NAVIGATION
24. Page
Kilauan Ketiga
Kilauan ini bercampur baur sedikit dengan emosi dan dzauq (perasaan maknawi). Oleh sebab keghairahan emosi dan dzauq tidak terlalu mendengar dan tunduk kepada prinsip akal dan neraca fikiran, maka kilauan ketiga ini tidak sepatutnya ditimbang dengan neraca akal.
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
كُلُّ شَيْئٍ هَالِكٌ اِلاَّ وَجْهَهُ لَهُ الْحُكْمُ وَاِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Dua frasa [يَا بَاقِى اَنْتَ الْبَاقِى * يَا بَاقِى اَنْتَ الْبَاقِى] yang menjelaskan makna ayat di atas menyatakan dua hakikat penting. Kerana itulah sebahagian daripada pemimpin Tariqat Naqshabandi menjadikan dua frasa ini sebagai satu khatmah (wirid) yang khusus kepada diri mereka sendiri lalu menetapkannya sebagai satu ringkasan khatmah Naqshabandi. Memandangkan dua frasa ini menjelaskan makna ayat agung itu, maka kami akan menerangkan beberapa nuktah penting bagi dua hakikat penting yang dijelaskan oleh dua frasa ini.
25. Page
Nuktah Pertama: Pada kali pertama (pengucapan) [يَا بَاقِى اَنْتَ الْبَاقِى] adalah ibarat satu operasi pembedahan yang menyucikan dan memutuskan hati daripada yang selain-Nya. Ia seperti berikut: Dari sudut kesyumulan fitrahnya, manusia itu mempunyai kaitan dengan hampir kesemua maujudat. Malah dalam kesyumulan fitrah manusia disematkan satu potensi rasa cinta yang tiada batasan. Kerana itu, manusia menyimpan satu rasa cinta terhadap seluruh maujudat. Dia mencintai dunia yang besar sebagaimana dia mencintai sebuah rumah. Dia mencintai syurga abadi sebagaimana dia mencintai tamannya sendiri. Sedangkan makhluk-makhluk yang dicintainya tidak kekal dan berlalu pergi. Manusia sering menanggung azab daripada perpisahan. Rasa cintanya yang tiada batasan itu menjadi punca azab maknawi yang tiada batasan.
Dia menanggung azab itu kerana kesalahan dan kekurangannya sendiri. Kerana potensi rasa cinta yang tiada batasan di dalam hati manusia itu dianugerahkan kepadanya supaya ia diarahkan kepada satu Zat yang memiliki keindahan kekal yang tiada batasan. Namun, manusia melakukan kesilapan dengan menyalahgunakan rasa cinta itu dan mengarahkannya kepada maujudat yang fana. Maka sebagai balasan kesilapan itu, dia menanggung azab perpisahan.
Justeru, frasa pertama [يَا بَاقِى اَنْتَ الْبَاقِى] bermaksud pembatasan rasa cinta hanya kepada al-Mahbub al-Baki (kekasih yang kekal) dari aspek membebaskan diri daripada kesilapan itu lalu memutuskan hubungan dengan kekasih-kekasih yang fana, serta meninggalkan mereka sebelum kekasih-kekasih (fana) itu meninggalkannya. Frasa itu juga mengungkapkan makna: “Yang benar-benar kekal hanyalah Engkau, maka yang selain-Nya adalah fana. Yang fana sudah tentu tidak dapat menjadi sumber kepada satu rasa cinta yang kekal, rasa kasih yang azali dan abadi dan satu kaitan hati yang dicipta untuk keabadian.”
26. Page
Maknanya, “Memandangkan kekasih-kekasih yang tidak terbatas itu adalah fana, mereka sentiasa meninggalkan aku lalu berlalu pergi. Maka sebelum mereka meninggalkan aku, dengan membacakan [يَا بَاقِى اَنْتَ الْبَاقِى], aku meninggalkan mereka. Aku berkeyakinan bahawa hanya Engkau yang kekal dan dengan pengekalan oleh-Mu (sahajalah) maujudat boleh meraih kekekalan. Oleh itu, mereka (hendaklah) dicintai kerana cinta kepada-Mu. Jika tidak, mereka tidak layak untuk terikat dengan hati.” Justeru, hati yang dalam keadaan seperti ini akan berpaling daripada kekasih-kekasihnya. Dia nampak mohor kefanaan di atas kecantikan dan keindahan mereka, lalu memutuskan hubungan hatinya. Maka, terguris luka-luka maknawi sebanyak bilangan para kekasihnya.
