NAVIGATION
1. Page
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
وَبِهِ نَسْتَعِينُ
الحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالمِينَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ
Wahai Saudara! Engkau telah meminta beberapa nasihat daripadaku. Oleh sebab engkau adalah seorang askar, maka dengarlah lapan cerita pendek melalui kias ibarat ketenteraan beserta beberapa hakikat bersama nafsuku. Ini kerana aku melihat nafsuku lebih berhajat kepada nasihat berbanding dengan semua orang lain. Pada suatu masa dahulu, aku pernah berkata kepada nafsuku secara sedikit panjang lebar mengenai lapan kalimah yang telah aku manfaatkan daripada lapan ayat al-Quran. Sekarang aku akan berkata kepada nafsuku secara ringkas dan dengan bahasa awam. Sesiapa yang mahu marilah dengar bersama-sama.
Bismillah بِسْمِ اللّٰهِ ialah permulaan setiap kebaikan. Pada permulaan ini, kita juga bermula dengannya. Ketahuilah wahai nafsuku! Sebagaimana kalimah yang diberkati ini menjadi syiar Islam, ia juga merupakan wirid lidah semua makhluk melalui lisanul hal (bahasa yang difahami melalui keadaan) mereka. Jika engkau ingin memahami betapa بِسْمِ اللّٰهِ itu suatu kekuatan yang sangat besar dan tidak akan luak dan suatu keberkatan yang sangat banyak dan tidak akan habis, maka renungi dan dengarilah hikayat perumpamaan yang ringkas ini:
Orang yang mengembara di padang-padang pasir Arab perlu menggunakan nama ketua kabilah dan bernaung di bawah perlindungannya supaya dia terselamat daripada kejahatan para penjahat dan mampu mencapai hajatnya. Jika tidak, dia akan menderita menghadapi musuh dan keperluannya yang tiada batasan secara bersendirian.
Demikianlah, untuk perjalanan yang sebegini, dua orang keluar menuju ke padang pasir. Seorang daripada mereka tawadhuk manakala seorang lagi sombong. Si tawadhuk itu telah mengambil nama seorang ketua, sedangkan si sombong tidak mengambilnya. Yang mengambilnya, mengembara dengan selamat di semua tempat. Jika terserempak dengan perompak, dia berkata, “Aku mengembara dengan nama ketuaku iaitu fulan”. Maka perompak itu pergi dan tidak dapat mengganggunya. Sekiranya pengembara itu memasuki sesebuah khemah atas nama itu, dia dihormati. Manakala pengembara seorang lagi yang sombong menghadapi bala yang amat dahsyat sepanjang perjalanan sehingga tidak boleh digambarkan. Dia sentiasa menggigil ketakutan dan seringkali mengemis. Bukan sahaja dipandang rendah, dia turut menjadi hina.
2. Page
Maka, wahai nafsuku yang sombong! Engkaulah pengembara itu. Dunia ini pula sebuah padang pasir. Kelemahan dan kefakiranmu tiada sempadan. Musuh dan hajatmu tiada akhiran. Oleh yang demikian, ambillah nama al-Malik (Pemilik) yang abadi dan al-Hakim (Penguasa) yang azali bagi padang pasir ini agar engkau terselamat daripada perbuatan mengemis daripada seluruh alam semesta dan menggigil ketakutan menghadapi tiap-tiap kejadian.
Ya, kalimah ini ialah khazanah yang begitu berkat kerana dengannya kelemahan dan kefakiranmu yang tiada akhiran itu mengikatmu kepada rahmat dan qudrat yang tiada akhiran serta menjadikan kelemahan dan kefakiran itu pemberi syafaat yang paling makbul di sisi al-Qadir dan ar-Rahim.
Ya, orang yang bertindak dengan kalimah ini sama seperti orang berikut: Dia mendaftarkan diri kepada tugas ketenteraan lalu bertindak atas nama negara. Dia tidak akan takut daripada sesiapa pun. Dengan berkata atas nama undang-undang dan negara, dia melaksanakan setiap tugas dan mampu bertahan menghadapi setiap perkara.
Pada permulaan, kita telah menyebutkan bahawa semua makhluk melafazkan بِسْمِ اللّٰهِ dengan lisanul hal mereka. Benarkah begitu?
Ya, sebagai contoh: Engkau lihat seseorang telah datang. Dia mengarahkan semua penduduk bandar menuju ke satu tempat secara paksa dan mengerahkan mereka dalam banyak kerja. Sudah tentu engkau meyakini bahawa orang itu tidak bertindak atas nama dan kekuatannya sendiri. Bahkan dia merupakan seorang askar yang bertindak atas nama negara dan bersandar kepada kekuatan seorang Sultan. Begitu juga, setiap sesuatu bergerak atas nama Allah sehinggakan benih dan biji-bijian umpama zarah kecil, membawa pohon-pohon yang besar dan memikul bebanan-bebanan umpama bukit di atas kepala mereka.
