Kalimah Ketiga Puluh Satu

369. Page

KALIMAH KETIGA PULUH SATU

 

Risalah Isra’ Mi’raj Nabawi Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam

 

 

Peringatan: Peristiwa Isra’ Mi’raj ialah satu natijah yang datang selepas asas rukun-rukun iman. Ia merupakan satu cahaya yang mendapat bantuan daripada nur rukun-rukun iman. Sudah tentu ia tidak boleh diisbatkan secara tuntas di hadapan golongan mulhid tidak beragama yang tidak menerima rukun-rukun iman. Ini kerana peristiwa Isra’ Mi’raj tidak boleh diceritakan kepada mereka yang tidak meyakini Allah, tidak mengenali Rasul dan tidak menerima malaikat ataupun mengingkari kewujudan (makhluk di) langit. Maka rukun-rukun itu perlu diisbatkan terlebih dahulu.

Oleh yang demikian, kami menjadikan seorang mukmin yang melihat Isra’ Mi’raj sebagai tidak masuk akal dan ragu-ragu dalam masalah ini sebagai pendengar dan kami akan menerangkan kepadanya. Kami juga sekali-sekala akan memberi perhatian dan penjelasan kepada orang mulhid yang turut sama mendengar. Sebahagian kilauan hakikat Isra’ Mi’raj telah disebutkan dalam sesetengah Kalimah.

Atas gesaan para saudara, kami telah memohon ‘inayah (bantuan) Allah untuk menghimpunkan kilauan-kilauan yang berada di tempat yang berbeza-beza itu bersama dengan hakikat asalnya dan sekali gus menjadikannya cermin kepada keindahan kesempurnaan Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam.


بِسْـــمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ

سُبْحَانَ الَّذِى اَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ اِلَى الْمَسْجِدِ الْاَقْصَى الَّذِى بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا اِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


 اِنْ هُوَ اِلاَّ وَحْىٌ يُوحَى* عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَى* ذُومِرَّةٍ فَاسْتَوَى*

 وَ هُوَ بِالْاُفُقِ الْاَعْلَى* ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى* فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ اَوْ اَدْنَى*

فَاَوْحَى اِلَى عَبْدِهِ مَا اَوْحَى* مَا كَذَبَ الْفُوادُ مَا رَاَى* اَفَتُمَارُونَهُ عَلَى مَا يَرَى* 

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً اُخْرَى* عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى* عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَاْوَى*


اِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى* مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى* لَقَدْ رَاَى مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى*


Oleh sebab hanya dua pembayang pada dhomir (kata ganti nama) اِنَّهُ yang bersandar kepada dustur balaghah daripada khazanah agung ayat agung (yang dinyatakan) pada permulaan mempunyai kaitan dengan masalah kami, maka kami akan menulisnya sebagaimana yang telah diterangkan dalam perbahasan kemukjizatan al-Quran.

Justeru, selepas menyebut tentang perjalanan al-Habib al-Akram ‘Alaihi Afdhal as-solah wa akmal as-sallam yang bermula daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang merupakan permulaan Isra’ Mi’raj baginda, al-Quran al-Hakim menyatakan اِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ.

Persoalannya ialah, sama ada dhomir pada اِنَّهُ yang memberi bayangan tentang penghujung Isra’ Mi’raj yang diisyaratkan dalam ayat وَ النَّجْمِ اِذَا هَوَى  merujuk kepada Allah Taala ataupun kepada Rasul Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam


370. Page

Sekiranya merujuk kepada Rasul Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, tatabalaghah dan munasabah siyaq al-kalam (laras bahasa) mengifadahkan seperti berikut: Di dalam perjalanan yang juz’i ini terdapat perjalanan yang umum dan ‘uruj (kenaikan ke tempat tinggi) yang kulli. Baginda telah mendengar dan melihat ayat-ayat Rabbani dan keajaiban seni-seni Ilahi yang tersua oleh mata dan telinganya dalam martabat kulli nama-nama Ilahi sehingga Sidratul Muntaha sehingga Qaaba Qausain. Ia memperlihatkan bahawa perjalanan baginda yang juz’i dan kecil ini adalah ibarat anak kunci sebuah perjalanan yang kulli dan menghimpun pelbagai keajaiban itu.

 

Sekiranya dhomir itu merujuk kepada Allah, ia menjadi seperti berikut: Allah menjemput seorang hamba-Nya menuju hadrat-Nya menerusi suatu perjalanan untuk memerintahkannya satu tugas, Dia menghantar hamba-Nya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang merupakan tempat perhimpunan para nabi; mempertemukan baginda dengan para nabi. Kemudian, selepas memperlihatkan bahawa baginda adalah pewaris mutlak kepada asas-asas agama seluruh anbiya’, Dia telah membawa baginda menjelajahi (seluruh alam) mulk dan malakut-Nya sehingga ke Sidratul Muntaha dan Qaaba Qausain.

Justeru secara zahirnya baginda ialah seorang hamba dan perjalanan itu ialah satu Isra’ Mi’raj yang juz’i, tetapi hamba ini membawa bersamanya satu amanah yang berhubung-kait dengan alam semesta. Malah baginda membawa bersamanya nur yang akan mengubah warna alam semesta ini. Malah, oleh sebab baginda bersama dengan anak kunci yang akan membuka pintu kebahagiaan abadi, maka Allah menyifatkan diri baginda dengan sifat “boleh mendengar dan melihat semua benda” supaya baginda memperlihatkan hikmah amanah, nur dan anak kunci itu yang syumul, meliputi seluruh alam dan umum kepada segenap alam semesta dan merangkumi sekalian makhluk.

 

Rahsia agung ini mempunyai empat asas.

Pertama: Apakah rahsia keperluan Isra’ Mi’raj?

Kedua: Apakah hakikat Isra’ Mi’raj?

Ketiga: Apakah hikmah Isra’ Mi’raj?

Keempat: Apakah hasil dan faedah Isra’ Mi’raj?


371. Page

Asas Pertama: Rahsia keperluan Isra’ Mi’raj. Contohnya dikatakan bahawa Allah adalah اَقْرَبُ اِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ. Dia adalah lebih hampir kepada setiap benda berbanding dengan setiap benda lain. Dia adalah munazzah daripada jisim dan tempat. Setiap wali boleh berjumpa dengan-Nya di dalam hati. Namun mengapakah kewalian Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam memperoleh munajat yang diperoleh setiap wali di dalam hatinya sendiri hanya setelah menamatkan perjalanan yang panjang seperti Isra’ Mi’raj?

 

Jawapan: Kami mendekatkan kefahaman mengenai rahsia yang terselindung itu melalui dua perumpamaan. Dengarlah kepada dua perumpamaan yang berkenaan dengan rahsia kemukjizatan al-Quran dalam Kalimah Kedua Belas dan rahsia Isra’ Mi’raj.

 

Perumpamaan Pertama: Seorang Sultan mempunyai dua jenis titah, perbualan dan pertemuan. Baginda memiliki dua bentuk khitab (titah ucapan) dan keprihatinan.

 

Pertama: Baginda berbual melalui telefon khusus untuk satu kerja yang juz’i dan mengenai hajat yang khusus dengan rakyatnya yang biasa.

Kedua: Baginda bercakap dan berbual menerusi jawatan kesultanan yang agung, atas nama khilafah teragung dan dengan jawatan sebagai pemerintah umum dengan maksud untuk mengumumkan titah perintah baginda ke setiap penjuru melalui seorang dutanya yang ada hubungan dengan kerja-kerja itu ataupun melalui seorang pegawai besarnya yang ada kaitan dengan perintah itu. Juga perbualan melalui titah yang tinggi yang menzahirkan keagungannya.

Justeru وَلِلّٰهِ الْمَثَلُ الْاَعْلَى  seperti perumpamaan tadi al-Khaliq alam semesta, Malikul Mulki wal Malakut dan al-Hakim yang azali dan abadi mempunyai perbualan, percakapan dan keprihatinan dalam dua bentuk. Satunya juz’i dan khas dan satu lagi kulli dan ‘am. Maka Isra’ Mi’raj adalah satu sifat kulli kewalian Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang mengatasi semua kewalian dan penzahiran dalam bentuk ketinggian yang merupakan pemuliaan kepada perbualan dan munajat Allah Taala melalui nama Rabb seluruh alam semesta dan melalui gelaran sebagai al-Khaliq semua maujudat.


372. Page

Perumpamaan Kedua: Seseorang menghalakan cermin di tangannya ke arah matahari. Dia mendapat sinaran dan cahaya yang mengandungi tujuh warna daripada pantulan matahari mengikut kadar cermin itu sendiri. Berdasarkan kadar itu dia mempunyai hubungan dengan matahari dan dapat berbual dengannya. Sekiranya dia menghalakan cermin yang bercahaya di tangannya itu ke arah rumahnya yang gelap atau ke kebun kecil khususnya yang berada di bawah bumbung, maka dia akan beristifadah bukan berdasarkan nilai matahari bahkan menurut kadar keupayaan cermin itu.

Yang seorang lagi meninggalkan cermin (dari tangannya) lalu keluar berhadapan dengan matahari secara langsung. Dia nampak akan kehebatan matahari dan memahami keagungannya. Kemudian dia naik ke sebuah gunung yang sangat tinggi dan nampak kegemilangan kekuasaannya yang sangat luas dan bertemu dengan matahari secara langsung tanpa tirai. Kemudian dia kembali (ke rumahnya) lalu membuka jendela-jendela yang luas dari rumah atau atap kebunnya dan membuat jalan-jalan yang menghadap matahari di langit. Maka dia dapat berbual dan bercakap dengan cahaya matahari hakiki yang berterusan.

Dengan cara itu dia dapat berbual dengan penuh rasa terhutang budi dan boleh berkata: “Wahai matahari indah yang merupakan si rupawan dunia dan si cantik langit yang menyaduri muka bumi, menceriakan wajah dunia dan wajah setiap kuntum bunga dengan cahayanya! Engkau telah menghangatkan dan mencahayakan rumah kecilku dan kebun kecilku sebagaimana engkau telah memanaskan seluruh dunia dan mencahayakan muka bumi.”

Sedangkan pemilik cermin yang mula-mula tadi tidak boleh berkata seperti itu. Pantulan matahari di bawah kaitan cermin itu pula, adalah terbatas kesan-kesannya dan adalah menurut kaitan itu. Justeru, tajalli Dzat al-Ahad as-Samad yang merupakan Mentari Azali dan Sultan Keabadian muncul melalui dua bentuk yang mengandungi martabat tidak terkira kepada perihal keinsanan.

 

Pertama: Penzahiran-Nya melalui nisbah Rabbani yang mengunjur ke cermin hati. Maka setiap orang, berdasarkan persediaan dan perjalananan latihan kerohanian dalam injakan martabat serta menurut tajalli asma’ dan sifat terdapat penzahiran yang juz’i dan kulli kepada nur Mentari Keazalian itu, perbualan dengan-Nya dan munajat di hadrat-Nya. Darjat-darjat kewalian yang pergi di bawah bayang-bayang kebanyakan asma’ dan sifat-Nya muncul dari bahagian ini.


373. Page

Kedua: Penzahiran tajalli teragung Dzat Allah Taala di martabat tertinggi Asmaul Husna kepada peribadi teragung secara maknawi bagi bangsa manusia. Ini kerana manusia memiliki fitrah yang lengkap dan merupakan buah pohon alam semesta yang paling bercahaya, maka dia boleh memperlihatkan Asmaul Husna yang jilwah-jilwahnya kelihatan di seluruh alam semesta secara serentak di cermin rohnya. Sesungguhnya penzahiran dan tajalli ini ialah rahsia Isra’ Mi’raj Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, maka kewaliannya menjadi permulaan kepada kerasulannya. Iaitu kewalian yang boleh melintasi bayangan dan menyerupai orang pertama perumpamaan kedua. Sesungguhnya tiada bayangan dalam kerasulan. Ia memandang kepada keesaan Dzat Dzul Jalal secara langsung dan menyerupai orang kedua dalam perumpamaan kedua.

Isra’ Mi’raj pula, oleh sebab ia adalah karomah terbesar dan martabat tertinggi kewalian Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, maka ia telah berubah kepada martabat kerasulan.

Isra’ Mi’raj berbentuk batin ialah kewalian dan datang daripada makhluk kepada al-Haq.

Isra’ Mi’raj berbentuk zahir ialah kerasulan dan datang daripada al-Haq kepada makhluk.

Kewalian ialah suluk pada martabat-martabat kehampiran. Ia perlu melangkaui banyak martabat dan agak perlu kepada sedikit masa.

