NAVIGATION
496. Page
KILAUAN KEDUA PULUH EMPAT
(Mengenai Penutupan Aurat)
Sebenarnya Risalah ini ialah Masalah Kedua dan Ketiga bagi Nota Kelima Belas. Kerana Kepentingannya ia Menjadi Lam’ah Kedua Puluh Empat
بسم الله الرحمن الرحيم
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Wahai Nabi, katakanlah kepada para isteri, anak perempuanmu dan isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka supaya mereka lebih mudah dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Al-Ahzab: 33:59
Ayat di atas memerintahkan penutupan aurat. Manakala kemodenan yang mungkar pula bertentangan dengan hukum al-Quran ini. Ia tidak melihat penutupan aurat sebagai fitrah bahkan
497. Page
mengatakannya sebagai pemenjaraan.[1]
Jawapan: Kami akan menerangkan hanya empat hikmah daripada banyak hikmah yang mengisyaratkan bahawa hukum al-Quranul Hakim ini adalah bersandarkan fitrah yang sebenar dan perkara sebaliknya adalah tidak berdasarkan fitrah.
Hikmah Pertama
Penutupan aurat adalah perkara fitrah untuk para wanita dan fitrah mereka mewajarkannya. Ini kerana para wanita adalah lemah dan rapuh. Dari segi fitrah, mereka berhajat kepada perlindungan dan bantuan seorang lelaki yang akan melindungi mereka dan anak-anak mereka yang dicintai lebih daripada diri dan kehidupan mereka sendiri. Oleh sebab itu, supaya diri mereka dicintai dan tidak dibenci dan tidak terdedah kepada layanan yang buruk, mereka memiliki suatu kecenderungan fitrah.
[1] Petikan di bawah adalah secebis pembelaan bagi Layiha-i Tamyiz (cadangan rayuan) yang ditulis kepada mahkamah dan telah membuatkan mahkamah terdiam: “Maka aku juga berkata kepada mahkamah, satu keputusan zalim yang menghukum seseorang yang menafsirkan perlembagaan Ilahi yang paling suci dan benar di dalam kehidupan bermasyarakat mereka bagi tiga ratus lima puluh juta orang manusia pada setiap kurun selama seribu tiga ratus lima puluh tahun dengan bersandarkan kepada pembenaran dan kesepakatan tiga ratus lima puluh ribu kitab tafsir serta berpandukan akidah nenek moyang kita dalam tempoh seribu tiga ratus lima puluh tahun ini, maka sekiranya ada keadilan di atas muka bumi, nescaya ia akan menolak dan menyanggah hukuman ini.
498. Page
Malahan, daripada sepuluh orang wanita, enam atau tujuhnya adalah tua ataupun tidak cantik maka mereka tidak mahu memperlihatkan ketuaan dan ketidakcantikan mereka kepada semua orang. Sama ada cemburu kerana tidak mahu dirinya kelihatan tidak cantik berbanding dengan wanita yang jauh lebih cantik daripadanya ataupun kerana takut daripada pencerobohan dan tuduhan, supaya tidak terdedah kepada gangguan ataupun tidak dituduh sebagai pengkhianat pada pandangan suaminya, maka secara fitrahnya, wanita memerlukan hijab. Hatta jika diperhatikan, mereka yang paling banyak menyembunyikan diri ialah wanita-wanita tua. Daripada sepuluh orang hanya terdapat dua atau tiga orang sahaja yang muda, cantik dan tidak risau untuk memperlihatkan kecantikan diri.
Adalah dimaklumi bahawa manusia akan tertekan dan terkesan dengan pandangan orang-orang yang tidak disukai dan dibencinya.
Sudah tentu, walaupun seorang wanita cantik yang memakai pakaian yang mendedahkan aurat menyukai pandangan tiga orang daripada sepuluh orang lelaki ajnabi, namun wanita itu berasa terganggu daripada (pandangan) tujuh atau lapan orang yang lain.
Malah, oleh sebab seorang wanita cantik yang beradab dan belum rosak akhlaknya adalah rapuh dan mudah terkesan, maka sudah tentu dia merasa tertekan daripada pandangan-pandangan jijik yang secara maddi kesannya memang dirasai bahkan meracuni.
