NAVIGATION
90. Page
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَٓاءَ الدُّنْيَا ِبمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ
Wahai tuan-tuan lepasan maktab moden yang fikirannya semakin sempit dengan hal-ehwal kosmografi yang tiada roh, akalnya telah turun ke mata dan tidak dapat menempatkan rahsia agung ayat di atas ke dalam fikirannya yang telah sempit! Sesungguhnya langit ayat ini dapat dinaiki melalui tangga yang mempunyai tujuh anak tangga. Mari! Kita akan naik bersama-sama.
Anak Tangga Pertama: Hakikat dan hikmah mahu supaya langit juga berpenghuni seperti bumi. Maka dalam bahasa syarak, jenis-jenis hidupan yang berlainan itu dinamakan malaikat dan rohaniyyin.
Ya hakikat mahukan begitu. Ini kerana, bersama dengan kekerdilan dan kehinaannya, pemenuhan bumi dengan makhluk-makhluk bernyawa dan kadang-kadang dikosongkan lalu dihias semula dengan makhluk-makhluk berakal mengisyaratkan bahkan menunjukkan dengan jelas bahawa langit yang memiliki buruj-buruj yang hebat dan ibarat istana-istana yang terhias ini juga penuh dengan makhluk-makhluk yang memiliki akal dan kefahaman. Mereka juga merupakan para penonton istana alam, pengkaji kitab alam semesta dan juruhebah rububiyyah kesultanan ini. Ini kerana, penghiasan dan penatariasan alam semesta ini dengan perhiasan-perhiasan, kecantikan serta ukiran-ukiran yang tidak terkira secara jelas mahukan pandangan para pengkagum yang berfikir dan penyanjung yang kehairanan.
91. Page
Ya, sudah tentu kecantikan mahukan pencinta. Makanan pula diberi kepada yang lapar. Ini kerana, terhadap tugas yang tidak terbatas, penyeliaan yang hebat dan pengabdian yang luas ini, manusia dan jin hanya dapat melaksanakan satu daripada sejutanya sahaja. Ini bermakna, untuk tugas dan ibadah yang tidak terhitung jumlahnya dan pelbagai itu memerlukan jenis-jenis malaikat dan kumpulan makhluk rohani yang tidak terhitung. Melalui isyarat sesetengah riwayat dan menerusi hikmah penyusunan alam, boleh dikatakan bahawa sebahagian jisim-jisim yang beredar di langit bermula daripada planet sehingga titisan-titisan air merupakan tunggangan bagi sebahagian malaikat. Mereka menumpangi jisim-jisim itu dengan keizinan Ilahi lalu menonton dan menjelajahi alam syahadah (alam yang dilihat ini).
Malah boleh dikatakan juga bahawa, sebahagian tubuh binatang bermula daripada burung-burung syurga yang dinamakan dalam Hadith sebagai خُضْرٌ طُيُورٌ (burung-burung hijau) sehingga lalat adalah pesawat bagi sekumpulan roh. Mereka memasuki tubuh-tubuh binatang itu dengan perintah al-Haq. Mereka menjelajahi alam jasmani lalu menatap mukjizat-mukjizat fitrah yang berbentuk jasmani melalui jendela-jendela perasaan yang terdapat pada tubuh-tubuh itu.
Sudah tentu bagi al-Khaliq yang mencipta kehidupan yang latif dan makhluk-makhluk nurani yang memiliki kefahaman daripada tanah yang legap dan daripada air yang keruh mempunyai sebahagian makhluk-makhluk berakal yang sesuai dengan roh dan kehidupan daripada laut cahaya dan samudera kegelapan itu. Malah terdapat dengan sangat banyak.
Sesungguhnya kewujudan malaikat dan makhluk-makhluk rohani telah diisbatkan secara muktamad setahap dua darab dua adalah empat dalam dua risalah yang bernama “Noktah” dan “Kalimah Kedua Puluh Sembilan”. Jika mahu rujuklah kepadanya.
92. Page
Anak Tangga Kedua: Bumi dan langit berhubung kait antara satu sama lain bagaikan dua buah negeri bagi satu kerajaan. Terdapat kaitan yang penting dan perlakuan yang amat perlu di antara kedua-duanya.
Benda-benda yang diperlukan bumi seperti cahaya, kepanasan dan keberkatan datang yakni dihantar dari langit.
Melalui ijma’ semua agama samawi yang bersandar kepada wahyu serta melalui riwayat mutawatir semua ahli kasyaf (para wali Allah yang boleh melihat alam ghaib) yang bersandar kepada penyaksian, (menyatakan bahawa) para malaikat dan roh datang ke bumi dari langit. Daripada hakikat ini, melalui keyakinan qat’i yang seolah-olah dapat dirasai, diketahui bahawa terdapat satu jalan untuk naik ke langit bagi penghuni bumi.
Ya, sepertimana akal, khayalan dan pandangan semua orang dapat pergi ke langit pada bila-bila masa, begitu juga roh para nabi dan wali yang meninggalkan bebanan mereka ataupun roh orang-orang mati yang menanggalkan tubuh mereka dapat pergi ke sana dengan izin Ilahi. Memandangkan semua yang memiliki keringanan dan kelatifan dapat pergi ke sana, sudah tentu sebahagian penduduk bumi dan angkasa yang telah memakai tubuh misali dan ringan dan latif seperti roh dapat naik ke langit.
93. Page
Anak Tangga Ketiga: Keheningan, ketenangan, keteraturan, ketertiban, keluasan dan kenuranian langit menunjukkan bahawa penduduknya bukan seperti penduduk bumi. Bahkan semua penghuninya adalah hamba Allah yang taat. Mereka melakukan apa yang diperintah. Tidak ada sebab yang boleh menimbulkan perbalahan dan pertikaian. Ini kerana, negara itu luas, fitrah mereka jernih, diri mereka tidak berdosa dan kedudukan mereka adalah tetap.
Ya, sifat-sifat berlawanan telah berhimpun di bumi. Yang jahat telah bercampur dengan yang baik. Telah berlaku perbalahan di kalangan mereka. Sebab itulah perselisihan dan kehuru-haraan telah terjadi. Lantaran itu, ujian dan perlumbaan telah diadakan. Daripadanya muncullah peningkatan dan penurunan.
Hikmah hakikat ini adalah: Manusia merupakan buah juz’i terakhir bagi pohon penciptaan. Adalah dimaklumi bahawa buah bagi sesuatu benda ialah juzuknya yang paling jauh, paling syumul, paling lembut dan paling penting. Justeru, oleh sebab manusia yang merupakan buah alam ialah mukjizat qudrat yang paling syumul, paling unggul, paling lemah, paling mulia, paling daif dan paling halus, maka muka bumi yang merupakan buaian dan tempat tinggalnya, walaupun kerdil dan hina berbanding dengan langit dari segi maddi namun dari sudut maknawi dan seni penciptaan ia telah menjadi hati seluruh alam semesta, pusatnya, tempat pertunjukan dan pameran semua mukjizat kesenian, tempat muncul dan noktah paksi semua tajalli nama Ilahi, tempat perhimpunan dan pantulan semua sifat perbuatan Rabbani yang tidak terkira, serta tempat berlaku dan pasar bagi sifat menjadikan pada Ilahi terutamanya pewujudan secara penuh kepemurahan hati dalam menjadikan makhluk-makhluk kecil yang banyak bagi tumbuh-tumbuhan dan binatang, tempat penghasilan contoh bagi ciptaan-ciptaan yang berada di alam akhirat yang sangat luas dalam skala kecil, bengkel tenunan-tenunan yang bersifat abadi yang bekerja (beroperasi) dengan pantas, tempat peniruan pemandangan-pemandangan abadi yang berubah dengan pantas, serta ladang dan tempat peliharaan yang sempit dan sementara bagi biji benih taman-taman abadi yang bertunas dengan pantas.
