Perbualan Dengan Golongan Wanita Beriman yang Menjadi Saudara Akhiratku

19. Page

بِاسْمِهِ سُبْحَانَهُ

بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحٖيمِ


Perbualan Dengan Golongan Wanita Beriman yang Menjadi Saudara Akhiratku

Semasa aku melihat akan hubungan yang sangat erat dan hangat pada kelompok wanita terhadap Risalah an-Nur di sesetengah tempat; semasa aku mengetahui keyakinan mereka terhadap ajaran-ajaranku yang berkenaan dengan Risalah an-Nur yang sebenarnya jauh melebihi kemampuanku; ketika sampai buat kali ketiga ke Isparta yang diberkati dan merupakan madrasah az-Zahra’ yang berbentuk maknawi, aku terdengar bahawa kelompok wanita yang merupakan saudara-saudara akhiratku itu sedang menantikan kelas pengajian daripadaku. Kononnya aku akan mengajar mereka di masjid-masjid dalam bentuk ceramah. Walhal, aku sakit dalam empat atau lima sudut. Malah mindaku juga sangat letih. Hatta aku tidak berdaya untuk bercakap dan berfikir. Namun, pada malam ini, melalui suatu lintasan yang sangat kuat, fikiran berikut telah terlintas di dalam hatiku:


“Memandangkan lima belas tahun sebelum ini, atas permintaan para pemuda, kami telah menulis ‘Pedoman Masa Muda’ dan ia telah dimanfaatkan dengan sangat banyak.

20. Page

Sedangkan pada zaman ini, berbanding dengan para pemuda, golongan wanita adalah lebih berhajat kepada suatu pedoman yang seperti itu. Maka sebagai jawapan kepada lintasan itu, dalam keadaan diri yang sangat uzur, daif dan lemah, aku menerangkan sesetengah perkara yang perlu kepada para saudara perempuanku yang diberkati dan kepada anak-anak remajaku yang maknawi secara amat ringkas melalui tiga nuktah.


Nuktah Pertama

Oleh sebab syafaqah (rasa kasih) ialah satu asas yang paling utama bagi Risalah an-Nur, maka dari sudut golongan wanita ialah pahlawan kasih-sayang, sesungguhnya secara fitrah, mereka adalah lebih berkait dengan Risalah an-Nur. وَ لِلّهِ الْحَمْدِ (kesyukuran kepada Allah) kerana hubungan fitri ini dirasai di banyak tempat. Oleh sebab sikap berkorban di dalam syafaqah ini memberi makna ikhlas yang hakiki, dan pengorbanan yang tidak meminta balasan, maka ia adalah amat penting pada zaman sekarang ini.


Ya, perbuatan seorang ibu mengorbankan nyawanya demi menyelamatkan anaknya daripada bahaya tanpa meminta sebarang balasan dan mengorbankan dirinya untuk anak-anaknya dengan keikhlasan yang hakiki menurut tugas fitrahnya menunjukkan kewujudan suatu sifat kepahlawanan yang tinggi dalam diri para wanita. Dengan tersingkapnya sifat kepahlawanan ini, maka melaluinya para wanita bukan sahaja dapat menyelamatkan kehidupan duniawinya malah kehidupan abadinya.


Namun, akibat sesetengah arus yang buruk, sifat yang kuat dan berharga itu langsung tidak tersingkap ataupun telah disalah guna. Salah satu contoh kecil daripada ratusan contohnya: 

21. Page

Supaya anaknya tidak masuk ke dalam bahaya (dalam) kehidupan duniawi dan supaya anaknya mendapat manfaat dan faedah (duniawi), si ibu yang pengasih itu mengorbankan segala-galanya dan mendidik anaknya begitu. Dia tidak berfikir bahawa si anak telah masuk ke dalam bahaya. Dengan berharap “mudah-mudahan anakku menjadi Pasha (pembesar)”, si ibu membelanjakan seluruh hartanya. Si ibu mengambil anaknya daripada sekolah tahfiz lalu menghantarnya ke Eropah.


