NAVIGATION
23. Page
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
8(اِذْ نَادٰي رَبَّهُٓ اَنّ۪ي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَاَنْتَ اَرْحَمُ الرَّاحِم۪ينَ)
Munajat Nabi Ayub yang merupakan pahlawan kesabaran ini adalah mujarab dan berkesan. Namun dalam munajat kita, kita perlu mengucapkan 9[رَبِّ اِنِّى مَسَّنِىَ الضُّرُّ وَاَنْتَ اَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ] secara iqtibas daripada ayat di atas.
Ringkasan bagi kisah Nabi Ayub yang masyhur adalah seperti berikut: Walaupun Nabi Ayub berada dalam (keadaan menderita dengan) luka-luka dan kudis untuk jangka masa yang lama, namun baginda bertahan menanggung penyakit itu dengan penuh kesabaran kerana memikirkan ganjaran yang besar bagi penyakit itu.
Kemudian, ketika ulat-ulat yang muncul daripada (rongga) luka baginda (mula) menyerang hati dan lidahnya, lalu kerana memikirkan kemungkinan terjejasnya Ubudiyyah yang dilakukan baginda melalui hati dan lidah yang merupakan tempat zikir dan
__________
24. Page
makrifah Ilahi, maka ini bukan sahaja menjejaskan kerehatan dirinya sendiri bahkan demi pengabdian kepada Ilahi, baginda berkata sambil bermunajat: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kemudaratan menimpaku. Ia menjejaskan zikir lidah dan ubudiyyah hatiku.”
Lalu Al-Haq mengabulkan munajat baginda yang ikhlas, bebas, suci, jauh daripada niat yang keji dan kerana Allah semata-mata itu dalam bentuk yang amat luar biasa. Allah menganugerahkan kesembuhan yang sempurna dan mengurniakan pelbagai rahmat ke atas baginda. Justeru, terdapat lima nuktah dalam kilauan ini.
Nuktah Pertama: Sesungguhnya dalam diri kita terdapat pelbagai penyakit batin, roh dan hati yang menyamai luka-luka zahir Nabi Ayub dan penyakit-penyakitnya. Sekiranya batin kita digantikan menjadi zahir dan zahir menjadi batin, nescaya akan kelihatan betapa kita mempunyai luka dan penyakit yang lebih parah daripada apa yang ada pada Nabi Ayub. Kerana, setiap dosa yang kita lakukan dan setiap keraguan yang memasuki kepala (fikiran) kita, sentiasa melukai hati dan roh kita.
Luka-luka Nabi Ayub hanya mengancam kehidupan duniawi baginda yang sangat singkat. Manakala luka-luka maknawi kita mengancam kehidupan abadi kita yang sangat panjang. Justeru, berbanding dengan baginda, kita seribu kali ganda lebih berhajat kepada Munajat Ayubiyyah itu.
Lebih-lebih lagi, ketika ulat-ulat muncul daripada luka-luka Nabi Ayub menyerang hati dan lidah baginda, dan demikianlah juga, perasaan was-was dan keraguan yang terhasil daripada luka-luka yang lahir daripada dosa-dosa kita. Na‘uzubillah, ulat-ulat itu mengganggu batin kita yang merupakan tempat keimanan, lalu mencalarkan keimanan. Ia menyerang rasa kenikmatan rohani lidah
25. Page
yang menjadi penterjemah keimanan lalu menjauhkannya daripada zikir dengan penuh kebencian bahkan mendiamkannya.
Ya, dosa merasuk hati, mengeraskannya lalu hati menjadi semakin gelap sehingga cahaya keimanan keluar daripadanya. Terdapat jalan menuju kekufuran dalam setiap dosa. Sekiranya dosa tersebut tidak segera dihapuskan dengan istighfar, nescaya dosa itu akan menggigit bukan sebagai seekor ulat bahkan sebagai seekor ular maknawi yang kecil.
