Kalimah Ketujuh

26. Page

KALIMAH KETUJUH

 

Kalimah آمَنْتُ بِاللّٰهِ  dan وَ بِالْيَوْمِ اْلآخِرِ  ialah dua mantera perungkai kesulitan yang amat berharga yang membuka misteri terkunci alam ini dan membuka pintu kebahagiaan untuk roh manusia. Tawakal dan berlindung kepada al-Khaliq-nya dengan kesabaran dan permintaan serta doa daripada ar-Razzaq-nya dengan kesyukuran merupakan dua ubat mujarab seperti penawar yang amat bermanfaat. Mendengar al-Quran, mengikuti hukumnya, mendirikan solat dan meninggalkan dosa-dosa besar ialah sekeping tiket, satu bekalan akhirat dan satu penerang kubur yang amat penting, bernilai dan terang dalam perjalanan abadi ini. Jika engkau ingin memahami hakikat-hakikat di atas, renungi dan dengarlah hikayat perumpamaan yang pendek ini.

Pada suatu masa, di medan peperangan dan ujian, ketika untung dan rugi bergantian, seorang tentera telah terjerumus ke dalam satu keadaan yang amat dahsyat seperti berikut: Dia terluka dengan dua luka parah yang dalam di sebelah kanan dan kirinya. Di belakangnya seekor singa yang besar menunggu seolah-olah akan menerkamnya. Di hadapan matanya terpacak tiang tali gantung yang menggantung dan menghapuskan semua insan kesayangannya dan turut menantinya. Di samping itu, bersama dengan keadaannya yang begini dia mempunyai satu perjalanan yang panjang dan dia dikerah pergi.


27. Page

Dalam kedahsyatan ini, semasa si buntu itu berfikir dengan rasa putus asa, muncul seseorang yang nurani dan suka membantu seperti Nabi Khidhir di sebelah kanannya. Beliau berkata kepadanya: “Jangan putus asa, aku akan memberi dan mengajarmu dua mantera. Kalau engkau menggunakannya dengan baik, singa itu akan menjadi seekor kuda yang berkhidmat kepadamu. Tali gantung itu akan bertukar menjadi buaian yang baik untuk keseronokan dan kenikmatan. Aku juga akan memberikan kepadamu dua ubat. Kalau engkau menggunakannya dengan baik, dua lukamu yang busuk itu akan berubah kepada dua kuntum bunga indah yang dinamakan Mawar Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang harum. Aku juga akan memberikanmu satu tiket. Dengannya bagaikan terbang engkau dapat menghabiskan jarak setahun perjalanan dalam masa satu hari. Justeru, jika engkau tidak percaya, lakukanlah sedikit percubaan supaya engkau mengetahui bahawa aku adalah benar.” Kemudian dia benar-benar telah membuat sedikit percubaaan dan mengakui kebenarannya.

Ya, aku iaitu Said yang buntu ini juga membenarkan perkara ini. Kerana aku telah melakukan sedikit percubaan dan mendapatinya amat benar.

Selepas itu, tiba-tiba dia nampak bahawa seorang lelaki yang penuh muslihat, mabuk dan penipu seperti syaitan datang dari sebelah kirinya bersama perhiasan yang banyak, gambar-gambar yang cantik, benda-benda yang melalaikan dan minuman yang memabukkan. Dia berdiri di hadapannya. Dia telah berkata kepadanya: “Wahai kawan! Mari, mari sama-sama kita bermabuk-mabuk dan berseronok. Mari kita tengok gambar-gambar wanita yang cantik ini. Mari kita dengar lagu-lagu yang menarik ini. Mari kita makan makanan-makanan yang enak ini.”


28. Page

Soalan: Apakah yang engkau baca secara diam-diam di mulutmu itu hah?

Jawapan: Satu mantera.

“Tinggalkanlah kerja yang tidak difahami itu. Jangan kita rosakkan keseronokan kita sekarang ini.”

Soalan: Ha! Apakah yang berada di tanganmu itu?

Jawapan: Satu ubat.

“Buanglah ubat itu! Engkau sihat. Apa masalahmu? Sekarang adalah waktu untuk bergembira”

Soalan: Ha! Apakah kertas yang ada lima tanda itu?

Jawapan: Sekeping tiket dan sehelai surat akuan.

“Koyakkan itu semua! Di musim bunga yang indah ini, mengapa pula kita perlu bermusafir?” katanya lagi. Dia berusaha untuk meyakinkannya dengan setiap muslihat. Hinggalah si buntu itu sedikit cenderung kepadanya.

