Maqam Pertama Kalimah Kedua Puluh Satu

75. Page

KALIMAH KEDUA PULUH SATU


Kalimah ini mempunyai dua maqam


Maqam Pertama Kalimah Kedua Puluh Satu

 

بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحيمِ

اِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُومِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا


Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang telah ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.”


Sadaqa man nataqa (Benarlah Siapa yang telah mengatakannya.)


Suatu masa, seseorang yang lebih berusia, besar tubuh badan dan tinggi kedudukannya telah berkata kepadaku: “Solat itu bagus. Tetapi mengulanginya lima kali setiap hari adalah banyak. Oleh sebab ia tidak pernah habis, maka ia menjemukan!”


Beberapa lama selepas orang itu menyatakannya, aku telah mendengar akan nafsu sendiri. Aku dapati bahawa ia mengucapkan kata-kata yang sama! Lalu aku memerhatikannya dan mendapati bahawa ia telah mempelajari perkara yang sama daripada syaitan menerusi telinga kemalasan. Ketika itu aku memahami bahawa orang tersebut seolah-olah telah meluahkan kata-kata bagi pihak semua nafsu amarah atau telah disuruh untuk meluahkannya.


76. Page

Ketika itu aku juga telah berkata: “Memandangkan nafsuku adalah al-ammarah (sentiasa menyuruh kejahatan) dan sesiapa yang tidak mengislahkan nafsunya tidak akan dapat mengislahkan orang lain, maka aku memulakannya dengan diri sendiri.


Aku berkata: “Wahai nafsu! Dengarlah lima peringatan daripadaku sebagai gantian kepada kata-kata yang engkau telah ucapkan dalam kejahilan yang murakkab, di atas tilam kemalasan dan dalam lena kelalaian itu.


Peringatan Pertama

Wahai nafsuku yang malang! Agaknya adakah umurmu abadi? Adakah engkau mempunyai sebarang surat sandaran yang muktamad bahawa engkau akan terus hidup sehingga tahun hadapan, hatta esok hari sekalipun? Perkara yang memberimu kebosanan ialah sangkaan keabadian (3). Demi keseronokan, engkau mengada-ngada bagaikan akan kekal abadi di dunia. Kalaulah engkau memahami bahawa umurmu adalah sedikit dan berlalu pergi secara sia-sia, nescaya engkau akan membelanjakan satu daripada dua puluh empatnya untuk khidmat yang indah, menarik damai dan dirahmati yang akan menjadi sebab kepada kebahagiaan bagi kehidupan abadimu yanghakiki. Maka ia bukan sahaja tidak membosankan bahkan menjadi sebab untuk membangkitkan suatukerinduan yang sejati dan kenikmatan yang indah.


Peringatan Kedua

Wahai nafsuku yang kuat makan! Setiap hari engkau memakan roti (4), meminum air dan menghirup udara untuk bernafas. Agaknya, adakah semua perbuatan itu membosankan engkau? Tidak! Ini kerana keberulangan keperluan tidak membosankan bahkan engkau

___________________

(3) Sangkaan keabadian: Suatu tanggapan pada diri seseorang yang menyangka bahawa dia akan hidup selama-lamanya. -Penterjemah
(4) Roti adalah makanan asasi rakyat Turki. Kita boleh membacanya sebagai nasi.-Penterjemah

77. Page

menikmatinya. Oleh sebab itu sepatutnya solat yang merupakan penarik dan pengundang makanan bagi hatiku, air kehidupan bagi rohku dan bayu semilir bagi latifah rabbaniyyah-ku yang merupakan sahabatmu di rumah tubuhku juga tidak membosankanmu.


Ya! Sesungguhnya santapan dan kekuatan bagi hati yang terdedah dan diuji dengan pelbagai jenis kedukaan dan kesakitan yang tidak bersempadan, terpesona dan dipenuhi kecintaan dengan kelazatan dan cita-cita yang tidak berpenghujung dapat diperoleh melalui rayuan dengan cara mengetuk pintu ar-Rahimul Karim yang berkuasa di atas segala sesuatu.


