NAVIGATION
44. Page
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
فَسُبْحٰنَ اللّٰهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ
وَلَهُ الْحَمْدُ فِي السَّمٰوٰتِ وَالأءَرْضِ وَعَشِيًّا وَحِينَ تُظْهِرُونَ
Maka bertasbihlah kepada Allah semasa engkau berada pada waktu malam dan semasa engkau berada pada waktu subuh. (Ar-Rum,17)
Wahai saudaraku! Engkau bertanyakan kepadaku tentang hikmah pengkhususan solat pada lima waktu yang telah ditentukan itu. Kami hanya akan mengisyaratkan kepada satu daripada hikmah-hikmahnya yang amat banyak.
Ya, oleh sebab setiap satu waktu solat ialah cermin tasarruf Ilahi (pelaksanaan urusan Allah) yang agung dan tempat pemantulan ihsanat kulliyyah Ilahiyyah (anugerah Allah yang menyeluruh) dalam tasarruf tersebut sebagaimana ia menjadi permulaan perubahan yang penting, maka solat yang bermakna memperbanyak tasbih dan ta’zim kepada al-Qadir Dzul Jalal serta kesyukuran dan pujian di atas segenap nikmat-Nya yang tidak terhitung yang terhimpun di antara dua waktu pada waktu-waktu tersebut telah diperintahkan.
Untuk memahami secebis makna yang halus dan dalam ini, dengarilah lima nuktah (keterangan) ini bersama nafsuku.
Nuktah Pertama: Makna solat ialah mensucikan, mengagungkan dan mensyukuri Allah Taala iaitu mensucikan Allah dengan mengucapkan “Subhanallah” melalui perkataan dan perbuatan terhadap sifat Jalal-Nya (kebesaran). Solat juga bermakna mengagungkan Allah dengan mengucapkan “Allahu Akbar” melalui lafaz dan amalan terhadap sifat Kamal-Nya (kesempurnaan) dan seterusnya bersyukur dengan mengucapkan “Alhamdulillah” melalui lisan, tubuh badan dan hati terhadap sifat Jamal-Nya (keindahan). Ini bermakna: Tasbih, takbir dan tahmid adalah ibarat benih-benih solat. Kerana itulah ketiga-tiga perkara ini terdapat dalam seluruh pergerakan dan zikir-zikir semasa solat. Kerana itu jugalah, untuk mengukuh dan menguatkan makna solat, kalimah-kalimah yang diberkati ini diulangi sebanyak tiga puluh tiga kali selepas solat. Makna solat dikukuhkan dengan intisari-intisari yang mujmal (ringkas) ini.
45. Page
Nuktah Kedua: Makna ibadah: Hamba melihat kekurangan, kelemahan dan kefakiran dirinya sendiri di hadapan hadrat Ilahi lalu bersujud dengan ketakjuban dan kasih sayang di hadapan kesempurnaan rububiyyah, qudrat Samadaniyyah dan rahmat Ilahiyyah. Sebagaimana kesultanan rububiyyah menghendaki pengabdian dan ketaatan, kekudusan dan kesucian rububiyyah juga menuntut supaya hamba melihat kekurangan dirinya sendiri lalu menyatakan bahawa Rabb-nya suci dan bebas daripada kekurangan, munazzah dan mu’alla (bersih dan tinggi) daripada fikiran-fikiran batil orang-orang yang sesat dan muqaddas dan mu’arra (suci dan bebas) daripada kekurangan semua alam semesta melalui istighfar, tasbih dan “Subhanallah”.
Kesempurnaan qudrat rububiyyah juga mengingini supaya hamba menyebut “Allahu Akbar” setelah menyedari kedaifan diri dan kelemahan makhluk lalu rukuk dengan khudu’ (merendah diri) dalam istihsan (penghargaan) dan kekaguman terhadap keagungan kesan-kesan qudrat Samadaniyyah lalu berlindung dan bertawakal kepada-Nya. Khazanah rahmat rububiyyah yang tidak berpenghujung juga mengingini supaya hamba menzahirkan hajatnya sendiri dan kefakiran serta keperluan seluruh makhluk dengan lisan permohonan dan doa, serta menyatakan kurniaan dan nikmat pemberian Rabb-nya melalui (ucapan) syukur dan pujian serta “Alhamdulillah”. Ini memberi makna bahawa perbuatan dan perkataan dalam solat mengandungi makna-makna ini dan kerananyalah solat telah difardhukan oleh Allah.
