NAVIGATION
176. Page
SURAT KEDUA PULUH DUA
بِاسْمِهِ وَإِنْ مِنْ شَيْئٍ إِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪
Surat ini memiliki dua mabhas.
Mabhas Pertama ini menyeru ahli iman kepada ukhuwwah dan mahabbah.
MABHAS PERTAMA
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ
Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu. [1]
اِدْفَعْ بِالَّتِى هِىَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِى بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِىُّ حَمِيمٌ
Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik. Maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. [2]
وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللّٰهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
...dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. [3]
Sesungguhnya, menurut hakikat, hikmah, keislaman yang merupakan keinsanan teragung, kehidupan sahsiah, kehidupan bermasyarakat dan kehidupan maknawi, sikap berpuak-puak (taksub), keras kepala dan perseteruan yang menjadi punca kemunafikan dan perpecahan, dendam dan permusuhan di kalangan orang mukmin adalah keji dan ditolak, bermudarat dan zalim serta merupakan racun bagi kehidupan manusia.
Kami akan menerangkan enam wajah daripada wajah-wajah hakikat yang sangat banyak itu:
Wajah Pertama:
Pada pandangan hakikat, sifat-sifat tersebut adalah kezaliman.
Wahai si kejam yang menghidupkan rasa perseteruan dan permusuhan kepada orang mukmin! Bayangkan, jika kamu berada dalam sebuah kapal atau sebuah rumah bersama dengan sembilan orang yang maksum (tidak bersalah) dan seorang penjenayah. kamu pun tahu bahawa orang yang berusaha untuk menenggelamkan kapal atau membakar rumah tersebut melakukan kezaliman yang amat dahsyat. Nescaya kamu akan berteriak (dengan kuat) hingga ke tahap mendengarkan kezalimannya ke langit (penghuni langit). Hatta, sekiranya ada seorang yang tidak bersalah dan sembilan orang penjenayah sekalipun, kapal itu tetap tidak boleh ditenggelamkan dengan mana-mana undang-undang keadilan.
177. Page
Sama seperti itu juga, ketika terdapat bukan sembilan bahkan dua puluh sifat maksum seperti iman, Islam dan kejiranan di dalam tubuh seorang mukmin yang merupakan sebuah rumah Rabbani dan sebuah kapal Ilahi, dengan membenci dan memusuhinya kerana satu sifat penjenayahnya yang memudaratkan dan tidak disenangimu, maka usaha atau hasratmu untuk menenggelamkan atau membakar, memusnahkan atau mengkaramkan tubuh rumah maknawi itu secara maknawi juga adalah satu kezaliman yang teruk dan kekejaman yang setara dengannya.
Wajah Kedua:
Pada pandangan hikmah juga ia adalah kezaliman.
Ini kerana telah dimaklumi bahawa permusuhan dan kasih sayang adalah berlawanan seperti cahaya dan kegelapan. Dalam maknanya yang sebenar, kedua-duanya tidak akan boleh berhimpun bersama.
Sekiranya kasih sayang benar-benar wujud di dalam hati berdasarkan pengutamaan sebab-sebabnya sendiri, pada waktu itu, permusuhan menjadi majazi, lalu berubah menjadi rasa kasihan.
Ya, seseorang mukmin menyayangi dan patut menyayangi saudaranya. Namun, dia hanya wajar berasa kasihan terhadap kejahatan saudaranyanya dan berusaha untuk mengislahnya bukan dengan kekerasan, tetapi dengan kelembutan. Kerana itu, melalui nas hadith (telah diriwayatkan): “Seorang mukmin tidak boleh merajuk dan tidak bertegur sapa dengan seorang mukmin yang lain melebihi (tempoh) tiga hari.”
Sekiranya sebab-sebab permusuhan menang lalu permusuhan wujud di dalam hati dengan hakikatnya, pada waktu itu kasih sayang menjadi majazi lalu berubah kepada kepura-puraan dan ampu-mengampu.
178. Page
Wahai orang yang kejam! Sekarang lihatlah betapa zalimnya dendam dan permusuhan terhadap saudara mukminmu. Ini kerana, jika kamu mengatakan bahawa batu-batu kecil dan biasa lebih penting daripada Kaabah dan lebih besar daripada Gunung Uhud, kamu sebenarnya sedang melakukan suatu ketidakwarasan yang buruk.
Sama seperti itu juga, ketika banyak sifat keislaman seperti iman yang setaraf dengan kehormatan Kaabah dan Islam yang setaraf dengan keagungan Bukit Uhud mengingini kasih sayang dan perpaduan, sekiranya kamu memiliki akal kamu akan faham bahawa mengutamakan sesetengah kekurangan yang menjadi punca permusuhan terhadap orang mukmin dan dikira sebagai batu-batu yang tidak bernilai ke atas keimanan dan keislaman adalah kekejaman dan ketidakwarasan yang sama darjatnya dengan kebodohan sebelum ini serta merupakan kezaliman yang amat besar.
Ya, penyatuan iman tentunya memerlukan penyatuan hati. Kesatuan iktikad juga memerlukan kesatuan masyarakat.
Ya, tidak mungkin kamu dapat mengingkari bahawa apabila kamu berada dalam satu batalion tentera bersama dengan seseorang, kamu akan merasai suatu ikatan yang penuh rasa persahabatan terhadap orang itu. Apabila bersama-sama berada di bawah perintah seorang panglima, kamu akan menyedari suatu hubungan bagaikan teman. Apabila bersama-sama berada di dalam satu negeri, kamu akan merasai suatu hubungan yang penuh dengan rasa persaudaraan.
Walhal, terdapat hubungan-hubungan kesatuan, ikatan-ikatan muafakat dan keserasian-keserasian ukhuwwah sebanyak nama-nama Ilahi yang telah ditunjukkan dan diberitahu oleh keimanan kepadamu melalui cahaya dan perasaan yang telah diberikannya.
179. Page
Contoh: al-Khaliq kalian berdua adalah satu, al-Malik kalian satu, al-Ma’bud kalian satu, ar-Raziq kalian satu; satu, satu, satu sehingga seribu. Malahan Rasul kalian satu, agama kalian satu, qiblah kalian satu; satu, satu, satu sampai seratus. Kemudian, kampung kalian satu, negara kalian satu, tanah air kalian satu, satu, satu sampai sepuluh.
