Perbahasan Kedua bagi Noktah Kedua - Daripada Mauqif Ketiga bagi Kalimah Ketiga Puluh Dua

84. Page

Perbahasan Kedua bagi Noktah Kedua

Daripada Mauqif Ketiga bagi

Kalimah Ketiga Puluh Dua  

Apabila tidak dapat menemui sebarang benda untuk dipegang dan membina kesesatan di atasnya serta apabila tewas, wakil golongan sesat berkata seperti berikut:


Oleh sebab aku berpendapat bahawa bagiku kebahagiaan dunia, kelazatan hidup, kemajuan tamadun dan kesempurnaan hasil kerja adalah dengan tidak memikirkan akhirat, tidak mengenali Allah, cintakan dunia, kebebasan dan percaya kepada diri sendiri, maka dengan bantuan syaitan, aku telah dan masih memandu ramai manusia ke jalan ini.


Jawapan: Atas nama al-Quran, kami pun berkata: Wahai manusia yang kebuntuan! Fikir baik-baik! Janganlah dengar kepada wakil golongan sesat! Jika kamu mendengarnya, sesungguhnya kerugian kamu adalah amat besar sehingga roh, akal dan hati juga berasa gerun untuk membayangkannya. Di hadapanmu ada dua jalan:


Pertama: Jalan kesengsaraan yang ditunjukkan oleh wakil kesesatan.


Kedua: Jalan kebahagiaan yang diperkenalkan oleh al-Quran al-Hakim.


Justeru, kamu telah melihat dan memahami tentang perbandingan yang amat banyak di antara dua jalan itu dalam kalimah-kalimah yang banyak khususnya dalam Kalimah-kalimah Kecil. Sekarang bersesuaian dengan tempatnya, mari lihat dan fahami semula satu daripada seribu perbandingannya. Ia seperti berikut:

85. Page

Jalan kesyirikan, kesesatan, kefasikan dan kemungkaran menjatuhkan manusia ke tahap yang paling bawah. Dalam kesakitan yang tiada batasan, ia turut memikulkan bebanan yang teramat berat ke pinggangnya yang daif dan lemah. Ini kerana sekiranya insan tidak mengenali Allah dan tidak bertawakkal kepada-Nya, pada waktu itu insan ibarat haiwan fana yang sangat lemah dan daif, terlalu berhajat dan fakir, terdedah kepada musibah yang tidak terkira, menderita dan sedih. Lalu oleh sebab sentiasa menanggung kesakitan demi kesakitan perpisahan daripada semua benda yang dicintai dan ada hubungan dengannya, pada akhirnya, dia meninggalkan semua kekasihnya yang tinggal di dalam perpisahan yang menyakitkan lalu masuk ke dalam kegelapan kubur secara bersendirian. Di samping itu, sepanjang hayatnya dia turut bertarung secara sia-sia dengan kesakitan dan cita-cita yang tidak berkesudahan bersama dengan kehendak yang sangat juz’i, keupayaan yang kecil, kehidupan yang singkat, umur yang pendek dan fikiran yang malap. Dia berusaha secara sia-sia tanpa hasil untuk mencapai keinginan dan tujuannya yang tidak terkira. Malah walaupun tidak boleh memikul dirinya sendiri, dia memikulkan beban dunia yang besar ke pinggang dan kepalanya yang malang. Maka dia mengecap azab neraka sebelum pergi ke neraka.



Ya, untuk tidak merasai kesakitan yang pedih dan azab maknawi yang dahsyat itu, melalui kemabukan kelalaian daripada jenis ibtal al-his (menghilangkan perasaan) golongan sesat tidak merasainya buat sementara waktu. Tetapi waktu dia akan merasainya ialah waktu apabila dia telah menghampiri kubur, dia akan merasainya secara tiba-tiba. Ini kerana sekiranya dia tidak menjadi hamba yang sebenar kepada al-Haq Subhanahu wa Taala, dia akan menyangka bahawa dia 

86. Page

adalah pemilik kepada diri sendiri. Walhal, dia tidak boleh menguruskan kewujudannya di dunia yang beribut ini dengan kehendak yang kecil dan keupayaan yang sedikit itu. Dia melihat ribuan kelompok musuhnya bermula daripada mikrob yang bermudarat sampai kepada gempa bumi adalah dalam keadaan menyerang kehidupannya.


Dalam kedahsyatan ketakutan yang menyakitkan, dia sentiasa memandang pintu kubur yang baginya kelihatan menakutkan. Dalam keadaan begitu walaupun dia mempunyai hubungan dengan bangsa manusia dan dunia dari segi kemanusiaan, namun oleh sebab dia tidak memikirkan bahawa dunia dan manusia di bawah urusan Dzat yang al-Hakim, al-‘Alim, al-Qadir, ar-Rahim dan al-Karim bahkan menyerahkan itu semua kepada tasaduf (kebetulan) dan alam, maka ketakutan-ketakutan di dunia dan hal-ehwal manusia sentiasa mengganggunya. Bersama dengan kesakitannya sendiri, dia turut merasai kesakitan insan lain. Gempa, taun, taufan, kemarau, banjir, kefanaan dan kelenyapan dunia mengazabnya dalam bentuk yang sangat mengganggu dan dalam bentuk musibah yang gelap-gelita.


Malah orang yang dalam keadaan begitu tidak layak kepada belas dan kasih-sayang. Ini kerana dia sendiri yang menyebabkan keadaan yang dahsyat itu berlaku kepada dirinya. Ia adalah sepertimana yang telah disebutkan dalam Kalimah Kelapan tentang perbandingan keadaan antara dua bersaudara yang masuk ke dalam perigi. Salah seorang daripadanya tidak berpuas hati dengan kelazatan dan hiburan yang bersih, sedap, sopan, menarik dan halal di taman yang indah, jamuan yang enak dan di kalangan teman-teman yang baik. Lalu dia meminum minuman yang kotor dan najis 

87. Page

demi kelazatan yang haram dan jijik. Dia menjadi mabuk lalu mengkhayalkan seolah-olah dirinya berada di tengah musim sejuk, di tempat yang kotor, bahkan bersama-sama binatang buas. Lantas dia menggigil, menjerit dan berteriak. Maka dia memang tidak layak kepada belas kasihan.


Ini kerana dia menggambarkan teman-temannya yang bermaruah dan mulia sebagai binatang buas lalu mencela mereka. Malah, dia turut menggambarkan bahawa makanan yang lazat dan bekas-bekas yang bersih dalam jamuan itu adalah jijik dan kotor lalu dia mula memecahkannya. Malah dia juga menggambarkan kitab-kitab berharga yang berjilid dan surat-surat yang bermakna sebagai ukiran yang tidak bermakna dan biasa. Dia mengoyakkan dan membuangnya ke tanah dan begitulah seterusnya. Maka, orang yang seperti ini tidak layak kepada belas kasihan, bahkan patut ditampar.


Sama seperti itu juga, oleh sebab seseorang itu menyangka bahawa dewan pertamuan dunia as-Sani’ al-Hakim adalah mainan tasaduf (kebetulan) dan alam lalu menggambarkan bahawa pemergian makhluk ciptaan-Nya yang memperbaharui tajalli Asma’ Ilahi ke alam ghaib kerana tamatnya tugas melalui peredaran masa adalah ketiadaan dan penghapusan, mengkhayalkan bahawa gema-gema tasbih adalah ratapan kelenyapan dan perpisahan abadi dan menganggap bahawa muka surat maujudat yang merupakan tulisan as-Samad ini sebagai tidak bermakna dan bercampur-aduk, menganggap pintu kubur yang membuka jalan ke alam rahmat mulut kegelapan ketiadaan dan menganggap ajal ialah giliran untuk berpisah daripada semua kekasih walaupun ia adalah undangan untuk bertemu dengan para kekasih hakiki, maka di samping dia membiarkan dirinya di dalam azab yang dahsyat, malah

88. Page

oleh sebab dia mengingkari, merendahkan dan menghina maujudat, nama-nama Allah dan tulisan-tulisan-Nya akibat kemabukan kekufuran dan kegilaan kesesatan yang lahir daripada kehendaknya yang buruk, maka sebagaimana orang itu tidak layak kepada belas kasihan dan kasih-sayang, dia juga layak kepada azab yang dahsyat. Dia tidak layak kepada belas kasihan dari mana-mana sudut.


Justeru wahai golongan sesat dan mungkar yang malang! Mana satukah pencapaian, ilmu, kesempurnaan, ketamadunan dan kemajuan kalian yang boleh menghalang kejatuhan yang dahsyat dan berdepan dengan keputusasaan yang menyedihkan itu? Di manakah kalian dapat menemui ketenangan hakiki yang paling diperlukan dan dihajati oleh roh manusia?


Mana satukah alam, sebab, sekutu, penemuan, bangsa dan sembahan batil kalian yang kalian percayai, bergantung harap dan kalian telah sandarkan karya Ilahi dan kurniaan Rabbani kepadanya yang boleh menyelamatkan kalian daripada kegelapan mut yang menurut kalian adalah penghapusan abadi lalu dapat menolong kalian melintasi sempadan kubur, barzakh, Mahsyar dan titian Sirat secara berkuasa dan dapat membawa kepada kebahagiaan abadi?