46. Page
Nuktah Ketiga: Sebagaimana insan merupakan satu misal yang dikecilkan bagi alam besar ini dan surah al-Fatihah yang mulia merupakan gambaran yang bercahaya bagi al-Quran yang suci ini, maka demikianlah juga solat. Ia merupakan suatu intisari nurani yang syumul bagi semua jenis ibadah dan peta suci yang mengisyaratkan kepada warna-warna ibadah bagi semua jenis makhluk.
Nuktah Keempat: Sebagaimana jarum-jarum jam mingguan yang menghitung semua saat, minit, jam dan harinya menjaga satu sama lain, menggambarkan satu sama lain dan mengambil kedudukan satu sama lain, demikianlah juga alam dunia yang merupakan jam besar Allah Taala ini. Putaran siang dan malamnya mengira saat, tahun-tahunnya mengira minit, peringkat umur insannya mengira jam dan pusingan umur alamnya mengira hari. Ia menjaga satu sama lain, menggambarkan satu sama lain, mengambil kedudukan satu sama lain dan mengingatkan satu sama lain.
Contoh: Waktu Subuh sehingga terbitnya matahari menyerupai dan memperingatkan permulaan musim bunga, detik-detik kehadiran manusia ke dalam rahim ibu, serta hari pertama daripada enam hari penciptaan langit dan bumi dan mengingatkan urusan-urusan Ilahi yang terdapat padanya.
Waktu Zohor menyerupai dan mengisyaratkan pertengahan musim panas, kesempurnaan masa muda, zaman penciptaan manusia dalam umur dunia dan memperingatkan kepada tajalliyat (penzahiran) rahmat dan limpahan nikmat yang terdapat padanya.
Waktu Asar menyerupai musim luruh, masa tua dan ‘Asrus-Sa‘adah (kurun kebahagiaan) Nabi Akhir Zaman Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam dan mengingatkan kepada urusan Ilahi dan pemberian nikmat ar-Rahman yang terdapat padanya.
47. Page
Waktu Maghrib memahamkan tentang tajalliyat Jalaliyyah (penjelmaan kehebatan Allah) serta menyedar dan membangkitkan manusia daripada lena kelalaian dengan mengingatkan ghurubnya (hilangnya) kebanyakan makhluk di penghujung musim luruh serta kematian insan dan kemusnahan dunia pada permulaan Qiamat.
Waktu Isyak memberitahu tentang urusan-urusan agung al-Qahhar Dzul Jalal dengan mengingatkan penyelubungan semua kesan alam siang dengan kafan hitam alam kegelapan serta penyelimutan bumi yang telah mati dengan kafan putih musim sejuk termasuk kematian jejak-jejak peninggalan insan yang telah mati dan kemasukannya di bawah tirai kelupaan dan penutupan dunia yang menjadi medan ujian ini buat selamanya.
Waktu tengah malam memperingatkan kepada manusia bahawa betapa berhajatnya roh manusia kepada rahmat ar-Rahman dengan memahamkannya tentang musim sejuk, kubur dan Alam Barzakh.
Tahajjud pada waktu tengah malam pula memberitahu dan menyedarkan betapa perlunya suatu cahaya dalam kemalaman kubur dan dalam kegelapan barzakh serta menyatakan betapa layaknya Allah yang merupakan Pemberi Nikmat Hakiki kepada kesyukuran dan pujian dengan mengingatkan nikmat-nikmat-Nya yang tidak berkesudahan itu dalam semua perubahan ini.
Subuh kedua pula mengingatkan Subuh Hari Kebangkitan. Ya, sekiranya subuh malam ini dan musim bunga bagi musim sejuk ini adalah sangat maakul, perlu dan pasti, maka subuh Mahsyar dan musim bunga barzakh juga adalah pasti sepertinya.
Ini bermakna bahawa setiap lima waktu ini, sebagaimana ia berada pada permulaan suatu perubahan yang penting dan mengingatkan perubahan-perubahan yang besar, dengan isyarat tasarruf harian yang agung bagi qudrat Samadaniyyah, ia turut mengingatkan mukjizat qudrat dan hadiah-hadiah rahmat-Nya pada setiap tahun, kurun dan alaf. Maksudnya ialah, solat fardhu yang merupakan tugas fitrah sebenar, asas 'ubudiyyah dan hutang yang pasti itu adalah sangat sesuai dan munasabah pada waktu-waktu tersebut.
