NAVIGATION
201. Page
Surat Ke-23
بِاسْمِه۪ سُبْحَانَهُ وَاِنْ مِنْ شَئٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪
اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَ رَحْمَةُ اللّٰهِ وَ بَرَكَاتُهُ بِعَدَدِ عَاشِرَاتِ دَقَٓائِقِ عُمْرِكَ وَذَرَّاتِ وُجُودِكَ
Dengan nama Allah
“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya;”
Wahai saudaraku yang dimuliakan dan mukhlis, yang memiliki kebenaran, keazaman dan ketegasan serta kesungguhan.
Perbezaan masa dan tempat tidak menghalang perbualan dan kemesraan di antara orang seperti kita yang merupakan saudara sebenar dan akhirat , walaupun seorang berada di timur dan seorang di barat, atau seorang pada masa lalu dan seorang pada masa hadapan, atau seorang di dunia dan seorang di akhirat, mereka boleh dihimpunkan bersama dan berbincang. Terutamanya mereka yang berada dalam matlamat dan tugas yang sama adalah umpama mata kepada yang lain.
Sesungguhnya aku membayangkanmu bersamaku pada setiap pagi dan aku memberimu satu bahagian daripada keuntunganku, iaitu satu pertiga daripadanya. Aku memohon kepada Allah agar diperkenankan doaku. Kamu, Abdul Majid dan Abdul Rahman disebut di dalam doaku. Semoga kamu sentiasa memperoleh keuntungan dengan izin-Nya.
Aku berasa sedih dengan masalah duniawi yang menimpamu dan aku berasa sakit atas kesakitanmu. Tetapi dunia ini tidak kekal, setiap musibah yang menimpa pasti ada kebaikan di sebaliknya. Terlintas di fikiranku apabila melihat keadaanmu ini: “Ini juga akan berlalu”. Aku juga mendalami makna hadis, لَا عَيْشَ اِلَّا عَيْشُ الْأٰخِرَةِ “Tiada kehidupan melainkan kehidupan di akhirat”. Aku turut membaca firman-Nya, اِنَّ اللّٰهَ مَعَ الصَّابِر۪ينَ “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”. Aku melafazkan firman Allah, اِنَّا لِلّٰهِ وَاِنَّٓا اِلَيْهِ رَاجِعُونَ. “Sesungguhnya kami ialah milik Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Lalu aku menemui penawar atas musibah yang menimpa dirimu.
202. Page
Jika Allah mengasihi seorang hamba, Dia menjadikan dunia menentang dirinya, dan dia akan melihat dunia sebagai satu keburukan. Kamu ialah daripada golongan itu dengan izin-Nya. Segala cabaran dan rintangan tidak akan menghalang penyebaran kalimah. Risalah yang kamu sampaikan itu membawa kerahmatan dan keberkatan, umpama biji benih yang bercambah dan berkembang menjadi bunga-bunga yang tumbuh mekar dengan izin-Nya.
Wahai saudaraku yang mulia , kamu bertanya kepadaku beberapa soalan. Sebahagian besar yang tertulis di dalam “Kalimat” dan “Al-Maktubat” ialah ilham yang terlintas di hati secara tiba-tiba, bukan atas pilihanku, dan ia datang dengan hasil yang cantik dan baik. Jika aku sendiri yang menjawabnya dengan pengetahuan ilmuku seperti Sa‘īd yang lama, pasti banyak cacat celanya.
Lintasan hati telah terhenti baru-baru ini dan aku tidak mampu untuk berfikir dengan baik. Tetapi, aku telah menulis jawapan yang sangat ringkas supaya soalanmu akan terjawab juga.
Soalan yang pertama:
Apakah doa yang paling baik daripada seorang mukmin kepada saudara mukmin yang lain?
Jawapan: Doa itu hendaklah merangkumi unsur yang menjadi sebab doa itu diterima. Doa yang makbul mengandungi beberapa syarat, selagi mana terhimpunnya syarat-syarat ini, semakin mudah doa itu diterima dan dimakbulkan. Aku akan menjelaskannya dengan ringkas:
Setiap hamba yang ingin berdoa kepada Allah, hendaklah menyucikan jiwanya dengan beristighfar. Kemudian hendaklah mengucapkan selawat ke atas Rasulullah SAW – iaitu doa yang makbul – dan memohon syafaat daripada Baginda, serta selawat ke atas Baginda sekali lagi pada penghujung doa. Doa yang terhimpun di antara dua doa yang makbul akan diterima dan diperkenankan dengan izin-Nya. Di antara syarat lain ialah doa secara sembunyi dan doa yang disebutkan di dalam al-Quran dan sunnah yang terdapat di dalam Al-Ma’thurat, contohnya firman Allah:
"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka" dan “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan kesihatan bagiku dan baginya di dunia dan di akhirat”, serta doa-doa lain yang seumpama dengannya. Selain itu, berdoa dengan ikhlas dan khusyuk serta hati yang tenang, berdoa selepas solat, terutamanya solat fajar, berdoa di tempat-tempat yang berkat lebih-lebih lagi di masjid, berdoa pada hari Jumaat, pada waktu-waktu yang mustajab, berdoa pada tiga bulan, iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadan, lebih-lebih lagi pada malam-malam yang penuh keberkatan, dan berdoa pada bulan Ramadan khususnya malam al-Qadr.
