Kalimah Kedua

5. Page

KALIMAH KEDUA


بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ

Iaitu mereka yang beriman dengan perkara ghaib.

(Al-Baqarah, 3)

 

Jika engkau ingin memahami bahawa dalam keimanan itu terdapat kebahagiaan dan kenikmatan yang sangat agung serta kelazatan dan kerehatan yang amat besar maka renung dan dengarlah hikayat perumpamaan yang pendek ini.

Pada suatu masa, dua orang telah pergi mengembara untuk mengambil angin dan berniaga. Salah seorang daripada mereka yang mementingkan diri sendiri dan malang pergi menuju ke satu arah, manakala seorang lagi yang mengenali Allah dan bertuah menuju ke satu arah yang lain.

Orang yang mementingkan diri itu, oleh sebab dia bersifat sombong, hanya risau pada diri sendiri dan bersangka buruk, maka sebagai balasan sifat bersangka buruk, menurut pandangannya, dia telah terhumban ke sebuah negara yang teruk. Dia melihat bahawa di setiap tempat, insan-insan lemah yang tidak berdaya meratap menangis angkara tangan orang-orang yang zalim, ganas serta kejam dan akibat pemusnahan yang dilakukan oleh mereka. Dia melihat keadaan yang sedih dan menyakitkan seperti ini di semua tempat yang telah dilaluinya. Seluruh negara menjadi tempat ratapan umum. Untuk menghindarkan diri daripada keadaan yang menyakitkan dan suram itu dia tidak mampu menemui jalan keluar selain memabukkan diri sendiri. Ini kerana semua orang kelihatan seperti musuh dan orang asing baginya. Di mana-mana jua, dia melihat jenazah yang mengerikan dan anak-anak yatim yang menangis dalam keadaan putus harapan. Maka, sanubarinya berada dalam penderitaan. 


6. Page

Manakala seorang lagi, kerana dia mengenali Allah, taat beribadah kepada-Nya, mencari kebenaran dan berakhlak mulia, pada pandangannya dia telah sampai ke sebuah negara yang amat indah. Justeru, di negara yang telah dimasukinya itu, orang yang baik ini melihat kemeriahan yang menyeluruh. Dia melihat kegembiraan, perayaan, majlis zikir di dalam jazbah (keghairahan berzikir) dan keseronokan di setiap penjuru. Baginya, semua orang kelihatan seperti sahabat dan keluarga. Dia melihat kemeriahan umum sambutan tamatnya latihan ketenteraan diiringi laungan “Semoga panjang umur!” dan kesyukuran di seluruh negara. Dia mendengar bunyi paluan gendang dan muzik bagi merayakan permulaan tugas ketenteraan dalam keseronokan yang diiringi takbir dan tahlil.

Sedang orang pertama yang malang itu menderita dengan kesakitan diri sendiri dan kesakitan orang ramai, orang yang bertuah itu pula berasa seronok dan gembira dengan kebahagiaan dirinya dan kebahagiaan orang ramai. Malah dia memperoleh satu perniagaan dengan cara yang baik lalu dia bersyukur kepada Allah.

Kemudian dia pulang dan bersua dengan yang seorang lagi. Dia memahami keadaan sahabatnya itu lantas berkata kepadanya, “Wahai sahabatku! Nampaknya engkau sudah tidak waras. Keburukan-keburukan yang terdapat di dalam batinmu telah mengaburi pandangan zahirmu kerana itulah engkau menyangka bahawa ketawa itu tangisan, pelepasan itu rompakan dan rampasan. Sedarlah! Sucikanlah hatimu supaya tirai bermusibah itu hilang daripada pandanganmu dan engkau boleh melihat kebenaran. Ini kerana adalah tidak mungkin bagi negara yang dimiliki raja yang terlalu adil, penyayang, mengutamakan rakyat, berkuasa, mementingkan peraturan dan pengasih ini dan negara yang begitu jelas memperlihatkan kesan-kesan kemajuan dan kesempurnaan sebegini menjadi seperti apa yang telah diperlihatkan oleh sangkaanmu”. 

7. Page

Kemudian orang yang malang itu kembali tersedar dan menyesal lalu berkata: “Ya, aku menjadi tidak waras kerana selalu mabuk. Semoga Allah meredhaimu kerana engkau telah menyelamatkanku daripada keadaan umpama neraka itu.”

Wahai nafsuku, ketahuilah! Orang yang pertama itu ialah orang kafir atau orang fasiq yang ghafil (lalai). Pada pandangannya, dunia ini ialah sebuah dewan ratapan umum. Semua makhluk bernyawa ialah anak-anak yatim yang menangis akibat tamparan kehilangan dan perpisahan. Haiwan dan manusia pula ialah makhluk-makhluk liar tidak bertuan yang dibinasakan oleh cakaran ajal. Makhluk-makhluk besar seperti gunung-ganang dan lautan pula ibarat jenazah-jenazah tidak bernyawa yang mengerikan. Banyak lagi waham-waham yang amat menyakitkan, menyeksa dan dahsyat seperti ini lahir daripada kekufuran dan kesesatan, lantas menyeksanya secara maknawi.

Manakala yang seorang lagi ialah orang mukmin yang sentiasa mengenali Allah dan mentasdikkan-Nya (mengakui kebenaran-Nya). Pada pandangannya, dunia ini ialah sebuah dewan zikir ar-Rahman, tempat latihan bagi manusia dan haiwan dan medan ujian bagi manusia dan jin. Semua kematian manusia dan binatang pula ialah suatu pelepasan. Mereka yang menamatkan tugas kehidupannya, berpindah dari alam fana ini ke alam yang secara maknawinya penuh dengan kegembiraan dan tiada huru-hara supaya dibuka ruang kepada para petugas baru untuk datang dan bertugas. Manakala semua kelahiran haiwan dan manusia ialah kedatangan mereka untuk menjadi tentera, menerima senjata dan memulakan tugas. Semua makhluk bernyawa, masing-masing ialah tentera yang bertugas dan bergembira dan masing-masing ialah pegawai yang istiqamah dan redha. Manakala semua suara adalah sama ada zikir dan tasbih pada permulaan tugas atau kesyukuran dan kegembiraan kerana selesainya tugas ataupun alunan-alunan yang kedengaran kerana kegembiraan melaksanakan tugas tersebut. 


8. Page

Pada pandangan mukmin itu, setiap maujudat adalah ibarat pelayan yang mesra dan petugas yang rapat dan sebuah kitab yang menarik bagi Tuannya yang al-Karim dan Pemiliknya yang ar-Rahim. Sama seperti itu juga, banyak lagi hakikat yang latif (halus), agung, lazat dan manis menjelma daripada keimanannya. Ini bermakna, keimanan membawa sebiji benih pohon Tuba syurga. Kekufuran pula menyembunyikan sebiji benih pohon Zaqqum neraka. Maksudnya, keselamatan dan keamanan hanya terdapat dalam Islam dan keimanan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengucapkan: اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ عَلَى دِينِ الْإِسْلاَمِ وَ كَمَالِ الْإِيمَانِ.