94. Page
Justeru, kerana kebesaran maknawi dan kepentingan kesenian bagi bumi inilah[1] maka al-Quran al-Hakim menyamatarakan antara bumi dengan langit walaupun jika dibandingkan dengan (tujuh lapisan) langit, bumi hanyalah ibarat sebiji buah kecil bagi sebatang pohon yang besar.
Al-Quran meletakkan bumi dalam salah satu daun neraca dan seluruh langit di daun neraca yang satu lagi. Secara berulang-kali al-Quran menyatakan: رَبُّ السَّمٰوَاتِ وَ الْاَرْضِ. Malah perubahan yang pantas dan pertukaran yang berterusan bagi bumi yang muncul daripada hikmah-hikmah yang telah disebutkan mahu supaya penghuninya juga perlu menzahirkan perubahan berdasarkan apa yang berlaku ke atas bumi. Malah oleh sebab bumi yang bersempadan ini menzahirkan mukjizat qudrat yang tidak terkira, maka oleh sebab satu sempadan fitrah dan batasan khilqah (dari segi penciptaan) tidak diletakkan kepada daya dan keupayaan manusia dan jin yang merupakan para penghuninya yang paling penting seperti makhluk bernyawa yang lain, maka manusia dan jin memperoleh peningkatan yang tidak berpenghujung dan kerendahan yang tidak berdasar. Bumi telah menjadi medan ujian yang lama bermula daripada para nabi dan wali Allah hingga kepada para Namrud dan syaitan. Memandangkan begitu, maka kerana kejahatan mereka yang tidak bersempadan, sudah tentu para syaitan yang telah menjadi Firaun akan mencampakkan batu ke langit dan kepada penduduknya.
95. Page
Anak Tangga Keempat: Dzat Dzul Jalal yang merupakan Rabb, Pengurus dan Pencipta seluruh alam semesta mempunyai banyak gelaran, pangkat dan Asmaul Husna yang hukum-hukumnya adalah berbeza-beza.
Sebagai contoh: Apa jua nama dan gelaran yang mahukan penghantaran para malaikat untuk berperang dalam saf para sahabat Nabi menghadapi golongan kuffar, maka nama dan gelaran itu juga mahu supaya berlaku peperangan di antara malaikat dan syaitan serta mahukan terjadinya pertempuran di antara akhyar samawiyyin (makhluk-makhluk samawi yang baik) dan asysrar ardhiyyin (makhluk-makhluk bumi yang jahat). Ya al-Qadir Dzul Jalal yang nyawa dan nafas mereka yang kufur berada di dalam genggaman qudrat-Nya tidak membinasakan mereka dengan satu perintah dan satu sayhah (tempikan).
Melalui gelaran rububiyyah ‘ammah (ketuhanan yang umum) serta melalui nama al-Hakim dan al-Mudabbir, Dia membuka medan ujian dan pertempuran. Semoga tiada kesalahan dalam perumpamaan berikut:
Kita tahu bahawa seorang sultan memiliki terlalu banyak gelaran dan nama yang berbeza-beza dari sudut bidang penguasaannya. Sebagai contoh, dalam bidang pengadilan baginda disebut sebagai hakim yang adil. Dalam bidang ketenteraan, Baginda dikenali dengan nama komander tertinggi. Dalam bidang keagamaan baginda diberi nama khalifah. Dalam bidang pemilikan baginda dinamakan sultan. Rakyat yang taat memanggilnya sebagai sultan yang pengasih. Orang-orang yang derhaka memanggilnya sebagai penguasa yang bengis. Kiaskanlah lagi semua ini dengan yang lain-lain.
Justeru, kadang-kadang berlaku bahawa raja mulia yang (nasib) semua rakyat berada di tangannya tidak menghukum mati seorang penderhaka yang lemah dan hina dengan satu perintah.
96. Page
Bahkan atas nama penguasa yang adil, baginda menghadapkannya ke mahkamah. Malah baginda juga tahu bahawa petugasnya yang berkemampuan dan setia berhak kepada penganugerahan. Tetapi baginda tidak menganugerahinya dengan ilmu dan telefon khas baginda. Bahkan untuk mempamerkan kelayakan petugas tersebut kepada anugerah, atas nama kehebatan kesultanan dan pengurusan kerajaan, baginda membuka medan perlumbaan. Baginda mengarahkan menterinya mengajak rakyat untuk menyaksikan serta mengelolakan acara sambutan yang rasmi. Lalu di penghujung ujian dahsyat yang hebat, baginda memberi anugerah kepadanya di hadapan perhimpunan yang besar. Baginda mengumumkan kelayakannya. Kiaskanlah sudut-sudut yang lain kepada semua ini.
Demikianlah, وَلِلّٰهِ الْمَثَلُ الْاَعْلَى. Terdapat terlalu banyak Asmaul Husna bagi Sultan keazalian dan keabadian. Dia memilik terlalu banyak urusan dan gelaran melalui tajalli sifat jalal dan kezahiran sifat jamal. Manakala nama, gelaran dan urusan yang mahukan kewujudan cahaya dan kegelapan, musim panas dan musim sejuk, syurga dan neraka, mengingini sedikit keumuman pada undang-undang pertandingan juga sepertimana undang-undang umum yang sangat banyak seperti undang-undang pembiakan, undang-undang perlumbaan dan undang-undang pertolongan. Ia mahukan kesyumulan undang-undang itu bermula daripada pertempuran di antara ilham dan waswas yang berada sekeliling hati hingga kepada pertempuran di antara para malaikat dan syaitan di ufuk langit.
97. Page
Anak Tangga Kelima: Memandangkan terdapat pergerakan pergi dan balik dari bumi ke langit serta turun dan naik dari bumi ke langit; memandangkan keperluan bumi yang penting dihantar dari sana; dan memandangkan roh-roh yang suci naik ke langit, maka sudah tentu roh-roh yang keji juga akan mencuba untuk naik ke negara langit kerana meniru roh-roh yang baik. Ini kerana mereka memiliki kehalusan dan keringanan tubuh badan. Malah tanpa ragu mereka akan diusir dan tidak akan diterima. Ini kerana dari sudut fitrah, mereka memiliki kejahatan dan bernasib malang. Malah tanpa syak dan keraguan bahawa akan terdapat satu alamat dan tanda bagi perlakuan yang penting dan pertempuran maknawi tersebut di alam syahadah ini.
Ini kerana hikmah kesultanan rububiyah mahu supaya perkara itu meletakkan isyarat dan meninggalkan serba satu alamat pada perkara-perkara penting bagi urusan-urusan ghaib untuk makhluk berakal terutamanya untuk manusia yang tugas terpentingnya ialah menyaksikan, menjadi saksi, menjadi juruhebah dan menyelia.
