Kilauan Kedua Puluh

396. Page

KILAUAN KEDUA PULUH

Tentang Keikhlasan

 

Sebenarnya Lam‘ah (kilauan) ini ialah Noktah Pertama bagi Masalah Kedua yang terdiri daripada lima noktah dalam Nota Ketujuh Belas bagi Lam‘ah Ketujuh Belas. Kerana kepentingannya, ia dijadikan Lam‘ah Kedua Puluh.

 

Catatan: Berbanding de­ngan tempat-tempat lain, suatu kemujuran yang wajar disyukuri bagi Isparta yang diberkati ialah perselisihan yang penuh persaingan antara ahli-ahli taqwa, ahli tarikat dan ahli ilmu tidak kelihatan di situ. Sebenarnya walaupun kasih sayang dan kesatuan sebenar yang diperlukan tiada, namun berbanding de­ngan tempat-tempat lain, perselisihan dan persaingan yang merugikan juga adalah tiada.

بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ

 إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللّٰهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ

أَلاَ لِلّٰهِ الدِّينُ الْخَالِصُ

Sesunguhnya kami menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) de­ngan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah de­ngan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Ingatlah, hanya kepunyaan Allahlah agama yang bersih (dari syirik). [1]

هَلَكَ النَّاسُ إِلاَّ الْعَالِمُونَ وَهَلَكَ الْعَالِمُونَ إِلاَّ الْعَامِلُونَ وَهَلَكَ الْعَامِلُونَ إِلاَّ الْمُخْلِصُونَ وَالْمُخْلِصُونَ عَلَى خَطَرٍ عَظِيمٍ

Telah binasa manusia melainkan mereka yang alim (berilmu). Dan telah binasa mereka yang berilmu melainkan mereka yang beramal. Dan telah binasa mereka yang beramal melainkan mereka yang ikhlas dan mereka yang ikhlas dalam bahaya yang besar. [2]


[1]    Az-Zumar, 2-3

 

[2]    Hadith: ‘Uqud az-Zabarjad. Jilid 2 muka surat, 324

 



397. Page

Ayat dan hadith di atas, kedua-duanya menunjukkan bahawa ikhlas ialah suatu asas yang sangat penting dalam agama Islam. Kami hanya akan menerangkan lima noktah (perkara) daripada nuktah (keterangan) tentang keikhlasan yang tidak terhitung ini.

Noktah Pertama: Satu soalan yang sangat penting dan menggerunkan.

Mengapakah semasa ahli dunia dan ahli ghaflah (lalai), hatta golongan sesat dan ahli nifak (munafik) bersatu tanpa berlaku persaingan, namun para agamawan, ilmuwan dan ahli tarikat yang merupakan ahli hak dan wifak (muafakat) pula masih bertelagah akibat persaingan? Ketika kesepakatan merupakan hak milik ahli wifak dan perselisihan merupakan kelaziman ahli nifak, mengapakah kebenaran ini telah berpindah ke sana dan kebatilan itu telah datang ke sini?

Jawapan: Kami akan menerangkan tujuh sebab daripada sebab yang sangat banyak bagi peristiwa dahsyat yang amat pedih dan tragis serta mampu menitiskan air mata ahli hamiyyah (mereka yang memelihara maruah) ini.

Sebab Pertama: Sebagaimana perselisihan ahli hak bukan kerana mereka tidak benar, kesepakatan ahli ghaflah juga bukan kerana mereka benar. Bahkan dalam lapisan hidup bermasyarakat seperti ahli dunia, ahli politik dan golongan terpelajar, tugas-tugas bagi golongan, jamaah dan kumpulan yang sibuk de­ngan kerja yang tertentu dan khidmat khas masing-masing telah ditentukan dan diagihkan. 

398. Page

Bahkan upah-upah maddi yang akan mereka peroleh sebagai balasan tugas-tugas tersebut dari sudut kehidupan serta

ganjaran-ganjaran maknawi yang akan mereka dapat daripada perhatian manusia[1] seperti pada sudut hubbul jah (cintakan kedudukan), kehormatan dan kemulia­an juga telah ditentukan dan dikhususkan. Maka perkongsian mereka bukan pada tahap yang boleh melahirkan permusuhan, perbalahan dan persaingan. Kerana itu walaupun mereka ini berada dalam maslak (jalan) yang seteruk mana sekalipun mereka masih boleh bersepakat antara satu sama lain.

Manakala ahli din, ashab ilmu (ahli ilmu) dan arbab tarikat (ahli tarikat) pula, sebagaimana tugas setiap mereka ini berkait de­ngan masyarakat umum, ganjaran segera mereka juga tidak ditentukan dan tidak dikhususkan dan kerana habuan setiap mereka pada kedudukan dalam masyarakat, pada perhatian manusia dan pada penerimaan yang baik juga tidak dikhususkan, maka terlalu ramai calon untuk satu kedudukan serta terlalu banyak tangan yang boleh dipanjangkan kepada setiap ganjaran maddi dan maknawi. Maka dari sudut itu permusuhan dan persaingan akan lahir lalu menggantikan wifak kepada nifak dan ittifak kepada ikhtilaf.


[1]   Peringatan: Perhatian manusia tidak boleh diminta bahkan diberi. Jika diberi sekalipun, ia tidak wajar disenangi. Jika ia disenangi, seseorang itu akan kehilangan ikhlas dan masuk kepada riya’. Manakala perhatian manusia yang datang de­ngan keinginan pangkat dan kehormatan bukanlah upah dan ganjaran bahkan suatu hukuman dan balasan akibat tiadanya keikhlasan. Ya, oleh sebab kelazatan yang sedikit dan sementara iaitu perhatian manusia, pangkat dan kehormatan yang sekadar ke pintu kubur itu merosakkan keikhlasan yang merupakan nyawa amalan soleh memperolehkan sesuatu yang tidak menyeronokkan seperti azab kubur sebagai balasan, maka kita sepatutnya tidak mengi­nginkan perhatian manusia bahkan kita perlu berasa ngeri dan menjauhkan diri daripadanya. Moga berdesinglah telinga para pengejar kemasyhuran dan mereka yang berlari di belakang kehormatan dan kemuliaan.

