Surat Kedua

11. Page

Surat Kedua


Sebahagian daripada jawapan bertulis sempena hadiah yang diterima daripada salah seorang murid kanan beliau. 


Ketiga: Kamu telah kirimkan kepadaku suatu hadiah, agar aku korbankan salah satu daripada prinsip utamaku. Kali ini aku tidak boleh berkata, “Aku tidak dapat menerima hadiahmu seperti mana aku tidak dapat menerima hadiah daripada saudaraku, Abdulmajid dan anak saudaraku, Abdurrahman kerana kamu lebih rapat dan lebih hampir denganku berbanding mereka berdua. Aku tak mampu menolak pemberianmu seperti aku menolak pemberian orang lain. Namun, kamu perlu tahu sebab utama di sebalik prinsipku ini:


Said yang dahulu sangat pantang menerima ganjaran daripada sesiapapun. Dia lebih rela mati daripada terhutang budi kepada orang dan dia tak akan berganjak daripada prinsipnya ini walaupun dia terpaksa menderita dan sengsara. Saudara daifmu ini masih lagi mewarisi tabiat lama Said itu dan ini bukanlah semata-mata kerana sifat zuhud atau sikap berdikari yang dibuat-buat. Bahkan bersandarkan kepada beberapa sebab utama yang penting:

12. Page

Pertama: orang yang sesat menuduh ulama memanipulasikan ilmu mereka untuk mengumpulkan harta tanpa usul periksa dengan berkata, “Para ulama memanipulasikan ilmu dan agama untuk mengumpulkan harta dunia”. Maka, wajib dibuktikan pembohongan mereka ini.


Kedua: Kami ditugaskan untuk mengikut jejak langkah para nabi dalam menyampaikan kebenaran. Nabi-nabi sangat berdikari dan tidak mengharapkan bantuan orang ramai, mereka sering mengulang-ulang ayat 29, surah Hud: 

“tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata”.


dan ayat 21, surah Yasin:

“Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk”.


Ayat-ayat ini mengandungi makna yang sangat bermakna pada perbincangan kita ini.


Ketiga: Wajib memberi dan menerima dengan nama Allah seperti yang dihuraikan dalam bab “Kalimah Pertama”. Namun realitinya dalam banyak keadaan, si pemberi tadi lalai dan memberi atas namanya sendiri serta mengungkit-ungkit pemberiannya. Manakala si penerima pula lalai dan mengucapkan syukur serta pujian hanya kepada makhluk sahaja tanpa bersyukur kepada Allah.

13. Page

Keempat: Sikap tawakkal, qanaah dan berjimat cermat adalah harta dan kekayaan yang tiada gantinya. Maka aku tidak ingin menukarkan khazanah yang tidak akan habis ini dengan pemberian manusia. Aku sangat bersyukur kepada Allah yang Maha Memberi Rezeki kerana sejak kecil lagi aku tidak pernah terdesak untuk terhutang budi kepada sesiapa lalu terpaksa tunduk kepada kehinaan mereka. Aku berharap agar aku dapat terus istiqamah dengan pendirianku ini sehingga penghujung hayatku. 


Kelima: Sejak beberapa tahun lalu, -berdasarkan banyak kejadian dan peristiwa- aku telah mencapai keyakinan yang sangat kuat bahawa aku tidak dibenarkan untuk menerima hadiah daripada manusia terutamanya daripada orang kaya dan pegawai kerajaan. Penerimaan hadiah mereka telah membawa kepada beberapa masalah material dan maknawi bagiku. Malah boleh jadi ini adalah petunjuk Allah untuk aku tidak memakannya kerana seringkali hadiah-hadiah itu memudaratkanku. Seolah-olah ini adalah arahan -maknawi- bahawa aku dilarang daripada mengambil hadiah daripada manusia. Aku tidak dapat menerima tetamu pada setiap masa kerana aku juga perlukan masa untuk bersendirian. Aku terpaksa menerima hadiah tetamuku kerana ingin menjaga hati dan perasaannya agar dia tidak berkecil hati walaupun kedatangan tetamu itu tidak kena pada masanya. Perkara ini yang aku paling tidak suka. Aku lebih suka memakan sebuku roti kering dan memakai pakaian lusuh yang bertampal di sana sini kerana kedua-duanya menyelamatkanku daripada sikap berpura-pura dan mengampu. Aku tidak berselera untuk memakan baklava lazat dan memakai baju cantik pemberian orang semata-mata kerana ingin menjaga perasaan mereka. 

14. Page

Keenam: Faktor utama mengapa aku tidak suka pemberian orang adalah kerana kata-kata al-Imām Ibn Ḥajar, imam yang paling terpercaya dalam mazhab kita: “Diharamkan menerima sebarang pemberian dengan niat untuk diberikan kepada orang yang soleh jika kamu bukan seorang yang soleh. Manusia pada zaman ini menjual hadiah mereka yang tidak seberapa dengan harga yang sangat mahal kerana tamak haloba. Mereka menyangkakan yang hamba yang berdosa, lemah dan daif ini orang yang soleh atau wali Allah. Lalu mereka memberiku sekeping roti sebagai hadiah. Jika aku percaya -moga dijauhkan Allah- bahawa aku orang yang soleh, maka ini adalah tanda bahawa aku sudah terpedaya dan bukan lagi orang yang soleh. Manakala jika aku percaya yang aku bukan orang yang soleh, maka aku tidak layak menerima hadiah itu.” Malah, menerima sedekah dan hadiah sebagai balasan terhadap amalan akhirat bermakna memakan buah-buahan akhirat yang kekal abadi dalam bentuk dunia yang sementara.


Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.


Said Nursi