Risalah Untuk Para Pesakit Kilauan Kedua Puluh Lima

17. Page

Risalah untuk Para Pesakit

Kilauan Kedua Puluh Lima


Kilauan ini terdiri daripada dua puluh lima ubat. Ia ditulis dengan niat agar ia menjadi balsam dan ubat sapu, hiburan, preskripsi maknawi, sebagai sejenis kunjungan dan doa kesembuhan untuk para pesakit.


Perhatian: Sesungguhnya preskripsi maknawi ini bukan sahaja ditulis dengan lebih pantas1

berbanding semua risalah yang kami tulis sebelum ini, ia juga berlainan dengan semua

risalah (yang lain) kerana tidak mempunyai waktu yang cukup untuk membuat pembetulan

dan penelitian. Ia juga disemak hanya sekali sahaja secara amat cepat sebagaimana

penulisannya. Yakni, ia masih kekal bercampur aduk dan seperti draf pertama. Untuk tidak

merosakkan lintasan-lintasan yang muncul secara fitrah dengan seni bahasa dan perincian,

maka kami tidak nampak keperluan untuk menelitinya semula. Maka kami berharap semoga

para pembaca yang dimuliakan terutamanya para pesakit tidak bosan dan tersinggung

dengan sebahagian ungkapan yang kurang menarik atau perkataan-perkataan yang agak

berat. Semoga mereka turut mendoakanku.


__________________

Risalah ini ditulis dalam masa empat jam setengah. Ya Rüşdü Ya Re'fet Ya Husrev Ya Said Nursi

18. Page

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

2(الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَهِ وَإِنَّا إِلَيهَ رَاجِعُونَ)

3(وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُو يَشْفِينِ)


Dalam kilauan ini akan diterangkan secara ringkas tentang dua puluh lima ubat yang boleh

menjadi hiburan hakiki serta balsam yang bermanfaat kepada mereka yang ditimpa musibah dan para pesakit yang merupakan satu persepuluh bangsa manusia.


Ubat pertama: Wahai si sakit yang buntu! Janganlah engkau risau, bahkan bersabarlah. Sesungguhnya sakitmu bukanlah penderitaan kepadamu, bahkan ia adalah sejenis ubat. Kerana umur adalah satu modal dan ia sedang berlalu pergi. Sekiranya umur itu tidak berbuah, maka ia akan hilang secara sia-sia. Malah sekiranya umur itu diisi dengan kerehatan dan kelalaian, maka ia akan berlalu dengan sangat pantas. Maka, penyakit menjadikan modalmu itu berbuah dengan keuntungan-keuntungan yang besar. Malah, ia tidak membuka ruang untuk umur berlalu dengan pantas bahkan ia menahan dan menjadikannya panjang supaya ia beredar pergi setelah memberikan buah-buahnya. Justeru perumpamaan berikut menjadi masyhur dan sering disebut-sebut oleh lidah manusia sebagai

isyarat kepada panjangnya umur dengan kesakitan:“Betapa panjang masa musibah, namun betapa singkat masa senang.”


______________

2.Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: "Sesungguhnya kami milik Allah s.w.t dan sesungguhnya kepada-Nyalah kami akan kembali. (Al-Baqarah, 2:156)
3.Dan Dialah yang memberi aku makan dan minum dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkanku (Al-Syua'ara, 26:79-80)

19. Page

Ubat kedua: Wahai pesakit yang tidak sabar! Bersabarlah, bahkan bersyukurlah! Penyakitmu ini boleh mengubah tiap-tiap minit umurmu menjadi satu jam ibadah. Kerana ibadah itu ada dua bahagian:


Pertama: Ibadah-ibadah berbentuk aktif, iaitu ibadah yang dimaklumi seperti solat dan doa.


Kedua: Ibadah-ibadah berbentuk pasif, iaitu apabila orang yang ditimpa musibah merasakan kelemahan dan kedaifannya melalui penyakit dan musibah, maka dia mencari perlindungan daripada al-Khaliq ar-Rahimnya (Penciptanya yang Maha Penyayang) dan merintih pada-Nya lalu dia memperoleh suatu ibadah maknawi yang tulus dan tiada riyak.


Ya, terdapat riwayat-riwayat sahih yang menyatakan bahawa suatu umur yang ditempuhi

dengan penyakit dikira sebagai ibadah untuk orang yang beriman, dengan syarat dia tidak mengadu tentang Allah (kepada makhluk lain). Bahkan adalah terbukti dalam riwayat-riwayat yang sahih dan kasyaf-kasyaf yang benar bahawa satu minit daripada kesakitan sesetengah pesakit yang sabar lagi bersyukur dikira sebagai satu jam ibadah, dan satu minit daripada kesakitan sebahagian insan kamil (manusia yang sempurna) adalah ibarat satu hari ibadah. Oleh itu, janganlah mengeluh terhadap penyakit yang menjadikan seminit daripada umurmu ibarat seribu minit, dan ia (kesakitan) menguntungkanmu dengan satu umur yang panjang. Maka bersyukurlah.


Ubat ketiga: Wahai pesakit yang tidak tahan! Meninggalnya mereka yang datang ke dunia secara berterusan, orang-orang muda menjadi tua dan bergeraknya manusia secara berterusan ke dalam kelenyapan dan perpisahan merupakan saksi kepada

20. Page

hakikat bahawa manusia tidak datang ke dunia ini untuk berseronok dan untuk mendapatkan kelazatan.


Malah, walaupun manusia merupakan makhluk hidup yang paling sempurna, paling tinggi, paling kaya dari segi peralatan, bahkan dia adalah ibarat Sultan bagi para makhluk hidup, namun akibat manusia memikirkan kelazatan-kelazatan yang berlalu dan kesakitan-kesakitan yang mendatang, dia menjalani satu kehidupan yang menyedihkan dan penuh kesulitan sahaja, serta jika dibandingkan dengan haiwan, dia berada di tahap yang paling rendah.


Ini bermakna, manusia tidak datang ke dunia ini hanya untuk hidup dengan selesa dan menghabiskan sisa usianya di dalam kerehatan dan keriangan. Bahkan manusia yang di tangannya itu terdapat satu modal yang besar datang ke dunia untuk berusaha menerusi satu perniagaan demi suatu kebahagiaan hidup yang abadi dan berkekalan. Modal yang diberikan kepada tangannya itu ialah umur.


Sekiranya tiada penyakit, nescaya kesihatan dan keafiatan akan menatijahkan kelalaian, memperlihatkan dunia itu sebagai menawan, menjadikannya lupa akan akhirat, menjadikan manusia tidak mahu memikirkan kubur dan kematian lalu mensia-siakan modal umurnya untuk hawa nafsu. Adapun penyakit, akan membuka mata manusia secara tiba-tiba dan mengatakan kepada tubuh badannya: “Sesungguhnya engkau bukannya tidak akan mati, engkau bukannya tiada tujuan bahkan engkau sebenarnya mempunyai satu tugas. Maka tinggalkanlah kesombongan, ingatlah siapa yang menciptakanmu, dan ketahuilah bahawa engkau akan pergi ke kubur, maka bersiap sedialah untuk itu.”

21. Page

Oleh itu, daripada sudut pandang ini, penyakit merupakan satu penasihat yang tidak akan menipu dan satu mursyid yang merupakan pemberi peringatan. Maka tidak patut engkau mengeluh terhadapnya, bahkan patut bersyukur ke atasnya. Sekiranya penyakit itu dirasakan agak berat, maka hendaklah engkau memohon (kepada Allah) agar diberikan kesabaran.


Ubat keempat: Wahai pesakit yang mengeluh! Bukanlah daripada hakmu untuk mengeluh, bahkan wajib ke atasmu untuk bersyukur dan bersabar. Kerana badanmu, anggota tubuhmu, dan alat kelengkapan tubuhmu bukanlah milikmu. Engkau bukanlah pembuat dan penciptanya dan engkau tidak membelinya daripada gerai yang lain. Ini bermakna ia adalah milik Dzat yang lain. Pemiliknya berhak memperlakukan apa yang menjadi milik-Nya mengikut apa sahaja kehendak-Nya.


Sebagaimana disebutkan dalam “Kalimah Kedua Puluh Enam”, sebagai contoh, bagi memperlihatkan hasil seninya yang indah dan hartanya yang sangat bernilai, seorang tukang jahit yang sangat kaya dan sangat mahir mempertugaskan seorang yang miskin sebagai model peragaan dengan suatu bayaran. Dia memakaikan sehelai baju kemeja bercorak dan sangat berseni yang dijahitnya kepada orang fakir itu hanya dalam satu jam sahaja. Kemudian tukang itu terus melakukan kerja ke atas orang itu dan mengubah baju mengikut kesesuaian yang berbeza. Untuk menyerlahkan pelbagai jenis keseniannya yang mengagumkan, dia memotong, mengubah, melabuh dan memendekkan baju itu. Agaknya, sekiranya si miskin yang diupah itu berkata kepada tukang jahit itu: “Engkau menyusahkan aku. Dengan keadaan tunduk bangun yang engkau arahkan, engkau menyulitkan pekerjaanku. Dengan memotong dan memendekkan kemeja

22. Page

yang mencantikkan aku ini, engkau merosakkan kecantikanku!” Maka, adakah dia berhak untuk berkata sedemikian? Bolehkah dia mengatakan kepada tukang jahit itu: “Engkau tidak menghormati, tidak mengasihani dan melakukan kezaliman?”