499. Page
Hatta kita mendengar bahawa ramai wanita di Eropah yang merupakan tempat pendedahan aurat merasa tertekan dengan perhatian tersebut lalu mereka mengadu kepada polis dengan berkata: “Lelaki-lelaki keji itu mengurung kami dalam ‘penjara mata’[1] mereka dan menggusarkan kami.” Maknanya, pengabaian hijab oleh kemodenan adalah menyalahi fitrah.
Di samping perintah penutupan aurat oleh al-Quran ini adalah fitrah, ia turut menyelamatkan para wanita yang sepatutnya menjadi sumber kasih-sayang dan teman abadi yang berharga itu daripada kejatuhan, kehinaan, keterpenjaraan dan kesengsaraan maknawi. Malah dalam diri para wanita terdapat perasaan takut dan gerun secara fitrah terhadap lelaki ajnabi. Perasaan risau pula secara fitrahnya mewajarkan penutupan aurat. Ini kerana di samping bersusah payah menanggung bebanan anak yang berat selama lapan atau sembilan bulan yang sememangnya amat menyakitkan hasil daripada keseronokan yang selama lapan atau sembilan minit, terdapat juga kebarangkalian untuk wanita ditimpa musibah penjagaan seorang anak tanpa pelindung selama lapan ke sembilan tahun hasil keseronokan haram yang selama lapan atau sembilan minit itu. Oleh sebab ia telah banyak terjadi, maka sudah tentu fitrahnya benar-benar amat takut daripada lelaki-lelaki ajnabi dan tabiatnya mahu menjauhkan dirinya daripada mereka.
[1] Memandang kami secara berterusan.
500. Page
Melalui penutupan aurat, fitrahnya yang daif akan mengarahkan dan kerap memperingatkan supaya tidak membuka keinginan lelaki ajnabi dan tidak memberikan ruang kepada pencerobohan mereka, serta memperlihatkan bahawa jilbabnya adalah perisai dan kubunya. Berdasarkan apa yang aku dengar, peristiwa seorang pencelup kasut yang sangat rendah kedudukannya secara terang-terangan menggoda isteri seorang pembesar yang berpangkat tinggi dari segi keduniaan yang mendedahkan betisnya di hadapan mata penduduk di siang hari, di pasar dan di tengah-tengah pusat bandar dan ibu negara menampar muka orang-orang yang tidak malu yang menentang penutupan aurat.
Hikmah Kedua
Kaitan, kasih-sayang dan hubungan yang sangat kukuh dan kuat di antara wanita dan lelaki tidak datang daripada keperluan kehidupan duniawi semata-mata. Ya, seorang wanita bukanlah seorang teman hidup suaminya yang khusus kepada kehidupan dunia sahaja bahkan teman hidup dalam kehidupan abadi juga. Memandangkan dia akan turut menjadi teman hidup suaminya dalam kehidupan abadi, sudah tentu dia sepatutnya tidak menarik pandangan yang lain kepada kecantikan dirinya selain daripada pandangan suaminya yang merupakan teman dan sahabat abadinya, tidak menyakitkan hati dan tidak membangkitkan rasa cemburunya.
501. Page
Hubungannya dengan suaminya yang mukmin berdasarkan rahsia keimanan adalah tidak terbatas hanya untuk kehidupan duniawi dan bukanlah rasa cinta sementara yang seperti haiwan dan hanya terkhusus kepada waktu cantiknya sahaja. Bahkan perhubungannya adalah berhubungkait dengan mahabbah dan penghormatan yang berasas dan sejati iaitu sebagai teman hidup dalam kehidupan akhirat juga. Malahan bukan hanya di masa muda dan semasa cantik bahkan menunjukkan penghormatan dan mahabbah yang sejati itu pada masa tua dan juga ketika tidak lagi kelihatan menarik. Oleh sebab itu, sudah tentu sebagai balasan kepada penghormatan dan mahabbah yang sejati itu, pengkhususan kecantikannya untuk pandangan suami dan pembatasan mahabbah kepada suami oleh isteri juga adalah kehendak keinsanan. Jika tidak, sangat sedikit keuntungannya dan sangat banyak pula kerugiannya.
