Kalimah Keempat

13. Page

KALIMAH KEEMPAT


بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ

اَلصَّلاَةُ عِمَادُ الدِّينِ

Solat itu adalah tiang agama. (Al-Hadith)

 

Jika engkau ingin memahami betapa bernilai dan pentingnya solat dan betapa murah dan sedikitnya perbelanjaan untuk memperolehnya, serta betapa tidak waras dan ruginya orang yang tidak mendirikan solat, dengan yakin sebagaimana dua darab dua ialah empat, maka renung dan lihatlah kepada hikayat perumpamaan yang ringkas ini.

Pada suatu masa, seorang penguasa yang agung telah mengurniakan dua orang khadamnya dua puluh empat keping emas setiap seorang lalu menghantar mereka untuk tinggal di sebuah ladangnya yang istimewa dan indah yang terletak sejauh dua bulan perjalanan. Beliau memberikan perintah berikut kepada mereka berdua: “Gunakanlah wang itu untuk biaya perjalanan dan urusan tiket. Belilah sebahagian barangan yang diperlukan untuk kediaman kalian di sana. Dalam jarak sejauh satu hari, ada sebuah stesen. Di situ terdapat kereta, kapal, keretapi dan kapal terbang. Ia boleh dinaiki mengikut kemampuan kewangan.”

Selepas mendengar nasihat itu dua orang khadam tersebut pun pergi. Salah seorang daripada mereka bertuah kerana hanya membelanjakan sedikit wang sehingga sampai ke stesen. Meskipun dia berbelanja sebegitu, dia memperoleh satu perniagaan yang amat baik yang akan menyenangkan hati tuannya sehingga modalnya meningkat daripada satu kepada seribu.

Manakala khadam yang seorang lagi, akibat kedunguan, dia bernasib malang kerana telah membelanjakan dua puluh tiga keping emasnya sehingga sampai ke stesen. Dengan menggunakannya untuk berjudi dia kehilangan emas-emas itu sehinggakan hanya berbaki sekeping.


14. Page

Sahabatnya berkata kepadanya: “Wahai sahabatku, belanjakanlah wangmu itu untuk (urusan) tiket supaya engkau tidak berjalan kaki dan kelaparan dalam perjalanan yang panjang ini. Tambahan pula tuan kita adalah seorang yang pemurah. Mudah-mudahan dia akan mengasihani dan memaafkan kesilapan yang telah engkau lakukan dan mereka mengizinkan engkau menaiki kapal terbang dan kita akan sampai ke tempat kediaman kita dalam masa sehari. Jika tidak, engkau terpaksa pergi dalam keadaan berlapar, berjalan kaki dan bersendirian di padang pasir yang jaraknya sejauh dua bulan itu.”

Agaknya, jika orang itu berdegil dan tidak membelanjakan wang emasnya yang satu itu untuk tiket yang dianggap sebagai kunci khazanah, bahkan membelanjakannya kepada kemaksiatan demi kelazatan yang sementara, tidakkah orang yang paling bodoh juga mengerti betapa bodoh, rugi dan malangnya orang itu?

 Justeru, wahai orang yang tidak menunaikan solat dan wahai nafsuku yang tidak menyukainya (solat)!

Sesungguhnya Penguasa itu ialah Rabb dan Pencipta kita.

Salah seorang daripada dua khadam yang bermusafir itu ialah orang yang beragama dan sentiasa mendirikan solatnya dengan senang hati.

Yang seorang lagi ialah orang-orang yang lalai dan tidak menunaikan solat.

Dua puluh empat keping emas itu ialah dua puluh empat jam usia dalam sehari.

Ladang yang istimewa itu ialah syurga.

Stesen itu ialah kubur.

15. Page

Perjalanan itu ialah perjalanan manusia menuju ke kubur, kebangkitan dan keabadian. Mereka akan menamatkan perjalanan yang panjang itu berdasarkan amalan dan kekuatan taqwa masing-masing pada tahap yang berbeza. Sebahagian ahli taqwa mampu menamatkan satu perjalanan yang memakan masa seribu tahun dalam masa sehari seperti kilat. Sebahagiannya pula, mampu menamatkan jarak perjalanan yang memakan masa lima puluh ribu tahun dalam masa sehari sepantas khayalan. Al-Quran yang Mulia mengisyaratkan hakikat ini dengan dua ayatnya.

Tiket itu ialah solat. Tempoh satu jam adalah cukup untuk berwudhuk dan menunaikan solat lima waktu. Agaknya, sebanyak manakah orang yang membelanjakan dua puluh tiga jam masanya untuk kehidupan duniawi yang singkat ini dan tidak membelanjakan walaupun satu jam masanya untuk kehidupan abadi yang panjang itu merugikan dan menzalimi dirinya sendiri dan melakukan amalan bertentangan dengan akal? Ini kerana jika mempertaruhkan separuh harta dalam satu perjudian nombor bertuah yang disertai oleh seribu orang itu boleh diterima akal walaupun kemungkinan kemenangan hanyalah satu dalam seribu, maka, tidakkah orang yang menyangka dirinya berakal memahami bahawa tindakannya untuk tidak membelanjakan satu daripada dua puluh empat hartanya kepada khazanah abadi yang sembilan puluh sembilan peratus kemungkinan keuntungannya telah disahkan adalah sangat bertentangan dengan akal dan hikmah serta amat jauh daripada kewarasan? Walhal dalam solat terdapat kerehatan yang besar bagi roh, hati dan akal. Malah ia juga bukanlah satu perbuatan yang berat sangat kepada tubuh badan. Tambahan pula dengan niat yang baik, amalan-amalan mubah lain yang bersifat duniawi bagi orang yang bersolat itu akan menjadi ibadah. Dengan demikian, dia boleh menjadikan seluruh modal usianya sebagai asetnya di akhirat. Dia boleh mengekalkan usianya yang fana itu dalam satu sudut.