Tetapi si ibu tidak dapat berfikir bahawa kehidupan abadi si anak itu telah masuk ke dalam bahaya. Walaupun dia berusaha menyelamatkan si anak daripada penjara dunia, namun dia tidak menyedari kejatuhan anaknya ke dalam penjara neraka. Lalu dalam keadaan yang benar-benar berlawanan dengan syafaqah (rasa kasih) fitrah, semasa anaknya perlu menjadi pemberi syafaat dia menjadikan anaknya yang tidak bersalah sebagai pendakwa. Anaknya itu akan mengadu dengan berkata: “Mengapa ibu tidak menguatkan keimananku dan membinasakanku?” Oleh sebab si anak tidak benar-benar mendapat didikan Islam di dunia, maka dia tidak akan dapat membalas kasih-sayang ibunya yang hebat dengan cara yang selayaknya. Bahkan dia juga melakukan banyak kesilapan.


Sekiranya si ibu berusaha untuk menyelamatkan anaknya yang tidak berdaya daripada neraka yang merupakan penjara abadi dan daripada kematian dalam kesesatan yang merupakan penghapusan abadi dengan rahsia kasih-sayang yang hakiki itu tanpa menyalahgunakannya, nescaya semua amalan kebajikan si anak akan turut dicatatkan seumpamanya ke dalam buku catatan amalan ibunya. Sebagaimana si anak sentiasa menyampaikan banyak cahaya kepada roh ibunya melalui kebajikannya selepas kematian ibunya, di akhirat juga

22. Page

dia tidak akan menjadi pendakwa bahkan menjadi pemberi syafaat dengan seluruh jiwa dan raganya lalu menjadi anak yang berkat kepada si ibu dalam kehidupan abadi.


Ya, guru terawal dan muallim yang paling berkesan bagi insan ialah ibunya. Bersempena dengannya, maka aku menerangkan makna berikut yang aku yakini dan selalu aku rasai pada diri sendiri:


Selama lapan puluh tahun umurku, walaupun aku telah belajar daripada lapan puluh ribu orang, namun aku bersumpah bahawa ajaran dan didikan yang paling kukuh, mantap dan bagai sentiasa diperbaharui ajaranya kepadaku ialah nasihat dan ajaran maknawi yang aku perolehi daripada almarhumah ibuku. Ini kerana ajaran-ajaran itu telah sebati dalam fitrahku seolah-olah benih-benih di dalam tubuh maddiku. Aku menyaksikan bahawa ajaran-ajaran lain telah dibina di atas benih-benih itu. Maknanya aku menyaksikan bahawa tiap-tiap ajaran dan didikan almarhumah ibuku kepada fitrah dan roh ketika aku berumur satu tahun, masing-masing adalah ibarat benih-benih asas dalam hakikat-hakikat agung yang aku lihat ketika berumur lapan puluh tahun sekarang ini.



Contoh: Aku nampak secara yakin bahawa aku telah memperoleh sikap memberi kasih-sayang yang merupakan salah satu daripada empat asas terpenting bagi maslak dan masyrab-ku dan sifat mengasihani dan rasa belas yang merupakan hakikat teragung dalam Risalah an-Nur daripada tingkah laku dan keadaan yang penuh kasih pada ibuku dan daripada didikan-didikan maknawinya. Ya, syafaqah (rasa kasih) keibuan yang mengandungi keikhlasan hakiki dan sifat pengorbanan yang hakiki ini sering disalahgunakan. Yakni,

23. Page

memalingkan wajah anak yang tidak berdosa ke arah dunia yang ibarat kaca-kaca fana yang sementara tanpa memikirkan akhirat yang ibarat khazanah permata bagi anaknya yang tidak berdosa serta memperlihatkan kepadanya kasih-sayang dalam bentuk ini adalah penyalahgunaan syafaqah itu.


Ya, perihal ibu ayam menyerang singa dan mengorbankan nyawanya untuk menyelamatkan anak kecilnya yang mengandungi contoh kecil bagi syafaqah (rasa kasih) itu membuktikan kepahlawanan para wanita dari sudut kasih-sayang ini. Hal ini juga membuktikan bahawa para wanita mengorbankan roh mereka tanpa menginginkan sebarang bayaran dan balasan dan tanpa ada sebarang manfaat peribadi dan tanpa sebarang niat untuk menunjuk-nunjuk.


Sekarang ini, asas yang paling bernilai dan paling penting daripada tarbiah Islamiah dan amal ukhrawi (amalan untuk akhirat) ialah keikhlasan. Keikhlasan yang hakiki itu terdapat dalam kepahlawanan pada kasih-sayang yang seperti ini. Jika dua noktah ini mula tersingkap pada golongan yang diberkati itu, ia akan menjadi asas kebahagiaan yang sangat besar di dalam daerah Islam. Sedangkan kepahlawanan para lelaki tidak boleh berlaku tanpa balasan, bahkan mereka meminta balasan dari seratus sudut.