Walaupun satu yang sebanyak ini memerlukan kesatuan dan penyatuan, kesepakatan dan permuafakatan, mahabbah dan ukhuwwah serta terdapat rantai-rantai maknawi yang boleh mengikat alam semesta dan planet-planet antara satu sama lain, jika hatimu belum mati, dan akalmu belum padam, maka kamu pasti memahami bahawa mengutamakan perkara-perkara yang tidak penting dan tidak tetap seperti sarang labah-labah yang menjadi punca kepada perbalahan dan kemunafikan, perseteruan dan permusuhan lalu benar-benar memusuhi dan menyeterui seorang mukmin adalah satu kebiadaban yang sangat teruk terhadap ikatan wahdah tersebut; suatu penghinaan terhadap sebab-sebab mahabbah itu dan suatu kezaliman dan kesesatan terhadap hubungan-hubungan ukhuwwah tersebut.
Wajah Ketiga:
Berdasarkan rahsia ayat وَلاَ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى[4] yang menyatakan keadilan sebenar, walaupun hakikat, syariat dan hikmah Islamiah sesungguhnya telah mengingatkan kamu bahawa mewujudkan permusuhan dan perseteruan disebabkan sifat jenayah yang ada dalam diri seorang mukmin yang ibarat memenjarakan sifat-sifat lain yang maksum adalah kezaliman yang tidak terhingga dan terutamanya apabila kamu tidak senang lalu memutuskan hubungan dengan seorang mukmin kerana satu sifat buruknya, kemudian meluaskan permusuhanmu ke atas semua keluarga mukmin tersebut adalah suatu kezaliman yang sangat besar melalui laras mubalaghah (kebersangatan) pada ayat إِنَّ الْإِنْسَانَ لَظَلُومٌ, [5] maka bagaimanakah kamu boleh merasakan yang kamu adalah benar dan berkata: “aku mempunyai hak”?
180. Page
Pada pandangan hakikat, keburukan-keburukan yang menjadi sebab permusuhan dan kejahatan adalah legap seperti kejahatan dan tanah. Sepatutnya ia tidak merebak dan memantul kepada yang lainnya. Jika yang lain belajar daripadanya lalu melakukan kejahatan, itu adalah masalah yang lain. Semua kebaikan yang menjadi sebab-sebab mahabbah ialah cahaya seperti mahabbah. Merebak dan memantul adalah sifatnya.
Sebab itulah ungkapan “sahabat bagi sahabat ialah sahabat” telah dikira sebagai peribahasa. Malah kerana itu jugalah ungkapan, “demi kenangan satu mata, banyak mata dicintai” [6] dituturkan di kalangan masyarakat.
Justeru, wahai orang yang kejam, walaupun hakikat melihat begini, jika kamu ialah seorang yang nampak hakikat, kamu akan memahami bahawa memusuhi saudara serta keluarganya yang baik dan tidak bersalah (kepadamu) bagi seseorang yang tidak kamu sukai adalah amat menyalahi hakikat.
Wajah Keempat:
Pada pandangan kehidupan peribadi juga ia adalah kezaliman. Dengarlah beberapa dustur sebagai asas wajah keempat ini.
Dustur Pertama:
Apabila kamu mengetahui bahawa jalan dan pemikiran-pemikiran kamu adalah benar, kamu berhak untuk mengatakan: “Jalan saya adalah benar atau lebih baik”. Namun, kamu tidak berhak untuk mengatakan: “Jalan saya sahajalah yang benar”. Berdasarkan rahsia syair: وَعَيْنُ الرِّضَا عَنْ كُلِّ عَيْبٍ كَلِيلَةٌ وَلٰكِنَّ عَيْنَ السُّخْطِ تُبْدِى الْمَسَاوِى, [7] pandangan kamu yang tidak adil dan fikiranmu yang cetek itu tidak boleh menjadi pengadil dan tidak boleh menghukum jalan orang lain dengan kebatilan.
181. Page
Dustur Kedua:
Kamu berhak untuk memastikan bahawa semua yang kamu ucapkan adalah benar. Namun, kamu tidak berhak untuk menyatakan semua perkara yang benar. Setiap yang kamu nyatakan perlu betul tetapi menyatakan semua perkara yang betul (di semua tempat) adalah tidak betul kerana kadang-kadang nasihat seseorang yang niatnya tidak ikhlas seperti kamu boleh menyakiti hati dan memberi kesan sebaliknya.
Dustur Ketiga:
Kalau kamu mahu bermusuh, musuhilah permusuhan yang berada di dalam hatimu; berusahalah untuk membasminya. Serta, musuhilah nafsu amarah dan hawa nafsumu yang paling banyak memudaratkanmu dan berusahalah untuk mengislahkannya. Janganlah memusuhi orang-orang mukmin demi nafsumu yang memudaratkan itu. Jika kamu ingin berseteru, orang kafir dan zindik adalah ramai, musuhilah mereka! Ya, sebagaimana sifat mahabbah layak kepada mahabbah, begitu juga sikap bermusuh. Sebelum yang lain-lain, ia sendiri patut dimusuhi terlebih dahulu.
Jika kamu ingin mengalahkan musuhmu, balaslah kejahatannya dengan kebaikan. Ini kerana, sekiranya kamu membalasnya dengan kejahatan, permusuhan akan bertambah. Walaupun secara zahir dia kalah, tetapi hatinya tetap berseteru lalu meneruskan permusuhannya. Jika kamu membalasnya dengan kebaikan, dia akan menyesal dan menjadi sahabatmu.
Berdasarkan hukum: إِذَاَ أَنْتَ أَكْرَمْتَ الْكَرِيمَ مَلَكْتَهُ وَ إِنْ أَنْتَ أَكْرَمْتَ اللَّئِيمَ تَمَرَّدًا[8] keistimewaan orang mukmin adalah menjadi mulia. Kerana kebaikanmu, dia mentaatimu. Walaupun dia kelihatan hina pada zahir, dari segi iman dia adalah mulia. Ya, banyak berlaku bahawa jika kamu mengatakan “kamu baik, kamu baik,” kepada seorang yang jahat dia menjadi baik dan jika kamu mengatakan kepada seorang yang baik “kamu jahat, kamu jahat” dia menjadi jahat.
Oleh itu, dengarlah dustur-dustur suci al-Quran seperti:
[9]وَاِذَا مَرّوُا بِاللَّغْوِ مَرّوُا كِرَامًا] * [10][وَاِنْ تَعْفُوا وَتَصْفَحُوا وَتَغْفِرُوا فَاِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ] [ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ[
Kebahagiaan dan keselamatan adalah padanya.
182. Page
Dustur Keempat:
Golongan yang berseteru dan yang suka bermusuh menzalimi dan melampaui diri sendiri, saudara mukminnya serta rahmat Ilahi. Ini kerana melalui perseteruan dan permusuhan, dia membiarkan dirinya dalam azab yang pedih. Dia membuatkan dirinya merasai azab yang datang daripada nikmat-nikmat yang diterima oleh musuhnya dan kesakitan yang datang daripada ketakutan terhadap musuhnya lalu menzalimi dirinya.