Frasa kedua [يَا بَاقِى اَنْتَ الْبَاقِى] bukan sahaja menjadi ubat sapu kepada luka-luka yang tidak terkira itu, malah ia menjadi penawar. Yakni, “[يَا بَاقِى] memandangkan Engkau adalah kekal, maka ia sudah cukup; Engkau Pengganti segala sesuatu. Memandangkan Engkau ada, maka semua ada.” Ya, kecantikan, keindahan dan kesempurnaan yang merupakan sebab rasa cinta pada maujudat secara umumnya ialah isyarat-isyarat bagi kecantikan, ihsan dan kesempurnaan al-Baki al-Hakiki. Bahkan ia merupakan bayangan bagi bayangan-bayangan tajalli Asmaul Husna-Nya.
27. Page
Nuktah Kedua: Dalam fitrah manusia terdapat satu rasa cinta yang mendalam terhadap kekekalan yang abadi. Hatta, melalui daya waham (sangkaan), dia menyangkakan sejenis kekekalan pada tiap-tiap sesuatu yang dicintainya, kemudian dia mencintainya. Apabila dia memikirkan ataupun melihat kelenyapan (kekasihnya) itu, dia akan meratap dari lubuk hati yang paling dalam. Semua ratapan yang lahir daripada perpisahan merupakan terjemahan tangisan kepada rasa cinta yang mendalam kepada kekekalan.
Sekiranya tiada sangkaan kekekalan, maka dia tidak akan dapat mencintai sesuatu. Hatta boleh dikatakan bahawa salah satu sebab kewujudan alam baqa’ dan syurga yang abadi ialah hasrat kekekalan serta doa yang bersesuaian dengan fitrah seluruh makhluk terhadap kekekalan yang sangat kuat yang muncul daripada rasa cinta mendalam yang terdapat pada fitrah manusia kepada kekekalan itu. Maka al-Baki Dzul Jalal (Maha Kekal yang mempunyai keagungan) mengabulkan hasrat fitrah yang sangat kukuh dan tidak goyah serta doa umum yang sangat berkesan dan kuat itu, lalu Dia menciptakan sebuah alam yang kekal bagi manusia-manusia yang fana.
Malah, adakah mungkin bahawa al-Fatir al-Karim (Pencipta yang Maha Pemurah), al-Khaliq ar-Rahim (Pencipta yang Maha Penyayang) menerima hasrat kecil bagi perut yang kecil dan doanya yang dilakukan melalui lisanul hal (bahasa keadaan) bagi satu kehidupan yang sementara dengan mewujudkan jenis-jenis makanan lazat yang tidak terkira, tetapi tidak menerima satu hasrat kuat yang datang daripada satu keperluan fitrah yang sangat besar serta doa berkaitan kebaqaan yang sangat kuat, menyeluruh, berterusan, benar, dan berasas (yang dilafazkan) secara perkataan dan keadaan oleh semua bangsa manusia?
28. Page
Hasya dan seribu kali hasya! Adalah tidak mungkin Dia tidak menerimanya. Malah ia langsung tidak munasabah dari mana-mana sudut dengan hikmah, keadilan, rahmat dan qudrat-Nya.
Memandangkan manusia amat mencintai kekekalan, maka sudah tentu semua kesempurnaan dan kenikmatannya bergantung kepada kekekalan. Memandangkan kekekalan adalah terkhusus kepada al-Baki Dzul Jalal, memandangkan nama-nama al-Baki adalah kekal, dan memandangkan cermin-cermin nama al-Baki dicelup dengan celupan al-Baki serta meraih sejenis kekekalan, maka sudah tentu kerja yang paling wajib dan tugas yang paling penting bagi manusia adalah menjalin hubungan dengan al-Baki itu dan berpegang teguh dengan nama-nama-Nya. Kerana, setiap sesuatu yang digunakan di jalan al-Baki akan meraih suatu kekekalan.
Maka, kerana itu frasa kedua [يَا بَاقِى اَنْتَ الْبَاقِى] memberikan makna hakikat tersebut. Di samping merawat luka-luka maknawi yang tidak terkira bagi manusia, melaluinya, dia mententeramkan hasrat kekekalan yang sangat kuat yang ada dalam fitrahnya.
29. Page
Nuktah Ketiga: Di dunia ini, pengaruh masa ke atas kemusnahan dan kelenyapan sesuatu adalah sangat berbeza. Walaupun maujudat di antara satu sama lain seperti lingkungan yang saling berkaitan, namun pada noktah kelenyapan, hukum-hukumnya adalah berbeza. Sebagaimana bulatan putaran yang menghitung saat bagi satu jam dengan bulatan putaran yang menghitung minit, jam dan hari secara zahirnya tampak sama dengan satu sama lain, namun, dari segi kelajuan masing-masing ia adalah berlainan. Demikianlah juga, lingkungan tubuh, jiwa, hati dan roh manusia adalah berbeza.
