NAVIGATION
371. Page
Kilauan Kelapan Belas
Kilauan ini merupakan Karamah Alawiyyah yang pertama dan telah ditulis daripada mukasurat 132 sehingga mukasurat 142 dalam Himpunan Sikke-i Tasdiq Gaybi yang membicarakan tentag karamah-karamah ghaib, maka ia tidak dimasukkan ke sini.
Risalah Iqtisad
Risalah ini adalah mengenai iqtisad (bersederhana) dan sifat qana’ah (merasa cukup), pemborosan dan pembaziran.
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ *]
[كُلُوا وَ اشْرَبُوا وَ لَاتُسْرِفُوا
(Makan dan minumlah, dan janganlah boros) (al-A’raf, 7: 31)
372. Page
Ayat suci di atas memberikan pengajaran hikmah yang sangat penting melalui perintahnya yang qat’i untuk berjimat cermat dan melarang pemborosan dalam bentuk larangan yang jelas. Terdapat tujuh nuktah dalam masalah ini.
Nuktah Pertama: Al-Khaliqur Rahim (Pencipta Yang Maha Penyayang) mengingini kesyukuran sebagai balasan kepada nikmat-nikmat yang diberikan-Nya kepada bangsa manusia. Pemborosan pula adalah berlawanan dengan syukur. Ia merupakan suatu peremehan terhadap nikmat yang merugikan. Iqtisad pula ialah penghormatan terhadap nikmat yang menguntungkan. Ya, selain ia merupakan kesyukuran maknawi, iqtisad juga ialah penghormatan terhadap rahmat Ilahi pada nikmat-nikmat, sebab keberkatan dalam bentuk yang muktamad, punca kesihatan seperti diet kepada badan, sebab kemuliaan yang akan menyelamatkan diri daripada mengemis secara maknawi dan sebab yang kuat untuk merasai kelazatan dalam nikmat serta untuk mengecap kelazatan pada nikmat yang secara zahir kelihatan tidak lazat. Pemborosan pula, oleh sebab ia adalah bertentangan dengan hikmah-hikmah yang disebutkan, maka ia memiliki natijah-natijah yang memudaratkan.
373. Page
Nuktah Kedua: Al-Fatirul Hakiim (Pencipta Yang Maha Bijaksana) telah menjadikan tubuh manusia seperti sebuah istana yang sempurna dan umpama bandar yang tersusun. Deria rasa pada mulut ibarat pengawal pintu. Urat dan saraf seperti wayar-wayar telefon dan telegraf yang menjadi pusat komunikasi di antara deria rasa dengan perut yang berada di pusat tubuh. Deria rasa itu mengkhabarkan apa yang datang kepada mulut melalui urat-urat itu. Jika tiada keperluan kepada badan dan perut, ia akan berkata: “Tidak boleh masuk! Dilarang!”, lalu mencampaknya keluar. Kadang-kadang juga, sekiranya benda itu berbahaya dan pahit di samping tidak memberi manfaat kepada badan, ia akan terus memuntahkannya keluar dan meludahkannya.
Justeru, memandangkan deria rasa di mulut adalah pengawal pintu dan dari segi pengurusan tubuh perut pula adalah seperti tuan dan penguasa, maka sekiranya hadiah yang diberikan oleh mereka yang datang ke bandar kepada istana itu ataupun kepada penguasa itu adalah bernilai seratus, maka tip untuk pengawal hanya layak mendapat lima nilaian dari seratus, tidak boleh lebih. Supaya pengawal pintu tidak sombong dan lupa diri serta tidak melupakan tugasnya. Serta supaya dia tidak menyumbat para pemberontak yang memberi tip yang lebih ke dalam istana.
374. Page
Maka, berdasarkan rahsia ini, sekarang kita mengandaikan dua suap makanan. Suapan pertama ialah daripada bahan berkhasiat seperti keju dan telur yang berharga empat puluh sen, manakala suapan yang satu lagi pula dari jenis baklava (sejenis manisan di Turki) yang paling mahal berharga empat ringgit. Kedua jenis makanan ini adalah sama dan tiada perbezaan bagi badan. Selepas melintasi kerongkong juga, keduanya masih sama dari sudut memberi khasiat kepada tubuh, bahkan boleh jadi keju yang berharga empat puluh sen lebih baik khasiatnya. Cuma terdapat perbezaan sebanyak setengah minit pada noktah menyenangkan deria rasa. Maka kiaskanlah betapa membayar harga empat ringgit untuk sesuatu yang berharga empat puluh sen demi setengah minit (kelazatan) adalah pemborosan yang tidak bermakna dan merugikan.