Sebagaimana Dia meletakkan hujan sebagai isyarat kepada mukjizat-mukjizat musim bunga yang tidak terbatas, Dia menjadikan sebab-sebab zahir sebagai alamat kepada hasil-hasil seni yang luar biasa. Ini supaya Dia dapat mempertontonkannya kepada penghuni alam syahadah. Bahkan supaya Dia dapat menarik pandangan perhatian semua penghuni langit dan penduduk bumi kepada pemandangan yang menakjubkan itu. Yakni, Dia memperlihatkan langit yang luas itu sebagai kubu dan bandar yang para pengawal telah diaturkan di sekelilingnya dan telah dihiasi dengan buruj-buruj lalu Dia menjadikan kehebatan rububiyah-Nya difikirkan.
98. Page
Memandangkan pengumuman pertandingan itu adalah perlu dari sudut hikmah, maka sudah tentu terdapat satu isyarat kepadanya. Sedangkan tiada sebarang peristiwa yang sesuai dengan pengumuman tersebut kelihatan di dalam kejadian-kejadian udara dan langit. Maka tiada lagi peristiwa yang lebih munasabah daripada peristiwa (rejaman bintang) ini.
Ini kerana, dapat difahami secara jelas bahawa kejadian bintang yang menyerupai manjanik (tarbil) dan lontaran-lontaran isyaratnya yang dilempar daripada buruj yang kukuh di kubu-kubu tinggi adalah sangat sesuai dengan kejadian rejaman syaitan itu. Ini kerana, tidak diketahui hikmah yang sesuai yang lain bagi kejadian tersebut selain daripada hikmah dan tujuan itu. Kejadian-kejadian lain tidak begitu. Malah hikmah itu adalah masyhur sejak zaman nabi Adam ‘Alaihis Salam dan ia telah diakui oleh ahli hakikat.
Anak Tangga Keenam: Oleh sebab manusia dan jin mampu membuat keburukan dan pengingkaran yang tidak terbatas, maka mereka boleh melakukan pemberontakan dan kemelampauan yang tiada batasan. Justeru, untuk tujuan tersebut, al-Quran menegah manusia dan jin daripada menderhaka dan melampaui batas melalui balaghah yang penuh kemukjizatan, melalui uslub-uslub yang begitu tinggi dan jelas serta melalui perumpamaan dan contoh yang begitu berharga dan jelas sehingga menggeletarkan alam semesta.
99. Page
Sebagai contoh: Renungilah peringatan yang besar, ancaman yang dahsyat, amaran dan tegahan yang keras yang terdapat dalam ayat:
يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْاِنْسِ اِنِ اسْتَطَعْتُمْ اَنْ تَنْفُذُوا مِنْ اَقْطَارِ السَّمٰوَاتِ وَالْاَرْضِ فَانْفُذُوا لَا تَنْفُذُونَ اِلاَّ بِسُلْطَانٍ فَبِاَىِّ آلاَءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ يُرْسَلُ عَلَيْكُمَا شُوَاظٌ مِنْ نَارٍ وَ نُحَاسٌ فَلاَ تَنْتَصِرَانِ
yang mengisyaratkan kepada maksud: Wahai manusia dan jin! Sekiranya kalian tidak mentaati perintah-Ku, ayuh, sekiranya kalian mampu keluarlah dari sempadan kerajaan-Ku!
(Perhatikanlah) bagaimana ayat tersebut memecahkan sikap keras kepala yang penuh kesombongan pada manusia dan jin melalui uslub balaghah yang amat luar biasa. Ayat-ayat di atas memaparkan kelemahan mereka serta memperlihatkan betapa mereka merupakan makhluk yang lemah dan kebuntuan jika dibandingkan dengan keluasan dan keagungan kesultanan rububiyah. Seolah-olah melalui ayat di atas dan melalui وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ al-Quran berkata begini:
“Wahai jin dan manusia yang sombong dan memberontak dalam kekerdilannya! Wahai jin dan manusia yang mabuk dan keras kepala dalam kelemahan dan kefakirannya! Bagaimanakah kalian berani sehingga dengan kederhakaan kalian, kalian sanggup melawan perintah Sultan yang begitu agung yang semua bintang, bulan dan matahari mentaati segala perintah-Nya bagaikan tentera yang patuh.
100. Page
Malah, melalui kemelampauan kalian, kalian menentang al-Hakim Dzul Jalal yang memiliki askar-askar yang sangat patuh yang mampu merejam syaitan-syaitan kalian dengan peluru-peluru meriam sebesar gunung. Itu pun sekiranya mereka mampu menanggungnya.
Malah, melalui kekufuran kalian, kalian menderhaka di negara al-Malik Dzul Jalal yang dari kalangan hamba-hamba dan askar-askarnya terdapat mereka yang bukan hanya mampu membaling bintang-bintang serta besi-besi berapi sebesar bumi dan gunung kepada makhluk lemah seperti kalian, bahkan sekiranya -andaikata- kalian menjadi musuh yang kafir sebesar gunung dan bumi sekalipun mereka mampu mengkucar-kacirkan kalian.
Malah, kalian melanggar undang-undang yang dengan undang-undang itu berkait dengan makhluk-makhluk yang mana jika ada keperluannya, mereka mampu menghempas bumi kalian kepada wajah kalian. Mereka juga mampu menghujankan bintang-bintang sebesar bumi ke atas kalian seperti meriam.”
Ya terdapat sesetengah desakan yang penting dalam al-Quran yang tidak berpunca daripada kekuatan musuh bahkan ia muncul daripada sebab-sebab seperti untuk mempamerkan kehebatannya dan mengumumkan kekejian musuh. Malah kadang-kadang untuk memperlihatkan kesempurnaan susunan, keadilan yang tidak berpenghujung, kelembutan yang tiada tandingan serta kekuatan hikmah, al-Quran menegaskan sebab-sebab yang paling besar dan kuat terhadap benda yang paling kecil dan lemah. Lalu al-Quran memberi perhatian kepadanya, tidak berusaha menjatuhkannya dan tidak membiarkan ia dilampaui.
101. Page
Sebagai contoh: Renungilah ayat berikut:وَاِنْ تَظَاهَرَا عَلَيْهِ فَاِنَّ اللّٰهَ هُوَ مَوْلاَهُ وَجِبْرِيلُ وَصَالِحُ الْمُومِنِينَ وَالْمَلٰئِكَةُ بَعْدَ ذٰلِكَ ظَهِيرٌ. Pada ayat ini terdapat penghormatan yang begitu tinggi ke atas hak Nabi Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, dan ke atas hak para isteri Nabi Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam. Sesungguhnya penegasan tersebut hanyalah untuk mengifadahkan tentang keagungan menghormati Nabi dan kepentingan rungutan dua isteri Nabi yang daif dan penjagaan hak mereka secara penuh kasih sayang.
Pertama: Ia merupakan lambang dan alamat bahawa undang-undang perlawanan turut berlangsung di daerah yang paling luas.