Oleh itu, sama seperti perumpamaan tadi, wahai pesakit, sesungguhnya untuk memperlihatkan tubuhmu yang merupakan kemeja, telah dicorakkan dengan panca indera nurani seperti mata, telinga, akal, dan hati yang dipakaikan-Nya ke atasmu dan ukiran-ukiran Asmaul Husna-Nya, as-Sani’ Dzul Jalal (Pereka Yang Maha Agung) membolak-balikkanmu dalam banyak keadaan dan mengubahmu dalam banyak keadaan. Maka ketahuilah, sebagaimana engkau mengenali nama ar-Razzaq-Nya (Maha Pemberi Rezeki) melalui kelaparan, nama as-Syafi-Nya (Maha Penyembuh) pula adalah melalui penyakitmu.


Oleh sebab kesakitan-kesakitan dan musibah-musibah menyerlahkan tanda-tanda sebahagian daripada nama-nama-Nya, maka pada itu semua terdapat kilauan-kilauan daripada hikmah dan pancaran-pancaran daripada rahmat (Allah), dan pelbagai jenis kecantikan dan keindahan terkandung di dalam pancaran-pancaran tersebut. Sekiranya tabir (ghaib) disingkap, maka engkau akan mendapati bahawa terdapat makna-makna yang menawan dan indah di sebalik tabir penyakit yang ditakuti dan dibenci olehmu itu.


Ubat kelima: Wahai orang sakit yang diuji dengan penyakit! Sesungguhnya melalui

pengalaman-pengalamanku, pada zaman ini, aku yakin bahawa penyakit merupakan satu nikmat Ilahi dan hadiah ar-Rahman kepada sebahagian manusia.


Semenjak lapan atau sembilan tahun ini, sebahagian pemuda yang ditimpa penyakit menemuiku untuk meminta

23. Page

doa (walaupun aku tidak layak). Dalam pemerhatianku, mana-mana pemuda sakit yang aku lihat, aku dapati bahawa pemuda itu mula memikirkan akhiratnya berbanding dengan pemuda-pemuda yang lain. Tiada lagi padanya kemabukan masa muda. Dia menyelamatkan dirinya sedikit sebanyak daripada keinginan-keinginan kehaiwanan yang berada dalam kelalaian.


Maka aku pun perhatikan. Aku mengingatkan mereka bahawa penyakit-penyakit yang masih mampu ditanggung mereka itu merupakan satu kurniaan Ilahi serta aku berkata: “Saudaraku, aku tidak menentang penyakitmu ini. Aku tidak merasa belas dan berasa kasihan kepadamu kerana penyakitmu ini, lalu mengapa aku perlu mendoakanmu? Berusahalah untuk bersabar sehingga penyakit itu benar-benar menyedarkanmu, kerana, setelah penyakit itu menyelesaikan tugasnya, insyaAllah al-Khaliq ar-Rahim akan mengurniakan kesembuhan kepadamu.”


Malah aku juga sering berkata: “Sesungguhnya sebahagian mereka yang sebaya denganmu terjerumus ke dalam kelalaian, meninggalkan solat, tidak memikirkan kubur, melupakan Allah lalu menggoyahkan dan menghenyak bahkan memusnahkan kehidupan abadinya yang tiada penghujung melalui satu jam kenikmatan lahiriah kehidupan duniawi dek ditimpa ‘bala’ kesihatan. Melalui pandangan sakit, engkau dapat melihat kuburmu yang pasti ditujuimu dan tempat-tempat lain yang selepas itu (alam kubur) lalu engkau berusaha sesuai dengannya. Ini bermakna, bagimu penyakit merupakan satu kesihatan, dan kesihatan pada sebahagian mereka yang sebaya denganmu merupakan satu penyakit.”


Ubat keenam (1): Wahai pesakit yang mengeluh terhadap kesakitan! Aku memintamu supaya memikirkan tentang usiamu

24. Page

yang berlalu dan kenangkanlah hari-hari silammu yang indah dan menggembirakan serta waktu-waktumu ditimpa ujian dan kesakitan. Sudah tentu engkau akan berkata: “Oh, betapa nikmatnya” atau “Ah, betapa sakitnya”. Yakni hatimu ataupun lidahmu akan melafazkan “اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ syukur” ataupun “Alangkah ruginya! Alangkah malangnya!”


Maka perhatikanlah! Sesungguhnya memikirkan musibah-musibah dan kesakitan-kesakitan yang menimpamu yang mendorongmu untuk melafazkan: “Alangkah bahagianya, اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ syukur kepada-Nya” memancarkan satu kelazatan maknawi, maka hatimu bersyukur. Kerana hilangnya kesakitan itu merupakan satu kelazatan. Melalui kelenyapan kesakitan-kesakitan dan musibah-musibah itu, ia meninggalkan suatu warisan kelazatan di dalam roh. Maka apabila ia dipancarkan melalui fikiran, maka mengalirlah suatu kelazatan daripada roh dan ia menitiskan titis-titis kesyukuran.


Perkara yang mendorongmu untuk mengatakan: “Alangkah malangnya, alangkah ruginya” ialah keadaan-keadaan yang menggembirakan dan menyeronokkan yang engkau nikmati pada masa lalu. Maka akibat kelenyapannya, ia meninggalkan satu warisan kepedihan yang berterusan di dalam rohmu. Setiap kali engkau memikirkan tentangnya, maka luka kepedihan tersebut kembali terguris dan mengalirlah daripadanya rasa penyesalan dan kerugian.


Memandangkan kelazatan yang haram selama sehari kadangkala mengundang kepedihan maknawi selama setahun, dan memandangkan kesakitan sementara yang datang bersama penyakit selama sehari mengundang kelazatan dan pahala maknawi, serta terdapat padanya kelazatan maknawi yang terhasil

25. Page

daripada kebebasan dari hilangnya penyakit itu. Maka buat masa ini, fikirkanlah tentang natijah penyakit yang menimpamu buat sementara ini dan juga pahala yang ada di sebalik hakikatnya lalu katakanlah: “Ya Allah, ini juga akan berlalu!” dan bersyukurlah gantian kepada keluhan.


Ubat keenam[2]4: Wahai saudaraku yang memikirkan keseronokan dunia lalu gelisah disebabkan penyakit! Seandainya dunia ini kekal dan kematian itu tiada di atas jalan kita, seandainya ribut perpisahan dan kehilangan tidak bertiup, seandainya musim-musim sejuk maknawi yang bermusibah dan bertaufan tiada pada masa hadapan, nescaya aku juga akan turut bersimpati dengan keadaanmu. Namun, memandangkan suatu hari nanti dunia akan berkata kepada kita: “Ayuh keluar!” Dunia akan menutup telinganya daripada (mendengar) rintihan kita, maka sebelum ia menghalau kita keluar, melalui peringatan-peringatan oleh penyakit-penyakit ini, maka (bermula) daripada sekarang kita sepatutnya meninggalkan cinta kita kepadanya. Sebelum ia meninggalkan kita, kita sepatutnya berusaha meninggalkannya daripada hubungan hati.


Ya, sesungguhnya penyakit itu mengingatkan kita tentang makna berikut. Ia berkata: “Wahai pesakit! Sesungguhnya tubuhmu bukanlah diperbuat daripada batu atau besi. Bahkan ia terdiri daripada pelbagai bahan yang boleh bercerai pada bila-bila masa. Maka tinggalkanlah keangkuhanmu, fahamilah kelemahanmu, kenalilah Pemilikmu, ketahuilah tugasmu, dan pelajarilah mengapa engkau hadir ke dunia ini?” Demikianlah penyakit membisikkan peringatan ke telingamu.

________________

4.Oleh sebab kilauan ini datang secara spontan dan tanpa sengaja, maka pada peringkat yang keenam ini dituliskan dua jenis ubat. Untuk tidak merosakkan keaslian fitrahnya maka kami mengekalkan keadaannya dan kami tidak mengubahnya dengan harapan mungkin ada hikmah di sebaliknya. (Penulis)

26. Page

Malah, memandangkan keseronokan dunia dan kelazatannya adalah sementara, terutamanya jika ia tidak dibenarkan oleh syari’at, maka kelazatan dan kesoronokan itu tidak berterusan, menyakitkan dan mengundang dosa. Janganlah engkau menangisi kehilangan keseronokan itu dengan alasan penyakit. Sebaliknya, fikirkanlah dari sudut ibadah maknawi dan pahala ukhrawi yang ada pada penyakit dan cubalah untuk mengecapi keseronokannya.


Ubat ketujuh: Wahai pesakit yang kehilangan nikmat kesihatan! Sesungguhnya penyakitmu tidak menghilangkan kelazatan nikmat Ilahi yang ada di dalam kesihatanmu. Sebaliknya ia membuatmu merasakan kelazatan itu dan menambahkannya. Kerana apabila sesuatu itu berterusan, maka ia akan kehilangan kesannya. Sehinggakan ahli hakikat bersepakat berkata:

“اِنَّمَا الْاَشْيَٓاءُ تُعْرَفُ بِاَضْدَادِهَا”

yakni sesungguhnya segala sesuatu itu dikenali dengan sifat berlawanannya.


Sebagai contoh: Seandainya tiada kegelapan, nescaya cahaya tidak akan dikenali, maka ia kekal tanpa kelazatan. Seandainya tiada kesejukan, kepanasan tidak akan difahami, nescaya ia kekal tanpa keseronokan. Seandainya tiada kelaparan, nescaya makanan tidak akan memberi kenikmatan. Seandainya tiada rasa haus, nescaya meminum air tidak akan memberikan kenikmatan. Seandainya tiada penderitaan, nescaya afiat tiada kenikmatan. Seandainya tiada penyakit, nescaya kesihatan tiada kelazatan.


