NAVIGATION
176. Page
Contohnya lagi: Adalah mungkin matahari itu untuk tidak terbenam pada hari ini ataupun tidak terbit pada esok hari. Sedangkan kemungkinan ini tidak memudaratkan keyakinan kita dan tidak pernah mendatangkan keraguan.
Justeru, seperti ini juga, contoh waham-waham yang datang pada sudut imkan dzati terhadap terbenamnya kehidupan duniawi dan terbitnya kehidupan ukhrawi yang merupakan hakikat-hakikat keimanan tidak mungkin memudaratkan keyakinan iman.
Malah kaedah masyhur iaitu “لاَ عِبْرَةَ لِلْاِحْتِمَالِ الْغَيْرِ النَّاشِئِ عَنْ دَلِيلٍ” yakni suatu kebarangkalian yang tidak lahir daripada satu dalil langsung tiada nilainya adalah kaedah yang kukuh dalam ilmu usuluddin dan usul fiqh.
Jika engkau berkata: Berdasarkan hikmah apakah maka waswas yang memudaratkan dan mengganggu orang mukmin setahap ini menjadi musibah kepada kami?
Jawapan: Dengan syarat tidak sampai kepada ifrat (keterlaluan) serta tidak mendakwa kemenangan, asal perasaan waswas ialah sebab kepada kesedaran, penyeru kepada penelitian dan wasilah kepada keseriusan. Ia membuang sifat tidak peduli dan menghalau sifat sambil lewa. Kerana itulah al-Hakim al-Mutlaq, menyerahkan waswas ke tangan syaitan sebagai cemeti semangat kepada kita di negara ujian dan medan musabaqah (perlumbaan) ini. Ia memukul kepala manusia. Sekiranya ia sangat menyakitkan, maka (kita) perlu mengadu kepada al-Hakim ar-Rahim dan perlu berkata “اَعُوذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”.