203. Page
Doa yang dilengkapi dengan syarat-syarat ini akan mengundang rahmat Allah dan mudah diterima oleh-Nya. Doa yang makbul ini sama ada dapat dilihat kesannya di dunia, atau doa itu diterima dan diperoleh dalam kehidupan yang abadi di akhirat kelak. Jika tidak dapat dilihat kesan doa tersebut, janganlah berkata: Doa itu tidak diterima, tetapi hendaklah diucapkan: doa itu dimakbulkan dengan perkara yang lebih baik.
Soalan yang kedua:
Adakah boleh berkata “radiyallah anhu” selain para sahabat sebagaimana kita ucapkannya untuk mereka?
Jawapan: Ya, harus kerana ungkapan “radiyallahu anhu” bukan satu ungkapan khas kepada para sahabat, seperti juga ungkapan “alaihi as-solah wa as-salam”, bukan diucapkan untuk Rasul yang mulia sahaja – alaihi as-solah wa as-salam, bahkan boleh juga dilafazkan ungkapan tersebut kepada Imam Empat, Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Imam Al-Ghazali, Imam Al-Rabbani, dan selain mereka yang seumpama para sahabat yang mencapai martabat redha dan berada dalam kalangan golongan pewaris nabi.
Tetapi, sudah kebiasaan bagi ulama ungkapan “radiyallahu anhu” adalah untuk para sahabat, manakala untuk para tabi‘in dan tabi’ tabi‘iin, diucapkan lafaz “rahimahullah”, dan golongan selepas mereka, “ghafarallahu lahu”, serta para wali dengan ungkapan “quddisa sirruhu”.
Soalan ketiga:
Adakah imam Al-mujtahidun yang agung lebih utama atau para syeikh dan ketua tarikat yang benar?
Jawapan: Tidak semua Al-Mujtahidun lebih utama tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad Hanbal rahimahumullah, adalah paling tinggi darjatnya . Manakala sebahagian syeikh tarikat yang agung seperti Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, mereka mempunyai kedudukan yang yang lebih tinggi dari segi kelebihan individual, tetapi kelebihan yang menyeluruh terletak pada Imam agung.
Sebahagian daripada syeikh tarikat termasuk dalam golongan mujtahidin, oleh itu tidak boleh dikatakan bahawa semua mujtahidin lebih baik daripada semua ketua tarikat. Tetapi Imam yang empat adalah yang paling baik selepas para sahabat dan Imam Mahdi radiyallahu anhum.
204. Page
Soalan keempat:
Apakah hikmah daripada firman-Nya, “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” (surah Al-Anfal:46) dan apakah tujuannya?
Jawapan: Sesungguhnya Allah SWT dengan sifatnya Al-Hakim, telah menetapkan susunan peringkat dalam setiap kewujudan, seperti tangga yang bertingkat. Orang yang tidak sabar mungkin akan melompat lapisan tingkat itu lalu terjatuh disebabkan tidak berhati-hati, atau dia tidak mampu menaikinya. Maka, dia tidak sampai ke tingkat teratas, iaitu matlamat yang ingin dicapai. Oleh yang demikian, Allah melarang di dalam firman-Nya supaya kita sentiasa berhati-hati. Kesabaran ialah kunci kepada segala masalah, seperti perumpamaan “Orang yang tamak dalam keadaan rugi ”, dan “kesabaran anak kunci kepada kejayaan”. Jadi, pertolongan dan petunjuk Allah bersama orang-orang yang sabar. Sabar itu terbahagi kepada tiga bahagian:
Pertama: Sabar daripada maksiat dengan menghalang diri daripada melakukannya. Sabar ini dinamakan taqwa, yang dijelaskan dalam firman-Nya, “Sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa”.
Kedua: Sabar daripada musibah, bertawakal dan menerima ketentuan Allah, sebagaimana dimuliakan dalam firman-Nya, “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal” dan “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang sabar”.
Tidak sabar dan suka merungut dengan ujian yang dihadapi, bermaksud mencela kehendak Allah dan menolak rahmat-Nya serta menafikan kebijaksanaan-Nya.