48. Page
Nuktah Kelima: Secara fitrahnya insan adalah terlalu daif walhal semua benda mengganggu, mempengaruhi dan menyakitkannya. Dia juga sangat lemah walhal musibah dan musuhnya amat banyak. Dia terlalu fakir walhal hajat-hajatnya amat banyak. Dia malas serta tidak berupaya walhal taklif (tanggungjawab) hidup amat berat. Kemanusiaan juga telah menghubungkannya dengan alam semesta, walhal kehilangan dan perpisahan semua perkara yang disayangi dan disenangi sentiasa menyakitinya. Akal pula menunjukkan kepadanya matlamat-matlamat yang tinggi dan buah-buahan yang abadi walhal tangannya pendek, umurnya singkat, keupayaannya kurang dan kesabarannya sedikit.
Maka, dapat difahami dengan jelas bahawa bagi roh yang berada dalam keadaan begini, bermuraja‘ah (merujuk) dan memberitahu keadaan, memohon taufiq dan bantuan melalui rayuan dan solat kepada hadrat al-Qadir Dzul Jalal dan ar-Rahim Dzul Jamal pada waktu subuh adalah amat perlu dan ia (solat Subuh) menjadi noktah persandaran yang amat perlu untuk dia (roh) menanggung tugas-tugas yang akan ditempuh dan dipikulnya pada dunia siang yang menyusuli waktu subuh itu.
Masa pada waktu Zohor itu ialah detik-detik kesempurnaan siang, kecondongannya ke arah menghilang dan kematangan kerja-kerja harian. Waktu istirahat yang sementara daripada himpitan kesibukan, waktu roh memerlukan kerehatan daripada kelalaian dan kecelaruan yang terhasil daripada dunia yang fana dan kerja-kerja yang tidak kekal serta berat dan merupakan detik terzahirnya pemberian nikmat Ilahi.
49. Page
Maka, menunaikan solat Zohor adalah sangat baik, menarik, perlu dan munasabah. Ini kerana solat Zohor bermakna roh manusia menyelamatkan diri daripada kesempitan dan meloloskan diri daripada kelalaian lalu keluar daripada perkara yang tidak bermakna dan tidak kekal itu lantas pergi ke pintu al-Qayyum al-Baqi yang merupakan Pemberi Nikmat sebenar sambil mendakap tangan, mensyukuri dan memuji semua nikmat-Nya kemudian meminta bantuan dan menzahirkan kelemahannya dengan rukuk di hadapan kebesaran dan keagungan-Nya dan bersujud di hadapan kesempurnaan-Nya yang tidak akan lenyap dan keindahan-Nya yang tiada bandingan, seterusnya mengumumkan ketakjuban, kasih sayang dan kerendahannya. Insan yang tidak memahami hakikat di atas bukanlah insan.
Masa pada waktu Asar itu mengenang dan mengingatkan kepada musim luruh yang menyedihkan, masa tua yang mensayukan dan musim akhir zaman yang memilukan. Ia juga masa selesainya tugasan harian serta masa terbentuknya sejumlah keagungan kurniaan Ilahi seperti kesihatan, keselamatan dan kerja baik yang diterimanya pada hari itu. Manakala, melalui isyarat condongnya matahari gergasi itu ke arah ghurub, ia merupakan suatu masa yang memberitahu bahawa insan ialah hamba yang bertamu, dan semua perkara adalah sementara dan tidak tetap.
Sekarang, roh insan yang mengingini keabadian dan diciptakan untuknya, amat memuja kurniaan dan merasai kepiluan akibat perpisahan itu bangun dan mengambil wudhuk untuk mendirikan solat Asar pada waktu Asar itu. Kemudian sambil mempersembahkan munajat ke hadrat Samadaniyyah al-Qadim al-Baqi dan al-Qayyum as-Sarmadi, dia berlindung di bawah keprihatinan rahmat yang tidak akan lenyap dan tidak berpenghujung. Sambil bersyukur dan memuji nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung, dia ruku’ dalam rasa kehinaan di hadapan kemuliaan rububiyyah-Nya. Kemudian sambil bersujud dengan rasa rendah diri di hadapan kesarmadian uluhiyyah-Nya, dia menemui hiburan dan kerehatan rohani yang hakiki lalu bersedia menjadi hamba di hadrat kemuliaan-Nya.
50. Page
. Justeru, hanya insan yang boleh memahami bahawa mendirikan solat Asar yang bermaksud seperti di atas merupakan satu tugas yang amat tinggi, satu khidmat yang amat munasabah dan satu pelunasan hutang fitrah yang amat kena pada tempatnya. Bahkan ia menjadi satu perolehan kebahagiaan yang sangat menarik.