Namun kerasulan yang merupakan nur teragung pula memandang kepada rahsia peningkatan tahap kehampiran kepada Allah, maka sepintas lalu adalah mencukupi.

Kerana itu, dalam Hadith ada dinyatakan: “Baginda telah pergi dan datang dalam sekelip mata.”

Sekarang, kami berkata kepada si mulhid yang mendengar. Memandangkan alam semesta ini adalah ibarat sebuah negara yang sangat tersusun, sebuah bandar yang sangat hebat dan sebuah istana yang sangat berias, sudah tentu ia memiliki Pemerintah, Pemilik dan Tukangnya. Memandangkan terdapat al-Malik Dzul Jalal, al-Hakim Dzul Kamal dan as-Sani’ Dzul Jamal yang sebegini dan memandangkan terdapat insan yang memperlihatkan kaitan dengan alam, negara, bandar dan istana itu dan ada hubungan dengan semuanya melalui anggota dan derianya dan menyeluruh pandangannya, maka sudah tentu as-Sani’ yang hebat itu akan mempunyai kaitan yang tinggi dan agung dengan insan yang berpandangan menyeluruh dan berperasaan umum itu dan akan ada khitab yang kudus dan tawajjuh (perhatian) yang tinggi kepadanya. Memandangkan baginda Muhammad al-‘Arabi Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam telah memperlihatkan hubungan baginda di peringkat yang paling tinggi melalui penyaksian kesan-kesan di kalangan mereka yang menerima hubungan itu dari zaman nabi Adam ‘Alaihis Salam sehingga sekarang ini yakni sepertimana baginda telah mengambil separuh muka bumi dan seperlima bangsa manusia ke bawah daerah tindakannya dan telah menukar dan menerangi rupa maknawi alam semesta, maka Isra’ Mi’raj yang terdiri daripada martabat tertinggi hubungan itu adalah sesuai dan sangat sepadan dengan baginda. 


374. Page

Asas Kedua: Apakah hakikat Isra’ Mi’raj?

 

Jawapan: Ia adalah tentang sayr wa suluk (perjalanan tarbiah rohaniah) baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam pada martabat-martabat kesempurnaan. Yakni dengan memperlihatkan satu persatu kesan rububiyyah di daerah-daerah pentadbiran dan pewujudan yang telah dibentuk oleh Allah Taala dalam kekuasaan rububiyyah-Nya melalui nama-nama dan gelaran-gelaran berbeza yang telah ditajallikan pada susunan makhluk dan yang telah diperlihatkan-Nya di lapisan langit yang menjadi asas kepada takhta rububiyyah dan pusat pemerintahan-Nya kepada hamba khusus itu, maka untuk menjadikan hamba itu sebagai penghimpun segala kesempurnaan insan, penerima semua tajalli Ilahi, pemantau kepada seluruh lapisan alam semesta, juruhebah kesultanan rububiyyah, penyampai perkara-perkara yang diredhai Ilahi dan pembongkar misteri alam semesta, Allah telah menunggangkannya ke atas seekor Buraq, membawanya mengembara di langit seperti kilat, mempertontonkan rububiyyah Ilahi dengan cara melangkaui martabat-martabat dari sebuah kediaman seperti bulan ke sebuah kediaman yang lain dan dari daerah ke satu daerah dan Allah telah menaikkan baginda sampai ke maqam Qaaba Qausain sambil memperlihatkan seorang demi seorang nabi dan merupakan saudaranya yang ada maqamnya di langit daerah-daerah itu. Allah juga telah menganugerahkan baginda untuk bercakap dan melihat-Nya melalui tajalli Ahadiyyah.

Hakikat yang tinggi ini dapat dilihat melalui dua teropong perumpamaan.

 

Perumpamaan Pertama: Sepertimana telah diterangkan dalam Kalimah Kedua Puluh Empat, seorang Raja memiliki gelaran-gelaran yang berbeza di daerah pemerintahannya, nama dan sifat yang berlainan dalam lapisan rakyatnya, nama dan pangkat yang bermacam-macam pada martabat kerajaannya.

Sebagai contoh: Dalam bidang kehakiman baginda ialah seorang hakim yang adil.

Dalam kerajaan baginda ialah sultan.

Dalam bidang ketenteraan baginda ialah panglima tertinggi.

Dalam bidang keilmuan baginda ialah khalifah dan begitulah seterusnya.

Terdapat nama dan gelaran yang lain pada baginda. Di setiap daerah terdapat maqam dan bangku baginda yang masing-masing ibarat takhta maknawi. Seorang raja itu boleh memiliki seribu nama dan gelaran dalam daerah-daerah kekuasaan dan pada martabat-martabat peringkat pemerintahan baginda. Di dalam satu sama lain, baginda mungkin mempunyai seribu takhta kesultanan. Seolah-olah pemerintah itu wujud dan sentiasa hadir di setiap tempat serta mengetahui (semua tempat) melalui jawatan dan telefon peribadi maknawinya. Baginda dilihat dan melihat di setiap peringkat melalui undang-undang, peraturan dan wakilnya. Baginda mentadbir dan memandang di sebalik tabir di setiap martabat melalui hukuman, ilmu dan kekuatannya. Baginda memiliki sebuah pusat dan kediaman yang berlainan di setiap daerah. Hukuman-hukumannya adalah berbeza daripada satu sama lain. Peringkat-peringkatnya adalah berlainan daripada satu sama lain. 


375. Page

Sesungguhnya Sultan yang sebegini membawa seseorang yang dikehendakinya berjalan-jalan di semua daerah itu, memperlihatkan kesultanannya yang penuh kemegahan dan perintah-perintah penuh kebijaksanaannya yang terkhusus kepada setiap daerah. Baginda membawanya berjalan-jalan dari satu daerah ke satu daerah dan dari satu peringkat ke satu peringkat sehinggalah sampai ke hadratnya. Kemudian baginda mengamanahkan sesetengah perintah umum dan menyeluruh yang ada kaitan dengan semua daerah itu dan menghantarnya pulang.

Justeru seperti perumpamaan di atas, sesungguhnya Rabbul ‘Alamin yang merupakan Sultan keazalian dan keabadian mempunyai urusan dan nama yang berbeza-beza tetapi memandang satu sama lain pada martabat-martabat rububiyyah-Nya. Dia memiliki nama dan gelaran yang kelihatan berlainan tetapi di dalam satu sama lain dalam daerah-daerah uluhiyyah-Nya. Dia memiliki tajalli dan jilwah yang berasingan tetapi menyerupai satu sama lain pada urusan-Nya yang hebat. Dia mempunyai gelaran yang berlainan tetapi merasakan satu sama lain pada pengurusan qudrat-Nya. Dia memiliki penzahiran-penzahiran suci yang berbeza-beza tetapi memperlihatkan satu sama lain pada tajalli sifat-sifat-Nya. Terdapat tindakan-tindakan yang bermacam-macam tetapi melengkapkan satu sama lain pada jilwah perbuatan-perbuatan-Nya. Dia memiliki kehebatan rububiyyah yang beraneka ragam tetapi menyaksikan satu sama lain pada kesenian dan hasil seni-Nya yang berwarna-warni. Justeru, Dia telah mengatur alam semesta ini dengan satu aturan yang mengkagumkan dan menakjubkan menurut rahsia agung ini. Terdapat satu gerak kerja tersusun di atas satu sama lain daripada zarah yang merupakan lapisan makhluk yang paling kecil sehingga langit dan dari lapisan pertama langit sampai ke ‘Arasy yang agung. Setiap lapisan langit adalah ibarat bumbung alam yang berbeza, takhta untuk rububiyyah dan pusat pemerintahan untuk urusan Ilahi. Sebenarnya semua nama menurut keesaan dapat ditemui di setiap daerah dan lapisan itu. Ia bertajalli menerusi semua gelaran. Tetapi, sebagaimana gelaran hakim yang adil di mahkamah adalah asli dan lebih menonjol, maka di sana semua gelaran lain merujuk dan mengikut kepada perintah gelaran tersebut. Semua gelaran lain juga berada dalam kandungannya.

Sebagai contoh: Nabi Isa ‘Alaihis Salam yang menzahirkan nama al-Qadir, sekiranya baginda berjumpa dengan Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam di mana-mana langit sekalipun maka Allah Taala bertajalli dengan gelaran al-Qadir di daerah langit itu.

Contoh: Nama Allah yang paling menonjol di daerah langit yang menjadi maqam Nabi Musa ‘Alaihis Salam ialah gelaran al-Mutakallim yang dizahirkan oleh baginda. Begitulah seterusnya. Maka Dzat Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah penerima Ismul A’zam. Ini kerana kenabian baginda adalah bersifat umum dan baginda menerima semua nama. Sudah tentu baginda berkait rapat dengan semua daerah rububiyyah. Sudah tentu bertemu dengan para Nabi yang merupakan pemilik maqam di daerah-daerah itu dan melintasi semua lapisan adalah bersesuaian dengan hakikat Isra’ Mi’raj


376. Page

Perumpamaan Kedua: Gelaran panglima tertinggi yang merupakan salah satu daripada gelaran seorang Sultan muncul dan jilwahnya terdapat pada bermula dari daerah yang menyeluruh dan luas seperti daerah komander tertinggi bagi daerah-daerah ketenteraan sehingga di setiap daerah juz’i dan khusus seperti ke daerah koperal. Contoh: Seorang askar melihat contoh gelaran agung panglima itu pada diri koperal lalu dia merujuk kepadanya dan mendapat arahan daripadanya. Apabila askar itu menjadi koperal, daerah panglima itu dilihatnya pada daerah sarjan lalu dia merujuk kepadanya. Kemudian, sekiranya dia menjadi sarjan, waktu itu dia nampak contoh dan jilwah panglima itu pada daerah leftenan. Terdapat satu bangku khusus untuknya di maqam itu. Begitulah seterusnya. Dia nampak gelaran kepanglimaan itu di setiap daerah bermula daripada staf sarjan, leftenan, skuad dan koloni menurut kadar kebesaran dan kekecilan daerah tersebut. Sekarang, sekiranya panglima tertinggi itu mahu menugaskan seorang askar biasa dengan tugas yang akan bersangkut paut dengan seluruh daerah ketenteraan, jika beliau mahu memberikan pangkat yang boleh melihat semua daerah dan dilihat seperti penyiasat, sudah tentu panglima tertinggi itu akan membawa askar itu berjalan bermula dari daerah koperal sehingga ke daerah agungnya satu demi satu, supaya dia nampak dan dilihat. Kemudian beliau akan menjemputnya ke sisinya lalu di samping memuliakannya melalui perbualan, beliau memberikan lencana dan arahan lalu dengan menyantuninya beliau menghantarnya sehingga ke tempat dia mula datang dalam satu detik. Dalam perumpamaan tadi, satu noktah yang perlu diperhatikan ialah sekiranya raja tidak lemah dan sekiranya baginda mempunyai kekuatan pada sudut maknawi sebagaimana kekuatan zahirnya, maka waktu itu baginda tidak akan mewakilkan individu seperti prebet, lans koperal dan staf sarjan. Baginda sendiri akan berada di setiap tempat. Cuma baginda memberi arahan secara langsung di sebalik sesetengah tabir dan di belakang individu-individu pemilik maqam.

Diriwayatkan bahawa sesetengah Sultan yang merupakan wali yang kamil (sempurna) melakukan urusannya di banyak daerah (pada masa yang sama) sebagai beberapa orang individu (yang sama).

Hakikat yang kita perhatikan melalui perumpamaan ini pula: Oleh sebab kelemahan tiada pada baginda, maka perintah dan ketetapan di setiap daerah datang secara langsung daripada panglima tertinggi dan melalui arahan, kehendak dan kekuatannya.


377. Page

Justeru, seperti perumpamaan ini, kelihatan perintah-perintah dan urusan-urusan pemerintahan bagi Penguasa langit dan bumi, Pemilik urusan Kun Fayakun dan Sultan Azali dan Abadi yang merupakan Ketua Mutlak yang berlaku di dalam lapisan makhluk-Nya dan dituruti dengan penuh ketaatan dan susunan. Kelihatan juga satu demi satu daerah rububiyyah dan peringkat Hakimiyyah (kekuasaan) dalam bentuk yang berbeza-beza tetapi berkait dengan satu sama lain pada lapisan makhluk dan kelompok maujudat sama ada yang kecil dan besar serta juz’i dan kulli yang terdiri daripada zarah sehingga planet dan daripada lalat sehingga langit.