 



399. Page

Justeru penyembuh dan ubat bagi penyakit yang dahsyat ini ialah keikhlasan iaitu mengamalkan rahsia ayat إِنْ أَجْرِىَ إِلاَّ عَلَى اللّٰهِ[1] de­ngan cara mengutamakan kebenaran berbanding de­ngan mengutamakan sikap menurut nafsu dan de­ngan cara meletakkan kepentingan hak di atas kepentingan nafsu dan ana­niyyah (sifat pentingkan diri), serta mengamalkan rahsia ayat وَمَا عَلَى الرَّسُولِ إِلاَّ الْبَلاَغُ[2] de­ngan cara tidak menunggu-nunggu[3] ganjaran maddi dan mak­nawi yang datang daripada manusia. Lalu de­ngan meyakini bahawa sudut-sudut perolehan husnul qabul (penerimaan yang baik), husnut ta’sir (kesan yang baik) dan perhatian manusia merupakan tugas dan kurnia­an Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan tidak termasuk dalam tabligh yang menjadi tugasnya sendiri dan juga tidak perlu dan tidak dipertanggungjawabkan de­ngannya, maka dia akan mendapat keikhlasan. Jika tidak keikhlasannya akan hilang.


[1]   Yunus, 72

 

[2]   Al-Maidah, 99

 

[3]   Menjadikan sifat Itsar yang menyebabkan para sahabat mendapat pujian al-Quran sebagai pedoman, iaitu mengutamakan yang lain apabila menerima hadiah dan sedekah, meyakini bahawa manfaat maddi yang datang sebagai balasan khidmat agama adalah kurniaan Ilahi semata-mata tanpa menginginkan dan tanpa menuntutnya de­ngan hati serta tanpa merasa terhutang budi daripada manusia dan tidak mengambil apa-apa sebagai balasan khidmat agama. Ini kerana apa-apa pun tidak wajar diminta di dunia sebagai balasan khidmat agama supaya keikhlasan tidak hilang. Secara zahirnya mereka adalah berhak kerana sepatutnya masyarakat yang menanggung sara hidup mereka. Mereka juga berhak kepada zakat. Tetapi ia tidak boleh diminta bahkan diberi. Apabila diberi juga tidak boleh dikatakan sebagai upah khidmat. De­ngan cara mengutamakan orang lain yang lebih layak dan berhak ke atas diri sendiri menerusi sifat qana‘ah atau berpada sedaya mungkin dan de­ngan cara mengamalkan rahsia “ويُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ” seseorang itu akan terselamat daripada bahaya yang dahsyat ini dan dapat memperoleh keikhlasan.

 



400. Page

Sebab Kedua: Kesepakatan golongan sesat berpunca daripada kehinaan mereka manakala perselisihan ahli hidayah berpunca daripada kemuliaan mereka iaitu oleh sebab ahli dunia dan golongan sesat yang merupakan ahli ghaflah tidak bersandar kepada hak dan hakikat maka mereka adalah daif dan hina.

Kerana kehinaan, mereka perlu mendapatkan kekuatan. Kerana keperluan ini pula mereka akan berpegang de­ngan bersungguh-sungguh kepada bantuan dan kesepakatan yang lain. Walau jalan mereka sesat sekalipun, mereka tetap memelihara kesepakatan. Seolah-olah mereka adalah benar dalam kebatilan, ikhlas dalam kesesatan, taksub yang penuh kekufuran dalam sikap tidak beragama dan sepakat dalam kemunafikan lalu mereka berjaya. Ini kerana keikhlasan yang sejati, walaupun pada kejahatan akan membuahkan hasil. Ya, jika seseorang meminta de­ngan keikhlasan Allah akan memberi.[1]

Tetapi oleh sebab ahli hidayah dan agama, ahli ilmu dan tarikat bersandar kepada hak dan hakikat dan oleh sebab di jalan kebenaran setiap mereka hanya memikirkan Allah semata-mata lalu bergantung kepada taufiq-Nya, maka secara maknawinya terdapat kemuliaan bagi mereka yang datang dari jalan itu. Apabila mereka merasa daif, sebagai gantian manusia, mereka merujuk kepada Rabb dan meminta bantuan daripada-Nya.

[1]   Ya, “مَنْ طَلَبَ وَ جَدَّ وَجَدَ” yang bermaksud: “Sesiapa yang mahu dan dia bersungguh-sungguh maka dia akan memperoleh” adalah dustur kebenaran. Sifatnya yang menyeluruh dan keluasannya boleh merangkumi maslak kita juga.

 



401. Page

Maka disebabkan perbezaan masyrab (aliran) mereka tidak akan benar-benar merasai keperluan untuk saling membantu de­ngan mereka yang secara zahir berbeza masyrab-nya dan tidak akan merasa perlu kepada kesepakatan. Bahkan jika ada sifat mementingkan diri dan ananiyyah (sifat keakuan) de­ngan menyangka bahawa dirinya benar dan orang yang berbeza de­ngannya itu salah, sebagai ganti kesepakatan dan kasih-sayang, perselisihan dan persaingan akan menyelinap masuk. Dia akan kehilangan ikhlas dan tugasnya menjadi kucar-kacir.