Memandangkan al-Fatir al-Hakim (Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana) melengkapi manusia dengan pancaindera yang sangat banyak, sehingga manusia boleh merasai dan mengetahui pelbagai

27. Page

jenis nikmat yang berbeza-beza yang tiada had di alam semesta ini, memperlihatkan bahawa Allah mahu manusia merasai segala macam kurniaan-Nya, menikmati setiap jenis nikmat-Nya dan mahu mendorong manusia ke arah kesyukuran yang berkekalan. Maka sebagaimana Allah mengurniakan kesihatan dan keafiatan, sudah tentu Allah juga akan memberikan bermacam-macam penyakit, penderitaan dan kesulitan.


Aku bertanya kepadamu: “Seandainya penyakit ini tiada di kepalamu atau di tanganmu atau di dalam perutmu, maka adakah engkau pasti akan merasai lalu mensyukuri nikmat Ilahi yang lazat dan nikmat di sebalik kesihatan kepala, tangan dan perutmu?” Maka sudah tentu, engkau bukan sahaja tidak bersyukur bahkan engkau tidak pernah memikirkan tentangnya. Bahkan engkau akan menggunakan kesihatan itu di dalam kemungkaran dengan kelalaian tanpa sedar.


Ubat kelapan: Wahai pesakit yang memikirkan akhiratnya! Sesungguhnya penyakit itu seperti sabun. Ia membasuh dan membersihkan kotoran-kotoran dosa. Adalah terbukti melalui hadis-hadis sahih 5 bahawa penyakit-penyakit itu merupakan kafarah az-zunub (penghapus dosa). Malah terdapat dalam hadis: “Sebagaimana buah-buah yang ranum gugur daripada pohon yang berbuah apabila ia digoncangkan, maka demikianlah juga bergoncang dan gugurnya dosa-dosa seorang pesakit yang beriman apabila dia menggigil kesakitan.” 6

__________________

5.Rasulullah bersabda: Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa kesakitan (ditusuk) duri dan apa yang lebih sakit daripadanya kecuali Allah menghapuskan dengannya (kesakitan tersebut) dosa-dosanya sebagaimana sebatang pokok meluruhkan dedaunnya. Hadis riwayat al-Bukhari, 5324.
6.Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa kesakitan kecuali Allah menggugurkan daripadanya kesalahan-kesalahannya sebagaimana gugurnya dedaun pokok. Riwayat al-Bukhari dengan nombor 5323, rujuk Sahih al-Bukhari 5336, 5343, dan Muslim nombor 2571.

28. Page

Sesungguhnya dosa-dosa itu merupakan penyakit-penyakit yang berlarutan di dalam kehidupan yang abadi. Malah di dalam kehidupan duniawi ini juga, ia merupakan penyakit-

penyakit maknawi bagi hati, sanubari dan roh. Sekiranya engkau bersabar dan tidak mengeluh, maka melalui penyakit yang sementara itu, engkau akan terselamat daripada terlalu banyak penyakit yang berlarutan.


Namun, sekiranya engkau tidak memikirkan dosa-dosa ataupun tidak mengenali Allah,

maka padamu terdapat satu penyakit yang sangat parah dan ia adalah jutaan kali lebih besar berbanding dengan penyakit kecil yang menimpamu ini. Maka merataplah kerananya. Kerana hati, roh dan dirimu mempunyai hubungan dengan seluruh maujudat di dunia. Menerusi perpisahan dan kelenyapan yang sentiasa berlaku, hubungan-hubungan tersebut terputus lalu tergoreslah luka yang tidak terbatas padamu. Apatah lagi oleh sebab engkau mengkhayalkan kematian itu sebagai penghapusan abadi dek kerana engkau tidak mengetahui tentang akhirat, maka engkau seolah-olah memiliki satu tubuh berpenyakit sebesar dunia yang calar-balar dengan luka.


Oleh itu, yang paling utama dan wajib ke atasmu ialah mencari ubat keimanan dan membetulkan iktikadmu yang merupakan ubat dan penawar muktamad (yang sangat berkesan dan sangat mujarab) untuk menyembuhkan penyakit-penyakit yang tidak terhitung bagi tubuh besar maknawimu yang mempunyai luka dan penyakit yang tidak terkira ini. Serta, jalan paling singkat untuk menemui penawar itu adalah dengan mengenali qudrat dan rahmat al-Qadir Dzul Jalal (Maha Berkuasa lagi memiliki keagungan) menerusi jendela kelemahan dan kedaifan yang

29. Page

diperlihatkan di sebalik tirai kelalaian yang dikoyakkan oleh penyakit fizikal ini.


Ya, sesungguhnya terdapat bala dan musibah sepenuh dunia di atas kepala sesiapa yang tidak mengenali Allah. Manakala sesiapa yang mengenali Allah, dunianya penuh dengan cahaya dan kegembiraan maknawi. Dia akan merasai dengan kekuatan imannya berdasarkan darjatnya. Maka di bawah kegembiraan, kesembuhan dan kelazatan maknawi yang terhasil daripada iman ini, kepedihan penyakit-penyakit fizikal yang kecil akan mencair dan hancur.


Ubat Kesembilan: Wahai pesakit yang mengenali al-Khaliq-nya (Penciptanya)! Sesungguhnya kepedihan, ketakutan, kengerian dan kerisauan yang terdapat pada penyakit adalah kerana kadang-kadang penyakit menjadi punca kepada kematian. Oleh sebab kematian adalah sangat dahsyat pada pandangan kelalaian dan pada aspek lahiriahnya, maka penyakit-penyakit yang menjadi wasilah kepadanya memberikan ketakutan dan kerisauan.


Pertama: Ketahui dan berimanlah dengan keimanan yang pasti bahawasanya ajal ditetapkan, ia tidak akan berubah. Ramai orang yang menangis di sebelah orang yang menderita penyakit yang sangat berat dan mereka yang masih sihat, mati. Manakala orang-orang yang ditimpa penyakit yang berat itu sembuh lalu meneruskan kehidupan.


Kedua: Kematian tidaklah menakutkan dan mengerikan sebagaimana yang terlihat pada

lahiriahnya. Melalui cahaya yang diberikan oleh al-Quranul Hakim, kami mengisbatkan secara sangat qath’i, tanpa syak dan keraguan dalam banyak risalah bahawa bagi ahli iman, kematian merupakan satu pelepasan

30. Page

daripada beban tugas kehidupan, satu penamatan tugas daripada pengabdian yang merupakan latihan dan pengajaran dalam ujian di medan dunia, serta satu wasilah untuk bertemu semula dengan sembilan puluh sembilan peratus daripada kalangan para kekasih dan ahli kerabat yang telah pergi ke alam sebelah sana. Malah, ia merupakan satu perantara untuk pulang ke tanah air sebenar dan masuk ke maqam kebahagiaan abadi serta merupakan satu jemputan daripada penjara dunia ke taman-taman syurga. Malah kematian juga merupakan satu penantian giliran untuk mengambil ganjaran daripada limpahan rahmat al-Khaliq ar-Rahim (Pencipta yang Maha Penyayang) sebagai balasan khidmat kepada-Nya.


Memandangkan inilah perihal kematian daripada noktah hakikat, maka adalah tidak wajar untuk memandangnya dengan rasa gerun, sebaliknya hendaklah memandangnya melalui pandangan bahawa ia adalah mukadimah rahmat dan kebahagiaan. Adapun ketakutan sebahagian para Wali Allah terhadap kematian bukanlah kerana kedahsyatan kematian, bahkan kerana kebaikan-kebaikan yang mampu diperoleh mereka apabila meneruskan tugas kehidupan kerana mereka mahu menambahkan lagi kebaikan.


Ya, sesungguhnya bagi ahli iman, kematian merupakan pintu rahmat. Bagi ahli kesesatan pula, ia merupakan telaga kegelapan yang abadi.


Ubat Kesepuluh: Wahai pesakit yang risau secara sia-sia! Engkau berasa risau dengan

keparahan penyakitmu. Kerisauanmu itu akan memparahkan lagi penyakitmu. Sekiranya engkau mahu meringankan penyakitmu, maka berusahalah untuk tidak risau. Yakni fikirkanlah tentang faedah-faedah penyakit,

31. Page

pahala-pahalanya dan hakikat bahawa ia akan segera berlalu. Hapuskanlah kerisauan dan potonglah akar-akar penyakit itu.


Ya, kerisauan menjadikan penyakit itu berganda. Melalui kerisauan disebabkan penyakit

fizikal, ia memberikan satu penyakit rohani kepada hatimu. Kemudian penyakit fizikal bersandar kepadanya lalu ia berlanjutan. Sekiranya kerisauan itu hilang dengan cara berserah diri, redha dan memikirkan hikmah penyakit itu, maka terputuslah satu akar penting daripada akar-akar penyakit fizikal lalu ia menjadi ringan dan hilanglah satu bahagiannya.


Terutamanya melalui waham (sangkaan), kadangkala angkara kerisauan, sedirham penyakit fizikal membesar menjadi seperti sepuluh dirham. Namun dengan terputusnya kerisauan, lenyaplah sembilan persepuluh daripada penyakit tersebut. Di samping kerisauan menambahkan kesakitan, oleh sebab ia ibarat perbuatan menyalahkan hikmah Ilahi, mengkritik rahmat Ilahi dan merungut terhadap al-Khaliq ar-Rahim (Maha Pencipta lagi Maha Penyayang), maka si pesakit yang risau itu mendapat tamparan yang berlawanan dengan kehendaknya, lalu menambahkan kesakitannya.