Sekarang, sudah pasti akan berlaku satu perjalanan dan pengembaraan ke peringkat dan daerah-daerah itu (oleh seseorang) yang boleh memahami maksud-maksud tertinggi dan natijah-natijah agung di seluruh alam semesta serta untuk memahami apakah perkara yang diredhai oleh Dzat itu dan menjadi juruhebah kepada kekuasaan-Nya dengan melihat tugas 'ubudiyyah  yang berbeza-beza bagi semua peringkat sambil menyaksikan kekuasaan rububiyyah dan kehebatan penguasaan Dzat Teragung. Sehinggalah dia boleh memasuki ‘Arasy teragung yang merupakan lambang daerah teragung-Nya, sehingga ke Qaaba Qausain,(dua tanda kurungan) yakni dia akan memasuki maqam yang diisyaratkan dengan Qaaba Qausain di tengah kemungkinan dan kewajiban dan dia akan bertemu dengan Dzat Dzul Jamal. Sesungguhnya sayr wa suluk (perjalanan tarbiah rohaniah) inilah hakikat Isra’ Mi’raj.

Sebagaimana terdapat perjalanan sepantas khayalan menerusi akal bagi setiap manusia, pengembaraan yang secepat kilat menerusi hati bagi setiap wali, ulang-alik sepantas roh bagi setiap malaikat yang memiliki tubuh nurani daripada langit ke bumi dan dari bumi ke langit dan kepantasan selaju Buraq bagi insan-insan syurga ke syurga yang sejauh lebih lima ratus tahun daripada Hari Kebangkitan , maka sudah tentu tubuh Muhammad Sollallahu ‘alaihi wa Sallam yang merupakan punca kepada tugas tidak terhitung Roh Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam dan gudang kepada peralatannya yang merupakan nur dan seperti kemampuan nur dan lebih halus daripada hati para wali, lebih ringan daripada roh mereka yang telah mati dan tubuh malaikat dan lebih seni daripada jasad bintang dan badan misali akan pergi bersama roh tingginya sampai ke ‘Arasy.


378. Page

Sekarang kami memandang kepada si mulhid yang berada di tempat pendengar. Terlintas di hati bahawa si mulhid itu berkata dari hati: “Aku tidak mengenal Allah, tidak tahu Rasul maka bagaimanakah aku akan mempercayai Isra’ Mi’raj?”

Maka kami pun menjawab: “Memandangkan alam semesta dan maujudat ini wujud dan terdapat perbuatan dan pewujudan di dalamnya; memandangkan satu perbuatan yang tersusun tidak mungkin tiada pelaku, kitab yang bermakna tidak mungkin tiada penulis dan ukiran yang berseni tidak mungkin tiada pengukir, maka sudah tentu terdapat pelaku bagi perbuatan penuh kebijaksanaan yang memenuhi alam semesta ini dan terdapat penulis dan pengukir bagi tulisan yang bermakna pada ukiran muka bumi yang mengkagumkan yang diperbaharui musim demi musim.

Malah memandangkan kewujudan dua ketua dalam satu kerja merosakkan susunan kerja itu dan memandangkan terdapat susunan yang sempurna daripada sayap lalat sehingga pelita langit, maka, ketua itu adalah satu. Jika bukan satu, oleh sebab kesenian dan hikmah pada setiap benda adalah sangat menakjubkan, maka perlu terdapat pencipta benda-benda itu yang berkuasa kepada semua benda dan dia perlu menjadi si berkuasa mutlak yang boleh mengetahui semua benda. Justeru jika tidak satu, maka perlu ada tuhan sebanyak bilangan maujudat. Di samping tuhan-tuhan itu perlu bertentangan, dia juga perlu bersamaan dengan satu sama lain. Sesungguhnya ketidakrosakan susunan yang dalam keadaan seperti itu adalah seribu kali mustahil.

Malah memandangkan kelihatan dengan jelas bahawa lapisan maujudat itu bergerak dengan satu arahan yang seribu kali lebih tersusun berbanding dengan sebuah pasukan tentera, iaitu bermula dari pergerakan yang tersusun bagi bintang, matahari dan bulan sehingga kepada bunga-bunga badam; yang mana setiap kelompok menzahirkan lencana-lencana, pakaian seragam, baju-baju indah yang telah diberikan oleh al-Qadir al-Azali dan pergerakan-pergerakan yang telah ditentukan oleh-Nya dalam bentuk yang sangat tersusun dan sangat sempurna sehingga ia adalah seribu kali ganda lebih tersusun berbanding dengan pasukan tentera. Oleh itu maujudat alam semesta ini merujuk kepada perintah-Nya dan menjunjungnya dan terdapat al-Hakim al-Mutlaq-nya di sebalik tabir ghaib. 


379. Page

Memandangkan al-Hakim itu ialah Sultan Dzul Jalal melalui penyaksian urusan bijaksana yang dilakukan-Nya dan melalui kesan-kesan kehebatan yang diperlihatkan-Nya, maka melalui kurniaan yang diperlihatkan-Nya Dia ialah Rabb yang sangat Rahim. Melalui hasil-hasil kesenian-Nya yang indah, Dia ialah as-Sani’ yang sangat berseni dan sangat mencintai hasil seni-Nya. Melalui perhiasan yang diperlihatkan-Nya dan hasil seni-Nya yang membangkitkan keterujaan Dia ialah al-Khaliq al-Hakim yang mahu menarik pandangan pujian oleh makhluk yang berakal kepada karya-karya-Nya. Difahami bahawa Dia mahu memberitahu tentang apakah maksud perhiasan yang menghairankan akal yang diperlihatkan-Nya pada penciptaan alam dan dari manakah makhluk datang dan ke manakah ia akan pergi melalui hikmah rububiyyah-Nya. Sudah tentu al-Hakim al-Hakiim dan as-Sani’ al-‘Alim ini mahu memperlihatkan rububiyyah-Nya.

Malah memandangkan Dia juga mahu memperkenalkan dan mempercintakan diri-Nya kepada makhluk yang berperasaan melalui kesan-kesan kesantunan, belas kasihan dan keajaiban hasil seni yang telah diperlihatkan-Nya setahap ini, sudah tentu Dia akan memberitahu apakah hasrat-hasrat-Nya daripada makhluk yang berperasaan dan apakah yang diredhai-Nya pada mereka melalui perantaraan seorang penyampai.

Oleh itu, dengan menentukan seseorang dari kalangan makhluk yang berakal, Dia akan mengumumkan rububiyyah-Nya melalui orang yang terpilih itu. Untuk mempamerkan hasil seni yang disukainya, Dia memuliakan seorang juruhebah ke hadrat-Nya lalu akan menjadikannya sebagai perantara untuk mempamerkan dan menzahirkan kesempurnaan-Nya dengan memberitahu tentang maksud-maksud tinggi-Nya kepada semua makhluk berakal, Dia akan memilih seorang guru.

Untuk tidak membiarkan rahsia yang disiratkan-Nya di alam semesta ini dan misteri rububiyyah yang disembunyikan-Nya pada maujudat itu tidak bermakna, tidak dapat tidak Dia akan memilih seorang pembimbing. Untuk tidak membiarkan keindahan seni yang telah diperlihatkan-Nya dan telah disebarkan-Nya untuk tontonan mata sebagai tidak berfaedah dan sia-sia, Dia akan menentukan seorang penunjuk jalan yang akan mengajar tentang maksud-maksud pada semua itu. Untuk menyampaikan apa yang diredhai-Nya kepada makluk-makhluk yang berperasaan, Dia akan menaikkan seseorang ke maqam yang mengatasi semua makhluk berakal, memberitahu kepadanya apa yang diredhai-Nya dan akan menghantarnya kepada mereka.


380. Page

Memandangkan hakikat dan hikmah mewajarkan sebegini, dan Saidina Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam adalah yang paling layak untuk tugas tersebut kerana secara jelas, baginda memang telah benar-benar melaksanakan tugas-tugas itu dalam bentuk paling sempurna. Alam Islam yang telah dibinanya dan nur keislaman yang diperlihatkannya adalah saksi yang adil dan benar. Jika begitu baginda Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam itu perlu naik secara langsung ke atas seluruh alam semesta, melintasi semua maujudat dan masuk ke satu maqam supaya baginda berbual secara umum, tinggi dan menyeluruh dengan al-Khaliq seluruh makhluk. Justeru, Isra’ Mi’raj juga mengifadahkan tentang hakikat ini.”

 

Hasilnya: Memandangkan Dia telah membina, mengatur dan menghias alam semesta yang luas ini untuk maksud-maksud yang sangat agung dan tujuan-tujuan yang sangat besar seperti maksud-maksud yang telah disebutkan dalam bentuk ini; memandangkan terdapat bangsa manusia yang akan melihat rububiyyah umum ini dengan segala perinciannya dan kekuasaan uluhiyyah ini dengan segala hakikatnya di kalangan maujudat ini, sudah tentu al-Hakim al-Mutlaq itu akan bercakap dengan manusia itu dan akan memberitahu maksud-maksud-Nya.

Memandangkan setiap insan tidak boleh naik ke maqam yang paling tinggi kerana tidak dapat menyucikan diri daripada perkara-perkara yang juz’i dan keji dan tidak dapat menjadi mukhatab kepada khitab menyeluruh al-Hakim itu, sudah tentu dari kalangan manusia itu akan ada beberapa orang tertentu yang akan ditugaskan dengan tugas itu supaya wujud hubungan melalui dua sudut.

Yang terpilih itu juga sepatutnya manusia, supaya dia menjadi guru kepada manusia. Dia juga sepatutnya sangat tinggi dari sudut kerohanian supaya dia menerima khitab secara langsung. Sekarang, memandangkan di kalangan manusia ini orang yang memberitahu tentang maksud-maksud as-Sani’ alam semesta ini, mendedahkan rahsia alam semesta ini, membuka misteri penciptaan dalam bentuk paling sempurna dan menjadi juruhebah kepada keindahan kekuasaan rububiyyah dengan cara yang paling sempurna ialah Saidina Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, sudah tentu di kalangan semua manusia akan terdapat suatu perjalanan tarbiah rohaniah berbentuk maknawi yang sebegitu. Maka akan berlaku Isra’ Mi’raj yang bagaikan perjalanan dan penjelajahan di alam jasmani. Dia akan melangkaui martabat sehingga ke sebalik tirai Asmaul Husna, tajalli sifat dan perbuatan dan lapisan maujudat yang diungkapkan sebagai tujuh puluh ribu tabir. Justeru, inilah Isra’ Mi’raj.


381. Page

Sekali lagi terlintas di hati: Wahai pendengar! Engkau berkata dari hatimu: “Bagaimana aku mahu percaya, apakah maknanya bertemu dengan Rabb yang lebih hampir daripada semua benda setelah menempuhi jarak ribuan tahun dan selepas melintasi tujuh puluh ribu tabir?”

Maka kami pun berkata: “Allah Taala adalah lebih hampir kepada semua benda daripada semua benda. Tetapi, semua benda adalah sangat jauh daripada-Nya. Sebagai contoh, jika matahari ada perasaan dan suara, ia boleh berbual denganmu melalui perantaraan cermin di tanganmu. Ia boleh bertindak seperti yang ia mahu padamu. Bahkan walaupun ia lebih dekat kepadamu berbanding anak matamu yang seperti cermin, engkau adalah sejauh empat ribu tahun daripadanya, engkau tidak akan mungkin dapat menghampirinya pada mana-mana sudut. Sekiranya engkau naik lalu sampai ke maqam bulan lalu naik ke noktah pertemuan dengannya secara langsung, engkau hanya boleh melakukan sebahagian tugas pemegang cermin. Seperti itu juga, walaupun Dzat Dzul Jalal yang merupakan Mentari Azali dan Abadi adalah lebih dekat kepada semua benda daripada semua benda, semua benda adalah sangat jauh daripada-Nya. Hanya dengan mengatasi semua maujudat, keluar daripada perkara-perkara juz’i, melintasi ribuan hijab melalui satu demi satu martabat-martabat kulli, barulah nama yang meluas kepada semua maujudat dapat dihampiri dan dia dapat melangkaui banyak lagi martabat di hadapan. Kemudian dia dimuliakan dengan sejenis taqarrub.

Contohnya lagi: Seorang askar adalah sangat jauh daripada peribadi maknawi panglima tertinggi. Melalui satu contoh kecil yang dilihatnya pada seorang koperal panglima itu Askar itu memandang kepada panglima itu di sebalik banyak tabir maknawi dalam pada jarak yang sangat jauh. Kedekatannya dengan peribadi maknawi sebenar bagi panglima tertinggi pula perlu melalui banyak martabat menyeluruh seperti staf sarjan, kapten dan mejar. Walhal sebagaimana panglima tertinggi berada di sisi askar itu dan melihatnya melalui perintah, undang-undang, pandangan, ketetapan dan ilmunya secara luaran, begitulah juga secara maknawi. Oleh sebab hakikat ini telah diisbatkan dalam bentuk yang sangat muktamad dalam Kalimah Keenam Belas, dengan berpada kepadanya kami meringkaskannya sampai di sini sahaja.”

