NAVIGATION
15. Page
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
Perbualan dengan beberapa orang pemuda yang dikelilingi godaan fitnah yang mempesona tetapi belum hilang kewarasan
Kerana tertanya-tanya tentang “bagaimana untuk menyelamatkan akhirat kami apabila berhadapan dengan maksiat serta serangan hawa nafsu masa kini yang memperdaya dan mempesona”, sebahagian pemuda telah meminta bantuan daripada Risalah an-Nur.
Atas nama peribadi maknawi Risalah an-Nur, saya berkata kepada mereka: “Kubur ada dan sesiapa pun tidak boleh mengingkarinya. Mahu tidak mahu, semua orang akan masuk ke sana. Untuk memasukinya pula, tiada jalan selain daripada tiga jalan dalam tiga bentuk.
Jalan Pertama: Bagi orang yang beriman, kubur itu ialah pintu untuk menuju ke sebuah alam yang lebih indah daripada dunia ini.
Jalan Kedua: Bagi orang yang mempercayai akhirat tetapi menujunya dalam jalan kemungkaran dan kesesatan, kubur ialah pintu penjara abadi dan penjara perseorangan serta persendirian yang memisahkannya daripada semua teman. Oleh sebab dia melihat, beriktikad dan tidak bertindak seperti yang diimaninya, dia akan menerima layanan yang sebegitu.
16. Page
Jalan Ketiga: Bagi orang yang ingkar dan sesat kerana tidak mengimani akhirat, kubur ialah pintu penghapusan abadi iaitu tali gantung yang akan menghapuskan dirinya serta semua insan yang disayanginya. Oleh sebab dia memahami begitu, maka dia akan mendapat balasan yang sedemikian sebagai hukuman.
Dua pilihan ini adalah jelas dan tidak memerlukan bukti dan boleh dilihat dengan mata.
Ajal adalah tersembunyi. Kematian pula boleh datang pada bila-bila masa sahaja untuk memenggal kepalamu. Ia tidak membezakan muda atau tua. Maka sudah tentu di hadapan masalah dahsyat dan besar yang sentiasa di hadapan mata ini, iaitu usaha mencari jalan untuk menyelamatkan diri daripada hukuman mati yang abadi, penjara perseorangan buat selamanya yang tidak berdasar dan masalah untuk mengubah pintu kubur kepada pintu yang dibuka menuju alam baqa’, kebahagiaan abadi dan alam bercahaya untuk diri sendiri oleh insan yang tidak berdaya itu adalah satu masalah yang sebesar dunia..
Seratus dua puluh empat ribu pemberi khabar yang benar (al-mukhbirus sadiq) iaitu para Nabi yang di tangan mereka terdapat mukjizat-mukjizat yang menjadi lambang kebenaran mengkhabarkan bahawa hakikat yang pasti ini ditemui menerusi tiga jalan tersebut. Tiga jalan itu akan wujud menerusi tiga hakikat yang telah dinyatakan tadi. Penyaksian kepada hakikat yang sama oleh seratus dua puluh empat juta para wali membenarkan dan menyetujui perkhabaran serupa yang diberitahu oleh para Nabi menerusi kekasyafan, zauq (deria maknawi) dan penyaksian. Bukti perkhabaran para Nabi dan wali itu oleh para muhakkik yang sangat ramai dan tidak terhitung menerusi dalil-dalil yang
17. Page
kuat secara aqli[1] sehingga tahap ‘ilmal yakin dengan sembilan puluh sembilan peratus kebarangkalian yang pasti, secara sepakat memberitahu bahawa jalan untuk menyelamatkan diri daripada hukuman mati dan penjara abadi dan untuk mengubah jalan itu kepada kebahagiaan abadi hanyalah menerusi keimanan dan ketaatan.
Pada kebiasaannya, untuk tidak melalui jalan yang mempunyai satu peratus kemungkinan kecelakaan, pandangan seorang pemberitahu akan diambil kira. Namun, adalah sesuatu yang menghairankan apabila seseorang itu tidak mendengar kata-kata pemberitahu tersebut dan tetap melalui jalan itu. Sedangkan kesakitan maknawi yang datang daripada kerisauan tentang kecelakaan telah menghilangan selera makannya.
Begitu juga sekiranya insan yang tidak berdaya terutamanya orang Islam yang berada di hadapan masalah yang luar biasa, pelik, dahsyat dan besar ini tidak memiliki keimanan dan tidak melaksanakan pengabdian. Sedangkan, ratusan ribu para pemberitahu yang benar dan diakui telah mengkhabarkan dengan seratus-peratus kemungkinan bahawa kesesatan dan kemungkaran menjadi sebab utama kepada kewujudan tali gantung kubur dan penjara perseorangan abadi yang berada di hadapan mata. Manakala keimanan dan pengabdian dengan seratus-peratus kemungkinan menghapuskan tali gantung, menutup penjara perseorangan dan mengubah kubur di hadapan mata itu menjadi pintu yang dibuka menuju khazanah keabadian dan istana kebahagiaan. Para pemberitahu itu juga telah menunjukkan tanda-tanda dan kesan-kesannya.