Sekiranya permusuhan datang daripada hasad dengki ia adalah azab semata-mata. Ini kerana mula-mula, hasad dengki akan menghenyak pendengki, membinasakannya dan membakarnya. Kemudaratan bagi pihak yang didengki pula hanyalah, sama ada sedikit ataupun langsung tiada.
Penawar hasad dengki:
Pendengki perlu memikirkan akibat perkara-perkara yang didengkinya supaya dia faham bahawa kecantikan, kekuatan, pangkat dan kekayaan duniawi pada saingannya adalah fana dan sementara. Faedahnya sedikit, kesusahannya banyak.
Jika kelebihan-kelebihan itu adalah ukhrawi, sememangnya tidak boleh wujud kedengkian padanya. Jika dia berdengki pada itu semua juga, sama ada dia sendiri merupakan orang yang riya’, mahu memusnahkan harta akhiratnya di dunia ataupun dia menyangka orang yang dihasadnya itu yang riya’ maka dia melakukan ketidakadilan dan kezaliman.
Malah dia (pendengki) merasa gembira dengan musibah yang menimpa orang yang didengkinya dan berdukacita dengan nikmat-nikmat yang dikecap oleh orang yang didengkinya itu lalu berpaling muka daripada takdir dan rahmat Ilahi kerana kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan oleh-Nya kepada saingannya. Seolah-olah dia mengecam takdir dan menyangkal rahmat. Sesungguhnya orang yang mengecam takdir itu menghantukkan kepalanya ke andas (tempat besi panas ditempa) dan memecahkannya (kepalanya). Orang yang menyangkal rahmat, terhalang daripada rahmat.
Agaknya, keinsafan manakah yang dapat menerima bahawa membalas satu perkara yang tidak layak dimusuhi selama satu hari dengan perseteruan dan permusuhan selama satu tahun? Sanubari yang belum rosak manakah yang boleh menerimanya? Padahal kamu tidak boleh menyerahkan sepenuhnya kejahatan yang datang daripada saudara mukminmu terhadapmu kepadanya lalu menghukumnya.
183. Page
Ini kerana, pertama: Takdir mempunyai bahagiannya pada perkara itu. Kamu perlu mengeluarkannya lalu menerima bahagian qadha’ dan qadar itu dengan redha.
Kedua: Mengasingkan bahagian nafsu dan syaitan, lalu tidak memusuhi orang itu, bahkan mengasihaninya kerana dia telah kalah kepada nafsu serta menantikan penyesalannya.
Ketiga: Lihatlah kekurangan yang kamu tidak nampak atau tidak mahu lihat pada dirimu; berilah juga satu bahagian kepadanya.
Kemudian: Terhadap bahagian kecil yang berbaki, jika kamu menghadapinya dengan kemaafan dan ketinggian akhlak yang merupakan perkara paling selamat dan paling cepat dapat menewaskan musuhmu, kamu akan terselamat daripada kezaliman dan kemudaratan.
Jika tidak, membalas perkara-perkara duniawi yang tidak bernilai walau satu sen, fana, akan lenyap, sementara dan tidak penting, dengan ketamakan yang dahsyat, perseteruan yang berlarutan dan permusuhan yang berterusan seolah-olah selamanya akan duduk di dunia lalu kekal bersama-samanya (dengan laras mubalaghah) adalah kezaliman yang amat dahsyat ataupun satu kemabukan dan sejenis ketidakwarasan seperti seorang tukang emas Yahudi yang mabuk dan gila yang membeli kaca-kaca dan serpihan-serpihan ais dengan harga permata.
Justeru, jika kamu menyayangi peribadimu janganlah membuka jalan kepada permusuhan dan berfikir untuk membalas dendam yang menurut kehidupan peribadi adalah memudaratkan sehingga ke tahap demikian supaya permusuhan dan fikiran dendam itu tidak memasuki hatimu. Jika ia telah memasuki hatimu, janganlah mendengar kata-katanya.
184. Page
Renung dan dengarlah kata-kata Hafiz Syirazi yang melihat hakikat: دُنْيَا نَه مَتَاعِيسْت كِه اَرْزَد بَنِزَاعِى[11] yang bermaksud: “Dunia bukanlah suatu barang yang menyebabkan perbalahan. Ini kerana ia adalah fana dan sementara, maka ia tidak bernilai”.
Jika dunia yang besar adalah begini, tentunya kamu memahami betapa tidak pentingnya urusan-urusan dunia yang juz’i.”
Dia turut berkata: آسَايِشِ دُو گِيتِى تَفْسِيرِ اِينْ دُو حَرْفَسْت بَادُوسِتَانْ مُرُوَّتْ بَادُشْمَانْ مُدَارَا
[12] yakni: “Dua ungkapan yang boleh menafsirkan dan mendapatkan kerehatan serta keselamatan di kedua-dua dunia ialah bergaul dengan para sahabatmu secara bermaruah dan bermuamalah dengan musuh-musuhmu secara damai.”
Jika kamu berkata: “Pilihan bukan di tanganku; permusuhan ada dalam fitrahku. Malahan mereka telah menyakitkan hatiku, maka aku tidak boleh menghentikan permusuhan itu”.
Jawapan: Jika kesan-kesan akhlak mazmumah dan sikap yang buruk tidak diperlihatkan; jika perkara-perkara seperti ghibah dan sebab-sebabnya tidak dilakukan serta jika dia (orang yang bermusuh) turut memahami kesalahannya maka permusuhan itu tidak akan memudaratkan.
Memandangkan pilihan bukan di tanganmu dan kamu tidak boleh menghentikannya, maka mengetahui kesalahanmu dan menyedari kesilapanmu pada sikap itu yang ibarat penyesalan maknawi, taubat tersembunyi dan istighfar dhimni (tersirat) akan menyelamatkanmu daripada kejahatannya.
Sememangnya (tujuan) kami menulis mabhas surat ini adalah supaya kamu memperoleh istighfar maknawi tersebut; kamu tidak menganggap kesilapan itu sebagai kebenaran; dan tidak menonjolkan sainganmu yang benar sebagai orang yang salah.
185. Page
Suatu peristiwa yang menarik perhatian: Pada suatu masa, sebagai natijah ketaksuban (sifat berpihak) yang penuh kebencian ini aku melihat bahawa seorang ahli ilmu yang warak telah menghina sehingga sanggup mengkafirkan seorang alim soleh yang bertentangan pandangan politiknya dan telah memuji seorang munafik yang sepandangan dengannya dengan penuh hormat.