Ya, sebagaimana kesyukuran menambahkan nikmat, demikianlah juga keluhan menambahkan kesakitan dan musibah. Malah kerisauan itu sendiri merupakan satu penyakit. Ubatnya ialah mengetahui hikmah penyakit. Memandangkan engkau mengetahui hikmah dan faedahnya, maka sapukanlah balsam itu ke atas kerisauan dan bebaskanlah (sembuhkanlah) diri daripadanya. Ucapkanlah: “Betapa nikmatnya!” sebagai ganti

32. Page

kepada: “Betapa sakitnya!” dan lafazkanlah: 7;الحمد لله على كل حال sebagai ganti kepada: “Alangkah malangnya!”


Ubat Kesebelas: Wahai saudara pesakit yang tidak sabar! Walaupun penyakit memberikanmu suatu kesakitan ketika ini, namun ia turut memberikan kelazatan maknawi setelah lenyapnya penyakit itu sejak mula sehingga hari ini dan turut memberikan kelazatan rohani ketika memikirkan pahalanya. Selepas hari ini atau mungkin selepas saat ini, tiada lagi penyakit. Sememangnya tiada kesakitan daripada sesuatu yang tiada. Lalu, jika tiada kesakitan maka kesedihan juga tiada.


Namun, oleh sebab engkau membuat sangkaan yang salah, maka muncullah rasa tidak sabar itu. Kerana, seiring dengan berlalunya semua bentuk sakit fizikal semasa kesakitan sebelum hari ini, maka kesakitannya juga turut berlalu. Adapun pahala pada dirinya dan kelazatan pada kelenyapannya masih kekal. Sesungguhnya tidak memikirkan itu semua ketika ia sepatutnya memberikanmu rasa keberuntungan dan kegembiraan lalu berasa sakit dan merasa tidak sabar merupakan satu ketidakwarasan.


Hari-hari yang mendatang masih belum tiba. Justeru, sekiranya perbuatan memikirkan tentang suatu hari yang belum tiba, memikirkan penyakit yang belum menimpa dan memikirkan kesakitan yang belum dirasai melalui prasangka, lalu berasa sakit dan memberikan warna kewujudan kepada ketiadaan, yang dalam tiga peringkat ketiadaan itu 8, dengan menunjukkan ketidaksabaran itu, jika ia bukan ketidakwarasan, maka apakah lagi yang boleh dikatakan?

_________________

7 Segala puji bagi Allah di atas segala keadaan.
8 Tiga peringkat ketiadaan iaitu: Hari, penyakit dan kesakitan. (Penterjemah)

33. Page

Memandangkan waktu-waktu sakit yang sebelum saat ini memberikan kegembiraan dan memandangkan masa-masa selepas saat ini belum tiba, penyakit juga tiada serta kesakitan juga tiada. Maka janganlah engkau mengkucar-kacirkan seluruh kekuatan kesabaran yang dianugerahkan Allah kepadamu ke kanan dan ke kiri seperti itu. Kumpulkanlah kekuatanmu untuk menghadapi kesakitan sekarang ini dan ucapkanlah: “يا صبور” (Wahai yang Maha Penyabar) dan bertahanlah!


Ubat Kedua Belas: Wahai pesakit yang terhalang daripada ibadah dan wirid-wiridnya akibat penyakit serta bersedih atas keterhalangan itu! Ketahuilah bahawa pasti dalam hadis Nabi yang bermaksud: “Ketika seseorang mukmin yang bertaqwa itu sakit, dia akan tetap mendapat pahala daripada wirid-wirid rutin yang tidak mampu dilakukannya akibat penyakit.” 9


Bagi seorang pesakit yang sedaya upaya menunaikan amalan-amalan fardu, oleh sebab dia bersabar, bertawakal dan melaksanakan fardu-fardu itu, maka kesakitannya itu yang akan menggantikan semua perkara sunat lain yang tidak dapat dilakukannya ketika dia sakit bahkan menggantikannya dalam keadaan yang ikhlas.


Malah kesakitan membuatkan manusia menyedari kelemahan dan kedaifannya. Melalui lisan kelemahan dan lidah kedaifan itu, kesakitan membuatkan dia berdoa melalui kata kata dan halnya.

_________________

9 Rasulullah bersabda: “Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir, dituliskan baginya seperti mana yang diamalkannya ketika bermukim dan sihat.” Riwayat al-Bukhari dengan nombor 2834, dan Imam Ahmad dalam Musnadnya dengan nombor 19694, dan menurut riwayat Abu Ya’la dalam Musnadnya daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah bersabda: “Tidak ada seorang hamba pun yang sakit dengan suatu penyakit kecuali Allah memerintahkan agar malaikat penjaganya tidak menulis apa yang telah dilakukan daripada amalan kejahatannya dan menulis sepuluh kebaikan bagi apa yang telah dilakukan daripada amalan kebaikan, dan menuliskan amalan solehnya sebagaimana yang selalu dilakukannya ketika dia sihat walaupun dia tidak melakukannya (ketika sakit).” Rujuk nombor 6638.

34. Page

Allah menganugerahkan kelemahan yang tiada sempadan dan kedaifan yang tiada akhiran kepada manusia. Hal ini supaya manusia sentiasa kembali ke Hadrat Ilahi, memohon, merayu dan berdoa (kepada-Nya).


Melalui firman:

10 “قُلْ مَا يَعْبَؤُاْ بِكُمْ رَبِّي لَوْلاَ دُعَآؤُكُمْ”

yakni melalui rahsia ayat yang bermaksud: "Kalaulah bukan kerana adanya doamu, nescaya Tuhanku tidak akan mengendahkanmu”,


Maka oleh sebab penyakit merupakan salah satu sebab bagi doa dan rayuan yang sejati yang merupakan hikmah penciptaan dan sebab bernilainya manusia, maka daripada sudut pandangan ini, engkau tidak sepatutnya mengeluh bahkan perlu bersyukur kepada Allah, dan kerana mendapat kesembuhan, engkau tidak wajar menutup pili doa yang dibuka oleh penyakit.


Ubat Ketiga Belas: Wahai si buntu yang mengeluh kerana sakit! Sesungguhnya penyakit merupakan satu khazanah yang sangat penting kepada sesetengah orang. Ia juga merupakan satu hadiah Ilahi yang sangat berharga. Setiap pesakit boleh membayangkan penyakitnya adalah daripada jenis itu. Memandangkan waktu ajal adalah tidak ditentukan, maka untuk menyelamatkan manusia daripada rasa berputus asa dan kelalaian yang mutlak, Allah memegang manusia di antara rasa khauf (takut) dan raja’ (berharap), serta untuk menjaga dunia dan akhiratnya, Allah menyembunyikan waktu ajal dengan hikmah-Nya.

_____________

10 Kalaulah bukan kerana adanya doamu, nescaya Tuhanku tidak akan mengendahkanmu (al-Furqan, 25:77)

35. Page

Tambahan lagi, kematian boleh datang pada bila-bila masa. Sekiranya ajal datang menangkap manusia ketika dia berada di dalam kelalaian, maka itu akan sangat memudaratkan kehidupannya yang abadi. Penyakit pula menghilangkan kelalaian, menyebabkan manusia memikirkan akhirat serta mengingatkannya tentang kematian, maka dengan sebab itu, dia akan sentiasa bersedia. Kadang-kadang dia mendapat keuntungan yang berupa satu martabat yang dicapainya dalam masa dua puluh hari, yang ia tidak mampu untuk mencapainya dalam dua puluh tahun.


Sebagai contoh: Ada dua orang pemuda dari kalangan sahabatku, semoga Allah merahmati kedua-duanya. Salah seorangnya bernama Sabri daripada kampung Ilama dan seorang lagi bernama Wazir Zade Mustafa dari kampung Islamköy. Mereka berdua ini, walaupun daripada kalangan murid-muridku yang tidak mampu menulis, namun apa yang menghairankan, aku dapati mereka berdua ini terdiri daripada kalangan mereka yang terkedepan dari sudut ketulusan dan khidmat keimanan. Pada mulanya, aku tidak tahu akan hikmahnya.


Namun setelah mereka berdua meninggal dunia, aku baru tahu bahawa rupa-rupanya mereka menghidap penyakit yang kronik. Hasil bimbingan penyakit itu, berbeza dengan pemuda-pemuda lain yang lalai dan meninggalkan tugas kewajipan, mereka berdua berada dalam ketakwaan yang amat penting, dalam khidmat dakwah yang sangat bermakna dan dalam kedudukan yang amat memberi manfaat kepada (kehidupan) akhirat.


InsyaAllah, kesusahan menanggung penyakit selama dua tahun itu menjadi asas kepada kebahagiaan kehidupan abadi selama jutaan tahun. Sekarang aku memahami bahawa doa

36. Page

yang kadang-kadang aku panjatkan untuk kesihatan mereka itu menjadi doa keburukan dari segi duniawi. InsyaAllah doaku itu diperkenankan untuk kesihatan ukhrawi mereka.


Sesungguhnya menurut keyakinanku, kedua-dua pemuda ini memperoleh keuntungan yang setara dengan mereka yang peroleh keuntungan dengan melalui ketakwaan selama sepuluh tahun. Sekiranya mereka berdua ini hanya bergantung kepada kesihatan dan masa muda mereka seperti sebahagian pemuda lain, lalu terjun ke dalam kelalaian dan kemungkaran, dan sekiranya kematian mengintai lalu menangkap mereka ketika mereka sedang bergelumang dengan kekejian dosa, nescaya mereka akan menjadikan kubur mereka sebagai lubang serta sarang ular dan kala jengking, bukannya khazanah cahaya.


Memandangkan penyakit-penyakit itu mempunyai manfaat-manfaat seperti ini, maka tidak sepatutnya mengeluh disebabkannya, bahkan wajib bersyukur kepada Allah, dan haruslah bersabar, bertawakal serta bergantung kepada rahmat Ilahi.