Terlintas juga di hati bahawa engkau berkata dari hatimu: “Aku mengingkari langit dan tidak mempercayai malaikat, bagaimanakah aku mahu mempercayai seseorang bersiar di langit dan bertemu dengan para malaikat?” 


382. Page

Ya, sudah tentu susah untuk menerangkan dan memperlihatkan sesuatu kepada orang-orang yang akalnya telah turun ke matanya dan hijab telah menutup matanya seperti engkau. Tetapi. Oleh sebab kebenaran adalah sangat terang dan turut boleh dilihat oleh mereka yang buta, maka kami pun menjawab:

“Secara sepakat ruang angkasa yang tinggi adalah penuh dengan jirim langit. Semua benda berterbangan yang halus seperti cahaya, elektrik dan haba mengisyaratkan kepada kewujudan unsur-unsur yang memenuhi ruang angkasa itu. Sebagaimana buah-buahan menunjukkan pokoknya, bunga-bungaan menunjukkan halaman hijaunya, bulir-bulir menunjukkan ladangnya, ikan menunjukkan lautannya secara jelas, bintang-bintang itu juga secara daruri menonjolkan kewujudan tempat tumbuh, ladang, laut dan padang rumput ke mata akal.           

Memandangkan terdapat binaan yang berlainan di alam tinggi, maka kelihatan undang-undang yang berlainan dalam keadaan yang berlainan. Oleh itu, langit yang merupakan sumber kepada undang-undang itu (juga) adalah berlainan. Sebagaimana terdapat juga tubuh maknawi seperti akal, hati, roh, khayalan dan daya ingatan selain daripada tubuh pada insan, sudah tentu terdapat alam-alam lain selain alam jasmani dalam alam yang merupakan manusia terbesar yakni di alam semesta yang merupakan pohon bagi buah manusia ini. Malah terdapat langit bagi setiap alam bermula dari alam bumi sehingga alam syurga.”

Malah kata-kata kami tentang Malaikat: “Kehidupan dan akal yang paling bernilai dan nurani di antara maujudat dalam bentuk yang tidak terkira berada di dalam bebola bumi yang sederhana di kalangan planet dan kecil dan legap di antara bintang-bintang. Sudah tentu jika dibandingkan kepada bumi yang ibarat sebuah rumah yang gelap ini, bintang-bintang yang ibarat mahligai-mahligai berhias dan istana-istana sempurna serta langit yang merupakan lautan bebintang adalah kediaman bagi para malaikat dan rohaniyyin yang berakal, bernyawa, banyak dan berlainan jenis.

Oleh sebab kewujudan dan bilangan langit dalam ayat ثُمَّ اسْتَوَى اِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّيهُنَّ سَبْعَ سَمٰوَاتٍ  telah diisbatkan di dalam tafsir aku yang bernama Isyarat al-I’jaz dalam bentuk yang sangat pasti dan oleh sebab kami telah mengisbatkan tentang kewujudan malaikat dalam Kalimah Kedua Puluh Sembilan semuktamad dua kali dua empat, maka dengan cara berpada kepadanya kami meringkaskannya sampai di sini sahaja.” 


383. Page

Kesimpulan: Kewujudan langit yang menjadi asas bagi debu kosmik seperti elektrik, cahaya, haba dan graviti yang telah dijadikan daripada jirim dan menjadi pembantu kepada pergerakan planet dan bintang melalui isyarat dalam Hadith  اَلسَّمَاءُ مَوْجٌ مَكْفُوفٌ  dan terdiri daripada tujuh lapisan dalam keadaan dan binaan yang berlainan yang ibarat atap bagi setiap satu peringkat alam dari مُجَرَّتُ السَّمَاءِ  yang dinamakan Bima Sakti sehingga ke planet yang paling dekat, dari alam bumi sehingga ke alam barzakh, ke alam misal, seterusnya ke alam akhirat masing-masing adalah wajar dari segi hikmah dan akal.

Terlintas juga di hati: Wahai Mulhid! Engkau berkata: “Adalah mungkin untuk naik setinggi satu atau dua kilometer menggunakan kapal terbang walaupun menghadapi seribu satu kesulitan. Namun bagaimanakah seorang insan dengan tubuhnya boleh pergi dan pulang dengan menempuh jarak ribuan tahun dalam tempoh beberapa minit?”

Maka kami pun berkata: “Menurut ilmu sains kalian, dalam masa satu minit, jisim yang berat seperti bumi, menempuh jarak sejauh lebih kurang seratus lapan puluh lapan jam berdasarkan pergerakan tahunannya, yakni ia menghabiskan perjalanan sejauh lebih kurang dua puluh lima ribu tahun dalam masa setahun. Agaknya tidakkah al-Qadir Dzul Jalal yang menjadikan pergerakan tersusun ini untuknya dan memutarnya seperti batu tarbil mampu membawa seorang insan ke ‘Arasy-Nya? Tidakkah hikmah yang memperjalankan jisim bumi yang sangat berat di sekeliling matahari seperti Maulawi (pengikut tariqat Maulana ar-Rumi) melalui kanun Rabbani yang dinamakan tarikan matahari boleh menaikkan sekujur tubuh insan melalui tarikan rahmat dan pengaruh mahabbah Mentari Azali ke ‘Arasy ar-Rahman seperti kilat?

Terlintas lagi di fikiran bahawa engkau berkata: “Baiklah, dia boleh naik tetapi mengapakah dia telah naik? Apakah keperluannya? Bukankah jika baginda pergi dengan roh dan hati seperti para wali sudah mencukupi?”

Maka kami pun berkata: “Memandangkan as-Sani’ Dzul Jalal mahu memperlihatkan ayat-ayat ajaib di alam mulk dan malakut-Nya, mahu mempertontonkan makmal dan sumber alam ini dan menunjukkan natijah ukhrawi amalan manusia, sudah tentu perihal membawa mata yang ibarat anak kunci alam penglihatan dan telinga yang menonton alam pendengaran bersama-sama sampai ke ‘Arasy oleh baginda adalah perlu. Perihal membawa tubuh mulia baginda yang ibarat jentera alat-alat dan kelengkapannya yang menjadi punca kepada kerja-kerja roh yang tidak terhingga secara bersama sampai ke ‘Arasy juga adalah kehendak akal dan hikmah. 

384. Page

Sebagaimana hikmah Ilahi menjadikan tubuh sebagai sahabat kepada roh di syurga kerana asas kepada tugas 'ubudiyyah yang sangat banyak dan kelazatan dan kesakitan yang tidak terhingga ialah tubuh, sudah tentu jasad yang berkat itu akan menjadi teman kepada roh. Memandangkan tubuh dan roh pergi ke syurga bersama-sama, sudah tentu penyertaan baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam bersama tubuh mulia baginda yang naik ke Sidratul Muntaha yang merupakan tunjang Jannah al-Ma’wa adalah hikmah yang sejati.”

Terlintas juga di fikiran bahawa engkau berkata: “Sesungguhnya, memintas jarak ribuan tahun dalam beberapa minit adalah mustahil menurut akal.”

Maka kami berkata: “Sesungguhnya pergerakan dalam hasil seni as-Sani’ Dzul Jalal adalah sangat berlainan. Sebagai contoh: Sesungguhnya dimaklumi bahawa kelajuan suara dengan kelajuan cahaya, elektrik, roh dan khayalan adalah sangat berbeza. Pergerakan planet juga menurut ilmu sains adalah sangat berlainan sehingga menyebabkan akal kehairanan. Tidakkah pelik apabila tubuh yang latif, telah mengikut roh tingginya yang laju ketika naik, namun pergerakannya yang selaju roh kelihatan bertentangan dengan akal? Sekiranya engkau tidur sepuluh minit, kadang-kadang berlaku bahawa engkau terdedah kepada hal ehwal selama setahun. Hatta, seminit mimpi yang dilihat oleh manusia, sekiranya kata-kata yang didengari dan kalimah yang dilafazkannya dalam mimpi itu dikumpulkan, maka ia memerlukan masa satu hari di alam jaga bahkan lebih lama. Maknanya, boleh berlaku bahawa satu (tempoh) masa yang sama untuk dua orang manusia adalah bagaikan satu hari kepada salah seorangnya dan satu tahun kepada yang seorang lagi.

Amatilah makna tersebut melalui perumpamaan berikut: Untuk mengukur kelajuan pergerakan yang menzahirkan perbezaan pergerakan insan, pergerakan peluru meriam, suara, cahaya, elektrik, roh dan khayalan, kita mengandaikan sebuah jam seperti berikut: Pada jam itu terdapat sepuluh batang jarum. Pertama menunjukkan jam. Kedua mengira minit dalam pusingan yang enam puluh kali lebih luas daripadanya. Ketiga, dalam bulatan yang enam puluh kali lebih luas mengira saat (Saniyah). Seterusnya, dalam ruang yang enam puluh kali lebih luas mengira Salisah, begitulah seterusnya, terdapat jarum-jarum yang akan mengira Rabi’ah, Khamisah, Sadisah, Sabi’ah, Saminah, Tasi’ah sampai kepada ‘Asyirah[1] dalam bulatan besar yang sangat tersusun. Sekiranya bulatan jarum yang mengira jam andaian itu adalah sebesar jam kita yang kecil, kemungkinan besar bulatan jarum yang mengira ‘Asyirah adalah sebesar putaran setahun bumi bahkan perlu menjadi lebih besar.


[1] Salisah ialah enam puluh detik dalam satu saat. Rabi’ah enam puluh detik dalam satu Salisah. Begitulah seterusnya sehingga ‘Asyirah yang merupakan enam puluh detik dalam satu Tasi’ah.




385. Page

Sekarang, kita mengandaikan dua orang. Yang pertama, bagaikan dia telah menaiki jarum yang mengira jam, maka dia bergerak menurut (kelajuan) pergerakan jarum itu. Manakala yang seorang lagi bagaikan telah menaiki jarum yang mengira ‘Asyirah. Benda-benda yang telah disaksikan oleh dua orang ini dalam satu masa yang sama, mempunyai perbezaan-perbezaan yang halus menurut apa yang telah disaksikan sepertimana perbezaan di antara perkiraan putaran tahunan bumi dengan jam kita.

Justeru, oleh sebab masa adalah ibarat warna, rona atau pita rakaman bagi pergerakan, maka satu ketetapan yang berlaku pada pergerakan akan turut berlaku pada masa.

Justeru, memandangkan apa yang kita saksikan dalam satu jam adalah sebanyak apa yang dilihat oleh orang berakal yang menaiki jarum yang mengira jam selama sejam dan hakikat umurnya juga adalah sebanyak itu, maka seperti orang yang menaiki jarum ‘Asyirah, pada masa yang sama, Rasul Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang pada masa yang telah ditentukan itu menunggang buraq taufiq Ilahi, lalu merentas semua daerah mumkinat (kemungkinan) seperti kilat, melihat keajaiban alam mulk dan malakut Allah lalu naik ke noktah daerah kewajiban, dimuliakan dengan perbualan lalu dianugerahkan untuk melihat keindahan Ilahi. Kemudian baginda menerima firman-Nya lalu dapat kembali semula kepada tugas baginda. Sesungguhnya baginda telah kembali dan sememangnya begitu.

Terlintas juga di fikiran bahawa kalian berkata: “Ya, (perkara itu) boleh berlaku dan ia adalah mungkin. Tetapi setiap kemungkinan tidak semestinya berlaku. Adakah ada perkara yang seumpamanya supaya ia diterima? Bagaimanakah kejadian sesuatu yang tiada seumpamanya boleh diterima hanya melalui kemungkinan?”

