Kilauan Pertama

1. Page


بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ

﴿فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَن لا إِلَهَ إِلا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ﴾ 

(اِذْ نَادٰي رَبَّهُٓ اَنّ۪ي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَاَنْتَ اَرْحَمُ الرَّاحِم۪ينَ)

(فَاِنْ تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللّٰهُ لآَ اِلٰهَ اِلَّأ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظ۪يمِ)


(حَسْبُنَا اللّٰهُ وَنِعْمَ الْوَك۪يلُ)

لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلَّأ بِاللّٰهِ الْعَلِيِّ الْعَظ۪يمِ

يَا بَاق۪ٓي اَنْتَ الْبَاق۪ي يَا بَاق۪ٓي اَنْتَ الْبَاق۪ي


 

 

Bahagian pertama daripada Surat Ketiga Puluh Satu ini terdiri daripada enam kilauan yang menerangkan satu cahaya daripada cahaya yang banyak bagi setiap kalimah daripada kalimah-kalimah yang diberkati yang disebutkan di atas. Mengulangi bacaan kalimah-kalimah ini sebanyak tiga puluh tiga kali terutamanya antara waktu Maghrib dan Isyak mempunyai fadhilat (kelebihan) yang banyak.

2. Page

Kilauan Pertama

Sesungguhnya munajat Nabi Yunus bin Matta (selawat dan salam dicurahkan ke atas Nabi kita Yunus)  merupakan salah satu daripada munajat-munajat yang paling agung. Munajat ini juga merupakan wasilah pengabulan doa yang paling penting.

Ringkasan kisah yang masyhur mengenai Nabi Yunus 'Alaihis salam adalah seperti berikut: Baginda dicampakkan ke laut. Seekor ikan yang besar menelannya. Dalam keadaan laut bergelora, malam tidak tenteram dan gelap serta harapan terputus dari segenap arah itu, munajat baginda لاَ إِلَهَ إِلا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ  secara pantas menjadi perantara keselamatan baginda.   

Sesungguhnya rahsia agung bagi munajat ini adalah seperti berikut: Dalam keadaan itu, segala sebab (keselamatan) terputus secara keseluruhannya. Kerana dalam keadaan seperti itu, baginda memerlukan suatu kuasa di mana ikan, laut, malam malah ruang angkasa sekalipun akan mendengar daripadanya. Kerana malam, laut dan ikan nun bergabung untuk menentangnya. Justeru, hanya Zat yang mampu menundukkan ketiga-tiganya secara sekaligus di bawah perintah-Nya sahajalah yang dapat membawa Nabi Yunus ke pantai yang selamat. Kalaulah semua makhluk menjadi khadam baginda sekali pun, nescaya semua itu tetap tidak memberi faedah walaupun satu sen. Maknanya sebab-sebab tidak boleh memberi kesan.



3. Page

Oleh sebab Nabi Yunus 'Alaihis salam memahami secara ainul yakin bahawa tiada tempat berlindung kecuali kepada al-Musabbib al-asbab (penyebab bagi segala asbab iaitu Allah), serta oleh sebab rahsia keesaan tersingkap dalam cahaya tauhid, maka munajat itu membuatkan malam, laut dan ikan secara serentak tunduk (kepada Baginda).

        Melalui cahaya tauhid itu, ia mengubah perut ikan Nun besar itu menjadi kapal selam. Ia mengubah laut yang padanya terdapat ombak-ombak dahsyat seperti gunung-ganang yang bergegar menjadi padang pasir yang aman tenteram, taman untuk persiaran dan tempat mengambil angin. Melalui cahaya tauhid itu juga, munajat itu menyapu awan (hitam) dari wajah langit dan menjadikan bulan sebagai lampu di atasnya.

Makhluk-makhluk menakutkan yang mengancam dan menghimpitnya dari segenap arah itu memperlihatkan wajah persahabatan dari setiap sudut. Sehinggalah baginda berlabuh di pantai yang selamat. Sesungguhnya baginda menyaksikan Lutuf Rabbani (kesantunan Ilahi) itu di bawah pohon labu.

Demikianlah kita, sesungguhnya kita berada dalam keadaan yang seratus kali ganda lebih menakutkan berbanding dengan keadaan pertama Nabi Yunus 'Alaihis salam. Malam kita ialah masa hadapan. Malah, melalui pandangan kelalaian, masa hadapan kita adalah seratus kali ganda lebih gelap dan lebih dahsyat daripada malam Nabi Yunus 'Alaihis salam. Laut kita ialah bumi kita yang berputar-putar dalam kebingungan. Di dalam setiap ombak laut ini terdapat ribuan jenazah. Ia adalah seribu kali ganda lebih menakutkan daripada laut Nabi Yunus 'Alaihis salam.

Manakala hawa nafsu kita ialah ikan Nun kita. Ia berusaha menekan lalu membinasakan kehidupan abadi kita. Ikan Nun ini adalah seribu kali ganda lebih bermudarat daripada ikan Nabi Yunus 'Alaihis salam. Kerana ikan besar (yang menelan) Nabi Yunus 'Alaihis salam hanya membinasakan kehidupan yang selama seratus tahun. Manakala ikan besar kita berusaha untuk memusnahkan kehidupan kita yang selama ratusan juta tahun.