Sedangkan, oleh sebab kalian tidak dapat menutup pintu kubur, secara pasti, kalian adalah pengembara di jalan ini. Pengembara yang seperti ini hanya bersandar kepada Dzat yang semua lingkungan yang besar dan sempadan yang luas ini adalah di bawah perintah dan urusan-Nya.


Malahan pula, wahai golongan sesat dan lalai yang malang! Natijah bagi percintaan yang haram ialah pengecapan azab 

89. Page

yang tiada belas. Berdasarkan rahsia kaedah ini, oleh sebab kalian telah menggunakan kemampuan rasa cinta dan makrifah serta peralatan syukur dan ibadah pada fitrah kalian yang sepatutnya digunakan untuk Dzat, sifat dan nama Allah kerana nafsu dan dunia dalam bentuk yang haram, maka sudah tentu kalian patut menerima hukumannya. Ini kerana, kalian telah menyerahkan cinta milik al-Haq Subhanahu wa Taala kepada nafsu kalian. Maka kalian mendapat bala yang tiada sempadan bagi nafsu yang menjadi kekasih kalian. Ini kerana kalian memberikan kerehatan sebenar kepada kekasih kalian itu. Malah, kalian tidak menyerahkannya kepada al-Qadir al-Mutlaq yang merupakan kekasih hakiki dengan tawakkal, maka kalian merasai kesakitan yang berterusan.


Di samping itu, kalian telah menyerahkan cinta yang menjadi milik nama dan sifat al-Haq Subhanahu wa Taala kepada dunia dan kalian telah membahagi-bahagikan karya-karya kesenian-Nya kepada sebab-sebab alam, maka kalian menanggung bencananya.


Ini kerana sebahagian kekasih kalian yang tidak terkira itu tidak mengucapkan selamat tinggal, membelakangi dan meninggalkan kalian lantas berlalu pergi. Sebahagiannya pula langsung tidak mengenali kalian. Jika kenal sekalipun ia tidak menyukai kalian. Jika suka sekalipun ia tidak memberi faedah kepada kalian. Maka kalian sentiasa menanggung azab daripada perpisahan yang tidak terkira dan kelenyapan buat selamanya yang tiada harapan (untuk kembali).


Justeru, inilah wajah sebenar dan perihal semua perkara yang disebut sebagai kebahagiaan hidup, kematangan manusia, kebaikan tamadun dan kelazatan kebebasan oleh golongan sesat. Kemungkaran dan kemabukan ialah tabir. Keduanya 

90. Page

tidak merasakan kesakitan itu buat sementara waktu. Maka katakanlah: “Celakalah akal mereka!”


Walau bagaimanapun, jalan nurani al-Quran pula merawat luka-luka yang dideritai semua kaum yang sesat melalui hakikat-hakikat keimanan. Ia juga menyuraikan kegelapan di jalan sebelum ini. Ia menutup semua pintu kesesatan dan kemusnahan dengan cara berikut: Ia merawat kedaifan, kelemahan, kefakiran dan keperluan manusia kepada al-Qadir ar-Rahim melalui tawakkal. Apabila manusia menyerahkan beban kehidupan dan tubuhnya kepada qudrat dan rahmat-Nya dan tidak memikulkannya ke atas diri sendiri, nescaya dia akan menemui suatu maqam yang merehatkan seolah-olah dia sendiri yang menunggangi kehidupan dan nafsunya itu. Dia memberitahu bahawa dirinya bukanlah seekor haiwan yang bertutur bahkan insan sebenar dan tetamu ar-Rahman yang diterima. Dengan memperlihatkan bahawa dunia adalah rumah tamu ar-Rahman dan maujudat di dunia pula adalah cerminan nama Ilahi dan dengan memberitahu bahawa hasil seni-Nya pula ialah tulisan-tulisan as-Samad yang diperbaharui setiap waktu, dengan cara yang baik, ia merawat luka-luka insan yang datang daripada kefanaan dunia, kelenyapan benda-benda dan kecintaan kepada yang fana dan menyelamatkan manusia daripada kegelapan prasangka.


Malah ia memperlihatkan kematian dan ajal sebagai permulaan untuk berjumpa dan bertemu semula dengan para kekasih yang telah pergi ke alam barzakh dan berada di alam baqa’. Dengan cara ini, ia merawat luka-luka kematian yang dilihat sebagai perpisahan abadi daripada para kekasih menurut pandangan golongan sesat.

91. Page

Ia mengisbatkan bahawa perpisahan itu adalah pertemuan itu sendiri. Dengan mengisbatkan bahawa kubur adalah pintu yang dibuka menuju alam rahmat, negara kebahagiaan, taman syurga dan negara cahaya ar-Rahman, ia melenyapkan ketakutan manusia yang paling dahsyat lalu memperlihatkan bahawa pengembaraan barzakh yang paling menyakitkan, mencabar dan susah adalah perjalanan yang paling seronok, indah dan menggembirakan. Ia menutup kubur dan mulut naga itu dan membuka pintu ke taman yang indah. Yakni, ia memperlihatkan bahawa kubur bukanlah mulut naga bahkan pintu yang dibuka menuju taman rahmat.


Ia juga berkata kepada orang mukmin: Jika ikhtiarmu (pilihanmu) adalah juz’i, maka serahkanlah kerjamu kepada kehendak menyeluruh al-Malik-mu sendiri. Jika keupayaanmu tidak seberapa, maka bergantunglah kepada qudrat al-Qadir al-Mutlaq. Jika hidupmu sebentar, maka fikirkanlah kehidupan yang baqa’. Jika umurmu pendek, jangan risau, kamu memiliki umur yang abadi. Jika fikiranmu malap, masuklah ke bawah cahaya mentari al-Quran dan pandanglah dengan nur keimanan. Ini kerana, sebagai ganti kepada fikiranmu yang seperti kelip-kelip, setiap ayat al-Quran memberikanmu cahaya seperti sebutir bintang. Malah sekiranya kamu mempunyai cita-cita dan kesakitan yang tidak terkira, sesungguhnya pahala yang tidak berpenghujung dan rahmat yang tiada sempadan sedang menantimu. Jika kamu mempunyai keinginan dan tujuan yang tidak terkira, janganlah berkeluh-kesah memikirkannya. Semua itu tidak boleh memuati dunia ini. Tempat semua itu adalah di tempat lain dan Pemberinya juga adalah yang lain.

92. Page

Ia juga berkata: Wahai insan! Kamu tidak memiliki dirimu sendiri. Kamu dimiliki oleh al-Qadir yang qudrat-Nya tidak terkira dan Dzat ar-Rahim Dzul Jalal yang rahmat-Nya tidak terbatas.


Oleh itu, janganlah kamu menyusahkan diri dengan memikul kehidupanmu ke atas diri sendiri. Ini kerana, Dia yang memberikan kehidupan dan Dia jugalah yang menguruskannya. Malah, dunia bukannya tiada pemilik. Maka janganlah kamu risau dengan memikulkan beban dunia ke atas kepalamu kerana memikirkan keadaan-keadaannya yang menakutkan.


Ini kerana pemiliknya ialah al-Hakim dan al-‘Alim. Kamu juga adalah tetamu, maka janganlah campur tangan dan menghuru-harakan urusannya dengan cara yang tidak memberi faedah. Malah maujudat seperti manusia dan haiwan tidak dibiarkan tanpa tujuan bahkan merupakan para pesuruh yang mempunyai tugasan. Mereka di bawah pemerhatian al-Hakim ar-Rahim. Janganlah menyakitkan rohmu dengan memikirkan kesakitan dan kesusahan mereka.


Janganlah mencurahkan kasih-sayangmu melebihi rahmat al-Khaliq ar-Rahim mereka. Tali kendali semua benda daripada mikrob sehingga taun, taufan, kemarau dan gempa bumi yang seolah-olah merupakan musuhmu adalah di tangan ar-Rahim al-Hakim itu. Dia al-Hakim dan tidak pernah melakukan kerja yang sia-sia. Dia ar-Rahim, kerahiman-Nya adalah banyak. Dalam setiap kerja yang dilakukan-Nya terdapat suatu kelatifan.


Ia juga berkata: Alam ini, walaupun ia fana. Tetapi ia menghasilkan keperluan-keperluan alam abadi. Walaupun ia

93. Page

akan lenyap dan sementara tetapi ia memberi buah-buahan yang baqa’ dan memperlihatkan tajalli nama-nama yang baqa’ bagi Dzat yang baqa’. Walaupun kelazatannya adalah sedikit dan kesakitannya banyak, tetapi keprihatinan-keprihatinan ar-Rahman ar-Rahim adalah kelazatan hakiki yang tidak akan lenyap. Kesakitan-kesakitan pula, menghasilkan kelazatan maknawi dari sudut pahala.


Memandangkan apa yang ada dalam lingkungan halal adalah mencukupi untuk semua kelazatan, kegembiraan dan kenikmatan bagi roh, hati dan diri, maka janganlah masuk ke dalam daerah haram. Ini kerana kadang-kadang satu kelazatan di daerah itu memiliki seribu kesakitan. Malah ia menjadi sebab kehilangan keprihatinan ar-Rahman yang merupakan kelazatan yang hakiki dan berkekalan. Malah sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, di jalan kesesatan ia (kelazatan yang haram) menyebabkan manusia jatuh ke tahap asfala safilin yang tiada satu tamadun dan falsafah pun dapat menemui cara dan tiada satupun kemajuan manusia dan kesempurnaan ilmu dapat mengeluarkan manusia daripada telaga kegelapan yang dalam itu. Sedangkan al-Quran al-Hakim mengeluarkan manusia daripada terjatuh ke (tahap) asfala safilin itu ke (tahap) a’la ‘illiyyin dengan keimanan dan amal soleh. Dengan dalil-dalil yang muktamad, ia mengisbatkan peningkatannya dan ia memenuhkan telaga yang dalam itu dengan anak-anak tangga peningkatan maknawi dan peralatan kesempurnaan rohani.