Sekarang, memberikan tip yang sembilan kali ganda lebih tinggi kepada pengawal pintu walaupun hadiah yang datang kepada pemilik istana adalah empat puluh sen akan menyebabkan pengawal pintu itu lupa diri dan mendorong dia berkata “Akulah Penguasa”. Sesiapa yang memberi tip dan kelazatan yang lebih banyak, maka dia akan menyumbat orang itu ke dalam. Dia akan menyebabkan kerosakan dan akan menyalakan kebakaran. Dia akan menyebabkan pemilik istana terpaksa berkata: “Tolong! Panggilkan doktor, suruhlah dia meredakan kepanasan serta memadam api (dalam tubuh) saya.”
375. Page
Justeru, iqtisad dan qanaah adalah tindakan yang bertepatan dengan hikmah Ilahi. Sikap ini menjaga deria rasa sebagai pengawal pintu dan memberi tip yang sesuai dengan tugasnya. Pemborosan pula, oleh kerana ia bertindak bertentangan dengan hikmah itu, maka ia akan mendapatkan tamparan. Ia menyebabkan perut mual dan menghilangkan selera hakikinya. Ia menyuap makanan dengan selera dusta tiruan yang datang daripada kepelbagaian makanan. Ia menyebabkan ketidakhadaman dan mendatangkan penyakit.
Nuktah Ketiga: Dalam nuktah kedua sebelum ini, kami menyatakan bahawa deria rasa ialah pengawal pintu. Benar, untuk ahli ghaflah dan sesiapa yang tidak meningkatkan diri dari segi kerohanian serta mereka yang tidak maju dalam sudut kesyukuran, ia adalah seperti pengawal pintu. Maka, seharusnya tidak boleh ada pemborosan dan harga yang dibayar tidak boleh dinaikkan 10 kali ganda hanya untuk kelazatan si pengawal itu.
Tetapi, deria rasa ahli syukur, ahli hakikat dan ahli kalbu yang hakiki adalah ibarat pemantau dan peneliti dapur-dapur rahmat Ilahi (sebagaimana telah diterangkan dalam perbandingan dalam Kalimah Keenam).
376. Page
Tugasnya adalah menimbang dan mengenali jenis-jenis nikmat Ilahi lalu memberitahu kepada jasad dan tubuh menggunakan neraca-neraca kecil sebanyak makanan pada deria rasa itu dalam bentuk satu kesyukuran maknawi. Justeru, oleh kerana deria rasa yang dalam bentuk ini tidak hanya memandang kepada jasad fizikal, bahkan memandang kepada hati, roh dan akal, maka ia mempunyai ketetapan dan kedudukan yang lebih tinggi daripada perut.
Manusia boleh sahaja menikmati kelazatannya dengan syarat tidak boros, melaksanakan tugas kesyukuran semata-mata, merasai dan mengenali jenis-jenis nikmat Ilahi, serta dengan syarat ia adalah perkara yang telah disyariatkan dan tidak menjadi wasilah kepada kehinaan dan perbuatan mengemis. Namun, untuk menggunakan lidah yang memiliki deria rasa itu dalam kesyukuran maka ia boleh mengutamakan makanan-makanan yang lazat.
(Berikut adalah satu peristiwa dan karomah kewalian Syeikh Abdul Qadir Jailani yang mengisyaratkan hakikat ini)
Suatu masa, anak lelaki seorang wanita tua yang cerewet berada di bawah tarbiah Syeikh Abdul Qadir Jailani. Wanita tua yang mulia itu pergi ke bilik anak lelakinya. Dia melihat anak lelakinya sedang memakan secebis roti kering yang hitam. Tubuhnya menjadi kurus kerana latihan itu. Keadaannya itu menyentuh perasaan kasih seorang ibu. Ibunya berasa kasihan kepadanya. Kemudian dia pergi kepada Syeikh Abdul Qadir untuk mengadu. Dia melihat bahawa Syeikh Abdul Qadir sedang memakan seekor ayam yang telah digoreng.