Maka aku terperanjat daripada natijah-natijah politik yang buruk ini dan berkata: أَعُوذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطَانِ وَ السِّيَاسَةِ[13], semenjak itu aku telah menarik diri daripada dunia politik.
Wajah Kelima:
Wajah ini menerangkan bahawa kedegilan dan sikap berpihak-pihak adalah sangat bermudarat dari segi kehidupan bermasyarakat.
Jika dikatakan: Dalam hadith telah disebutkan اِخْتِلاَفُ أُمَّتِى رَحْمَةٌ. [14] Ikhtilaf pula melazimkan sikap berpihak-pihak. Malahan, penyakit berpihak-pihak menyelamatkan golongan bawahan yang dizalimi daripada kejahatan golongan atasan yang zalim.
Ini kerana, jika golongan atasan sebuah pekan dan sebuah kampung bersepakat, mereka akan menindas golongan bawahan yang dizalimi. Jika ada sikap berpihak, orang yang dizalimi akan berlindung dan menyelamatkan dirinya ke sebelah pihak. Malah, daripada pertembungan pemikiran dan perselisihan pandangan, hakikat akan terzahir dengan sempurna.
Jawapan: Kepada soalan pertama: Kita boleh berkata bahawa ikhtilaf dalam hadith ialah ikhtilaf yang positif iaitu setiap orang berusaha untuk memakmurkan dan mengutamakan maslak masing-masing, bukan untuk meruntuh dan membatalkan yang lain bahkan berusaha untuk melengkapkan dan mengislahkannya.
Manakala ikhtilaf yang negatif pula iaitu berusaha untuk memusnahkan antara satu sama lain dengan penuh kebencian dan permusuhan, adalah ditolak menurut hadith. Ini kerana mereka yang bergaduh antara satu sama lain tidak akan dapat melakukan tindakan yang positif.
186. Page
Bagi soalan kedua: Kita boleh berkata bahawa sekiranya sikap berpihak-pihak adalah atas nama kebenaran, ia boleh menjadi tempat berlindung kepada mereka yang benar. Tetapi oleh sebab sikap berpihak-pihak yang penuh permusuhan dan kerana nafsu seperti sekarang ini adalah tempat berlindung mereka yang tidak benar, maka ia menjadi noktah persandaran kepada mereka.
Ini kerana, jika syaitan mendatangi orang yang menyokong sesuatu pihak dengan penuh permusuhan serta jika ia membantu dan menunjukkan sokongan kepada pandangan orang itu, nescaya orang itu akan mendoakan kerahmatan untuk syaitan itu. Seandainya seseorang seperti malaikat datang kepada pihak lawan, nescaya dia akan menunjukkan suatu ketidakadilan sehingga ke tahap melaknatinya. Hasya!
Bagi soalan ketiga: Kita berkata bahawa pertembungan pemikiran yang berlaku atas nama kebenaran dan demi hakikat pula, walaupun bersepakat pada matlamat dan dasar, (namun) ia berselisih pada wasilah-wasilah. Ia menzahirkan setiap sudut hakikat lalu berkhidmat kepada yang hak dan hakikat. Tetapi, daripada pertembungan fikrah dalam bentuk yang penuh berpihak-pihak, penuh permusuhan, sikap memuji diri sendiri atas nama nafsu amarah yang penuh kefiraunan dan sikap menyukai kemasyhuran, maka yang keluar bukannya sinaran hakikat tetapi api-api fitnah. Ini kerana ketika kesepakatan diperlukan pada matlamat, titik temu fikiran-fikiran mereka yang sebegitu tidak dapat dijumpai di mana-mana pun di bumi.
Oleh sebab ia bukan atas nama kebenaran, maka ia menjadi terlalu melampau .
Ia menjadi punca kepada luka perpecahan yang tidak dapat disembuhkan kembali. Keadaan dunia masa kini adalah saksi kepada perkara ini.
Kesimpulan:
Sekiranya dustur-dustur اَلْحُبُّ لِلّٰهِ وَالْبُغْضُ فِى اللّٰهِ وَالْحُكْمُ لِلّٰهِ[15] yang tinggi tidak menjadi dustur tindakan, kemunafikan dan perbalahan akan mengambil peluang.
Ya, jika seseorang itu tidak menyebut اَلْبُغْضُ في اللّٰهِ وَالْحُكْمُ لِلّٰهِ dan tidak mengutamakan dustur-dustur itu, maka ketika mahu melaksanakan keadilan dia melakukan kezaliman.
187. Page
Suatu peristiwa yang menjadi renungan: Pada suatu masa, Imam Ali Radhiyallahu ‘Anhu telah menjatuhkan seorang kafir ke tanah. Ketika beliau mengangkat pedang untuk menetaknya, si kafir itu meludahnya. Beliau melepaskan kafir itu dan tidak menetaknya. Kafir itu bertanya kepada beliau: “Kenapa kamu tidak menetakku?”
Beliau menjawab: “Sebenarnya aku ingin menetakmu kerana Allah. Tapi, kamu telah meludahiku dan aku berasa marah. Oleh sebab bahagian nafsuku turut masuk campur, maka keikhlasanku telah tercalar. Kerana itu aku tidak menetakmu.”
Kafir itu berkata kepadanya: “Sebenarnya aku membangkitkan kemarahanmu supaya kamu segera menetakku. Memandangkan agama kalian suci dan murni sehingga tahap ini, maka agama itu adalah benar”.
Lagi Suatu Kejadian Untuk Diperhatikan: Pada suatu masa, ketika memotong tangan seorang pencuri, seorang pelaksana hukuman telah memperlihatkan tanda-tanda kemarahan. Ketuanya yang adil yang memerhatikannya telah melucutkannya daripada tugas itu.
Ini kerana jika dia memotong atas nama syariat dan undang-undang Ilahi, nescaya nafsunya akan berasa kasihan kepadanya. Nescaya dia akan memotong dalam keadaan hatinya bukan sahaja tidak marah malah tidak juga berasa kasihan. Itu bermakna oleh sebab dia telah memberikan satu bahagian daripada hukuman itu kepada nafsunya, dia tidak dapat melakukan tugas dengan adil.
188. Page
Keadaan Masyarakat Yang Menyedihkan Dan Penyakit Dahsyat Kehidupan Bermasyarakat Yang Memilukan Hati Umat Islam:
Apakah yang telah berlaku kepada mereka yang mendakwa berkhidmat kepada jamaah-jamaah Islam ini sehingga walaupun terdapat begitu ramai musuh luar yang tidak terkira yang bersedia menyerang di belakang satu sama lain, mereka tidak melupakan persengketaan remeh mereka bahkan menyediakan suatu ruang untuk musuh menyerang?