Kedua: Ia merupakan pemberitahuan Anak Tangga Ketujuh: Seperti para malaikat dan ikan, bintang juga mempunyai kelompok-kelompok yang amat berlainan. Sebahagiannya amat kecil dan sebahagiannya amat besar. Hatta semua yang bersinar di langit dipanggil bintang. Demikianlah al-Fatir Dzul Jalal dan as-Sani’ Dzul Jamal telah mencipta salah satu jenis daripada kelompok bintang ini sebagai hiasan-hiasan yang terhias indah di wajah langit, buah-buahan yang bercahaya di pohon itu dan ikan-ikan yang bertasbih di lautan (cakerawala) tersebut. Dia telah menjadikannya sebagai tempat bersiar dan ribuan kediaman untuk para malaikat-Nya. Dia juga telah menjadikan bintang-bintang yang kecil sebagai alat untuk merejam syaitan. Justeru, meteor-meteor yang dilempar untuk merejam syaitan itu mengandungi tiga makna.
Pertama: Tanda dan alamat bahawa undang-undang perlawanan turut berlaku dalam daerah yang paling luas.
Kedua: Pengumuman dan isyarat bahawa terdapatnya para pengawal yang sentiasa berjaga dan penghuni yang taat di langit serta wujudnya junudullah (tentera-tentera Allah) yang tidak senang dengan campur tangan dan perbuatan mencuri dengar oleh mereka yang jahat dari kalangan penduduk bumi.
102. Page
Ketiga: Untuk tidak mencemarkan langit yang merupakan tempat tinggal kebersihan dan mereka yang bersih, untuk tidak membiarkan kerja-kerja mengintip atas nama jiwa-jiwa yang keji dan untuk menakutkan para pengintip yang tidak beradab, melalui meteor-meteor itu seperti tarbil dan mercun, ia merupakan pengusiran dan usaha menghalang syaitan-syaitan pengintip yang merupakan wakil-wakil yang keji bagi perhiasan palsu dunia dari pintu-pintu langit.
Justeru, wahai pakar ilmu astronomi yang bergantung kepada lampu kepalanya yang ibarat kelip-kelip dan memejamkan matanya daripada matahari al-Quran! Perhatikanlah secara sekali gus kepada hakikat-hakikat yang diisyaratkan dalam tujuh anak tangga di atas. Bukalah matamu dan tinggalkanlah lampu kepalamu. Lihatlah makna ayat ini di dalam cahaya kemukjizatan yang seperti siang. Petiklah satu bintang hakikat daripada langit ayat itu dan lemparkanlah ia kepada syaitan yang berada di atas kepalamu. Rejamilah syaitan dirimu sendiri. Kami juga perlu melakukannya dan perlu bersama-sama berdoa:
رَبِّ اَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ
فَلِلّٰهِ الْحُجَّةُ الْبَالِغَةُ وَ الْحِكْمَةُ الْقَاطِعَةُ
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَٓا اِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَٓا اِنَّكَ اَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
103. Page
Mabhas Pertama bagi Surat Kedua Puluh Enam
بِاسْمِهِ سُبْحَانَهُ وَاِنْ مِنْ شَيْئٍ اِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ وَاِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللّٰهِ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Hujah al-Quran ke atas Syaitan dan konco-konconya.
Mabhas Pertama yang menutup mulut Iblis, mendiamkan syaitan dan membisukan golongan yang melampau ini merupakan satu waqi’ (realiti) yang menolak satu dasisah (tipu daya) syaitan yang dahsyat secara qat’i dalam satu penghujahan yang tidak berpihak.
Sepuluh tahun sebelum ini aku pernah menulis sebahagian yang ringkas daripada waqi’ itu dalam Risalah Lama’at. Ia seperti berikut:
Sebelas tahun sebelum risalah ini ditulis, pada bulan Ramadhan al-Mubarak, aku sedang mendengar para hafiz al-Quran (membaca al-Quran) dalam masjid Bayazid di Istanbul. Tiba-tiba, walaupun aku tidak nampak orangnya, aku seolah-olah mendengar satu suara ghaib. Suara itu telah mengalihkan fikiranku kepadanya. Maka aku mendengarnya secara khayalan dan aku perhatikan bahawa ia berkata kepadaku:
Engkau melihat al-Quran sebagai sangat tinggi dan sangat terang. Maka berhujahlah tanpa berpihak-pihak. Pandanglah begitu. Yakni andaikanlah ia sebagai kalam manusia. Renungkan. Agaknya adakah engkau akan nampak keistimewaan-keistimewaan dan perhiasan-perhiasan tersebut? Sebenarnya aku juga telah terpedaya dengannya. Aku telah mengandaikannya sebagai kalam manusia dan memandangnya begitu. Aku nampak bagaimana sebaik saja suis Masjid Bayazid ditutup dan dipadamkan, keadaan terus menjadi gelap. Begitu juga, melalui andaian tersebut, cahaya-cahaya terang al-Quran mula terlindung. Waktu itu aku faham bahawa yang berbicara denganku ialah syaitan. Dia cuba menggulingkanku ke dalam keadaan yang berbahaya. Maka aku telah meminta bantuan daripada al-Quran. Lantas suatu cahaya telah datang ke dalam hatiku. Ia telah memberi kekuatan yang pasti untuk mempertahankan diri.
104. Page
Waktu itu secara spontan berlangsunglah satu perdebatan dengan syaitan.
Aku telah berkata: “Wahai Syaitan, penghujahan yang tidak berpihak adalah satu keadaan di tengah-tengah antara dua pihak. Sedangkan penghujahan tanpa berpihak yang dikatakan olehmu dan murid-muridmu di kalangan manusia ialah beriltizam dengan pihak yang berlawanan. Ia bukannya tidak berpihak. Ia adalah ketidakberagamaan buat sementara waktu. Ini kerana memandang al-Quran sebagai kalam manusia dan menghukumnya begitu adalah berpandukan asas yang berlawanan itu. Ia merupakan iltizam yang batil. Bukannya penghujahan yang tidak berpihak. Bahkan berpihak kepada yang batil”
Maka syaitan menjawab: “Jika begitu, janganlah berkata bahawa ia bukan kalam Allah dan bukan juga kalam manusia. Andaikanlah ia berada di tengah-tengah!”
Maka aku berkata: “Itu juga tidak boleh berlaku. Ini kerana jika terdapat satu harta yang direbut, maka sekiranya kedua-dua pendakwa hampir kepada satu sama lain dan jika terdapat tempat yang hampir, waktu itu harta itu akan ditinggalkan di tangan seseorang yang bukan daripada kedua-duanya ataupun diletakkan di suatu tempat yang boleh dicapai oleh kedua-duanya. Sesiapa yang dapat membuktikan maka dia yang akan mengambilnya. Sekiranya kedua-dua pendakwa itu amat jauh kepada satu sama lain, seorang di timur dan seorang di barat, maka siapa yang merupakan sahibul yad[1] (pemilik) menurut kaedah, harta itu akan ditinggalkan padanya. Ini kerana meninggalkan di tengah-tengah tidak diterima.
105. Page
Demikianlah, al-Quran adalah harta yang sangat bernilai. Sejauh mana kalam manusia berbanding dengan kalam Allah, maka sejauh itulah kejauhan kedua-dua pihak. Bahkan kedua-duanya terlalu jauh daripada satu sama lain. Justeru meninggalkan al-Quran di tengah-tengah di antara dua pihak yang sejauh langit dan bumi itu adalah tidak mungkin. Malah tiada tengah-tengahnya. Ini kerana kedua-duanya adalah dua benda berlawanan yang seperti dua naqidhain (dua benda yang bertentangan dengan satu sama lain) seperti kewujudan dan ketiadaan. Tidak mungkin ada tengahnya. Justeru sahibul yad untuk al-Quran ialah pihak Ilahi. Oleh itu ia diterima di tangan-Nya dan begitulah dalil-dalil pengisbatan akan dilihat.