Ya, sesungguhnya air kehidupan bagi roh yang bergantung dengan hampir keseluruhan maujudat yang mencetuskan ratapan perpisahan dan pergi dengan cepat di atas dunia yang fana ini dapat diminum dengan cara menghadap ke arah mata air rahmat al-Ma’budul Baqi dan al-Mahbubus Sarmadi melalui solat sebagai ganti kepada segala-galanya.


Ya, di tengah-tengah keadaan duniawi yang mencabar, menekan, susah, sementara, gelap dan melemaskan ini, sudah tentu rahsia keinsanan yang berakal dan latifah rabbaniyyah yang bercahaya yang mengingini keabadiaan secara fitrah yang dicipta untuk keabadian, merupakan cermin bagi Dzat yang azali dan abadi dan memiliki kehalusan dan kelembutanyang sangat menakjubkan itu amat berhajat kepada pernafasan. Maka melalui jendela solat sahajalah ia boleh bernafas.


Peringatan Ketiga

Wahai nafsuku yang tidak sabar! Adakah menjadi gelisah pada hari ini setelah memikirkan kesukaran ibadah, kesusahan solat dan kepayahan musibah pada hari-hari yang telah berlalu seterusnya menzahirkan ketidaksabaran setelah membayangkan tugas ibadat, khidmat solat dan kesakitan musibah pada hari yang mendatang itu pada hari ini merupakan suatu kebijaksanaan?

78. Page

Perumpamaanmu di dalam ketidaksabaran itu menyamai komander yang dungu berikut:


Kekuatan sayap kanan musuh telah bertembung dengan kekuatan tentera komander tersebut yang berada di sebelah kanan. Walaupun ketika itu dia telah mempunyai kekuatan yang mantap, namun dia tetap menghantar sejumlah besar kekuatannya ke sayap kanan tersebut lantas melemahkan markas. Malah, walaupun tiada tentera musuh di sayap kiri bahkan belum datang lagi, dia menghantar sejumlah besar kekuatan ke sana. dia memberi arahan “tembak!”. Dia melemahkan kekuatan markas secara keseluruhan. Lantas pihak musuh memahami keadaan dan menyerang markas dan mengkucar-kacirkannya.


Ya, engkau (nafsuku) adalah serupa seperti ini. Ini kerana kesusahan hari-hari yang telah berlalu telah bertukar menjadi rahmat pada hari ini. Kesakitannya telah pergi dan kelazatannya masih ada. Kesukarannya telah menyertai kemuliaan dan kesusahannya telah bertukar menjadi pahala.


Jika begitu, engkau sepatutnya memperoleh bukan kebosanan daripadanya bahkan semangat baru, kenikmatan yang segar dan keghairahan yang sungguh untuk meneruskan.


Memandangkan hari-hari mendatang belum datang, maka memikirkannya dari sekarang lalu mendatangkan kebosanan dan kejemuan adalah kegilaan seperti menjerit dan berteriak (meminta tolong) hari ini kerana memikirkan kelaparan dan kehausan pada masa yang akan datang.


Memandangkan hakikat adalah begini, jika engkau orang yang berakal, maka dari sudut ibadah fikirkanlah hari ini sahaja dan katakanlah “aku sedang membelanjakan satu jamnya kepada suatu khidmat yang pahalanya sangat besar, bebanannya sangat sedikit,

79. Page

menarik, cantik dan mulia.” Pada masa itu, kejemuanmu yang pahit akan bertukar menjadi keghairahan yang manis.


Justeru, wahai nafsuku yang tidak sabar! Engkau dipertanggungjawabkan dengan tiga jenis kesabaran.


Pertama: Sabar di atas ketaatan.

Kedua: Sabar daripada melakukan maksiat.

Ketiga: Sabar menghadapi musibah.