Walhal kaum-kaum yang paling mundur juga mengutamakan dan melakukan maslahat kemasyarakatan iaitu bertindak melupakan serta mengetepikan permusuhan dalaman mereka semasa musuh-musuh luar muncul dan menyerang! Keadaan ini adalah suatu keruntuhan, kemunduran. Ia adalah satu pengkhianatan kepada kehidupan masyarakat Islam.
Suatu Cerita Yang Menjadi Iktibar: Di kalangan puak-puak Badwi, terdapat dua kabilah daripada puak ‘Hasanan’ yang memusuhi satu sama lain. Walaupun mereka mungkin telah membunuh lebih lima puluh orang daripada pihak masing-masing, tetapi semasa keluar menentang kabilah lain seperti puak ‘Sibkan’ atau ‘Haidaran’, dua kabilah yang bermusuhan ini melupakan persengketaan lama lalu berganding bahu. Mereka tidak akan memikirkan persengketaan dalaman sehinggalah puak luar itu dihalau.
Justeru, wahai orang-orang Mukmin! Adakah kalian tahu betapa ramainya musuh seperti puak-puak itu yang mahu menyerang puak ahli Iman?
Terdapat lebih daripada seratus lingkungan seperti lingkungan-lingkungan yang ada dalam satu sama lain.
Ketika umat Islam wajib bersandar kepada satu sama lain dan patut saling berpimpin tangan lalu bertahan, adakah sesuai sama sekali bagi golongan beriman untuk mengamalkan sikap berpihak dengan penuh kebencian dan kedegilan dengan penuh permusuhan yang ibarat memudahkan serangan musuh-musuh itu dan membuka pintu untuk kemasukan mereka ke daerah suci Islam?
Lingkungan-lingkungan musuh yang bersedia memudaratkan kalian dalam kalangan satu sama lain dan melihat kepada kalian dengan kemarahan dan ketamakan di belakang satu sama lain itu bermula daripada golongan sesat dan ilhad, sampai kepada alam orang kafir, sehingga kepada ketakutan dan musibah-musibah dunia. Bahkan terdapat lebih tujuh puluh jenis musuh.
189. Page
Senjata, perisai dan kubu kalian yang kuat untuk menghadapi kesemua ini ialah ukhuwwah Islamiyyah.
Ketahui dan sedarlah bahawa menggoncangkan kubu keislaman ini dengan permusuhan dan alasan-alasan yang kecil adalah sangat bertentangan dengan sanubari dan bertentangan dengan maslahat Islamiyyah.
Terdapat dalam hadith-hadith as-Syarif bahawa dengan cara mengambil kesempatan daripada sifat tamak serta perpecahan Muslimin dan manusia; dengan kekuatan yang sedikit, orang-orang yang teruk dan memudaratkan yang mengetuai golongan munafik dan zindik seperti Sufyani dan Dajjal akhir zaman boleh mengkucar-kacirkan manusia dan menawan dunia Islam yang besar.
Wahai orang-orang beriman! Jika kalian tidak mahu ditawan dalam kehinaan, gunakanlah akal kalian! Masuklah ke dalam kubu suci إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ [16] untuk menghadapi orang-orang zalim yang mengambil kesempatan daripada perselisihan kalian dan berlindunglah di kubu itu. Jika tidak, kalian bukan sahaja tidak dapat menjaga kehidupan kalian bahkan tidak mampu mempertahankankan hak-hak kalian. Memang dimaklumi bahawa ketika dua orang pahlawan bergaduh, seorang kanak-kanak pun boleh memukul kedua-duanya. Sekiranya terdapat dua buah gunung yang sama imbangan beratnya pada satu neraca, seketul batu kecil boleh merosakkan imbangan itu lalu mempermain-mainkan kedua-duanya, yakni menaikkan satunya ke atas dan menurunkan satu lagi ke bawah.
Justeru, wahai ahli Iman! Kerana sifat tamak dan sikap berpihak-pihak kalian yang penuh permusuhan, kekuatan kalian jatuh kepada sifar. Kalian boleh dihancurkan dengan kekuatan yang sedikit. Jika kalian mempunyai hubungan dengan kehidupan bermasyarakat kalian, maka jadikanlah dustur tinggi اَلْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ الْمَرْصُوصِ يَشُدُّ بَعْضُهُمْ بَعْضًا[17] sebagai dustur kehidupan kalian. Bebaskanlah diri kalian daripada kemelaratan duniawi dan kesengsaraan ukhrawi.
190. Page
Wajah Keenam:
Kehidupan maknawi dan kesahihan ubudiyyah boleh digoncang dengan permusuhan dan kedegilan. Ini kerana, keikhlasan yang merupakan wasitah pembebas dan wasilah keselamatan akan hilang. Sebab, orang keras kepala yang berpihak-pihak sentiasa ingin melebihi lawannya dalam amal baiknya. Amat susah untuk dia memperoleh amalan لِوَجْهِ اللّٰهْ (kerana Allah) dengan ikhlas. Dia sentiasa mengutamakan orang yang berpihak kepadanya dalam keputusan dan muamalahnya lalu tidak dapat melakukan keadilan.
Justeru, keikhlasan dan keadilan yang menjadi asas bagi perbuatan dan amalan kebajikan hilang dengan perbalahan dan permusuhan. Wajah Keenam ini amat panjang, tetapi kerana kemampuan maqam ini adalah pendek, maka kami tidak memanjangkannya.
191. Page
Mabhas Kedua
بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
إِنَّ اللّٰهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ
Sesungguhnya Allah ialah Maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh." [18]
وَكَأَيِّنْ مِنْ دَابَّةٍ لاَ تَحْمِلُ رِزْقَهَا اَللّٰهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ وَ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
...dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui. [19]
Wahai ahli iman! Sebelum ini, kalian telah faham betapa permusuhan adalah sangat memudaratkan. Maka fahamilah juga bahawa, sama seperti permusuhan, sifat tamak juga merupakan penyakit berbahaya yang paling dahsyat kepada kehidupan Islam. Sifat tamak merupakan punca kehilangan, kecacatan dan kerendahan. Ia menyebabkan keterhalangan dan kemelaratan.
Ya, kerendahan dan kemelaratan bangsa Yahudi yang menyerang dunia dengan ketamakan yang lebih berbanding bangsa-bangsa lain merupakan bukti paling nyata bagi kenyataan ini.
Ya, ketamakan sentiasa memperlihatkan kesan buruknya yang bermula daripada satu daerah kehidupan paling luas dalam alam makhluk yang bernyawa sehingga kepada sesuatu yang paling kecil. Sebaliknya mencari rezeki dengan cara bertawakkal pula adalah punca kerehatan dan sentiasa memperlihatkan kesan baiknya di setiap tempat.