Maka kami pun berkata: “Yang serupa dengannya adalah sangat banyak sehingga tidak dapat dihitung. Sebagai contoh: Setiap yang ada mata boleh naik dari tanah sampai ke planet Neptun dengan matanya dalam masa satu saat. Setiap yang berilmu menunggang peraturan kosmografi melalui akalnya lalu pergi sampai ke sebalik bintang dalam masa seminit. Setiap yang beriman menunggangkan fikirannya ke atas perbuatan dan rukun-rukun Solat lalu mencampakkan alam semesta ke belakangnya dengan sejenis Mi’raj lalu sampai ke hadrat-Nya. Setiap pemilik hati nurani dan wali yang kamil, boleh merentas daripada ‘Arasy dan daerah nama dan sifat dalam masa empat puluh hari menerusi sayr dan suluk (perjalanan tarbiah rohaniah). Hatta melalui perkhabaran yang benar, Mi’raj (peningkatan kerohanian) sampai ke ‘Arasy bagi sesetengah Dzat seperti Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan Imam Rabbani berlaku dalam masa seminit. Di samping itu terdapat urusan ulang alik oleh para malaikat yang merupakan jisim-jisim nurani dalam tempoh yang singkat. Ahli Syurga juga naik ke taman-taman Syurga dari Mahsyar dalam tempoh yang singkat. Sudah tentu, contoh-contoh sebanyak ini memperlihatkan bahawa kewujudan Isra’ Mi’raj yang merupakan asas kepada Sayr dan Suluk baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang merupakan Sultan seluruh wali dan Imam sekalian mukmin serta pemimpin segenap ahli Syurga dan al-maqbul pada semua malaikat dan kesesuaian baginda dengan maqam itu adalah hikmah yang sejati dan sangat logik dan kejadian yang tiada keraguan.


386. Page

Asas Ketiga: Apakah Hikmah Isra’ Mi’raj?

 

Jawapan: Hikmah Isra’ Mi’raj adalah sangat tinggi sehingga akal manusia tidak mampu mencapainya. Ia sangat dalam sehingga akal manusia tidak dapat menggapainya. Ia sangat kecil dan halus sehingga akal tidak dapat memahaminya secara bersendirian. Tetapi, sekalipun hakikat-hakikatnya tidak diketahui melalui sesetengah isyarat, namun kewujudannya   boleh diberitahu.

Ia seperti berikut: Al-Khaliq alam semesta ini menerangkan kepadanya tujuan-tujuan Ilahi atas nama semua yang mempunyai akal, memberitahu melaluinya dan menyaksikan dan mempersaksikan keindahan hasil seni-Nya dan kesempurnaan rububiyyah-Nya pada cermin makhluk melalui pandangannya dengan cara mengambil seorang yang unggul sebagai mukhatab-Nya menerusi Isra’ Mi’raj yang ibarat khayt al-ittisal (tali penghubung) dari hujung lapisan kathrah makhluk sehingga ke permulaan wahdah (keesaan) Ilahi untuk memperlihatkan nur keesaan-Nya dan tajalli keahadan-Nya pada lapisan kathrah ini, atas nama seluruh makhluk.

Malah as-Sani’ alam memiliki keindahan dan kesempurnaan yang tidak berpenghujung melalui penyaksian karya-karya ciptaan-Nya. Keindahan dan kesempurnaan, kedua-duanya merupakan perkara yang dinamakan mahbubun li dzatihi. Yakni sifat-sifat ini disukai kerana perihalnya sendiri. Oleh itu, Pemilik keindahan dan kesempurnaan itu memiliki rasa cinta yang tidak berpenghujung bagi keindahan dan kesempurnaan dzat-Nya sendiri. Rasa cinta-Nya yang tidak berpenghujung itu pula menjelma pada masnu'at-Nya dalam banyak bentuk. Dia menyayangi masnu'at-Nya kerana Dia melihat keindahan dan kesempurnaan-Nya di dalam masnu'at-Nya. Yang paling disayangi dan paling tinggi di sisi-Nya di kalangan masnu'at ialah benda hidup. Yang paling disayangi dan paling tinggi di sisi-Nya di kalangan benda hidup ialah makhluk yang mempunyai akal. Manakala yang paling disayangi di sisi-Nya di kalangan makhluk berakal dari segi kesyumulan terdapat di kalangan manusia. Maka insan yang persediaannya terdedah secara keseluruhan dan memperlihatkan contoh-contoh kesempurnaan yang tersebar dan menjelma pada semua masnu'at di kalangan manusia adalah orang yang paling disayangi. 


387. Page

Justeru, untuk melihat semua jenis tajalli rasa cinta yang bertebaran pada semua maujudat pada satu noktah dan cermin dan untuk memperlihatkan segala jenis keindahan-Nya melalui rahsia keesaan, maka as-Sani’ maujudat menyantuni seseorang yang berada di tahap sebiji buah bercahaya daripada pohon penciptaan dan hatinya ibarat sebiji benih yang mengandungi hakikat-hakikat asas pohon itu dengan kalam-Nya dan menugaskannya dengan firman-Nya melalui Isra’ Mi’raj yang ibarat tali penghubung daripada benih yang menjadi permulaan sampai kepada buah yang merupakan penamat. Ini juga adalah untuk memperlihatkan kecintaan Allah kepada baginda Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam atas nama seluruh alam semesta, untuk membawanya ke hadrat-Nya, untuk memuliakannya dengan melihat keindahan-Nya dan untuk menyebarkan keadaan suci pada baginda kepada yang lain.

Sekarang, untuk melihat hikmah yang tinggi ini kita akan menyorotinya menerusi dua teropong perumpamaan.

 

Perumpamaan Pertama: Sebagaimana telah diterangkan secara terperinci dalam cerita perumpamaan dalam Kalimah Kesebelas, iaitu sekiranya seorang Sultan yang mulia mempunyai khazanah yang sangat banyak dan pada khazanah-khazanah itu terdapat bermacam jenis permata yang sangat banyak, malah mempunyai kemahiran dalam seni-seni yang mengkagumkan, memiliki makrifah dan pengetahuan yang luas tentang ilmu-ilmu ajaib yang tidak terkira dan menguasai ilmu dan maklumat tentang ilmu-ilmu unggul yang tidak terkira, maka menurut rahsia bahawa semua pemilik keindahan dan kesempurnaan mahu melihat dan memperlihatkan keindahan dan kesempurnaannya sendiri, sudah tentu Sultan yang berilmu itu juga mahu membuka sebuah tempat pameran supaya pameran-pameran diatur di dalamnya. Ini supaya baginda dapat menzahirkan dan memperlihatkan kehebatan kesultanannya, kegemilangan perbendaharaannya, keluarbiasaan hasil seninya dan keajaiban makrifahnya kepada pandangan rakyat sehinggalah baginda dapat menyaksikan keindahan dan kesempurnaan maknawinya melalui dua wajah.

Pertamanya baginda melihat dengan pandangan yang teliti dan arif oleh baginda sendiri. Yang satu lagi baginda memandang melalui pandangan pihak yang lain. 


388. Page

Berdasarkan hikmah itu, sudah tentu baginda mula membina sebuah istana yang besar, hebat dan luas. Baginda membahagikannya kepada bilik-bilik dan ruang dengan cara yang luar biasa. Baginda menghiasinya dengan perhiasan khazanahnya yang bermacam-macam dan meriasnya dengan hasil seni tangan keseniannya sendiri yang paling indah dan paling halus. Baginda menyusunnya dengan ilmu dan hikmahnya yang paling teliti. Kemudian, baginda melengkapkan dan menyempurnakannya dengan kesan kehebatan ilmunya. Selepas itu baginda menghidangkan hidangan yang sesuai kepada setiap kelompok dengan jenis-jenis nikmat dan makanan yang lazat. Kemudian baginda menyediakan satu jamuan umum. Untuk memperlihatkan kesempurnaan dirinya kepada rakyatnya, baginda menjemput mereka datang ke jamuan itu. Kemudian baginda menjadikan seseorang sebagai pesuruhnya yang paling mulia. Baginda menjemputnya naik dari tingkat dan ruang bawah ke tingkat atas. Baginda membawanya berjalan dari satu bilik ke satu bilik, dari satu tingkat ke satu tingkat. Sambil memperlihatkan jentera-jentera dan makmal ciptaannya yang menakjubkan dan gedung bagi hasil-mahsul yang datang dari bawah, baginda membawanya sehingga ke bilik khas baginda. Baginda memuliakan orang itu dengan cara memperlihatkan diri baginda yang merupakan sumber kesempurnaan itu dan melalui kehadirannya. Baginda memberitahu hakikat-hakikat istana dan kesempurnaan diri baginda kepadanya. Baginda melantiknya sebagai penunjuk jalan kepada khalayak ramai lalu menghantarnya pulang. Ini supaya pesuruhnya itu memperkenalkan as-Sani’ istana itu kepada penghuninya menerusi isi kandungan, ukiran dan keajaiban istana itu. Juga supaya dia memberitahu tentang simbol-simbol pada ukiran-ukiran istana itu, mengajarkan isyarat-isyarat kesenian di dalamnya, memperkenalkan “apakah ia hiasan yang tersusun dan ukiran yang seimbang di dalamnya?” dan “bagaimanakah kesempurnaan dan kemahiran pemilik istana ini diperlihatkan?” kepada mereka yang masuk ke dalam istana itu dan supaya dia memberitahu tentang adab masuk dan tatacara berjalan dan menceritakan tentang tatasusila untuk memuliakan Sultan berilmu dan berkuasa yang tidak kelihatan berkisar tentang apa yang diredhai dan kehendaknya. 


389. Page

Sama seperti itu juga وَلِلّٰهِ الْمَثَلُ الْاَعْلَى. As-Sani’ Dzul Jalal yang merupakan Sultan azali dan abadi juga mahu melihat dan memperlihatkan kesempurnaan dan keindahan-Nya yang tiada tandingan maka Dia telah menjadikan istana alam ini dalam bentuk yang setiap maujud menyatakan kesempurnaan-Nya melalui bahasa yang sangat banyak dan memperlihatkan keindahan-Nya melalui isyarat yang sangat banyak. Alam semesta ini memperlihatkan bahawa terdapat begitu banyak dafinah (harta karun) rahsia yang maknawi pada setiap nama Asmaul Husna dan begitu banyak latifah tersembunyi pada setiap gelaran suci-Nya melalui semua maujudat-Nya.

Dia memperlihatkannya dalam bentuk yang  semua ilmu melalui dustur-dusturnya masih mengkaji kitab alam semesta ini sejak zaman Nabi Adam sehingga kini. Sedangkan semua ilmu itu masih belum dapat membaca walaupun satu persepuluh daripada satu persepuluh makna-makna yang telah diifadahkan dan ayat-ayat yang telah diperlihatkan oleh kitab itu mengenai nama-nama dan kesempurnaan Ilahi.

Justeru hikmah al-Jalil Dzul Jamal, al-Jamil Dzul Jalal dan as-Sani’ Dzul Kamal yang membuka istana lama seperti ini ibarat sebuah tempat pameran untuk melihat dan memperlihatkan kesempurnaan dan keindahan maknawi-Nya sendiri menghendaki supaya Dia memberitahu makna ayat-ayat istana itu kepada seseorang supaya ia tidak menjadi sia-sia dan tidak bermakna di sisi makhluk di alam dunia ini. Dia turut memperjalankan seseorang di alam tinggi yang merupakan sumber keajaiban dan gedung hasil yang berada dalam istana itu. Seterusnya meninggikan orang itu ke atas mereka semua dan memuliakannya dengan taqarrub ke hadrat-Nya, memperjalankannya ke Alam Akhirat, menugaskannya dengan banyak tugas seperti seorang guru kepada hamba-hamba-Nya, juruhebah kepada kesultanan rububiyyah-Nya, penyampai perkara-perkara yang diredhai Ilahi dan pentafsir ayat-ayat penciptaan di istana alam ini. Pesuruh itu memperlihatkan keistimewaannya melalui tanda-tanda mukjizat. Dia memberitahu bahawa dia ialah penterjemah yang khas dan setia bagi Dzat Dzul Jalal-nya melalui firman seperti al-Quran.

Demikianlah kami telah memperlihatkan satu atau dua hikmah daripada hikmah-hikmah Isra’ Mi’raj yang sangat banyak sebagai contoh melalui teropong perumpamaan. Kalian boleh mengkiaskan yang lain-lain.


390. Page

Perumpamaan Kedua: Seseorang yang berilmu telah mengarang dan menulis sebuah kitab yang menunjukkan kemukjizatan, iaitu sebuah kitab yang pada setiap muka suratnya terdapat hakikat sebanyak seratus buah kitab, pada setiap barisnya terdapat makna-makna yang halus sebanyak seratus muka surat, pada setiap kalimahnya terdapat hakikat sebanyak seratus baris dan pada hurufnya terdapat makna-makna sebanyak seratus kalimah. Malah semua makna dan hakikat kitab itu memandang kepada kesempurnaan maknawi penulis yang menunjukkan kemukjizatan itu dan mengisyaratkan kepadanya. Maka sudah tentu penulis itu tidak akan membiarkan khazanah yang tidak luak itu tertutup dan mensia-siakannya. Sudah tentu dia akan mengajarkan kitab itu kepada sesetengah orang supaya kitab yang berharga itu tidak menjadi tidak bermakna dan terbiar. Juga supaya kesempurnaannya yang tersembunyi menjadi nyata dan menemui kesempurnaannya serta keindahan maknawinya dapat dilihat. Supaya dia juga merasa gembira dan dapat menggembirakan yang lain. Malah dia akan melatih seseorang yang mampu mengajar tentang kitab yang ajaib itu dengan semua makna dan hakikatnya daripada muka surat pertama sehingga tamat secara berterusan.

