NAVIGATION
43. Page
Tujuh Harapan
بِاسْمِهِ سُبْحَانَهُ
Bersempena dengan rahsia Hadith عَلَيْكُمْ بِدِينِ الْعَجَائِزِ yang telah disebutkan dua atau tiga kali dalam Pedoman Para Wanita, maka Tujuh Harapan daripada Risalah Orang tua telah ditambah kepadanya
Harapan Pertama
Wahai saudara-saudari tua terhormat yang telah sampai kepada umur kesempurnaan! Aku juga tua seperti kalian. Dengan hasrat untuk berkongsi tentang harapan-harapan yang kadang-kadang aku temui dalam usia tua dan untuk turut melibatkan kalian dengan cahaya hiburan di dalam harapan-harapan itu, aku akan menulis beberapa perkara yang terlintas dalam kepalaku. Sudah tentu cahaya-cahaya yang aku lihat dan pintu-pintu harapan yang aku temui itu telah dilihat dan telah dibuka menurut kemampuanku yang kurang dan bercelaru.
Insya-Allah kemampuan kalian yang suci dan ikhlas akan mencerahkan cahaya yang aku lihat dan akan lebih menguatkan lagi harapan yang aku temui. Justeru sumber, punca dan mata air harapan-harapan dan cahaya-cahaya yang akan datang itu ialah keimanan.
Harapan Kedua
Semasa aku memasuki usia tua, suatu hari pada musim luruh, pada waktu asar, aku telah memerhatikan dunia dari atas sebuah gunung yang tinggi. Tiba-tiba, suatu keadaan
44. Page
yang amat memilukan dan hiba serta gelap pada satu sudut telah datang kepadaku. Aku nampak bahawa diriku telah tua, siang hari juga telah tua dan tahun juga telah tua dan dunia juga sudah tua. Oleh sebab masa berpisah dari dunia dan mereka yang aku cintai dalam ketuaan-ketuaan (perkara-perkara yang tua) ini semakin mendekat, maka sesungguhnya usia tua amat memeranjatkanku.
Tiba-tiba rahmat Ilahi telah tersingkap lalu telah mengubah kesedihan dan perpisahan yang memilukan itu kepada harapan yang kuat dan cahaya hiburan yang terang.
Ya, wahai warga tua sepertiku! Rahmat al-Khaliq ar-Rahim kita yang memperkenalkan diri-Nya melalui sifat ar-Rahman ar-Rahim-Nya di seratus tempat di dalam al-Quran al-Hakim; sentiasa menghantar rahmat-Nya untuk membantu makhluk-makhluk bernyawa yang meminta belas di atas muka bumi; memenuhkan musim bunga dengan nikmat dan hadiah yang tidak terkira setiap tahun dari alam ghaib lalu memberikannya kepada kita semua yang berhajat kepada rezeki dan yang memperlihatkan lebih banyak tajalli rahmat-Nya berdasarkan kepada tahap kedaifan dan kelemahan ialah harapan yang paling besar dan cahaya yang paling terang di dalam ketuaan kita. Meraih rahmat ini adalah dengan cara mentaati-Nya menerusi persandaran kepada ar-Rahman itu dengan keimanan dan dengan melaksanakan kefarduan.
Harapan Ketiga
Suatu masa, ketika aku tersedar pada subuh masa tua dari lena malam usia muda, aku telah memerhatikan diri sendiri. Tubuhku seolah-olah berlari turun dari suatu cerun ke arah kubur.
45. Page
Seperti yang dimadahkan oleh Niyazi al-Misri:
“Satu demi satu batu binaan umurku jatuh ke tanah dari sehari ke sehari...
Si lalai yang jiwanya tidur, runtuh binaannya tiada dia sedari...”