Paling kurang mereka mahukan kehormatan dan kemuliaan. Tetapi, apa yang dikesalkan ialah, untuk menyelamatkan diri daripada kejahatan dan penganiayaan para lelaki yang zalim, golongan wanita yang diberkati dan tidak berdaya itu masuk ke dalam sejenis perasaan riya’ lain yang datang daripada kedaifan dan kelemahan dalam bentuk yang lain.

24. Page

Nuktah Kedua

Ketika aku bersendirian pada tahun ini, dalam keadaanku yang telah menjauhkan diri daripada hidup bermasyarakat, demi sesetengah saudara-saudari Nur, aku telah memerhatikan dunia. Aku telah mendengar aduan-aduan daripada kebanyakan sahabat yang bertemu denganku tentang kehidupan keluarga mereka sendiri. “Alangkah malangnya!”kataku. “Hidup berkeluarga adalah tempat berlindung, sejenis syurga dan dunia kecil bagi manusia khususnya Muslim. Adakah perkara ini juga telah mula rosak?” kataku lagi. Maka aku telah mencari sebabnya.


Lalu aku mengetahui bahawa sebagaimana dua atau tiga pihak berusaha untuk memesongkan para pemuda Islam dari jalan dan mendorong mereka kepada kemungkaran melalui naluri masa muda untuk memudaratkan kehidupan bermasyarakat Islam dan seterusnya agama Islam, sama seperti itu juga aku merasakan bahawa, di sebalik tabir, satu atau dua pihak telah berusaha dalam bentuk yang berkesan untuk mendorong kumpulan yang lalai dari golongan wanita yang tidak berdaya itu ke jalan yang salah.



Aku juga mengetahui bahawa serangan yang dahsyat terhadap umat Islam ini datang dari sudut itu. Aku juga menerangkan secara yakin kepada kalian para saudari dan kepada anak-anak muda kalian yang merupakan anak-anak maknawiku bahawa satu-satunya cara untuk menyelamatkan kebahagiaan duniawi wanita dan sifat-sifat mulia dalam fitrah mereka, daripada kerosakan juga tidak lain tidak bukan ialah tarbiah agama dalam lingkungan Islam sebagaimana kebahagiaan ukhrawinya. Kalian mendengar bahawa golongan 

25. Page

buntu itu telah terjerumus ke dalam keadaan yang bagaimana di Rusia.


Telah disebut dalam sebahagian Risalah an-Nur bahawa; seseorang yang bijak tidak akan membina mahabbah dan cinta terhadap teman hidupnya di atas keindahan paras rupa yang fana dan luaran yang hanya selama lima ke sepuluh tahun, bahkan dia perlu membina cintanya di atas syafaqah (rasa kasih) dan keindahan budi pekerti yang terkhusus dengan kewanitaan yang merupakan kecantikan yang paling indah dan paling berkekalan bagi wanita. Supaya apabila teman hidup yang tidak berdaya itu semakin tua, mahabbah suaminya berterusan terhadapnya.


Ini kerana, teman hidupnya bukanlah semata-mata seorang pembantu dan teman sementara dalam kehidupan dunia bahkan oleh sebab dia ialah teman hidup yang abadi dan menawan dalam kehidupan abadinya, maka apabila sudah tua, mereka perlu saling mencintai dengan lebih menghormati dan menyantuni satu sama lain. Kehidupan berkeluarga yang terdedah kepada perpisahan yang abadi selepas perdampingan sementara yang bagaikan hubungan kebinatangan di sebalik tabir pendidikan moden sekarang ini sedang rosak dengan asas-asasnya.


Malah telah disebutkan juga dalam satu bahagian Risalah an-Nur bahawa:


“Berbahagialah si suami berikut: Untuk tidak kehilangan teman hidup abadinya, dia meniru isterinya yang solehah lalu dia turut menjadi soleh. Malah berbahagialah juga si isteri berikut: Untuk tidak kehilangan sahabat dan teman abadinya, dia mendapati si suaminya taat beragama lalu dia juga menjadi 

26. Page

benar-benar taat beragama lalu memperoleh kebahagian ukhrawinya di dalam kebahagiaan duniawinya.


Malanglah si suami yang menuruti isterinya yang melakukan kemungkaran dan tidak cuba menghalangnya bahkan dia turut menyertainya. Malanglah juga si isteri yang melihat kefasikan suaminya lalu menirunya dalam bentuk yang lain.