Ya, insan sering diperdaya. (Aku juga pernah terperdaya dengan seorang penipu sebegitu.) Tiba-tiba satu suara seperti guruh bergema dari sebelah kanan dan berkata: “Jangan terperdaya! Katakanlah kepada penipu itu: Sekiranya engkau mempunyai dan menemui satu cara untuk membunuh singa yang ada di belakangku, menghilangkan tali gantung yang berada di hadapanku, mengubati dua luka yang ada di kanan dan kiriku dan menghalang perjalanan yang terbentang di hadapanku, ayuh lakukan dan tunjukkan supaya kita dapat lihat. Kemudian katakanlah “Mari kita berseronok.” Jika tidak, diamlah wahai si bingung supaya dzat samawi seperti Nabi Khidhir ini dapat mengatakan apa yang telah dikatakannya.” 


29. Page

Justeru, wahai nafsuku yang telah ketawa ketika muda dan kini menangisi ketawanya itu! Ketahuilah! Askar yang kebuntuan itu ialah engkau dan manusia.

Singa itu ialah ajal.

Tali gantung itu ialah kehilangan dan perpisahan di mana setiap sahabat mengucapkan selamat tinggal lalu ghaib dalam putaran siang dan malam.

Dua luka itu, satunya ialah kelemahan insan yang mengganggu dan tidak berbatas, manakala yang satu lagi ialah kefakiran insan yang sangat menyakitkan dan tidak berpenghujung.

Pengerahan dan perjalanan itu ialah satu kembara ujian yang panjang yang merentasi alam roh, rahim ibu, zaman kanak-kanak, masa tua, dunia, kubur, Barzakh, Mahsyar dan Titian Sirat.

Dua mantera itu ialah keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Ya, kematian yang ditempuhi dengan mantera suci ini berubah menjadi seekor kuda dan Buraq yang patuh yang membawa insan-insan mukmin dari penjara dunia ke taman-taman syurga dan ke Hadrat ar-Rahman. Kerana itulah, insan-insan kamil yang memahami hakikat kematian ini mencintai kematian. Bahkan sebelum kematian tiba lagi mereka telah memintanya. Tambahan pula, dengan rahsia keimanan itu, kehilangan dan perpisahan, kematian dan kewafatan serta peredaran masa yang merupakan tali gantung, berubah menjadi wasilah untuk menonton dan menatap ukiran mukjizat, keluarbiasaan qudrat dan penjelmaan rahmat as-Sani’ Dzul Jalal yang segar-bugar, berwarna-warni dan beraneka macam dengan kelazatan yang sempurna. Ya, perubahan dan pembaharuan cermin-cermin yang menunjukkan warna-warna yang terdapat pada cahaya matahari, dan penukaran tirai-tirai panggung wayang, sentiasa membentuk pemandangan yang lebih menarik dan indah. 


30. Page

Dua ubat itu, satunya ialah tawakal dengan kesabaran iaitu bersandar kepada qudrat al-Khaliq dan bergantung kepada hikmah-Nya. Benarkah begitu? Ya, masih adakah ketakutan pada orang yang bersandar dengan tiket kelemahan kepada Sultan alam yang memiliki perintah كُنْ فَيَكُونُ? Ini kerana, ketika menghadapi musibah yang paling dahsyat dia berkata: إِنَّا لِلّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رٰجِعُونَ  lalu bergantung kepada Rabb ar-Rahim-nya dengan ketenangan hati. Ya, al-‘Arifu Billah merasai kelazatan daripada kelemahan dan makhafatullah (rasa takut kepada Allah). Ya, sesungguhnya dalam ketakutan terdapat kelazatan. Sekiranya seorang bayi berumur satu tahun boleh berfikir dan ditanya kepadanya: “Apakah keadaan yang paling lazat dan manis bagimu?” Pasti dia akan berkata: “Keadaan ketika aku tetap berlindung dalam dakapan ibuku yang pengasih kerana takut daripada tamparannya yang manis setelah memahami kelemahan dan kedaifan sendiri.”

Sedangkan kasih sayang semua ibu hanyalah satu kilauan tajalli rahmat. Kerana itulah insan-insan kamil menemui kelazatan yang begitu nikmat dalam kelemahan dan rasa takut kepada Allah sehingga mereka secara tegas membebaskan diri daripada keupayaan dan kekuatan sendiri lalu berlindung kepada Allah dengan rasa lemah. Mereka menjadikan rasa lemah dan rasa takut itu sebagai pemberi syafaat kepada diri mereka sendiri.

Ubat yang satu lagi ialah meminta dan berdoa dengan rasa syukur dan qana’ah serta pergantungan kepada rahmat ar-Razzaq ar-Rahim. Adakah begitu? Ya, bagaimanakah kefakiran dan keperluan boleh menjadi sesuatu yang menyakitkan dan berat bagi tetamu al-Jawwad al-Karim yang menjadikan seluruh muka bumi sebagai satu hidangan nikmat, musim bunga sebagai jambangan bunga dan meletakkannya di tepi hidangan tersebut serta menaburkan bunga-bunga itu ke atasnya? Bahkan kefakiran dan keperluannya berubah menjadi satu selera yang menarik. Dia berusaha menambahkan kefakirannya seperti dia menambahkan seleranya. Kerana itulah insan-insan kamil berbangga dengan kefakiran. (Awas, jangan salah faham! Yang dimaksudkan ialah merasai kefakiran di hadapan Allah lalu merayu kepada-Nya; bukannya menunjukkan kefakiran kepada orang ramai dan menjadi seperti pengemis). 