Benar, tidak diragui bahawa manusia yang lemah akan menangis dan mengadu tentang kesukaran yang dilaluinya, tetapi hendaklah dia mengadu kepada Allah, bukan mengadu tentang-Nya, seperti Saidina Yaaqub alaihissalam mengadu, “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah” (surah Yusuf: 86), iaitu: apabila ditimpa musibah, hendaklah mengadu kepada Allah. Jika seseorang itu menagih simpati manusia yang lemah seumpama dia mengadu Allah kepada manusia dengan rasa kecewa dan dukacita seperti berkata, “Apa yang telah aku lakukan sehingga aku ditimpa musibah begini?!”. Perbuatan ini adalah satu perkara yang buruk dan sia-sia.
Ketiga: Sabar dalam melakukan ibadah, iaitu seseorang yang mencapai martabat kekasih Allah dan ubudiyyah yang sempurna, iaitu setinggi-tinggi kedudukan.
205. Page
Soalan kelima:
Umur yang dikira baligh ialah apabila mencecah usia lima belas tahun, bagaimana penghulu kita, Rasulullah SAW beribadah sebelum dilantik menjadi nabi?
Jawapan: Baginda beribadah dengan tinggalan ajaran agama Ibrahim alaihissalam yang masih diamalkan di kebanyakan kepulauan Arab. Tetapi bukan atas tuntutan fardhu atau paksaan, bahkan atas pilihan Baginda dan dijadikan amalan sunat.
Masalah ini panjang untuk dibincangkan, jadi aku meringkaskannya seperti ini sahaja.
Soalan keenam:
Apakah hikmah daripada pelantikan Rasulullah SAW sebagai rasul pada usia 40 tahun yang dianggap umur yang sempurna, dan apakah hikmah umur Baginda yang berkat ketika usia 63 tahun?
Jawapan: Hikmahnya banyak, salah satunya ialah:
Kenabian itu tanggungjawab yang besar dan berat. Tidak mungkin mampu dipikul melainkan Baginda memiliki kesempurnaan kecerdasan akal dan persediaan kerohanian. Kesempurnaan ini dicapai pada usia 40 tahun.
Usia muda ialah saat jiwa manusia memberontak dan berdarah panas. Ketika itu juga jiwa cenderung kepada kehendak duniawi, maka tidak sesuai untuk memikul tanggungjawab kenabian yang mengutamakan Allah semata dan hari akhirat. Walaupun manusia itu mampu berfikir dengan rasional sebelum mencecah usia 40 tahun, tetapi akan terbayang dalam fikiran orang yang mencintai kemasyhuran bahawa nabi berdakwah demi mencapai kemasyhuran dan meninggikan martabat duniawi, dan baginda tidak mampu untuk berlepas diri dengan mudah daripada tohmahan ini.
Manakala, selepas usia 40 tahun, manusia mula berfikir tentang kematian dan lebih mengutamakan akhirat berbanding dunia. Mereka tidak lagi terpengaruh dengan tohmahan dunia dalam amalan ukhrawinya.
Hikmah umur Baginda berkat pada usia 63 tahun, salah satu hikmahnya ialah:
Orang yang beriman dipertanggungjawabkan untuk mengasihi Rasulullah SAW, memuliakan Baginda, tidak membenci satu perkara pun tentang Baginda, melihat setiap perkara daripada Baginda adalah baik dan indah. Oleh itu, Allah tidak membiarkan kekasih-Nya mencecah usia tua yang penuh kesukaran dan cabaran selepas usia 60, bahkan Dia mengutuskannya ke alam ruh pada usia 63 tahun iaitu umur yang biasa bagi umat Baginda, dan dalam usia sebegitu Baginda mampu menjadi pemimpin bagi umatnya dalam setiap perkara.
206. Page
Soalan ketujuh:
Adakah kata-kata, “Sebaik-baik pemuda adalah yang menyerupai orang tua, dan seburuk-buruk orang tua adalah yang menyerupai pemuda” ialah hadis? Apakah maksudnya?
Jawapan: Aku mendengar kata-kata itu sebagai hadis, maksudnya ialah:
“Sebaik-baik pemuda ialah mereka yang berfikir tentang mati seperti orang tua, dan lebih mengutamakan hari akhiratnya, serta tidak menjadi hamba kepada keinginan dan nafsu zaman mudanya yang terumbang-ambing, tidak tenggelam dalam kelekaan. Manakala seburuk-buruk orang tua ialah mereka yang ingin menyerupai pemuda yang leka dan terumbang-ambing dan menurut kehendak jiwanya seperti kanak-kanak”.
