Kalimah Pertama

12. Page

بسم الله الرحمن الرحيم

وبه نستعين

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على

سيدنا محمد وعلى اله وصحبه أجمعين


Wahai Saudara! Engkau telah meminta beberapa nasihat daripadaku. Oleh sebab engkau adalah seorang askar, maka dengarlah lapan cerita pendek melalui kias ibarat ketenteraan berserta beberapa hakikat bersama nafsuku. Ini kerana, aku melihat nafsuku lebih berhajat kepada nasihat berbanding dengan semua orang lain.


Pada suatu masa dahulu, aku pernah berkata kepada nafsuku secara sedikit panjang lebar mengenai lapan kalimah yang telah aku manfaatkan daripada lapan ayat al-Quran. Sekarang aku akan berkata kepada nafsuku secara ringkas dan dengan bahasa awam. Sesiapa yang mahu marilah dengar bersama-sama.

13. Page

KALIMAH PERTAMA


Bismillah (بسم الله) ialah permulaan setiap kebaikan. Kami juga bermula dengannya pada permulaan. Ketahuilah wahai nafsuku! Sebagaimana kalimah yang diberkati ini menjadi syiar Islam, ia juga merupakan wirid lidah semua maujudat melalui lisan al-hal (bahasa yang difahami melalui keadaan) mereka. Jika engkau ingin memahami betapa بسم الله itu merupakan suatu kekuatan yang sangat besar dan tidak akan luak dan suatu keberkatan yang sangat banyak dan tidak akan habis, maka renungi dan dengarilah hikayat perumpamaan yang pendek ini:


Orang yang mengembara di padang-padang pasir Arab perlu menggunakan nama ketua kabilah dan bernaung di bawah perlindungannya. Ini supaya dia terselamat daripada kejahatan para penjahat lalu dapat mencapai hajatnya. Jika tidak, dia akan menderita menghadapi musuh dan segala keperluannya yang tiada batasan secara bersendirian.


Demikianlah, untuk pengembaraan yang sebegini, dua orang keluar berjalan ke padang pasir. Seorang daripada mereka bersifat tawadhuk manakala seorang lagi bersifat sombong.


Si tawadhuk itu telah mengambil nama seorang ketua, sedangkan si sombong tidak mengambilnya. Yang mengambilnya, mengembara dengan selamat di semua tempat. Jika terserempak dengan penyamun, dia berkata: "Aku mengembara dengan nama si ketua iaitu fulan."

14. Page

Maka penyamun itu terhalang dan tidak dapat mengganggunya. Sekiranya pengembara itu memasuki sesebuah khemah atas nama itu, dia dihormati.


Manakala seorang lagi yang sombong menghadapi bala yang amat dahsyat sepanjang perjalanan sehingga tidak boleh ditakrifkan. Dia sentiasa menggigil dan seringkali mengemis. Bukan sahaja dipandang rendah, dia turut menjadi hina.


Justeru, wahai nafsuku yang sombong! Engkaulah pengembara itu. Dunia ini pula sebuah padang pasir. Kelemahan dan kefakiranmu tidak bersempadan. Musuh dan hajatmu tidak berpenghujung. Oleh yang demikian, ambillah nama Al-Malik (Pemilik) yang Abadi dan Al-Hakim (Penguasa) yang Azali bagi padang pasir ini agar engkau terselamat daripada perbuatan mengemis daripada seluruh alam semesta dan menggigil di hadapan tiap-tiap kejadian.


Ya, kalimah ini ialah khazanah yang begitu berkat. Ini kerana kelemahan dan kefakiranmu yang tidak berpenghujung itu mengikat engkau kepada rahmat dan qudrat yang tidak berpenghujung lalu menjadikan kelemahan dan kefakiran itu sebagai pemberi syafaat yang paling makbul di sisi Al-Qadir dan Ar-Rahim.


Ya, orang yang bertindak dengan kalimah ini menyerupai orang yang seperti berikut: Dia mendaftarkan diri untuk tugas ketenteraan lalu bertindak atas nama negara. Dia tidak akan takut daripada sesiapa pun. Dia berkata, melaksanakan setiap urusan dan mampu bertahan menghadapi setiap perkara atas nama undang-undang dan negara.


Pada permulaan, kami telah berkata: "Semua maujudat melafazkan بسم الله melalui lisan al-hal." Benarkah begitu?


Ya, jika engkau melihat seseorang telah datang, lalu dia mengarahkan semua penduduk bandar menuju ke satu tempat secara paksa dan

15. Page

mengerahkan mereka dalam kerja-kerja secara paksa, maka engkau secara yakin memahami bahawa orang itu tidak bertindak atas nama dan kekuataannya sendiri. Bahkan dia merupakan seorang askar yang bertindak atas nama negara dan bersandar kepada kekuatan seorang Sultan.