377. Page
Kerana sifat mengadanya dia berkata; “Wahai Ustaz! Anak lelaki saya hampir mati kerana kelaparan tetapi kamu memakan ayam!” Lantas Syeikh Abdul Qadir berkata kepada ayam goreng itu, “[قُمْ بِاِذْنِ للّٰهِ]” (bangunlah dengan izin Allah). Tulang-tulang ayam yang telah dimasak itu berkumpul sehingga menjadi seekor ayam hidup lalu melompat keluar dari bekas makanan itu. Peristiwa ini diceritakan secara tawatur maknawi oleh ramai ulama muktamad dan dipercayai sebagai keramat luar biasa yang masyhur di seluruh dunia. Syeikh Abdul Qadir berkata: “Bila anak lelaki puan juga sampai ke tahap ini, maka pada waktu itu dia juga boleh memakan ayam.”
Justeru, maksud daripada perintah Syeikh Abdul Qadir ini ialah seperti berikut: Apabila roh anak lelaki kamu juga menguasai tubuhnya, hatinya menguasai nafsunya, akalnya menguasai perutnya dan jika dia meminta kelazatan untuk bersyukur, maka waktu itu dia boleh memakan makanan yang lazat.
Nuktah Keempat: [لاَ يَعُولُ مَنِ اقْتَصَدَ] “Sesiapa yang hidup bersederhana tidak akan merasai musibah dari segi sara hidup keluarga.” Menurut rahsia hadith ini, orang yang hidup bersederhana tidak banyak mendapat kesusahan kemiskinan dari sudut sara hidup.
378. Page
Ya, terdapat terlalu banyak dalil yang menunjukkan bahawa hidup bersederhana ialah sebab keberkatan yang muktamad dan punca kehidupan yang baik sehingga tidak dapat dikira dan dihitung.
Sebagai contoh: Melalui apa yang aku nampak pada diriku sendiri dan melalui penyaksian mereka yang berkhidmat kepadaku dan bersahabat denganku, aku menyatakan bahawa melalui cara hidup bersederhana, kadang-kadang aku mendapat sepuluh kali ganda keberkatan. Dan teman-temanku juga telah melihatnya. Hatta sembilan tahun sebelum ini, sebahagian daripada ketua-ketua (kumpulan) yang dibuang daerah ke Burdur bersama-samaku, telah banyak berusaha menyuruhku untuk menerima zakat mereka supaya aku tidak jatuh hina dan rendah kerana ketiadaan wang belanja.
Lalu aku berkata kepada para ketua yang kaya itu: “Sebenarnya duitku memang sedikit. Tetapi aku hidup bersederhana. Aku telah terbiasa hidup berpada (berqanaah). Aku lebih kaya daripada kalian.”
379. Page
Aku telah menolak tawaran mereka yang berulangkali dan mendesak itu. Apa yang menarik perhatian ialah, selepas dua tahun, sebahagian mereka yang menawarkan zakat kepadaku telah terlibat dengan hutang kerana tidak hidup bersederhana. لِلّٰهِ الْحَمْدْ sehingga tujuh tahun selepas itu, dengan keberkatan sikap hidup berserdahana, duit yang sedikit itu menjadi cukup buat saya. Sikap ini tidak pernah menjatuhkan air muka saya dan tidak memaksa saya untuk menyatakan hajatku kepada orang ramai. Ia tidak merosakkan prinsip hidup saya iaitu tidak meminta daripada manusia.
Ya, mereka yang tidak hidup bersederhana bakal terjerumus ke dalam kehinaan dan kepengemisan serta kerendahan secara maknawi. Di zaman ini, duit yang boleh menjadi punca kepada pemborosan adalah sangat mahal. Sebagai balasannya, kadang-kadang kehormatan dan maruah digadaikan sebagai rasuah. Kadang-kadang, nilai-nilai agama kita diambil sebagai balasan. Kemudian duit yang hina itu diberikan. Maknanya harta yang bernilai dua ringgit dibeli dengan kerugian maknawi sebanyak seratus ringgit.
380. Page
Sekiranya seseorang hidup bersederhana lalu membataskan, mencukupi dan mengkhususkan kepada keperluan asasi, maka dengan rahsia ayat [اِنَّ اللّٰهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ] dan dengan keterangan ayat [وَمَا مِنْ دَابَّةٍ ف۪ى الْاَرْضِ اِلاَّ عَلَى اللّٰهِ رِزْقُهَا] dia akan mendapat rezeki sebanyak yang boleh meneruskan kehidupannya dalam bentuk yang tidak disangka-sangka. Ini kerana ayat-ayat di atas telah menjanjikannya.
Ya, terdapat dua jenis rezeki:
Pertama adalah rezeki hakiki, iaitu dengannya seseorang itu akan hidup. Melalui ketetapan ayat ini, rezeki itu adalah di bawah janji Allah. Sekiranya kehendak manusia yang buruk tidak campur tangan terhadapnya, rezeki hakiki itu dapat ditemui dalam apa jua keadaan. Dia tidak akan terpaksa mengorbankan sama ada agama, maruah atau kemuliaannya.