Justeru, satu-satunya cara untuk tidak melihat natijah-natijah prasangka yang dilahirkan oleh sebab yang dahsyat ini dan untuk memperoleh keikhlasan serta untuk melaksanakan tanggungjawabnya de­ngan sempurna adalah melalui sembilan perkara berikut:

Melakukan tindakan yang positif iaitu de­ngan kasih sayang maslak sendiri. Jangan biarkan permusuhan dan kecaman pihak lain memasuki fikiran dan amalannya dan janganlah sibuk de­ngan mereka.

Memikirkan bahawa terdapat ikatan-ikatan kesatuan yang banyak dalam daerah keislaman yang boleh menjadi sumber kasih-sayang, persaudaraan dan kesepakatan tidak kira dalam masyrab mana sekalipun lalu bersepakat.


402. Page

Menjadikan dustur keinsafan sebagai pedoman iaitu setiap pemilik maslak yang benar (dari sudut tidak mengganggu maslak yang lain) adalah berhak dan boleh berkata “maslak saya adalah benar” ataupun “lebih baik”. Namun, sama sekali dia tidak boleh menyatakan “kebenaran itu hanyalah maslak saya” ataupun “yang baik itu hanyalah masyrab saya” de­ngan cara menunjukkan kebatilan ataupun kejelikan maslak lain.

Memikirkan bahawa bersepakat de­ngan ahli hak ialah sebab bagi taufiq Ilahi dan asas kemuliaan yang ada dalam agama.

Memahami bahawa apabila berhadapan de­ngan serangan golongan sesat dan batil melalui kebijaksanaan peribadi maknawi mereka yang kuat berbentuk jamaah (kerana bersandar antara satu sama lain), maka penentangan secara berseorangan yang paling kuat akan tewas di hadapan peribadi maknawi tersebut, lantas berusaha memelihara kebenaran de­ngan menonjolkan peribadi maknawi menerusi kesepakatan di pihak ahli hak untuk menghadapi peribadi maknawi kesesatan yang dahsyat itu.

Meninggalkan nafsu.

Meninggalkan sifat keakuan.

Meninggalkan sifat memuliakan diri yang disalah anggap.

Meninggalkan sifat suka bersaing yang tidak penting.[1]


[1]   Hatta, melalui hadith yang sahih, telah diriwayatkan bahawa sebagaimana para penganut Masihi (Kristian) yang be­nar-benar beragama akan bersatu de­ngan ahli Quran dan akan bertahan menentang golongan zindik yang merupakan musuh mereka bersama pada akhir zaman; pada zaman ini juga ahli agama dan ahli hakikat bukan hanya perlu bersatu de­ngan sahabat seagama, sama maslak dan sesaudara sahaja bahkan de­ngan cara tidak membicarakan perkara-perkara yang menjadi punca perselisihan sebagai tajuk perbincangan dan pertikaian; mereka perlu bersepakat de­ngan para ruhaniyyin Kristian yang benar-benar beragama untuk menghadapi golongan tidak beragama yang melampaui batas yang merupakan musuh mereka bersama.

 



403. Page

Perkara 6, 7, 8 dan 9 di atas adalah cara untuk menyelamatkan kebenaran daripada serangan kebatilan.

Sebab Ketiga: Perselisihan ahli hak bukanlah disebabkan oleh ketiadaan himmah (keazaman) serta kehinaan dan kesepakatan ahli kesesatan bukanlah berpunca daripada himmah yang tinggi. Perselisihan ahli hidayah berpunca daripada penyalahgunaan himmah yang tinggi manakala kesepakatan golongan sesat disebabkan oleh kedaifan dan kelemahan yang datang daripada ketiadaan himmah. Perkara yang mendorong ahli hidayah daripada ketinggian azam kepada penyalahgunaannya dan secara tidak langsung membawa kepada perselisihan serta persaingan ini muncul daripada sifat tamak pada pahala dan rasa tidak cukup dalam tugas ukhrawi yang dikira sebagai sifat terpuji dari sudut pandangan akhirat.

Yakni, de­ngan berkata “biarlah aku yang mendapat pahala ini” ataupun “biarlah aku yang membimbing insan-insan ini” atau “biarlah mereka mendengar kata-kataku” seseorang mengambil suatu keadaan yang penuh persaingan terhadap saudara sebenar yang di hadapannya dan kepada seseorang yang sangat berhajat kepada kasih-sayang, bantuan, persaudaraan dan pertolongannya. Daripada kata-kata seperti “me­ngapakah murid-muridku pergi ke sisinya?” ataupun “mengapakah aku tidak memiliki murid seramai muridnya?” sifat ananiyyah-nya mendapat peluang lantas mencenderungkannya kepada sikap hubbul jah yang merupakan akhlak mazmumah, lalu menghilangkan keikhlasan dan membuka pintu sifat riya’.


404. Page

Justeru, penawar bagi kesilapan, luka dan penyakit rohani yang parah ini ialah perkara berikut:

Keredhaan Allah diperoleh de­ngan keikhlasan, bukan de­ngan pengikut yang ramai dan kejayaan yang banyak. Oleh sebab perkara ini ialah tugas Ilahi ia tidak boleh diingini, tetapi kadang-kadang diberi.

Ya, kadang-kadang satu perkataan boleh menjadi sebab keselamatan dan punca keredhaan. Kepenti­ngan bilangan yang ramai sepatutnya tidak menjadi tumpuan sebanyak itu. Ini kerana kadang-kadang membimbing seseorang boleh menjadi punca keredhaan Ilahi bagaikan membimbing seribu orang. Keikhlasan dan sifat menyanjung kebenaran pula sentiasa berpihak kepada pengistifadahan muslim tidak kira dari mana dan siapa dia. Pemikiran seperti “biarlah mereka belajar daripada saya dan mendapatkan pahala untuk saya” adalah muslihat nafsu dan ananiyyah.