Sebagai contoh: seseorang yang melakukan dosa yang memalukan secara tersembunyi, ketika dia sangat malu akan perlakuannya diketahui oleh orang lain, maka kewujudan para malaikat dan makhluk-makhluk rohani yang lain amat berat baginya. Lalu dia berhasrat mengingkari kewujudan para malaikat walaupun dengan satu tanda yang kecil.
Contoh yang lain: Seseorang yang melakukan dosa besar yang boleh mengundang azab neraka, jika dia tidak berlindung daripadanya dengan istighfar, setiap kali dia mendengar ancaman-ancaman neraka, maka satu hujah atau keraguan yang kecil memberikannya keberanian untuk mengingkari kewujudan neraka kerana dia amat mengharapkan ketiadaan neraka dengan seluruh jiwanya.
Contoh yang lain: Bagi seseorang yang tidak mendirikan solat-solat fardu dan tidak melaksanakan tugas ubudiyyah serta mudah terkesan dengan teguran kerana pengabaian tugas yang biasa daripada ketuanya yang berkedudukan kecil, kemalasan yang dilakukannya dalam kefardhuan terhadap perintah yang berulang oleh Sultan keazalian dan keabadian memberikan satu tekanan yang hebat kepadanya. Daripada tekanan itu dia berharap dan berkata secara maknawi: “Alangkah bagusnya tugas ubudiyyah itu tiada!”
26. Page
Justeru, daripada keinginan seperti itu bangkitlah satu keinginan pengingkaran yang berbau permusuhan maknawi terhadap Ilahi. Apabila satu keraguan mengenai kewujudan Allah terbit di hati, maka ia cenderung untuk berpegang kepadanya seolah-olah keraguan itu merupakan satu dalil yang pasti. Maka terbuka kepadanya satu pintu kemusnahan yang besar.
Si malang itu tidak mengetahui bahawa dia mendedahkan dirinya terhadap keingkaran itu demi kesulitan maknawi yang lebih teruk berjuta-juta bahkan berbilion-bilion kali ganda berbanding kesulitan juz’i (sedikit) yang muncul daripada (kemalasan melaksanakan) tugas kehambaan. Dia melarikan diri daripada gigitan nyamuk tetapi (sanggup) menerima patukan ular-ular.
Dan demikianlah, semoga tiga contoh ini dijadikan kiasan supaya rahsia ayat 10[بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ] difahami.
Nuktah Kedua: Sebagaimana diterangkan dalam perbahasan rahsia takdir dalam Kalimah Kedua Puluh Enam, manusia tidak memiliki hak untuk mengeluh terhadap pelbagai musibah dan penyakit kerana tiga aspek.
Aspek Pertama: Sesungguhnya Allah menjadikan baju tubuh yang dipakaikan-Nya kepada manusia sebagai tempat untuk menampilkan kesenian-Nya. Yakni, Dia menjadikan manusia sebagai model. Dia memotong, menggunting, menukar dan menggantikan baju tubuh di atas model itu lalu mempamerkan tajalli nama-nama-Nya yang berlainan. Sebagaimana nama ‘al-Syafi’ (Maha Penyembuh) menuntut adanya penyakit, nama ‘al-Razzaq” (Maha
Pemberi Rezeki) mewajarkan adanya kelaparan dan demikianlah juga مَالِكُ الْمُلْكِ
يَتَصَرَّفُ ف۪ي مُلْكِه۪ كَيْفَ يَشَٓاءُ, (Dia bertindak di dalam kekuasaan-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki).
__________
27. Page
Aspek Kedua: Sesungguhnya kehidupan itu menjadi jernih, mencapai kesempurnaan, menjadi kuat, meningkat, memberi hasil, menjadi sempurna dan melaksanakan tugas-tugasnya menerusi musibah-musibah dan penyakit-penyakit. Adapun kehidupan statik di atas tilam keselesaan adalah lebih dekat kepada ketiadaan yang merupakan keburukan sejati berbanding dengan kewujudan yang merupakan kebaikan sejati dan ia membawanya ke situ (ketiadaan).