Malah, ia sangat memudahkan dan menyenang­kan perjalanan manusia di bahagian yang menuju keabadian yang panjang, beribut dan tidak menentu. Bahkan ia memperlihatkan kenderaan-kenderaan yang boleh memendekkan perjalanan selama seribu tahun bahkan lima puluh ribu tahun dalam masa 

94. Page

sehari. Malah, dengan memperkenalkan Dzat Dzul Jalal yang merupakan Sultan keazalian dan keabadian ia memberikan manusia kedudukan sebagai hamba yang menurut perintah dan tetamu yang menunaikan tanggungjawab kepada-Nya.


Ia menjamin kerehatan yang sempurna bagi pengembaraan manusia di rumah tamu dunia dan di rumah-rumah persinggahan barzakh dan akhirat. Sebagaimana seorang petugas yang jujur bagi seorang Sultan boleh bersiar-siar dalam daerah negara dan melintasi setiap sempadan negeri-Nya dengan senang dengan menggunakan kenderaan yang pantas seperti kapal terbang, kapal dan kereta api, begitulah juga manusia yang bernaung kepada Sultan al-Azali dengan keimanan dan mentaati-Nya dengan amal soleh. Dia boleh melintasi rumah-rumah dunia ini dan ruang-ruang alam barzakh dan Mahsyar dan begitulah seterusnya. Dia boleh melintasi sempadan luas semua alam yang ada selepas kubur sepantas kilat dan buraq. Sehinggalah dia menemui kebahagiaan abadi. Sesungguhnya al-Quran mengisbatkan hakikat itu dengan pasti dan memperlihatkannya kepada asfiya’ dan auliya’.


Malah hakikat al-Quran turut berkata: Wahai mukmin! Janganlah menyerahkan kemampuan cinta padamu yang tiada batasan kepada nafsu amarah yang hodoh, kekurangan, jahat dan memudaratkanmu. Janganlah jadikannya sebagai kekasih dan kehendaknya sebagai sembahan dirimu.


Bahkan jadikanlah Dzat yang layak kepada cinta yang tidak terbatas serta menganugerahkan kepadamu kemampuan cinta yang tidak terbatas padamu, yang boleh mengurniakanmu ihsan yang tidak berkesudahan, menggembirakanmu di masa hadapan buat selamanya, menggembirakan semua orang yang berhubung kait denganmu dan mereka yang kamu gembira

95. Page

dengan kebahagiaan mereka dengan kurniaan-Nya, memiliki kesempurnaan yang tiada batasan, Pemilik keindahan yang paling kudus, tinggi, suci, tiada cela, tanpa kekurangan dan tidak lenyap, semua nama-Nya adalah paling indah, pada setiap nama-Nya terdapat terlalu banyak nur kecantikan dan keindahan, syurga memperlihatkan keindahan rahmat-Nya dan rahmat keindahan-Nya melalui semua kecantikan dan nikmatnya dan semua kecantikan, keindahan, keelokan dan kesempurnaan yang menarik dan dicintai di alam semesta mengisyaratkan dan menunjukkan serta menjadi petanda kepada keindahan dan kesempurnaan-Nya, sebagai kekasih dan yang disembah.


Al-Quran juga berkata: Wahai manusia! Janganlah serahkan kemampuan cintamu yang merujuk kepada nama-nama dan sifat Allah kepada maujudat yang lain yang tidak kekal. Janganlah mengagih-agihkannya kepada makhluk-makhluk yang tiada faedah. Ini kerana makhluk-makhluk dan kesan-kesannya adalah fana. Tetapi Asmaul Husna yang ukiran-ukiran dan tajallinya kelihatan pada kesan-kesan dan ciptaan-ciptaan berseni itu adalah baqa’ dan kekal. Pada setiap nama dan sifat terdapat ribuan martabat ihsan dan keindahan, ribuan peringkat kesempurnaan dan rasa cinta. Perhatikanlah olehmu hanya kepada nama ar-Rahman kerana syurga adalah tajalli-Nya, kebahagiaan abadi adalah kilauan-Nya dan semua rezeki dan nikmat di dunia adalah satu titisan-Nya.


Justeru, perhatikanlah kepada perbandingan ayat: لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِى أَحْسَنِ تَقْوٖيمٍ ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ إِلاَّ الَّذٖينَ أٓمَنُوا وَ عَمِلُوا لصَّالِحَاتِ  yang mengisyaratkan kepada perihal golongan sesat dengan ahli iman pada sudut kehidupan dan tugas serta kepada ayat

96. Page

فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَاءُ وَ الْأَرْضِ yang memberi petunjuk tentang kesudahan dan akibat mereka. Ayat-ayat ini mengifadahkan perbandingan yang telah kami jelaskan dengan cara yang sangat tinggi dan bermukjizat. Oleh sebab ayat pertama dan hakikat yang telah diifadahkan secara bermukjizat serta ringkas dan padat oleh ayat itu telah dijelaskan secara terperinci dalam Kalimah Kesebelas maka kami menyerahkannya ke sana (sila rujukinya).


Manakala kami akan memperlihatkan betapa ayat kedua mengifadahkan hakikat yang sangat tinggi hanya dengan satu isyarat yang kecil.


Ia adalah seperti berikut: Melalui mafhum muwafaqah (kefahaman dengan makna zahir ayat), ayat itu berfirman begini: “Langit dan bumi tidak menangisi kematian golongan sesat. Manakala melalui mafhum mukhalafah (kefahaman dengan makna yang sebaliknya), ia memberi makna bahawa langit dan bumi menangisi kematian golongan yang beriman. Yakni, memandangkan golongan sesat mengingkari tugas-tugas langit dan bumi, tidak mengetahui maknanya, menjatuhkan nilainya, tidak mengenal as-Sani’ langit dan bumi serta membenci dan memusuhi kedua-duanya, maka sudah tentu langit dan bumi tidak menangisi mereka bahkan membenci yakni mendoakan keburukan ke atas mereka dan gembira dengan kebinasaan mereka.


Melalui mafhum mukhalafah, ayat itu menyatakan bahawa langit dan bumi menangisi kematian orang beriman. Ini kerana ahli iman mengetahui tugas-tugas langit dan bumi. Mereka

97. Page

mengakui hakikat sebenar kedua-duanya. Mereka memahami makna yang diifadahkan oleh kedua-duanya melalui keimanan.


Mereka berkata: “Betapa indah kedua-duanya diciptakan dan betapa bagus kedua-duanya berkhidmat!” Mereka memberikan nilai yang munasabah kepada kedua-duanya dan menghormatinya. Atas nama Allah mereka mencintai kedua-duanya dan mencintai nama-nama yang dicerminkan oleh kedua-duanya. Justeru, kerana rahsia inilah langit dan bumi bersedih bagaikan menangis dengan kematian golongan beriman.


Satu Soalan Yang Penting

Kalian berkata bahawa cinta bukanlah berbentuk pilihan. Malah aku menyukai makanan dan buah-buahan yang lazat adalah kerana keperluan fitrah. Aku mencintai ayah, ibu dan anak-anakku. Aku mencintai teman hidupku (isteri). Aku mencintai sahabat dan teman-teman. Aku mencintai para Nabi dan wali. Aku mencintai kehidupan dan masa mudaku. Aku mencintai musim bunga, benda-benda yang indah dan dunia. Mengapa pula aku tidak boleh mencintai ini semua? Bagaimanakah aku boleh menyerahkan semua cinta ini kepada Dzat, Sifat dan Nama-nama Allah? Apakah maknanya ini?


Jawapan: Dengarlah empat nuktah berikut:


Nuktah Pertama: Secara zahirnya cinta tidak berbentuk pilihan. Tetapi melalui pilihan, wajah cinta boleh beralih daripada seorang kekasih kepada kekasih yang lain.


Sebagai contoh: Dengan memperlihatkan kehodohan seorang kekasih ataupun memperlihatkan bahawa ia adalah tabir atau cermin kepada kekasih lain yang layak kepada cinta sebenar, maka wajah cinta boleh diubah daripada kekasih majazi kepada kekasih sebenar.

98. Page

Nuktah Kedua: Kami tidak mengatakan “jangan mencintai” para kekasih yang telah kalian sebutkan. Bahkan kami berkata: “Cintailah mereka kerana Allah dan atas nama cinta-Nya”.


Sebagai contoh: Mencintai makanan yang lazat, buah-buahan yang indah dari sudut ia adalah kurniaan Allah dan pemberian nikmat oleh ar-Rahman ar-Rahim itu merupakan kecintaan pada nama-nama ar-Rahman dan al-Mun’im-Nya. Malah ia merupakan suatu kesyukuran maknawi.


Perkara yang menunjukkan bahawa cinta itu bukan kerana nafsu semata-mata bahkan adalah atas nama ar-Rahman ialah pencarian rezeki dengan rasa qana’ah dalam keadaan yang dihalalkan-Nya dan memakannya dalam keadaan berfikir dan bersyukur.