Wahai insan yang tamak kepada pahala dan tidak qana‘ah (sifat berpada) dalam amalan ukhrawi! Sesetengah Nabi yang diutuskan ke dunia tidak mempunyai pengikut selain beberapa orang yang boleh dikira, namun mereka tetap mendapat ganjaran yang tidak terhitung bagi tugas suci kenabian itu. 


405. Page

Maknanya, kemahiran bukanlah de­ngan ramainya pengikut. Bahkan kemahiran itu adalah de­ngan mendapat keredhaan Allah. Siapakah kamu sehingga melupakan tugasmu de­ngan berkata “semua orang perlu mendengar (kata-kata) saya!” lalu mencampuri urusan Ilahi de­ngan ketamakan sebegini? Urusan menjadikan kata-katamu diterima dan

menghimpunkan orang ramai di sekelilingmu adalah tugas Allah. Laksanakanlah tugasmu dan janganlah mencampuri urusan Allah. Tambahan pula, bukan manusia sahaja yang mendengar perkara-perkara yang hak dan hakikat dan memperolehkan pahala kepada yang berkata. Makhluk-makhluk Allah yang memiliki akal, para ruhaniyyin dan malaikat-Nya telah memenuhi alam semesta dan telah memeriahkan setiap penjuru. Memandangkan kamu inginkan pahala yang banyak, jadikanlah keikhlasan sebagai asas dan fikirkanlah keredhaan Allah semata-mata supaya setiap kalimah berkat di udara yang keluar daripada mulutmu dihidupkan dan dinyawakan de­ngan keikhlasan dan niat yang tulus lalu masuk ke dalam telinga-telinga makhluk yang memiliki perasaaan yang tidak terkira lalu meneranginya dan mendapatkan pahala bagi pihakmu. Ini kerana, contohnya apabila kamu menyebut اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ; de­ngan izin Ilahi kalimah ini bersama jutaan kalimah اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ yang kecil dan besar ditulis di udara. Oleh sebab an-Naqqashul Hakim tidak melakukan perkara yang sia-sia dan membazir, Dia telah menjadikan telinga-telinga yang sangat banyak supaya boleh mendengar kalimah-kalimah yang diberkati yang banyak itu. Sekiranya kalimah-kalimah di udara itu dihidupkan de­ngan keikhlasan dan niat yang tulus, ia akan memasuki telinga para ruhaniyyin seperti buah-buahan yang lazat. Sekiranya keredhaan Ilahi dan keikhlasan tidak memberi nyawa kepada kalimah-kalimah di udara itu, kalimah-kalimah itu tidak akan didengari. Pahala juga hanya terbatas kepada kalimah di dalam mulut. 


406. Page

Semoga berdesinglah telinga[1] para hafiz yang susah hati kerana pendengar yang sedikit dan suaranya yang tidak merdu!

Sebab Keempat: Sebagaimana ikhtilaf ahli hidayah yang penuh persaingan bukan disebabkan sikap tidak memikirkan akibat dan kecetekan pandangan, kesepakatan golongan sesat yang penuh kejujuran juga bukanlah disebabkan oleh memikirkan akibat dan oleh pandangan yang tinggi. Bahkan, walaupun ahli hidayah tidak dihanyutkan oleh perasaan nafsu yang buta akibat pengaruh hak dan hakikat, tetapi oleh sebab mereka tidak dapat memelihara istiqamah dan keikhlasan akibat mengikut kecenderungan hati dan akal yang resah memikirkan masa hadapan, maka mereka tidak dapat menjaga maqam yang tinggi itu lalu terjerumus ke dalam ikhtilaf.

Ahli kesesatan pula de­ngan pengaruh hawa nafsu dan de­ngan dorongan perasaan yang buta dan tidak melihat akibat serta sikap mengutamakan sedirham kelazatan segera berbanding de­ngan satu bathman (unit timbangan seberat 7.5 kilogram) kelazatan di masa hadapan; maka, demi manfaat dan kelazatan yang segera mereka bersepakat secara bersungguh-sungguh dalam keadaan yang erat antara satu sama lain.

Ya, di sekeliling kelazatan dan manfaat duniawi yang segera, para pemuja nafsu yang hina dan tiada perasaan bersepakat dan bersatu de­ngan erat.

[1]   Peribahasa Turki yang memberi maksud bahawa seseorang yang telinganya berdesing itu tahu bahawa sesuatu kata-kata itu ditujukan kepadanya.

 



407. Page

Oleh sebab ahli hidayah memberi tumpuan kepada buah-buah ukhrawi dan kesempurnaan yang merujuk kepada akhirat dan berhubung kait de­ngan masa hadapan melalui dustur hati dan akal yang tinggi, maka ketika suatu istiqamah yang berasas, keikhlasan yang sempurna dan kesatuan serta kesepakatan yang sangat memerlukan pengorbanan patut berlaku, namun oleh sebab mereka tidak dapat menjauhkan diri daripada ananiyyah dan akibat sikap ifrat dan tafrit (melampau), maka mereka kehilangan kesepakatan yang merupakan sumber kekuatan yang tinggi lalu keikhlasan turut rosak dan tugas-tugas ukhrawi juga turut tercedera. Maka keredhaan Allah tidak dapat diperoleh de­ngan mudah.

