NAVIGATION
287. Page
Kalimah ini adalah mengenai syurga. Kalimah ini mempunyai dua maqam.
Maqam pertama
Mengisyaratkan kepada sebahagian latifah-latifah syurga. Tetapi, bukan perbahasan tentang pengisbatan kewujudan syurga yang telah diisbatkan kewujudannya dalam bentuk yang sangat qat’i melalui dua belas hakikat yang qat’i pada Kalimah Kesepuluh dan dengan cara yang sangat terang melalui burhan qat’i Kalimah Kesepuluh yang berbahasa Arab yang kesimpulan dan asasnya berkesinambungan dan sangat kukuh pada maqam kedua[1] kalimah ini, bahkan maqam ini hanya membicarakan tentang beberapa keadaan syurga yang menjadi sebab kepada persoalan dan jawapan dan kritikan. Sekiranya taufiq Ilahi membantu, selepas ini satu kalimah yang besar akan ditulis mengenai hakikat yang agung itu. Insya-Allah.
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
وَبَشِّرِ الَّذ۪ينَ آمَنُوا وَ عَمِلُوا الصَّالِحَاتِ اَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِى مِنْ تَحْتِهَا الْاَنْهَارُ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِزْقًا قَالُوا هٰذَا الَّذِى رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ وَاُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا وَلَهُمْ فِيهَا اَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
(Berikut) ialah jawapan-jawapan ringkas kepada sesetengah soalan berkenaan syurga yang baqa’. (Sebenarnya) penjelasan ayat-ayat al-Quran berkenaan syurga yang lebih indah daripada syurga, lebih halus daripada bidadarinya dan lebih enak daripada Salsabilanya tidak meninggalkan apa-apa perkataan lagi kepada sesiapa pun untuk menyatakan sesuatu tambahan. Tetapi kami akan menceritakan tentang beberapa anak tangga untuk mendekatkan kefahaman mengenai ayat-ayat yang bersinar, azali, abadi tinggi dan indah itu dan beberapa nuktah dari jenis contoh sesetengah bunga sebagai contoh daripada syurga al-Quran itu. Kami akan mengisyaratkannya dengan lima soalan dan jawapan yang tersirat. Ya, sebagaimana syurga ialah asas semua kelazatan maknawi ia juga merupakan sumber kelazatan jasmani.
Soalan Pertama: Apakah hubungan di antara tubuh yang ada kecacatan, kekurangan, berubah-ubah, tidak tetap dan kesakitan dengan keabadian dan syurga? Memandangkan roh mempunyai kelazatan-kelazatan yang tinggi dan ia adalah mencukupi untuknya, maka mengapakah Allah mewajibkan kebangkitan semula jasmani untuk kelazatan jasmani?
288. Page
Jawapan: Sebabnya ialah, sebagaimana tanah adalah legap dan gelap berbanding dengan air, udara dan cahaya, tetapi oleh sebab ia merupakan tempat tumbuh dan asas kepada semua jenis masnu'at Ilahi, maka ia mengatasi semua unsur lain secara maknawi. Sebagaimana nafsu manusia yang legap melebihi semua latifah insaniah berdasarkan rahsia kesyumulannya dengan syarat penyuciannya, maka seperti itu jugalah kejasmanian. Ia adalah cermin tajalli nama Ilahi yang paling syumul, paling meliputi dan paling kaya. Alat-alat yang akan menimbang dan menarik himpunan semua khazanah rahmat kepada perkiraan adalah pada jasmani.
Contoh: Sekiranya deria rasa pada lidah tidak menjadi asas kepada neraca-neraca sebanyak jenis makanan pada rasa rezeki, nescaya walaupun ia merasai setiap satunya secara berasingan namun ia tidak mungkin mengenalinya. (Walaupun ia) merasai namun tidak mungkin ia dapat menimbangnya. Malah, kelengkapan-kelengkapan untuk merasai dan mengetahui serta menikmati dan mengenali tajalli kebanyakan nama Ilahi juga adalah pada jasmani. Persediaan yang boleh merasai kelazatan yang sangat bermacam-macam dan terlalu berbeza juga adalah pada jasmani.