Aspek Ketiga: Sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian dan tempat berkhidmat. Bukannya tempat kelazatan, upah atau ganjaran. Memandangkan dunia ialah tempat berkhidmat dan tempat kehambaan, maka segala penyakit dan musibah (dengan syarat bukan hal keagamaan dan dengan syarat bersabar ke atasnya) menjadi amat selaras dengan khidmat dan kehambaan tersebut, serta menguatkannya. Maka bukan mengeluh, bahkan hendaklah bersyukur ke atasnya, kerana segala penyakit dan musibah akan menjadikan setiap jam yang dilalui itu sebagai ibadah seharian penuh.
Ya, sesungguhnya ibadah terbahagi kepada dua. Satunya aktif dan satunya lagi adalah pasif. Ibadah aktif sudah dimaklumi. Sedangkan ibadah pasif ialah orang yang terkena musibah, melaksanakan ibadah yang murni setelah menyedari kelemahannya dengan segala penyakit dan musibah, lalu dia berlindung dan kembali kepada Tuhannya yang Maha Penyayang serta memikirkan Tuhannya dan merayu diri kepada-Nya. Ubudiyyah ini adalah murni, sifat riya' tidak menyusup ke dalamnya. Jika dia bersabar, memikirkan pahala musibah, dan bersyukur terhadapnya, maka ketika itu bertukarlah setiap jam yang dia hadapi kepada ibadah sehari penuh. Umurnya yang amat pendek menjadi umur yang panjang. Bahkan ada sebahagian daripadanya bertukar setiap minit kepada ibadah sehari penuh. Pada suatu ketika dahulu, aku sering berasa bimbang terhadap penyakit
28. Page
teruk yang dialami oleh salah seorang saudara akhiratku iaitu Hafiz Ahmad al-Muhajir. Lalu
diilhamkan ke dalam hatiku: "ucapkanlah tahniah" kerana sesungguhnya setiap minit daripada minit-minit kesakitannya bertukar menjadi ibadah sehari penuh. Sememangnya dia bersyukur kepada Allah dalam kesabaran.
Nuktah Ketiga: Sebagaimana yang kami terangkan dalam beberapa kalimah, setiap manusia apabila dia berfikir tentang kehidupannya yang lalu, maka hati dan lidahnya sama ada akan menyebut, “Ah” kerana mengeluh atau mengucap “oh” syukur الحمد للّٰه.
Apa yang mendorong kepada penyesalan ialah kesakitan-kesakitan maknawi yang lahir daripada hilangnya kelazatan zaman lampau dan perpisahan daripadanya. Kerana, hilangnya kelazatan merupakan satu kesakitan. Kadang-kadang kelazatan yang sementara memberikan kesakitan yang kekal. Manakala memikirkan (tentangnya) akan membuka kembali luka-luka kesakitan itu dan mengalirkan penyesalan.
Kelazatan maknawi dan kelazatan berterusan yang lahir daripada hilangnya kesakitan-kesakitan sementara yang menimpa seseorang itu dalam kehidupannya yang lampau menyebabkan ia mengucapkan الحمد للّٰه.
Bersama dengan keadaan fitrah itu, jika dia memikirkan pahala dan ganjaran-ganjaran ukhrawi yang merupakan natijah musibah-musibah dan memikirkan perubahan umur yang singkat kepada satu umur yang panjang menerusi musibah, maka dia akan lebih banyak bersyukur berbanding sabar. Ia akan mewajarkannya melafazkan: 11(الحمد لله على كل حال سوى الكفر والضلال).
_________
29. Page
Terdapat satu kata-kata yang masyhur, “tempoh musibah adalah panjang.” Ya, sesungguhnya masa musibah adalah panjang. Namun ia bukanlah panjang sebagaimana yang disangka menurut kebiasaan manusia iaitu ia adalah panjang kerana ia sulit. Bahkan, ia panjang kerana ia membuahkan natijah-natijah yang menghidupkan bagaikan satu umur yang panjang.