Sebagai contoh: Kekekalan, kehidupan dan kewujudan tubuh, walaupun keberadaannya hanyalah satu hari bahkan satu jam, walaupun masa lalu dan masa hadapannya tiada dan mati baginya, tetapi putaran kewujudan dan kehidupan bagi hati adalah seluas bermulanya daripada sebelum hari yang dilaluinya sehingga tempoh masa hari-hari yang bakal mendatang.
(Putaran) roh pula, adalah termasuk dalam lingkungan kehidupan dan kewujudan, satu lingkungan agung yang (meliputi) bertahun-tahun sebelum hari yang sedang dilalui dan bertahun-tahun selepasnya. Justeru berdasarkan potensi ini, dari sudut makrifah Ilahiyyah, Mahabbah Rabbaniyyah, Ubudiyyah Subhaniyyah dan Mardhiyyah Rahmaniyyah yang merupakan kehidupan hati dan rohani, satu umur yang fana di dunia ini mengandungi satu umur yang baqa, menatijahkan satu umur yang abadi, dan menjadi ibarat satu umur yang kekal dan tidak akan mati.
Ya, satu saat di jalan rasa cinta, makrifah dan keredhaan al-Baki al-Hakiki adalah (seperti) satu tahun. Sekiranya ia tidak digunakan di jalan-Nya, satu tahun bagaikan satu saat. Bahkan satu saat di jalan-Nya bagaikan bertahun-tahun kekal abadi. Pada aspek kehidupan dunia, bagi golongan yang lalai, seratus tahun ibarat satu saat.
Terdapat satu kata-kata yang masyhur: [سِنَةُ الْفِرَاقِ سَنَةٌ وَ سَنَةُ الْوِصَالِ سِنَةٌ] Maksudnya, satu saat perpisahan adalah panjang bagaikan satu tahun dan pertemuan selama satu tahun adalah singkat bagaikan satu saat. Namun, aku menyatakan yang berlawanan secara keseluruhan dengan pendapat tersebut: Satu saat pertemuan kerana Allah dalam daerah keredhaan al-Baki Dzul Jalal bukan sekadar satu tahun seperti itu, bahkan merupakan satu jendela pertemuan yang abadi. Dalam kelalaian dan kesesatan pula, bukan sahaja satu tahun, bahkan seribu tahun sekalipun adalah bagaikan satu saat.
30. Page
Terdapat kata-kata berikut yang lebih masyhur daripada kata-kata yang sebelum ini: [اَرْضُ الْفَلاَتِ مَعَ الْاَعْدَاءِ فِنْجَانٌ سَمُّ الْخِيَاطِ مَعَ الْاَحْبَابِ مَيْدَانٌ]. Kata-kata ini menguatkan hakikat kami sebelum ini. Salah satu makna yang sahih bagi kata-kata yang pertama: Memandangkan pertemuan maujudat yang fana adalah fana, maka selama mana pun pertemuan itu, ia tetap dikira pendek. Setahun berlalu seperti satu saat. Ia menjadi suatu khayalan penuh kerinduan dan satu mimpi yang menyedihkan. Hati manusia yang inginkan kekekalan hanya dapat mengecap suatu keseronokan yang sebesar zarah dalam satu saat kecil dalam pertemuan selama setahun. Satu saat perpisahan pula, (terasa) bukan setahun bahkan bertahun-tahun. Kerana, medan perpisahan adalah luas. Kepada sekeping hati yang inginkan keabadian, walaupun secara zahirnya perpisahan hanyalah satu saat, namun ia mampu mencetuskan kemusnahan yang bertahun-tahun. Kerana ia mengingatkan kepada perpisahan-perpisahan yang tidak terkira. Untuk rasa cinta yang duniawi dan hina, seluruh masa lalu dan masa hadapan dipenuhi dengan perpisahan.
Berdasarkan perbincangan ini kami katakan: Wahai manusia! Adakah kalian mahu menjadikan umur kalian yang fana, singkat dan tiada faedah itu menjadi kekal, panjang, berfaedah dan berbuah? Memandangkan keinginan ini merupakan keperluan manusia, maka gunakanlah ia di jalan al-Baki al-Hakiki (Maha Kekal yang hakiki). Kerana sesuatu yang menghadap kepada Yang Maha Kekal akan mendapat jelmaan kekekalan. Memandangkan setiap manusia amat menginginkan satu umur yang panjang, amat cintakan kekekalan, dan memandangkan terdapat cara untuk mengubah umur yang fana ini kepada umur yang kekal, dan adalah mungkin bagi menjadikannya satu umur yang sangat panjang secara maknawi, maka sudah tentu manusia yang belum hilang kemanusiaannya akan mencari cara itu, akan berusaha mengubah kemungkinan itu kepada perbuatan dan akan melakukan tindakan yang sesuai dengannya.
