lagi ialah ‘kefakiran insan’ yang sangat menyakitkan dan tidak berpenghujung. Pengerahan dan perjalanan itu pula ialah satu kembara ujian yang panjang yang merentasi alam roh, alam rahim ibu, zaman kanak-kanak, masa tua, dunia, kubur, Barzakh, Mahsyar dan Titian Sirat.


Adapun dua mantera itu ialah keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Ya, kematian yang ditempuhi dengan mantera suci ini berubah menjadi seekor kuda dan Buraq yang patuh yang membawa insan-insan mukmin dari penjara dunia ke taman-taman syurga dan ke Hadrat ar-Rahman. Kerana itulah, insan-insan kamil yang memahami hakikat kematian ini mencintai kematian. Bahkan sebelum kematian tiba lagi mereka telah memintanya. Malah, dengan mantera keimanan itu, kehilangan dan perpisahan, kematian dan kewafatan serta peredaran masa yang merupakan tali gantung berubah menjadi wasilah untuk menonton dan menatap ukiran mukjizat, keluarbiasaan qudrat dan penjelmaan rahmat as-Sani’ Dzul Jalal yang segar-bugar, berwarna-warni dan beraneka macam dengan kelazatan yang sempurna.


Ya, perubahan dan pembaharuan cermin-cermin yang menunjukkan warna-warna yang terdapat pada cahaya matahari, dan penukaran

47. Page

tirai-tirai panggung wayang, membentuk pemandangan yang lebih menarik dan indah.


Adapun dua ubat itu, satunya ialah tawakal dengan kesabaran. Iaitu bersandar kepada qudrat al-Khaliq dan bergantung kepada hikmah-Nya. Benarkah begitu?


Ya, ketakutan bagaimanakah yang ada pada orang yang bersandar dengan surat akuan kelemahan kepada Sultan alam buana yang memiliki perintah كُنْ فَيَكُونُ . Ini kerana, ketika menghadapi musibah yang paling dahsyat, dia berkata إنَِّ لِّٰلَهِ وَإنَِّ إلَِيْهِ رٰجِعُونَ lalu bergantung kepada Rabb ar-Rahim-nya dengan ketenangan hati. Ya, al-Arif Billah merasai kelazatan daripada kelemahan dan makhafatullah (rasa takut kepada Allah).


Ya, sesungguhnya dalam ketakutan terdapat kelazatan. Sekiranya seorang kanak-kanak berumur satu tahun boleh berfikir dan ditanya kepadanya: “Apakah keadaan yang paling lazat dan manis bagimu?”


Pasti dia akan berkata: “Keadaan ketika aku tetap berlindung dalam dakapan ibuku yang pengasih setelah memahami kelemahan dan kedaifan diriku sendiri kerana takut akan tamparannya yang manis.”


Sedangkan kasih sayang semua ibu hanyalah satu kilauan tajalli rahmat. Kerana itulah insan-insan kamil menemui kelazatan yang begitu nikmat dalam kelemahan dan rasa takut kepada Allah sehingga mereka secara tegas menghindarkan diri daripada keupayaan dan kekuatan sendiri lalu berlindung kepada Allah dengan kelemahan. Mereka menjadikan kelemahan dan rasa takut sebagai pemberi syafaat kepada diri mereka sendiri.


Ubat yang satu lagi ialah meminta dan berdoa dengan rasa syukur dan qana’ah serta pergantungan kepada rahmat ar-Razzaq ar-Rahim. Benarkah begitu?

48. Page

Ya, bagaimanakah kefakiran dan keperluan boleh menjadi sesuatu yang menyakitkan dan berat kepada tetamu al-Jawwad al-Karim yang menjadikan seluruh muka bumi sebagai satu hidangan nikmat, musim bunga sebagai jambangan bunga dan meletakkannya di tepi hidangan tersebut serta menaburkan bunga-bunga itu ke atasnya?


Bahkan kefakiran dan keperluan tetamu itu berubah menjadi satu selera yang menarik. Dia berusaha menambahkan kefakirannya sepertimana dia menambahkan seleranya. Kerana itulah insan-insan kamil berbangga dengan kefakiran. (Awas, jangan sesekali tersalah faham!

Yang dimaksudkan ialah merasai kefakiran di hadapan Allah lalu merayu kepada-Nya, bukannya menunjukkan kefakiran kepada orang ramai dan menjadi seperti pengemis).


Adapun tiket dan surat akuan itu ialah menunaikan fardhu yang paling utamanya ialah solat serta meninggalkan dosa-dosa besar. Benarkah begitu?