Justeru jika akalmu ada, jadikanlah hakikat yang kelihatan pada perumpamaan dalam peringatan ketiga ini sebagai pedoman.


Ucapkanlah “Ya Sabur!” dengan berani dan pikulllah tiga kesabaran itu ke atas bahumu.


Sekiranya engkau tidak membahagi-bahagikan kekuatan sabar yang dianugerahkan Allah kepadamu di jalan yang salah, ia akan mencukupi untuk menghadapi setiap kesusahan dan musibah. Maka bertahanlah dengan kekuatan itu.


Peringatan Keempat

Wahai nafsuku yang bingung! Agaknya, adakah tugas kehambaan tersebut tidak mempunyai natijah? Sedikitkah ganjarannya sehingga ia membosankanmu? Sedangkan, jika seseorang memberi beberapa keping wang kepadamu ataupun menakutkanmu, nescaya dia boleh memaksamu untuk berkerja sampai malam dan engkau akan bekerja tanpa jemu.


Agaknya, adakah solat yang akan menjadi santapan dan kekayaan kepada hatimu yang lemah dan fakir di dewan pertamuan dunia ini, makanan dan cahaya di kuburmu yang pasti menjadi tempat

80. Page

tinggalmu dan jaminan dan perlepasan di Mahsyar yang tidak lain tidak bukan merupakan mahkamahmu serta menjadi nur dan buraq di atas Titian Sirat yang mahu tidak mahu pasti dilintasimu itu adalah tiada natijah? Ataupun adakah ganjarannya sedikit?


Sekiranya seseorang menjanjikanmu hadiah bernilai seratus lira, maka dia boleh memperkerjakanmu selama seratus hari, maka engkau bergantung kepada orang itu yang berkemungkinan akan memungkiri janjinya. Malah engkau bekerja tanpa jemu.


Agaknya, sekiranya Dzat yang pada-Nya memungkiri janji adalah mustahil menjanjikanmu suatu ganjaran seperti syurga dan suatu hadiah seperti kebahagiaan abadi, kemudian jika Dia menggunakanmu dalam satu tempoh yang sangat singkat dan dalam tugas yang sangat baik, namun jika engkau tidak berkhidmat ataupun melakukannya tidak sepenuh hati bagaikan terpaksa ataupun engkau meragui janji-Nya dan meremehkan hadiah-Nya dengan kebosanan dan khidmatmu yang rendah mutunya, maka tidakkah engkau memikirkan bahawa engkau adalah sangat layak kepada suatu pengajaran yang sangat keras dan suatu seksaan yang amat dahsyat? Tidakkah ketakutan daripada penjara abadi seperti neraka memberikanmu keghairahan untuk melakukan khidmat yang paling ringan dan latif sedangkan di dunia, kerana takutkan penjara, engkau melakukan khidmat tanpa jemu dalam kerja-kerja yang paling berat?


Peringatan Kelima

Wahai nafsuku yang menyembah dunia! Adakah kejemuanmu di dalam ibadat dan kekuranganmu di dalam solat itu berpunca daripada banyaknya kesibukan duniawi ataupun disebabkan ketiadaan masa kerana kesibukan mencari sara hidup? Agaknya, adakah engkau diciptakan untuk dunia semata-mata maka engkau menghabiskan seluruh waktumu untuknya?

81. Page

Engkau mengetahui bahawa engkau mengatasi semua haiwan dari sudut persediaan namun tidak dapat menyaingi burung pipit dari sudut keupayaan memperoleh keperluan duniawi. Jadi, mengapakah engkau tidak faham daripada perkara ini bahawa tugasasalmu bukanlah bergelut seperti haiwan bahkan berusaha untuk kehidupan kekal yang hakiki seperti insan yang hakiki? Di samping itu, kesibukan duniawi yang engkau nyatakan itu kebanyakannya adalah kesibukan-kesibukan yang bukan milikmu dan benda-benda tidak penting yang dicampuri dan diserabutkan olehmu dalam bentuk yang tidak memberikan sebarang faedah.