Ubat dan penawar bagi penyakit yang perlu diberi perhatian ini adalah memperoleh keikhlasan de­ngan cara merasa bangga kerana berdampingan de­ngan mereka yang berada di jalan kebenaran menerusi rahsia ayat اَلْحُبُّ ف۪ي اللّٰهِ, mengikut di belakang mereka, membiarkan sifat mulia keimaman kepada mereka, berundur daripada ananiyyah de­ngan menganggap bahawa sesiapa sahaja yang berada di jalan kebenaran adalah lebih baik daripada dirinya sendiri. Seterusnya de­ngan mengetahui bahawa suatu amalan seberat satu dirham yang dilakukan de­ngan keikhlasan adalah lebih utama berbanding de­ngan amalan tanpa keikhlasan yang seberat ribuan bathman dan de­ngan mengutamakan sikap mengikut berbanding sikap diikuti yang menjadi sebab pertanggungjawaban dan berbahaya.

408. Page

De­ngan demikian dia akan terselamat daripada penyakit tersebut dan memperoleh keikhlasan serta dapat melakukan tugas ukhrawi de­ngan sebe­nar-benarnya.

Sebab Kelima: Sebagaimana perselisihan ahli hidayah dan ketidak sepakatan mereka bukan disebabkan kelemahan, kesepakatan yang padu oleh golo­ngan sesat juga bukanlah daripada kekuatan mereka. Namun, sebagaimana ketidak sepakatan ahli hidayah muncul daripada noktah persandaran yang datang daripada iman yang sempurna dan kekuatan yang lahir daripada noktah persandaran, kesepakatan ahli ghaflah dan golongan sesat pula muncul daripada kedaifan dan kelemahan mereka kerana tidak dapat menemui noktah persandaran maknawi. Ini kerana, oleh sebab makhluk-makhluk yang daif berhajat kepada kesepakatan, maka makhluk-makhluk itu bersepakat de­ngan teguh. Oleh sebab mereka yang kuat tidak merasai keperluan untuk bersepakat, maka kesepakatan mereka itu lemah. Oleh sebab binatang-binatang seperti singa dan musang tidak berhajat kepada kesepakatan, binatang-binatang itu hidup bersendirian. Manakala untuk menyelamatkan diri daripada serigala, kambing-kambing liar membentuk suatu kawanan. Ini bermakna sebagaimana kesatuan dan peribadi maknawi mereka yang lemah adalah kuat,[1] kesatuan dan peribadi maknawi mereka yang kuat pula adalah lemah.


[1]    Kedudukan persatuan hak asasi dan kebebasan wanita yang diasaskan oleh para wanita - iaitu golongan yang fitrahnya adalah lembut, daif dan rapuh - di Amerika sebagai golongan paling dahsyat, paling berpengaruh dan paling kuat pada satu sudut dalam kesatuan Eropah serta kesanggupan yang kuat untuk berkorban yang ditunjukkan oleh bangsa Armenia yang lemah dan sedikit (bilangannya) berbanding de­ngan bangsa-bangsa lain di dunia menguatkan dakwaan kami ini.

 



409. Page

Satu isyarat yang latif (halus) dan nuktah Qurani yang zarif (cantik) kepada rahsia di atas ialah Allah Taala telah berfirman: وَ قَالَ نِسْوَةٌ ف۪ى الْمَدِينَةِ[1]  yang mana Dia menyebut قَالَ yang merupakan fi‘il mu­zakkar (kata kerja untuk lelaki) kepada kumpulan muannas (melalui kalimah نِسْوَةٌ ) walaupun kalimah tersebut adalah dua kali ganda muannas dan dalam firman-Nya وَ قَالَتِ الْأَعْرَابُ[2] de­ngan ungkapan قَالَتْ yang merupakan fi‘il muannas (kata kerja untuk perempuan) kepada kumpulan muzakkar, secara latif mengisyaratkan bahawa:

Kumpulan para wanita yang daif, halim dan lembut menjadi kuat dan mendapat kekerasan dan kekuatan lalu mereka memperoleh sedikit raju­liyyah (sifat kelelakian). Oleh sebab ia melazimkan fi‘il muzakkar, maka ungkapan  وَ قَالَ نِسْوَةٌadalah sangat cantik dan bertepatan. Manakala bagi para lelaki, terutamanya jika mereka adalah orang Badwi atau Arab; oleh sebab mereka bergantung pada kekuatan mereka sendiri, maka kumpulan mereka menjadi daif lalu akibat bersikap lebih berhati-hati dan berlembut, kerana mereka menunjukkan sedikit sifat kewanitaan serta kerana ia melazimkan fi‘il muannas, de­ngan mengatakanقَالَتِ الْأَعْرَابُ  menerusi fi‘il muannas, maka ung­kapannya menjadi tepat.


[1]    Yusuf, 30

 

[2]    Al-Hujurat, 14

 



410. Page

Ya, melalui tawakkal dan taslim (penyerahan diri) yang datang daripada noktah sandaran yang sangat kuat iaitu al-imanu billah (keimanan kepada Allah), maka ahli hak tidak akan menunjukkan keperluan kepada yang lain dan meminta bantuan dan pertolongan mereka. Kalau meminta sekalipun mereka tidak akan berpegang kepadanya secara penuh kerelaan. Manakala bagi ahli dunia, oleh sebab mereka lalai daripada noktah persandaran sebenar mereka dalam urusan dunia, mereka jatuh ke dalam kedaifan dan kelemahan lalu merasakan keperluan yang bersangatan kepada para pembantu. Maka mereka bersepakat de­ngan erat bahkan berserah sehingga sanggup berkorban. Justeru oleh sebab ahli hak tidak memikirkan dan mencari kekuatan sebenar dalam kesepakatan, mereka terjerumus ke dalam ikhtilaf yang merupakan natijah yang batil dan berbahaya. Manakala oleh sebab ahli kesesatan yang batil merasai kekuatan kesepakatan melalui kelemahan mereka, maka mereka berjaya memperoleh kesepakatan yang merupakan suatu wasilah tujuan yang sangat penting.