Aku juga nampak bahawa tubuh yang merupakan rumah bagi rohku juga sedang runtuh dengan jatuhnya seketul batunya setiap hari. Maka cita-cita serta harapan yang mengikat kuat diriku dengan dunia mula terungkai. Aku telah merasai bahawa waktu untuk berpisah daripada sahabat dan mereka yang aku cintai yang terlalu ramai telah hampir. Aku telah mencari ubat bagi luka maknawi yang sangat dalam dan kelihatan tiada penawar itu namun aku tidak dapat menjumpainya. Sekali lagi aku bermadah seperti Niyazi al-Misri:
“Hati kebaqaannya, al-Haq kefanaannya,
berkehendak (keduanya) atas tubuhku,
Aku jatuh dalam penyakit yang tiada penawar,
Aduhai! Luqman pun tidak tahu.[1]”
Ketika itu, tiba-tiba nur, syafaat dan hadiah hidayah yang dibawa oleh Rasul Junjungan Mulia Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang merupakan lidah, contoh, simbol, juruhebah dan wakil kasih Ilahi kepada manusia telah menjadi satu ubat dan penawar yang baik kepada luka parah yang kusangkakan tiada penawar dan tidak terkira itu. Ia telah mengubah rasa putus asaku yang gelap kepada harapan yang bercahaya.
[2] Yakni: Walaupun hatiku menginginkan kebaqaan sedaya upayanya, hikmah Ilahi menghendaki kemusnahannya. Aku terjatuh ke dalam masalah tanpa penyelesaian yang Luqman al-Hakim juga tidak tahu caranya.
46. Page
Ya, wahai orang-orang tua lelaki dan perempuan yang dihormati yang merasai ketuaannya seperti diriku! Kita sedang meninggalkan dunia ini, maka tiada faedahnya untuk kita terpedaya. Mereka tidak akan mengekalkan kita di sini walaupun kita menutup mata kita. Dan manusia didorong dengan satu dorongan. Tetapi negara barzakh yang kelihatan ada perpisahan dan gelap kepada kita melalui kegelapan dan tanggapan-tanggapan yang datang daripada kelalaian dan sebahagiannya juga daripada golongan yang sesat, sebenarnya adalah tempat perhimpunan para kekasih. Ia adalah alam untuk kita berjumpa semula dengan yang pertamanya pemberi syafaaat kita iaitu baginda Habibullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam dan semua sahabat kita.
Ya, kita menuju ke sebuah alam yang telah dituju oleh Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam yang menjadi Sultan bagi tiga ratus lima puluh juta manusia setiap tahun dalam seribu tiga ratus lima puluh tahun, murabbi bagi roh, muallim bagi akal dan kekasih bagi hati mereka, yang dengan rahsia اَلسَّبَبُ كَالْفَاعِلِ (yang menjadi sebab adalah seperti yang melakukan), setiap hari semua kebaikan yang dilakukan oleh umatnya ditambah seumpamanya dalam buku catatan kebajikan baginda. Baginda adalah wasilah bagi tujuan-tujuan agung Ilahi di alam semesta ini dan sebab kepada ketinggian nilai maujudat, yang melalui riwayat yang sahih dan kekasyafan yang benar, sebagaimana baginda menyebut “ummati, ummati” ketika dilahirkan ke dunia, di Mahsyar juga, ketika semua orang menyebut “nafsi, nafsi”, baginda tetap menyebut “ummati, ummati” lalu melalui pengorbanan yang paling suci dan paling tinggi, baginda tetap bergegas membantu umat dengan syafaatnya. Kita menuju ke suatu
47. Page
alam yang diterangi dengan bebintang para asfiya’ dan auliya’ yang tidak terhitung di sekeliling matahari itu. Justeru cara untuk masuk ke bawah syafaat baginda, beristifadah dengan cahayanya dan untuk menyelamatkan diri daripada kegelapan barzakh ialah dengan mengikut Sunnah yang terpuji.
Harapan Keempat
Suatu masa oleh sebab aku telah memasuki usia tua, kesihatan tubuhku yang meneruskan kelalaian juga telah rosak. Usia tua bersama penyakit telah menyerangku secara serentak. Dengan memukul kepalaku secara bertubi-tubi, dua perkara itu telah menghilangkan rasa mengantukku. Hubungan-hubungan yang mengikatku dengan dunia seperti anak isteri dan harta juga tiada. Aku nampak bahawa buah-buah modal usiaku yang telah disia-siakan dengan kebebalan masa muda semuanya adalah dosa dan kesalahan. Lantas aku merintih seperti Niyazi al-Misri dan berkata:
“Aku tidak berdagang, sia-sia sudah modal umurku,
Ku datang ke jalan, semua kafilah berlalu, tiada aku tahu,
Aku menangis, merintih, jatuh ke lorong kosong dan sepi,
Mata basah, hati terbakar, akal hairan tiada aku tahu.”