Maka, saya bertanya kepada kalian, sekiranya kerajaaan dan kelazatan seluruh dunia diberikan kepada seorang manusia, agaknya adakah dia mampu menghilangkan kesakitan pedih yang datang daripada kerisauan pada insan yang sentiasa menanti giliran untuk dipanggil ke kubur yang ada di hadapan mata itu?
18. Page
Memandangkan ketuaan, kesakitan, musibah dan kematian di semua tempat menggali dan mengingatkan kesakitan dahsyat itu, sudah tentu, neraka maknawi itu akan terus menyala di dalam hati golongan yang sesat dan mungkar itu dan membakarnya walaupun mereka menikmati seratus ribu kelazatan dan keseronokan. Namun, dungu kelalaian yang amat tebal menyebabkan mereka tidak merasainya buat sementara waktu.
Ahli iman dan mereka yang taat melihat kubur yang di hadapan mata itu sebagai pintu untuk mereka menuju khazanah keabadian dan kebahagiaan yang berkekalan. Malah menerusi pas keimanan, tiket yang dapat memperolehkan berbilion-bilion emas dan berlian daripada harta perjudian nasib (loteri) yang azali juga telah menjadi milik mereka.
Oleh sebab itu, kelazatan yang mendalam, berasas dan hakiki serta keseronokan maknawi yang lahir daripada setiap detik penantian akan pelawaan “mari ambil tiketmu’ itu adalah kelazatan yang sekiranya ia berbentuk dan sekiranya biji itu menjadi pohon maka ia adalah ibarat sebuah syurga yang khusus untuk mereka.
Namun, orang yang meninggalkan keseronokan dan kelazatan agung itu kerana runtunan usia muda lalu memilih kelazatan terlarang yang sementara dan menyerupai madu beracun yang bercampur dengan kesakitan yang tidak terkira itu dalam kemungkaran dan mengikut nafsu pula, jatuh seratus darjat lebih rendah berbanding dengan haiwan.
Dia juga tidak boleh menjadi seperti orang asing yang tidak beragama. Ini kerana, jika mereka mengingkari Rasul Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam mereka boleh mengenali para Rasul selain baginda. Jika mereka tidak mengenali para Rasul sekalipun, mereka masih boleh mengenal Allah. Jika mereka tidak mengenal Allah
19. Page
sekalipun, sesetengah akhlak mulia yang boleh menjadi asas kepada kesempurnaan masih boleh ditemui.
Tetapi, seorang Muslim mengetahui para Nabi, Rabb serta semua kesempurnaan melalui perantaraan Nabi Muhammad al-‘Arabi Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam. Orang yang meninggalkan tarbiah baginda dan keluar daripada rantaiannya tidak akan mengenali lagi mana-mana Rasul dan tidak akan mengenali Allah juga. Dia tidak akan mengetahui apa-apa asas yang akan memelihara kesempurnaan pada rohnya. Sudah tentu orang yang meninggalkan tarbiah asasi dan asas-asas agama baginda Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam tidak akan dapat menemui cahaya dan kesempurnaan pada mana-mana sudut. Ini kerana baginda merupakan Rasul terakhir dan teragung. Baginda mengatasi segalanya dari sudut mukjizat dan agama. Ad-din dan dakwah baginda melibatkan seluruh umat manusia. Baginda juga merupakan Rasul yang menjadi ustaz kepada sekalian bangsa manusia dalam semua hakikat dan mengisbatkannya dalam suatu bentuk yang terang selama empat belas kurun dan menjadi lambang kebanggaan umat manusia. Maka, orang itu terhukum dengan kehinaan mutlak.
Justeru wahai insan-insan malang tidak berdaya yang ketagih dengan kelazatan hidup duniawi dan bertungkus-lumus untuk menjamin masa hadapan dan kehidupannya dengan kebimbangan tentang masa hadapan! Jika kalian menginginkan kelazatan, keseronokan, kebahagiaan dan kesenangan dunia, berpuas hatilah dengan keseronokan dalam lingkungan syariat. Itu adalah cukup untuk keseronokan kalian.
Pastinya dalam penerangan-penerangan yang lalu, kalian telah memahami bahawa terdapat seribu kesakitan di dalam kelazatan yang ada pada selainnya dan dalam lingkungan perkara yang melanggar syariat.
20. Page
Jika hal-hal pada masa hadapan contohnya keadaan selepas lima puluh tahun ditayangkan di panggung sebagaimana yang dipertontonkan melalui tayangan wayang pada masa kini, nescaya golongan mungkar akan mencemuh dan membenci lalu menangisi ratusan ribu tawa mereka pada masa ini. Justeru, orang yang menginginkan kegembiraan abadi dan berterusan di dunia dan akhirat perlu menjadikan tarbiah Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang berada dalam lingkungan keimanan sebagai pedoman kepada diri sendiri.