Ubat Keempat Belas: Wahai pesakit yang matanya dihijab!11 Sekiranya engkau mengetahui bagaimanakah cahaya dan mata maknawi yang ada di sebalik hijab yang menutup mata ahli iman itu, nescaya engkau akan berkata: “Seratus ribu kesyukuran kepada Tuhanku Yang Maha Penyayang!”


Untuk menerangkan tentang balsam ini, aku akan menceritakan tentang satu peristiwa: Suatu masa mata ibu saudara Sulaiman yang berasal dari Barla yang berkhidmat denganku selama lapan tahun dengan penuh keikhlasan dan kesetiaan serta kelembutan dan tanpa pernah mengecilkan

____________________

11.Yakni: Orang Buta

37. Page

hatiku, telah buta. Wanita solehah itu dengan sangkaan baiknya, yang seratus kali ganda melebihi kelayakanku, menemuiku di pintu masjid untuk meminta aku berdoa supaya penglihatannya kembali pulih. Lalu aku pun menjadikan sifat solehah wanita yang mulia itu

sebagai syafaat untuk doaku lalu berdoa: “Ya Rabbi! Demi kehormatan sifat solehahnya, maka pulihkanlah penglihatannya.” Demikianlah rayuanku.


Pada keesokan harinya, seorang doktor mata dari Burdur datang. Lalu mata wanita solehah itu kembali pulih. Namun selepas empat puluh hari, matanya menjadi buta kembali. Maka aku berasa sangat sedih dan banyak berdoa (untuknya). InsyaAllah doaku itu diperkenankan untuk akhiratnya. Jika tidak doaku itu menjadi doa keburukan untuknya. Ini kerana (rupa-rupanya) ajalnya (hanya) tinggal empat puluh hari. Dia kembali ke Rahmatullah selepas empat puluh hari. (Semoga Allah merahmatinya).


Rupa-rupanya, sebagai gantian keterhalangannya memerhatikan kebun-kebun Barla melalui mata yang penuh kesedihan dan masa tua yang memilukan selama empat puluh hari, almarhumah memperoleh kelebihan untuk memerhatikan taman-taman syurga di dalam kuburnya selama empat puluh ribu tahun. Ini kerana keimanannya adalah sangat kuat dan kesolehannya amat hebat.


Ya, apabila pandangan seorang mukmin itu dihijab dan sekiranya dia masuk ke kubur dalam keadaan matanya tertutup, maka menurut darjatnya, dia akan menatap alam cahaya itu lebih banyak daripada ahli kubur yang lain. Sebagaimana di dunia ini kita dapat melihat banyak perkara dan orang mukmin yang buta tidak dapat melihatnya, maka setahap itulah mereka yang buta

38. Page

itu akan dapat melihat lebih banyak berbanding dengan ahli kubur yang lain di dalam kubur sekiranya mereka mati dalam keimanan.


Bagaikan melihat melalui teropong yang boleh memperlihatkan tempat yang paling jauh, di dalam kubur masing-masing, mereka akan menatap taman-taman syurga bagaikan di dalam panggung wayang menurut darjat mereka.


Justeru, engkau akan menemui mata yang sangat bercahaya, mampu melihat dan menonton syurga yang berada di atas langit walaupun berada di bawah tanah sebegini hanya melalui kesyukuran dan kesabaran di sebalik hijab matamu yang (buta) itu. Sesungguhnya doktor mata yang mampu mengangkat hijab itu daripada matamu dan mampu membuatkan engkau melihat melaluinya adalah al-Quran al-Hakim.


Ubat Kelima belas: Wahai pesakit yang mengaduh dan mengerang! Janganlah engkau

melihat kepada rupa kesakitan lalu merintih “Betapa sakitnya.” Pandanglah kepada maknanya dan katakanlah: “Betapa nikmatnya.” Sekiranya makna kesakitan itu tidak baik, nescaya al-Khaliq ar-Rahim (Maha Pencipta lagi Maha Penyayang) itu tidak akan pernah memberi penyakit kepada hamba-hamba yang paling dikasihi-Nya.


Sedangkan warid dalam hadis sahih yang berbunyi:

12 [اَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً اَلْاَنْبِيَٓاءُ ثُمَّ الْاَوْلِيَٓاءُ اَلْاَمْثَلُ فَالْاَمْثَلُ]

_____________________

12.Terdapat banyak hadis dengan makna ini menggunakan lafaz-lafaz yang hampir sama seperti: daripada Mus’ab ibn Sa’ad ibn Abi Waqqas daripada bapanya, daripada Nabi g. bahawasanya baginda bersabda: “Manusia yang paling teruk ujiannya adalah para Nabi kemudian para Ulama’ kemudian yang sepertinya dan yang sepertinya” riwayat al-Hakim dalam Mustadraknya dengan nombor 5463, dan rujuk juga al-Mustadrak nombor 119, dan Sunan al-Baihaqi nombor 6325, 6326,dan Musnad al-Bazzar 1150, dan Sahih Ibn Hibban 2900, dan Sunan al-Kubra oleh an-Nasa’i nombor 7480, dan al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabrani dengan nombor 626, 627, 628, 629.

39. Page

au kama qal, yakni: “Sesungguhnya manusia yang paling banyak ditimpa musibah dan kesulitan ialah mereka yang paling keterdepan dalam kalangan manusia dan yang paling sempurna di antara mereka."


Mula-mula Sayidina Ayub, para Nabi, kemudian para Wali, kemudian orang-orang Soleh memandang tiap-tiap penyakit yang dideritai mereka sebagai ibadah yang murni. Mereka melihatnya sebagai hadiah ar-Rahman. Lantas mereka bersyukur dalam kesabaran. Mereka menerima tiap-tiap penyakit itu adalah suatu jenis operasi pembedahan yang datang daripada rahmat al-Khaliq ar-Rahim (Maha Pencipta lagi Maha Penyayang).


Engkau juga wahai pesakit yang berkeluh kesah! Sekiranya engkau mahu menyertai kafilah cahaya tersebut, maka bersyukurlah dalam kesabaran. Sebaliknya, jika engkau mengeluh, mereka tidak akan menerima engkau bersama kafilah mereka. Waktu itu engkau akan jatuh ke dalam jurang kaum lalai, dan engkau akan melalui jalan yang gelap.


Ya, terdapat sebahagian penyakit yang apabila ia berakhir dengan kematian, maka pesakit itu mendapat satu darjat kewalian seperti orang yang mati syahid yang dihukumkan sebagai syahid maknawi. Contohnya, sebagaimana mereka yang mati kerana sakit melahirkan anak13, sakit perut, lemas, terbakar dan ta’un dikira sebagai syahid maknawi, terdapat juga banyak penyakit yang berkat yang menatijahkan darjat kewalian melalui kematian.


Malah, oleh sebab penyakit mengurangkan kecintaan kepada dunia dan mengendurkan keterikatan manusia kepadanya, maka melalui kematian, ia meringankan perpisahan daripada

________________

13.Sesungguhnya penyakit tersebut memperolehkan syahid maknawi sepanjang 40 hari iaitu sepanjang tempoh nifas. (Penulis)

40. Page

dunia yang sangat pedih dan menyakitkan untuk ahli dunia dan kadang-kadang menjadikan manusia menyukainya (perpisahan).


Ubat Keenam belas: Wahai pesakit yang merungut kerana kesulitan! Sesungguhnya penyakit menyuntik rasa hormat dan belas kasihan yang sangat penting dan amat indah dalam kehidupan bermasyarakat manusia. Kerana ia menyelamatkan manusia daripada rasa tidak memerlukan orang lain yang (rasa itu) mendorong manusia kepada keganasan dan kekejaman. Kerana menerusi rahsia ayat: 14 (إِنَّ الإِنْسَانَ لَيَطْغَى أَنْ رَآَهُ اسْتَغْنَى), nafsu amarah yang berasa tidak memerlukan kepada yang lain kerana kesihatan dan keafiatan, tidak akan merasa hormat kepada banyak persaudaraan yang wajar dihormati, dan ia tidak merasai keperluan rasa belas kasihan terhadap mereka yang ditimpa musibah dan para pesakit yang sepatutnya dirahmati dan dikasihani.


Apabila dia sakit, dia akan memahami kelemahan dan kefakirannya dalam penyakit itu lalu dia akan menghormati saudara-saudaranya yang patut dihormati. Dia akan merasai rasa hormat terhadap saudara-saudara mukminnya yang datang menziarahinya atau membantunya. Dia akan merasa belas dan kasihan kepada mereka yang ditimpa musibah yang merupakan belas keinsanan yang datang daripada rasa keprihatinan sesama sendiri dan merupakan sifat keislaman yang paling penting. Dengan membandingkan mereka dengan dirinya, dia mengasihani dan menyantuni mereka dengan makna sebenarnya. Dia akan membantu apa yang terdaya dan paling tidak pun, dia akan berdoa. Dan paling kurang dia akan pergi menziarahi mereka yang sakit untuk bertanya khabar yang merupakan sunnah secara syarak lalu mendapat pahala.

________________

14.Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas, Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (Al-Alaq 96:6-7)

41. Page

Ubat Ketujuh belas: Wahai pesakit yang mengeluh kerana tidak berupaya melakukan kebaikan akibat ditimpa penyakit! Bersyukurlah, kerana yang membuka pintu kebaikan yang paling murni kepadamu ialah penyakit. Di samping penyakit sentiasa memperolehkan pahala kepada pesakit dan kepada mereka yang menjaga pesakit kerana Allah, ia juga merupakan wasilah terpenting untuk kemakbulan doa.


Ya, menjaga para pesakit mempunyai pahala yang besar bagi ahli iman. Bertanyakan keadaan orang sakit dan menziarahi mereka tetapi dengan syarat tidak menyusahkan mereka merupakan sunnah yang dipuji dan menjadi kafarah (penghapus) dosa.


