Kalimah Keenam

19. Page

KALIMAH KEENAM


بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ 

إِنَّ اللّٰهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوٰلَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka

(At-Taubah, 111)

 

Jika engkau ingin memahami betapa menjual jiwa dan hartamu kepada Allah, menjadi hamba dan askar kepada-Nya merupakan perniagaan yang menguntungkan dan martabat yang mulia, sila dengari hikayat perumpamaan yang pendek ini:

Pada suatu masa, seorang Sultan telah memberi kepada dua orang rakyatnya sebuah ladang sebagai amanah untuk setiap seorang. Di dalam ladang itu terdapat semua benda seperti kilang, mesin, kuda dan senjata. Namun, disebabkan ketika itu peperangan yang dahsyat sedang melanda, maka tiada sesuatu pun yang kekal pada tempatnya melainkan akan binasa ataupun akan berubah.

Kerana ketinggian kasih sayangnya, Sultan tersebut telah menghantar utusannya yang paling mulia kepada dua orang itu. Dengan satu titah yang penuh kasih sayang, baginda berkata kepada mereka berdua: “Jualkanlah amanah beta yang berada di tangan kalian itu kepada beta. Biarlah beta yang menjaganya bagi pihak kalian supaya ia tidak hilang secara sia-sia. Tambahan pula, sebaik sahaja peperangan tamat beta akan menyerahkannya semula kepada kalian dalam keadaan yang lebih baik. Seolah-olah amanah itu adalah harta kalian, maka beta akan membayar kalian harga yang sangat tinggi. Di samping itu, mesin itu dan alat-alat yang terdapat pada kilang juga akan digunakan di tempat kerja beta atas nama beta. Harga dan bayaran-bayarannya juga akan meningkat daripada satu kepada seribu. Beta akan menyerahkan semua keuntungan itu kepada kalian. Lagipun kalian lemah dan fakir. Kalian tidak akan dapat membiayai kerja-kerja besar itu. Beta akan menanggung semua perbelanjaan dan keperluannya. Beta akan memberikan semua hasil dan keuntungan kepada kalian. Di samping itu juga, beta akan membiarkannya pada kalian sehingga waktu tugasan berakhir. Inilah lima peringkat keuntungan dalam keuntungan.


20. Page

Sekiranya kalian tidak menjualkannya kepada beta, sememangnya kalian sedang melihat bahawa tiada seorang pun mampu menjaga apa yang ada di tangannya. Seperti semua orang, ia akan terlepas daripada genggaman kalian. Di samping itu ia akan pergi secara sia-sia. Kalian juga akan terhalang daripada harga yang tinggi itu. Malah, kerana tidak mempunyai bahan-bahan dan kerja-kerja yang bermutu untuk diguna pakai, alat-alat dan neraca-neraca yang sensitif dan berharga itu menjadi langsung tidak bernilai. Di samping itu juga, kesusahan dan tanggungjawab pengurusan dan pengawasan akan ditanggung oleh kalian. Tambahan pula, kalian akan menerima hukuman kerana mengkhianati amanah. Inilah lima peringkat kerugian dalam kerugian.

Manakala menjual kepada beta bermakna kalian menjadi askar beta dan bertindak atas nama beta. Kalian juga akan menjadi askar yang istimewa dan bebas kepada seorang Sultan yang agung berbanding menjadi tawanan dan pemberontak yang hina.”

Selepas mereka mendengar keprihatinan dan titah itu, salah seorang yang bijak daripada mereka berdua pun berkata: “Menjunjung perintah, patik akan menjualnya dengan penuh bangga bahkan patik mengucapkan ribuan terima kasih.” Manakala bagaikan dia akan terus kekal di ladang itu, seorang lagi yang sombong, bernafsu Firaun, mementingkan diri, mabuk dan tidak tahu tentang gempa dan huru-hara keduniaan berkata: “Tidak! Sultan itu siapa? Aku tidak akan menjualkan milikku, aku tidak akan menjejaskan keselesaanku.”

Tidak lama kemudian, orang yang pertama itu naik ke satu martabat yang sangat tinggi sehingga orang lain mencemburui keadaanya. Dia telah menerima anugerah daripada Sultan. Dia hidup dengan bahagia dalam istana baginda yang istimewa. Manakala yang seorang lagi telah terjerumus ke dalam keadaan yang amat teruk sehingga setiap orang bukan sahaja bersimpati kepadanya bahkan mengatakan bahawa dia memang patut menerima padahnya, kerana kebahagiaan dan harta miliknya telah hilang disebabkan oleh kesalahannya. Di samping itu, dia turut menerima hukuman dan menanggung penderitaan.