Penghormatan dan kecintaan kepada ibu bapa atas nama rahmat dan hikmah yang menyediakan mereka dengan kasih-sayang serta menjadikan mereka mendidik kalian melalui tangan mereka yang pengasih adalah merujuk kepada cinta Allah.


Tanda bahawa cinta, penghormatan dan kasih-sayang itu adalah kerana Allah ialah apabila mereka telah tua, tidak meninggalkan apa-apa faedah lagi kepada kalian dan (seolah-olah) mencampak kalian ke dalam kesusahan, namun kalian lebih mencintai, menghormati dan menyayangi mereka.


Seruan kepada lima martabat penghormatan dan kasih-sayang (terhadap ibu bapa) ke atas para anak oleh ayat إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرُ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُلْ لَهُمَٓا أُفٍّ, memperlihatkan bahawa pada pandangan al-Quran, hak ibu bapa adalah sangat penting dan menderhakai kedua-duanya adalah sangat jelek.

99. Page

Memandangkan bapa mahukan bukan orang lain tetapi anaknya sendiri menjadi lebih baik daripada dirinya, maka sebagai balasannya, anak juga tidak boleh mendakwa hak terhadap bapanya. Maknanya tiada sebab perbalahan antara ibu bapa dan anak dari segi fitrah. Ini kerana, punca perbalahan datang sama ada daripada rasa ghibtah (cemburu pada kebaikan) ataupun dengki. Sedangkan perasaan ini tiada pada ayah terhadap anaknya.


Ataupun perbalahan datang daripada ketidakadilan. Anak tidak mempunyai hak untuk membuat dakwaan hak terhadap bapanya. Walaupun dia melihat bapanya bersalah, dia tidak boleh menderhakainya. Maknanya orang yang menderhakai bapanya dan melukai perasannya ialah manusia yang telah berubah menjadi binatang buas.


Mencintai dan menjaga anak-anak kalian dengan penuh kasih-sayang dan belas kerana mereka adalah hadiah Dzat ar-Rahim al-Karim itu juga adalah merujuk kepada al-Haq. Manakala tanda yang menunjukkan bahawa rasa cinta itu adalah kerana Allah ialah kesabaran dan kesyukuran semasa kematian mereka dan tidak meratap bagaikan berputus asa. Iaitu berkata: اَلْحُكْمُ لِلّٰهِ, Dia adalah makhluk indah yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadaku untuk aku asuh. Dia adalah milik-Nya. Sekarang hikmah-Nya telah dilaksanakan dan Dia mengambilnya daripadaku. Dia membawanya ke tempat yang lebih baik. Sekiranya aku mempunyai satu hak yang zahir pada anak yang dimiliki itu, namun seribu hak yang sebenar adalah milik al-Khaliq-nya,” lalu berserah.


Sahabat dan teman pula, sekiranya mereka adalah sahabat-sahabat Allah dengan sebab keimanan dan amalan soleh, berdasarkan rahsia al-hubbu fillah, cinta itu juga merujuk

100. Page

kepada al-Haq. Sayangi dan cintailah teman hidup kalian dari sudut dia adalah hadiah rahmat Ilahi yang menawan dan indah. Tetapi janganlah mengikat cinta kalian itu kepada kecantikan paras-rupanya yang cepat pudar. Bahkan kecantikan yang paling mempesona dan manis bagi wanita ialah kesantunan budi pekerti dalam kelembutan dan kesantunan yang terkhusus bagi kewanitaan. Kecantikan yang paling berharga dan menawan ialah kasih-sayangnya yang tinggi, benar, bersungguh-sungguh, jujur dan nurani. Keindahan kasih-sayang dan kesantunan budi pekerti itu akan berterusan dan bertambah sehingga akhir hayatnya. Hak-hak penghormatan terhadap makhluk yang daif dan latif itu dipelihara dengan rasa cinta yang sebegitu. Jika tidak, dengan lenyapnya kecantikan paras rupa, dia yang tidak berdaya itu akan kehilangan haknya ketika dia sangat memerlukannya.


Mencintai para Nabi dan wali pula, dari sudut mereka merupakan hamba Allah yang makbul, adalah atas nama Allah dan kerana-Nya. Dari sudut pandangan itu ia adalah milik-Nya. Mencintai dan memelihara kehidupan dari sudut ia adalah modal dan dafinah (harta karun) paling berharga yang diberikan Allah kepada manusia dan kepadamu dan dapat memperolehkan kehidupan baqa’ dan khazanah yang menghimpunkan peralatan kesempurnaan yang baqa’ serta menjaganya dan menggunakannya untuk berbakti kepada Allah, maka pada satu sudut cinta itu tetap milik al-Ma’bud.


Menyukai, mencintai dan memanfaatkan keindahan dan kecantikan masa muda dari noktah pandangan bahawa ia

101. Page

adalah nikmat Allah yang latif, mempesona dan menawan adalah sejenis cinta penuh kesyukuran yang dihalalkan. Mencintai musim bunga dari sudut ia adalah sahifah ukiran yang paling halus dan paling cantik bagi nama-nama nurani Allah dan pentas pameran seni karya antik as-Sani’ al-Hakim yang paling indah dan gemilang dengan tafakkur ialah mencintai nama-nama al-Haq Subhanahu wa Taala. Mencintai dunia dari sudut ia adalah ladang akhirat, cermin asma’ Ilahi, tulisan-tulisan Allah, dan sebuah dewan pertamuan yang sementara - dengan syarat nafsu amarah tidak campur tangan - merupakan milik al-Haq Subhanahu wa Taala.


Kesimpulan: Cintailah dunia dan makhluk-makhluk di dalamnya dengan makna harfiyyah-nya (menurut makna huruf). Janganlah mencintainya dengan makna ismiyyah-nya (menurut makna nama). Katakanlah: “Betapa indah ia telah dijadikan.” Janganlah berkata: “Alangkah cantiknya ia.” Janganlah memberi ruang untuk cinta-cinta yang lain masuk ke dalam batin hatimu. Ini kerana batin hati adalah cermin as-Samad dan terkhusus untuk-Nya. Katakanlah اَللّٰهُمَّ ارْزُقْنَا حُبَّكَ وَ حُبَّ مَا يُقَرِّبُنَا إِلَيْكَ.


Justeru, jika semua cinta yang telah kita senaraikan adalah dalam bentuk ini, di samping memberikan kelazatan yang tiada kesakitan, dari satu sudut juga ia adalah pertemuan yang kekal. Ia menambahkan cinta Ilahi. Ia juga cinta yang halal dan kesyukuran yang menjadi kelazatan sebenar dan fikiran yang menjadi rasa cinta sebenar.


Contoh: Sebagaimana jika seorang raja yang mulia[9] mengurniakan kalian sebiji epal, terdapat dua jenis cinta terhadap epal itu dan padanya terdapat dua kelazatan.


[9]     Pada satu masa dua ketua puak telah datang menghadap Raja. Mereka melalui keadaan sama seperti yang ditulis.

102. Page

Pertama: Ia disukai kerana ia adalah epal dan kerana padanya terdapat kelazatan yang khusus untuk epal dan sesedap epal. Cinta itu tidak merujuk kepada raja. Bahkan orang yang menggigit epal itu dan memakannya di hadapan raja menyukai bukan raja tetapi epal itu dan mencintai dirinya. Kadang-kadang berlaku bahawa raja tidak menyukai cinta yang berdasarkan nafsu itu lalu membencinya. Kelazatan epal juga adalah sedikit. Ia akan lenyap. Selepas epal itu dimakan, kelazatan itu juga akan pergi dan yang tinggal hanyalah kesedihan.


Kedua: Cinta yang kedua pula ialah keprihatinan sultan yang ada dalam epal dan diperlihatkan melalui epal. Orang yang menganggap epal itu seolah-olah contoh dan rupa keprihatinan sultan menzahirkan kecintaannya kepada raja. Maka pada buah itu yang merupakan sarung keprihatinan terdapat kelazatan yang mengatasi kelazatan seribu biji epal. Justeru, kelazatan itu ialah kesyukuran itu sendiri. Cinta itu adalah satu kecintaan yang penuh penghormatan terhadap raja. Jika semua nikmat dan buah-buahan seperti ini dicintai kerana kelazatannya, dan jika dinikmati secara lalai dengan kelazatan maddinya sahaja, maka cinta itu adalah menurut nafsu. Kelazatan-kelazatan itu juga adalah sementara dan menyakitkan.


Jika seseorang mencintainya dari sudut keprihatinan rahmat Allah dan buah-buah kurniaan-Nya dan jika dia mengambil kelazatan dengan penuh selera dalam bentuk menghargai darjat kesantunan kurniaan dan keprihatinan itu, ia bukan sahaja kesyukuran maknawi malah merupakan kelazatan tanpa kesakitan.

103. Page

Nuktah Ketiga: Terdapat peringkat cinta terhadap nama-nama Allah. Sebagaimana telah kami jelaskan sebelum ini, kadang-kadang seseorang mencintai nama-nama melalui cinta kepada kesan-kesannya. Kadang-kadang seseorang mencintai nama-nama itu dari sudut ia adalah gelaran-gelaran bagi kesempurnaan Ilahi. Kadang-kadang, manusia berhajat dan rindu kepada nama-nama kerana keperluan yang tiada batasan dari sudut kesyumulan fitrah lalu mencintainya kerana keperluan itu.