Sesungguhnya telah warid dalam hadis yang maknanya: “Mintalah doa daripada mereka

yang sakit, kerana doa mereka adalah mustajab.”15 Terutamanya jika mereka yang sakit itu adalah dari kalangan kaum kerabat dan khususnya jika mereka adalah ibu dan bapa kita, maka berkhidmat kepada mereka adalah satu ibadah yang penting dan memiliki satu pahala yang besar. Menggembirakan hati mereka yang sakit dan menghiburkan mereka adalah ibarat satu sedekah yang penting.


Beruntunglah anak-anak yang menggembirakan hati ibu bapa mereka yang sensitif dan cepat terkesan ketika kedua-duanya ditimpa sakit lalu mendapat doa kebaikan daripada mereka. Ya, hatta para malaikat juga bertepuk tangan berkata (ماشاء اللّٰه, بارك اللّٰه) kepada paparan yang memperlihatkan ketinggian kemanusiaan dan keadaan anak-anak soleh itu yang membalas jasa dengan penuh penghormatan dan rasa kasih terhadap kasih

__________________

15.Daripada Anas ibn Malik dia berkata: Rasulullah bersabda: “Ziarahilah para pesakit dan mintalah kepada mereka agar mereka mendoakan untuk kamu kerana sesungguhnya doa orang sakit itu mustajab dan dosanya diampunkan”. Riwayat at-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat dengan nombor 6027.

42. Page

sayang ibu bapa -yang merupakan satu hakikat paling mulia dalam kehidupan bermasyarakat- ketika mereka sakit.


Ya, terdapat kelazatan-kelazatan yang sangat menarik dan mendamaikan yang datang

daripada perasaan syafaqah, belas kasihan dan kasih sayang yang terzahir di sekitar penyakit yang boleh menurunkan kesakitan penyakit ke tahap sifar. Kemustajaban doa pesakit merupakan satu perkara yang penting.


Sejak tiga puluh ke empat puluh tahun yang lalu, aku sering berdoa semoga dikurniakan

kesembuhan bagi sakit ototku. Aku faham bahawa penyakit dikurniakan supaya aku sentiasa berdoa. Oleh sebab doa tidak dapat diangkat dengan dirinya sendiri, maka aku faham bahawa natijah doa adalah bersifat ukhrawi.16 Ia sendiri merupakan sejenis ibadat kerana, melalui penyakit, manusia memahami kelemahannya lalu berlindung di bawah hadrat Ilahi.


Kerana itu, walaupun aku mengamalkan doa syifa’ sejak tiga puluh tahun, namun oleh sebab doaku tidak diterima secara zahir, namun tidak pernah terlintas di hatiku untuk meninggalkan doa tersebut. Ini kerana, masa sakit adalah masa untuk berdoa. Kesembuhan bukanlah natijah daripada doa. Bahkan sekiranya Dzat al-Hakim ar-Rahim memberikan kesembuhan, itu adalah daripada limpahan rahmat-Nya.


Malahan, walaupun doa kita tidak diterima dalam bentuk yang kita kehendaki, ia tidak bermakna bahawa doa itu tidak diterima. Al-Khaliq al-Hakim lebih mengetahui dengan baik, maka apa sahaja yang bermanfaat untuk kita, Dia akan

________________

16.Benar, sesungguhnya sebahagian penyakit adalah sebab kepada wujudnya doa, akan tetapi apabila doa menjadi sebab kepada tiadanya penyakit maka jadilah wujudnya doa sebab kepada tiadanya doa tersebut, dan ini adalah tidak boleh. (Penulis)

43. Page

memberikannya. Kadang-kadang Dia mengubah doa-doa kita yang merujuk kepada dunia kepada akhirat demi untuk manfaat kita. Demikianlah Dia menerimanya.


Walau bagaimanapun, satu doa yang memperoleh rahsia ketulusan, kemurnian dan terutamanya berpunca daripada kedaifan dan kelemahan, daripada kehinaan dan keperluan adalah sangat hampir untuk dimakbulkan. Penyakit merupakan paksi bagi satu doa yang ikhlas. Malah pesakit yang taat beragama, dan mereka yang menjaga para pesakit yang beriman sepatutnya mengambil faedah daripada doa ini.


Ubat Kelapan belas: Wahai pesakit yang meninggalkan kesyukuran lalu mengadu (mengeluh)! Sesungguhnya aduan itu datang daripada satu hak. Apakah engkau kehilangan apa-apa hak milikmu sehingga engkau perlu mengadu? Bahkan terdapat banyak tugas kesyukuran di atasmu, namun engkau tidak melakukannya. Engkau tidak menunaikan hak Allah. Maka mengapa engkau mengeluh bagaikan menuntut hak walaupun engkau tidak berhak?


Engkau tidak boleh memandang mereka yang sihat yang berada di darjat lebih tinggi daripadamu lalu mengadu. Bahkan engkau dituntut supaya memandang para pesakit yang buntu yang berada di peringkat yang lebih rendah daripadamu lalu bersyukur. Jika tanganmu patah, maka lihatlah kepada tangan-tangan yang dipotong! Jika engkau kehilangan sebelah matamu, maka lihatlah kepada orang-orang buta yang kehilangan kedua-dua belah matanya! Bersyukurlah kepada Allah.


Ya, dari segi nikmat, tidak ada sesiapa pun yang berhak memandang kepada yang lebih

tinggi daripada dirinya lalu

44. Page

mengadu. Hak setiap orang apabila ditimpa musibah ialah dengan memandang mereka yang lebih teruk musibahnya lalu bersyukur. Rahsia ini diterangkan dalam beberapa risalah menerusi satu perumpamaan. Ringkasan kepada perumpamaan itu adalah seperti berikut: Ada seseorang membawa seorang lain yang buntu naik ke puncak menara. Dia mengurniakan satu demi satu pemberian dan satu demi satu hadiah yang berbeza-beza pada setiap anak tangga. Di puncak menara, dia memberikan hadiah yang paling besar. Walaupun orang tersebut (yang memberikan hadiah) meminta daripada orang yang miskin itu berterima kasih dan rasa terhutang budi sebagai balasan terhadap hadiah-hadiah yang beraneka macam itu, namun sekiranya orang yang kurang ajar itu melupakan hadiah-hadiah yang diterimanya di setiap anak tangga itu, ataupun menganggapnya sebagai tidak bermakna lalu tidak bersyukur sambil memandang ke atas lalu mula berkata dan mengadu: “Alangkah lebih baik sekiranya menara ini lebih tinggi dan aku dapat naik lebih tinggi! Malangnya, mengapakah menara ini tidak tinggi seperti bukit itu atau seperti menara yang satu lagi?” Betapa ini benar-benar merupakan satu pengingkaran nikmat dan satu kezaliman!


Demikianlah juga seorang manusia. Dia datang daripada ketiadaan lalu bukanlah menjadi sebagai batu, bukan sebagai pohon, bukan sebagai haiwan, bahkan sebagai manusia, bahkan sebagai seorang muslim, lalu menikmati kesihatan dan keafiatan dalam tempoh yang lama, kemudian mencapai satu kedudukan yang tinggi. Walaupun begitu, keadaan seperti mengadu dan menunjukkan kegopohan dek sesetengah rintangan, kerana tidak layak kepada sesetengah nikmat seperti kesihatan dan keafiatan, ataupun nikmat-nikmat itu terlepas daripada tangannya kerana pilihan yang buruk dan penyalahgunaan, ataupun kerana

45. Page

tangannya tidak dapat mencapai nikmat-nikmat itu lalu mengkritik Rububiyah Ilahi dengan berkata: “Aduhai, apa yang aku lakukan sehingga aku ditimpa musibah yang sebegini!” Itu merupakan satu penyakit rohani yang lebih bermusibah berbanding dengan penyakit fizikal. Melalui rungutannya, dia menambahkan penyakitnya, bagaikan bertumbuk dengan tangan yang patah.


Orang yang berakal itu ialah dia yang berserah kepada Allah lalu bersabar dengan rahsia17 [لِكُلِّ مُصِيبَةٍ اِنَّا لِلّٰهِ وَاِنَّٓا اِلَيْهِ رَاجِعُونَ] sehinggalah penyakit itu menyelesaikan tugasnya lalu pergi.


Ubat Kesembilan Belas: Sesungguhnya semua nama-nama al-Jamil Dzul Jalal melalui

ungkapan Asmaul-Husna yang Samadani (Maha Tempat Bergantung) memperlihatkan bahawa nama-nama itu adalah indah. Cerminan as-Samad yang paling latif, paling indah dan paling lengkap dalam kalangan maujudat ialah kehidupan. Cermin bagi sesuatu yang indah adalah indah. Cermin yang memperlihatkan kecantikan sesuatu yang indah akan menjadi lebih indah. Sebagaimana apa jua yang datang daripada sesuatu yang indah kepada cermin itu adalah indah, maka apa jua yang datang daripada Yang Maha Indah kepada kehidupan juga adalah indah pada noktah hakikat. Ini kerana sesuatu yang indah memperlihatkan ukiran-ukiran indah bagi Asmaul-Husna.


Sekiranya kehidupan itu sentiasa berlalu dalam sihat wal afiat yang statik maka ia menjadi cermin yang kurang sempurna. Bahkan ia mungkin merasakan ketiadaan dan kefanaan lalu memberikan kebosanan, menurunkan nilai kehidupan,

_________________

17 Untuk semua musibah ‘sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali’. (Al-Baqarah, 2:156)

46. Page

mengubah kelazatan usia kepada kejemuan. Kerana mahu segera menghabiskan waktunya kerana bosan, dia terjun sama ada ke dalam kemungkaran atau ke dalam hiburan yang memperdaya. Dia memusuhi umurnya yang berharga bagaikan tempoh tahanan penjara, lalu mahu segera membunuh dan menghabiskannya.