Jika pihak yang satu lagi mampu menyangkal satu persatu bukti yang menunjukkan bahawa ia adalah Kalamullah, maka pihak itu boleh menghulurkan tangannya kepadanya. Jika tidak, dia tidak boleh menghulurkan tangannya.
Mana mungkin! Tangan manakah yang mampu untuk mencabut semua berlian agung yang telah dipaku ke ‘arasy teragung dengan ribuan pasak bukti yang muktamad, lalu memotong tiang-tiang tersebut dan mampu menjatuhkannya?
Demikianlah wahai Syaitan! Walaupun engkau tidak suka, golongan yang benar dan insaf berhujah dengan penghujahan-penghujahan yang benar seperti ini. Hatta sesungguhnya keimanan mereka terhadap al-Quran tetap bertambah walaupun dengan dalil yang paling kecil. Manakala jalan yang engkau dan para pengikutmu tunjukkan: Jika al-Quran itu diandaikan sebagai kalam manusia, yakni sekiranya permata agung yang ada hubungan dengan ‘arasy teragung itu dibuang ke lantai, maka diperlukan satu dalil yang sekuat semua dalil dan sekukuh semua pasak supaya ia boleh diangkat dari bumi ke langit dan dipaku ke ‘arasy maknawi. Ini supaya mereka terselamat daripada kegelapan kufur dan dapat menggapai nur-nur keimanan.
Sedangkan untuk memperoleh perkara itu adalah amat susah. Oleh sebab itu, di sebalik bentuk penghujahan tanpa berpihak pada masa ini melalui dasisah yang engkau bisikkan, maka ramai orang telah hilang keimanannya.
106. Page
Kemudian syaitan berpaling lalu berkata: Al-Quran menyerupai kata-kata manusia dan ia seperti perbualan manusia. Maknanya ia adalah kata-kata manusia. Sekiranya ia adalah kalam Allah, sudah tentu ia akan memiliki suatu sifat yang sesuai dengan-Nya dan luar biasa dari segenap sudut.Sebagaimana ciptaan-ciptaan berseni Allah tidak menyerupai ciptaan-ciptaan manusia, maka kalam-Nya juga sepatutnya tidak menyerupai kata-kata manusia.
Sebagai jawapan aku berkata: Ia adalah seperti berikut. Sesungguhnya selain daripada mukjizat-mukjizat dan keistimewaan-keistimewaan baginda Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, semua amalan, keadaan dan tingkah laku baginda masih kekal dalam sempadan kemanusiaan. Seperti manusia yang lain, baginda tunduk dan akur dengan ‘adatullah (undang-undang Allah) dan urusan-urusan penciptaan-Nya. Baginda juga merasai kedinginan, kesakitan dan lain-lain.
Keadaan yang luar biasa tidak dianugerahkan kepada baginda dalam setiap keadaan dan tingkah laku. Ini supaya baginda menjadi imam kepada umatnya menerusi perbuatan-perbuatan baginda, menjadi pedoman melalui tingkah laku baginda dan memberi pengajaran menerusi semua pergerakannya. Sekiranya terdapat perkara yang luar biasa dalam setiap tingkah laku baginda, nescaya baginda tidak akan dapat menjadi imam dari setiap sudut. Nescaya baginda tidak boleh menjadi mursyid mutlak kepada semua. Nescaya baginda tidak boleh menjadi rahmatan lil ‘alamin melalui semua keadaannya. Sama seperti ini juga, al-Quran al-Hakim ialah imam kepada semua makhluk yang berakal. Mursyid kepada jin dan manusia. Pedoman untuk ahli kamal (kesempurnaan). Mu‘allim kepada ahli hakikat. Oleh sebab itu, sifatnya yang seperti perbualan manusia adalah keperluan dan muktamad. Ini kerana jin dan manusia mengambil munajatnya daripadanya. Mereka mempelajari doa daripadanya. Mereka menyatakan masalah-masalah mereka melalui bahasanya. Mereka mempelajari adab pergaulan daripadanya dan begitulah seterusnya. Semua orang menjadikannya sebagai rujukan. Oleh sebab itu, sekiranya sifat al-Quran adalah seperti Kalamullah yang telah didengari oleh Saidina Musa ‘Alaihis Salam di Thur Sina, nescaya manusia tidak tertanggung untuk mendengar dan memberi perhatian kepada al-Quran. Nescaya ia tidak boleh menjadi tempat rujukan. Seorang Ulul ‘Azmi seperti Saidina Musa ‘Alaihis Salam pun hanya mampu mendengar beberapa kalam-Nya.
107. Page
Baginda telah berkata:
اَهٰكَذَا كَلاَمُكَ قَالَ اللّٰهُ لِى قُوَّةُ جَمِيعِ الْاَلْسِنَةِ
Maka syaitan berpaling dan berkata semula: “Ramai orang memperkatakan tentang masalah-masalah seperti masalah-masalah al-Quran atas nama agama. Maka tidakkah mungkin untuk seorang manusia membuat sesuatu yang seperti ini atas nama agama?”
Sebagai jawapan aku berkata dengan nur al-Quran:
Pertama: Kerana cintakan agama, seeorang yang beragama boleh berkata: “Kebenaran adalah seperti ini, ini adalah hakikat dan perintah Allah adalah seperti ini. Namun dia tidak boleh menjadikan Allah berkata menurut kemahuannya. Dia tidak boleh melampaui batasannya dengan melampau lalu meniru Allah dan bercakap bagi pihaknya. Dia menggigil kerana dustur فَمَنْ اَظْلَمُ مِمَّنْ كَذَبَ عَلَى اللّٰهِ.
Kedua: Adalah tidak mungkin dari mana-mana sudut untuk seorang manusia menjadikan sesuatu yang sebegini (al-Quran) dan berjaya. Bahkan ia mustahil seratus kali ganda. Ini kerana sesiapa yang hampir dengan satu sama lain boleh meniru satu sama lain. Mereka yang daripada jenis yang sama boleh memasuki bentuk satu sama lain. Mereka yang hampir sama tahapnya boleh meniru kedudukan satu sama lain. Mereka boleh melalaikan manusia buat sementara waktu. Namun mereka tidak boleh melalaikan mereka buat selama-lamanya. Ini kerana, pada pandangan mereka yang teliti, walau bagaimanapun kepura-puraan, keterpaksaan di dalam tingkah laku dan keadaan akan memperlihatkan kepalsuannya. Helahnya tidak akan berterusan.
Jika orang yang berusaha untuk meniru dengan kepalsuan amat jauh daripada yang satu lagi, sebagai contoh, jika seorang awam yang biasa mahu meniru seorang tokoh yang bijak seperti Ibnu Sina dalam keilmuan atau seorang penggembala mahu meniru hal-hal seorang sultan, maka sudah tentu dia tidak dapat menipu sesiapapun. Bahkan dia sendiri yang akan menjadi ejekan. Semua keadaannya akan berteriak berkata: Orang ini penipu!
108. Page
Demikianlah! Tidak, seratus ribu kali tidak!