Justeru ubat dan penawar bagi penyakit ikhtilaf yang batil bagi ahli hak ini adalah menjadikan lara­ngan keras Allah dalam ayat وَلاَ تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ[1]  dan perintah Ilahi yang sangat berhikmah bagi kehidupan bermasyarakat dalam ayat وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى[2] sebagai dustur tindakan; memikirkan betapa bahayanya ikhtilaf kepada Islam dan betapa ia memudahkan kemenangan kepada golongan sesat ke atas ahli hak; menyertai golongan ahli hak tersebut secara sanggup berkorban dan setia de­ngan penuh kedaifan dan kelemahan; serta mendapat keikhlasan de­ngan cara membebaskan diri daripada riya’ dan kepura-puraan de­ngan melupakan kepentingan peribadi.


[1]    Al-Anfal, 46

 

[2]    Al-Maidah: 2

 



411. Page

Sebab Keenam: Sebagaimana ikhtilaf ahli hak tidak berlaku kerana ketidakjujuran, ketiadaan himmah dan ketiadaan hamiyyah (sifat menjaga maruah) mereka, kesepakatan yang erat bagi ahli dunia dan golongan sesat yang lalai dalam urusan-urusan duniawi juga bukanlah berpunca daripada kejujuran, hamiyyah dan himmah mereka. Bahkan de­ngan sering memikirkan faedah-faedah akhirat, maka ha­miyyah, himmah dan kejujuran ahli hak itu terbahagi kepada pelbagai masalah yang penting dan banyak itu. Oleh sebab ahli hak tidak membelanjakan waktu yang merupakan modal hakiki kepada satu masalah, kesepakatannya de­ngan sahabat-sahabat yang sama maslak menjadi tidak kukuh. Ini kerana masalah adalah banyak dan lingkungan juga adalah luas

Manakala oleh sebab ahli dunia yang lalai hanya memikirkan kehidupan dunia dalam keadaan yang rakus, mereka mendakap masalah-masalah yang bersangkut paut de­ngan kehidupan dunia de­ngan seluruh perasaan, roh dan hati mereka. Maka mereka berpaut de­ngan kuat kepada orang yang membantu mereka dalam masalah tersebut.

Mereka memperuntukkan masa yang bernilai lima ratus ringgit kepada masalah yang tidak bernilai walaupun lima sen pada noktah pandangan hakikat dan tidak diberikan nilai walaupun sepuluh sen oleh ahli hak. Perbuatan mereka adalah sama seperti seorang tukang emas Yahudi yang gila yang membayar lima ringgit kepada serpihan kaca bernilai lima sen.


412. Page

Walaupun berada di jalan kebatilan, namun oleh sebab perbuatan membayar harga sebanyak ini dan mendakapnya de­ngan penuh perasaan adalah keikhlasan yang sejati, maka sudah tentu mereka berjaya dalam masalah tersebut dan dapat mengalahkan ahli hak. Natijah daripada kemenangan ini, ahli hak menjadi hina, dikuasai, berpura-pura dan riya’ lalu kehilangan keikhlasan. Maka mereka terpaksa mengampu sesetengah ahli dunia yang bacul, tiada himmah dan tiada hamiyyah itu.

Wahai ahli hak! Wahai ahli syariat, ahli hakikat dan ahli tarikat yang menyanjung kebenaran! Jangan­lah kalian melihat kekurangan satu sama lain ketika menghadapi penyakit ikhtilaf yang parah ini. Pejamkanlah mata kalian terhadap keaiban masing-masing! Beradablah de­ngan adab al-Furqan وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا[1]. Bersatulah de­ngan teman-teman yang sama maslak dan saudara-saudara seagama kalian dalam bentuk yang lebih kuat berbanding de­ngan ahli dunia secara sepenuh hati. Jadikanlah amalan meninggalkan perbalahan dalaman kalian ketika diserang musuh dari luar dan menyelamatkan ahli hak daripada kejatuhan dan kehinaan sebagai tugas ukhrawi yang paling utama dan terpenting. Hidupkanlah ukhuwwah, kasih sayang dan ta‘awun yang sangat diperintahkan oleh ratusan ayat al-Quran dan hadith nabawi! Yakni janganlah kalian jatuh ke dalam ikhtilaf!


[1]    Al-Furqan, 72

 



413. Page

Janganlah kalian melemahkan kesepakatan ini de­ngan berkata “aku akan memanfaatkan waktuku yang sangat penting itu de­ngan perkara-perkara yang berguna seperti zikir dan fikir berbanding de­ngan menghabiskan waktuku yang bernilai itu untuk masalah-masalah kecil seperti ini!” Ini kerana dalam jihad maknawi, perkara yang kalian anggap kecil boleh menjadi sangat besar. Kadang-kadang,

sebagaimana tugas pengawasan seorang askar di bawah keadaan-keadaan tertentu dalam tempoh satu jam yang penting dikira sebagai setahun ibadah, pada zaman kekalahan ahli hak ini, dalam urusan-urusan mujahadah maknawi, satu hari berhargamu yang dihabiskan untuk suatu perkara yang kecil boleh mendapat nilai seribu kali ganda seperti tempoh satu jam tugasan askar tersebut. Satu harimu boleh menjadi seribu hari.