Sebagai contoh: Ketika kalian merasai keperluan meminta bantuan dalam keadaan lemah pada semua kaum keluarga yang kalian kasihi, fakir miskin dan makhluk-makhluk yang daif dan berhajat, lalu jika seseorang muncul dan melakukan kebaikan kepada mereka seperti yang kalian mahukan, maka kalian akan amat tertarik dengan gelaran pemberi nikmat dan nama pemurah pada orang itu dan kalian akan amat mencintai orang itu melalui gelaran tersebut. Seperti itu juga, fikirkanlah hanya kepada nama-nama ar-Rahman dan ar-Rahim Allah kerana kalian akan dapat mengkiaskan betapa nama ar-Rahman dan gelaran ar-Rahim itu layak untuk dicintai dan betapa roh manusia berhajat kepada dua nama itu kerana kedua-dua nama itu telah menggembirakan semua nenek moyang, kaum keluarga dan para kekasih mukmin yang kalian sayangi dan kasihi di dunia melalui jenis-jenis nikmat dan melalui jenis-jenis kelazatan di syurga dan dengan memperlihatkan mereka dalam kebahagiaan abadi dan dengan memperlihatkan diri-Nya sendiri kepada mereka. Kalian juga akan memahami betapa ungkapan اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ عَلَى رَحْمَانِيَّتِهِ وَعَلَى رَحٖيمِيَّتِهِ adalah pada tempatnya.

104. Page

Malah, jika kalian perhatikan, pasti kalian akan faham betapa roh kalian amat berhajat dan merindui nama al-Hakim dan gelaran al-Murabbi bagi Dzat yang mengatur, mentadbir dan mengurus dunia yang merupakan sejenis rumah kamu dan maujudat di dalamnya yang ibarat keperluan yang mesra dan perhiasan yang indah bagi rumah kalian itu dengan penuh hikmah. Ini kerana kalian mempunyai hubungan dengannya dan kalian bersedih dengan kesengsaraan-kesengsaraannya dan makhluk-makhluk di dalamnya.


Malah, jika kamu perhatikan, kamu akan memahami betapa rohmu amat berhajat kepada nama-nama al-Waris dan al-Ba‘is serta gelaran al-Baqi, al-Karim, al-Muhyi dan al-Muhsin bagi Dzat yang menyelamatkan semua insan yang ada hubungan dengan kalian dan kalian bersedih dengan kehilangan mereka daripada gelap ketiadaan semasa mereka mati lalu menempatkan mereka di suatu tempat yang lebih baik dari dunia ini.


Justeru oleh sebab nilai manusia adalah tinggi dan fitrahnya adalah syumul, maka secara fitrah dia berhajat kepada seribu satu 

105. Page

nama Ilahi, kepada peringkat yang banyak pada setiap nama dengan ribuan jenis hajat. Hajat yang berganda adalah kerinduan. Kerinduan yang berganda ialah kecintaan. Kecintaan yang berganda pula ialah rasa asyik. Martabat-martabat cinta yang berdasarkan kesempurnaan roh berkembang berdasarkan martabat-martabat nama. Cinta kepada semua nama juga kembali kepada kecintaan kepada Dzat. Ini kerana ia adalah gelaran dan tajalli nama-nama Dzat Dzul Jalal itu. Sekarang, hanya sebagai contoh, kami akan menerangkan satu martabat daripada seribu satu martabat nama-nama al-‘Adlu, al-Hakam, al-Haq dan ar-Rahim daripada seribu satu nama. Ia seperti berikut:


Jika kalian mahu melihat nama ar-Rahman ar-Rahim dan al-Haq dalam lingkungan yang luas di dalam hikmah dan keadilan, maka perhatikanlah perumpamaan berikut: Sebagai contoh, kita mengandaikan bahawa terdapat empat ratus kelompok yang berlainan dalam sebuah pasukan tentera. Pakaian yang disukai oleh setiap kelompok adalah berbeza. Begitu juga makanan yang digemari mereka. Senjata yang boleh digunakan dengan senang oleh mereka juga adalah berbeza serta begitulah juga ubat-ubatan yang boleh mengubati sakit mereka. Dalam keadaan begini, kerana kesempurnaan kasih dan belas kasihannya, kerana keluarbiasaan dan kehebatan ilmu dan keluasannya, serta kerana keadilan dan hikmahnya yang menakjubkan, jika seorang raja yang tiada bandingan memberikan sendiri semua pakaian, makanan, ubat dan senjata yang sesuai kepada mereka secara berlainan tanpa tersilap dan melupakan walau satunya tanpa membezakan pasukan dan bahagian yang berlainan bagi semua empat ratus kelompok itu, hatta walaupun mereka bercampur dengan satu sama lain, nescaya kalian memahami betapa baginda adalah sangat berkuasa, pengasih, adil dan pemurah. Ini kerana, jika terdapat wakil-wakil yang terdiri daripada sepuluh bangsa dalam satu batalion tentera, maka oleh sebab memberi pakaian yang berbeza-beza dan menyediakan kelengkapan mereka adalah sangat susah, mahu tidak mahu, walau apa pun jua jenisnya, pakaian itu tetap disediakan.


Justeru seperti itu juga jika kalian mahu melihat tajalli nama al-Haq dan ar-Rahman ar-Rahim dalam keadilan dan 

106. Page

hikmah Allah, maka perhatikanlah kepada pasukan tentera yang terdiri daripada empat ratus ribu bangsa tumbuhan dan haiwan yang hebat yang khemah-khemah mereka telah dibina di atas muka bumi pada musim bunga. Ini kerana walaupun semua bangsa dan kelompok itu bercampur di antara satu sama lain, walaupun pakaian setiap satunya berbeza, makanannya berbeza, senjatanya berbeza, cara hidupnya berbeza, latihan dan waktu perlepasannya adalah berbeza, walaupun mereka tidak memiliki keupayaan untuk mencapai hajat dan tidak mempunyai lidah yang boleh membuat permintaan, namun tontoni dan lihatlah gelaran al-Haq, ar-Rahman, ar-Razzaq, ar-Rahim dan al-Karim dengan neraca dan peraturan di dalam daerah hikmah dan keadilan. Bagaimanakah Dia mendidik, mentadbir dan mengurus tanpa kesilapan dan kelupaan dan tidak mencampuradukkan walaupun satu daripadanya?


Justeru, adakah jari-jari yang lain yang boleh campurtangan dalam kerja yang dilakukan dengan susunan dan peraturan yang luas yang menakjubkan sebegini? Apakah yang boleh menghulurkan tangannya untuk mengganggu keadaan, pentadbiran, rububiyyah dan urusan ini selain daripada al-Wahid al-Ahad, al-Hakim al-Mutlaq dan al-Qadir ‘ala kulli syai’? Sebab manakah yang boleh ikut masuk campur?


Nuktah Keempat: Kalian berkata: Apakah natijah dan faedah cinta yang berbeza dan berlainan terhadap makanan, diri, isteri, kedua ibu bapa, anak-anak, teman-teman, para wali, para nabi, benda-benda yang cantik, musim bunga dan dunia sekiranya rasa cinta itu menurut cara yang diperintahkan al-Quran?


Jawapan: Untuk menjelaskan semua natijahnya kami perlu menulis sebuah buku yang tebal. Buat masa ini, kami 

107. Page

akan mengisyaratkan secara ringkas hanya kepada satu atau dua natijah. Mula-mula akan diterangkan tentang natijah-natijahnya di dunia. Kemudian akan disebutkan tentang natijah-natijahnya yang muncul di akhirat. Ia seperti berikut:


Sebagaimana telah diterangkan sebelum ini, bala musibah, kesakitan dan kesusahan bagi cinta kalian yang mengikut cara ahli dunia dan golongan yang lalai serta kerana nafsu adalah banyak. Kegembiraan, kelazatan dan kerehatannya adalah sedikit.


Sebagai contoh: Kerana kelemahan, syafakat (belas kasihan) menjadi musibah yang menyakitkan. Kerana perpisahan, cinta menjadi kebakaran yang membawa bencana. Kerana kelenyapan, kelazatan menjadi syarbat yang beracun. Di akhirat pula, oleh sebab ia bukan kerana Allah, maka ia adalah tidak berfaedah ataupun jika ia telah masuk kepada perkara haram maka ia adalah azab.


Soalan: Bagaimanakah cinta terhadap para Nabi dan wali menjadi tidak berfaedah?


Jawapan: Ia adalah tidak berfaedah seperti cinta penganut Triniti (kepercayaan tiga dalam satu) kepada Nabi Isa ‘Alaihissalam dan cinta golongan Syiah Rafidhah terhadap Saidina Ali Radhiyallahu ‘Anhu. Sekiranya cinta-cinta itu adalah dalam bentuk yang dibimbing oleh al-Quran, kerana Allah dan atas nama cinta ar-Rahman, maka pada masa itu ia mempunyai natijah yang baik sama ada di dunia mahupun akhirat. Iaitu cinta kepada makanan yang sedap dan buah-buahan yang baik di dunia pula adalah satu nikmat yang tidak menyakitkan dan kelazatan yang menjadi kesyukuran yang sebenar.

108. Page

Cinta kepada diri kalian pula adalah dengan mengasihaninya, mendidik dan menghalangnya daripada kehendak yang bermudarat. Pada masa itu, nafsu tidak akan menunggang dan tidak akan menjadikan kalian tawanan kepada kehendaknya! Bahkan kalian yang menunggang nafsu kalian. Kalian akan mendorongnya kepada hidayah, bukan kepada kehendak hawa nafsu.