Nuktah Keempat: Sebagaimana dijelaskan pada maqam pertama kalimah kedua puluh satu bahawa sekiranya manusia tidak mengagih-agihkan kekuatan kesabaran yang dikurniakan Allah kepadanya di jalan waham (sangkaan), maka kekuatan itu adalah cukup untuk menghadapi setiap musibah.
Namun, apabila manusia mengagih-agihkan kekuatan kesabaran kepada masa lampau dan masa hadapan akibat penguasaan waham dan kelalaian insan serta kerana menyangka bahawa kehidupan yang fana itu akan kekal, maka pada waktu itu kesabarannya untuk menghadapi musibah yang sedang dihadapinya tidak akan mencukupi lalu dia akan mula mengeluh.
Seolah-olah dia -hasya- mengadukan Allah kepada seluruh manusia. Malah dia mengeluh tanpa hak bagaikan orang gila lalu memperlihatkan sikap tidak sabar. Kerana, setiap hari yang berlalu dalam musibah telah berlalu, maka telah pergi kesulitannya, kekal kerehatannya, telah hilang kesakitannya, masih kekal kelazatan yang terdapat pada kelenyapannya, telah berlalu tekanannya dan masih kekal pahalanya. Maka (sepatutnya) bukanlah keluhan terhadap hari-hari itu bahkan perlu bersyukur dengan penuh kelazatan. Bukannya merajuk kepada hari-hari itu sebaliknya perlu mencintainya. Kerana umur fananya yang berlalu itu berubah menjadi sejenis umur yang kekal dan bahagia lantaran perantaraan musibah. Oleh itu, memikirkan kesakitan-kesakitan pada hari-hari itu dengan waham
30. Page
lalu mengagihkan sebahagian kesabarannya kepada hari-hari itu merupakan satu kegilaan.
Adapun kerana hari-hari yang mendatang masih belum tiba, maka memikirkan penyakit dan musibah yang akan ditanggungnya pada hari tersebut, merupakan satu kebodohan. Demikian juga, betapa bodohnya kegilaan seorang yang meminum air dan memakan roti pada hari ini secara berterusan, kerana risau “aku akan lapar dan haus” pada esok hari atau lusa.
Demikianlah juga, memikirkan musibah-musibah dan penyakit-penyakit pada hari-hari mendatang (padahal sekarang musibah dan penyakit itu tidak ada), lalu merasai kesakitannya dari sekarang, kemudian memperlihatkan ketidaksabaran dan menzalimi diri sendiri tanpa dipaksa, merupakan satu kebodohan yang (sesungguhnya) mencabut haknya untuk mendapat belas kasihan dan rahmat.
Kesimpulan: Sebagaimana kesyukuran menambahkan nikmat, demikianlah juga keluhan menambahkan musibah malah mencabut haknya untuk mendapatkan rahmat.
Pada tahun pertama Perang Dunia Pertama di kota Erzurum, seorang lelaki yang diberkati ditimpa musibah dengan satu penyakit yang kronik. Aku pergi menziarahinya. Dalam keadaan keperitan, dia mengeluh kepadaku. Dia berkata: “Sejak seratus malam, aku tidak mampu meletakkan kepalaku di atas bantal dan tidak dapat tidur.” Aku berasa amat kasihan kepadanya, tiba-tiba terlintas di fikiranku lalu berkata: “Wahai saudaraku, sesungguhnya seratus harimu yang berlalu dalam keadaan keperitan itu adalah ibarat seratus hari yang penuh kegembiraan. Maka janganlah engkau mengeluh dan memikirkan semua itu, tetapi bersyukurlah setiap kali engkau merenunginya.”