Apabila al-Quran diandaikan sebagai kata-kata manusia, maka ia adalah seperti seekor kelip-kelip berusaha tanpa susah payah untuk kelihatan sebagai bintang yang sebenar selama seribu tahun kepada mereka yang mencerap bintang, bagaikan seekor lalat tanpa kepura-puraan memperlihatkan dirinya benar-benar sebagai seekor merak selama setahun kepada mereka yang mengamatinya, malah bagaikan seorang askar biasa yang penipu cuba meniru panglima agung angkatan tentera yang ternama, menduduki tempatnya dan kekal begitu buat tempoh masa yang lama dan menutup helahnya, malah bagaikan seseorang yang banyak memfitnah dan tidak beriman sentiasa memperlihatkan keadaan dan kedudukan sebagai seorang yang paling benar, paling dipercayai dan paling beriman seumur hidupnya kepada pandangan-pandangan yang paling teliti tanpa kerisauan serta menyembunyikan kepura-puraannya kepada mereka yang bijak? Sesungguhnya perkara itu adalah mustahil seratus darjat. Tiada seorang pun yang berakal boleh mengatakannya sebagai mungkin. Mengandaikannya juga adalah mengarut seperti mengandaikan sesuatu yang mustahil sebagai realiti.
Sama seperti itu juga, mengandaikan al-Quran sebagai kata-kata manusia, mewajarkan perihal Kitabun Mubin yang dianggap sebagai bintang hakikat bahkan mentari kesempurnaan di langit dunia Islam yang secara jelas sangat terang dan sentiasa menyebarkan cahaya-cahaya hakikat –tidak sama sekali tidak- menjadi satu kepalsuan yang mengarut bagi seorang yang berpura-pura yang ibarat seekor kelip-kelip. Malah ia mewajarkan orang-orang yang paling hampir dan memandang kepadanya dengan teliti tidak sedar dan sentiasa menganggapnya sebagai bintang yang tinggi dan merupakan sumber hakikat.
109. Page
Perkara ini pula, di samping merupakan kemustahilan seratus tahap, malah sekiranya engkau wahai syaitan, maju seratus tahap dalam kesyaitanan, nescaya engkau tidak akan boleh memungkinkan perkara ini. Engkau tidak akan dapat memperdaya mana-mana akal yang belum rosak. Sebenarnya engkau memperdaya hanya dengan memperlihatkan (hakikat ini) dari jauh. (Oleh sebab itulah) engkau (mampu) memperlihatkan bintang itu bagaikan kelip-kelip yang kecil sebegini.
Ketiga: Menganggap al-Quran sebagai kata-kata manusia mewajarkan hakikat tersembunyi bagi al-Furqan yang penuh dengan keistimewaan yang tinggi yang secara jelas paling bernyawa dan memancarkan kehidupan, paling benar dan paling menghamburkan kebahagiaan serta paling lengkap dan penjelasan bermukjizat di alam kemanusiaan -hasya, tidak sama sekali tidak- merupakan rekaan pemikiran yang palsu dan hina oleh seorang insan yang tiada pembantu dan tiada ilmu serta mereka yang pandai dan tinggi kebijaksanaan yang memerhatikannya dari dekat dan memerhatikannya dengan penuh keterujaan tidak dapat menemui kesan kepalsuan dan kepura-puraan pada bila-bila masa dan di mana-mana sudut serta sentiasa merasai kesungguhan, kejujuran dan keikhlasannya. Ini pula, di samping merupakan kemustahilan yang seratus tahap, dengan mengandaikan seseorang yang dianggap dan diterima sebagai pemilik budi pekerti yang paling tinggi, paling terang dan paling mulia yang memperlihatkan keamanahan, keimanan, kesetiaan, keikhlasan, kesungguhan dan keistiqamahan dalam seluruh kehidupannya, memberi pengajaran dan melahirkan para siddiqin melalui segenap keadaan, perkataan dan pergerakannya sebagai yang paling tidak setia, paling tidak ikhlas dan paling tidak beriman, ia merupakan kemengarutan kekufuran seperti melihat sesuatu yang berkali ganda mustahil sebagai realiti dan boleh menyebabkan syaitan juga berasa malu.
110. Page
Ini kerana masalah ini tidak mempunyai tengahnya. Ini kerana, seandainya al-Quran bukan Kalamullah, maka ia jatuh bagaikan jatuh dari ‘arasy ke bumi. Ia tidak akan terawang-awang di tengah-tengah. Sedang ia merupakan tempat hakikat berhimpun, ia menjadi sumber khurafat. Seandainya –hasya wa kalla- Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam bukannya orang yang menunjukkan firman yang luar biasa itu, nescaya ia mewajarkan al-Quran jatuh daripada a’la ‘illiyyin ke asfala safilin dan daripada darjat sumber kesempurnaan kepada kedudukan sebagai sumber tipu daya. Ia tidak boleh berada di tengah-tengah. Ini kerana, orang yang memfitnah dan menipu atas nama Allah, akan jatuh ke darjat yang paling rendah.
Semustahil mana melihat seekor lalat sebagai burung merak secara berterusan dan menyaksikan sifat-sifat yang besar padanya ada pada lalat, maka perkara ini juga adalah mustahil seperti itu. Kecuali kepada mereka yang secara fitrahnya tidak berakal, mabuk dan gila sahaja mengatakan perkara ini adalah mungkin.
Keempat: Menganggap al-Quran itu sebagai kata-kata manusia, mewajarkan al-Quran yang merupakan komander yang suci bagi ummat Muhammad yang merupakan tentera terbesar dan terhebat bagi bani Adam –hasya summa hasya- sebagai suatu rekaan yang tidak kuat, tidak bernilai dan tidak asli. Sedangkan secara jelas al-Quran telah (berjaya) menyusun dan mendisiplinkan bala tentera yang sangat besar itu di tahap boleh menakluk dua dunia melalui undang-undangnya yang kuat, dustur-dusturnya yang berasas dan suruhan-suruhannya yang amat memberi kesan serta telah mempersiapkan mereka secara maddi dan maknawi serta telah mengajar akal mereka, mendidik hati mereka, menundukkan roh mereka, menyucikan sanubari mereka dan mengguna dan memanfaatkan anggota tubuh badan mereka. Maka, di samping perlu menerima seratus tahap kemustahilan, andaian itu juga perlu melakukan seratus tahap kemustahilan dengan cara mengandaikan bahawa seseorang yang mengajarkan bani Adam tentang undang-undang al-Haq melalui tindakannya yang bersungguh-sungguh, memberitahu kepada bangsa manusia tentang dustur-dustur hakikat melalui perbuatannya yang jujur, memperlihatkan dan membina asas-asas keistiqamahan dan kebahagiaan melalui kata-katanya yang ikhlas dan maakul, sangat takut daripada azab Allah melalui penyaksian seluruh sejarah hidupnya, mengetahui dan memperkenalkan Allah lebih daripada semua yang lain, mengepalai satu perlima bangsa manusia dan separuh bumi selama seribu tiga ratus lima puluh tahun dengan penuh kehebatan, meriuhkan buana serta menjadi kebanggaan sebenar bangsa manusia bahkan alam semesta melalui urusan-urusannya yang masyhur –hasya summa hasya- sebagai penipu, tidak takutkan Allah, tidak mengetahui-Nya dan tidak mengenali sifat-sifat-Nya dan pada tahap manusia biasa. Ini kerana masalah ini tiada tengah-tengahnya.