Pada masa itu aku terasing. Aku merasai satu kesedihan bagaikan putus harapan, suatu kekecewaan penuh penyesalan dan suatu kerinduan mengharap bantuan. Tiba-tiba, al-Quran Mu’jiz al-Bayan datang membantu. Ia telah membuka pintu pengharapan yang sangat kuat kepadaku dan memberi cahaya ketenangan yang begitu hakiki sehingga ia boleh melenyapkan hatta keputusasaan yang seratus kali ganda melebihi keadaanku itu dan boleh menyuraikan kegelapan-kegelapan itu.
48. Page
Ya, wahai warga tua lelaki dan perempuan dihormati yang hubungannya dengan dunia mula terputus dan tali-tali yang mengikatnya dengan dunia mula terungkai seperti diriku! Adakah mungkin as-Sani’ Dzul Jalal yang menciptakan dunia ini sebagai sebuah bandar dan istana yang paling sempurna dan paling tersusun tidak bercakap dan bertemu dengan para tetamu dan kekasih-Nya yang paling penting di bandar dan istana itu? Memandangkan Dia telah menjadikan istana ini dengan ilmu dan menyusun serta menghiasnya dengan iradah dan ikhtiyar-Nya, sudah tentu sebagaimana yang membuat itu tahu, maka yang tahu itu bercakap. Memandangkan Dia telah menjadikan istana dan bandar ini sebagai rumah pertamuan dan pusat perdagangan yang baik untuk kita, maka sudah tentu akan ada buku tulis atau kitab-Nya yang akan memperlihatkan hubungan-Nya dengan kita dan apakah kehendak-Nya daripada kita.
Justeru, kitab yang paling sempurna antara kitab-kitab suci itu ialah al-Quran Mu’jiz al-Bayan yang merupakan mukjizat dengan empat puluh wajah, dalam setiap minit, paling kurang kitab suci ini berlegar pada seratus juta lidah, menyebarkan cahaya, dalam setiap hurufnya, paling sedikit terdapat sepuluh pahala dan kebajikan dan kadang-kadang sepuluh ribu dan kadang-kadang dengan rahsia Lailatul Qadar pada satu hurufnya terdapat tiga puluh ribu kebajikan, memberikan buah syurga dan cahaya barzakh, Tiada satu pun kitab yang boleh menyainginya dan sesiapa pun tidak akan dapat menunjukkan pesaingnya (yang berada) pada kedudukan ini di alam semesta ini.
Memandangkan al-Quran yang di tangan kita ini adalah kalam dan firman yang datang dari noktah Rububiyyah mutlak al-Khaliq Dzul Jalal langit dan bumi, dari sudut keagungan
49. Page
Uluhiyyah dan dari sisi keluasan rahmat. Ia juga adalah satu sumber rahmat-Nya. Maka berpegang teguhlah dengannya. Di dalamnya terdapat penawar bagi setiap penyakit, cahaya bagi setiap kegelapan dan harapan bagi setiap keputus asaan. Justeru kunci khazanah abadi ini ialah keimanan, penyerahan, mendengar al-Quran, menerima dan membacanya.
Harapan Kelima
Suatu masa, pada permulaan usia tua, aku telah berhasrat untuk beruzlah. Rohku mencari suatu kerehatan dengan cara tinggal bersendirian di Bukit Yusya’ yang berada di tebing Selat Bosphorus Istanbul. Suatu hari ketika berada di bukit yang tinggi itu, aku memandang kepada lingkaran ufuk dan kawasan sekeliling. Melalui peringatan usia tua, aku nampak suatu papan tanda kelenyapan dan perpisahan yang sangat sedih dan menghibakan. Aku telah melayangkan pandangan (bermula) dari kedudukan tinggi pada dahan keempat puluh lima yang merupakan tahun keempat puluh lima bagi pohon usia, sehingga ke peringkat-peringkat bawah kehidupan. Aku nampak bahawa terdapat jenazah yang tidak terkira (yang terdiri daripada) insan-insan yang aku cintai, yang ada hubungan denganku dan aku kenali dalam setiap tahun pada setiap dahannya. Dalam kepiluan maknawi yang sangat menghibakan yang datang daripada perpisahan dan pemisahan itu, sambil memikirkan sahabat-sahabat yang terpisah, aku telah menangis dan merintih seperti Fudhuli al-Baghdadi dengan berkata:
“Apabila saja aku mengenang pertemuan, aku menangis;
Aku meraung selagi nafas masih ada di dalam tubuhku yang kontang...”