Memandangkan hakikat bahawa as-Sani’ alam semesta ini mahu memperkenalkan semua khazanah rahmat-Nya, mahu memberitahu semua tajalli nama-Nya dan mahu merasakan semua jenis ihsanat-Nya melalui alam semesta ini seperti yang telah diisbatkan dalam Kalimah Kesebelas difahami dengan qat’i daripada keadaan alam semesta dan daripada kesyumulan manusia, maka sudah tentu, negara kebahagiaan yang merupakan kolam terbesar alam semesta yang mengalir, pameran agung hasil-hasil yang dibuat di makmal alam semesta ini dan gedung abadi ladang dunia ini akan sedikit menyerupai alam semesta ini. Ia akan memelihara semua asas-asas jasmani dan rohaninya. Sudah tentu juga as-Sani’ al-Hakim dan al-‘Adil ar-Rahim itu akan memberikan kelazatan-kelazatan yang layak kepada mereka sebagai bayaran kepada tugas-tugas alat-alat jasmani, sebagai ganjaran kepada perkhidmatannya dan sebagai pahala kepada ibadat-ibadat khusus mereka. Jika tidak, ia akan menjadi suatu keadaan yang bertentangan dengan hikmah, keadilan dan rahmat-Nya lalu ia langsung tidak sesuai dengan keindahan rahmat dan kesempurnaan keadilan-Nya dan menjadi tidak munasabah.
289. Page
Soalan Kedua: Sekiranya tubuh berkait dengan kehidupan, maka juzuk-juzuknya sentiasa dipasang dan diceraikan dan terhukum dengan kelenyapan serta tidak mungkin menerima keabadian. Manakala makan minum adalah untuk mengekalkan diri sendiri dan pergaulan suami isteri pula adalah untuk mengekalkan baka lalu masing-masing menjadi asas di alam ini. Maka tiada keperluannya kepada itu semua di alam abadi dan di alam ukhrawi. Namun, mengapakah itu semua menjadi kelazatan-kelazatan paling utama di syurga?
Jawapan: Mula-mula, sesungguhnya ketetapan tubuh benda hidup dengan kelenyapan dan kematian di alam ini adalah kerana ketidakseimbangan di antara perolehan dan pengeluaran. Perolehan dari zaman kanak-kanak sehingga usia kematangan adalah banyak. Selepas itu pengeluaran bertambah dan keseimbangan mula menghilang. Ia juga akan mati. Manakala di alam keabadian pula, zarah-zarah tubuh akan kekal dan tidak terdedah kepada penggantian dan penguraian ataupun keseimbangan tetap kekal.[1] Perolehan dengan pengeluaran adalah seimbang. Tubuh benda hidup yang seperti putaran berterusan menjadi abadi bersama dengan penggunaan makmal kehidupan jasmani untuk berlazat-lazatan. Sebenarnya makan dan minum serta pergaulan suami isteri di dunia ini datang daripada suatu keperluan dan melakukan suatu tugas. Tetapi pelbagai kelazatan lazat yang seperti itu telah ditinggalkan di dalamnya sebagai bayaran segera kepada tugas itu dan menjadikannya diutamakan ke atas kelazatan-kelazatan yang lain. Memandangkan asas kepada kelazatan-kelazatan yang menakjubkan seperti ini dan berbeza-beza di negara kesakitan ini ialah makanan dan pernikahan, sudah tentu kelazatan-kelazatan itu mendapat nilai yang sangat tinggi lalu menjadi sumber kelazatan yang paling syumul dan menghidupkan yang layak dengan syurga dan sesuai dengan keabadian dengan meningkatkan bayaran ukhrawi tugas duniawi sebagai kelazatan kepadanya dan dengan menambahkan keperluan duniawi juga seperti selera ukhrawi yang menawan di syurga yang merupakan negara kelazatan dan kebahagiaan.
290. Page
Ya, menurut rahsia وَمَا هٰذِهِ الْحَيَوةُ الدُّنْيَا اِلاَّ لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَاِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِىَ الْحَيَوَانُ, bahan-bahan yang kaku, tiada perasaan dan tidak hidup di negara dunia ini adalah berperasaan dan bernyawa di sana. Pohon-pohon di sana juga seperti manusia di sini, batu-batu di sana seperti haiwan-haiwan di sini memahami perintah dan melakukannya. Sekiranya engkau berkata kepada sebatang pokok “bawakan aku buah sekian-sekian…” ia akan membawanya. Jika engkau berkata kepada batu sekian-sekian “mari…” ia akan datang. Memandangkan batu dan pohon mendapat bentuk yang tinggi seperti ini, sudah tentu di samping memelihara hakikat jasmani mereka, (syurga juga) mewajarkan makan dan minum dan pernikahan menerima bentuk yang lebih tinggi daripada darjat-darjat duniawi seperti mana tingginya darjat syurga ke atas dunia.
