Kalimah Kelapan

33. Page

KALIMAH KELAPAN


بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ

اللّٰهُ لاَ إِلٰهَ إِلاَّ هُوَ الحَيُّ الْقَيُّومُ

Allah itu tiada tuhan selain-Nya. Dialah al-Hayy al-Qayyum (Ali Imran, 2)

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللّٰهِ الإِسْلٰمُ

Sesungguhnya ad-Din di sisi Allah ialah Islam 

(Ali Imran, 19)

 

Jika engkau ingin memahami hakikat dunia ini dan roh insani yang ada di dalamnya, hakikat agama dan nilai-nilainya pada manusia, bagaimana dunia akan menjadi penjara jika tiada agama yang benar, bagaimana insan yang tidak beragama menjadi makhluk yang paling malang dan bagaimana يَا اَللّٰهُ  dan لَٓا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ  menjadi sesuatu yang membuka rahsia alam ini dan menyelamatkan roh manusia daripada kegelapan, maka renung dan dengarilah hikayat perumpamaan yang pendek ini:

Pada zaman dahulu, dua orang bersaudara menuju satu pengembaraan yang panjang bersama-sama. Mereka berjalan sehinggalah jalan terbahagi dua. Di pangkal jalan itu mereka ternampak seorang lelaki yang budiman.

Mereka bertanya kepadanya: “Jalan manakah yang baik?”

Dia pun menjawab kepada mereka: “Di jalan kanan, terdapat kewajipan mengikuti undang-undang dan peraturan. Namun, dalam kesusahan tersebut terdapat keamanan dan kebahagiaan. Di jalan kiri pula terdapat kebebasan dan kemerdekaan. Namun, dalam kebebasan itu terdapat bahaya dan derita. Sekarang, terpulang kepada kalian untuk membuat pilihan.”

Selepas mendengarnya, saudara yang berakhlak mulia telah melafazkan: تَوَكَّلْتُ عَلَى اللّٰهِ  lalu pergi ke jalan kanan dan telah bersetuju untuk mengikuti undang-undang dan peraturan. Seorang lagi saudara yang tidak berakhlak dan suka berpelesiran, telah memilih jalan kiri semata-mata demi kebebasan. 


34. Page

Sekarang, kita akan mengikuti orang yang pergi dalam keadaan yang ringan pada zahir namun berat secara maknawi ini menerusi khayalan.

Orang ini merentasi lembah dan bukit lalu lama-kelamaan dia memasuki sebuah padang pasir yang tandus. Tiba-tiba dia terdengar suara yang amat menggerunkan. Dia nampak seekor singa yang sangat garang keluar dari rimba menerkam ke arahnya. Dia pun melarikan diri sehinggalah dia bertemu sebuah perigi buta sedalam enam puluh hasta. Kerana ketakutan, dia terjun ke dalamnya. Setelah sampai separuh perigi, tangannya terpaut kepada sebatang pokok lalu dia memegangnya kuat-kuat. Pokok yang tumbuh pada dinding perigi itu memiliki dua akar. Dua ekor tikus, seekor putih dan seekor hitam menggigit dan memotong dua akar itu. Dia mendongak ke atas dan nampak seekor singa menunggu di bibir perigi seperti seorang pengawal. Dia memandang ke bawah dan nampak bahawa seekor naga yang amat menakutkan berada di dalam. Naga itu telah mengangkat kepalanya menghampiri kaki orang itu yang berada tiga puluh hasta di atasnya. Mulutnya seluas mulut perigi. Dia melihat ke dinding perigi. Dia nampak bahawa serangga-serangga bersengat dan memudaratkan mengerumuni sekitarnya. Dia memandang ke bahagian atas pokok dan mendapati bahawa ia adalah sebatang pohon Tin. Tetapi apa yang menakjubkan, pada tangkainya terdapat buah-buahan daripada bermacam-macam jenis pokok daripada kacang walnut sehinggalah delima.

Walau bagaimanapun, kerana salah memahami dan tidak berfikir dengan baik, orang itu tidak memahami bahawa hal ini bukanlah perkara yang biasa. Tidak mungkin perkara-perkara ini adalah kebetulan. Dalam perkara yang ajaib ini terdapat rahsia-rahsia yang aneh. Dia tidak mengerti akan kewujudan pelaku yang sangat besar di sebalik semua ini. 