Cinta kalian kepada teman hidup kalian, memandangkan ia terbina di atas kesantunan budi pekerti, sumber kasih-sayang dan hadiah rahmat, maka jika kamu benar-benar mencintai dan mengasihinya, dia juga akan bersungguh-sunguh mencintai dan menghormatimu. Apabila kalian berdua sudah tua, keadaan itu akan bertambah. Kalian akan menjalani kehidupan dengan gembira. Sebaliknya, jika cinta itu adalah kerana kecantikan paras rupa yang berdasarkan cinta kerana nafsu, maka cinta itu akan cepat musnah dan merosakkan pergaulan yang baik.


Cinta kalian terhadap ibu bapa, oleh sebab ia adalah kerana Allah, maka ia adalah ibadah. Malahan kalian dapat menambahkan penghormatan dan cinta apabila mereka sudah tua. Sesungguhnya, bersungguh-sungguh mengharapkan mereka panjang umur dan mendoakan kebaqaan mereka dengan perasaan yang paling tinggi dan dengan penuh tanggungjawab serta mencium tangan mereka dengan rasa hormat yang sejati dengan niat mudah-mudahan aku mendapat lebih banyak pahala disebabkan mereka memperolehkan kelazatan rohani yang tinggi. Sebaliknya jika ia adalah kerana nafsu dan dunia, apabila mereka telah tua dan mula menjadi beban kepada kalian, ia adalah satu kesakitan yang kejam dan menyedihkan. Ini kerana, akibat perasaan yang paling

109. Page

rendah dan hina, kalian merasa susah hati dengan kewujudan mereka dan mengharapkan kematian mereka yang mulia yang merupakan penyebab kehidupan kalian.


Cinta kalian kepada anak-anak pula yakni cinta terhadap anak-anak yang merupakan makhluk-makhluk comel dan mesra yang diamanahkan oleh Allah untuk dijaga dan dididik oleh kalian pula adalah cinta dan nikmat yang membahagiakan. Bukan sahaja kalian tidak akan merasai kesakitan yang banyak akibat musibah (yang menimpa) mereka malah kalian juga tidak akan meratap bagai berputus asa akibat kematian mereka. Sebagaimana telah disebutkan sebelum ini, oleh sebab al-Khaliq mereka adalah al-Hakim dan ar-Rahim, kalian boleh mengatakan bahawa bagi mereka kematian itu adalah satu kebahagiaan.


Bagi kalian pula, kalian akan memikirkan rahmat Dzat yang menganugerahkan mereka kepada kalian lalu kalian terselamat daripada kesakitan perpisahan.


Cinta kalian kepada rakan-rakan pula, memandangkan ia adalah kerana Allah dan oleh sebab perpisahan hatta kematian mereka tidak menjadi penghalang kepada persahabatan dan ukhuwwah kalian, maka kalian mendapat istifadah daripada cinta maknawi dan ikatan rohani tersebut. Kelazatan pertemuan menjadi kekal. Jika ia bukan kerana Allah, kelazatan sehari pertemuan menatijahkan kesakitan perpisahan selama seratus hari.[10]


Cinta kalian kepada para Nabi dan wali pula, oleh sebab alam barzakh yang kelihatan seperti tempat menakutkan yang gelap kepada ahli ghaflah itu kelihatan seperti kediaman-


[10]     Sesaat berjumpa kerana Allah adalah sama dengan setahun. Jika ia kerana dunia, maka setahun adalah sesaat.

110. Page

kediaman yang telah diterangi dengan tubuh mereka yang bercahaya itu maka ia tidak memberikan rasa gerun dan dahsyat untuk pergi ke alam itu bahkan sebaliknya memberi rasa cenderung dan kerinduan. Ia tidak akan menghilangkan kelazatan kehidupan duniawi. Jika tidak, sekiranya rasa cinta kepada mereka adalah seperti cinta para pemuja kemodenan kepada orang-orang yang masyhur, maka kerana memikirkan kefanaan dan kelenyapan insan-insan yang kamil itu dan kereputan mereka dalam pusara terbesar yang dinamakan masa lalu, ia menambahkan satu lagi kesedihan kepada hidup mereka yang menyakitkan.


Yakni, seseorang itu memikirkan bahawa aku juga akan pergi ke sebuah kubur yang mereputkan insan-insan kamil itu. Maka dia memandang pusara dengan pandangan kerisauan lalu mengaduh. Manakala pada pandangan sebelum itu, dia berfikir bahawa: Mereka meninggalkan pakaian tubuh mereka di masa lalu, lalu memikirkan permastautinan mereka dengan penuh kerehatan di alam barzakh yang merupakan dewan menunggu. Maka dia memandang pusara dengan penuh kemesraan.


Malah cinta kalian kepada benda-benda yang cantik pula, memandangkan ia adalah kerana as-Sani’-nya, maka ia adalah dari jenis ucapan “Alangkah indah mereka dijadikan”. Di samping rasa cinta kalian itu menjadi tafakkur yang lazat, ia turut membuka jalan kepada dafinah martabat keindahan yang lebih tinggi, suci dan ribuan kali lebih cantik dan menyebabkan pandangan rasa memuja kecantikan dan menyanjung keindahan memandang kepadanya. Ini kerana daripada hasil-hasil ciptaan yang cantik itu ia membawa kepada

111. Page

kecantikan perbuatan Ilahi. Daripadanya ia membuka jalan kepada hati ke arah kecantikan nama-nama-Nya. Daripada kecantikan nama-nama itu kepada kecantikan sifat-sifat-Nya dan daripada kecantikan sifat-sifat itu kepada keindahan Dzat Dzul Jalal yang tiada taranya. Justeru jika cinta ini dalam bentuk ini, maka ia bukan sahaja lazat, malah suatu ibadah dan suatu tafakkur.


Cinta kalian kepada masa muda pula, memandangkan kalian mencintainya dari sudut ia adalah nikmat Allah yang indah, sudah tentu jika kalian membelanjakannya dalam ibadat dan kalian tidak membunuhnya dengan cara melemaskannya dalam kemungkaran, maka ibadat-ibadat yang kalian dapat laksanakan pada masa muda itu adalah buah-buah baqa’ bagi masa muda yang fana. Apabila kalian sudah tua, di samping kalian memiliki buah-buahan baqa’ yang merupakan kebajikan masa muda, kalian juga terselamat daripada kemudaratan dan keganasan masa muda.


Malah, kalian juga memikirkan bahawa kalian memperoleh lebih banyak kejayaan untuk beribadat dan kelayakan untuk mendapat syafakat (belas kasihan) Ilahi pada masa tua. Sebagai gantian kelazatan masa muda yang lima atau sepuluh tahun, kalian tidak akan bersedih dan menangisi masa muda selama lima ke sepuluh tahun dengan berkata: “Alangkah ruginya! Masa mudaku telah berlalu...” seperti mereka yang lalai.


Sebagai contoh, salah seorang daripada mereka yang begitu telah berkata:


لَيْتَ الشَّبَابَةَ يَعُودُ يَوْمًا فَأُخْبِرُهُ بِمَا فَعَلَ الْمَشِيبُ yakni: “Kalaulah masa mudaku dapat kembali di suatu hari, nescaya aku akan

112. Page

mengadu dan memberitahu apakah yang telah dilakukan oleh masa tua ke atasku.”


Cinta kepada pameran-pameran berhias seperti musim bunga pula, memandangkan ia adalah berdasarkan perbuatan menonton hasil seni Ilahi, maka kelazatan tatapan itu tidak akan lenyap dengan pemergian musim bunga itu. Ini kerana musim bunga adalah seperti warkah (tulisan) yang bersadur emas dan kalian boleh menatap makna-makna yang diberikannya pada bila-bila masa.


Khayalan kalian dan waktu, kedua-duanya memperbaharui makna dan kecantikan musim bunga itu serta meneruskan kelazatan tatapan itu kepada kalian bagaikan lembaran pita wayang. Pada masa itu, cinta kalian tidak akan menjadi sedih, menyakitkan dan sementara. Ia menjadi lazat dan menggembirakan.


Cinta kalian kepada dunia pula, memandangkan ia adalah atas nama Allah, maka pada masa itu maujudat dunia yang dahsyat adalah ibarat sahabat yang mesra kepada kalian. Oleh sebab kalian mencintainya dari sudut ia adalah kebun akhirat, maka kalian boleh mengambil modal dan buah yang boleh memberi faedah untuk akhirat pada setiap bendanya. Bukan sahaja musibah-musibahnya tidak menakutkan, malah kelenyapan dan kefanaannya juga tidak akan menyusahkan kalian. Kalian akan melalui tempoh permastautinan kalian di rumah tamu itu dengan penuh kerehatan. Sebaliknya, jika kalian mencintainya seperti mereka yang lalai, sudah beratus-ratus kali kami menyatakan bahawa kalian akan lemas dan pergi dalam cinta yang menyusahkan, menekan, melemaskan, fana dan sia-sia.

113. Page

Justeru, sesungguhnya kami telah memperlihatkan hanya satu peratus kelatifan daripada setiap satunya apabila sebahagian kekasih kalian adalah dalam bentuk yang dibimbing al-Quran. Jika ia tidak berada di jalan yang telah ditunjukkan oleh al-Quran, sesungguhnya kami telah mengisyaratkan hanya satu peratus daripada kemudaratannya.