Engkau meninggalkan yang perkara yang paling perlu lalu menghabiskan masa dengan maklumat yang paling tidak perlu bagaikan engkau seolah-olah memiliki umur ribuan tahun. Contohnya engkau menghabiskan waktumu yang bernilai dengan benda-benda yang tidak berharga seperti persoalan tentang bagaimanakah bentuk gegelang di sekeliling planet Zuhal dan berapakah bilangan ayam di Amerika. Kononnya engkau mendapat kesempurnaan dari ilmu astronomi dan sains perangkaan dan statistik.


Jika engkau berkata, perkara yang menghalang dan menjemukanku daripada solat dan ibadat bukanlah perkara yang tidak perlu seperti itu sebaliknya urusan-urusan penting untuk sara hidup. Jika begitu, maka aku juga boleh berkata kepadamu: Bayangkan bahawa engkau berkerja dengan upah harian sebanyak seratus kurusy. Kemudian jika seseorang datang dan berkata: “Mari, galilah tempat itu selama sepuluh minit, kamu akan menemui sebutir permata atau zamrud yang bernilai seratus lira.”


Kemudian, jika engkau berkata: “Tidak, aku tidak akan datang kerana sepuluh kurusy daripada upah harianku akan dipotong dan nafkahku akan berkurangan”, sudah tentu engkau mengetahui bahawa ia adalah satu alasan yang amat bodoh.

82. Page

Sama seperti itu, engkau berkerja di kebunmu itu untuk nafkahmu. Jika engkau meninggalkan solat fardu, semua hasil usahamu terbatas hanya kepada nafkah yang hanya duniawi, tidak bernilai dan tidak berkat.


Sebaliknya, jika engkau membelanjakan waktu rehat dan lapangmu untuk solat yang merupakan sumber kerehatan roh dan kelapangan hati, waktu itu bersama-sama dengan nafkah duniawi yang berkat, engkau akan menjumpai dua galian maknawi yang menjadi punca nafkah ukhrawi dan bekalan akhiratmu:


Galian Pertama: Melalui satu niat yang baik, engkau mendapat satu habuan daripada zikir setiap tumbuhan dan pokok sama ada yang berbunga atauberbuah yang ditanam di kebunmu.(5)


Galian Kedua: Apa sahaja yang memakan hasil yang keluar daripada kebun ini sama ada haiwan atau insan; sama ada lembu atau lalat; sama ada pembeli atau pencuri akan menjadi sejenis sedekah untukmu. Tetapi dengan syarat berikut: Sekiranya engkau bertindak atas nama ar-Razzaqul Hakiki dan dalam lingkungan keizinan-Nya dan sekiranya engkau memandang dirimu sendiri dengan pandangan sebagai petugas pengagih yang memberikan harta-Nya kepada makhluk-makhluk-Nya.


Justeru perhatikanlah, betapa ruginya orang yang meninggalkan solat. Dia kehilangan harta yang amat penting. Dia juga terhalang daripada dua natijah dan dua galian yang memberi minat berusaha yang sangat besar dan menjamin kekuatan maknawi yang besar dan lalu muflis. Hatta apabila dia sudah tua, dia akan bosan dan jemu dengan kerja-kerja perkebunan.


Dia akan berkata: “Apa lagi kepentingannya? Aku sememangnya akan pergi meninggalkan dunia. Mengapakah aku perlu bersusah setahap ini?”

_____________________

(5) Ayat ini adalah satu peringatan kepada seseorang di sebuahkebun. Ia telah dijelaskan dengan cara yang sama.

83. Page

Lalu dia akan mencampakkan dirinya ke dalam kemalasan.

Tetapi orang yang pertama akan berkata: “Bersama dengan ibadat yang lebih banyak, aku akan berusaha mencari yang halal.


Ini supaya aku dapat menghantar lebih banyak cahaya ke dalam kubur dan mendapatkan bekalan yang lebih banyak untuk akhiratku.”