Ya, dengan kesepakatan semua ahli ikhtisas dan musyahadah serta ahli dzauq dan kasyaf; sesungguhnya bekalan dan simpanan, cahaya dan Buraq di jalan keabadian yang panjang dan gelap itu hanya dapat diperoleh dengan menjunjung perintah al-Quran dan menjauhi larangannya.


Jika tidak, di jalan itu, sains dan falsafah, seni dan hikmah langsung tidak bernilai walaupun satu sen. Cahaya-cahaya semua itu hanyalah sekadar ke pintu kubur.


Justeru wahai nafsuku yang malas! Sekiranya engkau mempunyai akal dan sekiranya ia belum rosak, engkau akan memahami bahawa mendirikan solat lima waktu dan meninggalkan tujuh dosa besar adalah amat sedikit, merehatkan dan ringan. Namun natijah, buah dan faedahnya adalah amat banyak, penting dan besar.


Engkau boleh berkata kepada syaitan dan orang yang mendorongmu kepada kefasiqan dan kejahatan itu: “Kalaulah ada cara untuk

49. Page

membunuh kematian dan menghapuskan kelenyapan daripada dunia, menghilangkan kelemahan dan kefakiran daripada insan lalu menutup pintu kubur, silalah beritahu! Kami mendengar.


Jika tidak, diam! Al-Quran sedang dibaca di dalam masjid besar alam semesta. Mari kita mendengarnya. Marilah kita mencahayakan diri kita dengan nur itu. Marilah kita beramal dengan hidayahnya dan menjadikannya wirid lidah kita.”


Ya, sesungguhnya al-Quran itulah Kalam (kata-kata) dan kepadanyalah dikatakan sebagai Kalam. Al-Quranlah yang benar, datang daripada yang Maha Benar lalu menyatakan kebenaran dan memperlihatkan kebenaran serta menyebarkan hikmah yang bercahaya.


اللَّهُمَّ نَوِّرْ قُلُوبَنَا بِنُورِ الإِيمَانِ وَالقُرْانِ، اللَّهُمَّ أَغْنِنَا بِالإِفْتِقَارِ إِلَيكَ

وَلَا تُفْقِرْنَا بِالإِسْتِغْنَاءِ عَنْكَ، تَبَرَّأْنَا إِلَيكَ مِنْ حَوْلِنَا وَقُوَّتِنَا، وَالتَجَأْنَا

إِلَى حَوْلِكَ وَقُوَّتِكَ، فَاجْعَلْنَا مِنَ المُتَوَكِّلِينَ عَلَيكَ، وَلَا تَكِلْنَا إِلَى

أَنْفُسِنَا، وَاحْفَظْنَا بِحِفْظِكَ وَارْحَمْنَا وَارْحَمِ المُؤْمِنِينَ والمُؤْمِنَاتِ


وَصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَنَبِيِّكَ وَصَفِيِّكَ وَخَلِيلِكَ، وَجَمَالِ

مُلْكِكَ وَمَلِيكِ صُنْعِكَ، وَعَيْنِ عِنَايَتِكَ وَشَمْسِ هِدَايَتِكَ، وَلِسَانِ حُجَّتِكَ

وَمِثَالِ رَحْمَتِكَ، وَنُورِ خَلْقِكَ وَشَرَفِ مَوجُودَاتِكَ، وَسِرَاجِ وَحْدَتِكَ فِي

كَثْرَةِ مَخْلُوقَاتِكَ، وَكَاشِفِ طَلْسَمِ كَائِنَاتِكَ وَدَلَاَّلِ سَلْطَنَتِهِ رُبُوبِيَّتِكَ

وَمُبَلِّغِ مَرْضِيَاتِكَ وَمُعَرِّفِ كُنُوزِ أَسْمَائِكَ، وَمُعَلِّمِ عِبَادَتِكَ وَتَرْجَمَانِ

اَيَاتِكَ، وَمِرَاةِ جَمَالِ رُبُوبِيَّتِكَ وَمَدَارِ شُهُودِكَ وِإِشْهَادِكَ، وَحَبِيبِكَ

وَرَسُولِكَ الَّذِي أَرْسَلْتَهُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ، وَعَلَى الِهِ وَصًحْبِهِ أَجْمَعِينَ

وَعَلَى إِخْوَانِهِ مِنَ النَّبِيِيِّنَ وَالمُرْسَلِينَ، وَعَلَى مَلَائِكَتِكَ المُقَرَّبِينَ

وَعَلَى عِبَادِكَ الصًّالِحينَ. آمِين