Memandangkan ia adalah لِوَجْهِ اللّٰهِ (kerana Allah), kecil atau besar dan penting atau tidak kerja tersebut tidak dipandang. Di jalan keikhlasan dan keredhaan Ilahi, zarah menjadi seperti bintang. Ia tidak dipandang kepada perihal wasilahnya tetapi dipandang kepada natijahnya. Memandangkan natijahnya ialah keredhaan Allah dan asasnya ialah keikhlasan; ia bukanlah kecil tetapi besar.  


414. Page

Sebab Ketujuh: Sebagaimana ikhtilaf dan persaingan ahli hak dan hakikat tidak datang daripada rasa cemburu dan sikap tamakkan dunia, kesepakatan ahli dunia dan ahli ghaflah juga bukanlah daripada kejujuran dan ketinggian akhlak. Bahkan oleh sebab ahli hakikat tidak dapat benar-benar memelihara ketinggian akhlak dan ketinggian himmah yang datang daripada hakikat dan perlumbaan yang dipuji dalam jalan kebenaran dan oleh sebab mereka menyalahgunakannya akibat kemasukan mereka yang bukan ahli, mereka terjerumus ke dalam ikhtilaf yang penuh persaingan lalu ia menjadi kemudaratan yang utama kepada diri mereka sendiri dan kepada jamaah Islam.

Ahli ghaflah dan golongan sesat pula, kerana kehinaan, ketidakjujuran dan ketiadaan sifat hamiyyah mereka, supaya tidak kehilangan manfaat-manfaat yang didamba oleh mereka dan supaya para ketua dan sahabat yang disanjungi mereka demi manfaat itu tidak memutuskan hubungan, mereka bersatu secara ikhlas de­ngan seluruh rakan-rakan mereka walaupun mereka keji, pengkhianat dan memudaratkan. Ini kerana, mereka yang berkerumun di sekitar manfaat bersepakat secara bersungguh-sungguh de­ngan para sekutu mereka dalam apa jua keadaan sekalipun. Maka, sebagai natijah kesungguhan itu, mereka mendapat manfaat.

Justeru, wahai ahli hak dan ashab hakikat yang telah jatuh ke dalam musibah dan ikhtilaf! Oleh sebab kalian telah kehilangan ikhlas pada zaman musibah ini dan kerana kalian tidak menjadikan hanya kere­dhaan Ilahi sebagai tujuan matlamat, maka kalian telah menyebabkan ahli hak menjadi hina dan kalah. Sepatutnya persaingan, ghibtah (hasad yang dibenarkan), hasad dan cemburu dalam urusan agama dan ukhrawi tidak patut berlaku dan tidak boleh ada pada noktah pandangan hakikat. Ini kerana sifat cemburu dan hasad berpunca daripada banyak tangan dihulurkan kepada satu benda, banyak mata dipacakkan kepada satu kedudukan dan banyak perut mahu kepada sebuku roti. Lantas akibat permusuhan, perbalahan dan perlumbaan, mereka terjerumus ke dalam perbuatan ghibtah dan seterusnya sifat cemburu. Oleh sebab terlalu ramai yang menghendaki benda yang sama di dunia dan kerana dunia adalah sempit dan sementara, maka ia tidak dapat memuaskan kehen­dak-kehendak insan yang tidak terkira lalu mereka terjebak ke dalam kancah persaingan.

415. Page

Tetapi melalui isyarat pengurniaan sebuah syurga yang seluas lima ratus tahun kepada seorang insan,[1] penganugerahan tujuh puluh ribu mahligai dan

bidadari serta kegembiraan de­ngan penuh keredhaan daripada habuan setiap ahli syurga di akhirat, diperlihatkan bahawa di akhirat tiada punca persaingan.

[1]    Satu soalan yang penting daripada satu pihak. Terdapat dalam hadith bahawa di syurga, sebuah taman syurga seluas lima ratus tahun diberikan kepada seseorang. Bagaimanakah hakikat ini boleh difahami oleh akal duniawi?

Jawapan: Sebagaimana setiap orang memiliki sebuah dunia yang khusus dan sementara seluas dunia di dunia, sebagaimana tiang bagi dunia itu ialah kehidupannya lalu dia boleh beris­tifadah daripada dunianya melalui perasaan-perasaan zahir dan batinnya dan boleh berkata “matahari ialah lampuku” dan “bebintang ialah lilin-lilinku,” serta sebagaimana kewujudan makhluk dan pemilik roh yang lain tidak menjadi penghalang kepada kepemilikan orang itu, sebaliknya mereka memeriahkan dan menghiasi dunianya yang khusus itu; maka sama seperti itu juga, bahkan ribuan kali ganda lebih tinggi daripada itu, selain daripada taman yang khas yang mengandungi ribuan mahligai dan bidadari di syurga, setiap mukmin memiliki syur­ga khusus yang seluas lima ratus tahun selain daripada syurga yang umum. Dia boleh beristifadah dalam bentuk yang sesuai de­ngan syurga dan keabadian melalui deria-derianya yang terbuka berdasarkan martabatnya. Sebagaimana penyertaan yang lain tidak mengurangkan kepemilikan dan istifadahnya, mereka turut memberikan kekuatan. Mereka menghiasi syurganya yang khusus dan luas. Ya sebagaimana manusia beristifadah daripada sebuah taman seluas satu jam, persiaran seluas satu hari, sebuah negeri seluas sebulan dan pengembaraan selama setahun di sebuah tempat perjalanan di dunia ini menerusi mulut, telinga, mata, perasaan, rasa dan seluruh derianya, sama seperti itu juga deria bau dan rasa di negeri fana ini yang hanya beristifadah daripada sebuah taman seluas satu jam akan melakukan istifadah yang sama di sebuah taman seluas setahun di negara baqa’ itu. Manakala deria penglihatan dan pendengaran yang hanya boleh beristifadah daripada sebuah tempat persiaran seluas setahun akan beristifadah daripada perjalanan di tempat persiaran seluas lima ratus tahun di sana dalam bentuk yang sesuai de­ngan negara hebat yang indah berhias dari hujung ke hujung itu. Setiap mukmin akan mengecap, menikmati kelazatan dan beristifadah melalui deria-derianya yang terbentang dan terbuka menurut martabatnya serta menurut pahala dan amal kebajikan yang diperolehinya di dunia.