Justeru, oleh sebab pohon-pohon berbuah dan tumbuh-tumbuhan yang merupakan dari jenis makhluk bernyawa dan memerlukan makanan sentiasa berada di tempat-tempatnya dengan tawakkal dan qana‘ah tanpa menunjukkan ketamakan, maka rezeki mereka datang berlari kepada tumbuh-tumbuhan ini. Pohon dan tumbuhan ini menyara anak-anaknya jauh lebih banyak daripada haiwan. Haiwan-haiwan pula, oleh sebab mereka berlari mengejar makanan secara tamak, maka mereka mendapat makanan dengan penuh kesusahan dan kekurangan.
Dalam lingkungan haiwan, pemberian rezeki yang halal, sempurna dan lazat daripada khazanah rahmat kepada anak-anak kecil yang bertawakkal dengan lisan al-hal kedaifan dan kelemahan serta rezeki-rezeki buruk yang diperoleh secara haram dan penuh kesusahan bagi haiwan buas yang menyerang dengan ketamakan kepada makanannya menunjukkan bahawa ketamakan ialah sebab keterhalangan manakala tawakkal dan qana‘ah pula ialah wasilah kerahmatan.
192. Page
Malahan bangsa Yahudi yang merupakan bangsa yang lebih kuat berpaut pada dunia melalui sifat tamak dan lebih banyak terikat dengan kehidupan duniawi melalui kecintaan berbanding bangsa-bangsa lain di kalangan manusia pula, walaupun memiliki kekayaan riba yang haram yang mereka peroleh dengan penuh kepayahan serta sedikit faedahnya untuk diri sendiri dan hanya menjadi penjaganya, namun tamparan kerendahan dan kemelaratan, pembunuhan dan pengkhianatan yang mereka terima daripada semua bangsa menunjukkan bahawa sifat tamak adalah sumber kerendahan dan kerugian. Malah terdapat terlalu banyak kejadian tentang insan tamak yang sentiasa kerugian sehingga ungkapan اَلْحَرِيصُ خَائِبٌ خَاسِرٌ[20] telah dianggap sebagai peribahasa dan telah diterima sebagai hakikat yang umum pada pandangan masyarakat.
Memandangkan begitu, sekiranya kamu sangat menyukai harta, tuntutlah ia dengan qana‘ah, bukan dengan sifat tamak supaya banyak yang diperoleh.
Golongan yang qana‘ah dan golongan yang tamak adalah sama seperti dua orang yang memasuki dewan majlis seorang pembesar; salah seorang berkata dalam hatinya: “Cukuplah sekadar beliau menerimaku, jika aku terselamat daripada kesejukan di luar pun sudah memadai bagiku. Jika beliau turut memberikan bangku paling bawah, itu adalah ihsannya.”
Manakala, dengan penuh kesombongan dan seolah-olah memiliki suatu hak istimewa dan semua orang perlu menghormatinya, orang yang kedua berkata: “Beliau sepatutnya memberikan bangku yang paling atas kepadaku.” Dia masuk dengan ketamakan itu. Matanya tertumpu kepada tempat-tempat duduk yang tinggi dan mahu pergi kepadanya. Tetapi pemilik dewan itu menyuruhnya kembali ke belakang dan mendudukkannya di bawah. Walaupun dia sepatutnya perlu berterima kasih kepada beliau, namun sebagai gantian terima kasih itu, dia marah melalui hati. Bukan terima kasih yang diucapkan, sebaliknya dia mengecam pemilik dewan. Maka, pemilik dewan juga merasa tidak senang dengannya. Orang yang pertama tadi masuk dengan tawadhuk dan mahu duduk di bangku paling bawah. Qana‘ah-nya itu menyenangkan hati pemilik dewan. Beliau mempersilakannya ke bangku yang lebih atas. Maka dia memperbanyak ucapan terima kasihnya dan rasa senang hatinya juga makin bertambah.
193. Page
Justeru, dunia adalah dewan ar-Rahman. Muka bumi adalah hidangan rahmat. Darjat-darjat rezeki dan martabat-martabat nikmat pula adalah seperti bangku yang ada di dewan tersebut. Malah pada kerja-kerja yang paling kecil pun semua orang boleh merasai kesan buruk sifat tamak.
Contoh: Semua orang merasai (hal berikut) dalam hatinya: Ketika dua orang pengemis meminta sesuatu, mereka tidak akan memberi sebarang sedekah kepada pengemis yang meminta dengan tamak kerana mereka tidak suka dengan sifat tersebut. Sebaliknya kepada pengemis yang meminta dengan tenang mereka akan berasa kasihan lalu memberi sedekah.
Contoh seterusnya: Apabila kamu kehilangan rasa mengantuk pada waktu malam, jika kamu mahu tidur dan tidak mempedulikannya, maka rasa mengantuk akan datang. Jika kamu mengingini tidur dengan tamak dan mengatakan “aku mesti tidur, aku mesti tidur”, kamu akan kehilangan rasa mengantuk secara keseluruhan.
Contohnya lagi: Jika kamu menunggu seseorang untuk suatu perkara yang penting dengan tamak. Kamu berkata “mengapa dia belum datang, mengapa dia belum datang”, akhirnya ketamakan itu akan mengurangkan kesabaran kamu lantas kamu bangun dan berlalu pergi. Selepas satu minit orang itu datang, namun perkara penting yang kamu nantikan itu tidak akan berlaku.
Rahsia bagi keadaan-keadaan ini ialah, sebagaimana kewujudan sebuku roti bergantung kepada ladang, gudang, pengisar dan ketuhar, begitu jugalah dalam tertib kewujudan benda-benda. Terdapat ketelitian hikmah. Oleh sebab tidak bertindak dengan teliti kerana ketamakan, seseorang itu tidak akan mengikut anak tangga maknawi yang terdapat pada benda-benda yang tersusun itu; dia sama ada akan melompat lalu jatuh ataupun dia akan kekurangan satu anak tangga. Maka dia tidak akan dapat sampai ke tempat tujuan.
Justeru, wahai saudara-saudara yang bingung dengan masalah sara hidup dan mabuk dengan ketamakan dunia! Walaupun ketamakan merupakan sesuatu yang berbahaya dan merugikan sebegini, bagaimanakah kamu sanggup melakukan semua kehinaan, sanggup menerima segala harta tanpa mempersoalkan halal haram dan sanggup mengorbankan banyak perkara yang diperlukan untuk kehidupan akhirat demi ketamakan?