31. Page
Adapun, memandangkan hari-hari yang akan datang masih belum tiba, maka bersandarlah kepada rahmat Tuhanmu Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Janganlah engkau menangis sebelum dipukul, janganlah engkau takut kepada sesuatu yang tidak wujud dan janganlah engkau memberikan warna kewujudan kepada ketiadaan. Fikirkanlah tentang masa ini, maka kekuatan kesabaranmu akan cukup untuk masa ini.
Janganlah engkau bertindak seperti seorang panglima yang gila ini! Sayap kanan musuh menyertai sayap kekuatan di sebelah kanannya. Walaupun hal itu menjadi satu kekuatan baharu untuknya, namun dia (tetap) menghantar pasukan yang penting ke sayap kanan. Walaupun askar musuh tiada dan masih belum tiba, dia menghantar satu lagi satu pasukan yang besar ke sayap kiri. Dia melemahkan kekuatan markas utama secara keseluruhan. Maka pihak musuh pun mengetahui hal itu lantas menyerang markas utama dan menghuru-harakannya."
Aku berkata kepadanya: “Wahai saudaraku, janganlah engkau bertindak sepertinya! Himpunkanlah segenap kekuatanmu untuk masa ini! Fikirkanlah rahmat Ilahi dan ganjaran akhirat, serta fikirkanlah bahawa usiamu yang fana itu telah kau ubah menjadi satu umur yang panjang dan kekal abadi. Bersyukurlah dalam kegembiraan sebagai ganti kepada keluhan yang pedih ini!” Dia pun berkata dengan merasai kegembiraan yang sempurna: “Alhamdulillah, kesakitan penyakitku turun daripada sepuluh kepada satu.”
Nuktah Kelima: Terdiri daripada tiga perbahasan.
Perbahasan Pertama: Musibah yang sebenar dan yang berbahaya ialah musibah yang menimpa agama. Hendaklah kita berlindung dan meminta pertolongan daripada Allah terhadap musibah yang
32. Page
menimpa agama. Namun musibah-musibah yang tidak menimpa agama, dari segi hakikatnya tidaklah dikira sebagai musibah.
Sebahagian daripadanya ialah peringatan al-Rahman. Sebagaimana seorang penggembala membaling batu ke arah biri-birinya yang menceroboh ladang kepunyaan orang lain, lalu daripada batu (yang dibaling itu) biri-biri merasakan bahawa ia merupakan satu peringatan untuk menyelamatkan mereka daripada bahaya, lalu biri-biri tersebut pulang semula dengan penuh rela hati.
Demikianlah juga, terdapat banyak musibah berbentuk zahir yang masing-masing merupakan satu peringatan dan amaran Ilahi. Sebahagiannya pula merupakan kafarah az-dzunub (penghapusan dosa-dosa). Sebahagiannya pula bertujuan menghilangkan kelalaian, menunjukkan kelemahan dan ketidakupayaan manusia, seterusnya memberikan rasa adanya pengawasan Allah.
Jenis musibah yang berbentuk penyakit (sebagaimana bahagiannya dijelaskan sebelum ini), bukanlah musibah bahkan suatu penghargaan Rabbani dan suatu pembersihan (dosa). Terdapat dalam satu riwayat (hadis): “Sebagaimana buah-buahan yang ranum gugur daripada pohonnya akibat goncangan, demikianlah gugurnya dosa-dosa seorang pesakit apabila dia menggigil kerana demam.”12
Dalam munajat baginda, Nabi Ayub tidak berdoa kepada Allah demi keselesaan dirinya, bahkan baginda memohon kesembuhan untuk beribadah ketika ia menjadi penghalang zikir lisan dan tafakkur hati.