50. Page
Aku mencari pintu ketenangan, cahaya dan harapan. Tiba-tiba nur keimanan kepada akhirat sampai memberi bantuan. Ia telah memberikan satu nur yang langsung tidak akan padam dan harapan yang tidak akan putus.
Ya, wahai saudara-saudari yang tua sepertiku! Memandangkan akhirat ada dan memandangkan ia adalah baqa’, memandangkan ia lebih indah daripada dunia dan memandangkan Dzat yang menjadikan kita adalah al-Hakim dan ar-Rahim, maka kita sepatutnya tidak mengadu dan bersedih dengan usia tua. Sebaliknya kita patut berasa gembira dengan usia tua dari sudut ia adalah satu alamat bagi kemasukan (kita) ke dalam umur kesempurnaan dalam ibadah melalui keimanan dan pemergian (kita) ke alam rahmat untuk berehat melalui perlepasan daripada tugas kehidupan.
Ya, melalui nas hadith: Seratus dua puluh empat ribu para Nabi yang merupakan peribadi-peribadi manusia yang paling istimewa secara sepakat telah mengkhabarkan tentang kewujudan akhirat, tentang manusia akan dibawa ke sana dan tentang al-Khaliq alam semesta ini akan mendatangkan akhirat yang telah dijanjikan-Nya dengan pasti melalui ijma’ dan khabar mutawatir serta sebahagiannya bersandarkan kepada penyaksian dan sebahagiannya kepada haqqal yaqin.
Seperti itu juga penyaksian kepada kewujudan akhirat oleh seratus dua puluh empat juta orang para wali yang membenarkan khabar yang diberitahu oleh para Nabi secara ‘ilmal yaqin melalui kasyaf dan penyaksian dan melalui jilwah-jilwah yang telah diperlihatkan oleh semua nama as-Sani’ al-Hakim alam semesta ini di dunia ini. Semuanya secara jelas telah mewajarkan sebuah alam baqa’ tersebut.
51. Page
Qudrat azali yang tidak terbatas dan hikmah abadi yang tidak terhitung dan tiada pembaziran yang menghidupkan jenazah pohon-pohon mati yang tidak terkira (jumlahnya) yang berdiri di atas muka bumi dengan perintah كُنْ فَيَكُونُ dan menzahirkan بَعْثُ بَعْدَ الْمَوْت setiap tahun pada musim bunga, menghidupkan semula dan membiakkan tiga ratus ribu jenis daripada kelompok tumbuhan dan daripada bangsa binatang sebagai ratusan ribu contoh Hari Kebangkitan dan Penyebaran (buku amalan) juga mewajarkan kewujudan akhirat secara jelas.
Begitulah juga rahmat yang baqa’ dan ‘inayah yang berterusan yang menyara semua makhluk bernyawa yang berhajat kepada rezeki dengan penuh kasih-sayang dalam bentuk yang sangat menakjubkan serta memperlihatkan jenis-jenis perhiasan dan kecantikan yang tidak terkira dan terhitung dalam masa yang singkat di setiap musim bunga.
Malah isyarat dan petunjuk secara jelas oleh cinta kebaqaan, rindu keabadian dan cita kesarmadian yang bersangatan yang tidak mungkin goyah dan berterusan pada insan yang merupakan buah paling sempurna bagi alam ini, ciptaan paling disayangi oleh al-Khaliq alam dan paling banyak berhubung kait dengan maujudat alam juga secara begitu qat‘i mengisbatkan bahawa selepas alam fana ini terdapat sebuah alam baqa’, darul akhirat dan negara kebahagiaan. Maka kesemuanya mewajarkan penerimaan kewujudan akhirat secara jelas seperti penerimaan kewujudan dunia.[3]
[3] Ya, betapa mudahnya mengkhabarkan suatu perkara yang nyata dan betapa sulitnya mengingkari dan menafikannya dapat dilihat di dalam perumpamaan berikut:
Jika seseorang berkata: “Di atas muka bumi terdapat sebuah kebun menakjubkan yang buah-buahnya bagaikan bekas-bekas susu. Lalu jika seseorang berkata; Mana ada! Maka orang yang membuktikan boleh mengisbatkan dakwaannya dengan hanya perlu menunjukkan tempatnya atau sesetengah buahnya dengan senang. Orang yang mengingkarinya pula untuk membuktikan penafiannya, hanya boleh membuktikannya dengan melihat dan menunjukkan seluruh dunia.