Kedua adalah rezeki majazi, iaitu keperluan yang bukan asasi menjadi keperluan asasi akibat penyalahgunaan. Kemudian dia menjadi ketagihan disebabkan musibah kebiasaan itu, dan dia tidak boleh meninggalkannya.
381. Page
Justeru, oleh kerana rezeki ini bukan di bawah jaminan Tuhan, maka untuk memperoleh rezeki ini terutamanya di zaman ini adalah sangat mahal. Hatta kadang-kadang seseorang mendapat harta hina yang tidak berkat itu dengan cara mengorbankan kemuliaan dirinya lalu menerima kehinaan, serta kadang-kadang dengan cara jatuh ke kedudukan pengemis yang sanggup mencium kaki sesetengah orang yang hina, bahkan kadang-kadang dengan cara mengorbankan kesucian agamanya yang merupakan nur kehidupan abadinya.
Di zaman yang susah dan darurat ini juga, kepedihan yang dirasakan oleh orang yang mempunyai hati nurani melalui belas kasihan kemanusiannya yang datang daripada kesakitan orang yang lapar dan berkeperluan, membuatkan kelazatan yang dikecapinya melalui duit yang diperoleh secara bertentangan dengan syariat itu terasa pahit, sekiranya dia mempunyai hati nurani. Di zaman yang dahsyat seperti ini, wajib seseorang untuk cukup menggunakan harta yang meragukan itu sekadar darurat sahaja. Ini kerana menurut rahsia [اِنَّ الضَّرُورَةَ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا] harta-harta yang haram boleh digunakan secara terpaksa sekadar darurat, tidak boleh diambil melebihi keperluan.
382. Page
Ya, seseorang yang terpaksa, tidak boleh memakan daging bangkai sehingga kenyang. Bahkan hanya boleh memakan sekadar untuk tidak mati.
Malah, di samping seratus orang yang lapar, tidak boleh dimakan secara berlebihan dengan penuh kelazatan. Berikut adalah satu peristiwa yang menunjukkan bahawa hidup bersederhana ialah sebab kemuliaan dan kesempurnaan. Pada satu zaman dahulu, Hatim at-Tai yang masyhur di seluruh dunia dengan sifat dermawan mengadakan satu jamuan. Ketika dia memberi hadiah yang sangat banyak kepada para tetamu, dia pergi bersiar di padang pasir. Dia melihat seorang lelaki fakir yang tua memikul beban rumput dan ranting-ranting pokok yang berduri di belakangnya, sehinggakan mencucuk dan melukai tubuhnya.
Lantas Hatim berkata kepadanya: “Hatim at-Tai sedang mengadakan satu jamuan berserta hadiah-hadiah yang besar. Kamu juga pergilah ke sana, sebagai ganti kepada beban rumputmu yang bernilai lima ringgit itu, kamu boleh mendapat lima ratus ringgit.” Lalu si lelaki tua yang hidup bersederhana itu menjawab: “Aku boleh menanggung dan mengangkat beban yang berduri ini dengan kemuliaanku. Aku tidak ingin berhutang budi dengan Hatim at-Tai.” Kemudian mereka bertanya kepada Hatim at-Tai.
383. Page
Siapakah yang kamu temui lebih pemurah dan mulia daripadamu? Hatim menjawab: “Sesungguhnya aku mendapati bahawa lelaki tua yang aku bersua di padang pasir itulah yang lebih mulia, lebih tinggi dan lebih pemurah daripadaku.”
Nuktah Kelima: Sesungguhnya Allah swt, melalui kesempurnaan sifat pemurah-Nya menjadikan orang yang paling fakir merasai kelazatan nikmat seolah-olah orang yang paling kaya, dan hamba bagaikan raja. Ya, kelazatan yang dikecapi oleh si fakir daripada secebis roti hitam kering (kerana kelaparan dan iqtisad) adalah lebih lazat berbanding dengan kelazatan yang dikecapi daripada baklava yang paling mahal yang dimakan oleh seorang raja dan orang kaya dengan kebosanan dan tanpa rasa selera yang berpunca daripada pemborosan. Apa yang menghairankan adalah, sesetengah mereka yang boros dan membazir menuduh mereka yang beriqtisad sebegini sebagai kedekut. Hasya! (Tidak sama sekali!)