31. Page
Oleh itu, caranya ialah: Kalian bekerja kerana Allah, berjumpa kerana Allah dan berusaha kerana Allah. Bertindaklah dalam lingkungan keredaan-Nya [لِلّٰهْ لِوَجْهِ لِلّٰهْ لِاَجَلِ لِلّٰهْ]. Ketika itu, minit-minit umur kalian akan menjadi ibarat tahun-tahun yang banyak. Nas al-Quran memperlihatkan bahawa satu malam seperti Lailatul Qadar diibaratkan seperti seribu bulan yang terdiri daripada lebih kurang lapan puluh tahun, mengisyaratkan kepada hakikat ini.
Malah dengan rahsia bast al-zaman (pemanjangan masa) yang merupakan satu dustur yang benar dalam kalangan para wali dan ahli hakikat memberi isyarat kepada hakikat ini. Beberapa minit tempoh Isra’ Mi’raj yang ibarat banyak tahun membuktikan kewujudan hakikat ini dan secara benar-benar memperlihatkan kejadiannya. Tempoh beberapa jam bagi peristiwa Israk Mikraj memiliki keluasan, liputan dan jarak sejauh ribuan tahun. Kerana melalui jalan Mikraj itu, baginda SAW masuk ke alam baqa. Beberapa minit di alam baqa menyamai ribuan tahun dunia ini.
Seterusnya, berdasarkan hakikat ini, banyak peristiwa bast al-zaman yang berlaku dalam kalangan para wali. Sesetengah wali melakukan kerja satu hari dalam satu minit. Sesetengah mereka melakukan kerja satu tahun dalam satu jam. Sesetengah mereka mengkhatamkan al-Quran dalam satu minit. Demikianlah yang diriwayatkan dan dikhabarkan oleh mereka. Ahli haq dan ahli kebenaran sebegini tidak akan pernah walau sesekali merendahkan diri dengan sengaja berdusta.
32. Page
Malah mereka benar-benar menyaksikan hakikat bast al-zaman dengan riwayat yang sangat banyak dan mutawatir, maka ia tidak mungkin diragui. Sejenis bast al-zaman yang diakui oleh semua orang yang boleh dilihat adalah mimpi. Kadang-kadang untuk melihat mimpi yang dilihat manusia, keadaan yang ditempuhinya, kata-kata yang diucapkannya, kelazatan-kelazatan yang dikecapinya atau kesakitan-kesakitan yang ditanggungnya dalam seminit memerlukan satu hari bahkan beberapa hari di alam jaga.
Kesimpulan: Secara zahirnya, manusia adalah fana. Namun dia diciptakan untuk kekekalan dan dijadikan sebagai cermin bagi satu Zat yang Maha Kekal. Dia ditugaskan dengan kerja-kerja yang akan menatijahkan buah-buah yang kekal. Malah diberikan kepada dirinya satu bentuk yang akan menjadi pusat tajalli (manifestasi) dan ukiran nama-nama-Nya yang kekal. Oleh itu, tugas dan kebahagiaan hakiki seorang manusia yang sebegini ialah berpegang teguh dengan nama-nama-Nya dalam daerah keredhaan al-Baki as-Sarmadi itu dengan seluruh kelengkapannya dan dengan semua potensinya lalu berjalan menuju al-Baki di atas jalan keabadian. Sebagaimana lidahnya menyebut [يَا بَاقِى اَنْتَ الْبَاقِى], hati, roh, akal dan seluruh latifahnya juga perlu berkata:
[هُوَالْبَاق۪ى، هُوَالْاَزَلِىُّ الْاَبَدْ، هُوَالسَّرْمَدِىُّ، هُوَالدَّائِمُ ، هُوَالْمَطْلُوبُ، هُوَالْمَحْبُوبُ، هُوَالْمَقْصُودُ، هُوَالْمَعْبُودُ]
(سُبْحَانَكَ لَاعِلْمَ لَنَا اِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا اِنَّكَ اَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ)
(رَبَّنَا لَاتُواَخِذْنَا اِنْ نَسِينَا اَوْ اَخْطَاْنَا)