Surat Kedua Belas

57. Page

Surat Kedua Belas


بِاسْمِه۪ وَاِنْ مِنْ شَئٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَ عَلٰي رُفَقَٓائِكُمْ

Dengan nama Allah 

“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya;”


Salam sejahtera kepada kamu dan rakan-rakan sekalian.

 

Saudara-saudaraku yang mulia,


Pada malam itu kamu semua telah bertanya kepadaku satu soalan dan aku tidak menjawabnya. Hal ini kerana, perbahasan kamu ketika itu berbentuk debat, sedangkan perbahasan iman tidak harus dibahaskan dengan cara berdebat. Sekarang aku akan menjawab secara ringkas “tiga persoalan” yang menjadi asas perdebatan kamu itu. Kamu boleh mendapatkan jawapan yang terperinci dalam “al-Kalimāt”, yang ditulis namanya oleh al-Sayyid al-Ṣaydalānī, kecuali “al-Kalimāt Kedua Puluh Enam” yang berkaitan dengan takdir dan satu lagi bahagian pilihan yang tidak terlintas di fikiranku ketika ini dan aku belum pernah memberitahu kamu. Rujuklah di dalamnya juga, tetapi janganlah kamu membacanya seperti mana kamu membaca surat khabar.


Rahsia di sebalik aku meminta al-Sayyid al-Ṣaydalānī membaca “al-Kalimāt” adalah kerana keraguan yang timbul pada perbahasan jenis ini berpunca daripada lemahnya rukun iman seseorang. Maka, “al-Kalimāt” mengukuhkan lagi rukun-rukun iman. 


58. Page

Soalanmu yang Pertama: Apakah hikmah Saidina Ādam AS dikeluarkan daripada syurga lalu dimasukkan sebahagian daripada keturunan baginda ke dalam neraka? 


Jawapan: Hikmahnya adalah tugasan. Nabi Ādam AS diutuskan untuk ditugaskan dengan suatu tugasan. Meningkatnya darjat maknawi, penemuan persediaan dan intipati manusia ialah cerminan bagi nama-nama Tuhan. Semuanya itu adalah hasil daripada tugasan tersebut. Jika Nabi Ādam AS masih kekal di syurga, pastilah keadaan baginda tetap seperti para malaikat. Maka tidak akan berlaku penemuan persediaan manusia, sedangkan para malaikat itu mempunyai martabat yang tetap dan sama sudah ramai. Lalu, manusia tidak memerlukan kepada pengabdian yang sama seperti malaikat. Oleh itu, hikmah Tuhan mentakdirkan wujudnya suatu alam taklif yang bersesuaian dengan persediaan manusia untuk melalui martabat-martabat yang tidak terbatas. Nabi Ādam AS dikeluarkan daripada syurga dengan kesalahan yang sudah diketahui berpunca daripada fitrah manusia yang tidak menyamai malaikat. Jadi, baginda dikeluarkan daripada syurga adalah suatu hikmah dan rahmat, seperti mana dimasukkan golongan kafir ke dalam neraka adalah suatu kebenaran dan keadilan. 


59. Page

Manakala orang kafir – seperti mana yang diterangkan dalam “al-Ishārat Ketiga” dan “al-Kalimat Kesepuluh” – walaupun hanya melalukan suatu kekufuran sahaja sepanjang kehidupan singkatnya di dunia, telah melakukan suatu jenayah yang tidak terbatas. Hal ini kerana kekufuran adalah suatu bentuk penghinaan, persendaan dan pembohongan kepada penyaksian tauhid kesemua makhluk serta penafian nama-nama Tuhan yang terserlah dan terzahir nama-Nya dalam segala ciptaan. Oleh itu, apabila Allah, Tuhan yang Maha Perkasa – Penguasa setiap makhluk yang diciptakan – mencampakkan orang kafir ke dalam api neraka yang kekal abadi itu supaya dikembalikan hak-hak makhluk yang dinafikan tadi itu adalah suatu kebenaran dan keadilan sebenar, di mana jenayah yang tidak terbatas, mesti dibalas dengan seksaan yang tidak terbatas juga. 