31. Page

Tiket dan surat akuan itu ialah menunaikan fardhu yang pertamanya solat serta meninggalkan dosa-dosa besar. Benarkah begitu? Ya, dengan kesepakatan semua ahli ikhtisas, musyahadah, dzauq dan kasyaf; sesungguhnya bekalan dan simpanan, cahaya dan Buraq di jalan abadi yang panjang dan gelap itu hanya dapat diperoleh dengan menjunjung perintah al-Quran dan menjauhi larangannya. Jika tidak, di jalan itu, sains dan falsafah, seni dan hikmah tidak akan bernilai walaupun satu sen. Cahaya-cahaya semua itu hanyalah sekadar ke pintu kubur.

Justeru wahai nafsuku yang malas! Sekiranya engkau mempunyai akal dan ia belum rosak, engkau akan memahami bahawa mendirikan solat lima waktu dan meninggalkan tujuh dosa besar adalah amat sedikit, merehatkan dan ringan. Namun natijah, buah dan faedahnya adalah amat banyak, penting dan besar. Engkau boleh berkata kepada syaitan dan orang yang mendorongmu kepada kefasiqan dan kejahatan itu: “Kalaulah ada cara untuk membunuh kematian dan menghapuskan kelenyapan daripada dunia, menghilangkan kelemahan dan kefakiran insan lalu menutup pintu kubur, silalah beritahu! Kami mendengar. Jika tidak, diam! Al-Quran sedang dibaca di dalam masjid besar alam semesta. Mari kita mendengarnya. Marilah kita mencahayakan diri kita dengan nur itu. Marilah kita beramal dengan hidayahnya dan menjadikannya wirid lidah kita. Ya, sesungguhnya al-Quran itulah kalam (kata-kata) dan itulah yang dikatakan. Al-Quranlah yang benar, datang daripada yang Maha Benar lalu menyatakan kebenaran dan memperlihatkan kebenaran serta menyebarkan hikmah yang bercahaya.


32. Page

 

اللَّهُمَّ نَوِّرْ قُلُوبَنَا بِنُورِ الإِيمَانِ وَالقُرْآنِ، اللَّهُمَّ أَغْنِنَا بِالافْتِقَار إِلَيْكَ وَلاَ تُفْقِرْنَا بِالاسْتِغْنَاءِ عَنْكَ، تَبَرَّأْنَا إِلَيْكَ مِنْ حَوْلِنَا وَقُوَّتِنَا، وَالْتَجَأْنَا إِلىَ حَوْلِكَ وَقُوَّتِكَ، فَاجْعَلْنَا مِنَ المُتَوَكِّلِينَ عَلَيْكَ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلىَ أَنْفُسِنَا، وَاحْفَظْنَا بِحِفْظِكَ وَارْحَمْنَا وَارْحَمِ المُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ.


وَصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَنَبِيِّكَ وَصَفِيِّكَ وَخَلِيلِكَ، وَجَمَالِ مُلْكِكَ وَمَلِيكِ صُنْعِكَ، وَعَيْنِ عِنَايَتِكَ وَشَمْسِ هِدَايَتِكَ، وَلِسَانِ حُجَّتِكَ وَمِثَالِ رَحْمَتِكَ، وَنُورِ خَلْقِكَ وَشَرَفِ مَوْجُودَاتِكَ، وَسِرَاجِ وَحْدَتِكَ فِي كَثْرَةِ مَخْلُوقَاتِكَ، وَكَاشِفِ طَلْسَمِ كَائِنَاتِكَ وَدَلاَّلِ سَلْطَنَةِ رُبُوبِيَّتِكَ، وَمُبَلِّغِ مَرْضِيَّاتِكَ وَمُعَرِّفِ كُنُوزِ أَسْمَائِكَ، وَمُعَلِّمِ عِبَادِكَ وَتَرْجُمَانِ آيَاتِكَ، وَمِرْآةِ جَمَالِ رُبُوبِيَّتِكَ وَمَدَارِ شُهُودِكَ وَإِشْهَادِكَ، وَحَبِيبِكَ وَرَسُولِكَ الَّذِي أَرْسَلْتَهُ رَحْمَةً لِلْعَالمينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَعَلىَ إِخْوَانِهِ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالمُرْسَلِينَ، وَعَلَى مَلاَئِكَتِكَ المُقَرَّبِينَ، وَعَلَى عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ. آمِين.