Hasilnya: Wahai nafsu! Ketahuilah bahawa hari semalam telah terlepas dari tanganmu. Esok pula, tiada jaminan di tanganmu bahawa engkau memilikinya. Jika begitu, ketahuilah bahawa umur hakikimu ialah hari di mana kamu berada. Maka peruntukkanlah paling kurang satu jam dari harimu - seperti wang simpanan - untuk masjid atapun sejadah yang merupakan satu tabung akhirat yang diasaskan untuk masa hadapan yang sebenar.


Ketahuilah juga bahawa setiap hari baharu ialah pintu alam baharu untukmu dan untuk setiap orang. Jika engkau tidak mendirikan solat, alam engkau hari itu akan berlalu dalam keadaan yang gelap dan tidak terurus. Ia akan menjadi saksi yang menentangmu di alam misal. Ini kerana, setiap orang mempunyai alamnya yang khusus daripada alam itu pada setiap hari.


Keadaan alam itu pula adalah menurut hati dan amalan seseorang itu. Sesungguhnya istana megah yang kelihatan pada cerminmu adalah berdasarkan warna cermin. Jika cermin itu hitam, maka istana itu kelihatan hitam. Jika merah ia kelihatan merah.


Ia juga adalah berdasarkan kepada keadaan cermin. Sekiranya kaca cermin itu rata, maka ia akan memperlihatkan bahawa istana itu cantik. Sekiranya tidak rata, ia akan memperlihatkan bahawa istana itu jelik.


Seperti mana ia memperlihatkan benda-benda yang paling halus sebagai kasar, seperti itulah engkau mengubah bentuk alammu sendiri dengan hati, akal, amalan dan jiwamu. Engkau boleh menjadikannya sebagai saksi pembelaan atau pendakwaanmu.

84. Page

Jika engkau mendirikan solat dan jika engkau menghadap as-Sani’ Dzul Jalal alam itu dengan solatmu itu, nescaya alam yang memandangmu itu akan segera bercahaya. Seolah-olah solatmu itu adalah lampu elektrik dan niatmu untuk solat pula bagaikan petikan suis lampu yang menyuraikan kegelapan alam itu dan memperlihatkan bahawa pergantian dan pergerakan di dalam kecelaruan yang bercampur aduk di dalam dunia yang kacau bilau itu adalah keteraturan yang berhikmah dan tulisan qudrat yang bermakna. Ia akan merenjiskan suatu cahaya daripada nur-nur yang sangat gemilang bagi ayat “اَللّٰهُ نُورُ السَّمٰوَاتِ وَالْاَرْضِ” ke dalam hatimu. Ia menerangi alammu hari itu dengan pantulan cahaya nur itu. Ia akan menjadikannya sebagai saksi pembelamu dengan kenuranian.


Awas! Jangan sesekali berkata di manakah solatku dan di manakah hakikat solat itu? Ini kerana sebutir biji kurma adalah seperti sebatang pohon kurma. Ia menyifatkan pohonnya sendiri. Sebagaimana perbezaan hanyalah menurut keringkasan dan keterperincian, walaupun seseorang yang awam sepertimu dan sepertiku tidak dapat merasai solat seperti seorang wali yang besar, namun dia tetap mempunyai habuan daripada cahaya itu.


Terdapat suatu rahsia daripada hakikat itu walaupun engkau tidak menyedarinya. Tetapi perkembangan dan kecahayaannya adalah berbezabeza menurut tahap-tahapnya. Sebanyak mana terdapat peringkat-peringkat sedari biji kurma sampai ke tahap ia menjadi sepohon kurma yang sempurna, maka begitulah juga dalam darjat-darjat solat. Terdapat peringkat-peringkat yang lebih banyak. Tetapi pada setiap peringkat itu terdapat asas hakikat kenuranian tersebut.


اَللّٰهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى مَنْ قَالَ اَلصَّلاَةُ عِمَادُ الدِّينِ

وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِٓ اَجْمَعِينَ

TABLE OF CONTENTS