Seperti itu juga, untuk memperlihatkan kesempurnaan dan keindahan-Nya, an-Naqqash al-Azali telah menulis alam semesta ini dalam bentuk yang mana semua maujudat memberitahu dan mengifadahkan tentang kesempurnaan, nama serta sifat-Nya yang tidak terhingga. Sudah tentu jika makna sesebuah kitab tidak diketahui ia akan jatuh ke tahap sia-sia. Lebih-lebih lagi kitab yang setiap hurufnya mengandungi ribuan makna. Tidak mungkin nilainya menjadi rendah dan direndahkan. Oleh itu, sudah tentu penulis kitab itu akan memberitahu tentangnya. Dia akan menerangkan sebahagiannya berdasarkan persediaan setiap kelompok. Malah Dia akan mengajar kesemuanya kepada seseorang yang paling berpengetahuan luas, berperasaan paling menyeluruh, memiliki persediaan yang paling unggul. Untuk mengajar tentang keseluruhan kitab yang hebat dan hakikat-hakikat yang menyeluruh sebegitu, menurut hikmah adalah perlu untuk melaksanakan sayr dan suluk yang sangat tinggi. Yakni perlu memperjalankan daripada lapisan kathrah makhluk yang paling hujung yang merupakan muka surat pertamanya sehingga daerah keesaan yang merupakan muka surat terakhir. Maka, engkau boleh melihat kepada satu tahap hikmah-hikmah Isra’ Mi’raj yang tinggi melalui perumpamaan ini.

Sekarang, dengan memandang kepada si mulhid yang mendengar kita, akan mendengar suara hatinya. Kita akan lihat bagaimanakah keadaannya. Justeru, terlintas di fikiran bahawa hatinya berkata: “Saya sudah mula percaya tetapi tidak dapat memahami dengan baik. Ada tiga lagi kemusykilanku.

 


391. Page

Kemusykilan Pertama: Kenapakah Isra’ Mi’raj yang agung ini terkhusus kepada Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam?

 

Kemusykilan Kedua: Bagaimanakah baginda menjadi benih alam semesta ini? Kalian berkata bahawa alam semesta telah dijadikan daripada nurnya malah merupakan buah yang paling akhir dan paling bercahaya bagi alam semesta. Apakah maksudnya?

 

Kemusykilan Ketiga: Dalam penerangan kalian yang lepas, kalian menyatakan bahawa baginda telah dimi’rajkan supaya baginda dapat naik ke alam tinggi serta dapat melihat jentera-jentera dan makmal-makmal bagi karya-karya di alam bumi dan gedung-gedung bagi hasil mahsulnya. Apakah maksudnya?

 

Jawapan Kemusykilan Pertama: Kemusykilan pertama kalian telah dirungkaikan secara terperinci dalam tiga puluh kalimah. Cumanya di sini kami memperlihatkan satu intisari ringkas dari jenis isyarat-isyarat lengkap kepada kesempurnaan dzat Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, dalil-dalil kenabiannya dan bahawa dia adalah yang paling layak kepada Isra’ Mi’raj yang agung. Ia seperti berikut:

 

Pertama: Walaupun kitab-kita suci seperti Taurat, Injil dan Zabur telah terdedah kepada penyelewengan yang amat banyak, namun seorang pengkaji pada zaman ini juga seperti Hussin al-Jisri telah mengeluarkan seratus empat belas khabar gembira yang mempunyai isyarat mengenai kenabian Nabi Muhammad Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam dan telah memaparkannya dalam Risalah Hamidiyyah.

 

Kedua: Adalah sabit menurut sejarah bahawa banyak berita gembira tentang kenabian baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam seperti penerangan bahawa bagindalah Rasul akhir zaman sebelum kenabian baginda oleh dua orang peramal yang masyhur seperti Syik dan Satih (nama dua peramal yang tidak bertulang belakang) telah dinaqalkan dalam bentuk yang sahih menurut sejarah. 


392. Page


Ketiga: Ratusan perkara luar biasa yang dinamakan Irhasat an-Nubuwwah seperti peristiwa kejatuhan berhala di sekitar Kaabah, keretakan Iwan yang merupakan Istana Masyhur Kisra Parsi pada malam kelahiran baginda adalah masyhur menurut sejarah.

 

Keempat: Peristiwa baginda memberi minum air yang keluar daripada jemari baginda kepada satu pasukan tentera dan tangisan dengan suara rintihan seperti unta oleh sebatang tunggul kurma kering akibat berpisah dengan Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam kerana dipindahkan dari mimbar di hadapan jemaah yang ramai di dalam masjid Nabawi dan melalui nas وَ انْشَقَّ الْقَمَرُ  dan melalui pengakuan daripada para pengkaji, sejarah menunjukkan bahawa dengan mukjizat yang mencapai seribu seperti peristiwa bulan terbelah, baginda telah mengatasi yang lain.

 

Kelima: Ahli insaf dan mereka yang teliti tidak ragu bahawa melalui kesepakatan sahabat dan musuh, pada peribadi baginda terdapat akhlak mahmudah di tahap yang paling tinggi. Melalui penyaksian semua perlakuannya, pada tugas dan penyampaiannya terdapat pekerti tinggi di tahap yang paling tinggi. Melalui penyaksian kemurnian akhlak dalam agama Islam, pada syariatnya terdapat sikap-sikap mulia yang paling tinggi di tahap yang paling sempurna.

 

Keenam: Sesungguhnya baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang berada di tahap paling agung telah memperlihatkan 'ubudiyyah teragung dalam agama di tahap yang paling terang menurut apa yang dikehendaki oleh uluhiyyah dari segi mempamerkan kewajaran hikmah sebagaimana telah diisyaratkan dalam Isyarat Kedua Kalimah Kesepuluh.

Malah secara jelas baginda jugalah pempamer yang telah memperlihat dan memperkenalkan keindahan Khaliq al-‘alam yang berada di tahap kesempurnaan yang tidak berpenghujung menurut apa yang mahu dizahirkan dan diumumkan oleh hikmah dan hakikat melalui suatu wasilah (perantaraan) dalam bentuk yang paling indah.

Sesungguhnya secara jelas, baginda jugalah yang menjadi juruhebah kesempurnaan hasil seni Sani’ al-‘alam yang berada di tahap keindahan tanpa penghujung menurut apa yang dikehendaki-Nya dari segi menarik perhatian dan mempamerkannya dengan suara yang paling lantang. 


393. Page

Sesungguhnya, tidak lain tidak bukan, baginda jugalah yang telah mengumumkan semua martabat tauhid di tahap tauhid yang paling tinggi menurut apa yang dikehendaki oleh Rabb sekalian alam dari segi mengumumkan keesaan-Nya di lapisan kathrah.

Sesungguhnya secara jelas, sekali lagi baginda jualah yang menjadi cermin dan memperlihatkan, mencintai dan mempercintakan Sahib al-‘Alam yang mahu melihat dan memperlihatkan keindahan Dzat-Nya, keindahan kecantikan-Nya dan kemurnian latifah-Nya yang tidak terkira pada cermin-cermin melalui isyarat keindahan pada kesan-kesan-Nya yang tidak terkira menurut apa yang dikehendaki oleh hakikat dan hikmah kepada yang lain dalam bentuk yang paling gemilang.

Sesungguhnya secara jelas baginda jugalah yang mempamer, memperinci dan memperkenalkan khazanah ghaib penuh kemukjizatan yang sangat hebat dan permata-permata yang sangat berharga dan memperkenalkan serta memberitahu tentang kesempurnaan-Nya melalui itu semua menurut apa yang dikehendaki oleh as-Sani’ istana alam ini dalam bentuk yang paling agung.

Sesungguhnya sekali lagi, secara jelas bagindalah yang menjadi pedoman melalui perantaraan al-Quran al-Hakim kepada jin dan manusia bahkan kepada rohaniyyin dan malaikat dalam bentuk yang paling agung menurut apa yang dikehendaki oleh as-Sani’ alam semesta ini dari segi mengapa Dia menjadikan alam semesta ini dengan cara menghiasinya dengan jenis-jenis keajaiban dan hiasan, memasukkan makhluk-makhluk yang berakal ke dalamnya untuk bersiar, menikmati, mengambil renungan dan bertafakur serta memberitahu kepada para penonton dan ahli tafakur tentang makna-makna dan nilai-nilai kesan-kesan dan hasil ciptaan itu menurut kehendak hikmah.

Sesungguhnya baginda jugalah yang membuka rahsia terkunci yang mengandungi maksud dan tujuan pada perubahan alam semesta ini dan merungkai misteri tiga soalan yang sulit iaitu dari mana, ke mana dan apakah maujudat itu menurut apa yang dikehendaki oleh al-Hakim al-Hakeem alam semesta ini menerusi perantaraan seorang duta kepada semua yang berakal melalui perantaraan hakikat-hakikat al-Quran dalam bentuk yang paling jelas dan dengan cara yang paling mulia.


394. Page

Sesungguhnya secara jelas baginda jugalah yang membawa dan menerangkan tentang perkara yang diredhai dan kehendak-kehendak as-Sani’ Dzul Jalal alam ini yang mahu memperkenalkan diri-Nya melalui semua masnu'at-Nya yang indah kepada mereka yang berakal dan mempercintakan diri-Nya kepada mereka melalui nikmat-nikmat yang berharga dan sudah tentu sebagai balasannya, Dia akan memberitahu kepada yang berakal tentang apa yang diredhai dan kehendak-kehendak Ilahi-Nya melalui perantaraan seorang duta melalui al-Quran dalam bentuk yang paling tinggi dan sempurna.

Sesungguhnya secara jelas, baginda jugalah yang paling baik melakukan tugas menunjuk jalan dan bagindalah yang paling sempurna dalam menunaikan tugas kerasulan melalui perantaraan al-Quran di tahap yang tertinggi dan dengan cara yang paling berkesan menurut apa yang dikehendaki oleh Rabbul ‘Alamin dari segi mengalih wajah manusia yang merupakan buah alam daripada kathrah kepada wahdah dan daripada fana’ kepada baqa’ melalui perantaraan seorang penunjuk jalan. Ini kerana Dia telah menganugerahi manusia suatu keluasan persediaan yang boleh memasukkan alam ke dalamnya (kemampuan tersebut). Dia juga telah mensiagakan manusia untuk 'ubudiyyah menyeluruh. Juga kerana manusia diuji dengan kathrah makhluk dan dunia dari sudut perasaan.

Sesungguhnya benda hidup merupakan maujudat yang paling mulia. Makhluk yang berakal merupakan makhluk termulia di kalangan benda hidup. Manakala insan hakiki merupakan makhluk termulia di kalangan makhluk berakal. Justeru, sesiapa juga yang melaksanakan tugasnya di tahap yang tertinggi dan dalam bentuk yang paling sempurna dari kalangan insan hakiki itulah yang akan naik ke Qaaba Qausain, akan mengetuk pintu kebahagiaan abadi, membuka pintu khazanah rahmat dan akan melihat hakikat-hakikat keimanan yang ghaib menerusi Isra’ Mi’raj yang agung itu.

 

Ketujuh: Secara jelas, terdapat pembaikan yang sangat indah dan perhiasan yang sangat berhias pada hasil seni Ilahi ini. Secara jelas juga pembaikan dan penghiasan yang seperti itu memperlihatkan bahawa terdapat satu kehendak pembaikan dan niat penghiasan yang sangat kuat pada as-Sani’ mereka. Kehendak pembaikan dan penghiasan pula semestinya memperlihatkan kewujudan keinginan yang kuat dan rasa cinta yang suci terhadap ciptaan-Nya pada as-Sani’ itu. 


395. Page

Maka secara jelas makhluk yang paling dikasihi di sisi as-Sani’ yang mencipta kesenian dan sangat mencintai kesenian-Nya ialah makhluk yang paling lengkap di kalangan masnu'at dan memperlihatkan pada dirinya latifah hasil seni-Nya secara sekaligus, mengetahui serta memberitahu tentangnya dan mempercintakan dirinya, serta memuji keindahan pada masnu'at lain dengan berkata: “masya-Allah”.

