NAVIGATION
9. Page
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعبُدُوا
Wahai manusia! Beribadahlah! (Al-Baqarah, 21)
Jika engkau ingin memahami betapa ibadah itu merupakan suatu perniagaan dan kebahagiaan yang sangat besar, manakala kefasiqan dan kemaksiatan itu merupakan suatu kerugian dan kebinasaan yang amat besar, maka renung dan dengarlah hikayat perumpamaan yang pendek ini:
Pada suatu masa, dua orang askar menerima arahan untuk pergi ke sebuah bandar yang jauh. Mereka bergerak bersama sehinggalah jalan bersimpang dua. Di situ terdapat seseorang. Lalu orang itu berkata kepada mereka. “Jalan yang di sebelah kanan ini di samping tidak berbahaya, sesiapa yang lalu di situ, sembilan persepuluhnya sentiasa menikmati keuntungan dan kerehatan yang besar. Manakala jalan di sebelah kiri pula, di samping tiada manfaatnya, dalam sepuluh orang yang berjalan di sini, sembilan daripadanya mendapat kemudaratan. Ukuran pendek dan panjang kedua-duanya adalah sama. Cuma terdapat satu perbezaan iaitu orang yang menuju ke jalan sebelah kiri yang tiada peraturan dan penguatkuasaan akan bergerak tanpa beg dan senjata. Dia akan merasai suatu keringanan lahiriah dan kerehatan yang menipu. Manakala orang yang berjalan di sebelah kanan yang berada di bawah peraturan ketenteraan, terpaksa membawa beg seberat empat kati yang dipenuhi makanan asasi dan senjata canggih milik kerajaan seberat dua kati yang mampu mengalahkan dan menewaskan semua musuh”.
10. Page
Selepas kedua-dua orang askar itu mendengar taklimat daripada penunjuk jalan tersebut, askar yang bertuah itu pergi ke sebelah kanan. Dia memikul beban seberat satu pikul di bahu dan belakangnya. Biarpun begitu, hati dan rohnya terselamat daripada ribuan pikul bebanan rasa terhutang budi dan ketakutan. Manakala seorang lagi yang malang itu pula meninggalkan tugas ketenteraan. Dia langsung tidak mahu mengikut peraturan, lalu pergi ke sebelah kiri. Tubuhnya terselamat daripada satu pikul beban tetapi hatinya diinjak-injak di bawah ribuan pikul bebanan rasa berhutang budi dan rohnya pula di bawah rasa ketakutan yang tidak berkesudahan. Malah dia mengemis kepada semua orang. Dia berjalan dalam keadaan menggigil ketakutan daripada setiap benda dan semua peristiwa. Akhirnya dia sampai ke tempat yang dimaksudkan. Di sana dia dihukum sebagai penderhaka dan pelarian.
Manakala askar yang menyukai peraturan ketenteraan, menjaga beg dan senjatanya dan pergi ke sebelah kanan itu berjalan dengan ketenangan hati dan sanubari tanpa berasa takut dan terhutang budi kepada sesiapa. Akhirnya dia sampai ke bandar yang dimaksudkan. Di sana, dia mendapat ganjaran yang setimpal dengan sikap askar bermaruah yang melaksanakan tugasnya dengan baik.
Demikianlah wahai nafsu yang derhaka!
Ketahuilah bahawa dua orang pengembara itu ialah insan-insan yang seorangnya mentaati undang-undang Ilahi dan seorangnya lagi ialah penderhaka dan pengikut hawa nafsunya.
Jalan tersebut ialah jalan kehidupan yang datang dari alam roh lalu melintasi kubur menuju ke Akhirat.