Celakalah si suami dan isteri yang membantu satu sama lain mencampakkan diri ke dalam api (neraka). Yakni menggalakkan satu sama lain kepada ketamadunan yang melalaikan.”


Justeru, maksud ayat-ayat Risalah an-Nur pada mafhum ini ialah: Penyebab perkembangan kehidupan berkeluarga, kebahagiaan duniawi dan ukhrawi serta keterserlahan sifat-sifat unggul para wanita juga hanya boleh wujud melalui adab-adab Islam di dalam lingkungan syariat.


Sekarang, noktah terpenting dalam kehidupan berkeluarga ialah perkara berikut: Sekiranya si isteri nampak keburukan dan ketidaksetiaan si suami, lalu jika si isteri itu merosakkan kesetiaan dan kepercayaan yang merupakan persahabatan keluarga kerana marahkan suaminya, maka seperti mana hilangnya kepatuhan di dalam ketenteraan, kilang kehidupan keluarga itu juga menjadi haru-biru. Bahkan sepatutnya si isteri berusaha sedaya upaya untuk mengislahkan suaminya supaya dia dapat menyelamatkan teman abadinya. Sebaliknya, jika dia juga turut berusaha untuk mempamerkan dan mencintakan dirinya kepada orang lain dengan cara membuka dan mendedahkan aurat, dia kerugian dari setiap sudut.

27. Page

Ini kerana wanita yang meninggalkan kesetiaan hakiki akan mendapat hukumannya di dunia. Ini kerana, fitrahnya berasa takut, tertekan dan risau dengan pandangan lelaki bukan mahram. Dia merasa susah hati dengan pandangan lapan belas daripada dua puluh orang lelaki bukan mahram. Dia tertekan dengan pandangan mereka terhadap dirinya. Manakala lelaki, dia hanya berasa susah hati dan berasa tertekan dengan pandangan seorang sahaja daripada seratus wanita bukan mahram. Maka sebagaimana si isteri menanggung derita dari sudut itu, dia juga dituduh sebagai tidak setia. Bersama dengan kedaifannya, dia tidak dapat memelihara hak-haknya.



Kesimpulan: Sebagaimana para wanita tidak menyerupai lelaki pada sifat kepahlawanan dan keikhlasan dari sudut sifat pengasih, para lelaki juga tidak boleh menyaingi wanita dari sudut sifat kepahlawanan tersebut. Para wanita yang tidak bersalah itu juga pun begitu. Mereka tidak mungkin dapat menyaingi para lelaki dalam kemungkaran dari mana-mana sudut. Oleh sebab itu, melalui fitrah dan tabiat mereka yang lemah para wanita sangat takut dengan lelaki bukan mahram dan mereka menyedari bahawa mereka terpaksa menyembunyikan tubuh mereka di sebalik jilbab (tudung dan pakaian yang longgar, labuh dan tidak jarang). Ini kerana, sekiranya seorang lelaki melakukan kemungkaran untuk keseronokan dan kelazatan selama lapan minit, dia hanya kerugian sesuatu sebanyak lapan lira. Tetapi bagi wanita, sebagai balasan keseronokan yang selama lapan minit di dalam kemungkaran, di dunia lagi dia membawa satu bebanan yang berat selama lapan bulan dalam perutnya. Malah oleh sebab dia turut terlibat dengan kesusahan mendidik si anak yang tiada pelindung itu selama lapan tahun, dia tidak akan dapat 

28. Page

menyaingi lelaki di dalam kemungkaran. Dia menerima hukuman yang seratus kali lebih berat.


Kejadian-kejadian yang bukan sedikit seperti ini menunjukkan bahawa secara fitrah, sebagaimana golongan wanita yang diberkati menjadi sumber akhlak mulia, kemampuan mereka untuk keseronokan dunia dalam kemungkaran juga bagaikan tiada. Maknanya, mereka adalah sejenis makhluk mulia yang dikhususkan untuk mengecapi kehidupan berkeluarga yang bahagia di dalam lingkungan tarbiah Islamiyyah. Semoga hancurlah pihak-pihak yang berusaha merosakkan makhluk-makhluk yang mulia ini. Semoga Allah memelihara para saudariku ini juga dari segala kejahatan para bedebah ini. Amin.