Malah menurut syarak, suami perlu sekufu dengan isteri yakni perlu sepadan dengan satu sama lain. Kekufuan dan kesetaraan yang paling penting adalah dari segi agama.
Berbahagialah si suami yang memandang agama isterinya lalu menirunya. Untuk tidak kehilangan temannya dalam kehidupan abadi dia menjadi soleh. Bertuahlah si isteri yang memandang agama suaminya lalu dengan berkata aku tidak mahu kehilangan teman abadiku dia memasuki ketaqwaan.
Celakalah si suami yang memasuki kemungkaran yang boleh menghilangkan isterinya yang solehah buat selama-lamanya. Alangkah malangnya si isteri yang tidak meniru suaminya yang bertaqwa lalu kehilangan teman abadinya yang mulia itu.
502. Page
Ribuan kecelakaan kepada kedua-dua suami isteri malang yang meniru kefasikan dan kemungkaran satu sama lain dan saling membantu satu sama lain untuk dicampakkan ke dalam api (neraka).
Hikmah Ketiga
Kebahagiaan hidup sesebuah keluarga akan berterusan dengan sikap saling mempercayai, rasa hormat-menghormati dan mahabbah yang sejati di antara suami dan isteri. Perbuatan tidak menutup aurat dan mendedahkannya akan turut merosakkan kepercayaan itu dan memusnahkan sikap saling menghormati dan mengasihi itu juga. Ini kerana daripada sepuluh orang wanita yang memakai ‘sarung pendedahan aurat’, hanya seorang sahaja yang tidak pernah berusaha mempercintakan dirinya kepada lelaki ajnabi kerana dia tidak menganggap lelaki lain lebih baik daripada suaminya. Manakala sembilan yang lain menganggap lelaki lain lebih baik daripada suaminya. Manakala hanya seorang daripada dua puluh lelaki tidak menganggap wanita lain lebih cantik daripada isterinya. Maka pada waktu itu, di samping sikap saling mengasihi dan menghormati yang sejati itu hilang, ia boleh menjadi sebab kepada bangkitnya perasaan yang sangat buruk dan keji.
Ia adalah seperti berikut: Secara fitrahnya lelaki tidak akan mempunyai syahwat terhadap wanita yang mahram seperti adik-beradik perempuannya. Ini kerana rupa paras mahramnya merasakan kasih-sayang dan mahabbah yang halal pada sudut kekeluargaan dan kemahraman. Ia mematahkan kecenderungan nafsu dan syahwat.
503. Page
Tetapi membiarkan tempat-tempat yang tidak wajar diperlihatkan menurut syarak terdedah walaupun kepada mahram seperti paha, maka menurut nafsu yang hina, ia boleh menjadi sebab kepada bangkitnya suatu perasaan yang sangat jijik. Ini kerana raut wajah mahram boleh memberitahu tentang kemahraman dan tidak akan menyerupai yang bukan mahram. Tetapi sebagai contoh, paha mahram yang terdedah adalah sama dengan yang (paha orang yang) bukan mahram. Oleh sebab tidak terdapat tanda pembeza yang boleh mengkhabarkan kemahraman padanya, maka ia mungkin membangkitkan pandangan nafsu kebinatangan pada sebahagian orang yang hina. Pandangan yang sebegini pula adalah suatu kemerosotan manusiawi yang boleh meremangkan bulu roma.
Hikmah Keempat
Memang dimaklumi bahawa semua orang mahu meramaikan zuriat. Tidak ada satu bangsa dan negara pun yang tidak menyokong usaha meramaikan keturunan. Hatta Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam telah bersabda: تَنَاكَحُوا تَكَاثَرُوا فَاِنِّى اُبَاهِى بِكُمُ الْاُمَمَ, yang bermaksud: “Bernikah dan ramaikanlah bilangan kalian. Sesungguhnya aku akan berbangga dengan keramaian kalian di padang mahsyar.”