35. Page

Sekarang, walaupun hati, roh dan akalnya merintih dan menjerit daripada keadaan yang menyakitkan ini secara sembunyi, - bagaikan tiada apa yang berlaku - nafsu amarahnya berpura-pura tidak sedar lalu menutup telinganya daripada tangisan roh dan hatinya. Lantas sambil menipu diri sendiri, dia mula memakan buah-buahan pohon tersebut seolah-olah dia sedang berada di sebuah taman, sedangkan buah-buah itu sebahagiannya adalah beracun dan memudaratkan.

Dalam sebuah Hadith Qudsi, Allah Taala telah berfirman: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى. Maksudnya:“Aku memperlakukan hamba-Ku sebagaimana dia mengenali-Ku.”

Demikianlah orang yang malang ini, melalui prasangka dan kebodohannya dia menerima apa yang dilihatnya sebagai biasa dan hakikat. Begitu jugalah perlakuan yang telah, sedang dan akan dialaminya. Bagaikan telur di hujung tanduk, dia tidak mati dan tidak juga hidup. Dalam keadaan yang sebegitu, dia menanggung azab.

Untuk mengetahui keadaan seorang lagi saudaranya, kita biarkan dahulu si malang ini dalam azab tersebut kemudian kita akan kembali semula.

Sesungguhnya orang yang diberkati dan bijak itu pun berjalan. Tetapi dia tidak mengalami kesusahan seperti saudaranya. Kerana dia berakhlak mulia, maka dia sentiasa memikirkan perkara-perkara yang baik dan mengkhayalkan perkara-perkara indah. Dia sentiasa menenangkan dirinya sendiri. Malahan, dia tidak merasai kepayahan dan kesukaran seperti saudaranya. Ini kerana dia mengetahui peraturan, dan mengikutinya maka dia mendapat kesenangan. Dia bebas berpergian dalam keselamatan dan keamanan. 


36. Page

Maka, dia terjumpa dengan sebuah taman. Di dalamnya terdapat bunga-bunga yang cantik dan buah-buahan. Kerana tidak dipelihara, perkara-perkara yang jijik turut ditemui. Saudaranya juga telah memasuki sebuah taman yang sebegini. Tetapi, kerana dia sibuk memerhatikan perkara-perkara yang jijik itu, maka perutnya berasa mual. Dia terus keluar dan pergi tanpa berehat walaupun sedikit.

Orang baik yang beramal dengan kaedah ‘lihatlah kepada kebaikan semua benda ini langsung tidak melihat kepada benda-benda yang jijik itu. Dia beristifadah (mengambil manfaat) dengan baik daripada perkara-perkara yang baik. Dia keluar dan pergi setelah beristirahat dengan baik.

Kemudian, lama-kelamaan, seperti saudaranya yang terdahulu dia juga memasuki padang pasir yang luas. Tiba-tiba, dia terdengar ngauman seekor singa yang sedang menerkam (ke arahnya). Dia ketakutan, tetapi dia tidak takut seperti saudaranya. Kerana dengan sangkaannya yang baik dan fikirannya yang elok, dia menganggap bahawa: “Padang pasir ini ada penguasanya dan ada kemungkinan bahawa singa itu ialah pembantu di bawah perintahnya” lalu, dia mendapat ketenangan.

Namun begitu, dia tetap melarikan diri sehinggalah dia bertemu dengan perigi sedalam enam puluh hasta dan terjun ke dalamnya. Seperti saudaranya, dia juga berpaut pada pohon di tengah perigi dan tergantung padanya. Dia melihat dua ekor binatang sedang memotong dua akar pokok itu. Apabila mendongak ke atas dia nampak seekor singa dan apabila memandang ke bawah dia nampak seekor naga. Seperti saudaranya dia menyedari suatu keadaan yang pelik. Dia juga merasa sangat takut. Tetapi seribu kali ganda lebih ringan berbanding dengan rasa takut saudaranya. Ini kerana, akhlak mulianya memberinya fikiran yang baik dan fikiran yang baik menunjukkan kepadanya sudut yang baik bagi setiap sesuatu. Justeru itu dia telah berfikir: 

37. Page

“Perkara-perkara yang ajaib ini berkait antara satu sama lain. Malahan, semuanya kelihatan seperti bergerak di bawah satu perintah. Jadi, terdapat suatu rahsia dalam semua perkara ini. Ya, semua ini bergerak di bawah arahan seorang pemerintah yang tidak kelihatan. Jadi, aku tidak keseorangan. Penguasa yang tidak kelihatan itu sedang memandangku. Dia sedang mengujiku, dia memandu dan menjemputku ke suatu tempat untuk satu tujuan.” Daripada ketakutan yang lazat dan fikiran yang baik itu, terbitlah suatu rasa ingin tahu sehingga dia berkata: “Agaknya, siapakah yang mengujiku dan ingin memperkenalkan dirinya kepadaku lalu memanduku kepada satu tujuan melalui cara yang menakjubkan ini?” Kemudian, daripada rasa ingin mengenali ini lahirlah rasa cinta kepada pemilik rahsia tersebut. Lalu daripada cinta itu, lahirlah keinginan untuk menyingkap rahsia itu. Daripada keinginan itu, lahirlah kemahuan untuk mencapai kedudukan yang baik yang boleh diredhai dan menggembirakan pemilik rahsia tersebut.