Iqtisad ialah kemuliaan dan kepemurahan. Sifat kedekut dan hina adalah wajah sebenar ahli israf dan ahli tabzir yang luarannya kelihatan hebat. Ada satu peristiwa yang pernah berlaku di dalam bilik kurungan saya yang mengukuhkan hakikat ini. Ia seperti berikut:
384. Page
Dengan cara yang bertentangan dengan kaedah dan prinsipku, seorang muridku mendesak supaya aku menerima hadiah iaitu madu yang hampir dua setengah okka. Walaupun aku berulangkali menegaskan pegangan dan prinsipku, dia tetap tidak berpuas hati.
Aku terpaksa mengambilnya dengan tujuan memberi makan kepada tiga saudara di sampingku, dan supaya mereka dapat makan daripada madu itu dengan iqtisad selama tiga puluh ke empat puluh hari daripada bulan Syaban dan Ramadhan, dan supaya orang yang membawanya turut mendapat pahala, serta supaya mereka tetap mempunyai manisan. Dengan niat ini, maka aku berkata kepada mereka: “Kalian ambillah.”
Terdapat juga satu okka madu milikku. Tiga orang sahabatku itu sebenarnya adalah daripada kalangan mereka yang istiqamah dan mengamalkan iqtisad. Walau bagaimanapun, kerana sifat yang mulia dari sudut ingin membelanja satu sama lain, menyenangkan hati sesama mereka dan mengutamakan sahabat ke atas diri sendiri, mereka terlupa tentang iqtisad. Dalam tiga malam, mereka telah menghabiskan dua setengah okka madu. Sambil tersenyum aku berkata: “Sebenarnya aku mahu membuatkan kalian merasai kemanisan itu selama tiga puluh ke empat puluh hari. Kalian telah menurunkan tiga puluh hari itu kepada tiga hari. Selamat menjamu selera.”
385. Page
Tetapi aku menggunakan satu okka maduku sendiri dengan beriqtisad. Aku memakannya sepanjang bulan Syaaban dan Ramadhan, malah لِلّٰهِ الْحَمْدْ, aku turut memberikannya juga kepada setiap saudaraku itu sesudu besar teh pada waktu berbuka lalu ia menjadi punca kepada pahala yang besar. Mereka yang melihat keadaanku itu mungkin menganggap aku kedekut dan menganggap keadaan tiga orang lagi saudaraku selama tiga malam itu sebagai sifat pemurah. Tetapi pada noktah hakikat, kami melihat bahawa di bawah sifat kedekut secara zahir itu tersembunyi kemuliaan yang tinggi, keberkatan yang banyak dan pahala yang besar. Di bawah kepemurahan dan pemborosan itu, kalaulah tidak dihentikan, nescaya ia akan menghasilkan natijah yang jauh lebih rendah daripada sifat kedekut seperti sifat mengemis dan memandang kepada tangan orang lain dengan perasaan tamak dan haloba.
Nuktah Keenam: Terdapat banyak perbezaan antara iqtisad dan sifat kedekut. Ia adalah seperti tawadhuk merupakan akhlak terpuji yang berbeza dari segi makna dengan tazallul (hina diri) yang merupakan akhlak yang buruk namun secara gambarannya adalah sama. Juga sepertimana waqar (kewibawaan) iaitu sifat yang terpuji yang berbeza dari segi makna dengan takbur yang merupakan akhlak yang buruk tetapi sama dari segi gambaran.
386. Page
Begitu juga, iqtisad yang merupakan salah satu daripada akhlak mulia Rasul Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, bahkan salah satu daripada sebab-sebab aturan hikmah Ilahi pula langsung tiada sebarang hubungan dengan kehinaan, kebakhilan, ketamakan dan sifat kedekut yang merupakan satu campuran daripada sifat haloba. Tetapi dari segi gambaran terdapat persamaan. Berikut ialah satu peristiwa yang mengukuhkan hakikat ini:
Sayidina Abdullah ibnu Umar Radhiyallahu ‘Anhuma yang merupakan salah seorang daripada sahabat nabi dalam kalangan Abadilah as-Sab’ah (Tujuh orang Abdullah) yang masyhur ialah anak lelaki yang paling penting dan utama bagi Saidina Umar al-Faruq yang menjadi khalifah Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam dan juga seorang yang paling hebat daripada para sahabat yang alim. Suatu hari ketika di pasar, ketika beliau berjual beli, berlaku pergaduhan mulut untuk satu barang yang berharga empat puluh kurusy, untuk iqtisad, dan untuk memelihara amanah dan istiqamah yang menjadi asas perniagaan.