Seperti itu juga, setiap sesuatu bergerak atas nama Allah sehinggakan benih dan biji-bijian yang umpama zarah kecil, membawa pohon-pohon yang besar dan memikul bebanan-bebanan bak gunung di atas kepala mereka.


Ini bermakna, tiap-tiap pokok melafazkan بسم الله. Pokok-pokok itu memenuhkan tangan-tangannya dengan buah-buahan khazanah rahmat dan mempersembahkannya kepada kita bagaikn para penjual.


Setiap kebun melafazkan بسم الله. Ia menjadi sebuah kawah daripada dapur qudrat, kerana bermacam-macam makanan lazat yang amat berlainan dimasak bersama di dalamnya.


Setiap haiwan yang diberkati seperti lembu, unta, biri-biri dan kambing melafazkan بسم الله. Haiwan-haiwan ini menjadi mata air susu daripada limpahan rahmat dan menghidangkan bahan makanan yang paling latif dan paling bersih seperti air kehidupan atas nama Ar-Razzaq (yang Selalu Memberi Rezeki) kepada kita.


Tiap-tiap akar dan urat tumbuh-tumbuhan, pokok dan rumput-rampai yang lembut bak sutera melafazkan بسم الله. Ia melubangi dan menembusi batuan dan tanah yang keras. Dengan berkata "atas nama Allah" dan "atas nama Ar-Rahman", setiap sesuatu ditundukkan kepadanya.


Ya! Menjalarnya akar dengan penuh kemudahan di dalam batu dan tanah yang keras dan terhasilnya buah di bawah tanah sama seperti

16. Page

bercabangnya ranting-ranting pokok dan penghasilan buah-buahannya di udara, serta kekalnya kelembapan dedaun yang lembut dan hijau selama berbulan-bulan walaupun terdedah kepada kepanasan yang amat terik, menampar mulut para pendukung falsafah naturalisme dengan kuat dan menusuk jarinya ke mata mereka (yang mudah-mudahan buta) sambil berkata:


"Kekerasan dan kepanasan yang paling kamu percayai juga bergerak di bawah perintah, hatta akar-akar halus selembut sutera itu yang masing-masing seperti tongkat Nabi Musa 'Alaihi as-salam membelah batuan dengan menurut perintah اِضْرِبْ بِعَصَاكَ الحَجَرَ. Dedaun nipis dan lembut seperti kertas pembalut rokok itu yang masing-masing seperti anggota tubuh Nabi Ibrahim 'Alaihi as-salam membaca ayat ينار كوني بردا وسلاما menghadapi bahang kepanasan yang membakar."


Memandangkan semua benda melafazkan بسم الله secara maknawi lalu mendatangkan dan memberi nikmat-nikmat Allah kepada kita atas nama Allah, maka kita juga semestinya melafazkan بسم الله. Kita hendaklah memberi atas nama Allah dan mengambil juga atas nama Allah. Oleh itu, kita sepatutnya tidak mengambil daripada insan-insan lalai yang memberi bukan atas nama Allah.


Soalan: Kita membayar suatu harga kepada mereka yang bekerja sebagai penjual. Agaknya, apakah harga yang diingini oleh Allah yang merupakan Pemilik Harta yang sebenar?


Jawapan: Ya, harga yang diingini oleh Pemberi Nikmat Hakiki daripada kita sebagai balasan kepada nikmat-nikmat dan harta-harta bernilai itu ialah tiga perkara: Satunya zikir, satunya syukur dan satunya fikir. Bismillah بسم الله pada permulaan ialah zikir. Alhamdulillah الحمد لله pada penghujung ialah syukur. Manakala memikirkan

17. Page

dan menyedari bahawa nikmat-nikmat yang merupakan keluarbiasaan penciptaan yang berharga itu merupakan mukjizat kekuasaan dan hadiah rahmat Al-Ahad As-Samad pada pertengahan ialah fikir.


Setahap mana perbuatan mencium kaki seorang miskin yang telah membawakan kepadamu suatu hadiah yang bernilai daripada seorang raja tetapi tidak mengenali pemberi hadiah itu merupakan suatu kebodohan, maka memuji pemberi-pemberi nikmat yang hanya pada zahir dan mencintai mereka tetapi melupakan Al-Mun'im Al-Haqiqi (Pemberi Nikmat yang Hakiki) ialah kebodohan yang seribu kali ganda lebih teruk berbanding dengan (kebodohan) sebelumnya.


Wahai nafsu! Jika engkau tidak mahu menjadi bodoh seperti ini, berilah atas nama Allah, ambillah atas nama Allah, mulakanlah atas nama Allah dan berusahalah atas nama Allah.


Wassalam.