Kemudian dia telah memandang ke bahagian atas pokok itu dan nampak bahawa ia adalah pokok Tin. Tetapi di tangkainya terdapat ribuan buah-buahan. Waktu itu, ketakutannya telah hilang sama-sekali kerana dia telah faham dengan yakin bahawa pokok Tin itu merupakan satu senarai, satu intisari dan satu pameran. Barangkali pemerintah ghaib itu telah meletakkan dan menghias pokok itu dengan itu contoh bagi buah-buahan yang terdapat di kebun dan tamannya dengan suatu rahsia dan suatu mukjizat. Tiap-tiap satunya merupakan satu isyarat kepada makanan-makanan yang telah disediakan kepada para tetamunya. Jika tidak, sebatang pokok tidak boleh mengeluarkan buah-buahan bagi ribuan pokok. 


38. Page

Kemudian dia mula merayu sehinggalah anak kunci rahsia itu diilhamkan kepadanya. Maka dia telah melaungkan: “Wahai Penguasa tempat ini! Aku telah jatuh ke dalam takdir-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dan aku khadam kepada-Mu. Aku inginkan keredhaan-Mu dan aku mencari-Mu.

Selepas rayuan itu, tiba-tiba dinding perigi itu terbelah lalu terbukalah pintu ke sebuah taman yang luar biasa, bersih dan indah. Bahkan, mulut naga itu berubah menjadi pintu tersebut. Singa dan naga itu berubah menjadi dua khadam dan mempersilakannya masuk ke dalam. Hatta singa itu berubah menjadi seekor kuda yang taat kepadanya.

Justeru, wahai nafsuku yang malas! Wahai sahabat khayalanku! Marilah kita bandingkan keadaan dua saudara ini supaya kita boleh melihat dan mengetahui bagaimanakah kebaikan membawa kebaikan dan bagaimanakah keburukan membawa keburukan.

Lihatlah! Pengembara jalan kiri yang malang itu menunggu bila-bila masa sahaja untuk masuk ke dalam mulut naga itu sambil menggigil, manakala si bertuah itu, dijemput ke satu taman yang subur berbuah dan indah berseri-seri. Si malang itu, hatinya hancur dalam suatu kedahsyatan yang menyakitkan dan suatu ketakutan yang besar manakala si bertuah itu, menonton dan memerhatikan perkara-perkara yang aneh dalam iktibar yang lazat, ketakutan yang manis dan makrifat yang dicintai.

Si malang itu menanggung azab dalam ketakutan, putus asa dan keseorangan; si bertuah itu pula sedang enak dalam ketenangan, harapan dan kerinduan. Si malang melihat dirinya seperti tahanan yang terdedah kepada serangan binatang-binatang ganas, si bertuah itu pula menjadi tetamu yang mulia. Dia bersenang-lenang dan berseronok dengan khadam-khadam ajaib kepada Tuan Rumah yang Mulia yang telah menjemputnya bertamu. 


39. Page

Si malang itu menyegerakan azabnya dengan memakan buah-buahan yang zahirnya lazat namun secara maknawinya beracun itu. Ini kerana buah-buah itu hanyalah contoh. Keizinan untuk merasa itu ada supaya dia meminta dan membeli buah-buah yang sebenar bagi contoh itu. Jika tidak, tiadalah keizinan untuk menelan dengan gelojoh seperti haiwan. Manakala si bertuah itu merasai buah-buah tersebut lantas memahami perkara itu. Maka dia menangguhkan makan dan merasa enak dalam penantian.

Si malang itu telah menzalimi dirinya sendiri. Dengan ketiadaan basirahnya (mata hati), dia telah mengubah hakikat yang indah dan keadaan yang terang-benderang seperti siang kepada sangkaan dan neraka yang gelap dan gelita untuk dirinya sendiri. Dia tidak layak kepada simpati dan juga tidak berhak untuk mengadu tentang sesiapa.