Soalan Ketiga: Menurut rahsia: اَلْمَرْءُ مَعَ مَنْ اَحَبَّ seorang sahabat akan berada bersama sahabatnya di syurga. Walhal, seorang badwi yang biasa, (kerana) seminit (berada) di dalam Suhbah Nabawiyyah, lahirlah rasa cinta kerana Allah. Maka dengan rasa cinta itu dia patut berada di samping Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam di syurga. Namun bagaimanakah limpahan (kemuliaan) Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang menerima limpahan (keberkatan) yang tidak berpenghujung boleh bersatu dengan limpahan (kemuliaan) seorang badwi yang biasa?
Jawapan: Kami mengisyaratkan hakikat yang tinggi itu melalui satu perumpamaan seperti berikut:
291. Page
Seorang kenamaan telah menyediakan jamuan yang sangat besar dan tempat makan angin yang sangat berhias di sebuah kebun yang sangat indah dan berseri dalam bentuk yang sangat hebat. Mengandungi semua kelazatan pada makanan yang akan dirasai oleh deria rasa, meliputi semua kecantikan yang akan disukai oleh deria penglihatan dan merangkumi semua keajaiban yang akan menyeronokkan daya khayalan dan begitulah seterusnya. Beliau telah meletakkan ke dalamnya setiap benda yang akan membelai dan memuaskan semua deria zahir dan batin.
Sekarang terdapat dua orang sahabat. Mereka pergi ke jamuan itu bersama-sama. Mereka duduk dalam bilik dan meja hidangan yang sama. Tetapi oleh sebab deria rasa salah seorangnya adalah kurang maka dia mendapat kelazatan yang juz’i. Matanya juga tidak melihat dengan baik. Deria baunya tiada. Dia tidak faham dengan seni-seni yang mengkagumkan. Dia tidak mengetahui benda-benda yang hebat. Berdasarkan kemampuannya, dia hanya menikmati dan beristifadah dengan satu daripada seribu bahkan sejuta benda di tempat persiaran itu. Seorang lagi pula semua perasaan zahir dan batinnya, akal, hati, rasa dan latifah-latifahnya telah terbuka dengan sangat sempurna dan di tahap yang tinggi sehingga dia merasai dan menikmati semua kehalusan, keindahan, kelembutan dan keajaiban secara berbeza-beza dan walaupun dia mengecap kelazatan yang berbeza-beza, namun dia tetap duduk bergandingan dengan sahabatnya itu.
Memandangkan perkara seperti ini berlaku di dunia yang bercampur-baur, menyakitkan dan sangat sempit ini dan terdapat perbezaan dari tanah sampai ke bintang kejora ketika yang paling kecil dan yang paling besar (duduk) bersama, sudah tentu di syurga yang merupakan negara kebahagiaan dan keabadian, ketika sahabat bersama sahabatnya dengan cara yang yang telah disebutkan sebelum ini, setiap seorang menurut kemampuan sendiri mengambil habuan daripada hidangan ar-Rahman ar-Rahim sebanyak mana yang mereka mampu. Walaupun syurga yang mereka diami adalah berlainan, namun ia tidak menghalang mereka untuk berada bersama-sama. Ini kerana walaupun lapan tingkat syurga adalah tinggi daripada satu sama lain, namun atap semuanya adalah ‘Arasy yang agung.
292. Page
Sebagaimana terdapat rumah-rumah berpagar yang di dalam satu sama lain dan tinggi daripada satu sama lain di sekeliling bukit yang berbentuk tirus dari kaki bukit hingga ke puncaknya dan walaupun rumah-rumah itu lebih tinggi daripada satu sama lain, namun keadaan itu tidak menjadi penghalang kepada satu sama lain untuk melihat matahari. Masing-masing boleh menemui satu sama lain dan memandang kepada satu sama lain. Demikianlah juga di syurga. Riwayat Hadith yang bermacam-macam mengisyaratkan bahawa syurga-syurga juga adalah dalam bentuk yang hampir seperti ini.
Soalan Keempat: Di dalam Hadith telah disebutkan bahawa walaupun para bidadari telah memakai tujuh puluh helai pakaian syurga, namun sumsum di dalam tulang-tulang betisnya tetap kelihatan. Apakah maksudnya? Apakah makna yang ada? Kecantikan yang bagaimanakah ia?