Masa pada waktu Maghrib itu mengingatkan kepada masa menghilangnya makhluk-makhluk yang jinak dan indah bagi dunia musim panas dan musim luruh dalam perpisahan yang menyedihkan akibat permulaan musim sejuk. Ia juga mengingatkan kepada waktu manusia berpisah daripada semua kekasihnya dalam perpisahan yang menyakitkan akibat kematiannya lalu memasuki kubur. Seterusnya ia mengenang dan mengingatkan kepada masa di mana semua penghuni dunia berpindah ke alam lain dan ketika lampu medan ujian ini dipadamkan lantaran kematian dunia dalam goncangan sakarat. Ia juga merupakan waktu yang memberi amaran keras kepada mereka yang memuja para kekasih yang terbenam dalam kelenyapan.
Justeru, untuk menunaikan solat Maghrib pada waktu begini, roh manusia yang secara fitrahnya menjadi cermin kerinduan kepada Dzat al-Jamal al-Baqi menoleh wajahnya ke arah takhta agung al-Qadim lam yazal (yang masih ada) dan al-Baqi la yazal (yang tidak akan lenyap) yang melakukan kerja-kerja agung, memutar dan mengubah alam-alam yang besar ini.
51. Page
Kemudian dia mengungkapkan “Allahu Akbar” ke atas benda-benda fana ini dan menarik tangannya daripada mereka lantas mendakap tangan untuk berkhidmat kepada al-Maula dan berdiri di hadrat ad-Daim al-Baqi. Dengan mengucapkan “Alhamdulillah”, dia bersyukur memuji kesempurnaan-Nya yang tiada kekurangan, keindahan-Nya yang tiada bandingan, dan rahmat-Nya yang tiada akhiran. Dengan mengucapkan: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَ إِيَّاكَ نَسْتَعِينُ dia mempamerkan 'ubudiyyah dan memohon pertolongan daripada rububiyyah-Nya yang tiada pembantu, uluhiyyah-Nya yang tiada sekutu dan kesultanan-Nya yang tiada wazir.
Kemudian dia rukuk kepada kebesaran-Nya yang tiada akhiran, Qudrat-Nya yang tiada sempadan, dan kemuliaan-Nya yang tiada kelemahan. Dengan menzahirkan kedaifan dan kelemahannya, kefakiran dan kehinaannya bersama-sama seluruh alam semesta, dia mentasbihkan Rabbul ‘Azim-nya dengan menyebut سُبْحَانَ رَبِّىَ الْعَظِيمِ.
Kemudian dia bersujud kepada keindahan dzat-Nya yang tidak akan hilang, sifat Qudsiyyah-Nya yang tidak akan berubah dan kesempurnaan sarmadi-Nya yang tidak akan berganti. Dia menyatakan kasih sayang dan ubudiyahnya dengan meninggalkan selain-Nya dalam ketakjuban dan kerendahan lantas dia menemui al-Jamil al-Baqi, ar-Rahim as-Sarmadi sebagai gantian kepada semua yang fana. Dengan berkata سُبْحَانَ رَبِّىَ الْاءَعْلَى dia mentakdiskan Rabb al-A’laa-nya yang munazzah (disucikan) daripada kelenyapan dan bebas daripada kekurangan.
Kemudian dia bertasyahhud, duduk menghadiahkan tahiyyat-tahiyyat mubarakah (yang diberkati), selawat-selawat tayyibah (murni) seluruh makhluk atas namanya sendiri kepada al-Jamil lam yazal dan al-Jalil la yazal.
52. Page
Dengan mengucapkan salam kepada Rasul-Nya yang mulia dia memperbaharui bai’ahnya dan menzahirkan ketaatan kepada perintah-perintah-Nya. Untuk memperbaharui dan menerangi imannya, dia menyaksikan peraturan berhikmah istana alam semesta ini. Kemudian dia menjadi saksi kepada Wahdaniyyah (keesaan) as-Sani’ Dzul Jalal serta menjadi saksi kepada risalah Muhammad al-Arabi Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang menjadi bentara kesultanan rububiyyah, penyampai mardhiyyah-Nya (perkara-perkara yang diredhai-Nya) dan penterjemah ayat-ayat kitab alam semesta ini.