Justeru, berhadapan dengan keistimewaan dan kecantikan yang menyaduri masnu'at dan kelatifan dan kesempurnaan yang menerangi maujudat, secara jelas baginda jugalah yang menggemakan langit dengan berkata Subhanallah, Masya-Allah dan Allahu Akbar dan meriuhkan alam semesta dengan irama al-Quran, membawa daratan dan lautan ke dalam jazbah melalui pujaan dan penghargaan, tafakur dan pemasyhuran, zikir dan tauhid.

Justeru sudah tentu perjalanan sampai ke syurga, Sidratul Muntaha, ‘Arasy dan Qaaba Qausain melalui tangga Mi’raj oleh seorang rasul yang sebegini, menurut rahsia اَلسَّبَبُ كَالْفَاعِلِ, seseorang yang pada neraca mizan kebaikannya terdapat pahala yang sama bagi setiap kebaikan yang telah dilakukan oleh segenap umat, dan selawat seluruh umat memberi bantuan kepada kesempurnaan maknawinya dan menerima limpahan rahmat dan rasa cinta Ilahi yang tidak berpenghujung beserta dengan natijah-natijah dalam tugas kerasulan yang telah dilaksanakannya dan ganjaran-ganjaran maknawinya, adalah kebenaran yang sejati, hakikat sebenar dan kesempurnaan hikmah.

 

 Jawapan Kemusykilan Kedua: Wahai insan yang mendengar! Hakikat yang engkau musykilkan ini adalah sangat mendalam dan juga sangat tinggi sehingga akal bukan sahaja tidak boleh sampai bahkan tidak dapat mendekatinya. Ia hanya dapat dilihat melalui nur keimanan. Namun kewujudan hakikat itu boleh didekatkan kepada kefahaman melalui beberapa perumpamaan. Jika begitu kami akan berusaha sedikit untuk memudahkan kefahaman. 


396. Page

Justeru apabila alam semesta ini dilihat menerusi pandangan hikmah, ia kelihatan ibarat sebatang pohon yang besar. Sebagaimana pohon itu mempunyai dahan, daun, bunga dan buah, alam sufli yang merupakan satu bahagian pohon penciptaan ini juga, unsur-unsurnya kelihatan ibarat dahan-dahannya, tumbuhan dan pohonan ibarat daunnya, haiwan ibarat bunganya dan insan ibarat buahnya. Sudah tentu pelaksanaan satu undang-undang as-Sani’ Dzul Jalal yang berlaku ke atas pohon-pohon lain turut berlaku pada pohon besar ini juga adalah kehendak nama al-Hakim. Maka penciptaan pohon penciptaan ini daripada sebiji benih juga merupakan kehendak hikmah Ilahi. Malah benih itu juga perlu merangkumi contoh dan asas-asas bagi alam-alam lain selain daripada alam jasmani. Ini kerana tidak mungkin benih asal (Rasulullah) dan sebab penciptaan alam semesta yang mengandungi ribuan alam lain yang berlainan merupakan satu unsur yang tidak subur.

Memandangkan sebelum pohon alam semesta ini tiada pohon lain sepertinya, maka sudah tentu pemakaian baju buah kepada makna dan nur yang ibarat tempat tumbuh dan benih kepadanya pada pohon alam semesta juga merupakan kewajaran nama al-Hakim. Ini kerana benih tidak boleh sentiasa terdedah. Memandangkan buah tidak memakai bajunya pada permulaan fitrah, sudah tentu ia akan memakai baju itu pada akhirnya.

Memandangkan buah itu ialah manusia dan memandangkan sebagaimana yang telah diisbatkan sebelum ini, buah yang paling masyhur dan yang paling hebat dan buah yang paling menarik pandangan perhatian umum, yang membataskan pandangan separuh bumi dan seperlima manusia kepada dirinya dan menyebabkan alam memandang kepadanya sama ada dengan pandangan rasa cinta atau ketakjuban melalui keindahan maknawinya di kalangan manusia pula ialah baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, maka sudah tentu dengan menyarung tubuh pada diri baginda, nur yang merupakan benih kepada pembentukan alam semesta akan kelihatan dalam bentuk buah yang terakhir.

Wahai para pendengar! Janganlah merasakan bahawa alam semesta yang luas ini dijadikan daripada perihal kecil seorang manusia sebagai tidak masuk akal! Mungkinkah al-Qadir Dzul Jalal yang menjadikan pohon pain yang tinggi yang seperti satu alam itu daripada biji sebesar butir gandum tidak atau tidak dapat menjadikan alam semesta ini daripada Nur Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam


397. Page

Justeru, oleh sebab pohon alam semesta adalah seperti pohon Tuba yang tunjang dan akarnya di atas manakala dahan dan rantingnya di bawah maka terdapat satu tali hubungan nurani dari peringkat buah di bawah sehingga ke peringkat benih asal.

Sesungguhnya Isra’ Mi’raj ialah kulit dan rupa bagi tali hubungan itu kerana baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam telah membuka jalan itu, telah pergi dengan kewaliannya, pulang dengan kerasulannya dan meninggalkan pintunya terbuka. Maka selepas baginda, para wali di kalangan umat baginda melakukan sayr dan suluk di bawah bayangan Isra’ Mi’raj Nabawi di jalan nurani itu dengan roh dan hati mereka lalu naik ke maqam-maqam yang tinggi menurut persediaan mereka.

Sepertimana yang telah diisbatkan sebelum ini, as-Sani’ alam semesta ini telah menjadikan alam semesta ini ibarat sebuah istana dan telah menghiasinya untuk tujuan-tujuan yang diperlihatkan pada jawapan kemusykilan pertama. Oleh sebab punca kepada tujuan-tujuan itu ialah baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, maka baginda perlu berada dalam pandangan ‘inayah (bantuan) as-Sani’ alam semesta sebelum alam semesta dijadikan dan menjadi yang paling awal menerima tajalli-Nya. Ini kerana (biasanya) natijah dan hasil sesuatu benda difikirkan terlebih dahulu. Maknanya sesuatu yang terakhir dari segi kewujudan adalah yang terawal dari segi makna. Ini kerana, baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam ialah buah yang paling sempurna dan sumber nilaian semua buah dan sebab penzahiran semua tujuan. Maka nurnya perlu menjadi yang pertama menerima tajalli pewujudan.

 

Jawapan Kemusykilan Ketiga: Kemusykilan ini adalah sangat luas sehingga insan-insan yang otaknya sempit seperti kita tidak mampu memahaminya secara tuntas. Tetapi kita boleh memandangnya dari kejauhan. Ya, makmal maknawi dan undang-undang menyeluruh alam sufli adalah di alam tinggi. Natijah amalan makhluk tidak terkira bagi bebola bumi yang merupakan tempat perhimpunan masnu'at dan hasil perbuatan jin dan manusia juga mendapat rupa yang (hampir) sama di alam tinggi. Hatta, isyarat-isyarat al-Quran al-Hakim beserta dengan penyaksian tanda-tanda dan riwayat yang amat banyak dan melalui kehendak hikmah alam semesta dan nama al-Hakim memperlihatkan bahawa kebaikan akan berubah menjadi buah-buahan syurga dan kejahatan pula akan berubah menjadi zaqqum neraka. 


398. Page

Ya, kathrah telah bercambah dengan sangat banyak dan ciptaan telah membiak di merata-rata tempat di atas muka bumi sehingga jenis-jenis makhluk dan asnaf-asnaf masnu'at di atas semua masnu'at yang bertebaran di alam semesta ini ditemui, berubah-rubah di atas bebola bumi. Ia sentiasa penuh dan dikosongkan.

Justeru sudah tentu sumber dan punca bagi perkara-perkara juz’i dan kathrah ini ialah undang-undang menyeluruh dan tajalli asma’-Nya yang menyeluruh. Ini kerana penerima undang-undang yang kulli, tajalli yang menyeluruh dan nama-nama yang meliputi itu ialah langit yang agak ringkas dan murni dan setiap satunya adalah ibarat singgahsana, bumbung dan pusat pemerintahan bagi sebuah alam. Salah satu daripada alam-alam itu juga ialah Jannatul Ma’wa di Sidratul Muntaha. Sesungguhnya adalah sabit melalui perkhabaran al-Mukhbir as-Sadiq bahawa tasbih dan tahmid di muka bumi berupa seperti buah-buahan syurga itu.

Maka tiga noktah ini memperlihatkan bahawa gedung natijah dan hasil di bumi adalah di sana dan hasil-mahsulnya pergi ke sana. Janganlah berkata: “Bagaimanakah satu kalimah Alhamdulillah yang bagaikan udara (yang aku ucapkan) boleh menjadi buah syurga yang memiliki bentuk?”

Ini kerana, kadang-kadang engkau memakan kalimah yang baik yang engkau ucapkan ketika sedar di siang hari, dalam bentuk epal yang lazat di alam mimpi. Manakala engkau akan menelan kata-katamu yang buruk di siang hari dalam bentuk sesuatu yang pahit di malam hari. Sekiranya engkau mengumpat maka mereka akan menyuapkannya kepadamu dalam bentuk daging yang busuk. Justeru engkau mungkin memakan kata-kata baik dan buruk yang engkau ucapkan dalam tidur di dunia ini dalam bentuk buah-buahan di alam akhirat yang merupakan alam sedar dan engkau sepatutnya tidak beranggapan bahawa memakannya adalah mustahil.


399. Page

Asas Keempat: Apakah hasil dan faedah Isra’ Mi’raj?

 

Jawapan: Sebagai contoh, kami hanya akan menyebut tentang lima biji buah daripada lebih lima ratus biji buah Isra’ Mi’raj yang merupakan pohon Tuba maknawi.

 

Buah Pertama: Baginda telah melihat hakikat-hakikat rukun iman dan menyaksikan malaikat, syurga, akhirat hatta Dzat Dzul Jalal dengan mata lalu telah membawa datang khazanah yang begitu bermakna, nur azali dan hadiah abadi kepada alam semesta dan manusia sehingga telah mengeluarkan alam semesta ini daripada keadaan sangkaan yang sengsara, fana dan bercampur-aduk. Kemudian melalui nur dan buah itu, baginda telah memperlihatkan hakikat bahawa alam semesta ini ialah tulisan as-Samad yang suci dan cermin keindahan al-Ahad yang indah. Maka Isra’ Mi’raj telah menceriakan dan menggembirakan alam semesta dan semua yang berakal.

Malah, dengan nur dan buah yang suci itu juga, baginda telah mengeluarkan manusia daripada keadaan penuh kesesatan yang kacau, sengsara, lemah, fakir, mempunyai kehendak yang tidak terbatas dan musuh yang tidak terkira serta fana dan tidak kekal kepada keadaan sebagai mukjizat kekuasaan as-Samad yang dalam keadaan Ahsanu Taqwim (sebaik-baik kejadian), naskhah lengkap tulisan as-Samad, mukhatab Sultan Azali dan Abadi, hamba istimewa dan pemuja kesempurnaan-Nya, teman-Nya dan pengagum keindahan-Nya, kekasih dan tetamu mulia yang menjadi calon untuk syurga abadi-Nya dalam bentuk yang hakiki. Baginda telah memberikan kegembiraan yang tidak terhingga dan keseronokan yang tidak terkira kepada semua insan yang benar-benar insan.

 

Buah Kedua: Baginda telah mendatangkan asas-asas Islam sebagai hadiah kepada jin dan manusia terutamanya solat yang merupakan ‘Mardhiyyah Rabbaniyyah’ bagi al-Hakim keazalian dan keabadian yang merupakan pencipta maujudat, pemilik alam semesta dan Rabbul ‘Alamin. Ini kerana, memahami mardhiyyah itu ialah suatu perkara yang sangat memberi keterujaan dan kebahagiaan yang tidak dapat dihuraikan. Ini kerana semua orang sangat mahu untuk memahami kehendak-kehendak pemberi nikmatnya yang agung ataupun rajanya yang baik dari jauh dan sekiranya mereka memahami mereka akan sangat gembira. Mereka akan bercita-cita seperti berikut dan berkata: “Kalaulah ada perantara perhubungan dan aku dapat bercakap dengan-Nya secara langsung. Kalaulah aku memahami apakah yang Dia mahu dariku. Kalaulah aku tahu apakah perbuatanku yang menyenangkan-Nya.” 


400. Page

Agaknya engkau sudah memahami bahawa manusia yang sentiasa berhajat dari sudut-sudut yang tidak terkira dan selalu menerima kurniaan yang tidak berpenghujung daripada Allah amat perlu memahami tentang apakah yang diredhai dan dikehendaki-Nya dengan kehendak yang bersangatan dan penuh keterujaan memerlukan-Nya. Ini kerana semua maujudat adalah di dalam genggaman urusan-Nya. Manakala keindahan dan kesempurnaan pada semua maujudat pula ialah bayangan yang lemah berbanding dengan keindahan dan kesempurnaan-Nya.