11. Page
Beg dan senjata itu pula ialah ibadat dan ketaqwaan. Secara zahir, sebenarnya dalam ibadat itu terdapat keberatan tetapi pada maknanya terdapat kerehatan dan keringanan yang begitu hebat sehingga tidak mampu ditakrifkan. Ini kerana orang yang beribadat, dalam solatnya dia melafazkan: أَشْهَدُ أَنْ لَٓا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ, iaitu tidak ada al-Khaliq (Maha Pencipta) dan ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki) selain-Nya. Kemanfaatan dan kemudaratan itu berada di tangan-Nya. Dia bukan sahaja al-Hakim (Maha Bijaksana) dan tidak membuat perkara yang sia-sia malah Dia juga ialah ar-Rahim (Maha Penyayang). Ihsan dan kasih sayang-Nya adalah melimpah ruah. Kerana beriktikad begitu, dia menjumpai pintu khazanah rahmat pada setiap sesuatu lalu mengetuknya dengan doa. Malah dia melihat semua benda patuh kepada perintah Rabb-nya sendiri, lalu sentiasa bernaung kepada-Nya. Dengan tawakal, dia bersandar lantas berlindung kepada-Nya menghadapi setiap musibah. Keimanan menganugerahinya suatu keamanan yang sempurna.
Ya, sebagaimana sumber setiap kebaikan yang hakiki ialah keimanan dan pengabdian, itulah juga sumber keberanian. Sebagaimana sumber setiap keburukan ialah kesesatan, itulah juga sumber ketakutan. Ya, bagi ‘abid yang hatinya benar-benar bercahaya, seandainya dunia ini menjadi bom lalu meletup, berkemungkinan ia tidak akan menggentarkannya. Bahkan, dia akan menyaksikan satu qudrat as-Samad yang luar biasa dengan suatu ketakjuban yang lazat. Manakala ahli falsafah yang fasiq dan masyhur yang buta hati namun dikatakan akalnya bercahaya, jika dia melihat bintang berekor di langit, dia akan menggigil di bumi. Dia pasti berkata: “Entah-entah bintang liar itu akan menghentam bumi.” Lantas dia terjerumus ke dalam prasangka. (Pernah pada suatu masa, disebabkan bintang yang sebegini, penduduk Amerika menggigil ketakutan. Kebanyakan mereka telah meninggalkan rumah mereka pada waktu malam (tidak bermalam dalam rumah).
12. Page
Ya, walaupun insan berhajat kepada bermacam-macam perkara yang tiada batasan, namun modalnya bagaikan tiada. Malah, walaupun dia terdedah kepada musibah yang tidak berkesudahan, namun keupayaannya bagaikan tiada. Seolah-olah, daerah modal dan keupayaannya hanyalah sekadar apa yang mampu dicapai oleh tangannya, namun daerah semua cita-cita, kehendak, kesakitan dan musibahnya pula seluas dan sejauh apa yang mampu dijangkau oleh mata dan khayalannya. Semua orang yang tidak buta secara keseluruhan mampu melihat dan memahami betapa ibadat, tawakal, tauhid dan penyerahan, merupakan suatu keuntungan, kebahagiaan dan nikmat yang amat besar kepada roh manusia yang lemah, daif, fakir dan berhajat setahap ini.
Sudah dimaklumi bahawa jalan yang tiada kemudaratan akan diutamakan ke atas jalan yang berbahaya walaupun terdapat satu daripada sepuluh kemungkinan. Walhal, di jalan ibadat yang menjadi pokok perbincangan kita dengan sifatnya yang tidak bermudarat ini, dalam nisbah sembilan daripada sepuluh kemungkinannya terdapat suatu khazanah kebahagiaan yang abadi. Manakala jalan kefasiqan dan kemaksiatan, – sehingga telah diakui oleh seorang fasiq – walaupun tidak bermanfaat - sememangnya telah sabit dengan penyaksian ahli ikhtisas dan ahli musyahadah (golongan yang pakar) yang sangat ramai pada tahap ijma’ dan mutawatir bahawa dalam nisbah sembilan daripada sepuluh kemungkinannnya terkandung malapetaka kesusahan yang abadi malah telah dibuktikan secara qat‘i melalui pengkhabaran daripada ahli dzauq dan kasyaf.
Kesimpulan: Seperti akhirat, kebahagiaan dunia juga terdapat dalam ibadat dan menjadi tentera kepada Allah. Maka, kita hendaklah sentiasa mengucapkan اَلْحَمْدُ ِللّٰهِ عَلَى الطَّاعَةِ وَالتَّوْفِيقِ dan mensyukuri keislaman kita.