Soalan Kamu Yang Kedua: Mengapakah syaitan diciptakan dan diwujudkan? Apa hikmah Allah menciptakan kejahatan dan syaitan? Bukankah penciptaan kejahatan itu jahat dan penciptaan kehodohan itu hodoh?


Jawapan: Maha Suci Allah Ta‘ala! Bukanlah penciptaan kejahatan itu suatu jahat, tetapi melakukan kejahatan itulah jahat. Hal ini kerana penciptaan dan kewujudan itu berkaitan dengan semua kesan, sedangkan melakukan kejahatan itu adalah kelakuan yang khusus maka ia terikat dengan kesan yang khusus juga. 


60. Page

Contohnya, turunnya hujan menghasilkan seribu kesan yang semuanya baik. Jika ada yang mendapat mudarat daripada hujan, maka ia berlaku akibat salah pilihan mereka sendiri. Maka tidak seharusnya mereka mengatakan bahawa kewujudan hujan itu bukanlah suatu rahmat. Apatah lagi untuk mengatakan penciptaan hujan itu suatu kejahatan. Malah ia menjadi kesan buruk baginya akibat salah pilihannya dan usahanya sendiri. 


Begitu juga dengan penciptaan api yang mempunyai faedah yang banyak dan semuanya baik. Jika ada yang mendapat mudarat daripada api, maka ia akibat salah pilihannya sendiri dan salah guna. Maka tidak seharusnya dia mengatakan bahawa penciptaan api itu suatu kejahatan. Kerana api tidak diciptakan untuk membakarnya sahaja. Malah dia yang menyalahgunakan api yang memasak makanannya dengan pilihan yang salah. Dia sendiri yang menjadikan khadamnya itu sebagai musuhnya.  


Kesimpulannya, untuk mendapatkan manfaat yang banyak, kejahatan yang sedikit boleh diterima. Oleh itu sekiranya satu kejahatan yang menghasilkan kebaikan yang banyak ditinggalkan supaya tidak berlaku kejahatan yang sedikit maka ini adalah satu perbuatan jahat yang banyak.


61. Page

Contohnya, ketika diarahkan pasukan tentera berjihad ke medan perang, pasti akan berlaku beberapa kemudaratan kecil dari sudut material dan jasmani. Tetapi jihad itu membawa manfaat yang banyak, apabila negara umat Islam terselamat daripada dikuasai golongan kafir. Jika ditinggalkan jihad ini untuk mengelakkan berlakunya beberapa mudarat kecil itu, maka akan datang mudarat yang banyak selepas lenyapnya manfaat yang banyak. Maka itulah sebenar-benar kezaliman. 


Contohnya, memotong sebatang jari yang menghidapi gangrene adalah suatu kebaikan dan manfaat. Walaupun pada zahirnya seolah-olah ianya suatu mudarat, tetapi jika tidak dipotong jari itu, maka seluruh tangan pula yang akan dipotong, di mana mudarat yang lebih besar pula akan menimpa. Oleh itu, penciptaan kejahatan, mudarat, bala bencana, syaitan dan perkara-perkara buruk yang lain bukanlah kejahatan atau keburukan, kerana perkara-perkara ini dicipta untuk menghasilkan perkara-perkara penting yang banyak. 


Para malaikat sebagai contoh tiada peningkatan pada martabat mereka kerana mereka tidak dikuasai oleh syaitan. Oleh itu, martabat mereka tetap dan tidak berubah. Martabat haiwan juga tetap kekal pada martabat yang rendah kerana haiwan pun tidak dikuasai syaitan. 


Manakala dalam alam manusia pula tiada batasan bagi martabat tahap tertinggi dan martabat tahap terendah, yang begitu jauh jarak antara martabat tertinggi dan martabat terendah itu. Martabat terendah dimulakan dengan Namrud dan Firaun serta semakin meningkat naik berakhir dengan martabat tertinggi bagi golongan yang benar, para wali dan para nabi AS.