4. Page

Memandangkan beginilah keadaan sebenar kita, maka kita juga sepatutnya mencontohi Nabi Yunus 'Alaihis salam dengan cara memalingkan wajah kita daripada segala asbab lalu berlindung secara langsung kepada Rabb kita yang merupakan al-Musabbib al-Asbab dengan melafazkan لاَ إِلَهَ إِلا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ. Kita juga perlu memahami secara ainul yakin bahawa hanya Zat yang mana masa hadapan kita di bawah perintah-Nya, dunia di bawah pemerintahan-Nya dan jiwa kita di bawah pengurusan-Nya sahajalah yang boleh menghalang bahaya-bahaya masa hadapan, dunia dan hawa nafsu yang bersama-sama menentang kita kerana kelalaian dan kesesatan kita.

         Agaknya adakah wujud sebab yang lain selain daripada Pencipta langit dan bumi yang boleh mengetahui lintasan-lintasan hati kita yang paling halus dan paling rahsia, boleh menerangi masa hadapan dengan mencipta akhirat untuk kita dan boleh menyelamatkan kita daripada ratusan ribu ombak dunia yang melemaskan. Hasya! Tidak sama sekali. Sesungguhnya tiada sesuatu pun selain daripada Zat al-Wajib al-Wujud yang dapat membantu dan menjadi penyelamat daripada mana-mana aspek tanpa keizinan dan kehendak-Nya. 

Memandangkan beginilah keadaan sebenar, maka sebagaimana di penghujung munajat itu, ikan Nun menjadi kenderaan dan kapal selam, laut menjadi padang pasir yang indah dan malam berubah terang disiram purnama kepada Nabi Yunus 'Alaihis salam. Melalui rahsia munajat ini, kita juga sepatutnya melafazkan  لاَ إِلَهَ إِلا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ.



5. Page

Kita perlu menarik pandangan rahmat-Nya kepada masa hadapan kita melalui ungkapan لاَ إِلَهَ إِلا أَنتَ, kepada dunia kita melalui ungkapan سُبْحَانَكَ, dan kepada jiwa kita melalui ungkapan إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ. Hal ini demikian supaya masa hadapan kita bersinar dengan cahaya keimanan dan sinaran purnama al-Quran. Hal ini juga supaya kedahsyatan dan kesunyian malam kita itu berubah menjadi kemesraan dan kenyamanan.

Selain itu, supaya dunia dan bebola bumi kita; yang mempunyai ombak-ombak tahun dan kurunnya yang sentiasa ditumpangi jenazah-jenazah yang tidak terkira kerana bergantinya kematian dan kehidupan lalu dicampak ke dalam ketiadaan, juga dapat memasuki hakikat keislaman yang ibarat bahtera maknawi yang dibina di makmal al-Quran al-Hakim. Seterusnya supaya kita dapat berlayar di lautan itu dengan selamat sehingga kita berlabuh di pantai yang selamat lalu menamatkan tugas kehidupan kita.

Demikian juga supaya dengan memperbaharui pemandangan-pemandangan persiaran itu yang bagaikan layar-layar panggung wayang, maka sebagai ganti kepada kesunyian dan kedahsyatan; ribut-ribut dan goncangan-goncangan laut itu memberikan  keseronokan lalu membelai pandangan iktibar dan tafakur serta meneranginya.

Malah, mudah-mudahan melalui rahsia al-Quran dan tarbiah al-Furqan ini, nafsu kita akan menjadi kenderaan yang tidak akan menunggang kita bahkan ia membolehkan kita menunggangi nafsu kita lalu menjadi satu wasilah yang kuat untuk kita memperoleh kehidupan abadi.



6. Page

Kesimpulan: Memandangkan manusia dari aspek fitrahnya secara menyeluruh, sebagaimana dia merasa kesakitan apabila menghidap demam, dia juga merasa sakit dengan gempa dan goncangan bumi serta gempa terbesar ketika kiamatnya alam semesta. Malah sebagaimana dia takut kepada virus kecil yang tidak dapat dilihat kecuali dengan mikroskop, dia juga takut dengan meteor yang muncul di antara jirim-jirim yang tinggi (di langit). Serta sebagaimana dia mencintai rumahnya, dia juga mencintai dunia yang besar. Sebagaimana dia mencintai kebunnya yang kecil, dia juga mencintai syurga abadi yang tiada sempadan dengan kerinduan yang amat sangat, maka, sudah tentu bagi manusia yang seperti ini, hanya Zat yang seluruh alam semesta ini berada dalam genggaman urusan-Nya, dan segala zarah dan bintang-bintang yang bergerak berada di bawah perintah-Nya sahajalah yang boleh  menjadi (Tuhan) yang disembah, Rabb, tempat berlindung, penyelamat dan tujuannya.

Maka sudah tentu manusia yang seperti itu perlu sentiasa melafazkan لاَ إِلَهَ إِلا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ seperti Nabi Yunus 'Alaihis salam.

 

 

سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَٓا اِلَّأ مَا عَلَّمْتَنَٓا اِنَّكَ اَنْتَ الْعَل۪يمُ الْحَك۪يمُ