Maka, adakah mungkin untuk orang yang tidak memahami bahawa menunaikan solat Maghrib yang memberi makna seperti di atas merupakan satu tugas yang amat latif (santun) dan bersih, satu khidmat yang amat mulia dan lazat, satu 'ubudiyyah yang amat menarik dan cantik, satu hakikat yang amat benar, satu bicara yang kekal dan satu kebahagiaan yang berterusan di rumah tamu yang fana ini mampu menjadi manusia (yang sejati)?
Masa pada waktu Isyak itu ialah waktu sisa-sisa kesan peninggalan siang hari yang masih ada di ufuk barat turut menghilang lalu dunia malam meliputi alam semesta. Ia memperingatkan tasarrufat Rabbaniyyah al-Qadir Dzul Jalal yang merupakan مُقَلِّبُ الَّيْلِ وَ النَّهَارِ (Pengubah malam dan siang) ketika penukaran muka surat putih itu kepada muka surat hitam ini dan urusan Ilahi al-Hakim Dzul Kamal yang merupakan مُسَخِّرُ الشَّمْسِ وَ الْقَمَرِ (Penggerak matahari dan bulan) semasa penukaran muka surat hijau musim panas yang indah kepada muka surat putih musim sejuk yang dingin. Waktu itu turut mengingatkan urusan Ilahi Khaliq al-maut wa al-hayah (Pencipta kematian dan kehidupan) dalam perpindahan sisa-sisa kesan peninggalan ahli kubur secara keseluruhannya ke alam lain akibat terputusnya ia daripada dunia ini bersama peredaran masa.
53. Page
Ia juga merupakan satu masa yang mengingat dan mengenangkan tasarrufat jalaliyyah (kehebatan) dan tajalliyat jamaliyah (keindahan) bagi Khaliq al-ardhi wa as-samawat (Pencipta bumi dan langit) ketika tersingkapnya alam Akhirat yang luas, kekal dan agung setelah kemusnahan dunia yang sempit, fana dan hina secara keseluruhan dan kematiannya menerusi sakaratnya yang dahsyat. Sesungguhnya hanya Dzat yang boleh menukar, menulis, memadam dan mengubah siang dan malam, musim sejuk dan panas, dunia dan akhirat seperti halaman sebuah kitab dengan senang sahajalah yang boleh menjadi al-Malik (Pemilik) dan al-Mutasarrif (Pengurus) hakiki, al-Ma’bud (yang disembah) dan al-Mahbub (yang dikasihi) sebenar alam semesta ini. Ini merupakan keadaan yang membuktikan kewujudan al-Qadir al-Mutlaq yang sentiasa menguasai semua ini.
Justeru, untuk menunaikan solat Isyak pada waktu Isyak yang dalam makna begini, roh manusia yang lemah dan daif tidak berkesudahan, fakir dan berhajat tiada akhiran, hanyut menuju kegelapan suatu masa hadapan yang tidak berpenghujung dan masih terhuyung-hayang dalam peristiwa-peristiwa yang tiada penamat menyebut لاَ أُحِبُّ اْلآفِلِينَ
seperti Saidina Ibrahim ‘Alaihis Salam. Seterusnya dia berlindung di pintu al-Ma’bud lam yazal, al-Mahbub la yazal dengan solat lalu bermunajat kepada al-Baqiy as-Sarmadi di alam yang fana, dalam kehidupan yang sementara, di dalam dunia yang gelap dan di dalam masa depan yang gelita ini. Kemudian dia melihat dan memohon tolehan rahmat ar-Rahman ar-Rahim dan nur hidayah-Nya yang akan menabur cahaya kepada dunianya, menerangi masa depannya, menyapu ubat kepada luka-lukanya yang terguris akibat perpisahan dan kehilangan maujudat dan para kekasihnya melalui secebis perbualan abadi dalam beberapa minit yang sedikit daripada satu umur yang kekal. Seterusnya, buat sementara waktu, dia turut melupakan dunia yang melupakan dan bersembunyi daripadanya lantas meluahkan masalah-masalahnya melalui tangisan hati di pintu rahmat.
54. Page
Kemudian (sebagai persediaan) untuk menghadapi sebarang kemungkinan, sebelum memasuki tidur yang menyerupai kematian, dia melaksanakan tugas 'ubudiyyah yang terakhir. Maka, untuk menutup buku amalan hariannya dengan husnul khatimah, dia bangun mendirikan solat iaitu hadir menghadap hadrat al-Ma’bud dan al-Mahbub al-Baqi sebagai ganti kepada semua kekasih fananya, al-Qadir al-Karim sebagai ganti kepada makhluk lemah yang menjadi tempat dia mengemis dan hadrat al-Hafiz ar-Rahim untuk menyelamatkan diri daripada kejahatan pemudarat-pemudarat yang menggerunkannya.