Maksud sebenar bahagian kedua yang kamu lihat di papan itu ialah:
Aku menggantungkannya di atas kepalaku seperti papan hikmah. Aku melihatnya setiap pagi dan petang, dan aku belajar sesuatu daripadanya, ayat pada papan itu ialah:
“Jika engkau inginkan sahabat , cukuplah Allah sebagai sahabat ”. Benar, jika Dia ialah sahabatmu maka setiap sesuatu turut menjadi sahabatmu.
“Jika engkau menginginkan teman, cukuplah al-Quran sebagai teman”. Benar, seorang manusia akan berjumpa dengan nabi dan malaikat alaihissalam dalam Quran walaupun dalam imaginasinya dan melihat keadaan serta cerita mereka, engkau akan terhibur.
“Jika engkau menginginkan harta, cukuplah qanaah sebagai harta”. Benar, orang yang qanaah ialah mereka yang bersederhana, dan orang yang bersederhana akan menemui keberkatan.
“Jika engkau inginkan musuh, cukuplah nafsu sebagai musuh”. Benar, sesiapa yang mengikuti nafsunya, dia akan berada dalam kepayahan dan kesukaran. Sebaliknya mereka yang tidak menuruti nafsunya akan berasa tenang dan damai.
“Jika engkau menginginkan nasihat, cukuplah kematian sebagai penasihat”. Benar, orang yang berfikir tentang mati, terselamat daripada cinta dunia, dan beramal untuk hari akhiratnya dengan bersungguh-sungguh.
Aku menambah masalah kelapan kepada soalan kamu yang ketujuh:
Beberapa hari yang lalu, seorang qari al-hafiz membaca surah Yusuf sehingga ayat, “Sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh” (surah Yusuf: 101), lalu terdetik satu perkara dalam hatiku.
207. Page
Setiap perkara yang berkaitan dengan al-Quran dan iman mempunyai nilai yang tinggi. Walaupun pada zahirnya nampak kecil, tetapi mempunyai nilai yang besar dan agung.
Benar, perkara yang membawa kepada kebahagiaan yang abadi bukanlah sesuatu yang kecil. Bukan bermakna perkara yang kecil tidak ada kepentingan. Ibrahim Khalusi ialah murid terawal yang melalui perkara seperti ini. Beliau ingin mendengar perkara yang diceritakan di dalam al-Quran, dan apabila beliau mendengarnya, beliau berasa perkara ini disampaikan dengan sebaik-baik cerita.
Perkara yang mempunyai nilai yang tinggi ini ialah berita gembira dan mukjizat dalam ayat al-Quran yang mulia, “Sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh” yang diakhiri dengan kisah indah Yusuf alaihisalam, iaitu:
Kesakitan dan kesedihan disebabkan kehilangan dan perpisahan yang dirasai setelah mengecap kebahagiaan dan keseronokan telah menukarkan pengakhiran yang gembira menjadi sedih seperti yang diceritakan dalam kisah-kisah yang lain. Contohnya, berita tentang kematian atau perpisahan yang amat memeritkan, lalu menjadikan para pendengar berasa kecewa. Tetapi ayat ini ialah bahagian yang paling menarik dalam kisah Yusuf alaihissalam iaitu berita tentang kematian Yusuf alaihissalam, baginda menjadi pemerintah Mesir, baginda bertemu bapanya, baginda mengenal pasti saudaranya dan saling mengasihi kembali. Peristiwa ini ialah saat-saat bahagia di dunia. Kamu berkata: “Yusuf alaihissalam memohon kepada Allah SWT agar mematikan baginda supaya baginda memperoleh kebahagiaan yang lebih hakiki daripada sekarang. Lalu beliau dimatikan, dan mengecap kebahagiaan itu. Itulah kebahagiaan, kegembiraan, dan keseronokan selepas kematian yang lebih menarik daripada kelazatan dunia yang indah. Oleh sebab itu, Yusuf alaihissalam yang mempunyai yang pandangan jauh meminta kematian yang pahit dan amat sakit, dalam keadaan Baginda menikmati kemuncak kenikmatan dunia kerana mahukan kenikmatan ukhrawi.
Maka lihatlah pada balaghah al-Quran yang bijak ini, bagaimana diceritakan penutup kisah Yusuf alaihissalam dan bagaimana ia mempengaruhi emosi para pendengar yang lebih berasa gembira berbanding sedih apabila mendengarkannya.
Justeru perkara itu akan mendorong kita beramal untuk persiapan di alam barzakh yang terdapat padanya kebahagiaan dan kelazatan yang hakiki.
Terpamer dalam kisah itu keimanan Yusuf yang tinggi, kamu boleh menyimpulkannya dengan berkata, “sebesar-besar hal dunia dan paling bahagia ialah apabila kamu tidak mewarisi daripada dunia itu kelalaian dan tidak terpedaya dengan fitnahnya, bahkan kamu sentiasa menginginkan hari akhirat”.
Yang kekal hanyalah Dia yang Maha Kekal