21. Page

 Justeru, wahai nafsu yang sangat banyak kemahuan! Lihatlah wajah hakikat melalui teropong perumpamaan ini. Sesungguhnya Sultan itu ialah Rabb dan al-Khaliq-mu yang merupakan Sultan keazalian dan keabadian. Semua ladang, jentera, peralatan dan neraca itu pula ialah apa yang engkau miliki dalam lingkungan kehidupanmu iaitu tubuh badan, roh dan hati yang di dalam apa yang engkau miliki itu serta deria-deria zahir dan batinmu seperti mata dan lidah, akal dan khayalanmu di dalam itu semua. Utusan yang mulia itu ialah Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang amat mulia. Titah yang sangat bijaksana itu pula ialah al-Quran al-Hakim yang telah menawarkan perniagaan besar dalam perbincangan kita tadi menerusi ayat berikut:

إِنَّ اللّٰهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوٰلَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ

 (Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka).

Medan perang yang bergelombang itu pula ialah wajah dunia yang meribut yang tidak pernah berhenti, terus berputar dan menjadi rosak. Ia memberikan fikiran berikut kepada akal setiap manusia: “Memandangkan semua benda akan terlepas dari tangan kita, akan menjadi fana lalu menghilang, agaknya, tiadakah cara untuk mengubahnya menjadikannya baqa’ dan kekal?”

Sebaik sahaja ia berkata begitu, semasa akal memikirkannya, tiba-tiba kedengaran suara samawi al-Quran. Ia berkata: “Ya, ada. Malah ada satu cara yang bagus dan senang dalam satu bentuk yang mempunyai lima peringkat keuntungan.”

Soalan: Apakah cara itu?

Jawapan: Menjualkan amanah itu kepada Pemilik asalnya. Justeru pada jualan itu terdapat lima peringkat keuntungan dalam keuntungan.


22. Page

Keuntungan Pertama: Harta yang fana menjadi kekal kerana kehidupan sementara yang dijual kepada Dzat Dzul Jalal yang merupakan al-Qayyum al-Baqi dan dibelanjakan di jalan-Nya itu berubah menjadi kekal dan akan memberikan buah-buahan abadi. Ketika itu minit-minit umur umpama benih dan bijian yang hilang dan reput secara zahir, tetapi mengembangkan bunga-bunga kebahagiaan dan bertunas di Alam Baqa’. Tiap-tiap satunya akan menjadi pemandangan yang bercahaya dan mendamaikan di Alam Barzakh.

Keuntungan Kedua: Diberikan bayaran seperti syurga.

Keuntungan Ketiga: Nilai setiap anggota dan indera akan meningkat dari satu kepada seribu. Misalnya akal ialah sejenis alat. Jika engkau tidak menjualkannya kepada Allah bahkan menggunakannya untuk nafsu, ketika itu ia akan menjadi sejenis alat yang tercela, mengganggu dan menyusahkan kerana ia turun ke tahap sebagai celaka dan memudaratkan yang akan membebankan kepalamu yang buntu itu dengan kesakitan masa lampau yang menyedihkan dan ketakutan masa hadapan yang menggerunkan.

Maka, kerana inilah, untuk menyelamatkan diri daripada gangguan dan kegelisahan akal, orang fasiq biasanya akan melarikan diri sama ada kepada kemabukan ataupun hiburan. Sekiranya akal itu dijual kepada Pemilik Sebenar dan engkau gunakan atas nama-Nya, maka ia akan menjadi anak kunci yang begitu sakti sehingga boleh membuka segala khazanah rahmat dan perbendaharaan hikmah yang tiada penghujung yang ada di alam semesta ini. Dengannya ia akan meningkat ke martabat pembimbing bersifat Rabbani yang akan mempersiapkan pemiliknya ke arah kebahagiaan abadi.

Contohnya lagi, mata ialah deria yang membolehkan roh menyaksikan alam ini melalui jendela tersebut. Sekiranya engkau tidak menjualkannya kepada Allah bahkan menggunakannya menurut kehendak nafsu, dengan menyaksikan sesetengah keindahan dan pemandangan yang sementara dan tidak berterusan, ia akan menjadi khadam kepada syahwat dan hawa nafsu yang setahap dengan qawwad (perantara maksiat).


23. Page

Jika engkau menjualkannya kepada as-Sani’ al-Basir (Pencipta yang Maha Melihat) dan menggunakan ia kerana-Nya dan dalam daerah keizinan-Nya, pada masa itu mata tersebut akan meningkat ke martabat peneliti kitab besar alam semesta ini, penonton mukjizat ciptaan Rabbani pada alam ini dan lebah yang diberkati untuk bebunga rahmat dalam taman dunia ini.

Contoh: Sekiranya engkau tidak menjualkan deria rasa pada lidah kepada al-Fatir al-Hakim, bahkan menggunakan ia atas nama nafsu dan perut, waktu itu ia akan turun dan jatuh ke tahap penjaga pintu untuk kandang dan kilang perut. Jika engkau menjualnya kepada ar-Razzaq al-Karim, waktu itu, deria rasa pada lidah akan naik ke darjat pemantau khazanah rahmat Ilahi yang mahir dan penyelidik dapur-dapur qudrat Samadaniyyah yang bersyukur.