416. Page

Persaingan juga tidak boleh berlaku. Jika begitu, dalam amalan soleh yang merujuk kepada akhirat juga, persaingan tidak boleh berlaku dan ia bukanlah tempat untuk berasa cemburu. Orang yang cemburu, sama ada dia riya’ kerana mencari natijah duniawi melalui amalan soleh ataupun dia benar-benar jahil kerana tidak tahu ke manakah hala amalan soleh dan dia tidak menyedari bahawa keikhlasan ialah roh dan asas bagi amalan soleh. De­ngan membawa sejenis permusuhan terhadap para wali Allah melalui persaingan, dia menyalahkan keluasan rahmat Ilahi.

Peristiwa yang menyokong hakikat ini: Seorang daripada sahabat lama kami telah bermusuh de­ngan seseorang. Terhadapnya, musuhnya itu telah disifatkan de­ngan penuh pujian sebagai orang yang beramal soleh hatta bersifat kewalian. Namun orang itu tidak cemburu dan perasaannya tidak terganggu. Kemudian seseorang berkata: “Musuh kamu itu berani dan kuat.” Kami melihat bahawa suatu rasa persaingan dan perasaan sangat cemburu telah lahir pada orang itu. Kami berkata kepadanya: “Kewalian dan kesolehan adalah kekuatan dan ketinggian seperti permata kehidupan abadi yang tiada hujungnya. Kamu tidak cemburu pada sudut ini. Jika dinisbahkan kepada kewalian dan kesolehan, kekuatan dan keberanian duniawi itu adalah seperti nisbah satu serpihan kaca biasa de­ngan permata kerana kekuatan duniawi turut terdapat pada lembu jantan dan keberanian terdapat pada binatang liar. Orang itu berkata: “Kami berdua telah memacakkan mata kepada satu noktah dan satu maqam di dunia ini. Untuk naik ke sana, anak-anak tangga kami ialah perkara-perkara seperti kekuatan dan keberanian. Kerana itulah saya berasa cemburu. Maqam-maqam akhirat adalah tidak berpenghujung. Walaupun dia adalah musuh saya di sini, di sana dia boleh menjadi kekasih dan saudara saya yang sejati.”


417. Page

Wahai ahli hak dan tarikat! Khidmat kepada kebenaran adalah ibarat membawa dan menjaga harta karun yang besar dan berat. Keadaan ini akan lebih disukai dan disenangi sekiranya lebih banyak tangan yang gagah berlari membantu mereka yang memikulnya di bahu. Ketika kita sepatutnya tidak merasa cemburu bahkan bertepuk tangan de­ngan rasa bangga menerusi kasih sayang yang sangat sejati ke atas kekuatan yang semakin bertambah dan kesan-kesan serta bantuan-bantuan yang semakin banyak daripada diri mereka yang datang itu, mengapakah

saudara-saudara hakiki dan pembantu-pembantu yang sanggup berkorban itu dipandang de­ngan penuh persaingan sedangkan de­ngan hal tersebut keikhlasan hilang? Maka kalian akan ditohmah dalam tugas kalian. Pada pandangan golongan sesat, kalian terdedah kepada tuduhan-tuduhan dahsyat seperti mendapatkan dunia melalui agama, menyara hidup de­ngan ilmu hakikat dan bersaing di jalan ketamakan dan kehalobaan yang seratus kali lebih rendah daripada kalian dan daripada maslak kalian.

Satu-satunya penyembuh kepada penyakit ini adalah de­ngan cara menyalahkan diri sendiri dan sentiasa menyokong teman maslak yang berada di hadapanmu bukan menyokong diri sendiri. Dustur kebenaran dan keinsafan di kalangan ulama ilmu akhlak dan ilmu munazarah ialah perkara berikut: Sekiranya seseorang menyokong tertegaknya kebena­ran kata-kata sendiri dalam perdebatan lalu bergembira kerana dia adalah benar, dan berasa gembira de­ngan kebatilan dan kesilapan seterunya maka dia adalah seorang yang tidak insaf. 

418. Page

Dia juga kerugian. Ini kerana apabila dia muncul sebagai orang yang benar, dia tidak mempelajari sesuatu yang tidak diketahuinya dalam perdebatan tersebut dan menjadi rugi de­ngan kemungkinan lahirnya sifat sombong. Sekiranya kebenaran muncul di pihak lawannya, dia mempelajari perkara yang tidak memudaratkan dan tidak diketahuinya lalu mendapat manfaat dan akan terselamat daripada kesombongan nafsu. Maknanya demi kebenaran, penyanjung kebenaran yang insaf mematahkan kemahuan nafsunya. Sekiranya dia melihat kebenaran di tangan lawannya, dia tetap menerimanya de­ngan redha, kemudian dia menyokongnya dan akan berasa gembira.

Justeru, sekiranya ahli din, ahli hakikat, ahli tarikat dan ahli ilmu menjadikan dustur ini sebagai pedoman, mereka akan memperoleh keikhlasan. Mereka akan berjaya dalam tugas-tugas ukhrawi mereka. Mereka akan terselamat daripada kejatuhan dan musibah semasa yang teruk ini de­ngan rahmat Ilahi.

سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