Tetapi, satu kehidupan yang berlegar dalam perubahan, pergerakan dan peringkat-peringkat yang berlainan, ia merasakan nilai kehidupan dan memberitahu tentang nilai usia dan kelazatannya. Walau ia ditempuhi dalam kesusahan dan musibah sekalipun, dia tidak mahu usianya berlalu. Dia tidak mengeluh kerana kebosanan seraya berkata: “Mengapa matahari belum terbenam dan malam belum berlalu?”.


Ya, tanyalah kepada seorang tuan yang sangat kaya, tidak bekerja, berada di atas ranjang istirahat dan semua miliknya adalah sempurna: “Bagaimanakah keadaanmu?” Pasti engkau akan mendengar daripadanya kata-kata yang penuh kepedihan seperti: “Aduhai! Mengapakah waktu tidak berlalu? Mari kita main sesuatu, ataupun mari kita berhibur untuk menghabiskan masa”. Ataupun engkau akan mendengar rungutan-rungutan yang berpunca daripada panjangnya angan-angan seperti: “Aku kekurangan dalam perkara ini, alangkah baiknya jika aku sudah melakukan perkara tersebut.”


Kemudian, tanyalah kepada orang yang ditimpa musibah ataupun seorang pekerja dan seorang fakir yang berada dalam keadaan yang susah: “Bagaimanakah keadaanmu?” Jika dia seorang yang berakal, maka dia akan berkata: “Alhamdulillah, ribuan kesyukuran kepada Tuhanku, aku baik-baik saja dan aku sedang bekerja. Alangkah baiknya jika matahari tidak segera terbenam agar aku juga dapat menghabiskan kerja ini. Masa pantas

47. Page

berlalu, umur tidak berhenti dan sedang berlalu pergi. Walaupun hakikatnya aku sedang kesusahan, tetapi ini juga akan berakhir dan semua perkara berlalu dengan cepat sebegini.” Demikianlah dia menceritakan betapa bernilainya usia pada hakikatnya melalui kekesalannya apabila ia berlalu. Ini bermakna, dia memahami kelazatan usia dan nilai kehidupan melalui kesusahan dan usaha. Adapun kerehatan dan kesihatan membuatkan kehidupan merasa pahit, maka manusia mengharapkan umur segera berlalu.


Wahai saudara yang sakit! Sebagaimana diisbatkan secara qath’i melalui perinciannya dalam risalah-risalah yang lain, ketahuilah bahawa asal usul dan inti musibah serta keburukan hatta segala dosa adalah ketiadaan. Ketiadaan pula adalah buruk dan kegelapan. Oleh sebab keadaan-keadaan seperti kerehatan, kesunyian, kesenyapan dan keberhentian adalah hampir kepada ketiadaan, maka ia merasakan kegelapan yang ada dalam ketiadaan lalu memberikan kebosanan. Adapun pergerakan dan perubahan adalah kewujudan, dan merasakan adanya kewujudan. Kewujudan pula merupakan kebaikan dan cahaya yang murni.


Memandangkan inilah hakikatnya, maka sesungguhnya penyakit itu dihantar sebagai tetamu kepada tubuhmu untuk tugas yang banyak seperti menyucikan, menguatkan dan meningkatkan kehidupan yang berharga dan untuk menghalakan semua peralatan-peralatan manusiawi yang lain ke sekitar anggota tubuh yang sakit sebagai pembantu, dan untuk memperlihatkan ukiran nama-nama yang berlainan bagi as-Sani’ al-Hakim (Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana). Insya Allah ia menyelesaikan tugasnya dengan cepat kemudian berlalu pergi. Kemudian ia akan berkata kepada kesihatan: “Marilah, sentiasalah kekal menggantikanku. Jalankanlah tugasmu. Rumah ini adalah

48. Page

milikmu. Maka tinggallah dengan keafiatan (yang berpanjangan).


Ubat Kedua Puluh: Wahai pesakit yang mencari ubat kepada penyakitnya! Sesungguhnya penyakit itu ada dua bahagian. Salah satunya adalah hakiki dan yang satu lagi adalah berbentuk waham (berdasarkan sangkaan). Bagi bahagian yang hakiki, sesungguhnya as-Syafi al-Hakim Dzul Jalal (Maha Penyembuh lagi Maha Bijaksana yang memiliki Keagungan) menyusun satu ubat bagi setiap penyakit dalam farmasi terbesar-Nya iaitu bebola Bumi. Maka ubat-ubat itu mewajarkan kewujudan penyakit. Maka Allah menciptakan penawar bagi setiap penyakit. Pengambilan ubat-ubatan untuk rawatan dan perubatan adalah bersesuaian dengan syari’at. Namun perlu meyakini bahawa kesan dan kesembuhan adalah daripada Allah. Sebagaimana Allah mengurniakan penawar, Allah juga mengurniakan kesembuhan.


Mengikuti saranan-saranan para doktor yang mahir lagi beragama merupakan satu ubat yang penting. Kerana majoriti penyakit adalah berpunca daripada penyalahgunaan, ketidakseimbangan diet, pembaziran, kesalahan, kemungkaran dan sikap tidak berwaspada. Seorang doktor yang beragama tentunya memberi nasihat dan saranan dalam lingkungan syari’at. Doktor itu akan mencegah daripada berlakunya penyalahgunaan dan penggunaan yang berlebihan dengan memberikan kata-kata saranan dan motivasi. Maka apabila pesakit berpegang pada saranan dan motivasi itu, penyakitnya akan menjadi ringan (berkurangan) dan sebagai ganti tekanan, ia memberikan ketenteraman.


Adapun bagi penyakit yang berbentuk waham, ubatnya yang paling berkesan adalah tidak menghiraukannya. Ini kerana

49. Page

semakin seseorang itu mengambil berat akannya, maka ia akan semakin membesar dan mengembang. Sebaliknya, semakin ia tidak dihiraukan maka ia akan semakin mengecil lalu lenyap terurai.


Sebagaimana lebah jika diganggu akan menyerang kepala manusia, tetapi apabila engkau tidak mempedulikannya, maka lebah-lebah itu akan terbang menghilang. Begitu juga apabila khayalan yang berpunca daripada tali yang bergerak dalam kegelapan di hadapan mata seseorang itu diberi perhatian, maka khayalan itu akan membesar, sehinggakan kadang-kadang ia menyebabkan seseorang itu lari bagaikan orang gila. Namun, sekiranya ia tidak diberi perhatian maka orang itu akan nampak bahawa tali yang biasa ini bukanlah seekor ular, lalu dia mentertawakan kegelisahannya yang tidak berasas itu.


Sekiranya penyakit berbentuk waham ini berlanjutan dalam tempoh yang lama, maka ia akan berubah menjadi penyakit hakiki. Ia merupakan penyakit yang parah pada manusia yang banyak berprasangka dan pemarah. Dia boleh menganggap sebutir benih sebagai satu kubah.18 Kekuatan rohaninya juga menjadi rapuh. Lebih-lebih lagi, sekiranya dia berjumpa dengan para doktor tiada kelayakan yang tiada belas kasihan ataupun para doktor yang tidak berperikemanusiaan, maka ini akan lebih menambahkan waham dan prasangkanya. Lantas, sekiranya dia berharta, maka hartanya akan hilang. Jika tidak, sama ada akalnya akan hilang ataupun kesihatannya yang akan hilang.


Ubat Kedua puluh satu: Wahai saudara yang sakit! Sesungguhnya dalam penyakitmu terdapat kesakitan fizikal. Tetapi suatu kelazatan maknawi yang penting akan melenyapkan kesan kesakitan fizikal itu mengelilingi dirimu. Kerana,

______________

18.Membesar-besarkan sesuatu yang kecil. (Penterjemah)

50. Page

sekiranya engkau mempunyai ibu bapa dan keluarga terdekat, syafaqah yang sangat lazat yang engkau lupakan sejak sekian lama itu, kembali bangkit di sekelilingmu. Lalu di samping merasai semula pandangan-pandangan yang menawan ini, oleh sebab persahabatan-persahabatan yang sangat tersembunyi dan terselindung di sebalik tabir di sekelilingmu, kembali memandangmu dengan penuh kasih sayang lantaran tarikan penyakit, maka sudah tentu di hadapan semua itu, penyakit fizikalmu ini akan menjadi sangat ringan.


Malah, oleh sebab orang-orang yang engkau berikan khidmat kepada mereka dan engkau berusaha mendapatkan perhatian mereka dengan penuh kebanggaan pula yang berkhidmat kepadamu dengan kasih sayang dan kelembutan lantaran penyakitmu, maka engkau menjadi tuan kepada tuan-tuanmu.


Malah, oleh sebab engkau menarik rasa prihatin dan belas kasihan sesama insan di dalam diri manusia kepada dirimu, maka daripada tiada, engkau mendapat ramai teman pembantu dan kawan-kawan yang penyayang.


Malah, engkau menerima keizinan berehat daripada khidmat-khidmat yang amat menyusahkan disebabkan penyakit. Lalu engkau sedang berehat pada masa ini. Sudah tentu di hadapan kelazatan-kelazatan maknawi ini, kesakitanmu yang juz’i ini sepatutnya mendorongmu bukan kepada rungutan tetapi kepada kesyukuran.