Sama seperti itu juga ketika pengakuan dua orang saksi yang benar kepada kewujudan syurga adalah mencukupi (tanpa melihat kepada ratusan ribu titisan, buah-buahan dan kesan-kesannya yang telah diperlihatkan oleh mereka yang mengkhabarkan tentang syurga), namun orang yang mengingkarinya pula hanya boleh membuktikan pengingkaran dan memperlihatkan ketiadaan syurga selepas menjelajah dan mengkaji alam yang tiada penghujung dan masa abadi yang tiada sempadan. Maka wahai saudara-saudari yang tua! Fahamilah betapa kuatnya keimanan kepada akhirat.
52. Page
Memandangkan pengajaran paling penting yang diberikan oleh al-Quran al-Hakim kepada kita ialah keimanan dengan akhirat dan keimanan itu juga adalah kuat seperti itu dan pada iman itu terdapat harapan dan ketenangan yang sekiranya seratus ribu ketuaan datang kepada seseorang, ketenangan yang datang daripada keimanan ini dapat menghadapinya, maka kita yang tua ini perlu mengucapkan اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ عَلَى كَمَالِ الْاِيمَانِ lalu berasa gembira dengan ketuaan kita.
Harapan Keenam
Suatu masa, dalam (peristiwa) penahananku yang menyakitkan, kerana melarikan diri daripada manusia, aku telah bersendirian di puncak Gunung Cam di tanah tinggi Barla. Dalam keseorangan aku mencari-cari cahaya. Suatu malam, aku berada di dalam sebuah bilik kecil yang tidak beratap di atas sebatang pohon Pain yang ada di puncak yang tinggi itu. Usia tua telah memperingatkanku tentang tiga atau empat keterasingan di dalam satu sama lain.
Sebagaimana yang diterangkan dalam ‘Surat Keenam’: Malam itu hanya bunyi dan suara sedih yang datang daripada desiran dan elusan pepohon yang sunyi, sepi dan sendiri amat
53. Page
menyentuh rasa hiba, ketuaan dan keterasinganku. Usia tua telah memperingatkanku bahawa sebagaimana siang telah bertukar menjadi kubur yang hitam ini dan dunia telah memakai kafan hitamnya, begitulah juga ia berkata kepada telinga hatiku: “Siang umurmu juga akan bertukar kepada malam, siang dunia juga kepada malam barzakh dan musim panas kehidupan juga akan bertukar kepada malam musim sejuk kematian.”
Lalu nafsuku terpaksa berkata:
“Ya, ketuaan mengkhabarkanku bahawa sebagaimana aku terasing dari kampung halaman, malah oleh sebab aku turut terpisah daripada mereka yang aku cintai yang telah menemui kelenyapan dalam tempoh lima puluh tahun umur ini dan oleh sebab aku menangis di belakang mereka, maka keterasingan ini adalah lebih sedih dan menyakitkan berbanding dengan duduk berjauhan daripada kampung halaman itu. Aku menghampiri suatu keterasingan yang lebih sedih dan menyakitkan berbanding keterasingan yang sedih dalam keadaan malam dan gunung yang sunyi. Ini kerana ketuaan memberitahuku bahawa waktu untuk berpisah daripada keseluruhan dunia secara sekaligus telah hampir. Maka aku telah mencari suatu harapan dan cahaya di celah-celah keterasingan dalam keterasingan dan kesedihan dalam kesedihan ini. Tiba-tiba al-imanubillah sampai membantuku. Ia telah memberi suatu ketenangan yang sekiranya kesepian berganda yang aku alami ini bertambah seribu kali ganda, nescaya ketenangan itu tetap akan mencukupi.
Ya, wahai warga tua lelaki dan perempuan! Memandangkan al-Khaliq kita yang ar-Rahim ada, maka tidak akan ada keterasingan untuk kita. Memandangkan Dia ada maka
54. Page
semuanya ada untuk kita. Memandangkan Dia ada, maka para malaikat-Nya juga ada. Oleh itu, (maknanya) dunia ini tidak kosong. Gunung-ganang yang sepi, padang-padang pasir yang tandus adalah penuh dengan hamba-hamba Al-Haqq Subhanahu wa Ta‘ala. Selain daripada hamba-hamba-Nya yang berakal, dengan cahaya-Nya, dengan perhitungan-Nya, batu dan pohon-Nya juga adalah ibarat teman-teman yang mesra. Makhluk-makhluk itu boleh berbicara dengan kita melalui lisan al-hal mereka dan menghiburkan kita.