194. Page
Hatta kamu tergamak meninggalkan zakat yang merupakan rukun yang penting daripada rukun-rukun Islam di jalan ketamakan. Sedangkan zakat adalah punca keberkatan dan penghalang bala untuk semua orang. Biasanya, sejumlah harta zakat akan keluar daripada tangan orang yang tidak memberikan zakat. Ya, sama ada dia akan membelanjakannya pada tempat yang tidak sepatutnya ataupun musibah akan datang lalu meragutnya.
Dalam satu mimpi khayalan yang benar dan aneh pada tahun kelima perang dunia pertama, aku telah ditanya: “Mengapakah kebuluran, kehilangan harta dan kesusahan tubuh badan ini menimpa orang Islam?”
Dalam mimpi itu aku telah menjawab: “Allah Taala meminta daripada kita sebahagian harta yang telah diberikan oleh-Nya, yakni satu persepuluh[21] daripada sebahagian harta itu ataupun satu perempat puluh[22] daripada sebahagiannya yang lain supaya ia menyebabkan kita memperoleh doa orang-orang miskin dan dapat menghalang perseteruan dan hasad dengki mereka.
Akibat ketamakan, kita menjadi haloba lalu tidak memberi. Lantaran itu, Allah Taala telah mengambil tiga puluh perempat puluh atau lapan persepuluh daripada zakat-Nya yang terkumpul.
Dalam setiap tahun juga, Dia meminta supaya kita menanggung sejenis kelaparan yang mengandungi tujuh puluh hikmah hanya selama sebulan. Kita berasa kasihan kepada nafsu kita lalu tidak menanggung kelaparan yang sementara dan lazat. Sebagai hukuman, Allah Taala telah menyebabkan kita melakukan sejenis puasa yang merupakan musibah daripada tujuh puluh sudut selama lima tahun secara paksa.
Malah daripada dua puluh empat jam, Dia meminta daripada kita hanya satu jam untuk sejenis latihan Rabbani yang menarik dan tinggi, bercahaya dan berfaedah. Namun, kita berasa malas lalu tidak menunaikan solat dan rayuan itu. Dengan menggabungkan satu jam itu ke dalam jam-jam yang lain, sesungguhnya kita telah mensia-siakannya. Sebagai kaffarahnya Allah Taala menyebabkan kita menunaikan sejenis solat melalui latihan, taklimat (ketenteraan) dan larian selama lima tahun.”
195. Page
Kemudian aku terjaga dan berfikir. Maka aku memahami bahawa dalam mimpi khayalan itu terdapat satu hakikat yang sangat penting. Sebagaimana yang telah dihuraikan dan dibuktikan pada perbahasan tentang perbandingan antara hukum al-Quran dengan kemodenan dalam ‘Kalimah Kedua Puluh Lima’, ada dua kata-kata yang menjadi punca kepada semua kebiadaban dan huru-hara dalam kehidupan bermasyarakat manusia, iaitu:
Pertama: “Kalau aku sudah kenyang dan orang lain mati akibat kelaparan, apa aku peduli?”
Kedua: “Kamu kerja, aku makan.”
Perkara yang meneruskan dua kata-kata ini pula ialah pengamalan riba dan tidak menunaikan zakat.
Satu-satunya cara untuk merawat dua penyakit masyarakat yang dahsyat ini adalah dengan mewajibkan zakat dan mengharamkan riba melalui pelaksanaan zakat sebagai suatu undang-undang yang umum. Untuk kebahagiaan hidup yang bukan hanya pada individu-individu dan jemaah-jemaah tertentu sahaja, bahkan untuk seluruh manusia, rukun yang paling penting bahkan tiang yang paling utama untuk kelangsungan hidup manusia ialah zakat.
Ini kerana di kalangan manusia terdapat dua golongan iaitu khawas (golongan atasan) dan awam (golongan bawahan). Zakatlah yang menjamin kasih sayang dan ihsan daripada golongan khawas kepada golongan awam dan penghormatan serta ketaatan daripada golongan awam kepada golongan khawas.
196. Page
Jika tidak, daripada atas akan turun kezaliman dan penganiayaan ke atas golongan awam dan akan melonjak perseteruan serta penentangan daripada golongan awam terhadap orang-orang kaya. Maka dua golongan manusia ini akan sentiasa berada dalam pertikaian maknawi dan huru-hara pertelingkahan yang berterusan. Begitulah seterusnya sehingga seperti yang berlaku di Rusia, pergaduhan bermula dalam bentuk pertikaian demi pekerjaan dan modal.
Wahai orang-orang yang pemurah dan memiliki sanubari dan wahai orang-orang yang dermawan dan ahli ihsan!
Sekiranya kebajikan tidak berlaku atas nama zakat, maka terdapat tiga kerugian. Malah kadang-kadang ia hilang dengan sia-sia. Oleh sebab kamu tidak memberi kerana Allah, secara maknawinya kamu menantikan rasa terhutang budi. Kamu membiarkan orang fakir yang buntu di bawah tawanan rasa terhutang budi. Malah, kamu akan terhalang daripada doanya yang makbul. Walaupun kamu merupakan seorang pegawai pengagih harta Allah kepada hamba-hamba-Nya, namun, dengan menyangka dirimu sebagai pemilik harta itu, kamu mengkufuri nikmat.
Jika kamu memberinya atas nama zakat, maka oleh sebab kamu memberinya kerana Allah kamu mendapat satu pahala dan memperlihatkan sifat mensyukuri nikmat. Orang yang berhajat itu pula, oleh sebab dia tidak perlu mengampu kamu, kemuliaan dirinya akan terpelihara dan doanya untukmu akan menjadi makbul.
Ya, di manakah pemerolehan perkara-perkara bermudarat seperti riya’ dan kemasyhuran serta rasa terhutang budi dan rendah diri dengan memberikan harta sebanyak zakat dengan cara yang lain, bahkan lebih daripadanya seperti ibadah-ibadah nafilah dan ihsan? Di manakah pula menunaikan fardhu, pemerolehan pahala, keikhlasan serta doa yang makbul setelah melakukan semua kebaikan itu atas nama zakat?
سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَٓا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَل۪يمُ الْحَك۪يمُ
اَللُّهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الَّذِى قَالَ:
اَلْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ الْمَرْصُوصِ يَشُدُّ بَعْضُهُمْ بَعْضًا،
وَ قَالَ: اَلْقَنَاعَةُ كَنْزٌ لاَ يَفْنَى، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ
آمِينَ وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
197. Page
PENUTUP
Tentang Ghibah
بِاسْمِهِ وَإِنْ مِنْ شَيْئٍ إِلاَّ يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪
Oleh sebab satu ayat - yang merupakan contoh daripada bab penghinaan dan larangan bagi ‘Noktah Kelima Sinaran Pertama’ daripada ‘Nyalaan Pertama Kalimah Kedua Puluh Lima’ - menjadikan ghibah (mengumpat) sangat dibenci dalam enam peringkat secara penuh bermukjizat menunjukkan secara sempurna bahawa ghibah adalah satu perkara yang amat keji pada pandangan al-Quran, maka ia tidak meninggalkan apa-apa keperluan kepada penjelasan yang lain. Ya, tidak boleh ada penjelasan selepas keterangan al-Quran; malah tidak diperlukan.