3. Page
Ini bermakna setiap pokok melafazkan بِسْمِ اللّٰهِ Ia memenuhkan tangan-tangannya dengan buah-buahan khazanah rahmat dan menjajanya kepada kita. Setiap kebun melafazkan بِسْمِ اللّٰهِ. Ia menjadi kawah daripada dapur qudrat kerana bermacam-macam makanan lazat yang amat berlainan dimasak bersama di dalamnya. Setiap haiwan yang diberkati seperti lembu, unta, biri-biri dan kambing melafazkan بِسْمِ اللّٰهِ. Haiwan-haiwan ini menjadi mata air susu daripada limpahan rahmat dan menghidangkan bahan makanan yang paling baik dan paling bersih seperti air kehidupan atas nama ar-Razzaq (yang Selalu Memberi Rezeki) kepada kita. Setiap tunjang dan akar tumbuhan, pokok dan rumput-rampai yang lembut bak sutera melafazkan بِسْمِ اللّٰهِ. Ia melubangi dan menembusi batuan dan tanah yang keras. Dengan berkata, “atas nama Allah” dan “atas nama ar-Rahman”, setiap sesuatu ditundukkan kepadanya.
Ya! Penjalaran akar-akar kayu dengan penuh kemudahan di dalam batu dan tanah yang keras dan penghasilan buah di bawah tanah sama seperti percabangan dahan-dahan pokok dan penghasilan buah-buahannya di udara serta kekekalan sifat lembap dedaun yang rapuh dan hijau selama berbulan-bulan walaupun terdedah kepada kepanasan yang amat terik, menampar mulut para pendukung falsafah alam semulajadi dengan kuat dan menusuk jarinya ke mata mereka (yang mudah-mudahan buta) sambil berkata: “Kekerasan dan kepanasan yang paling engkau percayai juga bergerak di bawah perintah, hatta akar-akar selembut sutera itu yang masing-masing seperti tongkat Nabi Musa ‘Alaihis Salam membelah batu-batu dengan menuruti (perintah) اِضْرِبْ بِعَصَاكَ الحَجَرَ. Dedaun nipis dan rapuh seperti kertas pembalut rokok itu yang masing-masing seperti anggota tubuh Nabi Ibrahim ‘Alaihis Salam membaca ayat يٰنَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلاَمًا menghadapi bahang kepanasan api yang marak.
4. Page
Memandangkan semua benda melafazkan بِسْمِ اللّٰهِ secara maknawi lalu mendatangkan dan memberi nikmat-nikmat Allah kepada kita atas nama Allah, maka kita juga semestinya melafazkan بِسْمِ اللّٰهِ. Kita hendaklah memberi atas nama Allah dan mengambil juga atas nama Allah. Oleh itu, kita sepatutnya tidak mengambil daripada insan-insan lalai yang memberi bukan atas nama Allah.
Soalan: Kita membayar suatu harga kepada mereka yang bekerja sebagai penjaja. Agaknya, apakah harga yang diingini oleh Allah yang merupakan Pemilik Harta yang Sebenar?
Jawapan: Ya, harga yang diingini oleh Pemberi Nikmat Hakiki daripada kita sebagai balasan kepada nikmat-nikmat dan harta-harta bernilai itu ialah tiga perkara: Satunya zikir, satunya syukur dan satunya fikir. Bismillah بِسْمِ اللّٰهِ pada permulaan ialah zikir. Alhamdulillah اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ pada penghujung ialah syukur. Manakala memikirkan dan menyedari bahawa nikmat-nikmat kehebatan penciptaan yang berharga itu merupakan mukjizat kekuasaan dan hadiah rahmat al-Ahad as-Samad pada pertengahan ialah fikir.
Sekiranya perbuatan mencium kaki seorang miskin yang telah membawakan kepadamu suatu hadiah yang bernilai daripada seorang raja tetapi tidak mengenali pemberi hadiah itu adalah kebodohan yang melampau, maka memuji pemberi-pemberi nikmat yang hanya pada zahir dan mencintai mereka tetapi melupakan al-Mun‘im al-Haqiqi (Pemberi Nikmat yang Hakiki) adalah kebodohan yang seribu kali ganda lebih teruk berbanding dengan sebelumnya.
Wahai nafsu! Jika engkau tidak mahu menjadi bodoh seperti ini, berilah atas nama Allah, ambillah atas nama Allah, mulakanlah atas nama Allah dan berusahalah atas nama Allah.
Wassalam.