Jawapan: Maknanya adalah sangat cantik dan kecantikannya pula sangat menawan. Ia seperti berikut: Kecantikan dan keindahan di dunia yang hodoh, mati, kaku dan kebanyakannya adalah kulit ini hanya kelihatan indah pada mata dan sekiranya ia tidak menjadi penghalang kepada ulfah (kebiasaan), maka ia adalah mencukupi.
Walhal di syurga yang indah, hidup, gemilang, semua inti patinya adalah tanpa kulit dan isinya adalah tanpa balutan. Semua deria manusia seperti mata dan latifah-latifah mereka mahu menikmati habuan rasa yang berbeza-beza dan kelazatan yang bermacam-macam daripada bidadari-bidadari yang terdiri daripada jenis makhluk yang penuh kehalusan dan daripada wanita-wanita duniawi di syurga yang datang dari dunia yang seumpama malah lebih cantik berbanding dengan bidadari.
293. Page
Maknanya Hadith mengisyaratkan bahawa asas kenikmatan bagi perasaan dan latifah adalah bermula daripada kecantikan pakaian syurga yang paling atas sehingga ke sumsum di dalam tulang. Ya, melalui ungkapan mereka memakai tujuh puluh helai pakaian syurga dan sumsum tulang di betis mereka turut kelihatan, Hadith yang mulia mengisyaratkan bahawa sebanyak manapun deria, kehendak, daya dan latifah yang menerbitkan keindahan dan menyanjung kenikmatan, terpesona dengan perhiasan dan merindui keindahan ada pada insan. Maka para bidadari adalah lengkap dengan setiap jenis perhiasan maddi dan maknawi serta lengkap dengan kecantikan dan keindahan yang boleh menggembirakan lalu memuaskan kesemuanya serta membelai setiap satunya, satu demi satu secara berasingan lalu membahagiakannya.
Maknanya, apabila para bidadari telah memakai tujuh puluh jenis bahagian perhiasan syurga dalam bentuk yang tidak akan menutupi satu sama lain kerana ia bukan daripada jenis yang satu, maka mereka memperlihatkan bahagian-bahagian kecantikan dan keindahan yang berasingan yang tentunya tujuh puluh martabat lebih (cantik dan indah) berbanding dengan tubuh, diri dan anggota badan mereka sendiri. Mereka memperlihatkan hakikat isyarat ayat وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْاَنْفُسُ وَتَلَذُّ الْاَعْيُنُ.
Malah Hadith as-Syarif menjelaskan bahawa oleh sebab di syurga tiada bahan-bahan yang tidak perlu, kulit dan lebihan, maka selepas ahli syurga makan dan minum, tiadalah sisa kotoran. Memandangkan pokok-pokok yang merupakan benda hidup yang paling biasa di dunia ini tidak mengeluarkan sisa kotoran walaupun pokok-pokok itu makan dengan banyak, maka mengapakah ahli syurga yang merupakan tingkatan hidup yang paling tinggi tidak boleh tiada sisa kotoran?
294. Page
Soalan Kelima: Dalam Hadith as-Syarif telah dinyatakan bahawa suatu tempat seluas dunia diberikan kepada sebahagian ahli syurga dan ratusan ribu mahligai dan ratusan ribu bidadari dikurniakan kepadanya. Mengapakah benda-benda sebanyak ini diberikan kepada seorang manusia? Apakah keperluannya? Bagaimanakah ia boleh berlaku? Apakah maknanya?
Jawapan: Sekiranya insan hanyalah satu kewujudan yang tidak bernyawa ataupun merupakan makhluk tumbuhan yang hanya terdiri daripada perut ataupun hanya terdiri daripada satu makhluk jasmani dan jisim haiwani yang terikat, berat, sementara dan ringkas, maka dia tidak layak dan tidak mungkin memiliki mahligai dan bidadari sebanyak itu. Tetapi, insan ialah satu mukjizat qudrat sangat syumul sehingga sekiranya seluruh kerajaan dunia, harta dan kelazatannya diberikan kepadanya di dunia yang fana ini, dalam umur yang pendek ini dan kerana sesetengah keperluan bagi latifah-latifahnya yang belum tersingkap, maka rasa tamaknya tidak akan kenyang.