Ya, dalil-dalil dan para saksi yang menyaksikan kewujudan-Nya sebanyak bilangan maujudat alam semesta ini dan sebanyak bilangan huruf kitab alam yang besar ini dan memperlihatkan rahmat-Nya sebanyak peralatan, makanan dan nikmat makhluk bernyawa yang merupakan sumber kasih-sayang, rahmat dan ‘inayah memperlihatkan kepada kita pintu al-Khaliq, as-Sani’ dan al-Hami kita yang merupakan ar-Rahim, al-Karim, al-Anis dan al-Wadud. Sesungguhnya pemberi syafaat yang paling makbul di pintu itu ialah kelemahan dan kedaifan. Waktu yang paling sempurna bagi kelemahan dan kedaifan pula ialah masa tua. Maka kita sepatutnya tidak merasa benci dengan masa tua yang merupakan pemberi syafaat yang makbul di pintu yang sebegitu, bahkan perlu mencintainya.
55. Page
Harapan Ketujuh
Suatu ketika pada awal usia tuaku, ketika ketawa ‘Said Lama’ bertukar menjadi tangisan ‘Said Baru’, kerana menyangka bahawa aku adalah ‘Said Lama’, ahli dunia di Ankara telah menjemputku ke sana. Maka aku pun pergi.
Di penghujung musim luruh, aku telah naik ke puncak kubu Ankara yang jauh lebih tua, lebih lama dan lebih usang daripadaku. Bagiku, kubu itu kelihatan seperti peristiwa bersejarah yang telah membatu. Di atas kubu yang tinggi itu, bersama dengan usiaku yang telah lanjut, musim ketuaan tahun itu, keusangan kubu, usia tua manusia, ketuaan Daulah agung Uthmaniyyah, kewafatan khilafah kesultanan dan kerentaan dunia telah menyebabkan aku memerhatikan lembah-lembah masa lalu dan gunung-ganang masa hadapan dalam keadaan yang sangat menyedihkan, memilukan dan menghibakan. Lalu aku telah mengamat-amatinya.
Oleh sebab aku merasai suatu keadaan roh yang paling gelap dalam empat atau lima jenis kegelapan[4] masa tua yang menyeliputiku di dalam satu sama lain di Ankara, maka aku telah mencari cahaya, hiburan dan harapan.
Ketika memandang ke kanan iaitu masa silam yang telah berlalu dan mencari hiburan padanya, ia kelihatan seperti sebuah perkuburan terbesar bagi ayahku, moyangku dan bangsa manusia. Sebagai gantian hiburan ia memberi ketakutan.
Ketika aku memandang ke sebelah kiri yang merupakan masa hadapan mencari penawar, Aku nampak bahawa ia
[4] Waktu itu aku telah menulis keadaan roh ini dalam bentuk munajat berbahasa Parsi yang terlintas di hati. Ia telah dicetak di Ankara dalam Risalah Habbab.
56. Page
kelihatan seperti sebuah kubur yang besar dan gelap bagiku, bagi mereka yang sepertiku dan bagi generasi yang akan datang. Sebagai gantian ketenangan ia memberi kengerian.
Kerana terkejut dari kanan dan kiri, maka aku memerhatikan hari yang sedang aku lalui. Pada pandanganku yang lalai dan lapuk, hari itu kelihatan seperti sebuah keranda yang mengusung jenazah tubuhku yang dalam keadaan separuh mati dan kesakitan seperti orang yang disembelih.
Seterusnya apabila berputus asa daripada sudut ini juga, maka aku mendongakkan kepalaku lalu memerhatikan puncak pohon usiaku. Aku nampak bahawa pohon itu memiliki hanya sebiji buah dan ia pula tidak lain dan tidak bukan adalah jenazahku. Ia tergantung di dahan pohon itu dan memandang kepadaku.