Sekarang jika kalian mahu mendengar dan memahami natijah-natijah para kekasih itu di negara baqa’ dan alam akhirat yang telah diisyaratkan oleh al-Quran al-Hakim melalui ayat-ayatnya yang nyata, maka kami akan memperlihatkan secara ringkas satu faedah daripada seratus faedah bagi setiap jenis cinta yang halal di akhirat melalui satu mukadimah dan sembilan isyarat.


Mukadimah: Dengan uluhiyyah-Nya yang tinggi, rahmat-Nya yang indah, rububiyyah-Nya yang besar, kesantunan-Nya yang mulia, qudrat-Nya yang agung dan hikmah-Nya yang latif, Allah Subhanahu wa Taala telah memperlengkap dan menghias tubuh insan yang kecil itu dengan deria dan perasaan yang banyak, dengan anggota dan kelengkapan yang sangat hebat, dengan organ dan alat yang berlainan dan dengan latifah dan maknawiyyat yang bermacam-macam. Ini supaya dengan alat-alat yang bermacam-macam dan sangat banyak ini, Dia boleh merasakan, memberitahu, mengecapkan dan memperkenalkan kepada manusia itu tentang jenis-jenis nikmat-Nya, bahagian-bahagian kurniaan-Nya dan peringkat-peringkat rahmat-Nya yang tidak terhitung. Malah, supaya Dia boleh memberitahu, merasakan dan mempercintakan seribu satu jenis tajalli nama-Nya yang tidak terkira kepada manusia melalui alat-alat itu.

114. Page

Sebagaimana terdapat tugas dan ‘ubudiyyah yang berbeza pada setiap alat dan kelengkapan yang sangat banyak pada insan itu, terdapat juga kelazatan, kesakitan, tugas dan ganjaran yang berbeza baginya. Sebagai contoh: Mata dapat menatap kecantikan pada rupa bentuk dan jenis-jenis mukjizat qudrat di alam mubsirat (yang dilihat). Tugasnya ialah bersyukur kepada as-Sani’-nya dengan mengambil iktibar. Kelazatan dan kesakitan yang dikhususkan kepada pandangan adalah dimaklumi, maka tidak perlu dihuraikan lagi.


Contohnya telinga, ia merasai jenis-jenis suara, irama-irama yang lembut dan kehalusan rahmat Allah di alam masmu‘at (yang didengar). Terdapat pengabdian berbeza, kelazatan berbeza dan ganjaran juga yang berbeza.


Contohnya deria bau; ia merasai kelembutan rahmat pada kelompok bauan. Terdapat tugas kesyukuran dan kelazatan yang terkhusus padanya. Sudah tentu ganjaran-ganjarannya juga ada.


Contohnya lagi deria rasa pada lidah melakukan tugas dengan kesyukuran maknawi yang sangat bermacam-macam dengan memahami rasa semua makanan dan begitulah seterusnya. Terdapat tugas, kelazatan dan kesakitan yang berbeza-beza bagi kelengkapan manusiawi dan latifah-latifah yang besar dan penting seperti hati, akal dan roh.


Justeru, sudah tentu Al-Haq Subhanahu wa Taala dan al-Hakim al-Mutlaq akan memberikan ganjaran yang sesuai kepada setiap kelengkapan yang digunakan pada manusia ini. Natijah-natijah segera di dunia yang telah diterangkan sebelum ini bagi cinta-cinta yang berlainan itu akan dirasai

115. Page

oleh semua orang dengan sanubarinya dan dibuktikan dengan lintasan yang benar.


Natijah-natijahnya di akhirat pula, sebagaimana kewujudan dan kepastiannya yang muktamad, telah diisbatkan secara ringkas melalui Hakikat Kedua Belas Kalimah Kesepuluh yang muktamad dan nyata serta melalui Enam Asas Kalimah Kedua Puluh Sembilan yang terang dan secara terperinci adalah sabit secara qat‘i melalui penyataan, paparan, kiasan dan isyarat ayat-ayat al-Quran al-Hakim yang merupakan أَصْدَقُ الْكَلاَمِ وَأَبْلَغُ النِّظَامِ كَلاَمُ اللّٰهِ الْمَلِكِ الْعَزِيزِ الْعَلاَّمِ  menerusi ayat-ayatnya yang nyata. Maka tidak perlu lagi untuk mendatangkan bukti-bukti yang lebih panjang. Sememangnya banyak bukti telah disebutkan di dalam kalimah-kalimah lain dan dalam Maqam Kedua yang berbahasa Arab bagi Kalimah Kedua Puluh Lapan (yang membicarakan) tentang syurga.


Isyarat Pertama: Melalui nas al-Quran, bagi cinta halal yang memberi kesyukuran terhadap makanan yang lazat dan buah-buah yang sedap ialah makanan-makanan yang lazat dan buah-buah yang sedap yang sesuai dengan syurga serta satu cinta yang penuh selera kepada makanan dan buah-buahan itu. Hatta kalimah Alhamdulillah yang kalian lafazkan di atas buah yang kalian makan di dunia akan diberi bentuk sebagai buah syurga lalu diberikan kepada kalian. Di sini kalian memakan buah, di sana kalian memakan Alhamdulillah. Seterusnya adalah sabit melalui nas hadith, isyarat al-Quran dan kewajaran hikmah dan rahmat bahawa kesyukuran maknawi kerana kalian merasai pemberian nikmat Ilahi dan tolehan Rahmani di dalam nikmat dan makanan itu akan diberikan di syurga dalam bentuk makanan yang sangat lazat.

116. Page

Isyarat Kedua: Natijah cinta kepada diri sendiri dalam bentuk yang halal di dunia, yakni mentarbiahnya dan mendorongnya kepada kebaikan dengan syafakat yang dibina untuk menyempurnakan setelah nampak kekurangannya, bukan dengan cinta yang dibina di atas kecantikan diri ialah pemberian para kekasih yang sesuai dengan diri itu di syurga.


Memandangkan diri telah menggunakan kehendak dan nafsunya dengan baik di jalan Allah di dunia, maka dia telah menggunakan anggota dan perasaannya dengan cara yang baik.


Sebagai natijah cinta yang halal dan penuh pengabdian kepada-Nya di dunia, sesungguhnya telah dijelaskan dan dibuktikan dengan banyak ayat bahawa di negara baqa’ itu, al-Karim al-Mutlaq akan menganugerahkan bidadari yang setiap satunya ibarat syurga kecil yang bernyawa. Dia memakaikannya tujuh puluh perhiasan yang berlainan yang merupakan tujuh puluh jenis perhiasan dan contoh kesantunan syurga yang berbeza, lalu menghiasi tubuhnya dengan tujuh puluh jenis kecantikan yang akan menggembirakan dan membelai semua perasaan dan deria pada diri di syurga.


Malah natijah cinta kepada masa muda di dunia yakni membelanjakan tenaga masa muda pada ibadah pula ialah usia muda yang abadi di Dar as-Sa’adah (negara kebahagiaan).


Isyarat Ketiga: Natijah ukhrawi bagi cinta kepada teman hidupmu dalam daerah yang halal yakni perbuatan menjaga teman hidup kalian daripada kenusyuzan dan daripada dosa-dosa yang lain dengan cinta sejati yang berpaksikan syafakatnya yang latif, budi pekertinya yang luhur dan akhlaknya yang 

117. Page

indah pula ialah ar-Rahim al-mutlaq telah menjanjikan bahawa teman hidup itu akan dikembalikan semula sebagai teman hidup yang abadi di negara kebahagiaan dalam rupa yang lebih cantik, dalam bentuk yang lebih berhias, dalam keadaan yang lebih menawan berbanding dengan para bidadari serta sebagai sahabat, pencinta dan kekasih yang mesra, lembut dan abadi yang akan mengimbau kisah-kisah lalu di dunia dan akan mengingatkan kenangan-kenangan lama dengan penuh kenikmatan. Sudah tentu Dia akan menunaikan perkara yang telah dijanjikan-Nya secara qat’i.


Isyarat Keempat: Natijah cinta yang halal kepada dua ibu bapa dan anak-anak: Melalui nas al-Quran, al-Arham ar-Rahimin tetap mengurniakan keluarga bahagia itu kelazatan perbualan yang suci melalui pertemuan abadi di negara baqa’ dalam bentuk pergaulan baik yang sesuai dengan syurga walaupun maqam mereka berbeza.


Di syurga juga Dia menyerahkan anak-anak kecil yang mati sebelum berumur lima belas tahun yakni yang belum sampai ke usia baligh yang dinamakan وِلْدَانٌ مُخَلَّدُونَ dalam bentuk kanak-kanak syurga dan dengan keadaan yang sesuai dengan syurga, dengan rupa yang didandan rapi dan comel ke dalam dakapan ibu bapa mereka dalam syurga lalu menggembirakan rasa keibubapaan mereka. Dia mengurniakan mereka kenikmatan dan kelazatan abadi itu. Ini kerana, oleh sebab mereka belum memasuki usia mukallaf, maka mereka akan kekal sebagai kanak-kanak yang abadi, comel dan menawan. Di syurga terdapat perkara yang tertinggi bagi setiap perkara yang lazat di dunia. Namun, telah disangkakan bahawa sikap keibubapaan yang menyeronokkan yakni kenikmatan menyayangi anak-anak dan membelai mereka tiada di syurga

118. Page

kerana syurga bukannya tempat melahirkan zuriat. Justeru, perkara itu juga ada dalam bentuk ini. Malahan ia terdapat dalam bentuk yang paling nikmat dan paling indah.