Sebagai contoh: Jika seseorang yang memabukkan dirinya dengan arak-arak yang jijik dan mengkhayalkan dirinya berada dalam musim sejuk bersama binatang-binatang buas dalam keadaan lapar dan tidak berpakaian mula menjerit dan menangis kerana tidak berpuas hati dengan suasana dalam majlis jamuan yang enak di sebuah taman yang indah bersama teman-temannya dalam musim panas itu tidak layak kepada belas kasihan dan menzalimi diri sendiri kerana dia melihat sahabat-sahabatnya sebagai binatang buas serta menghina mereka, maka demikianlah juga orang yang malang tadi.

Si bertuah pula sentiasa nampak hakikat. Hakikat pula adalah indah. Dengan memahami keindahan hakikat, dia menghormati kesempurnaan Pemilik Hakikat. Maka, dia layak kepada rahmat-Nya. Justeru muncullah rahsia hukum al-Quran iaitu: “Ketahuilah bahawa keburukan itu daripada dirimu sendiri dan kebaikan itu daripada Allah.” 


40. Page

Jika engkau membandingkan banyak lagi perbezaan sebegini, engkau akan memahami bahawa nafsu amarah orang yang pertama tadi sentiasa menyediakan untuknya sebuah neraka maknawi. Manakala niat baik, sangkaan baik, sikap baik dan fikiran baik pada yang seorang lagi menjadikannya layak mendapat ihsan dan kebahagiaan yang besar, serta kelebihan dan limpahan yang bercahaya.

Wahai nafsuku dan wahai orang yang mendengar hikayat ini bersama nafsuku! Jika engkau tidak mahu menjadi saudara yang malang itu dan mahu menjadi saudara yang bertuah itu, dengarlah al-Quran dan patuhlah kepada hukumnya. Berpautlah kepadanya dan beramallah dengan hukum-hukumnya. Sekiranya engkau telah memahami hakikat-hakikat dalam hikayat perumpamaan ini, maka engkau boleh melaksanakan hakikat agama, dunia, insan dan iman berpandukan kepadanya. Aku akan memberitahu yang penting-penting. Engkau kupaslah sendiri perinciannya.

Maka lihatlah! Sesungguhnya dua saudara itu, satunya ialah roh orang mukmin dan hati orang yang soleh. Satu lagi ialah roh orang kafir dan hati orang yang fasiq.

Jalan kanan daripada dua jalan itu ialah jalan al-Quran dan iman.

Yang kiri pula ialah jalan kederhakaan dan kekufuran.

Taman di jalan itu ialah kehidupan bermasyarakat yang sementara dalam masyarakat manusia dan ketamadunan insan yang mana perkara-perkara yang baik dan buruk, yang elok dan teruk, yang bersih dan kotor ditemui bersama-sama. Orang yang bijak ialah yang sentiasa beramal dengan kaedah: خُذْ مَا صَفَا دَعْ مَا كَدَرْ1 lalu pergi dengan hati yang sejahtera.


41. Page

Padang pasir itu ialah bumi dan dunia ini.

Singa itu ialah kematian dan ajal.

Perigi itu ialah tubuh manusia dan tempoh kehidupan.

Kedalaman enam puluh hasta itu ialah isyarat kepada enam puluh tahun yang merupakan umur pertengahan dan umur kebiasaan manusia.

Pokok itu ialah tempoh umur dan bahan kehidupan.

Dua ekor haiwan hitam dan putih itu ialah siang dan malam.

Naga itu ialah jalan barzakh dan bilik menunggu akhirat yang mana mulutnya ialah kubur. Tetapi bagi orang mukmin, mulut itu ialah pintu yang dibuka daripada penjara ke sebuah taman.

Serangga-serangga yang memudaratkan itu ialah musibah-musibah duniawi. Tetapi, bagi orang mukmin ia merupakan amaran Ilahi yang manis dan keprihatinan ar-Rahman agar tidak tenggelam dalam lena kelalaian.

Buah-buahan yang terdapat pada pokok itu ialah nikmat-nikmat duniawi yang mana Dzat al-Karim al-mutlaq telah menjadikan buah-buah itu sebagai senarai, pengingat, penyerupa serta contoh-contoh bagi nikmat Akhirat yang mempelawa para pembeli kepada buah-buahan syurga.