Apabila dari sudut itu pun aku ketakutan lalu aku menundukkan kepalaku ke bawah dan memerhatikan bahagian bawah dan akar pohon usia itu. Aku nampak bahawa tanah di bawahnya itu adalah dalam bentuk yang telah bercampur aduk di antara tanah tulang-temulangku dengan tanah permulaan kejadianku. Ia dipijak-pijak di bawah tapak kaki. Ia juga bukanlah penawar malahan telah menambah kegelisahan kepada kegelisahanku.
Kemudian aku terpaksa menoleh ke belakangku. Aku nampak bahawa dunia yang tidak tetap dan fana, bergolek pergi di lembah kesia-siaan dan dalam gelap ketiadaan. Ketika mencari penawar untuk kegelisahanku, ia menambah racun.
Oleh sebab dari sudut itu pun aku tidak nampak kebaikan, maka aku telah memerhatikan bahagian hadapanku. Aku menghantar pandanganku jauh ke hadapan. Aku nampak
57. Page
bahawa pintu kubur kelihatan terbuka betul-betul di atas jalanku. Ia telah mengangakan mulutnya dan memandang kepadaku. Di belakangnya kelihatan jalan menuju keabadian yang sangat jauh serta kafilah-kafilah yang melalui jalan itu.
Namun selain daripada juzuk ikhtiari (pilihan) yang kecil, tiada sesuatu pun di tanganku yang boleh menjadi tempat persandaran dan senjata pertahanan yang dapat digunakan untuk menghadapi kedahsyatan-kedahsyatan yang datang daripada enam sudut ini. Oleh sebab juzuk ikhtiari yang merupakan satu-satunya senjata manusia untuk menghadapi musuh yang tidak terkira dan perkara-perkara bahaya yang tidak terhitung itu adalah kurang, terbatas, lemah dan tidak boleh mewujudkan, maka tiada apa-apa pun akan datang daripada tangannya selain usaha (al-kasb). Bukan sahaja ia tidak boleh pergi ke masa lalu untuk menghentikan kesedihan-kesedihan yang datang daripadanya kepadaku malah ia tidak boleh menjelma ke masa hadapan untuk menghalang ketakutan yang datang daripadanya. Maka aku menyedari bahawa ia tidak memberi manfaat kepada cita-cita masa hadapan dan kesakitan masa laluku.
Semasa aku meronta-ronta dalam kedahsyatan, ketakutan, kegelapan dan keputusasaan yang datang daripada enam arah itu, tiba-tiba cahaya-cahaya keimanan yang bersinar di langit al-Quran Mu'jiz al-Bayan telah sampai memberi bantuan. Cahaya itu telah menerangi enam arah tersebut sehingga jika ketakutan dan kegelapan yang aku lihat itu bertambah seratus kali ganda, nescaya cahaya itu adalah masih mencukupi dan memadai untuknya. Cahaya-cahaya itu telah mengubah satu demi satu kedahsyatan itu kepada hiburan dan satu demi satu kesunyian itu kepada kemesraan.
58. Page
Keadaan itu adalah seperti berikut:
Keimanan telah mengoyak gambaran perkuburan terbesar bagi masa lalu yang menakutkan itu lalu memperlihatkan secara ‘ainal yaqin (keyakinan melalui mata) dan haqqal yaqin (keyakinan sebenar) bahawa masa lalu ialah majlis munawwar (bercahaya) yang penuh mesra dan tempat berhimpun bagi para kekasih.
Keimanan juga telah memperlihatkan secara ‘ilmal yaqin (keyakinan melalui ilmu) bahawa masa depan yang dilihat dalam bentuk pusara terbesar melalui pandangan ghaflah (kelalaian) itu ialah majlis jamuan ar-Rahman di istana-istana kebahagian yang indah.
Keimanan juga telah memecahkan masa sekarang yang kelihatan seperti keranda dan bentuk kekerandaan hari sekarang itu kepada pandangan ghaflah lalu secara jelas memperlihatkan hari itu sebagai kedai perdagangan ukhrawi dan sebuah Rumah Tamu ar-Rahman yang gilang-gemilang.
Keimanan juga telah memperlihatkan secara ‘ilmal yaqin (keyakinan melalui ilmu) bahawa satu-satunya buah di puncak pohon usia yang kelihatan seperti jenazah apabila dilihat dengan pandangan ghaflah itu sebenarnya bukanlah jenazah bahkan rohku yang menjadi penerima dan calon kepada kehidupan dan kebahagiaan abadi yang telah keluar dari sarangnya yang telah usang untuk bersiar-siar dari bintang ke bintang.