Justeru, inilah berita gembira kepada mereka yang kematian anak sebelum usia baligh.


Isyarat Kelima: Natijah mencintai teman-teman yang soleh menurut hukum اَلْحُبُّ فِى اللّٰهِ melalui nas al-Quran: Adalah sabit bahawa Allah akan mempertemukan seseorang itu dengan teman-temannya dalam bentuk perbualan mesra dan yang tiada perpisahan dan suci yang digambarkan melalui ayat عَلَى سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ. Yakni, mereka duduk di atas bangku-bangku syurga yang dibina secara berhadapan lalu dalam keadaan yang elok, menawan, indah dan manis, mereka bercerita tentang kisah hidup di dunia dan kenangan-kenangan lama kepada satu sama lain dalam keadaan saling menggembirakan.


Isyarat Keenam: Natijah cinta kepada para Nabi dan wali menurut huraian al-Quran: Di samping mendapat istifadah daripada syafaat dan bantuan para Nabi dan wali di dalam barzakh dan hari kebangkitan, melalui perantaraan cinta itu, mereka juga mendapat limpahan daripada maqam dan limpahan-limpahan yang sangat tinggi dan layak kepada mereka. Ya menurut rahsia اَلْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ, seseorang yang biasa, boleh memasuki maqam dan kedudukan yang paling tinggi kerana mengikut insan dicintainya yang tinggi maqamnya.


Isyarat Ketujuh: Natijah cinta yang halal kepada benda-benda yang cantik dan musim bunga, yakni natijah mencintai kecantikan perbuatan di sebalik kesan-kesan itu dan keteraturannya, seterusnya mencintai tajalli-tajalli nama yang 

119. Page

indah di sebalik keteraturan perbuatan itu dan seterusnya mencintai tajalliyat sifat-sifat di belakang nama-nama yang indah tersebut dan begitulah seterusnya dengan pandangan betapa indahnya ia dicipta ialah kalian dapat melihat tajalli nama-nama dan keindahan serta sifat-sifatnya di dalam nama-nama itu dalam syurga di negara baqa’ dalam bentuk yang seribu kali ganda lebih cantik daripada ciptaan-ciptaan berseni yang dilihatnya sebagai cantik (di dunia dahulu). Hatta Imam Rabbani Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata bahawa latifah-latifah syurga adalah tamsilan tajalli nama-nama Ilahi. Maka cubalah renungkan!


Isyarat Kelapan: Natijah ukhrawi bagi cinta penuh tafakkur terhadap dua wajah dunia yang baik di dunia iaitu dunia adalah kebun akhirat dan cerminan nama-nama Ilahi: Akan diberikan sebuah syurga yang baqa’ seluas dunia tetapi tidak fana seperti dunia. Malah, nama-nama yang hanya bayangannya yang lemah telah diperlihatkan di dunia akan diperlihatkan pada cermin-cermin syurga itu dalam bentuk yang paling gemilang.


Malah, natijah mencintai dunia pada wajahnya sebagai kebun akhirat juga: Dia akan memberikan sebuah syurga yang akan menjadikan dunia sebagai tapak semaian bagi syurga yang menghasilkan tunas-tunas sampai ke satu tahap sahaja. Yakni, walaupun pancaindera dan perasaan manusia di dunia ibarat tunas-tunas kecil sahaja, namun, di syurga ia akan berkembang dalam bentuk yang paling sempurna dan persediaan manusia yang ibarat biji benih di dunia akan diberikan kepadanya dalam bentuk yang berkembang mekar dengan jenis-jenis kelazatan dan kesempurnaan. Sebagaimana 

120. Page

perkara di atas menjadi kewajaran rahmat dan hikmah, ia juga adalah sabit melalui nas-nas hadith dan isyarat al-Quran.


Malah memandangkan ia bukanlah cinta tercela kepada dunia yang merupakan punca setiap kesalahan, bahkan ia telah mencintai dua wajah dunia yang memandang kepada nama-nama dan akhirat adalah kerana nama-nama itu dan ia telah memakmurkan dua wajah itu dengan ibadah berbentuk fikir, seolah-olah dia telah beribadat dengan seluruh dunianya, maka sudah tentu penerimaannya akan ganjaran sebesar dunia adalah kehendak rahmat dan hikmah.


Malah memandangkan dia telah mencintai kebun-Nya dengan cinta akhirat dan mencintai cermin nama-nama Ilahi dengan cinta Allah, maka sudah tentu dia mengingini kekasih seperti dunia. Itu pula ialah syurga sebesar dunia.


Soalan: Apa gunanya syurga yang sebesar dan seluas itu?


Jawapan: Contohnya, sekiranya mungkin, jika kalian menjelajahi seluruh pelosok bumi dan menjelajah kebanyakan bintang dengan kepantasan khayalan, nescaya kalian boleh mengatakan seluruh alam adalah “milikku”. Perkongsian oleh malaikat, insan dan haiwan tidak akan merosakkan dakwaanmu itu. Begitu juga, kalaulah syurga penuh sekalipun, kalian tetap boleh mengatakan bahawa syurga itu adalah “milikku”. Rahsia tentang pemberian sebuah syurga seluas lima ratus tahun kepada sebahagian ahli syurga yang terdapat dalam hadith Nabi, telah diterangkan dalam Kalimah Kedua Puluh Lapan.


Isyarat Kesembilan: Natijah iman dan mahabbatullah: Adalah sabit dengan kesepakatan ahli kasyaf dan tahqiq bahawa seribu tahun kehidupan dunia dalam kebahagiaan

121. Page

tidak boleh mengatasi sesaat kehidupan di syurga dan seribu tahun kehidupan syurga juga tidak boleh mengatasi sesaat melihat dan menyaksikan[11] Dzat Dzul Jalal yang merupakan pemilik keindahan dan kesempurnaan yang kudus dan suci. Ini kerana hakikat ini adalah sabit dengan hadith yang qat’i dan nas al-Quran.


Semua orang merasai dalam hati nuraninya keterujaan penuh kerinduan untuk melihat seseorang yang masyhur dengan kesempurnaan seperti Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam dan merasai kerinduan penuh keterujaan untuk menyaksikan seseorang yang unggul dengan keindahan seperti Nabi Yusuf ‘Alaihissalam. Agaknya, jika kalian dapat mengkiaskan betapa melihat satu Dzat yang seluruh kecantikan dan kesempurnaan syurga yang ribuan tahap lebih tinggi daripada kecantikan dan kesempurnaan seluruh dunia merupakan tajalli keindahan dan kesempurnaan-Nya adalah sangat diharapkan dan mengandungi keterujaan serta menyaksikan-Nya adalah sangat dikehendaki dan dirindui, maka kiaskanlah!


اَللّهُمَّ ارْزُقْنَا فِى الدُّنْيَا حُبَّكَ وَ حُبَّ مَا يُقَرِّبُنَا إِلَيْكَ

وَ الْاِسْتِقَامَةَ كَمَا أَمَرْتَ وَ فِى اْلأٓخِرَةِ رَحْمَتَكَ وَ رُؤْيَتَكَ

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلٖيمُ الْحَكٖيمُ

اَللّٰهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى مَنْ أَرْسَلْتَهُ رَحْمَةً لِلْعَالَمٖينَ

وَ عَلَى أٓلِهِ وَ صَحْبِهِ أَجْمَعينَ

اٰمٖينَ


[11]     Melalui nas hadith, penyaksian itu adalah melebihi segala kelazatan syurga sehingga boleh melupakannya. Selepas penyaksian, kecantikan dan keindahan mereka yang menyaksikannya akan bertambah sehingga apabila mereka kembali, ahli keluarga di istana-istana mereka sukar untuk mengenali mereka walaupun setelah diamati dengan teliti. Begitulah yang warid (tercatat) di dalam hadith.

122. Page

"Ya Allah kurniakanlah pada kami di dunia ini kecintaan kepada-Mu, kecintaan terhadap perkara-perkara yang dapat mendekatkan kami kepada-Mu, dan keistiqamahan seperti yang Engkau telah perintahkan.

Kurniakan kasih-sayang-Mu serta perkenan untuk melihat-Mu di akhirat.

Maha Suci Engkau Ya Allah. Kami tiada ilmu kecuali apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami.

Engkau Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Ya Allah limpahkanlah selawat serta salam kepada Nabi Muhammad yang Engkau telah utuskan sebagai rahmat bagi sekalian alam dan kepada keluarga serta para sahabat baginda.

Amin.”


Peringatan: Janganlah kalian merasakan bahawa huraian yang panjang di penghujung kalimah ini sebagai panjang. Ia sebenarnya adalah pendek jika dilihat kepada kepentingannya. Malah sepatutnya ia dihuraikan dengan lebih panjang. Bukan aku yang berkata di dalam semua kalimah. Bahkan yang berkata atas nama isyarat al-Quran ialah hakikat. Hakikat pula sentiasa mengatakan yang hak. Ia berkata benar. Jika kalian terlihat sesuatu yang salah ketahuilah sesungguhnya bahawa tanpa aku sedari, fikiranku telah masuk campur, mencelarukannya dan telah melakukan kesalahan.

Said Nursi