Justeru, al-Quran mencela perbuatan tercela ini dengan enam peringkat dalam ayatأَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا[23] dan melarang keras perbuatan ghibah dalam enam tahap. Ketika ayat ini ditujukan secara langsung kepada orang-orang yang melakukan ghibah, maknanya adalah seperti berikut:
“Memang dimaklumi bahawa huruf Hamzah (أَ) pada permulaan ayat adalah soalan dengan makna ‘adakah’. Makna berbentuk soalan ini memasuki semua kalimah dalam ayat tersebut seperti air. Setiap kalimah mengandungi suatu hukum tersembunyi.”
Justeru Pertama: Melalui huruf Hamzah (أَ) ayat ini berkata: “Adakah akal kamu yang menjadi tempat soalan dan jawapan telah tiada sehingga ia tidak dapat memahami sesuatu yang buruk setahap ini?”
198. Page
Kedua: Melalui lafaz يُحِبُّ ayat ini berkata:
“Adakah hati kamu yang menjadi tempat perasaan suka dan benci telah rosak sehingga ia menyukai satu perkara yang paling dibenci?”
Ketiga: Melalui kalimah أَحَدُكُمْ ayat ini berkata:
“Apakah yang telah berlaku kepada kehidupan bermasyarakat dan ketamadunan kalian yang mendapat nyawanya daripada jamaah masyarakat sehingga ia boleh menerima perbuatan yang meracuni hidup kalian sebegini?”
Keempat: Melalui ungkapan أَنْ يَاْكُلَ لَحْمَ ayat ini berkata:
“Apa yang telah berlaku kepada keinsanan kalian sehinggakan kalian tergamak mengoyak-rabakkan sahabat kalian sebegini dengan gigi seperti binatang buas?”
Kelima: Melalui kalimah أَخِيهِ ayat ini berkata:
“Adakah rasa belas sesama sendiri dan silaturrahim kalian telah tiada sehingga kalian tergamak menggigit peribadi maknawi seorang yang dizalimi yang merupakan saudara kalian dalam banyak sudut sebegini dengan cara yang kejam?” dan “adakah akal kalian langsung tiada lagi sehingga kalian tergamak menggigit anggota tubuh badan kalian dengan gigi kalian sendiri seperti orang gila?”
Keenam: Melalui perkataan مَيْتًا ayat ini berkata:
“Di manakah sanubari kalian? Adakah fitrah kalian telah rosak sehingga kalian tergamak melakukan perbuatan yang paling jijik seperti memakan dagingnya terhadap saudara kalian yang sangat mulia ?”
199. Page
Maknanya, melalui ifadah ayat ini dan dalalah (petunjuk) setiap kalimahnya secara berasingan, didapati bahawa melakukan perbuatan tercela dan ghibah adalah dicela dari segi akal, hati, kemanusiaan, sanubari, fitrah dan menurut bangsa manusia.
Justeru lihatlah bagaimana ayat ini secara ringkas melarang jenayah itu dalam enam peringkat dan mencela cperbuatan tercela ini melalui enam tahap secara bermukjizat.
Ghibah ialah senjata hina yang paling banyak digunakan oleh golongan yang suka bermusuh, berdengki dan keras kepala. Orang yang memiliki harga diri tidak akan pernah merendahkan dirinya kepada senjata keji ini dan tidak akan menggunakannya. Sebagaimana seseorang yang masyhur telah berkata:
أُكَبِّرُ نَفْسِى عَنْ جَزَاءٍ بِغِيْبَةٍ فَكُلُّ اِغْتِيَابٍ جَهْدُ مَنْ لاَ لَهُ جَهْدٌ
“Aku menghindarkan diriku daripada memberi hukuman kepada musuhku dengan melakuan ghibah dan aku tidak merendahkan diriku kepadanya. Ini kerana ghibah adalah senjata mereka yang lemah, keji dan hina.”
Ghibah itu ialah, jika orang yang diumpati itu hadir dan dia mendengar, nescaya dia akan merasa benci dan berkecil hati. Jika orang yang melakukan ghibah berkata benar, sesungguhnya itulah ghibah. Jika dia berdusta, ia adalah ghibah serta tuduhan. Sesungguhnya perkara itu adalah dosa yang dua kali ganda lebih buruk.
Ghibah dibolehkan dalam beberapa perkara yang tertentu:
Pertama: Menyatakannya dalam bentuk aduan kepada seseorang yang bertanggungjawab supaya orang itu dapat membantu menghilangkan kemungkaran dan sikap buruk yang dimaksudkan daripada orang yang diadu dan mengambil kembali hak pengadu daripada yang diadu.
Kedua: Sekiranya seseorang mahu bekerjasama dengan seseorang yang lain. Dia berbincang dengan kamu, maka tanpa niat buruk dan semata-mata untuk kemaslahatan dan untuk memberikan hak perbincangan, kamu berkata: “Jangan bekerjasama dengannya kerana kamu akan kerugian”.
200. Page
Ketiga: Jika tujuannya bukanlah untuk menghina dan menonjolkan bahkan untuk memberitahu dan memperkenalkan seseorang, contohnya seseorang berkata: “Orang tempang dan dungu itu telah pergi ke tempat sekian sekian.”
Keempat: Orang yang diumpat itu adalah seorang fasiq yang mutajahir. Yakni orang itu tidak malu dengan kejahatan bahkan berbangga dengan keburukan yang telah dilakukannya dan dia berasa seronok dengan kezalimannya. Tanpa rasa malu dia melakukannya secara terang-terangan.
Maka, ghibah hanya dibenarkan pada perkara-perkara tertentu seperti ini tanpa niat yang buruk dan hanya kerana kebenaran dan kemaslahatan. Jika tidak, sebagaimana api memakan habis kayu api, umpatan juga memakan habis amalan-amalan soleh.
Jika seseorang telah melakukan ghibah ataupun telah mendengarnya secara rela; pada waktu itu dia perlu berkata اَللّٰهُمَّ اغْفِرْلَنَا وَ لِمَنِ اغْتَبْنَاهُ[24]. Kemudian apabila dia bersua dengan orang yang pernah diumpati, dia perlu berkata “maafkanlah saya”.
اَلْبَاقِى هُوَ الْبَاقِى
Said Nursî