Walhal sudah tentu di negara kebahagiaan yang abadi nanti, penerimaan insan yang memiliki kemampuan yang tidak terkira dan mengetuk pintu rahmat yang tidak bertepian melalui bahasa keperluan yang tiada akhiran dan melalui tangan kehendak yang tidak berkesudahan kepada kurniaan Ilahi yang diterangkan di dalam Hadith adalah maakul, benar dan hakikat.
Kami akan mencerap hakikat tinggi ini melalui sebuah teropong perumpamaan. Ia seperti berikut: Walaupun kebun dan ladang di Barla ini mempunyai tuan yang berbeza-beza seperti kebun di lembah ini[1], namun oleh sebab ia mencari makanannya di Barla, maka setiap unggas, burung dan lebah yang hanya memiliki makanan sekadar satu tapak tangan boleh berkata bahawa semua kebun dan ladang di Barla adalah tempat mengambil angin dan bersiar-siar milikku. Ia menetapkan dan memasukkan Barla ke dalam pemilikannya. Perkongsian oleh yang lain-lain tidak merosakkan ketetapannya ini.
295. Page
Insan yang merupakan insan boleh berkata: “Al-Khaliq-ku telah menjadikan dunia ini sebagai sebuah rumah kepadaku. Matahari ialah lampuku. Bintang-bintang ialah elektrikku. Muka bumi ialah buaianku yang telah dihamparkan dengan permaidani yang berbunga dan berwarna-warni. Lalu dia bersyukur kepada Allah. Perkongsian makhluk-makhluk lain tidak merosakkan keketapannya ini. Sebaliknya makhluk-makhluk itu menghiasi rumahnya dan mereka ibarat perhiasan-perhiasan rumah itu. Agaknya, sekiranya seorang insan dari sudut keinsanannya hatta jika seekor burung pun boleh mendakwa bahawa ia berkuasa dan mendapat nikmat yang besar dalam daerah yang agung sebegini di dunia yang sempit ini, maka bagaimanakah pengurniaan satu pemilikan yang seluas lima ratus tahun kepadanya di negara kebahagiaan yang luas dan abadi boleh dipandang jauh daripada akal?
Malah, sebagaimana matahari berada dalam cermin yang sangat banyak secara serentak dalam bentuk yang sama di negara dunia yang legap dan gelap ini, seperti itulah juga keberadaan seseorang yang nurani berada di banyak tempat dalam keadaan yang serupa pada masa yang sama. Sebagaimana telah diisbatkan dalam Kalimah Keenam Belas: Oleh sebab keberadaan Jibril ‘Alaihis Salam di bintang dan di bumi, di sisi Nabi dan di hadrat Ilahi pada masa yang sama, perjumpaan Rasul Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam dengan umatnya yang bertaqwa di Mahsyar dan kemunculan baginda di dunia pada maqam yang tidak terkira pada masa yang sama, ketampakan para wali Abdal yang merupakan golongan para wali yang melakukan pekerjaan selama setahun dan menyaksikannya dalam satu minit di dalam mimpi serta sentuhan dan hubungan semua orang dari sudut hati, roh dan khayalannya dengan tempat-tempat yang sangat banyak pada masa yang sama adalah dimaklumi dan disaksikan, maka sudah tentu di syurga yang nurani, bebas, luas dan abadi, keberadaan ahli syurga yang tubuh mereka pada kekuatan dan keringanan roh dan pada kelajuan khayalan di seratus ribu tempat pada masa yang sama sambil bersembang dengan seratus ribu bidadari dan mengecap kenikmatan dalam seratus ribu bentuk adalah sesuai dengan syurga abadi dan rahmat yang tanpa penghujung itu. Ia juga adalah kebenaran dan hakikat sebagaimana yang telah diberitahu oleh al-Mukhbir as-Sadiq Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam. Di samping itu, hakikat-hakikat yang agung itu tidak boleh ditimbang melalui neraca akal kita yang kecil.
“Mengetahui perkara-perkara yang tinggi maknanya adalah tidak perlu kepada akal yang kecil ini,
Kerana neraca ini tidak dapat menanggung beban seberat itu.”