Kemudian dia memulakannya dengan al-Fatihah, iaitu: Memuja-muji Rabbul ‘Alamin yang merupakan Dzat al-Kamil al-mutlaq dan al-Ghaniy al-mutlaq berbanding memuji dan berhutang budi kepada para makhluk yang tiada faedah, tidak layak (dipuji), tidak sempurna dan fakir. Seterusnya dia meningkat kepada khitab إِيَّاكَ نَعْبُدُ iaitu bersama dengan rasa kerdil, ketiadaapaan dan keseorangannya, dia memasuki maqam seorang musafir yang manja dan petugas yang penting di alam semesta ini dengan bernaung kepada مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ yang merupakan Sultan keazalian dan keabadian. Kemudian dengan menyebut: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ dia mempersembahkan ibadat dan permintaan bantuan yang wujud pada jamaah terbesar dan kelompok teragung alam semesta atas nama seluruh makhluk kepada-Nya. Dengan menyebut اهْدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقِيمَ dia meminta hidayah kepada Sirat al-Mustaqim yang merupakan jalan nurani menuju kebahagiaan abadi dalam kegelapan masa hadapan.
Kemudian dengan memikirkan kebesaran Dzat Dzul Jalal yang mana matahari-matahari yang telah bersembunyi seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang kini telah tidur dan bintang-bintang yang celik yang masing-masing menurut perintah-Nya seperti askar, dan setiap satunya menjadi lampu dan khadam dalam rumah tamu alam ini, dia melafazkan “Allahu Akbar” lalu tunduk rukuk.
55. Page
Seterusnya dia memikirkan sujud teragung seluruh makhluk iaitu sujud jenis-jenis maujudat seperti makhluk-makhluk yang tidur pada malam ini pada setiap tahun dan pada setiap kurun termasuk bumi, termasuk dunia, masing-masing seperti tentera yang tersusun, bahkan masing-masing seperti askar yang patuh setelah melafazkan “Allahu Akbar” secara sangat teratur di atas sejadah ghurub sewaktu dilepaskan daripada tugas 'ubudiyyah duniawi dengan perintah كُنْ فَيَكُون dalam kelenyapan iaitu waktu mereka dihantar ke alam ghaib.
Sepertimana mereka kembali bangkit dan bangun semula di musim bunga dalam keadaan sebahagiannya sama dan sebahagiannya serupa. Mereka bersiap siaga berkhidmat kepada al-Maula dengan laungan penghidupan dan pembangkitan yang datang daripada perintah كُنْ فَيَكُون. Maka, kerana mencontohi mereka, manusia kerdil ini turut berkata “Allahu Akbar” lalu bersujud dalam mahabbah (kasih sayang) yang bercampur ketakjuban, kerendahan diri yang bercampur kebaqaan dan tazallul (rasa hina) yang bercampur kemuliaan di gerbang hadrat ar-Rahman Dzul Kamal dan ar-Rahim Dzul Jamal itu.
Sudah tentu engkau telah memahami bahawa menunaikan solat Isyak yang membawa maksud seperti di atas yakni satu cara untuk menaiki mikraj merupakan satu tugas khidmat, satu 'ubudiyyah dan satu hakikat benar yang amat menarik, sangat cantik, begitu menawan, sungguh tinggi, teramat mulia, lazat, tersangat maakul dan munasabah.
56. Page
Maknanya, oleh sebab setiap satu daripada lima waktu solat ini merupakan isyarat perubahan yang agung, petanda urusan Rabbaniyyah yang besar dan alamat pemberian nikmat Ilahiyyah yang menyeluruh, sesungguhnya pengkhususan fardhu solat yang merupakan hutang dan tanggung jawab pada masa-masa tersebut adalah terlalu berhikmah.
سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الحَكِيمُ
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى مَنْ أَرْسَلْتَهُ مُعَلِّمًا لِعِبَادِكَ لِيُعَلِّمَهُمْ كَيْفِيَّةَ مَعْرِفَتِكَ وَالْعُبُودِيَّةَ لَكَ وَمُعَرِّفًا لِكُنُوزِ أَسْمَائِكَ، وَتُرْجُمَانًا لآيَاتِ كِتَابِ كَائِنَاتِكَ وَمِرْآةً بِعُبُودِيَّتِهِ لِجَمَالِ رُبُوبِيَّتِكَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَارْحَمْنَا وَارْحَمِ المُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ. آمِينَ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