62. Page

Oleh itu penciptaan syaitan, rahsia taklif dan perutusan para nabi AS telah membuka medan ujian, persaingan dan perlumbaan untuk membezakan antara roh yang sangat rendah seperti arang dengan roh yang sangat tinggi seperti berlian. Jika tiada persaingan dan perlumbaan, pasti sama sahaja antara arang dan berlian dan pasti tiada bezanya antara roh Saidina Abu Bakr RA yang sangat tinggi dan roh Abu Jahal yang sangat rendah. Maka penciptaan syaitan dan kejahatan bukanlah kejahatan atau keburukan, kerana ia berkait rapat dengan natijah umum yang agung. Malah, kejahatan dan keburukan yang terhasil daripada salah guna manusia itulah kejahatan yang sebenar dan bukannya disebabkan oleh ciptaan Tuhan.  



Jika kamu bertanya:

Ramai manusia menjadi kafir kerana diciptakan syaitan walaupun telah diutuskan para nabi, lalu mereka mengikut jalan-jalan kekufuran dan mendapat mudarat. Apabila ramai mendapat mudarat mengikut kaedah “kebenaran bersama majoriti”, maka penciptaan mudarat adalah mudarat. Malah perutusan para nabi itu sendiri bukanlah suatu rahmat!


63. Page

Jawapannya

Kualiti mengatasi kuantiti, malah kebenaran hakiki terletak kepada kualiti. Contohnya: jika kamu ada seratus biji benih kurma, tetapi kamu tidak tanam biji-biji benih itu di dalam tanah dan tidak disiram dengan air, maka tidak berlaku sebarang tindak balas kimia serta tiada sebarang pertumbuhan. Biji-biji benih itu akan tetap menjadi biji benih dengan nilai seratus dirham. Sedangkan jika kamu siram ia dengan air, lalu lapan puluh daripada biji benih itu tidak menjadi kerana tidak berkualiti, manakala dua puluh biji benih berbaki pula tumbuh menjadi dua puluh batang pokok kurma yang berbuah, bolehlah kamu katakan: “Siraman air itu memudaratkan kerana telah merosakkan majoriti biji benih?” Pasti kamu tidak mampu berkata demikian! Kerana dua puluh biji benih itu akan menghasilkan dua puluh ribu buah. Maka orang yang rugi lapan puluh tetapi mendapat dua puluh ribu tidak rugi dan tidak mendapat mudarat.


Contoh lain, seekor burung merak mempunyai seratus biji telur yang bernilai lima ratus sen. Si burung merak itu mengeramkan seratus biji telurnya lalu lapan puluh tidak menetas, manakala dua puluh lagi menetas menjadi dua puluh ekor burung merak, adakah kamu akan mengatakan bahawa eraman telur itu memudaratkan dan membawa kerugian yang besar? Pasti tidak! Kerana eraman itu manfaat, spesies merak telah kehilangan lapan puluh biji telur bernilai empat ratus sen tetapi mereka mendapat dua puluh ekor burung merak bernilai lapan puluh Lira.


64. Page

Begitu juga dengan umat manusia, yang kehilangan golongan kafir dan munafik yang ramai dari sudut kuantiti, tetapi mereka seperti haiwan yang memudaratkan dari segi kualiti. Berbanding dengan apa yang umat manusia dapat daripada perutusan para nabi AS, rahsia taklif dan perjuangan menentang syaitan. Mereka ini ibarat matahari, bulan dan bintang bagi alam manusia, iaitu ratusan ribu para nabi, jutaan para rasul dan ribuan juta orang yang soleh. 


Soalan kamu yang ketiga: Allah menurunkan azab dan bencana, bukankah ini adalah suatu kezaliman? Apatah lagi ia menimpa orang-orang yang tidak berdosa dan haiwan-haiwan turut merasainya? 