Seterusnya melalui rahsia keimanan, diperlihatkan bahawa tulang-temulang dengan tanah permulaan kejadianku itu bukanlah tulang-temulang yang tidak penting dan telah hancur
59. Page
di bawah tapak kaki bahkan tanah itu ialah pintu rahmat dan tirai dewan syurga.
Seterusnya melalui rahsia al-Quran, keimanan memperlihatkan bahawa sesungguhnya dunia yang apabila dilihat melalui pandangan ghaflah adalah bergolek dalam kesia-siaan dan dalam gelap ketiadaan di belakangku itu ialah sebahagian tulisan-tulisan as-Samad dan mukasurat-mukasurat ukiran as-Subhan yang telah tamat tugasnya, telah mengifadahkan maknanya dan telah meninggalkan natijah-natijahnya pada kewujudan sebagai ganti kepada dirinya. Keimanan telah memberitahu tentang apakah perihal dunia secara ‘ilmal yaqin.
Dengan cahaya al-Quran, keimanan memperlihatkan bahawa kubur di bahagian hadapan yang sedang membuka matanya dan memandang kepadaku serta jalan di belakang kubur yang menuju keabadian kubur itu bukanlah pintu perigi bahkan pintu alam cahaya. Oleh sebab keimanan memperlihatkan dengan cara yang benar-benar meyakinkan bahawa jalan itu pula bukanlah jalan yang menuju ketiadaan dan kesia-siaan bahkan menuju kewujudan, negara cahaya dan kebahagian abadi, maka ia menjadi penawar dan ubat sapu kepada kegelisahan-kegelisahanku.
Malah, keimanan memberi wasikah (surat sokongan) kepada tangan juzuk ikhtiari itu untuk ia bersandar kepada kuasa yang tidak berpenghujung dan berlindung kepada rahmat yang tidak bersempadan menghadapi musuh dan kegelapan yang tiada batasan itu sebagai gantian kepada juzuk ikhtiari juz’i yang memiliki usaha (al-kasb) yang sangat kecil di tangannya itu. Bahkan keimanan itu sendiri yang menjadi wasikah di tangan juzuk ikhtiari itu.
60. Page
Malahan juzuk ikhtiari yang merupakan senjata insan itu pada hakikatnya adalah lemah, terbatas dan kurang. Tetapi sebagaimana seorang askar dapat melakukan kerja-kerja yang ribuan kali ganda di luar keupayaannya apabila mengunakan kekuatannya yang juz’i itu atas nama kerajaan, begitulah juga jika juzuk ikhtiari yang kecil itu digunakan di jalan al-Haq Subhanahu wa Taala dan atas nama-Nya dengan rahsia keimanan, ia juga boleh memperoleh syurga seluas lima ratus tahun.
Keimanan turut mengambil tali kendali juzuk ikhtiari yang tidak boleh menguasai masa lalu dan masa depan itu daripada tangan tubuhku lalu menyerahkannya kepada hati dan roh. Oleh sebab lingkungan kehidupan hati dan roh pula tidak hanya terkhusus kepada masa sekarang seperti tubuh serta oleh sebab ia termasuk dalam daerah kehidupan yang sangat lama daripada masa lalu dan masa depan, maka juzuk ikhtiari itu keluar daripada juz’iyyah lalu mencapai kulliyyah.
Sepertimana juzuk ikhtiari itu boleh masuk ke lembah-lembah masa lalu yang paling dalam dengan kekuatan iman dan menghalang gelap-gelap kesedihan; dengan cahaya keimanan ia mampu mendaki gunung-ganang masa depan yang paling jauh dan menghilangkan segala ketakutan.
Justeru, wahai orang-orang tua lelaki dan perempuan yang telah mengalami kesusahan-kesusahan masa tua sepertiku! Alhamdulillah! Memandangkan kita adalah ahli iman, memandangkan dalam keimanan terdapat khazanah atau dafinah yang sangat bercahaya, lazat, indah dan menarik serta memandangkan masa tua semakin membawa kita kepada kandungan dafinah itu, maka kita sepatutnya beribu-ribu kali mensyukuri masa tua yang mempunyai keimanan, bukan menyesalinya.
Said Nursî