387. Page
Seorang sahabat telah memerhatikan beliau. Dengan menyangka bahawa pergaduhan mulut kerana empat puluh sen oleh anak lelaki Sayidina Umar Radhiyallahu ‘Anhu yang merupakan khalifah agung muka bumi adalah sifat kedekut yang aneh, maka beliau mengekori imam tersebut untuk mengetahui keadaannya. Beliau melihat bahawa Sayidina Abdullah memasuki kawasan rumahnya yang diberkati. Beliau melihat seorang lelaki yang fakir ada di depan pintu. Setelah itu, beliau menghabiskan beberapa waktu bersamanya kemudian meninggalkan si fakir itu.
Kemudian beliau keluar dari pintu rumahnya yang kedua dan melihat ada seorang lagi orang miskin. Kemudian beliau menghabiskan beberapa waktu yang singkat bersamanya dan berlalu pergi. Sahabat yang melihat dari jauh itu tertanya-tanya. Beliau pergi bertanya kepada orang-orang miskin itu : “Imam telah berdiri di samping kalian, apa yang beliau lakukan?” Kedua-duanya berkata: “Beliau telah memberikan saya sekeping emas.” Sahabat itu berkata: “ فسبحان اللّٰه, beliau bertegang urat di pasar untuk sesuatu yang bernilai tidak lebih dari satu kurusy, kemudian di rumahnya beliau memberikan dua ratus kurusy dengan penuh kerelaan hati tanpa disedari oleh sesiapa.” Begitulah yang difikirkannya.
388. Page
Kemudian dia pergi dan berjumpa dengan Sayidina Abdullah ibnu Umar R.A. Beliau berkata: “Wahai Imam, selesaikanlah masalah saya ini. Kamu melakukan sekian-sekian di pasar manakala di rumah kamu melakukan perkara yang sedemikian pula.” Sebagai jawapan, Sayidina Ibnu Umar berkata: “Keadaan di pasar ialah kerana iqtisad dan kesempurnaan akal dan ia adalah keadaan yang datang untuk memelihara amanah dan kejujuran yang merupakan asas dan roh jual beli. Bukan kedekut. Keadaan di rumahku pula adalah keadaan yang datang daripada kasih sayang hati dan kesempurnaan roh. Itu (keadaan pertama) bukanlah kedekut dan ini (keadaan kedua) bukanlah pembaziran.”
Sambil mengisyaratkan kepada rahsia ini, Imam A’zam Abu Hanifah r.a telah berkata: [لاَ اِسْرَافَ ف۪ى الْخَيْرِ كَمَا لَاخَيْرَ ف۪ى الْاِسْرَافِ] iaitu sebagaimana tiada pembaziran pada kebaikan dan ihsan kepada orang yang berhak, pada pembaziran juga tiada sebarang kebaikan.
Nuktah Ketujuh: Pembaziran menghasilkan sifat tamak. Sifat tamak pula memberikan tiga natijah.
389. Page
Natijah Pertama: Tiadanya qanaah (rasa tidak cukup dengan apa yang ada). Sifat ini pula mematahkan semangat untuk berkerja dan berusaha. Ia menggantikan kesyukuran dengan keluhan lalu mencampak seseorang itu kepada kemalasan. Maka, orang itu meninggalkan perkara yang disyariatkan, halal dan sedikit, lalu dia mencari harta yang haram dan tidak membebankan. Maka, di jalan itu dia mengorbankan kemuliaan bahkan kehormatannya.
Natijah Kedua: Kekecewaan dan kerugian. Iaitu tidak dapat mencapai maksudnya dan terdedah kepada kesusahan serta terhalang daripada kemudahan dan bantuan. Hatta [اَلْحَرِيصُ خَائِبٌ خَاسِرٌ] yakni sifat tamak adalah sebab kepada kerugian dan kegagalan telah menjadi maasodaq (membenarkan) kepada bidalan perumpamaan ini. Pengaruh sifat tamak dan sifat qanaah berlaku dengan satu prinsip yang amat meluas di alam makhluk yang hidup.
Sebagai contoh: Sebagaimana sifat qanaah yang berbentuk fitrah pada pokok-pokok yang berhajat kepada rezeki menyebabkan rezeki mereka berlari kepada mereka, dan haiwan yang mengejar rezeki dengan kesusahan dan kekurangan melalui sifat tamak (pula) memperlihatkan kerugian besar bagi sifat tamak dan manfaat yang sangat besar bagi sifat qanaah.
