Kalimah Kelima

16. Page

KALIMAH KELIMA


بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ 

إِنَّ اللهَ مَعَ الّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ

Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (An-Nahl, 128)

 

Jika engkau ingin melihat bahawa mendirikan solat dan tidak melakukan dosa-dosa besar ialah satu tugas keinsanan yang sangat hakiki dan satu natijah penciptaan manusia yang sangat fitri dan munasabah, maka renung dan dengarlah hikayat perumpamaan yang pendek ini:

Dalam satu kempen peperangan, dua orang askar telah ditempatkan bersama-sama dalam satu pasukan tentera. Salah seorangnya terlatih dan tekun manakala yang seorang lagi tidak berpengalaman dan mengikut nafsu. Si Tekun memberikan perhatian kepada latihan dan jihad. Dia langsung tidak memikirkan tentang sara hidup dan rezekinya kerana dia memahami bahawa memberi makanannya, memberi peralatannya, merawat jika sakit hatta menyuapkan makanan sekiranya perlu pun adalah tanggungjawab kerajaan. Tugas utamanya ialah berlatih dan berjuang. Namun, dia turut melakukan sesetengah kerja penyediaan makanan dan peralatan. Dia memasak, serta mencuci dan membawa pinggan mangkuk. Jika ditanya: “Apa yang engkau lakukan?” Dia menjawab: “Aku menjalankan tanggungjawabku kepada kerajaan” dan tidak berkata: “Aku bekerja untuk menyara hidup sendiri.”

Manakala seorang askar lagi yang tidak berpengalaman dan hanya memikirkan perutnya, langsung tidak memberikan perhatian kepada latihan dan peperangan. Dia menyatakan: “Itu tugas kerajaan. Bukan urusanku!” Dia sentiasa memikirkan nafkahnya dan berlegar di belakangnya. Dia selalu meninggalkan pasukan, pergi ke pasar dan berjual-beli.

Pada suatu hari, kawannya yang terlatih itu berkata kepadanya: “Saudara, tugas utamamu ialah berlatih dan berperang. Kerana itulah engkau telah dibawa ke sini. Yakinlah kepada Sultan kerana dia tidak akan membiarkan engkau kelaparan. Itu merupakan tanggungjawabnya. Tambahan pula, engkau lemah dan fakir. Engkau tidak boleh mendapat makanan di setiap tempat. Lebih-lebih lagi sekarang ini ialah waktu mujahadah dan kempen peperangan. Mereka akan menganggap engkau menderhaka dan akan menghukummu. Ya, dua tugas kelihatan di hadapan kita. Satunya ialah tugas Sultan iaitu memberi kita makan justeru kadang-kadang kita berkhidmat kepadanya. Satu lagi ialah tanggungjawab kita iaitu berlatih dan berperang. Sultan akan membantu dengan memberikan segala kemudahan.”


17. Page

Barangkali engkau juga memahami betapa bahayanya keadaan askar yang keras kepala itu sekiranya dia tidak mendengar nasihat pejuang yang terlatih tersebut.

Justeru wahai nafsuku yang malas!

Medan perang yang bergelombang itu ialah kehidupan dunia yang tidak menentu ini.

Tentera yang dibahagikan kepada batalion-batalion itu pula ialah masyarakat manusia.

Batalion itu ialah jemaah Islam di kurun ini.

Dua orang askar itu pula, seorangnya ialah orang Muslim bertaqwa yang mengetahui dan mengamalkan fardhu-fardhu agamanya, bermujahadah melawan nafsu dan syaitan demi meninggalkan dosa-dosa besar dan tidak melakukan dosa-dosa kecil.

Seorang lagi ialah orang fasiq yang rugi yang hanyut dalam urusan sara hidup sehingga tergamak menyalahkan ar-Razzaq al-Haqiqi (Pemberi Rezeki Sebenar) lantas meninggalkan fardhu-fardhu dan melakukan dosa-dosa yang ditempuhinya di jalan pencarian rezekinya.

Latihan-latihan dan taklimat arahan itu ialah ibadat yang pada permulaannya ialah solat.

Peperangan itu ialah bermujahadah terhadap hawa nafsu dan syaitan jin dan manusia lalu menyelamatkan hati dan roh daripada kebinasaan abadi, dosa-dosa dan akhlak yang hina.

Dua tugas itu ialah: Yang pertama, memberi kehidupan lalu memberi rezeki. Yang kedua, menyembah dan merayu kepada yang telah memberi kehidupan dan memberi rezeki iaitu bertawakal dan meyakini-Nya. Ya, sesiapa saja yang telah memberi dan mencipta kehidupan yang merupakan mukjizat kesenian as-Samad dan keluarbiasaan hikmah Rabbaniyyah yang paling terang, sudah tentu Dia jugalah yang akan menyara dan meneruskan usia kehidupan itu dengan rezeki. Mustahil terdapat yang selain-Nya.


18. Page

Adakah engkau inginkan bukti? Binatang yang paling lemah dan bodoh seperti ulat buah dan ikan diberi makan dalam keadaan yang paling baik. Makhluk yang paling lemah dan rapuh seperti bayi dan anak-anak haiwan memakan rezeki yang paling baik. Ya, jika engkau ingin memahami bahawa mendapat rezeki yang halal itu bukanlah dengan kekuasaan dan pilihan bahkan dengan kelemahan dan kedaifan, maka membandingkan antara ikan dan musang, antara anak-anak kecil dan binatang buas dan antara tumbuhan dan haiwan adalah mencukupi.

Maknanya, sesiapa yang meninggalkan solat demi masalah sara hidup samalah seperti askar yang meninggalkan latihan dan kubunya lalu mengemis di pasar. Sebaliknya, pergi sendiri mencari rezeki yang telah ditentukan untuknya daripada dapur rahmat ar-Razzaq al-Karim selepas menunaikan solat merupakan usaha yang baik, bahkan ia merupakan satu sikap yang mulia dan ia juga merupakan suatu ibadah. Fitrah manusia dan peralatan maknawinya juga menunjukkan bahawa dia dicipta untuk ibadat. Ini kerana dari segi amalan dan keupayaan manusia yang diperlukan untuk kehidupan duniawinya tidak akan mampu mengatasi burung pipit yang paling lemah. Sebaliknya manusia dengan ilmu dan kefakirannya dari segi ibadah dan tadharru’ (ketundukan) yang diperlukan oleh kehidupan maknawi dan ukhrawinya adalah ibarat Sultan dan panglima tertinggi segala haiwan.

Maknanya, wahai nafsu! Jika engkau menjadikan kehidupan duniawi sebagai matlamat hidup dan sentiasa berusaha untuknya, engkau seolah-olah menjadi seorang askar kepada burung pipit yang paling rendah. Sebaliknya, jika engkau menjadikan kehidupan ukhrawi sebagai matlamat dan menjadikan kehidupan ini juga sebagai wasilah dan kebun untuknya dan jika engkau berusaha berdasarkannya, ketika itu engkau ibarat panglima kepada segala haiwan, hamba Allah yang rapat dan banyak merayu dan tetamu-Nya yang dimuliakan dan dihormati di dunia ini.

Inilah dua jalan untukmu. Engkau boleh memilih mana satu yang engkau suka. Pohonlah hidayah dan taufiq daripada Arham ar-Rahimin