Maka, tujuan kita yang pertama melalui munajat itu adalah berniat untuk mendapatkan kesembuhan bagi luka-luka maknawi
_________
33. Page
rohani kita yang berpunca daripada dosa-dosa (yang kita lakukan). Untuk penyakit-penyakit fizikal, ketika ia menjadi penghalang kepada ubudiyyah kita, maka kita boleh memohon perlindungan (daripada Allah). Namun, permohonan perlindungan itu bukanlah dalam bentuk penuh bantahan dan keluhan, bahkan ia perlulah dilakukan dalam bentuk yang penuh rasa rendah diri dan sangat mengharapkan bantuan.
Memandangkan kita redha dengan rububiyyah-Nya, maka kita mestilah redha dengan perkara yang diberikannya dari sudut rububiyyah-Nya itu. Mengeluh dengan kata-kata seperti “Ah! Cis!” dalam bentuk yang berbau bantahan terhadap qada’ dan qadar-Nya merupakan sejenis perbuatan mengkritik takdir dan menyalahkan rahmat. Sesiapa yang mengkritik takdir (bagaikan) menghentak lalu memecahkan kepalanya ke landasan besi. Sesiapa yang menyalahkan rahmat (Allah) akan terhalang daripada rahmat-Nya. Sebagaimana menggunakan tangan yang patah untuk membalas dendam akan menambahkan lagi kepatahannya. Demikianlah juga orang yang ditimpa musibah, jika ia menyambutnya dengan
keluhan dan persoalan yang penuh bantahan, maka dia (sesungguhnya) menggandakan musibahnya.
Perbahasan Kedua: Apabila musibah-musibah fizikal dianggap besar maka ia semakin membesar, tetapi apabila ia dianggap kecil maka ia akan semakin mengecil.
Sebagai contoh: (Kadang-kadang) suatu jelmaan khayalan kelihatan kepada mata manusia pada waktu malam. Setiap kali ia diberi perhatian maka ia mengembang dan membesar, namun jika ia tidak diendahkan maka ia akan menghilang. Sebagaimana lebah yang sedang menyerang akan lebih menyerang apabila diusik, namun lebah-lebah itu akan bersurai sekiranya tidak diganggu.
34. Page
Demikianlah juga musibah-musibah fizikal, semakin ia dipandang dengan pandangan yang besar dan penting ia akan membesar. Disebabkan kerisauan, musibah itu akan berpindah dari jasad lalu berakar di hati, lantas menghasilkan satu musibah maknawi yang lain. Ia akan bersandar kepada kerisauan itu dan akan berterusan.
Apabila manusia menghilangkan kerisauan itu dengan redha pada qada’ dan qadar serta dengan tawakal, maka musibah fizikal itu akan menjadi semakin ringan lalu kering dan menghilang seperti sebatang pohon yang dipotong akarnya.
Untuk menjelaskan hakikat ini, aku pernah menyatakan:
“Tinggalkanlah ratapan kerana musibah, mari dan bertawakkallah wahai si bingung!
Kerana, ketahuilah, bahawa ratapan adalah kesalahan, ia merupakan musibah dalam musibah!
Jika engkau mengetahui siapa Pemberi musibah, maka ketahuilah bahawa musibah itu adalah anugerah dan kelapangan dalam musibah!
Jika engkau tidak menemui siapa Pemberi musibah, maka ketahuilah bahawa seluruh dunia adalah musibah dalam kesengsaraan dan penderitaan!
Kenapa menjerit kerana musibah yang kecil, sedangkan di atasmu ada musibah sebesar dunia, ayuh bertawakallah!
Hadapilah musibah dengan senyuman, moga ia juga turut tersenyum. Sebaik sahaja ia tersenyum, ia akan mengecil dan berubah.”
35. Page
Sebagaimana melalui senyuman terhadap musuh dalam pergaduhan, permusuhan menjadi perdamaian, dendam menjadi gurauan, permusuhan mengecil lalu menghilang, maka menghadapi musibah dengan tawakal juga adalah seperti itu.