Ubat Kedua Puluh Dua: Wahai saudara yang diuji dengan penyakit-penyakit kronik seperti lumpuh! Terlebih dahulu aku memberikan berita gembira kepadamu bahawa bagi orang yang beriman, lumpuh dikira sebagai penyakit yang diberkati. Aku mendengar tentangnya sejak sekian lama daripada para wali.

51. Page

Aku pernah tidak mengerti rahsianya. Namun kini salah satu rahsianya terlintas di hatiku seperti berikut: Sesungguhnya, untuk sampai kepada Allah, untuk menyelamatkan diri daripada bahaya-bahaya maknawi yang besar di dunia dan untuk meraih kebahagiaan abadi, para Ahlullah (mereka yang dekat dengan Allah) secara sedar mengikuti dua

asas berikut:


Pertamanya: Rabitah al-Maut (memikirkan kematian). Yakni, mereka berusaha untuk meraih kehidupan abadi mereka dengan cara memikirkan bahawa dunia adalah fana, diri mereka juga adalah fana dan merupakan tetamu yang diberi tugasan di dalamnya. Keduanya: Untuk menyelamatkan diri daripada bahaya-bahaya nafsu amarah dan perasaan-perasaan yang buta,mereka berusaha membunuh nafsu amarah menerusi mujahadah dan riadah.


Maka wahai saudara yang kehilangan kesihatan bagi separuh daripada tubuhnya! Sesungguhnya diberikan kepadamu dua asas yang tidak banyak pilihan, singkat, dan mudah serta merupakan sebab kebahagiaan supaya keadaan tubuhmu memperingatkan tentang kelenyapan dunia dan bahawasanya manusia adalah fana.


Maka, selagi dunia masih belum dapat melemaskanmu, selagi kelalaian masih belum dapat menutupkan matamu dan selagi nafsu amarah belum dapat memperdaya seorang insan hebat yang berada dalam keadaan separuh manusia, tentunya menerusi keinginan-keinginan yang hina dan kehendak hawa nafsu, maka segeralah selamatkan diri daripada bala nafsu itu.


Sebagaimana para wali mengambil faedah daripada latihan maknawi yang berat, dengan rahsia keimanan, taslimiyyah (penyerahan diri) dan tawakal, orang beriman dapat mengambil manfaat itu daripada penyakit kronik seperti lumpuh, tetapi

52. Page

dalam tempoh yang singkat. Maka waktu itu, penyakit yang berat itu akan menjadi sangat ringan.


Ubat Kedua Puluh Tiga: Wahai pesakit yang keseorangan, terasing dan kebuntuan! Keterasingan dan keseorangan yang menemani penyakitmu mampu menjadikan hati yang paling keras berasa belas dan mengundang pandangan belas kasihan terhadapmu. Sekiranya begitu, maka pergantunganmu melalui keimanan serta rayuanmu melalui lidah kelemahan penyakitmu setelah mengenali-Nya kepada al-Khaliq ar-Rahim-mu yang mempersembahkan diri-Nya kepada kita melalui sifat ar-Rahman ar-Rahim-Nya pada permulaan semua surah-surah al-Qur’an, dan yang menjadikan para ibu mendidik semua anak kecilnya dengan satu kilauan belas kasihan-Nya, dan yang memenuhkan muka bumi dengan pelbagai nikmat melalui satu tajalli rahmat-Nya pada setiap musim bunga, dan yang pada hakikatnya, syurga di dalam kehidupan abadi dengan semua keindahannya itu nanti hanyalah satu tajalli rahmat-Nya itu, akan menarik pandangan rahmat-Nya kepadamu berbanding dengan semua yang lain. Sudah tentu ia adalah kerana penyakit keseoranganmu dalam keterasingan ini.


Memandangkan Allah ada dan memandang kepadamu, maka bagimu semuanya ada. Sesungguhnya orang yang benar-benar terasing dan hidup dalam keseorangan itu adalah sesiapa yang tidak bergantung kepada-Nya dengan keimanan dan penyerahan, ataupun tidak mempedulikan kebergantungan kepada-Nya.


Ubat Kedua Puluh Empat: Wahai para penjaga yang berkhidmat kepada kanak-kanak sakit yang tidak berdosa dan kepada orang-orang tua yang ibarat kanak-kanak yang tidak

53. Page

berdosa! Sesungguhnya di hadapan kalian terbentang satu perdagangan ukhrawi yang penting. Maka raihlah keuntungan perdagangan itu dengan penuh semangat dan kesungguhan. Sesungguhnya penyakit kanak-kanak yang tidak berdosa itu merupakan satu latihan dan riadah untuk tubuh mereka yang lembut. Serta ia adalah satu suntikan untuk memberikan daya pertahanan menghadapi huru-hara dunia di masa hadapan dan satu tarbiah Rabbani.


Di samping mempunyai hikmah yang banyak bagi kehidupan duniawi kanak-kanak itu, sebagai ganti kepada kafarah az-zunub (penghapusan dosa) pada mereka yang dewasa yang akan menjadi paksi kepada kehidupan rohani dan proses pemurnian kehidupan, adalah pasti menurut ahli hakikat bahawa pahala yang datang daripada penyakit-penyakit dari jenis suntikan-suntikan yang menjadi paksi kepada peningkatan maknawi pada masa hadapan ataupun di akhirat itu dimasukkan ke dalam buku catatan amalan para ibu bapa. Terutamanya ke dalam muka surat kebajikan ibunya yang mengutamakan kesihatan anaknya ke atas kesihatan dirinya sendiri melalui rahsia syafaqah.


Adapun menjaga mereka yang tua, di samping mendapat pahala yang besar, mendapat doa mereka yang tua itu terutamanya jika mereka adalah ibu dan bapa sendiri, menggembirakan hati mereka dan berkhidmat kepada mereka dengan penuh kesetiaan, maka sesungguhnya adalah pasti menurut riwayat yang sahih dan menerusi banyak peristiwa bersejarah bahawa ia merupakan paksi kepada bukan sahaja kebahagiaan dunia malah kebahagiaan akhirat.


Sesungguhnya adalah maklum menerusi banyak peristiwa bahawa seorang anak bertuah yang benar-benar mentaati kedua

54. Page

ibu bapanya yang tua, menerima layanan yang sama daripada anak-anaknya. Demikianlah juga apabila seorang anak yang bedebah melukai hati kedua ibu bapanya, maka selain daripada azab di akhirat, di dunia lagi dia akan menerima balasan melalui malapetaka yang banyak.


Ya, apabila ahli iman menemukan mereka yang tua dan tidak bersalah, sementara orang tua itu sakit dan berhajat kepadanya, maka berkhidmat bukan sahaja kepada keluarga terdekatnya sahaja (memandangkan terdapat ukhuwah sebenar menerusi rahsia iman) secara sepenuh hati merupakan tuntutan agama islam.


Ubat Kedua Puluh Lima: Wahai saudara-saudara yang sakit! Sekiranya kalian mahukan ubat bagi setiap penyakit yang sangat bermanfaat dan penawar suci benar-benar lazat, maka tingkatkanlah keimanan kalian. Yakni gunakanlah keimanan yang merupakan penawar yang suci, dan ubat yang datang daripada keimanan itu dengan taubat, istighfar, solat dan ubudiyyah.


Ya, berpunca daripada rasa cinta dan hubungan terhadap dunia, maka mereka yang lalai

bagaikan mempunyai satu tubuh maknawi yang sakit sebesar dunia. Kami membuktikan secara qath’i dalam banyak risalah bahawa keimanan memberikan kesembuhan secara sekaligus kepada tubuh maknawi sebesar dunia itu yang calar-balar dipenuhi luka akibat kelenyapan dan perpisahan, lalu menyembuhkan luka-luka tersebut kerana ia memberikan kesembuhan yang hakiki.


Untuk tidak memeningkan kepala kalian, aku meringkaskannya. Ubat keimanan memperlihatkan kesannya dengan cara melakukan perkara fardu semampu mungkin. Kelalaian, kemungkaran, kehendak hawa nafsu dan hiburan yang haram akan menghalang keberkesanan penawar itu.

55. Page

Memandangkan penyakit menyuraikan kelalaian, memotong selera dan menjadi penghalang daripada pergi kepada hiburan yang haram, maka ambillah faedah daripadanya. Gunakanlah ia bersama-sama dengan taubat, istighfar, doa dan rayuan yang datang daripada ubat-ubat dan cahaya-cahaya suci keimanan yang hakiki.


Semoga Allah mengurniakan kesembuhan kepada kalian. Semoga Allah menjadikan penyakit kalian sebagai kafarah az-zunub (penghapus dosa).


Amin. Amin. Amin.


وَقَالُوا الْحَمْدُ للهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلا أَنْ هَدَانَا اللهُ﴿


لَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِالْحَقِّ﴾ 19


﴾سُبْحَانَكَ لا عِلْمَ لَنَا إِلا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ﴿

﴾اللّهُمّ صَلِّ عَلَى سَيّدِنَا مُحَمّدٍ طِبِّ القُلُوبِ وَدَوَائِهَا وَعَافِيَةِ الأَبْدَانِ وَشِفَائِهَا﴿


وَنُورِ الأَبْصَارِ وَضِيَائِهَا وَعَلَى آلِهِ وَسَلِّمْ﴾. 20﴿


وهو لكل داء دواء﴾ 21﴿

Yakni, kitab ini adalah penawar bagi segala penyakit.

___________________

19 dan mereka pula bersyukur dengan berkata, "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran." (Al-A’raf 7:43)
20 Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam kepada saidina Muhammad penyejuk dan ubat hati, serta afiat dan kesembuhan jasmani, cahaya dan sinar penglihatan, serta kepada keluarga dan sahabat-sahabat baginda.
21.Dia adalah penawar bagi segala penyakit.


TABLE OF CONTENTS