Sedangkan larangan penutupan aurat pula tidak memperbanyakkan perkahwinan bahkan sangat mengurangkannya. Ini kerana pemuda yang paling jahat dan moden juga mahukan teman hidup yang bermaruah.
504. Page
Oleh sebab dia tidak mengingini wanita yang moden yakni yang membuka aurat seperti dirinya, maka dia akan kekal membujang dan mungkin juga cenderung melakukan maksiat. Wanita tidak seperti itu, dia tidak boleh menguasai suaminya seperti itu. Oleh sebab dia dipertanggungjawabkan untuk memelihara semua harta, anak-anak dan semua milik suaminya dengan jawatannya sebagai pengurus hal-ehwal dalaman dalam kehidupan berkeluarganya, maka sifat wanita yang paling dasar ialah kesetiaan dan kebolehpercayaan. Manakala pendedahan aurat pula merosakkan kesetiaan ini dan menghilangkan kebolehpercayaan pada pandangan suaminya lalu menimpakan kesengsaraan sanubari ke atasnya. Hatta oleh sebab sekiranya keberanian dan kedermawanan yang merupakan dua sifat terpuji pada lelaki terdapat pada para wanita boleh memudaratkan kepercayaan dan kesetiaan ini, maka ia adalah daripada akhlak yang buruk dan dikira sebagai sifat yang tidak elok. Manakala tugas suaminya terhadapnya bukanlah menjaga harta dan setia kepadanya bahkan melindungi, menyayangi dan menghormatinya. Kerana itu, kehendak si suami tidak boleh disekat. Dia boleh menikahi wanita-wanita lain juga.
Negara kita tidak boleh dibandingkan dengan Eropah. Ini kerana di sana kehormatan masih boleh dipelihara melalui cara yang sangat keras seperti pertarungan walaupun aurat didedahkan. Seseorang yang memandang isteri seseorang yang bermaruah, (bermakna) mula-mula dia melilit kafan ke lehernya kemudian baru dia boleh memandang (kepada isteri orang lain).
505. Page
Tabiat orang-orang Eropah yang merupakan negara-negara sejuk juga adalah dingin dan beku seperti negara itu. Jika dibandingkan dengannya, Asia ini yakni dunia Islam ini adalah negara-negara yang panas. Adalah dimaklumi bahawa persekitaran memberi kesan kepada akhlak manusia. Untuk menggerakkan nafsu kebinatangan dan membangkitkan syahwat dalam diri manusia-manusia dingin yang di negara dingin itu, mendedahkan rambut mungkin tidak menjadi punca kepada berlakunya penyalahgunaan dan pembaziran yang banyak. Tetapi mendedahkan aurat yang boleh menyalakan nafsu syahwat manusia di negara-negara panas yang cepat terkesan dan sensitif tentunya menjadi sebab kepada penyalahgunaan, pembaziran, ketidaksuburan dan kemerosotan tenaga. Sebagai gantian kepada keperluan fitrah yang sekali dalam tempoh sebulan atau dua puluh hari, seseorang itu menyangka dia perlu membazir sekali dalam tempoh beberapa hari. Waktu itu, oleh sebab lelaki terpaksa menjauhi wanita kerana halangan-halangan seperti haidh selama lima belas hari setiap bulan, maka jika dia tewas kepada nafsunya, dia akan cenderung kepada maksiat.
Orang-orang bandar tidak boleh menolak penutupan aurat dengan melihat kepada orang kampung dan pedalaman. Ini kerana, pendedahan sebahagian aurat oleh pekerja wanita yang, suci dan sedikit kasar di kampung-kampung dan pedalaman kerana kesibukan sara hidup dan kerana pekerjaan dan keletihan secara fizikal itu adalah kurang menarik perhatian berbanding orang bandar, maka ia tidak menjadi punca kepada kegeloraan hawa nafsu.
506. Page
Begitu juga, oleh sebab para samseng dan penganggur juga adalah sedikit, maka satu persepuluh kerosakan di bandar tidak terdapat pada mereka. Oleh yang demikian, ia tidak boleh dikiaskan dengan mereka.