Justeru, Baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam telah mendengar perkara yang diredhai oleh Sultan Azali dan Abadi itu sebagai buah Isra’ Mi’raj secara Haqqal Yaqin di sebalik tujuh puluh ribu tabir secara langsung, membawanya dan menghadiahkannya kepada manusia.

Ya, manusia adalah sangat teruja untuk memahami keadaan di bulan. Justeru, jika seseorang telah pergi ke sana dan kembali semula lalu menceritakan tentangnya, nescaya mereka akan menunjukkan kerelaan yang bersungguh-sungguh (demi untuk mengetahuinya). Sekiranya mereka faham, mereka pasti akan sangat kagum dan teruja. Ini kerana, bulan beredar di negara al-Malikul Mulki yang begitu hebat bagaikan seekor lalat yang terbang di sekeliling bebola bumi. Bebola Bumi pula seperti kelkatu yang terbang di sekitar matahari. Matahari pula hanyalah sebutir di antara ribuan lampu yang memberi cahaya di sebuah dewan pertamuan al-Malikul Mulki Dzul Jalal.

Justeru, baginda Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam telah melihat urusan Dzat Dzul Jalal yang sebegitu, keajaiban ciptaan-Nya dan khazanah Rahmat-Nya di alam baqa’ dan telah kembali lalu menceritakannya kepada manusia. Justeru, sekiranya manusia tidak mendengar kepada baginda dengan penuh rasa teruja, kekaguman dan rasa cinta, maka engkau memahami bahawa manusia itu telah melakukan tindakan yang sangat bertentangan dengan akal dan hikmah.


401. Page

Buah Ketiga: Baginda telah melihat harta karun kebahagiaan abadi lalu telah mengambil anak kuncinya dan membawanya lalu menghadiahkannya kepada jin dan manusia. Ya, baginda telah melihat syurga dan telah menyaksikan jilwah-jilwah baqa’ bagi rahmat ar-Rahman Dzul Jalal melalui perantaraan Isra’ Mi’raj dan dengan matanya sendiri dan secara qat’i telah memahami kebahagiaan abadi secara haqqal yakin.

Ketika jin dan manusia yang kebuntuan berada di dalam dunia yang tidak kekal dan dalam keadaan sangkaan yang amat memilukan dan ketika maujudat-nya yang berada dalam gempa kelenyapan dan perpisahan dituang ke dalam lautan kelenyapan dan perpisahan abadi melalui peredaran masa dan pergerakan zarah, baginda telah menghadiahkan khabar gembira tentang kewujudan kebahagiaan abadi kepada jin dan manusia.

Sesungguhnya pada telinga jin dan manusia fana yang menyangka diri mereka terhukum dengan penghapusan abadi, khabar gembira seperti ini adalah sangat membahagiakan dan tidak mungkin dihuraikan.

Ia bagaikan, kerana (mendapat) pengampunan diraja, seseorang itu diberikan sebuah istana yang dekat dengan kehebatan-Nya ketika dia akan dihukum mati. Maka keadaan itu menjadi sebab kegembiraan yang tidak terhingga. Justeru, kumpulkanlah kegembiraan-kegembiraan yang sebanyak bilangan semua jin dan manusia ini. Kemudian berilah nilai kepada khabar gembira ini.

 

Buah Keempat: Sebagaimana baginda telah mendapat buah melihat keindahan Allah, buah itu juga adalah mungkin kepada setiap orang beriman. Baginda juga telah membawanya sebagai hadiah kepada jin dan manusia. Maka melalui perkara ini engkau boleh mengkiaskan betapa buah itu ialah buah yang sangat enak, menarik dan baik.

Yakni, setiap insan yang mempunyai hati menyukai sesuatu yang memiliki keindahan, kesempurnaan dan kebaikan. Kecintaan itu juga bertambah berdasarkan darjat keindahan, kesempurnaan dan kebaikan lalu sampai ke tahap menyanjung lalu mengikat rasa cinta di tahap rela mengorbankan nyawanya. Untuk melihatnya walaupun hanya sekali dia akan naik ke tahap rela mengorbankan dunianya. Walhal jika keindahan, kesempurnaan dan kurniaan pada semua maujudat dibandingkan dengan keindahan, kesempurnaan dan kebaikan Allah, maka tidak akan sama nilainya walaupun seperti perbandingan beberapa kilauan yang kecil dengan matahari. Maknanya sekiranya engkau ialah insan, engkau akan memahami bahawa kebolehan untuk Rasulullah melihat Dzat Dzul Jalal wal Kamal yang layak kepada rasa cinta yang tidak berpenghujung dan paling layak untuk dilihat dan kerinduan yang tiada akhiran di (negara) kebahagiaan abadi ialah buah yang sangat memberikan kebahagiaan, punca kegembiraan, menarik dan baik.


402. Page

Buah Kelima: Kedudukan manusia sebagai buah yang berharga bagi alam semesta dan kekasih as-Sani’ alam semesta yang manja telah difahami melalui Isra’ Mi’raj. Baginda telah membawa buah itu kepada jin dan manusia. Dengan buah itu baginda menaikkan manusia yang merupakan makhluk yang kecil, haiwan yang daif dan makhluk berakal yang lemah ke maqam yang sangat tinggi. Maka ia memberikan satu maqam kebanggaan yang mengatasi semua maujudat alam semesta. Baginda juga memberikan keseronokan dan kegembiraan yang sangat membahagiakan yang tidak mungkin dihuraikan. Ini kerana, jika dikatakan kepada seorang askar yang rendah bahawa engkau telah menjadi jeneral, dia akan merasa sangat gembira.

Ini kerana, apabila dikatakan kepada haiwan yang fana dan lemah dan kepada insan kebuntuan yang sentiasa memakan tamparan kelenyapan dan perpisahan bahawa engkau boleh melihat keindahan-Nya di negara kebahagiaan abadi sebagaimana dia boleh berjalan, bersiar dan berlegar di syurga yang abadi dan baqa’, di bawah rahmat ar-Rahman yang al-Karim dan ar-Rahim, dengan kelajuan khayalan, dengan keupayaan roh, melalui pengembaraan akal, menurut semua kehendak hati di alam mulk dan malakut-Nya secara sekaligus, nescaya engkau boleh menggambarkan betapa seorang insan yang belum merosot keinsanannya akan merasai keseronokan dan kegembiraan yang sangat mendalam dan sejati di dalam hatinya.

Sekarang, kami berkata kepada orang yang mendengar: Koyak dan campakkanlah baju keilhadan (kekufuran). Pasangkan telinga mukmin dan pakailah mata muslim. Kami akan memperlihatkan kepadamu tahap nilaian bagi satu atau dua buah melalui dua perumpamaan kecil.

 


403. Page

 

Perumpamaan Pertama: Misalnya engkau dan kami bersama-sama berada dalam sebuah negara. Kita nampak bahawa setiap benda adalah musuh dan asing kepada kita dan kepada satu sama lain. Di mana-mana jua, penuh dengan mayat-mayat yang mengerikan. Suara-suara yang didengari itu ialah tangisan anak-anak yatim dan ratapan mereka yang dizalimi. Justeru semasa kita berada dalam keadaan begitu, jika seseorang telah pergi dan membawa khabar gembira daripada raja negara itu, maka melalui khabar gembira yang dibawanya, mereka yang asing kepada kita berubah menjadi kawan. Mereka yang kita lihat sebagai musuh berubah menjadi saudara. Jenazah-jenazah yang ngeri itu masing-masing kelihatan dalam bentuk seorang abid yang khusyuk dan khudu’ di dalam zikir dan tasbih. Tangisan-tangisan yang bagaikan ratapan anak-anak yatim itu menjadi ibarat laungan “semoga panjang umur!” yang penuh pujian. Kematian, rompakan dan rampasan itu berubah kepada bentuk perlepasan tugas. Kita juga menyertai kegembiraan semua orang. Nescaya engkau memahami bahawa khabar gembira itu adalah sangat menggembirakan.

Justeru sebelum kehadiran nur keimanan yang merupakan sebiji buah Isra’ Mi’raj Nabi Muhammad, apabila maujudat alam semesta ini diperhatikan melalui mata kesesatan, maka maujudat alam semesta dilihat sebagai asing, memudaratkan, mengganggu dan menakutkan. Jirim-jirim seperti gunung dilihat seperti jenazah yang mengerikan. Ajal dilihat sebagai memenggal kepala semua orang lalu mencampaknya ke dalam perigi kelenyapan abadi. Semua suara dilihat sebagai datang daripada ratapan akibat perpisahan dan kelenyapan. Sesungguhnya ketika kesesatan menggambarkan sedemikian, hakikat-hakikat rukun keimanan memperlihatkan kepadamu bagaimana maujudat menjadi saudara dan teman kepadamu, penzikir dan pentasbih kepada as-Sani’ Dzul Jalal-mu dan kematian dan kelenyapan ialah sejenis perlepasan dan pemberhentian tugas dan suara semua makhluk adalah dalam hakikat zikir dan tasbih. Jika engkau mahu melihat hakikat ini dengan lebih jelas, maka lihatlah ia pada Kalimah Kedua dan Kelapan.


404. Page

Perumpamaan Kedua: Engkau dan kami berada di suatu tempat yang seperti sebuah padang pasir yang luas. Ketika ribut pasir melanda, oleh sebab malam sangat gelap maka kita tidak dapat melihat hatta tangan kita sendiri. Ketika itu kita berada dalam keadaan tidak punya sesiapa, tiada pelindung, lapar, dahaga, putus asa dan tiada harapan. Namun selepas itu, jika seseorang tiba-tiba datang melalui tabir kegelapan itu membawa sebuah kereta sebagai hadiah dan menumpangkan kita, kemudian tiba-tiba dia menurunkan kita di sebuah tempat seperti syurga yang telah dijamin untuk menyambut kita dan terdapat seorang pelindung yang sangat belas serta makanan dan minuman telah disediakan untuk kita, maka engkau akan fahami betapa gembiranya kita.

Justeru, padang pasir luas itu ialah wajah dunia ini. Ribut pasir itu ialah maujudat dan insan tidak berdaya yang bergelumang dengan pergerakan zarah dan peredaran zaman di dalam peristiwa-peristiwa ini. Melalui pandangan kesesatan, setiap insan, dengan kerisauannya melihat masa hadapan yang mendebarkan dada di dalam kegelapan yang menyeramkan. Dia tidak tahu kepada siapakah dia dapat memperdengarkan rintihannya. Sesungguhnya dia sangat lapar dan amat dahaga.

Maka, melalui mardhiyyah Ilahi yang merupakan buah Isra’ Mi’raj, dunia ini kelihatan seperti dewan pertamuan Dzat yang sangat pemurah. Manusia pula seperti tetamu dan petugasnya. Masa hadapan juga indah seperti syurga, menawan seperti rahmat dan terang seperti kebahagiaan abadi. Maka engkau memahami bahawa ia adalah buah yang sangat menyenangkan, baik dan menawan.

Maka orang yang mendengar pun berkata: Ribuan pujian dan kesyukuran kepada Allah Subhanahu wa Taala kerana aku telah terselamat daripada keilhadan. Aku telah memasuki tauhid dan telah beriman sepenuhnya dan telah mendapat kesempurnaan iman.

Kami juga berkata: “Wahai saudara! Kami mengucapkan tahniah kepadamu. Mudah-mudahan Allah Taala mengurniakan kita syafaat Rasulullah Sollallahu alaihi wa Sallam. Amin.”

اَللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَى مَنِ انْشَقَّ بِاِشَارَتِهِ الْقَمَرُ وَ نَبَعَ مِنْ اَصَابِعِهِ الْمَاءُ كَالْكَوْثَرِ

صَاحِبُ الْمِعْرَاجِ وَ مَا زَاغَ الْبَصَرُ

 سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِهِ وَ اَصْحَابِهِ اَجْمَعِينَ مِنْ اَوَّلِ الدُّنْيَا اِلَى آخِرِ الْمَحْشَرِ


 سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَٓا اِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا اِنَّكَ اَنْتَ الْعَل۪يمُ الْحَك۪يمُ

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا اِنَّكَ اَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ رَبَّنَا لَا تُواخِذْنَا اِنْ نَسِينَا اَوْ اَخْطَاْنَا

 رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ اِذْ هَدَيْتَنَا رَبَّنَا اَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْلَنَا اِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْئٍ قَدِيرٌ

 وَ آخِرُ دَعْوَيهُمْ اَنِ الْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