Maka, berhati-hatilah wahai akal! Di manakah alat yang tercela dan di manakah pula anak kunci alam semesta? Wahai mata, lihat baik-baik! Di manakah qawwad yang hina dan di manakah pula pengkaji perpustakaan Ilahi yang pakar. Wahai lidah rasalah baik-baik! Di manakah penjaga kandang dan pengawal kilang dan di manakah pula pemantau khazanah rahmat yang istimewa? Jika engkau membandingkan banyak lagi alat dan anggota lain seperti semua ini, engkau akan memahami bahawa sesungguhnya orang mukmin sentiasa mendapat keperibadian yang layak dengan syurga dan orang kafir pula mendapat keperibadian yang sesuai dengan neraka. Sebenarnya sebab mereka mendapat nilai yang sebegitu ialah: Dengan keimanannya, orang mukmin menggunakan amanah al-Khaliq-nya atas nama dan dalam daerah keizinan-Nya. Manakala orang kafir mengkhianati dan menggunakannya atas nama nafsu amarah.


24. Page

Keuntungan Keempat: Sesungguhnya insan itu lemah sedangkan dugaannya banyak. Dia fakir sedangkan keperluannya tidak terhitung. Dia lemah sedangkan bebanan hidup amat berat. Jika dia tidak bersandar kepada al-Qadir Dzul Jalal lalu tidak bertawakal kepada-Nya, tidak percaya lalu tidak menyerah kepada-Nya, nescaya sanubarinya akan kekal dalam kesengsaraan yang berterusan. Semua kesusahan, kesakitan dan penyesalan yang tiada faedah akan melemaskannya sehingga menjadikannya mabuk ataupun binatang yang ganas.

Keuntungan Kelima: Para ahli dzauq dan kasyaf serta ahli ikhtisas dan ahli musyahadah telah bersepakat bahawa semua ibadah dan zikir anggota dan alat-alat itu dan ganjaran-ganjaran mereka yang tinggi itu akan dikurniakan kepadamu dalam bentuk buah-buahan syurga semasa engkau amat memerlukannya. Justeru, sekiranya engkau tidak menjalankan perniagaan yang mempunyai keuntungan dalam lima peringkat ini, selain terhalang daripada keuntungan-keuntungan tersebut engkau juga akan jatuh ke dalam lima peringkat kerugian dalam kerugian.

Kerugian Pertama: Harta dan anak-pinak yang sangat engkau kasihi, nafsu dan kehendaknya yang engkau puja, usia muda dan kehidupan yang engkau gilakan itu akan hilang, ghaib dan akan terlepas dari tanganmu. Namun itu semua akan meninggalkan dosa-dosa dan kesakitannya kepadamu lalu memikulkannya ke atas tengkukmu.

Kerugian Kedua: Engkau akan menerima hukuman mengkhianati amanah kerana engkau telah menggunakan alat-alat yang paling bernilai itu pada perkara-perkara yang langsung tidak berharga lalu menzalimi dirimu.

Kerugian Ketiga: Engkau menjatuhkan martabat semua anggota keinsanan yang berharga itu ke darjat yang jauh lebih rendah daripada binatang, lalu engkau memfitnah dan menzalimi hikmah Ilahi.


25. Page

Kerugian Keempat: Bersama dengan kelemahan dan kefakiranmu, engkau akan memikul bebanan kehidupan yang amat berat itu ke pinggangmu yang lemah dan engkau akan sentiasa meratap di bawah tamparan kehilangan dan perpisahan.

Kerugian Kelima: Engkau mengubah hadiah indah ar-Rahman seperti akal, hati, mata dan lidah yang diberikan untuk mendapat asas-asas kehidupan abadi dan keperluan-keperluan kebahagiaan ukhrawi menjadi satu bentuk yang buruk dan akan membuka pintu-pintu neraka kepadamu.

 

Sekarang kita akan melihat kepada penjualan. Agaknya adakah ia sesuatu yang begitu berat sehingga kebanyakan mereka tidak mahu menjualnya? Tidak, sama sekali tidak! Ia langsung tidak berat! Kerana daerah halal itu adalah luas dan cukup untuk kenikmatan. Langsung tiada keperluan untuk memasuki daerah haram. Fardhu-fardhu Ilahi pula adalah ringan dan sedikit. Menjadi hamba dan tentera kepada Allah adalah satu kemuliaan yang begitu lazat sehingga amat sukar untuk digambarkan. Tugas kita pula ialah berusaha dan bermula semata-mata kerana Allah seperti seorang tentera, memberi dan mengambil atas nama Allah. Kita perlu bergerak dan mendapat ketenangan dalam daerah keizinan dan undang-undang Allah. Jika bersalah hendaklah beristighfar dan mengucap serta merayu kepada-Nya: “Ya Rabb! Ampunilah kekurangan kami, terimalah kami sebagai hamba-Mu, jadikanlah kami insan-insan yang jujur dengan amanah-Mu sehingga saat ia diambil.”