111. Page
Ini kerana, andaikata al-Quran bukanlah kalamullah, dan jatuh daripada ‘arasy, ia tidak akan terawang-awang di tengah. Bahkan perlu menerima bahawa ia adalah milik seorang penipu di muka bumi. Perkara ini pula wahai syaitan, sekiranya engkau menjadi syaitan seratus kali ganda sekalipun, engkau tidak akan dapat memperdaya mana-mana akal yang belum rosak. Engkau juga tidak akan dapat meyakinkan mana-mana hati yang belum reput.
Maka syaitan berpusing dan berkata: Mengapa pula aku tidak akan dapat memperdaya sedangkan aku telah menyebabkan ramai manusia dan yang terkenal kebijaksanaannya di kalangan mereka mengingkari al-Quran dan Muhammad (Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam)?
Jawapan: Pertama: Jika dipandang dari jarak yang sangat jauh, benda yang paling besar boleh kelihatan seperti benda yang paling kecil. Sebutir bintang boleh dikatakan sekecil lilin.
Kedua: Jika dipandang dengan pandangan yang tidak teliti, benda yang amat mustahil boleh kelihatan sebagai mungkin. Suatu hari seorang yang tua memandang ke langit untuk melihat anak bulan Ramadhan. Tiba-tiba sehelai bulu mata yang putih telah terjuntai masuk ke dalam matanya. Lalu dia menyangka bulu mata itu adalah anak bulan. Maka dia berkata: Aku telah nampak anak bulan.
Demikianlah, adalah mustahil untuk bulu mata yang putih itu menjadi anak bulan. Tetapi oleh sebab dia memang berniat untuk melihat anak bulan lalu benar-benar (melakukannya) serta oleh sebab bulu itu telah dilihat secara tidak sengaja, tidak langsung dan pada tahap kedua, maka maka dia telah menganggap kemustahilan itu sebagai mungkin.
Ketiga: Tidak menerima adalah lain dan menerima ketiadaan (mengingkari) juga adalah lain. Tidak menerima merupakan ketidakpedulian, penutupan mata dan salah pertimbangan yang penuh kejahilan. Maka banyak perkara mustahil yang seperti ini boleh bersembunyi di dalamnya. Akalnya tidak akan menghiraukan itu semua.
112. Page
Manakala keingkaran bukanlah tidak menerima bahkan menerima apa yang tiada. Ia adalah satu pertimbangan. Akalnya terpaksa berfikir. Maka, syaitan yang seperti engkau boleh merampas akalnya. Kemudian syaitan meperdayakan orang itu untuk menerima keingkarannya. Malahan wahai syaitan! Engkau telah menyebabkan haiwan-haiwan malang yang berupa manusia itu telah menelan keingkaran dan kekufuran yang melahirkan banyak kemustahilan melalui dasisah-dasisah (tipu daya) kesyaitanan seperti kelalaian, kesesatan, kekarutan, kedegilan, kecelaruan, kesombongan, kecuaian dan sikap mengikut-ikut yang memperlihatkan kebatilan itu sebagai kebenaran dan kemustahilan itu sebagai kemungkinan.
Keempat: Menganggap al-Quran itu sebagai kata-kata manusia, mewajarkan supaya kitab yang bersinar di langit alam kemanusiaan, secara jelas menjadi pedoman kepada para asfiya’, siddiqin, aqtab, dengan nyata mengajarkan setiap lapisan ahli kamal tentang kesahihan, kebenaran dan kesetiaan, keamanan dan keamanahan, menjamin kebahagiaan di dua dunia melalui hakikat-hakikat rukun keimanan dan dustur-dustur rukun Islam dan sepatutnya dan tidak dapat tidak adalah kebenaran yang benar, suci dan murni serta sangat betul dan amat berwibawa melalui penyaksian urusan-urusannya digambarkan sebagai bersifat dengan apa yang berlawanan dengan sifat-sifat, pengaruh-pengaruh dan cahaya-cahayanya sendiri lalu –hasya summa hasya- dipandang sebagai rekaan seorang penipu dan himpunan tuduhan-tuduhan palsunya. Sesungguhnya ini merupakan satu kemengarutan kekufuran yang amat hina yang akan menyebabkan mereka yang skeptis dan syaitan-syaitan juga akan berasa malu dan menggigil. Di samping itu, mengandaikan baginda yang paling kuat beriman, paling teguh, paling amanah dan paling benar melalui penyaksian agama dan syariat Islam yang dizahirkannya, luar biasa melalui petunjuk ketakwaannya yang disepakati dan 'ubudiyyah yang suci dan murni yang telah diperlihatkan sepanjang hidupnya, melalui kewajaran akhlak mahmudah yang disepakati bahawa kelihatan pada dirinya sendiri, dan melalui pengakuan semua ahli hakikat dan pemilik kesempurnaan yang telah dididiknya –hasya summa hasya- dalam keadaan tidak beriman, paling khianat dan tidak takutkan Allah, mewajarkan penerimaan gambaran yang paling hodoh dan dibenci bagi kemustahilan dan jenis kesesatan yang paling zalim dan gelap.
113. Page
Hasilnya: Sepertimana telah dinyatakan pada Isyarat Kelapan Belas bagi Surat Kesembilan Belas: Dengan kefahamannya tentang kemukjizatan al-Quran: Golongan awam yang pandai mendengar berkata:
Sekiranya Al-Quran, dibandingkan dengan semua kitab yang aku telah dengari dan yang ada di dunia, nescaya ia tidak akan menyerupai mana-mana kitab tersebut. Ia bukan di tahap kitab-kitab itu. Oleh itu, sama ada al-Quran di bawah semua kitab itu atau pun ia mempunyai darjat di atas semua kitab itu.
Adapun menganggapnya di bawah semua kitab, di samping mustahil, tiada satu pun musuh hatta syaitan sekalipun akan mengatakannya dan menerimanya. Oleh itu, al-Quran adalah di atas semua kitab. Maka, ia adalah mukjizat.
Sama seperti itu juga, kami juga, melalui hujah yang paling qat’i yang dinamakan as-sabru wat taqsim dalam ilmu usul dan mantiq berkata: Wahai murid-murid syaitan! Sama ada al-Quran adalah Kalamullah yang datang dari ‘arsyul a’zam ataupun ismul a’zam, ataupun -hasya summa hasya seratus ribu kali hasya- merupakan rekaan seorang manusia di bumi yang penipu, tidak takutkan Allah dan tidak mengenali-Nya serta tidak beriman.
Hakikat ini pula wahai syaitan, engkau tidak pernah, tidak boleh dan tidak akan dapat mengatakannya terhadap hujah-hujah yang terdahulu. Oleh sebab itu, secara terpaksa dan tanpa keraguan al-Quran adalah kalam al-Khaliq alam semesta. Ini kerana tengah-tengahnya tiada dan mustahil dan tidak mungkin berlaku. Sebagaimana kami telah mengisbatkannya secara qat’i, begitulah juga yang engkau telah lihat dan dengar.