390. Page
Pengaliran makanan yang lembut seperti susu dari tempat yang tidak disangka-sangka kepada anak-anak kecil (sama ada insan, haiwan atau tumbuhan) yang lemah kerana sifat qanaah menerusi lisanul hal mereka dan serangan binatang buas kepada rezeki yang sedikit dan tercemar menerusi sifat tamak mereka secara jelas membuktikan dakwaan kami. Keadaan qanaah ikan-ikan gemuk yang menjadi punca kepada rezeki yang sempurna serta kerampingan dan kekurusan haiwan yang bijak seperti musang dan monyet akibat kegagalan mereka mendapat rezeki pada kadar yang cukup walaupun mengejarnya dengan tamak sekali lagi memperlihatkan setahap manakah sifat tamak menjadi sebab kesusahan dan setahap manakah qanaah menjadi punca kerehatan.
Pemerolehan rezeki yang hina dan rendah dalam bentuk yang haram dan hanya sekadar cukup untuk hidup bagi bangsa Yahudi melalui sifat tamak serta melalui tipu daya riba dan muslihatnya; dan keadaan penuh qanaah para penghuni padang pasir, kehidupan mereka yang mulia dan pemerolehan rezeki yang cukup secara qat’i membuktikan dakwaan kami yang disebutkan.
391. Page
Seterusnya, kejatuhan ramai ilmuwan dan sasterawan ke dalam kefakiran akibat sifat tamak yang berpunca daripada kecerdikan mereka; dan kekayaan mereka yang bodoh dan tidak berupaya kerana keadaan qanaah berbentuk fitrah mereka, secara qat’i membuktikan bahawa rezeki halal datang berdasarkan kelemahan dan kefakiran. Bukannya dengan keupayaan dan pilihan. Bahkan, rezeki halal itu adalah nisbah songsang dengan keupayaan dan pilihan. Ini kerana apabila muncul sahaja keupayaan dan pilihan pada kanak-kanak, maka rezeki mereka akan berkurangan, menjauh dan menjadi susah. Dengan rahsia hadis [اَلْقَنَاعَةُ كَنْزٌ لَايَفْنَى], sifat qanaah adalah harta tersembunyi bagi kehidupan yang baik dan kerehatan hidup. Ketamakan pula adalah sumber kerugian dan kerendahan.
Natijah Ketiga: Ketamakan merosakkan keikhlasan dan mencederakan amalan ukhrawi. Ini kerana jika seorang ahli taqwa memiliki sifat tamak, dia akan menginginkan perhatian manusia. Sesiapa yang mengharapkan perhatian manusia, dia tidak akan menjumpai keikhlasan yang sempurna. Natijah ini amat penting dan amat perlu diberi perhatian.
392. Page
Hasilnya: Pemborosan menatijahkan rasa tidak qanaah. Ketiadaan qanaah pula mematahkan semangat bekerja, mencampak kepada kemalasan, membuka pintu keluhan terhadap kehidupan, akan menjadikan dia sentiasa mengeluh, merosakkan keikhlasan dan membuka pintu riya’. Ia juga meruntuhkan kemuliaannya dan menunjukkan jalan kepada kepengemisan.
Iqtisad pula menatijahkan qana’ah. Dengan rahsia hadith yang mulia [عَزَّ مَنْ قَنَعَ ذَّلَ مَنْ طَمَعَ], qanaah menatijahkan kemuliaan. Ia menggalakkan untuk bekerja dan berusaha. Ia akan menambahkan semangat kamu dan menggerakkannya. Ini kerana, contohnya seseorang itu telah bekerja satu hari, dengan rahsia qanaah dengan upah yang diambilnya pada waktu malam, dia akan terus bekerja pada hari kedua.
Yang pemboros pula, oleh kerana dia tidak berqanaah, dia tidak akan bekerja lagi pada hari kedua. Jika dia bekerja pun, dia bekerja tanpa semangat.
Qanaah yang datang daripada iqtisad juga membuka pintu kesyukuran dan menutup pintu keluhan. Dia akan sentiasa menjadi orang yang bersyukur di dalam hidupnya. Malah, melalui qanaah, pada sudut tidak meminta daripada manusia, dia tidak akan mencari perhatian manusia. Maka terbukalah pintu keikhlasan dan tertutuplah pintu riya’.