Wahai para saudariku! Aku mengucapkan kata-kata ini kepada kalian secara rahsia:  Berbanding dengan masuk ke bawah penganiayaan seorang suami yang jahat, tidak berakhlak, hidup cara barat, maka, demi sara hidup, berusahalah untuk menguruskan diri kalian dengan sikap berjimat cermat dan qana‘ah di dalam fitrah kalian dari jenis pekerjaan para wanita kampung yang suci yang berusaha sendiri untuk mendapatkan nafkah. Janganlah kalian berusaha untuk menjual diri kalian.


Sebaliknya, andai kalian ditakdirkan dengan seorang lelaki yang tidak sesuai dengan kalian, redha dan berqana’ahlah (rasa cukup) dengan takdir kalian. Insya-Allah melalui keredhaan dan sifat qana‘ah kalian, dia juga akan menjadi baik. Jika tidak, seperti yang aku dengar sekarang ini, kalian akan merujuk kepada mahkamah untuk bercerai. Perkara ini pula tidak cocok dengan kemuliaan Islam dan kehormatan bangsa kita!

29. Page

Nuktah Ketiga

Para saudariku yang mulia, ketahuilah dengan yakin bahawa melalui ratusan dalil yang kuat dan banyak peristiwa, Risalah an-Nur telah membuktikan bahawa dalam keseronokan dan kelazatan di luar batasan syariat terdapat kesakitan dan kesusahan yang sepuluh kali ganda lebih banyak berbanding dengan keseronokan dan kelazatan tersebut. Kalian boleh menjumpai perinciannya yang panjang di dalam Risalah an-Nur.



Contoh: Sebagai penggantiku, Kalimah Keenam, Ketujuh dan Kelapan daripada Kalimah Kecil dan Pedoman Masa Muda akan menjelaskan hakikat ini secara sempurna. Oleh sebab itu, berpada dan berqana‘ahlah dengan keseronokan di dalam batasan syariat. Perbualan berfaedah kalian bersama dengan anak-anak kalian yang tidak berdosa di rumah kalian adalah lebih menyeronokkan berbanding dengan ratusan panggung wayang. Malah ketahuilah dengan yakin bahawa kelazatan hakiki dalam kehidupan duniawi ini adalah pada lingkungan keimanan dan pada keimanan itu sendiri. Pada setiap amalan soleh terdapat suatu kelazatan maknawi. Melalui ratusan dalil yang muktamad, Risalah an-Nur telah mengisbatkan bahawa dalam kesesatan dan kemungkaran, di dunia ini lagi terdapat kesakitan yang amat pedih dan teruk. Melalui pengalaman dan kejadian yang banyak, aku sendiri telah melihat secara ‘ainal yaqin bahawa sesungguhnya terdapat benih syurga di dalam keimanan dan benih neraka di dalam kesesatan dan kemungkaran. Hakikat ini telah ditulis berulang kali di dalam Risalah an-Nur. Walaupun ia telah sampai ke tangan mereka yang sangat degil dan penentang yang paling kuat, namun para pakar dan mahkamah tidak

30. Page

dapat mencacatkan hakikat itu. Sekarang biarlah mula-mula Risalah Hijab, kemudian Pedoman Masa Muda dan seterusnya Kalimah Kecil menggantikan diriku mengajar kalian yakni para saudara perempuanku yang mulia dan suci dan anak-anak kecil kalian yang ibarat anakku.


Aku ada terdengar bahawa kalian berharap agar aku mengajar kalian di masjid. Tetapi, kerana penyakit dan sebab-sebab lain berserta kesulitan keadaanku yang tidak mengizinkan perkara tersebut, maka aku telah mengambil keputusan untuk melibatkan semua saudara perempuanku yang membaca dan menerima pengajaran yang aku tulis untuk kalian ini dalam semua keuntungan maknawi dan doaku seperti murid-murid Nur. Sekiranya kalian memperoleh sebahagian Risalah an-Nur lalu membaca atau mendengarnya sebagai pengganti diriku, pada waktu itu, menurut kewajipan kaedah kami; kalian akan turut memperoleh habuan bagi semua keuntungan maknawi dan doa murid-murid Nur yang merupakan saudara kalian. Sebenarnya sekarang ini aku mahu menulis lebih banyak lagi tetapi oleh sebab aku sangat sakit, sangat daif, sangat tua dan terdapat banyak tugas seperti membuat tashih (semakan), maka buat masa ini aku berpada dengan sekadar ini.

اَلْبَاقِى هُوَ الْبَاقِى

Saudara kalian yang berhajat kepada doa-doa kalian

Said Nursi