Surat Keempat

21. Page

Surat Keempat

بِاسْمِه۪ سُبْحَانَهُ وَاِنْ مِنْ شَئٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪

Dengan nama Allah yang Maha Suci

“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya”

Salam sejahtera kepada saudara-saudaraku sekalian terutamanya...dan lain-lain.


Saudaraku yang dikasihi sekalian,


Aku kini berada di dalam sebuah rumah di atas pokok pain yang tinggi di atas puncak gunung Çam Dağı. Aku sangat rindukan interaksi manusia kerana aku sudah lama bergaul dengan haiwan liar. Ketika aku sangat teringin berbicara dengan manusia, aku bayangkan kalian berada di sampingku, kemudian aku luahkan segala kerunsingan dan kerisauanku lalu terubatlah perasaanku dengan kalian. Aku ingin tinggal di sini seorang diri dalam tempoh sebulan dua lagi jika tiada apa-apa halangan. Aku sangat teringin, apabila aku pulang ke Barla kelak, untuk kita mencari jalan – jika kamu tidak keberatan – untuk kita duduk-duduk berbual panjang.   


Sekarang aku terlintas untuk menulis cetusan idea yang muncul dalam mindaku di atas pokok pain ini:


Pertama: Ini adalah satu rahsia besar bagiku, namun aku tidak akan merahsiakannya daripadamu iaitu: 


22. Page

Sepertimana terzahirnya nama Allah al-Wadūd pada sesetengah ahli hakikat, lalu mereka dapat melihat hakikat penciptaan melalui segala ciptaan yang terzahir dan terlihat. Maka Allah al-Wadūd pada martabat yang tinggi. Begitu juga saudaramu yang kerdil ini. Terzahir padaku nama Allah al-Raḥīm dan al-Ḥakīm ketika aku berkhidmat, menyeru dan mengajak manusia kepada al-Qur’ān, suatu khazanah yang kekal abadi. Maka setiap al-Kalimāt ialah manifestasi nama Allah yang terzahir itu. Aku memohon kepada Allah agar aku dikurniakan rahsia:


وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ اُوتِيَ خَيْرًا كَث۪يرًا

“Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak”.

(Surah al-Baqarah: ayat 269) 


Kedua: Terlintas juga di fikiranku bait rangkap yang disebut-sebut dalam tarekat al-Naqshabandiyyah iaitu:

دَرْ طَر۪يقِ نَقْشِبَنْد۪ي لَأزِمْ اَمَدْ چَارِ تَرْكْ : تَرْكِ دُنْيَا.. تَرْكِ عُقْبَا..تَرْكِ هَسْتي۪.. تَرْكِ تَرْكْ 

Tinggalkan dunia, tinggalkan akhirat, tinggalkan diri dan tinggalkan perbuatan tinggal itu sendiri.


Lalu aku teringat kepada bait ini pula:

دَرْ طَر۪يقِ عَجْزْمَنْد۪ي لَأزِمْ اَمَدْ چَارِ چ۪يزْ : فَقْرِ مُطْلَقْ.. عَجْزِ مُطْلَقْ..شُكْرُ مُطْلَقْ.. شَوْقِ مُطْلَقْ اَيْ 

Kefakiran mutlak, kelemahan mutlak, kesyukuran mutlak dan semangat yang mutlak.

23. Page

Kemudian aku teringat pula kepada bait syair yang kamu karang:


“Lihatlah kepada halaman berwarna pada kitab penciptaan”...


Ini syair yang hebat; halus dalam menggambarkan sesuatu dan kaya dengan makna-maknanya. Lalu aku melalui syair ini, aku melihat bintang-bintang di dada langit. Aku pun berkata: “Kalaulah aku ini seorang penyair, pasti aku lengkapkan syair ini!” Walaupun aku tak mampu bersyair dan berpuisi kerana aku tidak berbakat dalam dua seni ini, aku gagahi juga. Lalu, aku menulis apa sahaja lintasan fikiranku. Jika kamu – sebagai pewarisku – ingin mengubahnya menjadi syair dan puisi, maka gubahlah. Inilah lintasan fikiranku itu:


Dengarlah kepada ucapan bintang-bintang yang begitu halus,

Lihatlah bagaimana hikmah telah menyusun atur bintang-bintang yang bercahaya itu,

Lalu bintang-bintang itu mula berkata-kata semuanya dengan lidah yang benar:

Kami adalah bukti kebesaran kekuasaan Tuhan yang Maha Agung,

Kami juga saksi kepada kewujudan Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.

Kami di langit bagaikan mata yang merenung ke bumi dan ke syurga, 

Agar para malaikat dapat menyaksikan mukjizat-mukjizat yang menghiasi muka bumi ini.

24. Page

Kami bagaikan ‘buah-buahan’ yang sangat indah dalam keindahan makhluk, yang tergantung di tangan hikmah Tuhan yang Maha Indah dan Maha Agung di belahan langit dan di atas dahan Bima Sakti.

Kami bagi penduduk langit ibarat ‘kapal terbang’, ‘masjid’ yang beredar, ‘tempat tinggal’ yang berputar, ‘rumah’ yang tinggi, ‘lampu’ yang bercahaya dan ‘kapal’ yang gagah.

Kami adalah alam cahaya, mukjizat kekuasaan, ciptaan luar biasa yang selayaknya dengan Tuhan Maha Pencipta, hikmah yang unik dan kreativiti ciptaan Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna, Tuhan yang Maha Bijaksana dan Maha Agung.

Begitulah kami menunjukkan seratus ribu bukti melalui seratus ribu bahasa, menerangkan kepada manusia yang layak digelar manusia.

 Mata si ateis telah buta, lalu dia tidak dapat melihat wajah kami dan tidak dapat mendengar suara kami, sedangkan kami adalah bukti-bukti yang bercakap benar.

Acuan (sikkat) dan cap (ṭurrah) kami satu. Kami ditundukkan, sentiasa bertasbih dan berzikir sebagai tanda peribadatan kepada Tuhan kami. Kami juga tertakluk kepada tarikan graviti dalam galaksi Bima Sakti.  


Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.


Said Nursi