Berbuahnya pokok itu dengan buah yang bermacam-macam walaupun hanya sebatang merupakan isyarat kepada mohor qudrat Samadaniyyah, cop rububiyyah Ilahiyyah dan jata kesultanan uluhiyyah. Ini kerana ‘menjadikan semua benda daripada hanya satu benda’ iaitu, menumbuhkan semua tumbuhan dan buah-buahan daripada tanah, mencipta semua haiwan daripada air dan mencipta semua anggota makhluk bernyawa daripada satu makanan yang ringkas, serta ‘menjadikan semua benda sebagai benda yang satu’ iaitu menghasilkan ciptaan-ciptaan seperti membuat seketul daging yang khusus dan menjalin secebis kulit yang ringkas untuk makhluk-makhluk bernyawa itu daripada jenis-jenis makanan yang sangat berlainan yang dimakan oleh mereka merupakan satu mohor khusus, cop istimewa dan jata Dzat al-Ahad as-Samad yang merupakan Sultan keazalian dan keabadian yang tidak boleh ditiru. Ya, menjadikan satu benda sebagai semua benda dan semua benda sebagai satu benda merupakan lambang dan tanda yang khusus kepada al-Khaliq setiap benda dan al-Qadiru Kulli Syai’


42. Page

Rahsia itu ialah rahsia hikmah penciptaan yang dibuka dengan rahsia iman.

Kunci itu ialah: يَا اَللّٰهُ, لَٓا إِلٰهَ اِلَّا اللّٰهُ  dan اَللّٰهُ لَٓا إِلٰهَ اِلَّا هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ.

Perubahan mulut naga itu kepada pintu sebuah taman ialah isyarat bahawa walaupun kubur menjadi pintu yang dibuka ke satu kubur yang susah seperti penjara dan sempit seperti perut seekor naga bagi orang yang sesat dan melampaui batas - dalam ketakutan dan kelupaan - namun, bagi ahli al-Quran dan iman, ia merupakan pintu yang dibuka dari penjara dunia menuju ke bustan (taman) abadi, dari medan ujian ke Raudhah Jannah (taman Syurga) dan daripada kepayahan hidup kepada rahmat ar-Rahman.

Perubahan singa ganas itu kepada khadam yang jinak dan kuda yang berkhidmat untuknya pula adalah isyarat bahawa bagi orang-orang yang sesat, maut ialah perpisahan abadi yang menyakitkan daripada semua kekasih dan pengusiran dari syurga duniawi mereka yang menipu, serta penghumbanan dan pengurungan ke dalam penjara kubur dalam ketakutan dan keseorangan. Namun bagi ahli hidayah dan ahli al-Quran, maut ialah wasilah untuk berjumpa dengan sahabat-sahabat lama dan insan-insan tersayang yang telah pergi ke alam lain dan wasitah untuk masuk ke tanah air sebenar dan ke maqam kebahagiaan abadi. Ia juga merupakan jemputan dari penjara dunia ke taman syurga; penantian giliran untuk mendapatkan ganjaran daripada kurniaan ar-Rahman ar-Rahim sebagai balasan perkhidmatan mereka sendiri; pelepasan daripada kesusahan tugas kehidupan dan penamat daripada latihan dan taklimat untuk 'ubudiyyah dan ujian.


43. Page

Kesimpulan: Jika seseorang itu menjadikan kehidupan yang fana sebagai matlamat utama, walaupun secara zahir dia berada di dalam syurga, namun secara maknawi dia berada dalam neraka.

Jika seseorang itu benar-benar menuju ke arah kehidupan yang baqa’, dia akan mendapat ‘Sa‘adatud Darain’ (kebahagiaan dunia dan akhirat).

Seteruk dan sesusah manapun dunianya, namun oleh sebab dia melihat dunianya sebagai dewan menunggu syurga, dia akan tetap melihatnya indah, akan terus tabah dan akan sentiasa bersyukur dalam kesabaran.


اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ وَالسَّلاَمَةِ وَالقُرْآنِ وَالإِيمَانِ آمين

 

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ بِعَدَدِ جَمِيعِ الحُرُوفِ المُتَشَكِّلَةِ فِي جَمِيعِ الكَلِمَاتِ المُتَمَثِّلَةِ بِإِذْنِ الرَّحْمَنِ فِي مَرَايَا تَمَوُّجَاتِ الهَوَاءِ عِنْدَ قِرَاءَةِ كُلِّ كَلِمَةٍ مِنْ القُرْآنِ مِنْ كُلِّ قَارِئٍ مِنْ أَوَّلِ النُّزُولِ إِلىَ آخِرِ الزَّمَانِ، وَارْحَمْنَا وَوَالِدَيْنَا وَارْحَمِ المُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِعَدَدِهَا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ آمِين. وَالْحَمْدُ للّٰهِ رَبِّ العَالَمِينَ