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَٓا اِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا اِنَّكَ اَنْتَ الْعَل۪يمُ الْحَك۪يمُ
رَبَّنَا لَا تُواخِذْنَا اِنْ نَسِينَا اَوْ اَخْطَاْنَا
اَللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَى حَبِيبِكَ الَّذِى فَتَحَ اَبْوَابَ الْجَنَّةِ بِحَبِيبِيَّتِهِ وَ بِصَلاَتِهِ وَ اَيَّدَتْهُ اُمَّتُهُ عَلَى فَتْحِهَا
بِصَلَوَاتِهِمْ عَلَيْهِ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَ السَّلاَمُ اَللّٰهُمَّ اَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ مَعَ الْاَبْرَارِ بِشَفَاعَةِ حَبِيبِكَ الْمُخْتَارِ آمِينَ
296. Page
Sebagaimana telah diisbatkan dalam Kalimah Kedua dan Kelapan, keimanan membawa benih syurga maknawi dan kekufuran pula menyembunyikan benih neraka maknawi. Sebagaimana kekufuran ialah benih neraka, seperti itu juga, neraka ialah buahnya. Sebagaimana kekufuran menjadi sebab kemasukan seseorang itu ke dalam neraka, ia juga menjadi sebab kepada kewujudan dan pewujudan neraka. Ini kerana, jika seorang penguasa kecil mempunyai kehormatan, kemegahan dan kemuliaan yang kecil lalu seseorang yang biadap berkata kepadanya secara tidak hormat: “Engkau tidak mungkin dan tidak akan dapat menghukum aku!”, sudah tentu sekiranya di situ tiada penjara sekalipun, penguasa itu akan membina sebuah penjara khas untuk si biadap itu dan akan mencampaknya ke dalamnya. Ini kerana dengan mengingkari neraka, orang kafir mendustai pemilik kehormatan, kemegahan dan kemuliaan yang sangat hebat dan Dzat yang sangat besar dan sangat berkuasa dan menyandarkan-Nya kepada kelemahan, menuduh-Nya sebagai penipu dan lemah, mengusik kehormatan-Nya dengan teruk, menyebabkan kemegahan-Nya disentuh dengan dahsyat dan mengganggu kemuliaan-Nya dengan penuh keingkaran. Sudah tentu, andaikata tiada sebarang sebab kewujudan neraka sekalipun, nescaya disebabkan kekufuran yang mengandungi pendustaan dan penyandaran kelemahan setahap ini, maka neraka akan dijadikan dan orang kafir itu akan dihumban ke dalamnya.
رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هذَا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
297. Page
Tentang Kebaqaan Roh, Malaikat dan Hari Kebangkitan
اَعُوذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّــيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْـــمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
تَنَزَّلُ الْمَلٰئِكَـــــــةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِاِذْنِ رَبِّهِــمْ
قُلِ الرُّوحُ مِنْ اَمْــرِ رَبِّــــى
Maqam ini terdiri daripada dua maksud utama dan satu mukadimah.
Mukadimah: Boleh dikatakan bahawa kewujudan para Malaikat dan Rohaniyyun adalah sepasti kewujudan insan dan haiwan. Ya, sebagaimana telah diterangkan dalam ‘Anak Tangga Pertama Kalimah Kelima Belas’, secara pasti, hakikat sentiasa mewajarkan dan secara yakin, hikmah mahukan kewujudan penduduk langit seperti bumi. Para penduduk itu pula sewajarnya yang mempunyai akal. Para penghuni itu juga perlu sesuai dengan langit itu. Pada lidah syariat, para penghuni (langit) yang sangat banyak jenis itu dinamakan sebagai malaikat dan Rohaniyyun. Ya, hakikat menghendaki begini. Ini kerana, bersama dengan kekerdilan dan kehinaannya, jika dibandingkan dengan langit, pemenuhan bumi kita ini dengan makhluk-makhluk yang berakal dan kadang-kadang dikosongkan lalu dimeriahkan semula dengan makhluk-makhluk berakal yang baharu mengisyaratkan bahkan secara jelas menyatakan bahawa langit yang memiliki buruj-buruj yang hebat dan bagaikan istana-istana yang indah itu juga semestinya penuh dengan makhluk-makhluk bernyawa yang merupakan cahaya bagi cahaya kewujudan dan makhluk berakal yang merupakan cahaya bagi benda hidup dan makhluk-makhluk yang ada kefahaman. Makhluk-makhluk itu juga ialah para penonton istana alam ini, para pengkaji kitab alam semesta ini dan jurucakap kesultanan rububiyyah ini seperti manusia dan jin. Mereka mewakili zikir-zikir maujudat alam semesta yang besar dan menyeluruh melalui 'ubudiyyah mereka yang menyeluruh dan umum.