Perbahasan Ketiga: Pada setiap zaman, terdapat hukumnya yang tersendiri. Pada zaman kelalaian ini, musibah berubah bentuknya. Pada sesetengah zaman dan pada sesetengah individu, bala bukanlah bala, bahkan satu Luthfu Ilahi (kesantunan Ilahi). Oleh sebab aku berpendapat bahawa orang yang ditimpa bala yang berupa penyakit pada zaman ini (dengan syarat musibah itu tidak menyentuh agama) adalah orang yang bertuah, maka aku tidak menganggap bahawa penyakit dan musibah itu sebagai negatif, dan ia tidak mewariskan kepadaku perasaan untuk berasa kasihan kepada mereka.
Kerana, sekiranya datang mana-mana pemuda yang sakit kepadaku, aku dapati bahawa pemuda yang sakit itu lebih terikat pada tugas keagamaan dan akhirat, berbanding pemuda-pemuda lain sepertinya. Aku memahami daripadanya bahawa pada mereka yang seperti itu, penyakit-penyakit bukanlah musibah, (namun) ia merupakan sejenis nikmat Ilahi.
Kerana, walaupun secara zahirnya penyakit itu mewariskan kesulitan kepada kehidupan duniawinya yang fana dan singkat, namun ia memberi manfaat kepada kehidupan abadinya dan menjadi sejenis ibadat. Sekiranya dia sihat, dia pasti tidak dapat memelihara keadaannya (seperti) ketika sakit dahulu akibat kemabukan masa muda dan kemaksiatan zaman, bahkan dia akan terjun ke dalam kemungkaran.
36. Page
Penutup: Untuk memperlihatkan kudrat-Nya yang tiada batasan dan rahmat-Nya yang tiada penghujung, Allah menyematkan kelemahan yang tiada batasan dan kefakiran yang tiada penghujung dalam (diri) insan. Malah untuk memperlihatkan ukiran nama-nama-Nya yang tidak terkira, maka Dia menjadikan insan dalam bentuk ibarat sebuah jentera yang merasai kesakitan-kesakitan dari sudut yang tidak terkira, sebagaimana dia dapat merasai kelazatan-kelazatan dari sudut yang tidak terkira.
Pada jentera manusiawi itu terdapat ratusan peralatan. Kesakitan bagi tiap-tiap satunya adalah berlainan. Kelazatannya berlainan, tugasnya berlainan, ganjarannya juga berlainan. Seolah-olah semua nama-nama Ilahi yang tersingkap di alam yang merupakan insan terbesar turut tersingkap pada insan yang merupakan sebuah alam terkecil.
Pada insan juga terdapat tajalli bagi Nama-Nama Allah secara umum. Sebagaimana perkara-perkara bermanfaat seperti kesihatan, afiat dan kelazatan pada hal ini menyebabkan syukur dilafazkan serta mendorong jentera maknawi kepada tugas-tugasnya dari banyak sudut, maka manusia itu pun menjadi sebuah kilang syukur. Demikianlah juga, ia mendorong dan menggerakkan sebahagian roda-roda gerigi jentera itu melalui musibah-musibah, penyakit-penyakit, kesakitan-kesakitan dan semua kekurangan yang bersifat mengujakan dan
menggerakkan.
Ia menyebabkan sumber kelemahan, kedaifan dan kefakiran yang tersemat dalam fitrah manusia berfungsi. Ia mendorong kepada keadaan untuk berlindung dan meminta pertolongan, bukan melalui satu lidah sahaja bahkan melalui lidah-lidah bagi setiap anggota. Seolah-olah, melalui kekurangan-kekurangan itu, insan menjadi sebatang pena bergerak yang mengandungi ribuan
37. Page
pena yang berlainan. Ia menulis ketentuan-ketentuan kehidupannya pada lembaran kehidupannya ataupun pada Luh Mithali (papan gambaran maknawi). Serta ia menjadi papan iklan kepada nama-nama Ilahi dan menjadi ibarat sebuah qasidah as-Subhan yang puitis, lalu
manusia menunaikan tugas fitrahnya.