Masalah Penting yang Tiba-tiba Diperingatkan
Difahami daripada riwayat hadith Nabi Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam bahawa golongan perempuan dan fitnah mereka memainkan peranan yang paling dahsyat dalam fitnah akhir zaman. Ya, sebagaimana dicatatkan dalam sejarah dan pada zaman dahulu bahawa sebuah pasukan tentera yang terdiri daripada kalangan wanita bersenjata yang bernama “Wanita Amazon” telah melancarkan serangan-serangan yang hebat.
Sama seperti itu juga pada zaman ini, dalam peperangan oleh kesesatan golongan zindik terhadap Islam, melalui perancangan nafsu amarah, kelompok paling dahsyat yang diserahkan kepada kawalan syaitan ialah golongan wanita yang betisnya terdedah dan perempuan separuh bogel yang menggoda dan menyerang golongan beriman dengan betis terdedah mereka yang seolah-olah pisau-pisau yang tajam. Melalui usaha menutup jalan pernikahan dan meluaskan jalan pelacuran mereka menawan nafsu ramai orang secara serentak lalu mencederakan hati dan roh mereka dengan dosa-dosa besar.
507. Page
Bahkan mereka membunuh sebahagian daripada hati-hati itu. Sebagai balasan yang setimpal kerana menunjukkan keinginan nafsu kepada yang bukan mahram selama beberapa tahun, betis-betis yang berpisau itu akan menjadi kayu api neraka lalu betis-betis itulah yang paling awal akan dibakar. Oleh sebab wanita sebegitu telah menghilangkan kepercayaan dan kesetiaan di dunia, maka dia tidak akan lagi menemui si suami yang sepadan yang sangat diingininya secara lumrah dan dihajatinya secara fitrah. Jika ditemui sekalipun, suami itu akan menjadi musibah kepada diri mereka. Hatta difahami daripada riwayat hadith bahawa sebagai natijah kepada keadaan ini, akibat hilangnya minat dan tiadanya pemeliharaan terhadap ikatan pernikahan pada akhir zaman itu, di sesetengah tempat, para wanita akan menjadi tidak penting, terbiar dan tidak bernilai sehingga seorang lelaki boleh menguasai empat puluh orang wanita.
Memandangkan inilah hakikat; memandangkan semua yang cantik sukakan kecantikannya serta sedaya upaya mahu memeliharanya dan tidak pernah menghendaki kecantikan itu rosak; dan memandangkan kecantikan adalah suatu nikmat, maka jika nikmat itu disyukuri ia akan sentiasa bertambah secara maknawi. Sebaliknya jika tidak disyukuri ia akan berubah dan menjadi hodoh.
Sudah tentu jika akalnya ada, dia akan sedaya upaya menghindarkan diri daripada mengunakan keindahan dan kecantikannya sebagai wasilah untuk meraih dosa serta penyebab keberdosaan orang lain, menjadikannya hodoh dan beracun serta mengubah nikmat itu menjadi punca keazaban dengan mengkufurinya.
508. Page
Untuk mengekalkan kecantikan fana yang selama lima atau sepuluh tahun itu, dia akan mensyukuri nikmat dengan menggunakannya mengikut cara yang disyariatkan. Jika tidak, dia akan terdedah kepada perkara yang tidak disukainya dalam tempoh yang lama pada masa tua dan akan menangis bagaikan tiada harapan. Betis-betis yang mendapat dan memperolehkan banyak dosa itu akan kelihatan seperti ular di dalam kuburnya dan dia akan menanggung azab kerana anggota-anggota cantiknya yang telah menjadi hodoh itu terbakar di neraka.
Jika kecantikan itu diindahkan dengan hiasan adab-adab al-Quran dalam lingkungan tarbiah Islam, sesungguhnya telah termaktub di dalam hadith secara qat’i bahawa kecantikan yang fana itu akan berkekalan secara maknawi dan akan diberikan semula kepadanya dalam bentuk yang lebih menawan dan lebih gemilang berbanding dengan kecantikan para bidadari di syurga. Jika orang yang cantik itu memiliki akal walaupun sebesar zarah, dia tidak akan melepaskan natijah yang baik, gemilang dan abadi ini daripada genggamannya.