393. Page
Aku telah menyaksikan kerugian-kerugian yang dahsyat bagi sikap tidak beriqtisad dan pemborosan dalam satu ruang lingkup yang luas. Ia seperti berikut:
Sembilan tahun sebelum ini, aku datang ke sebuah bandar yang diberkati. Oleh kerana ketika itu adalah musim sejuk, maka aku tidak dapat melihat sumber-sumber kekayaan bandar tersebut. Mufti bandar tersebut (semoga Allah merahmatinya) berkata kepadaku beberapa kali: “Penduduk di sini miskin.” Kata-kata ini telah menyentuh perasaanku. Aku terus berasa kasihan kepada penduduk bandar itu sehingga lima atau enam tahun selepas itu.
Lapan tahun selepas itu sekali lagi aku datang ke bandar itu pada musim panas. Aku memerhatikan kebun-kebun mereka. Lalu terlintas kata-kata almarhum mufti ke fikiranku. Maka aku berkata: “فسبحان اللّٰه.” Hasil-mahsul kebun-kebun ini melebihi keperluan bandar ini. Sepatutnya penduduk bandar ini menjadi sangat kaya. Aku kehairanan. Namun, menerusi satu lintasan hakikat yang tidak menipuku dan menjadi pedomanku untuk memahami hakikat-hakikat, maka aku memahami bahawa kerana tidak beriqtisad dan pemborosan, maka keberkatan telah diangkat.
394. Page
Walaupun memiliki sumber kekayaan sebanyak itu, almarhum mufti itu mengatakan penduduk kami fakir. Ya, sebagaimana memberi zakat dan beriqtisad benar-benar menjadi sebab keberkatan dalam harta, melalui pengalaman, terdapat peristiwa yang sangat banyak menunjukkan bahawa pemborosan dan tidak memberi zakat adalah sebab terangkatnya keberkatan.
Sosok genius yang terkenal, Abu Ali Ibnu Sina, yang dianggap sebagai Plato bagi ahli hikmah (falsafah) Islam, syeikh bagi para doktor, guru kepada ahli falsafah, mentafsirkan ayat [كُلُوا وَ اشْرَبُوا وَ لَاتُسْرِفُوا] hanya dari sudut perubatan telah berkata seperti berikut:
جَمَعْتُ الطِّبَّ ف۪ي بَيْتَيْنِ جَمْعًا، وَ حُسْنُ الْقَوْلِ ف۪ي قِصَرِ الْكَلَامِ،
فَقَلِّلْ اِنْ اَكَلْتَ وَ بَعْدَ اَكْلٍ، تَجَنَّبْ وَ الشِّفَٓاءُ فِي الْاِنْهِضَامِ،
وَ لَيْسَ عَلَي النُّفُوسِ اَشَدُّ حَالاً، مِنْ اِدْخَالِ الطَّعَامِ عَلَي الطَّعَامِ
Maksudnya: Aku menghimpunkan ilmu perubatan di dalam dua rangkap. Keindahan kata-kata adalah pada keringkasannya.
395. Page
Apabila kamu makan, makanlah dengan sedikit. Selepas makan, jangan makan lagi selama empat atau lima jam. Penawar adalah pada kehadaman. Yakni, makanlah sekadar yang boleh dihadam secara mudah. Hal yang paling berat dan meletihkan kepada diri dan perut ialah memakan makanan setelah kenyang.
سُبْحَانَكَ لَاعِلْمَ لَنَا اِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا اِنَّكَ اَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Satu tawafuq yang menarik perhatian dan menjadi tempat renungan.
Risalah Iqtisad ini ditulis oleh lima atau enam penyalin, tiga daripadanya orang baru, di tempat yang berbeza-beza, pada naskhah yang berbeza-beza. Walaupun jauh antara satu sama lain, khat juga berbeza daripada satu dengan yang lain, tanpa memikirkan langsung huruf alif, huruf-huruf alif pada setiap naskhah yang ditulis mereka adalah lima puluh satu tanpa doa dan lima puluh tiga dengan doa. Di samping berlaku tawafuq, tawafuq tarikh penulisan Risalah Iqtisad ini dan penyalinannya yang pada tahun lima puluh satu Romawi (1351) yang bersamaan dengan tarikh Lima puluh tiga Hijri (1353) pula tanpa keraguan bukanlah kebetulan. Ia adalah satu isyarat bahawa keberkatan pada Iqtisad telah naik ke darjat karomah. Maka tahun ini layak dinamakan tahun Iqtisad (1934 atau 1935).
Ya, selepas dua tahun melalui kelaparan, kemusnahan dan pemborosan ketika Perang Dunia Kedua di setiap penjuru, dan keterpaksaan bangsa manusia dan semua orang telah membuktikan karomah iqtisad ini.