Maha Suci Allah! Kerajaan ini adalah kerajaan-Nya, maka Allah berhak melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Jika kamu mengupah seorang pereka fesyen profesional untuk membuat sepasang baju, kemudian pereka fesyen itu memakaikan kamu sepasang pakaian yang dihiasi dengan perhiasan indah, kemudian dipendekkan, dipanjangkan dan dipotong baju itu sambil mengarahkan kamu untuk berdiri dan duduk supaya dia dapat menunjukkan kemahiran dan kreativitinya, adakah kamu akan katakan kepadanya, “Kamu telah merosakkan baju yang mencantikkan aku dan kamu memenatkan aku dengan arahan kamu untuk aku duduk dan berdiri?”


65. Page

Pasti kamu tidak akan berkata demikian, kerana jika tidak kamu adalah seorang yang dungu! Begitu juga dengan Tuhan yang Maha Pencipta, Allah telah memberikan kamu tubuh badan yang begitu teliti dan kreatif ciptaannya serta dihiasi dengan pancaindera seperti mata, telinga dan lidah. Kemudian Allah beri kamu sakit, bala bencana, rasa lapar, rasa kenyang, rasa dahaga dan Allah uji kamu dengan pelbagai jenis ujian supaya dapat mengukuhkan pengertian sebenar kehidupan dan terzahir nama-nama Allah.


Jika kamu bertanya, “Mengapa aku diuji dengan musibah-musibah ini?” Seratus hikmah akan menutup pertanyaanmu sepertimana yang aku jelaskan dalam contoh. Statik, tidak bergerak, tidak bekerja, tidak berubah, tidak berganjak, adalah contoh tiada dan mudarat. Manakala, pergerakan dan perubahan adalah kewujudan dan manfaat. Kehidupan dengan pergerakan mencapai kesempurnaan dan meningkat dengan ujian dan bencana. Pergerakan yang pelbagai terjadi dengan terzahirnya nama-nama Tuhan, maka pergerakan ini menjadi tulen, asli, kuat, berkembang dan menjadi pen yang bergerak menulis takdirnya, menjalankan tugasannya dan berhak menerima ganjaran akhirat. 


Inilah jawapan ringkas kepada tiga soalan yang kamu bahaskan tempoh hari. Jawapannya ada dalam “al-Kalimāt” Tiga Puluh Tiga. 


66. Page

Saudaraku yang mulia, bacakan risalah ini di hadapan al-Ṣaydalānī dan di hadapan sesiapa sahaja yang kamu rasakan sesuai dan pernah mendengar perbahasan itu. Sampaikan salam kepada al-Ṣaydalānī, murid baruku. Katakan kepadanya, “Tidak sepatutnya membincangkan persoalan iman yang teliti seperti persoalan yang dibincangkan ini di hadapan ramai orang dengan cara berdebat tanpa aturan.”


“Hal ini kerana ia akan menjadi racun dan bukannya penawar, kerana ia adalah debat tanpa aturan, yang memudaratkan kedua-dua pengucap dan pendengar. Perbahasan seperti ini harus dijalankan dalam keadaan tenang dan damai, adil dan saling bertukar-tukar pandangan.”


Katakan juga kepadanya, “Jika hatinya keliru dan ragu-ragu dengan persoalan iman seperti ini dan tidak menemui jawapannya dalam “al-Kalimāt”, maka tulislah kepadaku suatu surat.”


Pesan kepada beliau, “Terlintas dalam fikiranku makna mimpinya berkaitan ayahnya: Ayahnya dulu seorang doktor, ramai orang soleh yang mendapat manfaat daripadanya, malah para wali. Roh para wali yang soleh itu – yang redha kerana mendapat manfaat daripada ayahnya – menjelma bagaikan burung ketika ayahnya meninggal dunia di hadapan sanak saudaranya iaitu si anak tadi. Burung-burung itu menyambut rohnya sebagai syafaat baginya. Salamku kepada semua kawan-kawan yang hadir pada malam itu dan doaku buat mereka. 


Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.

Said Nursi