Malahan, sama ada Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah Rasul (utusan) Allah, yang paling sempurna di antara sekalian Rasul dan yang paling afdhal di kalangan seluruh makhluk, Ataupun -tidak sama sekali tidak, seratus ribu kali tidak- perlu mengandaikan bahawa baginda merupakan seorang manusia gila yang tidak beriman, telah jatuh ke dalam asfala safilin kerana mereka cerita tentang Allah, tidak mengenali-Nya dan tidak beriman kepada azab-Nya.
114. Page
Sedangkan ini pula wahai iblis sama ada engkau atau ahli-ahli falsafah Eropah, para munafik Asia yang engkau percayai tidak akan, tidak pernah dan tidak akan dapat menyatakan perkara ini. Ini kerana tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang boleh mendengar dan menerima perkara ini. Oleh sebab itulah di kalangan ahli-ahli falsafah yang paling merosak dan para munafik Asia yang paling tidak berhati perut yang engkau amat percayai juga turut berkata: Muhammad al-‘arabi Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah sangat bijak dan sangat berakhlak mulia. Memandangkan masalah ini terbatas kepada dua bahagian dan memandangkan bahagian kedua adalah mustahil dan tiada sesiapapun yang mempertahankannya, dan memandangkan kami telah membuktikannya dengan hujah-hujah yang qat’i bahawa tiada tengah-tengahnya, maka sudah tentu, tidak dapat tidak, secara jelas dan haqqal yaqin, Muhammad al-‘arabi Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah Rasulullah. Baginda merupakan yang paling sempurna di kalangan sekalian Rasul. Baginda merupakan yang paling afdhal di kalangan seluruh makhluk. عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ بِعَدَدِ الْمَلَكِ وَالْاِنْسِ وَالْجَانِّ.
Bantahan Kecil yang Kedua oleh Syaitan:
Ketika aku membaca surah: ق وَ الْقُرْآنِ الْمَجِيدِ,
Semasa membaca ayat-ayat:
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ اِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ وَجَائَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَقِّ ذٰلِكَ مَا كُنْتَ مِنْهُ تَحِيدُ وَ نُفِخَ فِى الصُّورِ ذٰلِكَ يَوْمُ الْوَعِيدِ وَ جَائَتْ كُلُّ نَفْسٍ مَعَهَا سَٓائِقٌ وَ شَهِيدٌ لَقَدْ كُنْتَ فِى غَفْلَةٍ مِنْ هٰذَا فَكَشَفْنَا عَنْكَ غِطَٓاءَ فَبَصَرُكَ الْيَوْمَ حَدِيدٌ وَ قَالَ قَرِينُهُ هٰذَا مَا لَدَىَّ عَتِيدٌ اَلْقِيَا فِى جَهَنَّمَ كُلَّ كَفَّارٍ عَنِيدٍ
Syaitan berkata: Tuan menemui kefasihan yang paling penting bagi al-Quran pada kelancaran dan kejelasannya. Sedangkan ayat-ayat ini melangkau dari mana (entah) ke mana. Ia melangkau dari sakarat (terus) kepada qiamat. Ia berpindah daripada tiupan sangkakala terus kepada penghujung perhitungan. Selepas itu ia menyebutkan tentang mereka yang dicampak ke dalam neraka. Kelancaran bagaimanakah yang masih tinggal pada semua langkauan ini. Banyak tempat dalam Al-Quran mengaitkan perkara-perkara yang jauh daripada satu sama lain sebegini. Maka di manakah tinggalnya kefasihan dan kelancaran melalui kedudukan yang tidak berkaitan sebegini?
115. Page
Jawapan: Salah satu asas yang penting daripada asas-asas kemukjizatan al-Quran mu’jiz al-bayan selepas daripada balaghah ialah ijaz (keringkasan). Keringkasan merupakan salah satu daripada asas kemukjizatan yang paling teguh dan penting bagi kemukjizatan al-Quran. Di dalam al-Quran al-Hakim, terdapat begitu banyak keringkasan yang penuh kemukjizatan dan begitu indah sehingga ahli tadqiq hairan di hadapannya. Sebagai contoh:
وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءكِ وَيَا سَمَاء أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاء وَقُضِيَ الأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْداً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Melalui beberapa ayat yang pendek, al-Quran menerangkan tentang peristiwa Taufan (Nabi Nuh ‘Alaihis Salam) bersekali dengan natijah-natijahnya dengan cara yang penuh kemukjizatan dan menakjubkan sehingga ia telah menyebabkan ramai ahli balaghah sujud terhadap balaghahnya.
Contohnya lagi:
كَذَّبَتْ ثَمُودُ بِطَغْوَيهَا* اِذِ انْبَعَثَ اَشْقَيهَا * فَقَالَ لَهُمْ رَسُوُ اللّٰهِ نَاقَةَ اللّٰهِ وَسُقْيَيهَا * فَكَذَّبُوهُ فَعَقَرُوهَا فَدَمْدَمَ عَلَيْهِمْ رَبُّهُمْ بِذَنْبِهِمْ فَسَوَّيهَا * وَلاَ يَخَافُ عُقْبَيهَا
Sesungguhnya al-Quran menerangkan peristiwa yang ajaib dan penting bagi Kaum Tsamud bersekali dengan natijah dan akibat buruk mereka melalui beberapa ayat yang pendek seperti itu dan melalui kemukjizatan dalam keringkasan serta dengan uslub yang lancar, jelas dan tidak merosakkan kefahaman.
116. Page
Contoh yang lain:
وَ ذَا النُّونِ اِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ اَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِى الظُّلُمَاتِ اَنْ لآَ اِلٰهَ اِلآَّ اَنْتَ سُبْحَانَكَ اِنِّى كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
maka daripada ayat
اَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ sehingga ayat فَنَادَى فِى الظُّلُمَاتِ terdapat banyak ayat yang telah dilangkaui. Ayat-ayat yang tidak disebut itu tidak menjejaskan kefahahaman dan tidak memudaratkan kelancarannya. Ia menceritakan asas-asas yang penting dalam kisah Nabi Yunus ‘Alaihis Salam. Manakala ia menyerahkan yang selebihnya kepada akal.
Contohnya juga: Dalam surah Yusuf, di antara kalimah يُوسُفُ اَيُّهَا الصِّدِّيقُ dan اَرْسِلُونِ tujuh atau lapan ayat telah dilangkaui diringkaskan dengan keringkasan dan ia langsung tidak menjejaskan kefahaman dan tidak memudaratkan kelancarannya. Sesungguhnya kemukjizatan-kemukjizatan yang seperti ini adalah terlalu banyak dalam al-Quran. Malah ia adalah sangat indah.
Namun ayat di dalam surah Qaf, keringkasan padanya adalah amat menakjubkan dan penuh kemukjizatan. Ini kerana al-Quran menumpukan kepada masa hadapan orang kafir yang amat menakutkan dan sangat lama serta satu harinya adalah selama lima puluh ribu tahun serta menyatakan satu demi satu peristiwa menyakitkan dan penting yang akan menimpa orang kafir. Ia menayangkan pemikiran itu dengan pantas seperti kilat di atas kepala mereka. Ia memperlihatkan masa yang amat lama itu kepada pandangan bagaikan satu muka surat yang sudah tersedia. Ia menyerahkan peristiwa-peristiwa yang dinyatakan kepada akal lalu ia menerangkannya dengan satu kelancaran di tahap yang tinggi.